Categories
SELANGOR

Sultan Selangor Seru Kerajaan Negeri Naiktaraf Perpustakaan

sultan lawat perpustakaan 18 jul 03

SHAH ALAM 18 JULAI : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan Kerajaan Negeri supaya menaiktaraf perpustakaan di setiap daerah termasuk perpustakaan Raja Tun Uda yang dilawatinya hari ini.

Baginta bertitah perpustakaan adalah sebuah tempat gedung ilmu, malah perpustakaan juga boleh dijadikan sebagai tempat riadah di mana ibu bapa dan keluarga boleh datang bersama-sama untuk membaca buku dan membuat rujukan.

“Oleh itu, ia hendaklah dilakukan dan janganlah dilupakan begitu sahaja kerana seperti yang kita ketahui banyak aktiviti-aktiviti lain dalam penimbaan ilmu boleh dijalankan di perpustakaan.

sultan lawat perpustakaan 18 jul 01“Beta juga difahamkan pembinaan untuk meletak kenderaan juga perlu dibina dengan segera kerana keadaan yang sesak apabila pengunjung-pengunjung datang ke perpustakaan Raja Tun Uda ini.

“Beta juga berkenan supaya landskap yang sedia ada disekeliling perpustakaan ini dinaik taraf dan ditambah dengan pokok-pokok hijau supaya menjadikan kawasan ini indah selain mendatangkan suasana bersih dan menyihatkan.”

Baginda bertitah pada Majlis Penyampaian sumbangan buku kepada perpustakaan itu, di Seksyen 13, di sini.

Baginda juga menyeru kepada setiap rakyat Selangor supaya bersama-sama menjaga dan memelihara perpustakaan termasuk buku-buku yang terdapat di dalamnya supaya menjadi mercu tanda gedung ilmu.

Selain itu, DYMM Sultan Sharafuddin turut berkenan menyerahkan sumbangan buku daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bernilai RM 200,000 kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Sumbangan buku-buku yang berjumlah 2,780 naskah itu menggunakan peruntukkan fisabilillah dan merangkumi pelbagai jenis termasuk agama Islam, kesenian dan fiksyen.

Baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan berupa empat naskah Al-Quran braille kepada penerima terpilih bagi Persatuan Braille Malaysia.

sultan lawat perpustakaan 18 jul 04Selain dari LZS, turut menyerahkan sumbangan kepada perpustakaan itu ialah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang memberikan sumbangan sebanyak 50 buah netbook.

Manakala Worldwide Holdings Berhad turut menyerahkan sumbangan buku yang bernilai RM 50,000 serta Yayasan Al Bukhary pula menyumbangkan sebanyak RM 13,000.

Mengiringi baginda, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ; Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh dan ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohs Isa; Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Mufti Selangor Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor Rasmi Masjid RM5.27 juta, Serah Sumbangan Raya

SABAK BERNAM 11 OGOS: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam berkenan berangkat merasmikan Masjid Kampung Binjai Jaya dan menyampaikan sumbangan hari raya dalam majlis berbuka puasa bersama rakyat di kampung tersebut.

Pembinaan Masjid Kampung Binjai Jaya yang menelan belanja RM5.27 juta itu mula dibina pada 2007 dan siap pada 2010.

Ia juga mampu menampung seramai 1,000 jemaah dalam satu masa.

Dalam titah ucapannya, baginda mengingatkan agar umat Islam di Selangor tidak menggunakan institusi Masjid sebagai tempat untuk berpolitik.

Menurut baginda, tindakan seperti itu akan memecah belahkan umat Islam di negeri itu.

“Titah Beta ini meliputi semua parti politik samada parti pemerintah atau parti pembangkang,” titah baginda kepada masyarakat di kampung itu.

Sultan Sharfuddin juga menyeru agar rakyat Selangor sentiasa berfikiran positif dan sentiasa berprasangka baik sesama sendiri.

“Oleh itu, marilah kita sama-sama berfikiran positif, bersangka baik, serius dan ikhlas dalam melaksanakan segala kewajipan dan suruhan daripada Allah SWT,” titahnya.

Selain itu, Sultan Sharafuddin mahu agar masyarakat negeri ini tidak mensia-siakan kemudahan rumah ibadat yang disediakan itu dan menjaga serta diurus dengan baik.

Dalam majlis yang dihadiri kira-kira hampir seribu masyarakat Kampung Binjai Jaya dan kampung-kampung berhampiran itu, baginda turut menyerahkan sumbangan hari raya kepada 145 orang anak yatim, 109 fakir dan miskin serta 126 orang saudara baru.

Turut mengiringi Sultan Sharafuddin dalam majlis itu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.