Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

DYTM Tengku Amir Shah berkenan kunjungi Wisma Kohijrah

SHAH ALAM, 25 MAC: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mengunjungi Wisma Koperasi Warga Hijrah Selangor (Kohijrah) di sini hari ini.

Kunjungan santai baginda buat julung kalinya turut dihadiri 10 peniaga mikro Kohijrah dan 10 usahawan kelainan upaya (OKU) Say Lead yang bernaung bawah DYTM Raja Muda.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mendengar penerangan daripada seorang usahwan Hijrah berkaitan produknya ketika lawatan baginda ke Wisma Kohijrah di Seksyen 32, Shah Alam pada 25 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Ketua pegawai eksekutif Selangor Youth Community (Say) berkata program Say Lead adalah di bawah Keusahawanan Selangor yang diwujudkan oleh baginda, bertujuan menghubungkan usahawan dan agensi di Selangor kepada peluang perniagaan.

“Kunjungan baginda hari ini bertujuan membantu golongan OKU mendapat bimbingan dan bantuan perniagaan menerusi Kohijrah.

“Platform ini juga untuk mengumpulkan usahawan dari seluruh negeri dan mewujudkan jaringan kerjasama dalam agenda pembangunan perniagaan,” kata Nurul Azwa Rodzi dalam kenyataan.

Menurutnya, kerjasama melalui Kohijrah hari ini juga menyasarkan penyediaan platform dan peluang bagi usahawan untuk memasarkan produk mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Youth Community (SAY) Nurul Azwa Rodzi

“Antara bantuan yang diberi adalah pembungkusan bagi perniagaan kecil, pembiayaan daripada Yayasan Hijrah Selangor dan sumbangan kendera saji,” katanya lagi.

Pada majlis sama, DYTM Tengku Amir berkenan melawat Kohijrah Mart yang memaparkan pelbagai produk usahawan mikro tempatan dari dalam dan luar Selangor.

Turut diadakan gimik penyerahan kunci kepada dua usahawan mikro yang menjalankan perniagaan makanan melalui kendera saji dan sesi ramah mesra baginda bersama usahawan mikro dan OKU.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sumbang lebih 2,000 buku, Sultan prihatin perkembangan Pustaka Raja Tun Uda

SHAH ALAM, 29 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyumbang 2,080 nashkah buku kepada Pustaka Raja Tun Uda setakat ini.

Selangor Royal Office dalam kenyataan memaklumkan perpustakaan di Seksyen 13 di sini sangat dekat di hati baginda sejak ia dibuka kepada rakyat pada 2011.

“Baginda sentiasa mengikuti perkembangan perpustakaan ini dan sering menyumbang pelbagai idea bagi menjadikannya sebagai lokasi pilihan rakyat untuk menimba ilmu,” katanya menerusi Facebook.

Semalam, Sultan Sharafuddin diiringi Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, berkenan berangkat mengadakan lawatan tidak rasmi ke Pustaka Raja Tun Muda termasuk ke tingkat empat bangunan yang menghimpunkan koleksi buku sumbangan baginda.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sentiasa mengikuti perkembangan dan menyumbang pelbagai idea termasuk buku untuk kemajuan Pustaka Raja Tun Uda. Foto Facebook Selangor Royal Office

Sepanjang lawatan, taklimat disampaikan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad berhubung perkembangan terkini pustaka berkenaan.

Selain Sultan Sharafuddin, kerabat Diraja Selangor turut menyumbang buku dan bahan ilmiah untuk manfaat pengunjung Pustaka Raja Tun Uda.

Sehingga November lalu, pustaka terbabit merekodkan 7.34 juta pengunjung dengan jumlah keahlian hampir 135,000 dan 1.28 juta nashkah pinjaman buku.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan hadiri bacaan yasin, solat Jumaat sempena hari keputeraan

SHAH ALAM, 13 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-75, Jumaat lalu.

Pada majlis sama di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, baginda turut menunaikan solat Jumaat berjemaah mengikut tatacara operasi piawai (SOP) bersama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan tetamu jemputan khas lain.

Khutbah solat tersebut dibaca Imam Besar, Sahibul Fadhilah Ustaz Muhammad Farhan Wijaya, bertajuk “Titah Sultan, Maslahah Ummah”.

“Antara intipatinya adalah Sultan merupakan pemerintah yang wajib ditaati malahan titah baginda amat jelas mengajak kepada kebaikan. Justeru, sebagai rakyat kita hendaklah menjunjung kasih nasihat dan titah DYMM Sultan serta mentaatinya.

“Sesungguhnya peranan dan sumbangan baginda sebagai ketua agama Islam tidak dinafikan lagi malah isu yang menganggu gugat Islam turut menjadi penekanan dalam titah baginda,” kata Selangor Royal Office menerusi Facebook hari ini.

Khutbah itu turut menekankan menjadi tanggungjawab Sultan bagi memastikan negeri, rakyat dan agama Islam sentiasa sejahtera, maju dan terpelihara serta baginda berperanan penting sebagai pelindung rakyat berbilang kaum dan agama.

Menurutnya, dalam mendepani wabak Covid-19 baginda sering bertitah menekankan semua pihak berwaspada, berdisiplin dan patuh kepada SOP bagi menangani serta memutuskan rantaian wabak berkenaan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide: Raja Muda Selangor sumbang RM100,000 bina kompleks anak yatim

SHAH ALAM, 11 DIS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyumbang RM100,000 kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) untuk pembinaan Kompleks Anak Yatim di Pulau Indah.

Majlis sumbangan diadakan di Istana Kayangan semalam serta dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Azmie Diron.

Pengurus besar Yide berkata pihaknya telah mengumpul RM6.6 juta dan masih memerlukan RM3.4 juta dan menyasarkan kutipan sumbangan itu meningkat pada suku pertama serta kedua tahun depan.

“Bagi merealisasikan kompleks yang akan menempatkan 200 anak yatim dalam satu masa diusahakan dengan kerjasama Central Spectrum Sdn Bhd dan Perbadanan Wakaf Selangor, Yide giat menjalankan promosi serta memperkenalkan pelbagai platform bagi memudahkan sistem sumbangan,” kata Nur Mohd Razali Abdullah dalam kenyataan.

Terdahulu, Raja Muda Selangor berkenan mendengar taklimat ringkas berkaitan perancangan semasa projek pembinaan Kompleks Anak Yatim, Ikon Mahabbah Yide dan projek pembekalan perubatan kepada asnaf di Selangor dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor.

Yide mengajak orang ramai, syarikat korporat, agensi berkaitan kerajaan untuk bersama menyumbang dan memuliakan anak yatim dengan terus menyumbang melalui Bank Islam bernombor akaun: 1223 40100 07330 atau melalui dalam talian Billplz: https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim/ atau Jom Pay (Biller Code: 81059 dan aplikasi Snap and Pay.

Setiap sumbangan diberikan akan dikecualikan cukai pendapatan dan potongan di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967, Nombor Rujukan LHDN 01/35/42/51/179-6.7622, bertarikh 15 November 2019 melalui resit rasmi Yide.

Categories
AGENSI SELANGOR

THE CLASH kumpul RM5,000, FAS hulur bantu belia Selangor dan Kuala Lumpur

SHAH ALAM, 22 OGOS: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berjaya mengumpul dana RM5,000 menerusi program THE CLASH di Pusat Latihan FAS di sini Khamis lalu.

Sejurus program berakhir, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyerahkan dana tersebut kepada Pertubuhan Kebajikan Penyayang Sukarelawan Visi Remaja Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu ratusan remaja mendapat pembelaan sewajarnya.

Baginda yang juga Presiden FAS menzahirkan rasa gembira atas kerjasama antara persatuan itu dan pasukan sukan elektronik, Team Bosskurr dalam menjayakan program berkenaan.

“Ia adalah satu program yang bagus kerana pertama kali berkolaborasi dengan pasukan teratas dalam kancah e-sukan di Malaysia.

“Beta percaya, penyokong Gergasi Merah dan peminat PlayerUnknown’s Battleground (PUBG) teruja dengan program hari ini (Khamis). Paling penting kutipan dari THE CLASH disalurkan kepada badan kebajikan untuk membantu mereka ketika pandemik Covid-19 sedang melanda,” titah baginda menerusi kenyataan di laman sesawang FAS.

Sementara itu, FAS memaklumkan program amal melibatkan perlawanan e-sukan, PUBG dan bola sepak lima sebelah disiarkan secara langsung di Facebook FA Selangor dan atlet e-sukan negara, Soloz mendapat lebih 485,000 tontonan dalam tempoh dua jam.

“Dalam siaran secara langsung ini, penonton disajikan dengan aksi pertempuran permainan PUBG dan bola sepak di samping mereka boleh menghulurkan derma sepanjang siaran berkaitan,” maklumnya.

THE CLASH turut mendapat sokongan daripada organisasi dan syarikat swasta lain seperti Komuniti Belia Selangor (SAY), Dominos Pizza Malaysia, Sugarbomb serta Fitech.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Raja Muda Selangor: Kerjasama semua beri kemahiran kepada belia

SUBANG JAYA, 6 OGOS: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor bertitah kerjasama antara kerajaan, sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bagi membantu belia mempunyai kemahiran.

Titah Tengku Amir Shah langkah berkenaan sebagai usaha membolehkan golongan itu menjadi pilihan majikan yang ketika ini teliti memilih pekerja.

“Gunakan peluang cuti sekolah atau semester untuk belajar kemahiran seperti komunikasi dan penyampaian. Kita tidak boleh mengharapkan mereka mengetahui segalanya tanpa memberi tunjuk ajar.

“Seperti Yayasan Raja Muda Selangor. Kami menyediakan latihan berdasarkan kemahiran selain mempersiapkan mereka untuk berdepan dunia teknologi,” titah baginda di Sesi Dialog ‘Selangor Youths Have A Say!-Town Hall Series’ di sini yang turut disertai Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Amir Shah memberikan pandangan ketika forum Selangor Youth Have A Say sempena belanjawan negara 2021 di Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 5 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Tengku Amir Shah turut menyeru belia memanfaatkan peluang disediakan mana-mana pihak bagi meningkatkan kemahiran mendepani cabaran mendapatkan peluang pekerjaan.

Dalam masa sama Raja Muda Selangor menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak yang mengambil bahagian dalam program berkenaan.

Terdahulu perbincangan meja bulat membabitkan wakil NGO, universiti, agensi kerajaan serta syarikat di Selangor bertukar idea dan pandangan berhubung cabaran dihadapi belia ketika ini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

RMS sertai 10,000 peserta meriahkan Larian Menjunjung Kasih 2019

PETALING JAYA, 8 DIS: Program Larian Menjunjung Kasih 2019 sekali lagi mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai hampir 10,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Acara yang diadakan sempena sambutan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-74 itu diadakan di Dataran Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini, pagi tadi.

Acara itu bertambah bermakna apabila Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berangkat menyertai larian bagi kategori 10 kilometer (km).

DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bergambar bersama peserta 10km pada Program Larian Menjunjung Kasih di dataran MBPJ, Petaling Jaya pada 8 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Selain kategori 10km, larian itu turut membabitkan 10 kategori lain, antaranya 5km Orang Kelainan Upaya, 5km pelajar lelaki, 5km pelajar perempuan, 10km lelaki terbuka, 10km wanita terbuka, 21km lelaki terbuka dan 21km wanita terbuka.

Acara larian itu dilepaskan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari seawal jam 6.00 pagi.

DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut berlari pada Program Larian Menjunjung Kasih di dataran MBPJ, Petaling Jaya pada 8 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Tengku Amir yang tiba di garisan penamat kurang 40 minit selepas itu dikalungkan pingat oleh EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman.

Selain acara larian, penganjuran kali ini turut diadakan beberapa acara sampingan lain, antaranya Bola Jaring, ‘Three On Three Street Soccer’, Sukan Rakyat Antara Agensi, ‘Inflatable Kids’, ‘Game Stall’ dan ‘Busking’.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata, Kerajaan Negeri berhasrat memperbanyakkan lagi acara larian bagi menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat.

“Kerajaan Negeri akan mengadakan lebih banyak lagi program seperti ini termasuk program larian pada sambutan ambang tahun baru nanti,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

RMS cemar duli sertai Kayuhan Santai Menjunjung Kasih 2019

KLANG, 10 NOV: Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyertai Kayuhan Menjunjung Kasih 2019 sejauh 40 kilometer bermula di Galeri Jualan Sime Darby, Bandar Bukit Raja, di sini.

Kayuhan anjuran Sime Darby Property Berhad dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK) itu diadakan sempena meraikan Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Peserta kayuhan dilepaskan oleh Tengku Amir kira-kira jam 8 pagi dan berakhir pada 10 pagi.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, matlamat utama penganjuran adalah menzahirkan kesetiaan rakyat dan penghargaan kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Keputeraan baginda pada 11 Disember depan.

“Kerajaan Negeri menggalakkan semua pihak, agensi dan rakyat untuk terus menggalakkan aktiviti gaya hidup sihat melalui pelbagai jenis program yang dirangka.

“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan dan dicontohi pihak berkuasa tempatan lain,” katanya ketika ditemui pada program itu.

Tengku Amir Shah meluangkan masa berswafoto bersama peserta sebelum memulakan kayuhan sejauh 40km dalam Kayuhan Menjunjung Kasih 2019 di Bandar Bukit Raja, Klang. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

 

Hadir sama Yang DiPertua Majlis Perbandaran Klang, Dato’ Mohamad Yasid Bidin; Pengurus Besar Sime Darby Property Berhad, Ir Mohd Idris Abdullah dan Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Sementara itu, Mohd Idris berkata, program julung kali itu adalah program tanggungjawab sosial korporatnya yang bertujuan mengeratkan hubungan antara komuniti.

Katanya, seramai 1,700 peserta menyertai kayuhan menjunjung kasih berkenaan.

Aksi peserta Kayuhan Menjunjung Kasih 2019 di Bandar Bukit Raja, Klang. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

 

“Selain mengeratkan hubungan antara komuniti, program kayuhan ini turut menyokong aktiviti gaya hidup sihat ke arah bandar rendah karbon,” katanya.

Laluan kayuhan di sekitar Bandar Bukit Raja dan penaja utama kayuhan adalah Sime Darby Property.

Ia turut ditaja Samsung Electronics (M) Sdn Bhd, Kelab Sukan Rekreasi Ultimate Endurace dan Kagen Water System selain kayuhan ini mendapatkan kerjasama Majlis Sukan Selangor (MSN), Polis Daerah Klang Utara, serta Persatuan Berbasikal Negeri Selangor (PBNS).

Tengku Amir Shah berkenan menerima cenderamata disampaikan oleh Mohd Khairuddin Othman dalam Kayuhan Menjunjung Kasih 2019 di Bandar Bukit Raja, Klang. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
Categories
AGENSI SELANGOR

Kaji semula dasar pendidikan elak pengangguran belia

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Dasar pendidikan di universiti perlu dikaji semula bagi mengurangkan lambakan pengangguran dalam kalangan graduan di negara ini.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata pengangguran dalam kalangan belia semakin membimbangkan pada kadar 10.9 peratus, iaitu tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kadar pengangguran nasional.

“Kerajaan perlu mewujudkan dasar yang membolehkan graduan muda memenuhi tuntutan di dalam industri negara, malah program di institusi pendidikan tinggi sewajarnya mampu mencapai kepada mereka yang memerlukan di kawasan pedalaman,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Forum Ekonomi Belia 2019 (YEF) anjuran Persatuan Alumni Perdana Felo, di Sasana Kijang Bank Negara Malaysia di sini, hari ini.

Tengku Amir Shah bertitah situasi itu bertambah buruk apabila belia lebih berminat untuk membina kehidupan di kawasan bandar sahaja.

Baginda bertitah seramai 173,000 graduan direkod tahun lalu sementara jumlah pengangguran ialah 57,000.

“Masalah pengangguran dalam kalangan belia luar bandar juga sudah berlangsung sejak bertahun lamanya. Oleh sebab itu, kerajaan perlu mewujudkan dasar yang membolehkan perubahan ini berlaku.

“Ini adalah perkara yang tidak normal apabila graduan yang mempunyai masa depan cerah serta berbakat tidak bekerja.

“Masalah utamanya kerana ketidaksepadanan antara kelayakan graduan dengan keperluan tenaga kerja negara,” titah baginda lagi.

Justeru, Raja Muda Selangor bertitah perubahan besar perlu dilakukan bagi menstruktur kembali ekonomi Malaysia.

Forum yang disertai lebih 1,800 peserta terdiri daripada golongan belia profesional dari seluruh negara itu dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

YEF ialah persidangan yang diinspirasi dari Forum Ekonomi Dunia untuk belia berhimpun dan berkongsi pendapat berhubung isu semasa serta hala tuju pembangunan ekonomi Malaysia.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Dato’ Setia Mohamad Adzib Isa Tokoh Maal Hijrah 1441H Selangor

SHAH ALAM, 31 OGOS: Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1441 Peringkat Negeri Selangor.

Beliau yang kini berusia 71 tahun dipilih kerana jasa dan pengorbanan dalam mencurahkan bakti terhadap perkembangan Islam di Selangor melalui idea memperkemas, memperkasa dan mengukuhkan organisasi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Mohamad Adzib ketika ditemui media berkata, beliau menzahirkan rasa syukur kerana dipilih menerima anugerah berkenaan dan tekad untuk sentiasa berbakti memberi sumbangan kepada masyarakat di Selangor.

“Syukur kepada Allah kerana dengan izinnya saya dikurniakan tokoh Maal Hijrah 1441 dan merafak sembah terima kasih kepada Duli Yang Teramat Mulia Sultan Selangor diatas perkenan anugerah ini.

“Ucapan terima kasih juga kepada semua warga kerja di Selangor kerana sentiasa memberikan sokongan selama 45 tahun saya bertugas dalam jabatan Kerajaan,” katanya kepada media.

Pada masa sama, Mohamad Adzib yang pernah menjawat jawatan selaku Pengerusi MAIS berkata, anugerah diterimanya itu juga atas sokongan dan kerjasama diberikan Almarhum isterinya sebelum ini.

“Tanpa sokongan, kerjasama dan pengorbanan Almarhum isteri sudah tentu sukar untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang dipikul kini,” katanya.

Terdahulu, beliau turut menerima wang tunai RM20,000 sumbangan Kerajaan Negeri, trofi Maal Hijrah, sijil penghargaan, set sepersalinan pakaian dan pakej mengerjakan umrah.

Anugerah berkenaan disampaikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah sempena Majlis Ambang Hijrah dan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Pada masa sama, baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Saudara Kita, Tokoh Aktivitis Masyarakat, Tokoh Keluarga Mithali, Anugerah Pertubuhan dan Dakwah Sukarela.

Anugerah Tokoh Saudara Kita diterima oleh Pembantu Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Rosly Mohd Arus dan Tokoh Aktivis Masyarakat diberikan kepada Pakar Perunding dan Pensyarah Perubatan KPJ Damansara Specialist Hospital, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus.

Manakala, Anugerah Keluarga Mithali diterima Hakim Tilawah peringkat Daerah dan Negeri Selangor, Damanuri Rajali dan isteri Siti Hasnah Muhd Dasuki.

Anugerah Tokoh Mithali, Damanhuri@Damanuri Rajali, 78 dan isteri Siti Hasnah Mohd Dasuki, 65 menerima anugerah ketika Program Ambang Hijrah Dan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, pada 31 Ogos 2019. – Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Anugerah Pertubuhan dan Badan Dakwah Sukarela diterima Yayasan Pendidikan al-Quran Bagi Anak Istimewa (Yayasan Faqeh).

Hadir sama, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad; Setiausaha Kerajaan Negeri, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Maal Hijrah Peringkat Selangor 1441 Hijrah/2019 Masihi, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan beberapa pimpinan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Anugerah Tokoh Maal Hijrah adalah anugerah tahunan kepada individu yang banyak menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara dalam pembabitan pelbagai aktiviti seperti sosial, ekonomi juga pendidikan yang memberi kesan kepada gerakan dan perkembangan Islam.

Bacaan doa akhir tahun sempena Program Ambang Hijrah Dan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, pada 31 Ogos 2019. – Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

RMS rasmi SIIAF 2019, sasar kehadiran 10,000 pengunjung

SHAH ALAM, 3 OGOS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berangkat merasmikan Festival Kesenian Pribumi Antarabangsa Selangor (SIIAF) 2019 di Taman Botani Negara, Shah Alam, hari ini.

Dengan tema ‘Terokai Khazanah Warisan Negeri Selangor’, festival anjuran Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor dengan usahasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya ini disertai 130 kaum Pribumi tempatan dan antarabangsa.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri mensasarkan kemasukan 7.9 juta pelancong ke Selangor pada 2020.

DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan bergambar bersama antara peserta Selangor International Indigenous Art Festival di Taman Botani, Shah Alam. – Foto Hafiz Othman

“Statistik kemasukan pelancong ke Selangor pada 2018 adalah 7.23 juta dari dalam dan luar negara.

“Pada tahun ini, kita mensasarkan 7.7 juta dan seterusnya 7.9 juta pelancong pada 2020.

“Dengan adanya kempen promosi pelancongan di peringkat negeri seperti Kempen Discover Selangor, #TakeMeAnywhere dan Kempen Visit Malaysia 2020, kita harapkan sasaran ini dapat dicapai dan mampu meningkatkan ekonomi serta industri pelancongan di Malaysia khususnya Selangor,” katanya.

DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan melawat ke gerai jualan ketika Selangor International Indigenous Art Festival di Taman Botani, Shah Alam. – Foto Hafiz Othman

Menurutnya, penganjuran kali ini yang menyasarkan kehadiran 10,000 pengunjung adalah salah satu inisiatif mengetengah dan memelihara kaum Pribumi di Selangor yang masih mengekalkan ciri-ciri kesenian dan kebudayaan asli mereka walaupun di era teknologi moden.

Beliau berkata, ia juga menjadi medan terbaik menjenamakan Selangor sebagai salah satu destinasi pelancongan berasaskan kebudayaan pilihan pelancong dari dalam atau luar negara.

Antara negara yang mengambil bahagian adalah Afrika, Korea Selatan, Chinese Taipei, Indonesia dan Sri Lanka.

Persembahan tarian dari Orang Asal Mahmeri, Pulau Carey ketika Selangor International Indigenous Art Festival di Taman Botani, Shah Alam. – Foto Hafiz Othman

Tidak ketinggalan penyertaan Kaum Mah Meri dan Temuan (Selangor), Kaum Temiar (Perak), Kaum Seletar (Johor) serta Rantau Lemamang Dance Group (Sarawak).

Edisi kelima SIIAF 2019 ini berlangsung dua hari bersempena Hari Antarabangsa Pribumi Dunia yang diraikan pada bulan Ogos setiap tahun.

Ia antara lain turut memperkenalkan Recreational Orang Asal Run (ROAR) 2019 dengan lebih 600 penyertaan dan bakal berlangsung esok, 4 Ogos.

Jumlah peserta larian dijangka bertambah sekiranya ia diteruskan untuk tahun-tahun akan datang.

Categories
AGENDA SUKANKINI

RMS berkenan lancar fasiliti baharu FAS

SHAH ALAM, 24 JUL: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyempurnakan pelancaran pusat latihan dan pejabat baharu Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) di Padang Latihan SUK, Seksyen 5 di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda yang juga Presiden FAS disambut Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan serta Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman.

Baginda bertitah, fasiliti baharu dinamakan Pusat Latihan FAS itu menyaksikan pusat pentadbiran FAS berpindah dari pejabat lama terletak di Kelana Jaya selepas hampir 23 tahun.

“FAS adalah satu entiti yang besar dalam kancah bola sepak Malaysia. Walaupun tertubuh hampir 83 tahun dan berjaya meraih pelbagai kejuaraan utama di Malaysia, FAS masih lagi beroperasi di pejabat yang usang di Kelana Jaya serta hanya mempunyai pusat latihan serba kekurangan.

“Beta berharap supaya kemudahan baharu ini dapat menaikkan lagi semangat pemain, barisan kejurulatihan dan staf dalam memberikan yang terbaik untuk persatuan, sekali gus mengembalikan zaman kegemilangan pasukan Merah Kuning di Malaysia,” titah baginda ketika berucap dalam majlis berkenaan.

Pada masa sama, baginda menyifatkan penubuhan pusat latihan itu sebagai bukti komitmen FAS untuk membawa persatuan ke tahap lebih tinggi.

Titah baginda, kemudahan dan pejabat baharu itu diharap dapat memberi semangat serta inspirasi baharu kepada pemain selain membolehkan pentadbiran persatuan juga kejurulatihan diletakkan di bawah satu bumbung.

Seusai perasmian berkenaan, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli melawat pusat latihan berkeluasan 121,920 meter persegi itu yang dilengkapi padang latihan, gimnasium dan kawasan rawatan fisioterapi.

Baginda turut menunjukkan ketangkasan bermain bola sepak dalam perlawanan persahabatan antara pasukan Raja Muda Selangor (RMS) dan Dato’ Menteri Besar yang menjadi simbolik perasmian pusat latihan terbabit.

Dalam pertarungan selama 40 minit, RMS berjaya menumpaskan Dato’ Menteri Besar dengan jaringan 2-1.

Terdahulu, fasiliti baharu dibina hasil kerjasama FAS bersama Vizione Holdings Berhad, iaitu sebuah syarikat perkhidmatan kejuruteraan awam, pembinaan infrastruktur dan pembangunan hartanah yang tersenarai dalam Bursa Malaysia.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)