Categories
SELANGOR

TPM sifatkan tiga pemergian pemimpin, ujian besar

OLEH AFIX REDZUAN

KAJANG, 3 OGOS: Pemergian Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin disifatkan sebagai satu kehilangan dan ujian besar khususnya buat KEADILAN dan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ujian besar itu termasuk bakal menghadapi pilihan raya kecil (PRK) selepas ini tambahan PAKATAN terdahulu kehilangan tokoh di DUN Sungai Kandis dan Balakong.

“Pemergian besar merupakan satu kehilangan besar buat kita. Kita doakan semoga Allahyarham dicucuri rahmat

“Persiapan satu lagi PRK, ini kali ketiga beturut-turut pemergian yang kita hadapi dan terpaksa teruskan (perjuangan),” katanya yang ditemui media sejurus selesai solat jenazah di Masjid Jamiurrahmah.

Bagi calon PRK DUN N.49 Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, beliau turut bersedih atas pemergian Allahyarham selepas sekian lama berkawan sejak menyertai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Lebih memilukan, kehilangan Allahyarham Shaharuddin genap sebulan selepas pemergian penyandang kerusi DUN Sungai Kandis, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei.

“Pemergian beliau sangat memberikan kesan kerana saya pernah betugas di pejabatnya dan kenal lama sejak bersama ABIM daripada peringkat bawah.

“Beliau seorang ilmuan dan aktivis yang sangat komited dengan tugas dakwah dan ilmu serta mempunyai wawasan yang jelas.

“Kami hanya tahu beliau sakit sejak setahun lalu,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kerajaan perhalusi isu royalti minyak

TUARAN, 22 JULAI: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) akan memperhalusi semula kadar pemberian royalti minyak 20 peratus kepada negeri pengeluar minyak di negara ini, termasuk mekanisme pembayarannya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perbincangan itu akan dilakukan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan mengambil kira faktor lain, termasuk situasi ekonomi semasa negara.

“Saya kena rujuk semula kepada Perdana Menteri berhubung isu pembayaran royalti minyak ini.

“Kerajaan juga harus fikir soal tabung negara dan akan memenuhinya keperluan dengan sewajarnya. Ini bukan janji kosong Kerajaan.

“Kerajaan Persekutuan komited melaksanakannya kerana ia sudah termaktub dalam perjanjian manifesto PAKATAN pada pilihan raya umum lalu,” katanya lapor Astro Awani.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan seminar “Sekeluarga Tolak Pornografi” di Maktab Perguruan Kent, Tuaran, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew dan pembantu Menteri Kewangan Sabah, Kenny Chua.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir mengumumkan kerajaan akan memenuhi janji memberikan royalti minyak berdasarkan keuntungan dan bukan jualan kasar peratus kepada negeri pengeluar minyak seperti Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu.

Ketika ini, Sabah dan Sarawak hanya menerima royalti minyak petroleum lima peratus, manakala Kelantan dan Terengganu hanya menerima wang ehsan.

 

Categories
NASIONAL

Bayi mati : Wan Azizah mahu akta diperketat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 21 JUL : Akta terhadap kebajikan kanak-kanak dan bayi perlu diperketatkan dengan pengenalan dasar baru yang lebih efisien dilaksanakan di Putrajaya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah berkata demikian sebagai keperluan bagi menangani masalah kecuaian penjagaan bayi dalam kalangan pengasuh.

“Kita perlu ketatkan undang-undang atau akta dan peraturan yang ada.

“Saya sudah dapatkan perbincangan dengan pejabat peguam negara, dan beliau sudah memberikan saranan terhadap apa yang perlu ditambah baik kerana terdapat kelonggaran terhadap akta sedia ada kini,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes kematian, Naufal Amsyar Nabil Fikri yang didakwa terjatuh di rumah pengasuh.

Bapa bayi malang itu, Nabil Fikri Anwar, 28, yang memaklumkan bayi tunggalnya yang berusia 10 bulan itu telah kembali ke rahmatullah, jam 9 pagi tadi.

Menyifatkan kes berkenaan sebagai tragedi menyedihkan, Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga itu berharap kejadian sama tidak berulang.

Justeru katanya, pelaksanaan dasar baharu sedang dikenalpasti di peringkat Kementeriannya untuk dibincangkan bersama jemaah Kabinet.

“Saya sungguh sedih dengan tragedi seperti ini. Sedangkan anak kecil ini harus dijaga dengan baik demi masa depan mereka.

“Ini satu tragedi, dan untuk itu saya minta pihak kementerian saya mengenalpasti sebarang dasar yang boleh menangani masalah kecuaian ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kenyataan kes kahwin bawah umur selepas siasatan selesai

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 18 JULAI: Kerajaan akan mengeluarkan kenyataan berkaitan kes perkahwinan bawah umur membabitkan kanak-kanak perempuan 11 tahun di Gua Musang, Kelantan, selepas siasatan selesai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkara itu masih dalam siasatan pelbagai agensi dan kerajaan hanya bertindak sebagai penyelaras.

“Adalah tidak bijak untuk menghukum sesuatu isu sebelum semua bukti dikumpulkan dan penyiasatan diselesaikan.

“Sebagai kerajaan, kami perlu bertindak mengikut undang-undang persekutuan. Inilah yang dimaksudkan dengan kedaulatan undang-undang.

“Tindakan akan diambil untuk kes ini mestilah berasaskan kepada bukti,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam kenyataan.

Beliau berkata, kerajaan mengambil maklum tekanan dan kebimbangan dibangkitkan insiden seorang lelaki tempatan 41 tahun didakwa berkahwin dengan seorang gadis warga Thailand 11 tahun yang tinggal di Gua Musang, Kelantan.

Bagaimanapun, katanya, pendirian pihaknya jelas dan konsisten seperti kenyataan dikeluarkan kementerian, pada 2 Julai lalu.

“Kami tegas menentang perkahwinan kanak-kanak dan sedang mengambil langkah menaikkan usia minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

“Pegawai kami sedang mengusahakannya dan kedudukan berkenaan isu ini tidak berubah,” katanya.

Walaupun memahami kemarahan ditimbulkan berkenaannya, beliau berkata, penting untuk semua pihak tidak membiarkan perasaan peribadi menentukan tindakan patut diambil.

“Tidak adil menghukum seseorang melalui media sosial hanya kerana perasaan kita berkenaan isu ini,” katanya.

Sebelum ini, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan akan membentangkan pindaan untuk menaikkan had umur perkahwinan bagi kanak-kanak perempuan daripada 16 tahun kepada 18 tahun, pada persidangan Dewan Rakyat bermula 16 Julai ini.

Categories
NASIONAL

Kerajaan pandang serius masalah penyakit mental

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 JUN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memandang serius dengan masalah penyakit mental di negara ini yang kurang mendapat perhatian.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, masalah terbabit perlu diketengahkan dan perlu diatasi segera.

“Masalah ini perlu diketengahkan serta diberi perhatian yang serius, jangan hanya apabila berlaku sesuatu tragedi sehingga mengorbankan nyawa termasuk kanak-kanak, baharu kita nak bertindak.

“Kita perlu mengatasinya daripada peringkat akar umbi lagi dan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perumahan perlu bekerjasama kerana persekitaran juga menjadi penyumbang kepada masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kes seorang ibu yang mengelar leher anak bongsunya berusia 19 bulan di FELDA Jengka 13, Maran minggu lalu dipercayai berpunca daripada masalah kemurungan.

Pada masa sama, Wan Azizah berkata berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bilangan kes penganiayaan dan penderaan kanak-kanak di negara ini dilaporkan meningkat hampir setiap tahun.

Katanya, terdapat 4,453 kes bagi tahun 2015 dan jumlah itu meningkat sebanyak 529 kes kepada 4,982 kes pada tahun 2016 manakala sebanyak 5,422 kes dilaporkan pada tahun lalu.

“Penganiayaan dan penderaan kanak-kanak perlu dilihat sebagai pelanggaran hak kanak-kanak dan menjadi tanggungjawab semua untuk membendungnya daripada terus berlaku demi kepentingan dan keselamatan mereka pada setiap masa,” katanya.

=EZY=

 

Categories
NASIONAL

5 kementerian – UNICEF kerjasama wujud pelan peduli kanak-kanak

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 22 JUN: PUTRAJAYA: Lima kementerian bersama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bekerjasama mewujudkan sebuah pelan bagi menangani isu melibatkan kanak-kanak.

Inisiatif itu melibatkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, rangka Pelan Hala Tuju Kesejahteraan Kanak-Kanak yang dijangka memakan masa sebulan itu bakal memberi fokus isu kanak-kanak bantut, pelarian, penderaan seksual dan kebajikan secara menyeluruh.

“Langkah itu diambil demi membela nasib kanak-kanak sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan bagi mencari pendekatan yang berkesan dalam menangani masalah ini.

“Mesyuarat antara kementerian hari ini adalah untuk menunjukkan kesungguhan kita dalam menyelesai serta menangani permasalahan ini sehingga ke akar umbi,” katanya ketika sidang media di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, semalam.

Katanya, perlu wujud keperluan membangunkan pendekatan berintegrasi bagi menangani masalah kanak-kanak bantut kerana ia bukan sahaja berkait isu kesihatan tetapi melibatkan masalah sosial.

“Kita tak layak bercakap tentang membangunkan masa depan yang lebih baik mahupun kita masyarakat penyayang jika kita abaikan mereka yang memerlukan perhatian,” katanya.

Difahamkan hal itu merujuk kepada laporan “Kanak-Kanak Pinggiran” yang diterbitkan UNICEF dimana masalah kemiskinan bandar berkait rapat dengan masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak.

Ia menunjukkan sebanyak 10 peratus kanak-kanak yang tinggal di PPR terbabit menikmati kurang daripada tiga hidangan sehari.

Categories
NASIONAL

TPM: Hormati sensiviti orang lain demi keamanan negara

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan mana-mana individu supaya menghormati sensitiviti orang lain sebelum mengeluarkan kenyataan secara terbuka.

Katanya, walaupun Malaysia mengamalkan konsep kebebasan bersuara, namun terdapat sesetengah perkara yang perlu ditapis demi memastikan keamanan negara sedia ada sentiasa terpelihara.

“Setiap daripada rakyat Malaysia perlulah sensitif terhadap perasaan orang lain walaupun kebebasan bersuara diamalkan di negara ini.

“Kita perlu jaga tutur kata, hormati tatasusila dan juga institusi Raja Berperlembagaan.

“Negara kita juga mempunyai undang-undang Raja Berperlembagaan dan ia harus dihormati oleh semua pihak,” katanya semasa sidang akhbar Program Iftar@KualaLumpur 2018 di Dataran Merdeka di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas peletakan jawatan Datuk A Kadir Jasin sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan berkuat kuasa serta merta.

Terdahulu, A Kadir dilaporkan berkata, beliau membuat keputusan itu bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan masyarakat berkaitan peranannya dalam Majlis itu serta pandangan beliau dalam blog dan kolum mingguan di akhbar Sinar Harian.

“Sebagaimana yang saya tegaskan dalam mukadimah blog saya, segala pendapat yang saya zahirkan di dalamnya adalah pendapat saya semata-mata.

“Saya menulis atas kapasiti sebagai seorang blogger dan tiada kaitan dengan sebarang jawatan yang mungkin saya pegang.

“Bagaimanapun, wartawan dan pihak lain yang memetik pandangan saya terus mengaitkannya dengan kedudukan saya sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan ,” katanya dalam kenyataan.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

TPM: Kerajaan alu pandangan bagi pembinaan Malaysia Baharu

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 10 JUN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengalu-alukan pandangan dari pelbagai pihak supaya pembinaan Malaysia Baharu dapat dipacu lebih cemerlang.

Beliau berkata, ia diperlukan kerajaan supaya pelaksaannya dapat dijayakan dengan lebih menyeluruh.

“Kita mahukan kerajaan baharu ini akan lebih mesra dan memahami semua golongan masyarakat serta berharap tiada pihak ketinggalan dalam usaha membangunkan negara ini.

“Oleh itu, peranan semua pihak sangat penting serta bermakna kepada kita,” katanya dalam Majlis Semarak Kasih Nur Ramadan Bersama Aasnaf dan Orang Kelainan Upaya (OKU) di Seri Satria, di sini, semalam.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merakamkan penghargaan kepada semua pihak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit menjayakan program pada kira-kira jam 3.30 petang bagi meraikan tetamu istimewa itu.

Katanya, ia adalah program kedua diadakan setelah program pertama, Majlis Bacaaan Yassin dan Solat Hajat, 30 Mei lalu.

Hari ini dijadual berlangsungnya Majlis Khatam al-Quran.

Categories
NASIONAL

Pelantikan Dr Wan Azizah sebagai TPM, angkat martabat wanita

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 MEI: Pelantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah satu penghargaan dan mengangkat martabat golongan wanita ke tahap tertinggi di dalam masyarakat di negara ini.

Demikian kata Naib Presiden HELWA Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Nor Azura Kamarudin Sohami dalam perutusan tahniah kepada Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) itu di atas pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam kabinet diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, selaku pemimpin wanita pertama dilantik ke jawatan itu, ia bakal merubah landskap politik Malaysia yang selama ini jawatan tertinggi pucuk kepimpinan negara hanya diisi kaum Adam.

“HELWA ABIM yakin mandat dan kepercayaan diberikan kepada Dr Wan Azizah akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam memperjuangkan hak dan peranan wanita tanpa mengira keturunan, bangsa, agama, mahupun darjat dan warna kulit, selain mengangkat golongan wanita ke tahap tertinggi di dalam masyarakat.

“Kita akan terus menyokong kepimpinan Dr Wan Azizah dalam usaha menegakkan kebenaran juga keadilan dan semoga Allah mengurniakan kesihatan berpanjangan serta memberi kekuatan dan hikmah dalam memimpin Malaysia baharu yang kita kasihi,” katanya.

Selain itu, Dr Wan Azizah yang mengangkat sumpah jawatan bersama 12 menteri lain di hadapan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V, 21 Mei lalu, turut dipertanggungjawabkan selaku Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga.

Berdasarkan manifesto PAKATAN, beliau berkata, pihaknya positif terhadap penubuhan Institut Latihan Politik dan Kepimpinan Wanita Malaysia bagi jaminan gaji sama rata buat wanita berkerjaya, penyediaan skim kredit mikro untuk usahawan wanita dan insentif penyediaan kemudahan penjagaan anak.

Katanya, pendekatan itu akan mampu melahirkan ramai lagi golongan profesional seterusnya memenuhi sasaran 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar negara.

“Golongan wanita memilih untuk tidak bekerja juga dijamin kewangan mereka melalui skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

“Semoga melalui kedudukan disandang Dr Wan Azizah, pemerkasaan undang-undang dan institusi wanita serta keluarga diharap mampu mengurangkan kadar jenayah ke atas wanita juga menjamin keselamatan mereka,” katanya.

Categories
SELANGOR

TPM: Kerajaan tak akan zalim penjarakan orang tak bersalah

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 17 MEI: Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak sesekali menzalimi mana-mana pihak dengan memenjarakan orang tidak bersalah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, apa yang dilalui suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak wajar dilalui oleh rakyat yang bermaruah.

“Kita tak boleh jadi zalim penjarakan orang tak bersalah dengan suka hati,” kata Wan Azizah pada Himpunan Merdeka Rakyat di Padang Timur, malam tadi.

Beliau berkata, Kerajaan PAKATAN sama sekali tidak boleh mengulangi apa yang dilakukan kerajaan era Barisan Nasional (BN).

Katanya, setiap individu di negara ini berhak mendapat pembelaan yang adil.

Wan Azizah turut mengulangi sokongannya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusaha mendapatkan pengampunan penuh untuk Anwar.

Semalam, Anwar dibebaskan daripada tahanan penjara setelah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menitah perkenan bahawa rayuan pengampunan penuh ke atas Anwar dibenarkan dan diberi pembebasan serta-merta.

Sebelumnya, Lembaga Pengampunan Diraja mengesahkan pembebasan Anwar yang dibuat tanpa sebarang syarat, di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur tepat jam 11.30 pagi ini.

Sejurus pembebasannya, beliau dilapor ke Istana Negara, menghadap Seri Paduka Agong, bagi menzahirkan penghargaan Anwar ke atas pembebasannya.

Categories
NASIONAL

TPM seru umat Islam tingkat ibadah sempena Ramadan

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Umat Islam di negara ini diminta merebut peluang meningkatkan amal ibadah dan kebaikan sepanjang Ramadan yang mulia ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kesyukuran harus dipanjatkan ke hadrat Allah kerana dengan rahmatnya diberi kesempatan bertemu dengan Ramadan yang penuh keberkatan.

“Ramadan kali ini hadir selepas gelombang perubahan melanda negara lantas memberi sinar harapan baru buat warganya.

“Rebutlah peluang dikurniakan untuk berlumba membuat kebaikan.

“Lakukanlah amal ibadah penuh istiqamah agar kita dapat menyucikan jiwa lantas mendapatkan keampunan dan pembebasan dari api neraka,” katanya dalam kenyataan.

Presiden KEADILAN itu berkata, semoga di akhir Ramadan nanti umat Islam di negara ini menjadi insan yang lebih beriman lagi bertaqwa.

Ini kerana, katanya, usaha mencari kebaikan dan menegakkan keadilan akan menjadikan negara dan rakyatnya lebih makmur dan sejahtera.

“Saya ucapkan selamat menyambut Ramadan Kareem kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan di serata dunia,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Jangan jadikan pendidikan bahan ‘penyedap’ politik

OLEH DATO’SERI DR. SANTHARA

Merujuk kepada ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Hutan Melintang 30 April lalu, saya menyambut baik usaha murni kerajaan mensasarkan 50 peratus rakyat memiliki diploma dan ijazah menjelang 2050.

Sasaran tersebut adalah selaras dengan status negara maju termasuk penetapan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bahawa prasyarat negara maju ialah 70 peratus penduduknya berpendidikan tinggi.

Namun dalam usaha ini, kerajaan tidak sewajarnya menumpukan kepada kelayakan akademik semata-mata tetapi haruslah berdasarkan keperluan dan kehendak negara.

Pelan jangka panjang dan pemerhatian mengenai perkara ini wajar dititikberatkan. Kerajaan juga perlu memahami dan menetapkan ke arah mana penyediaan tenaga kerja negara berdasarkan teknologi dan inovasi masa hadapan.

21.01 Konvokesyen persijilan masjid negeri (ASRI)Justeru itu, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan serta agensi-agensi di bawahnya untuk memenuhi sasaran 50 peratus rakyat memiliki ijazah menjelang 2050?

Apakah rancangan yang disediakan akan berbentuk Undergraduate Skills Programme (USP)? Mengapakah kerajaan tidak mengambil contoh dasar yang dilaksanakan di negara jiran Singapura dalam hal ini?

Singapura melaksanakan program Skills Future untuk membantu pelajar memperoleh kemahiran bagi menangani perubahan dan inovasi agar tenaga kerja mereka tidak ketinggalan berbanding negara maju yang lain.

Skills Future juga membantu menyokong rakyat di sana terutama anak muda untuk mendalami kemahiran di setiap peringkat kerjaya. Wujudkah program sebegini di Malaysia?

Saya berharap kenyataan Datuk Seri Zahid Hamidi akan menjadi realiti dan bukan setakat kenyataan politik Umno BN untuk menyedapkan hati rakyat sahaja tanpa sebarang usaha atau rujukan kerana kerajaan Umno BN tidak mempunyai peruntukan belanjawan mahupun kemahuan politik, walaupun TPM berniat baik dalam memastikan strategi tersebut berjaya.

Saya juga kurang yakin dengan kebolehan intelek profesional mahupun pengalaman menteri kabinet yang mempunyai kapasiti untuk menyokong dan menjayakan hasrat murni tersebut.

Sasaran tersebut juga tidak berpijak di bumi nyata memandangkan Kementerian Pendidikan Tinggi kekurangan peruntukan belanjawan untuk penambahan Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dalam negara.

IPTASaya mencadangkan supaya adanya kerjasama IPTA dengan IPTS untuk memastikan semua masyarakat mendapat manfaat daripada aspek lokaliti dan kos.

Pada masa yang sama, IPTS turut menyumbang bersama daripada IPTA bersaing dengan IPTS.

Ini termasuklah krisis peluang pekerjaan yang terhad sekarang.

Jika kerajaan hanya mahukan ‘angka’ untuk memenuhi Indeks Prestasi Utama (KPI) mereka, mengapakah tidak Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dimansuhkan saja dan digantikan dengan diploma (mengikut pengkhususan, sains, teknikal dan lain-lain bidang yang kritikal).

Dengan cara ini pelajar menjimatkan dua tahun pembelajaran yang kelulusannya tidak begitu diutamakan dalam pasaran pekerjaan masa kini.

* Dato’ Seri Dr. Santhara adalah Pengerusi Biro Integrasi Nasional KEADILAN