Categories
NASIONAL RENCANA

Misi ke Palu uji kemampuan Airbus A400M milik TUDM dan krew

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Tepat pukul 4.50 petang waktu tempatan pada 7 Okt lalu pesawat Airbus A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selamat mendarat di Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri, Palu di Sulawesi Tengah.

Untuk mendaratkan sebuah pesawat besar itu secara manual di landasan yang rosak kerana gempa bumi serta hanya berpandukan kepada menara kawalan sementara bukanlah satu tugas yang mudah dan tidak semua juruterbang berani untuk mengambil risiko itu.

“Takut memang ada, itu saya akui, namun saya yakin dengan kemampuan pesawat Airbus A400M ini yang memang direka untuk pendaratan jarak singkat walaupun dengan muatan yang berat,” kata Pegawai Memerintah 22 Skuadron yang juga juruterbang pesawat itu Lt Kol Baharin Mohamad kepada media Malaysia di sini.

Baharin dengan dibantu pembantu juruterbang Mejar Inamul Hasan Shuhaimi Basha berjaya mendaratkan pesawat dengan muatan sebuah lori tangki minyak seberat 17 tan itu dan keperluan untuk mangsa bencana sekaligus mencatat sejarah baharu TUDM dalam misi di Palu.

Beliau berkata pesawat Airbus A400M dari skuadron yang berpangkalan di Subang bukan sahaja direka untuk membawa muatan berat, malah juga direka untuk mendarat dan berlepas di landasan yang pendek seperti di Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri, Palu.

Landasan di lapangan terbang itu adalah sepanjang 2,500 meter (lebih 8,000 kaki) tetapi akibat gempa yang dialami itu hanya lebih kurang 2,000 meter (lebih kurang 6,000 kaki) sahaja yang boleh digunakan, manakala kemudahan untuk membantu pesawat mendarat dengan selamat yang terhad menyebabkan juruterbang perlu melakukan pendaratan secara manual.

Menurut Baharin, pada mulanya pesawat itu hanya dibenarkan untuk membawa muatan dari Pangkalan Udara Halim Perdana Kusuma Jakarta ke Lapangan Terbang Sultan Aji Muhammad Sulaiman Balikpapan di Kalimantan.

Tetapi setelah membuat banyak perkiraan selain meyakinkan pihak berkuasa Indonesia bahawa pesawat itu mampu mendarat selamat di landasan yang pendek barulah mereka dibenarkan masuk ke Palu.

“Kita juga berjaya mendarat pada kali kedua dengan muatan kira-kira 22 tan iaitu dengan mengangkut sebuah jengkaut, muatan terberat pernah diterbangkan menggunakan pesawat Airbus A400M milik TUDM setakat ini,” katanya.

Baharin berkata kejayaan itu membawa lebih banyak keyakinan kepada TUDM untuk mendaratkan pesawat Airbus A400M di landasan pendek di mana-mana sahaja di Malaysia jika diadakan sebarang operasi atau semasa kecemasan.

Bersama take-off weight antara 120-130 tan, pesawat Airbus A400M itu memerlukan landasan sepanjang 1000 meter (3,500 kaki) untuk berlepas dan tambahan 200 meter (600 kaki) lagi untuk mendarat.

Misi bantuan kemanusiaan ke Palu di Sulawesi selama seminggu bermula 4 Okt lalu melibatkan 23 krew, dua pegawai media TUDM dan tiga anggota media tempatan.

Dalam pada itu Mejar Inamul Hasan yang lebih mesra dengan panggilan “Mejar Rock’ di kalangan krew berkata, misi di Palu berbeza dengan misi-misi lain yang pernah dilakukannya sepanjang berkhidmat di bawah No 22 Skuadron TUDM.

“Setiap misi ada cabarannya dan ia tidak akan sama, cuma kita boleh menggunakan pengalaman yang ada untuk melancarkan lagi operasi yang dibuat,” katanya yang pernah menyertai beberapa misi kemanusiaan lain di Indonesia termasuk di Aceh, di utara Sumatera.

Turut menyertai misi di Palu adalah sebuah pesawat C-130 Hercules milik TUDM yang berpangkalan di Labuan dengan membawa bantuan kemanusiaan dari Balikpapan ke Palu.

Malaysia merupakan negara Asia pertama yang membeli pesawat Airbus A400M, yang turut digunakan Perancis, Jerman, Turki dan United Kingdom.

Selain memiliki empat Airbus A400M, TUDM kini mengendalikan 14 unit C-130 Hercules dan lapan unit CN235 bagi pengangkutan udara jarak sederhana dan jauh.

Pada 28 Sept, gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 skala Richter yang berpusat di timur laut Donggala menggoncang Palu dan Donggala, Sulawesi Tengah yang disusuli dengan tsunami setinggi tiga meter. Lebih 2,000 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 30,000 orang kehilangan tempat tinggal.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Hari terbuka TUDM sempena ulangtahun ke-60

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 JUN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menganjurkan jelajah hari terbuka di pangkalan udara miliknya, sempena Hari TUDM Ke-60.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, objektif jelajah itu adalah untuk berkongsi maklumat dengan lebih dekat kepada masyarakat berhubung peranan TUDM.

“Kita akan berkongsi pengetahuan berhubung aset yang kita ada dan apa yang sudah kita belanjakan. Kita nak mereka faham supaya sentiasa bersama dan memahani tugas TUDM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wawancara Khas Panglima Tentera Udara Bersama Media Sempena Hari TUDM Ke-60 di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, pada 30 Mei lalu.

Antara acara yang akan disajikan termasuk pertunjukan udara dan ‘static display’ serta terbitan majalah khas penerangan makluman berhubung program istimewa TUDM.

Bagi sambutan tahun ini, TUDM mengangkat slogan ‘Kuasa Udara Tonggak Kedaulatan Negara’.

“Dengan kelebihan pada kuasa udara akan memberikan kita satu lonjakan atau kelebihan dalam perkara seperti keupayaan membawa pertempuran, di luar wilayah kita.

“Kita juga ingin memberikan pemahaman dengan adanya kuasa udara perbelanjaan udara tidak semestinya tinggi.

“Yang penting adalah perancangan dan pelaksanaannya terutama dalam soal penyelenggaraan serta latihan.

“Perkara itu perlu disatukan supaya kita dapat impak maksima menerusi sistem serta sumber manusia yang baik,” katanya.

Categories
NASIONAL

Naik taraf segera 40 peratus aset TUDM

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 JUN: Hampir 40 peratus aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) perlu dinaik taraf segera kerana sudah mencapai usia 20 tahun.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, perancangan teliti perlu dilakukan sebelum pembelian sebarang aset dilakukan dengan mengambilkira kedudukan kewangan dan kemampuan penyelenggaraan.

Hal itu kerana, setiap aset TUDM perlu berada pada tahap terbaik termasuk prestasi juruterbang yang mempunyai jam latihan mencukupi.

“Aset yang ada kebanyakannya sudah menjangkau usia lebih 20 tahun dan keperluan menaiktaraf adalah tinggi. Jika tidak dinaik taraf, maka ia akan meningkatkan kos penyelenggaraan.

“Kita perlu menaiktaraf supaya pesawat dapat beroperasi dengan baik dan mengurangkan kos penyelenggaraan. Jika mahu melakukan pembelian aset baru, maka kita perlu lihat tempoh jangka panjang.

“Tak guna membeli satu aset yang berkeupayaan tinggi tetapi tidak mampu menyelenggara secara efektif. Kita perlu berhati-hati melakukan perancangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wawancara Khas Panglima Tentera Udara Bersama Media Sempena Hari TUDM Ke-60 di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, pada 30 Mei lalu.

Beliau berkata, TUDM sebelum ini menangguhkan beberapa perancangan berhubung aset ketenteraan kerana kekangan belanjawan kerajaan dan menunggu kelulusan.

Ia termasuk pembelian empat pesawat rondaan maritim (MPA), pencarian pesawat tempur berbilang peranan baru (MRCA) dan rancangan masa depan untuk pesawat tempur MiG-29 Rusia.

Selain itu, katanya, TUDM kini dalam proses menaiktaraf radar pertahanan dan radar kawalan udara.

Categories
NASIONAL

TUDM: Menteri Pertahanan guna pesawat atas urusan rasmi

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 30 MEI: Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang menafikan wujudnya unsur salah guna kuasa apabila Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menggunakan pesawat TUDM ke Majlis Berbuka Puasa dan perjumpaan warga TUDM di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.

Menurutnya, kehadiran Mohamad ke majlis pada 26 Mei lalu adalah jemputan program rasmi tahunan TUDM serta perjumpaan pertama anggota TUDM bersama Menteri Pertahanan.

“Pada hari penerbangan, pesawat pengangkut TUDM A400M membawa delegasi Menteri Pertahanan dan pegawai-pegawai kanan ATM ke Butterworth. Penerbangan pesawat tersebut juga digunakan bagi memberi manfaat dan melengkapkan jam penerbangan juruterbang TUDM yang membawa pasangan berkenaan.

“Ini kerana setiap juruterbang perlu melengkapkan jumlah jam penerbangan bagi mengekalkan tahap kompetensi mereka.

“Sehubungan itu, pergerakan berkenaan juga dapat menjimatkan kos penerbangan oleh Kementerian Pertahanan bagi kedua-dua tujuan yang dinyatakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wawancara Khas Panglima Tentera Udara Bersama Media Sempena Hari TUDM Ke-60 di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang.

Jelasnya, kehadiran Menteri Pertahanan mengikuti penerbangan bersama pesawat A400M juga bertujuan memberikan pendedahan berkenaan keupayaan, prestasi, kredibiliti dan kemampuan pesawat pengangkut pelbagai guna dalam menjalankan pelbagai operasi ketenteraan disamping mengekalkan tahap kesiagaan ATM.

Sebelum ini, peguam Datuk Abu Backer Sidek membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mendakwa berlakunya salah guna kuasa terhadap aset kerajaan berkenaan penggunaan pesawat TUDM

Categories
NASIONAL

Netizen sayu saksikan Istiadat Paluan Berundur Kem Sungai Besi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 JAN: Lambakan perkongsian video memaparkan Istiadat Paluan Berundur atau penutupan Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi di laman sosial facebook yang dikesan sejak semalam menarik perhatian nitizen.

Rata-rata netizen melahirkan perasaan sayu menyaksikan rakaman saat akhir perkhidmatan pengkalan udara yang banyak memainkan peranan penting mempertahankan kedaulatan negara sejak 53 tahun lalu selepas mengambil alih Lapangan Terbang Antarabangsa Sungai Besi itu ditamatkan operasinya.

Dua video yang turut dikongsikan laman Siakap Keli itu ditonton sebanyak 64,000, dikongsi oleh 253 orang dan mengundang pelbagai komen oleh netizen.

Walaupun rata-rata netizen tidak menolak langkah Kerajaan Persekutuan memindahkan pengkalan itu ke Sendayan, Negeri Sembilan, namun keputusan menjual tapak pengkalan itu kepada negara China amat dikesali.

“Kesian, dulu mati-mati lawan komunis di sempadan. Sekarang kem askar pun kita bagi pada negara komunis. Ironiknya?,” tulis pemilik akaun facebook yang menggunakan nama Justin Modzi.

“Orang dulu berperang sampai titisan darah terakhir tawan negara. Zaman sekarang tak keluar darah pun dah jual negara,” tulis Are’a.

“Walaupun aku bukan ada darah daging dengan tentera, tapi serius aku turut sebak dan sedih,” kata Darnis Syah dan Rabuyah Sakarawi pula menulis “Paluan Berundur. Sayu sahaja dengar. Selamat bertugas di kem baru.”

Dua video itu memaparkan upacara menurunkan bendera dengan diiringi alunan lagu Bertemu Dan Berpisah yang dimainkan kumpulan pancaragam dan diikuti perarakan keluar kenderaan tentera membawa anggota berseragam isitiadat putih meninggalkan pengkalan bersejarah itu.

Categories
NASIONAL

F/A-18 D Hornet TUDM mendarat cemas di LTAK

KUCHING 28 NOV: Sebuah pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis F/A-18 D Hornet dilaporkan membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) petang tadi.

Difahamkan pesawat itu mengalami masalah pada roda sawat namun juruterbang berjaya mendaratkan pesawat dengan selamat.

Juruterbang pesawat juga dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Punca masalah teknikal itu sedang disiasat.

Pihak TUDM masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkenanan kejadian itu.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

F/A-18 D Hornet TUDM terbang lintas langsung F1 Sepang terakhir

SEPANG, 1 OKT: Empat jet pejuang F/A-18 D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sekali lagi diberi penghormatan untuk membuat terbang lintas langsung Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia terakhir di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Sebelum ini lintas langsung pertama diadakan pada perlumbaan sulung Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia kira-kira 19 tahun lepas.

Deruman enjin pesawat tempur F/A-18D Hornet dari pasukan No.18 Skuadron TUDM sudah pasti memberikan keterujaan kepada penonton yang hadir pada acara itu.

Mejar Hazman Harun, 36, yang dipertanggungjawabkan untuk mengetuai acara terbang lintas itu, berkata pertunjukan berdurasi satu minit itu melibatkan formasi tiga pesawat diikuti satu penerbangan solo berkelajuan tinggi.

FA 18 TUDM“Kami amat berbesar hati diberi penghargaan untuk melakukan sekali lagi terbang lintas buat kali terakhirnya, setelah kali pertama pada 1999 diikuti 2000 dan 2002.

“Kami akan melakukan penerbangan dalam formasi tiga pesawat diikuti sebuah pesawat yang akan membuat pertunjukan solo di mana penerbangan itu adalah serendah 250 kaki dari paras laut dan mencapai kelajuan 833 kilometer sejam,” katanya lapor BERNAMA.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Tingkat bajet aset ketenteraan demi keselamatan rakyat

OLEH MOHAMAD IMRAN ABD HAMID

SHAH ALAM, 20 MAC: Saya mengambil maklum mengenai kenyataan bekas bridiger jeneral iaitu Datuk Mohd Arshad Raji mengenai kekurangan peruntukan aset TUDM, sehingga mengakibatkan penangguhan pembelian aset dan keterpaksaan mengoptimumkan keupayaan aset ketenteraan yang sudah lapuk.

Merujuk pada Bajet 2017, Kementerian Pertahanan hanya memperoleh anggaran RM3.37 billion untuk tujuan pembangunan, iaitu berkurangan sebanyak RM473 juta berbanding Belanjawan 2016 yang asal.

Disebabkan faktor geopolitik yang semakin mencabar, ditambah lagi dengan aktiviti terorisme yang semakin menular, Malaysia memerlukan aset ketenteraan yang mencukupi dan berfungsi dengan baik bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi musuh yang tidak terjangka.

Kerajaan Persekutuan seharusnya melabur dalam industri persenjataan dan menaiktaraf teknologi kenderaan Angkatan Tentera Malaysia yang sedia ada. Pembangunan ketenteraan seharusnya berada pada tahap yang optimum, bukannya dipandang sepi oleh sesetengah pihak pemerintah.

Insiden Lahad Datu telah membuktikan keperluan untuk menyediakan logistik yang mencukupi, serta ditempatkan di kedua-kedua belah Semenanjung dan Borneo dalam jumlah aset yang mencukupi.

Tambahan pula, kejadian dua orang tentera yang terjatuh di Pulau Perak pada bulan Oktober lepas menunjukkan bahawa kerajaan seharusnya mengutamakan pembangunan infrastruktur demi keselamatan tentera yang mengawal di sempadan negara.

Saya mempertanggungjawabkan kepada kementerian atas kejadian ini oleh sebab infrastruktur yang ada di kepulauan tersebut masih tidak cukup, khusunya bekalan air, elektrik dan juga kemudahan-kemudahan komunikasi.

Di samping menambahkan peruntukan untuk pembangunan Kementerian Pertahanan terutama bagi perolehan aset ketenteraan, saya juga menggesa Kerajaan telus dalam proses pembelian aset seperti pemilihan kontrak dan pengamalan tender secara terbuka.

Saya mahu memastikan Malaysia berjaya memperoleh lebih banyak aset ketenteraan pada masa yang terdekat tanpa mencipta skandal atau unsur-unsur rasuah, kronisme dan penipuan.

*Laksamana Pertama (B) YB Mohamad Imran Abd Hamid adalah Ahli Parlimen Lumut

Categories
NASIONAL

TUDM nafi ada pesawat terhempas

BUTTERWORTH 12 MAC: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menafikan pesawatnya terhempas ketika terbang di ruang udara Sungai Dua di sini seperti yang tular di laman sosial Facebook.

Menurut kenyataan Bahagian Perhubungan Awam TUDM, kejadian seumpama itu tidak berlaku, sebaliknya pihaknya sedang menjalankan latihan sempena pembukaan dan pertunjukan udara menjelang Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2017.

“Beberapa pesawat TUDM terlibat dalam pertunjukan itu dan latihan berkenaan dijalankan mulai 8 Mac hingga 16 Mac ini.

“Latihan itu turut melibatkan simulasi letupan bom menggunakan ‘phyrotechnic demonstration’,” kata kenyataan itu.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak cemas dan membuat spekulasi sekiranya terdapat bunyi letupan dan asap tebal sepanjang tempoh latihan itu kerana ia merupakan latihan akhir juruterbang TUDM.

Seorang pengguna Facebook hari ini memuat naik status memaklumkan ternampak percikan api dan asap tebal serta mendakwa jet terhempas di kawasan sawah padi berhampiran Lebuh Raya Utara Selatan di Sungai Dua hari ini, sebelum ia menjadi tular.

TUDM

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Elak tragedi berulang, siasat insiden pesawat terhempas

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 DIS: Siasatan telus dan teliti perlu dijalankan sebagai jaminan insiden pesawat terhempas tidak berulang, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

azmin-parlimenBeliau yang juga Dato’ Menteri BEsar Selangor berkata, siasatan tersebut diperlukan sebagai asas mengenalpasti punca berlakunya insiden yang mengorbankan juruterbang TUDM di Pangkalan TUDM Butterworth, pada 5.18 petang, semalam.

“Sedih menerima berita Mejar Kayamboo Chellam, juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terkorban dalam insiden pesawat terhempas ketika cuba mendarat di Pangkalan TUDM, petang semalam.

“Siasatan telus dan teliti harus dijalankan bagi mengenalpasti punca tragedi agar tidak berulangan,” katanya di Facebook.

Dalam kejadian itu, tiga lagi parah selepas pesawat jenis Beechcraft King Air 200T dinaiki mereka terhempas ketika cuba mendarat di Pangkalan TUDM Butterworth.

TUDM dalam satu kenyataan menyatakan kejadian itu berlaku berhampiran Terminal Peluru Pangkalan TUDM, di sini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin turut merakam ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap kejadian sama tidak berulang.

“Takziah pada keluarga arwah dan seluruh warga TUDM. Doa untuk tiga kru udara yang cedera parah agar selamat,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Pesawat TUDM terhempas, 1 maut 3 cedera

BUTTERWORTH 21 DIS: Seorang juruterbang TUDM dilaporkan maut manakala tiga lagi parah selepas pesawat dinaiki mereka terhempas di Pangkalan TUDM Butterworth, pada 5.18 petang tadi.

Kejadian itu melibatkan pesawat jenis Beechcraft King Air 200T.

TUDM dalam satu kenyataan menyatakan kejadian itu berlaku berhampiran Terminal Peluru Pangkalan TUDM di sini.

bee12

Tiga mangsa cedera dimasukkan ke Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Keluarga anak mangsa kejadian itu sudah dimaklumkan TUDM

TUDM akan menubuhkan pasukan siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian itu.

Berdasarkan maklumat awal, pesawat yang digunakan bagi rondaan maritim itu terbabas ketika cuba mendarat di Pangkalan TUDM Butterworth menyebabkannya terbakar.

GAMBAR: BH ONLINE

=EZY=

Categories
NASIONAL

Pesawat latihan TUDM terhempas

SHAH ALAM 17 MEI : Sebuah pesawat latihan milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Kuantan dilaporkan terhempas berhampiran sawah padi, dekat Kampung Serum, Nenasi di Pahang.

TUDM dalam satu kenyataan media menyatakan kejadian itu dipercayai berpunca daripada masalah teknikal ketika membuat penerbangan pada jam 12.54 tengah hari, hari ini.

tudm2“Kedua-dua juruterbang pesawat itu dilaporkan selamat apabila berjaya keluar dari pesawat dengan menggunakan kerusi anjal pesawat,” kata kenyataan itu.

TUDM menyatakan menubuhkan sebuah Lembaga Penyiasatan bagi menyiasat punca kemalangan itu.

EZY