Categories
AGENDA NASIONAL

Penerbangan ihsan TUDM bawa dua pesakit jantung

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan membawa dua bayi, masing-masing berusia 11 hari dan dua bulan dari Kuching, Sarawak ke Institut Jantung Negara (IJN) di sini, hari ini.

Dalam kenyataannya, TUDM memaklumkan kedua-dua bayi bersama ibu masing-masing diterbangkan dari Pangkalan Udara Kuching dengan pesawat pengangkut A400M daripada No 22 Skuadron.

“Kedua-dua bayi itu yang masing-masing mempunyai masalah jantung Partially Obstructed Total Anomalous Pulmonary Vein Drainage dan Congenital Heart Disease of Transposition of Great Arteries sebelum ini mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Pesawat yang berlepas dari Pangkalan Udara Kuching tiba kira-kira 6.50 pagi tadi di Pangkalan Udara Subang dan dibawa ke IJN dengan diiringi pegawai dan petugas perubatan daripada HUS,” demikian menurut kenyataan itu.

TUDM mendoakan agar kedua-dua bayi berkenaan dapat menjalani rawatan dengan segera serta diberikan kesembuhan dan kembali sihat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TUDM bangunkan skuadron pesawat tanpa pengendali

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menubuhkan satu skuadron untuk pengoperasian sistem pesawat tanpa pengendali (UAS) dalam tempoh terdekat.

Panglima TUDM Jen Datuk Seri Ackbal Abdul Samad berkata skuadron UAS itu akan mengambil alih perjawatan No 11 Skuadron yang dikhususkan bagi pesawat SU-30MKM dengan skuadron jet pejuang itu pula akan diperjawatkan dengan perjawatan No 12 Skuadron.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena Hari Ulang Tahun TUDM yang ke-62 hari ini yang bertemakan ‘Berupaya Bersiaga, Kedaulatan Terjaga’ di laman rasmi Facebook TUDM.

Sementara itu dari segi atur gerak aset udara, menurutnya TUDM telah mengadakan lebih 42 misi penghantaran udara membawa 270 tan keperluan, antaranya barangan perubatan, spesimen klinikal tambahan dan pakaian perlindungan PPE untuk kegunaan kumpulan barisan hadapan di Sabah dan Sarawak.

“Alhamdulillah, kesemua misi penghantaran udara ini telah dapat dilaksanakan dengan lancar sekaligus membuktikan TUDM sentiasa bersedia, komited dan sentiasa dalam keadana siap-siaga sebilang masa,” katanya.

Sumber Grafik: TUDM

Beliau berkata aset TUDM telah diatur gerak untuk membuat pengawasan dan rondaan udara di perairan Selat Melaka, Laut China Selatan serta Laut Sulu.

“TUDM berjaya mengesan beberapa buat bot warga asing di perairan Selat Melaka dengan ratusan imigran,” kata Ackbal sambil mengucapkan tahniah kepada kesemua warga TUDM yang terlibat dalam operasi berkenaan.

Pada 16 April, Bernama melaporkan tindakan pantas pesawat Hercules C-130 dari Pangkalan Udara Subang berjaya mematahkan cubaan seramai 200 pendatang tanpa izin daripada memasuki perairan negara.

Selain itu mengenai pelan transformasi Air Force Next Generation selama 10 tahun yang akan tamat pada hujung tahun 2020, beliau berkata ia akan disusuli dengan satu pelan strategik baharu iaitu Pelan Pembangunan Keupayaaan TUDM 2055 (CAP55).

Beliau berkata CAP55 merupakan pelan jangka panjang selama 35 tahun yang merangkumi pembangunan keupayaan, penstrukturan semula aset ketumbukan dan sumber manusia.

“CAP55 fasa 1 akan bermula pada bulan Januari tahun depan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TUDM hantar pulang 19 rakyat tempatan bebas Covid-19

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan membawa pulang 19 rakyat Malaysia dari Sabah, Sarawak dan Labuan yang disahkan bebas Covid-19 setelah selesai menjalani kuarantin 14 hari di pusat kuarantin sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

TUDM dalam kenyataan memaklumkan kesemua mereka terdiri daripada penuntut universiti dan yang bekerja di luar negara itu turut menjalani saringan kesihatan sebelum menaiki pesawat pengangkut A400M dan berlepas dari Pangkalan Udara Subang di sini, semalam.

“Menerusi penerbangan itu, TUDM menghantar mereka di tiga lokasi iaitu ke Kuching, Kota Kinabalu dan Labuan sebelum penghantaran ke lokasi penempatan di daerah kediaman masing-masing yang diuruskan agensi di bawah kerajaan negeri dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Selain penghantaran pulang individu berkenaan, pesawat A400M turut melaksanakan penghantaran barang-barang bantuan alatan perubatan, barangan keperluan peralatan perlindungan diri (PPE) serta makanan ke Labuan, Sabah dan Sarawak,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, sehinggga kini TUDM, melalui enam penerbangan telah menghantar pulang 159 rakyat Malaysia berasal dari Labuan, Sabah serta Sarawak yang pulang dari luar negara.

Penghantaran itu adalah usaha sama melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan TUDM.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

TUDM tubuh lembaga siasatan kemalangan Palapes Udara

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan melibatkan 29 pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Udara dan tiga jurulatih di Bukit Jugra, Banting, Selangor, petang semalam.

Markas TUDM dalam satu kenyataan memaklumkan 25 pegawai kadet Palapes dan tiga jurulatih yang cedera dalam insiden tersebut dibenarkan keluar dari hospital, awal pagi ini.

“Sementara itu, seorang pegawai kadet masih meneruskan rawatan di Hospital Klang dan tiga di Hospital Banting.

“TUDM akan sentiasa memastikan pemantauan berterusan dan memberi bantuan yang sebaiknya kepada semua yang terlibat dalam insiden tersebut,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, trak tiga tan dinaiki kesemua mangsa hilang kawalan dan terbalik dipercayai akibat brek kenderaan milik TUDM itu gagal berfungsi ketika menuruni bukit selepas selesai menghantar barang di kawasan hutan Bukit Jugra.

Pegawai kadet Palapes udara dan jurulatih yang terbabit merupakan kumpulan pendahuluan untuk persediaan fasa Latihan Medan bagi Latihan Kem Tahunan Palapes Udara yang bermula hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ackbal dilantik panglima baharu TUDM

SUBANG, 3 JAN: Timbalan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad dilantik sebagai Panglima TUDM ke-19, berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Jeneral Tan Sri Affendi Buang yang dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baharu, berkuat kuasa semalam.

Upacara pemakaian pangkat Jeneral kepada Ackbal dilakukan sendiri Affendi di Pangkalan Udara Subang, di sini, selain menyerahkan tongkat kuasa Panglima TUDM dalam majlis serah terima tugas jawatan nombor satu TUDM itu.

Sementara itu, Affendi dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Ackbal yang menurutnya merupakan calon paling sesuai untuk menerajui TUDM.

“Saya yakin Ackbal akan dapat meneruskan legasi kecemerlangan TUDM dan seterusnya memimpin TUDM ke arah wawasan untuk menjadi satu kuasa yang unggul,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Siswazah lepasan diploma digalak sertai TUDM

IPOH, 15 JUN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggalakkan siswazah baharu yang berkelulusan diploma menyertai pasukan berkenaan, kata Panglimanya, Jeneral Tan Sri Affendi Buang,

Beliau berkata dengan penyertaan lebih ramai siswazah lepasan diploma, ia dapat menjadikan anggota TUDM lebih berkualiti dan berkelayakan selain mereka akan memperoleh bayaran gaji serta elaun lebih tinggi berbanding menyertainya dengan hanya kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Di samping itu, mereka (siswazah lulusan diploma) akan menjalani latihan ketenteraan dalam jangka masa pendek sahaja dan ini sekali gus memberi kelebihan kepada mereka untuk mencapai tahap atau lesen kepakaran dalam masa yang singkat sahaja.

“Pada masa yang sama dengan kelayakan (tinggi) yang ada, ia dapat memberi peluang kepada mereka untuk menjalani kursus ketenteraan di dalam dan luar negara,” katanya

Affendi berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TUDM Siri 60/2019 di Akademi Tentera Udara Ipoh di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 336 perajurit muda udara termasuk 42 pelatih wanita menamatkan latihan asas ketenteraan selama enam bulan yang bermula sejak 1 Januari lalu dengan pelbagai latihan asas ketenteraan seperti kawad kaki, pengendalian senjata, latihan menembak, merentas halangan dan latihan hutan.

Selain itu, perajurit muda turut didedahkan dengan pelbagai modul akademik antaranya peranan dan organisai TUDM, pengetahuan am keselamatan dan tata tertib, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan etika tentera.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

TUDM rancang peroleh helikopter baharu ganti pesawat Nuri

 

KUALA LUMPUR, 31 Mei : Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merancang untuk memperoleh helikopter baharu bagi menggantikan pesawat Nuri sebagai tambahan kepada aset sedia ada.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Panglima TUDM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata, perolehan berkenaan adalah terbuka kepada semua jenis helikopter termasuk pesawat Eurocopter EC725.

Beliau, bagaimanapun berkata TUDM sentiasa mengoptimumkan keupayaan pengoperasian aset sedia ada serta meningkatkan kebolehan pasukan itu.

Ditanya mengenai sama ada TUDM berminat memperoleh pesawat Yakovlev Yak-130 semasa lawatan beliau ke Rusia pada April lepas, Affendi berkata, proses perolehan pesawat penggempur ringan itu masih di peringkat awal.

“Saya hanya menyaksikannya (pesawat Yak 130) pada Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019 baru-baru ini, dan saya ke sana hanyalah untuk memenuhi jemputan pihak Rusia untuk memperlihatkan pesawat berkenaan secara lebih dekat terutamanya sistem radar dan persenjataan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama dalam wawancara khas sempena Hari Ulang Tahun (HUT) TUDM ke-61 yang bakal disambut esok.

Pesawat berkenaan dibangunkan pada April 1996 mula memasuki perkhidmatan Tentera Udara Rusia pada 2009.

Pesawat berkelajuan maksimum 1,037 kilometer sejam (km/j) dan berkemampuan membawa sistem persenjataan peluru berpandu udara ke udara serta udara ke darat, Yak-130 menjadi pesaing utama beberapa pesawat jenis sama seperti Tejas dan FA-50/T-50 andai kerajaan Malaysia berhasrat memperkukuhkan aset TUDM pada masa akan datang.

Ditanya mengenai perkembangan projek pembangunan semula kemudahan di Pangkalan Sendayan, Negeri Sembilan, beliau berkata projek berkenaan masih belum disiapkan sepenuhnya.

“Ketika ini, penyediaan kemudahan berada di peringkat akhir dan menunggu sijil perakuan siap dan pematuhan,” katanya. -BERNAMA

Categories
RENCANA

Cabaran juruterbang TUDM di kawasan bencana

LANGKAWI, 29 MAC: Usaha mendaratkan pesawat Airbus A400M di kawasan bencana gempa bumi di Palu, Indonesia mendapat pengiktirafan antarabangsa atas kecekapan dan kemahiran juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat pendaratan di landasan yang hampir tidak boleh digunakan selepas retak akibat bencana itu.

Kejayaan itu sekali gus membolehkan pesawat pengangkut terbesar itu membuat pendaratan pesawat yang penuh dengan muatan kargo di kawasan itu ketika terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan dan bencana.

Berikutan prestasi cemerlang serta tahap penggunaan yang tinggi, Skuadron Ke-22 TUDM mendapat pengiktirafan daripada Airbus dalam satu majlis semalam atas kejayaan mereka merakam jam penerbangan paling tinggi dalam kalangan semua pengendali A400M di seluruh dunia.

Pegawai Memerintah Skuadron Ke-22 TUDM, Lt Kol Yusrizal Zain, 43, berkata sebahagian landasan telah rosak dan menyebabkan A400M sukar untuk mendarat kerana kawasan landasan yang terhad.

”Pada mulanya, pesawat ini tidak dibenarkan mendarat di kawasan berkenaan namun selepas membuat analisis dan perkiraan, kami mendapati pesawat ini mampu untuk masuk landasan dan melaksanakan tugas operasi kemanusiaan dan bencana di Palu,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian sempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) di Pusat Pameran Mahsuri Antarabangsa (MIEC), di sini semalam.

Yusrizal berkata, hanya satu pertiga landasan rosak dan menggunakan lebih kurang 2,000 meter landasan yang tinggal untuk mendarat.

“Oleh itu, pesawat ini terbukti mampu beroperasi di landasan yang rosak atau tidak diturap dan lebih pendek kerana reka bentuk dan teknologinya,” katanya.

LANGKAWI, 28 Mac — Pegawai Memerintah Skuadron Ke-22 TUDM, Left Kol Yusrizal Zain yang membawa pesawat A400M mendapat prestasi cemerlang merakam jam penerbangan paling tinggi dalam kalangan semua pengendali A400M di Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) edisi ke-15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini.–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Pesawat berkenaan membolehkan Malaysia menyokong pelbagai operasi kemanusiaan dengan lebih efektif berbanding dahulu kerana TUDM memiliki keupayaan untuk terbang lebih jauh dan pantas sambil membawa berat bebanan lebih tinggi berbanding pesawat lain.

“Walaupun A400M secara idealnya lebih sesuai digunakan untuk menyokong misi kemanusiaan di rantau Asia Pasifik, namun ciri pesawat yang serba boleh akan memantap dan mempertingkatkan keupayaan operasi TUDM,” katanya.

Ditanya berkenaan jumlah misi kemanusiaan dan bencana yang pernah dijalankan A400M, Yusrizal berkata, pesawat berkenaan telah melaksanakan enam misi bantuan kemanusiaan dan bencana sejak 2017.

Empat pesawat yang mula diterima secara berperingkat sejak Mac 2015 itu turut pernah melaksanakan tugas bagi mengisi bahan api pesawat-pesawat tempur milik TUDM di udara.

LIMA’19 yang bermula pada Selasa lepas dan akan berkahir pada 30 Mac. Venue pameran ialah di MIEC dan Resorts World Langkawi (RWL).

Sejumlah 406 syarikat – 206 tempatan dan 200 asing – yang kebanyakannya berkaitan pertahanan, mengambil bahagian dalam LIMA’19. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Dua juruterbang Hawk TUDM catat rekod dunia terbang lama

LANGKAWI, 28 MAC: Dua juruterbang pesawat Hawk 208 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), mencatat rekod dunia durasi penerbangan pesawat Hawk paling lama, iaitu empat jam 12 minit yang dilakukan pada Ogos 2016.

Mejar Fairul ‘Gillette’ Mohd Rustham, 33 dan Mejar Zulkifli ‘Steady’ Mohamad, 38 daripada No 15 Skuadron di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang mengatasi rekod bekas ketua skuadron Tentera Udara Diraja Britain, John Hurrell, yang mencatatkan tiga jam 56 minit pada 1988.

Kejayaan mereka diiktiraf syarikat pertahanan dan aeroangkasa Britain, BAE Systems yang menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini.

Mengulas rekod berkenaan kepada Bernama, Fairul berkata, mereka ketika itu melaksanakan operasi pemintasan di Laut China Selatan.

“Kami berlepas dari Pangkalan TUDM Kuantan, Pahang untuk membuat tinjauan di Laut China Selatan dan sememangnya tidak pernah menduga akan berada dalam pesawat selama itu,” katanya.

Beliau berkata lazimnya juruterbang Hawk hanya terbang sekitar satu jam dan mereka tidak dilatih untuk terbang selama itu.

“Kebiasaannya kami terbang dalam pesawat sekitar sejam atau sejam lebih, itulah tempoh maksimum untuk menerbangkan pesawat. Hari itu adalah hari operasi pemintasan, maka kami terpaksa menerbangkan pesawat melangkaui had,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pesawat Hawk kebiasaannya digunakan untuk melatih juruterbang baharu.

Pengiktirafan daripada BAE itu merupakan yang kedua diterima oleh dua juruterbang terbabit. Kali pertama ialah pada 2 Mac lalu daripada TUDM.

Sejarah perkhidmatan pesawat Hawk 208 TUDM bermula pada 15 April 1994 selepas pasukan itu menerima dua pesawat pertama hasil memorandum persefahaman yang dimeterai oleh negara, pada 10 Disember 1990.

LIMA’19 yang berlangsung di MIEC dan Resorts World Langkawi bermula pada Selasa sehingga Sabtu ini menyaksikan 406 syarikat pertahanan dan komersil dari 32 negara mengambil bahagian.

Pameran LIMA’19 edisi ke-15 ini dianjurkan bersama oleh EN Projects (M) Sdn Bhd, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan bertemakan ‘Defence and Commercial Connecting Intelligence’. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pilatus PC-7 MK II selamat lakukan pendaratan cemas

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 JAN: Sebuah pesawat latihan milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis Pilatus PC-7 MK II yang berpangkalan di Kolej Tentera Udara (KTU), selamat mendarat dalam kecemasan di landasan KTU, semalam.

TUDM dalam kenyataan berkata, pesawat itu diterbangkan seorang pelatih dari Institut Penerbangan 1 (INSPEN 1) yang sedang melaksanakan penerbangan solo, pada waktu malam (night flying).

“Pesawat latihan itu mula terbang pada jam 10.14 malam dan mengalami kecemasan semasa mendarat, pada jam 10.38 malam.

“Bagaimanapun, pesawat berjaya mendarat dan pelatih penerbangan terbabit dengan insiden ini disahkan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

TUDM memaklumkan pihaknya akan menubuhkan satu pasukan penyiasatan bagu mengenal pasti punca kejadian dengan lebih terperinci.

Categories
NASIONAL

TUDM terbangkan bayi berusia 31 hari ke IJN

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG, 21 NOV: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan penerbangan ihsan membawa seorang bayi berusia 31 hari dari Kuala Terengganu ke Pangkalan Udara Subang bagi mendapatkan ventilator serta rujukan pakar di Institut Jantung Negara (IJN).

Bayi kepada Zulaiha Mohd Ghani ini diterbangkan menggunakan pesawat CN 235 daripada Detasmen No 1 Skuadron yang beroperasi di Pangkalan Udara Subang hari ini.

Pesawat dikendalikan Juruterbang Kapt Emy Hazrie Nor Azmi TUDM dan Kapt Mohamed Hafizan Mos TUDM selaku pembantu juruterbang bersama lima orang anak kapal berlepas dari Kuala Terengganu pada jam 8.00 pagi dan selamat mendarat pada jam 9.10 pagi di Pangkalan Udara Subang.

Turut mengiringi pesakit adalah ibu kepada bayi dan dua orang doktor iaitu Dr Muhammad Hafiz Lutfi Yahya serta Dr Teng Cheah Herng.

Foto Sumber: Twitter TUDM

“Telah menjadi tanggungjawab TUDM di dalam memberikan komitmen serta kesungguhan yang tinggi bagi memenuhi keperluan kebajikan masyarakat seumpama ini.

“Seluruh warga TUDM mendoakan agar pesakit ini diberikan kesembuhan seperti sedia kala. Tahniah buat juruterbang dan anak kapal pesawat CN 235 dalam melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan jayanya,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kekangan kewangan halang pelaksanaan penuh perancangan pembangunan TUDM

KUCHING, 27 OKT: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempunyai perancangan pembangunan masa depan tetapi kekurangan peruntukan menjadi penyebab utama ia belum dapat dilaksanakan sepenuhnya, kata Panglima Tentera Udara Tan Sri Affendi Buang.

“Kami berharap dengan peruntukan yang lebih banyak kami bokeh meningkatkan pembangunan aset kami.

“Buat masa ini kami mengoptimumkan operasi aset-aset kami yang sedia ada,” katanya ketika bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan pertunjukan udara oleh pesawat TUDM sempena pameran TUDM di Pangkalan Udara Kuching di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata TUDM tidak menghadapi masalah kekurangan anggota kerana ramai yang berminat dan memohon untuk menyertai TUDM.

Katanya, pengambilan anggota TUDM dibuat berdasarkan kelayakan pemohon dan tidak berasaskan kaum dan negeri.

Mengenai pameran dan pertunjukan udara sempena sambutan ulang tahun ke-60 TUDM, beliau berkata mendapat sambutan yang sangat baik daripada orang ramai.

Affendi berkata pertunjukan udara adalah yang pertama kali pernah dilangsung di sini, dan menambah bahawa ia bukan mudah diadakan memandangkan kesibukan trafik udara.

Sebelum ini ia diadakan di Pangkalan Udara Butterworth.

Lebih 10,000 orang hadir untuk menyaksikan pertunukan udara dan pameran tersebut termasuk Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong.

Pelbagai aktiviti lain turut diadakan sempena pameran sehari itu, termasuk pameran statik pesawat TUDM di kawasan dispersal.

SUMBER: BERNAMA

FOTO SUMBER: TWITTER TUDM