Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar guna katil ICU hospital seluruh negara bawah 50 peratus

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan serta 11 negeri lain adalah di bawah 50 peratus setakat 20 Feb, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata negeri-negeri itu adalah Perlis; Kedah; Pulau Pinang; Perak; Selangor; Negeri Sembilan; Pahang; Terengganu; Kelantan; Sabah dan Sarawak.

“Katil ICU yang disediakan di Putrajaya adalah enam dan hanya mencatatkan satu penggunaan manakala bagi Labuan sebanyak tujuh katil disediakan dan tidak mencatatkan sebarang penggunaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara negeri yang mencatat kadar peratusan penggunaan katil ICU yang rendah ialah Negeri Sembilan iaitu lapan peratus; Sarawak (13 peratus); Pahang (14 peratus); Kedah (15 peratus); Putrajaya (17 peratus); dan Terengganu (20 peratus).

Beliau berkata secara keseluruhan, Kementerian Kesihatan mendapati kapasiti fasiliti kesihatan di hospital awam masih boleh menampung kes COVID-19 dan bukan COVID-19.

Namun begitu, setiap negeri telah bersiap siaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes, katanya sambil memberitahu tiga negeri menunjukkan peratusan penggunaan katil ICU lebih 50 peratus iaitu Johor (70 peratus); Kuala Lumpur (65 peratus); dan Melaka (50 peratus).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 26,832 kes COVID-19 dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif kepada 3,221,680 dan daripada jumlah kes baharu itu, 1,438 kes dimasukkan ke hospital.

Beliau berkata bagi kes baharu, 133 daripadanya adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 26,699 terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Individu yang belum menerima vaksin dan tidak pernah dijangkiti COVID-19 adalah kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan COVID-19,” katanya.

Mengenai kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 18,459 kes dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif sembuh di negara ini adalah 2,937,655.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pendaftaran kanak-kanak di PICKids lepasi angka sejuta

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) kini melepasi sejuta individu iaitu 28 peratus bagi kohort kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun selepas tiga minggu pelaksanaan program itu, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menerusi akaun Twitternya hari ini, beliau berharap ibu bapa tidak lagi mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ bagi mendaftarkan anak mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

“Harap ibu bapa tidak lagi mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ sebab kadar kemasukan hospital kanak-kanak mula meningkat. Daftarkan anak anda untuk #PICKids hari ini!” menurut hantaran itu.

Beliau turut berkongsi infografik pendaftaran PICKids setakat semalam yang menyaksikan Kuala Lumpur mencatatkan jumlah tertinggi diikuti Pulau Pinang dan Putrajaya.

Setakat semalam, sebanyak 513,393 individu atau 14.5 peratus populasi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui program itu yang mula dilaksanakan pada 3 Februari lalu.

Menerusi satu lagi ciapan, Khairy berkata lebih banyak kempen ‘outreach’ dan kesedaran diperlukan dalam menggalakkan lebih ramai penerima yang layak menjalani saringan kesihatan percuma di bawah Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) berbuat demikian.

Beliau berkata hanya 561,000 daripada 4.9 juta rakyat Malaysia yang layak telah menjalani saringan kesihatan percuma di bawah skim PeKa B40.

“Lebih banyak kempen ‘outreach’ dan kesedaran diperlukan terutama dalam kalangan komuniti yang terpinggir.

“Butiran lanjut boleh didapati di @protecthealthco (ProtechHealth Corporation). Marilah kita sama-sama mencegah NCD (penyakit tidak berjangkit),” katanya.

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 500,000 kanak-kanak sudah terima vaksin Covid-19

 

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Sebanyak 513,393 individu atau 14.5 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 13,992,391 atau 59.5 peratus populasi dewasa di dalam negara pula telah menerima dos penggalak COVID-19 dan seramai 22,944,158 atau 97.5 peratus lengkap vaksinasi manakala 23,221,715 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,798,806 individu atau 90 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,884,882 atau 92.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 128,153 dos suntikan vaksin telah diberikan semalam melibatkan 61,230 suntikan dos pertama, 464 suntikan dos lengkap dan 66,459 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 66,148,498.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 37 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Johor merekodkan sembilan kes, diikuti Selangor (tujuh), Kedah (enam), Perak dan Sabah masing-masing empat kes, Pulau Pinang (tiga), Pahang (dua) dan satu kes masing-masing di Melaka dan Wilayah Persekutuan Labuan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar kematian pesakit tanpa vaksin lebih tinggi banding penerima vaksin, dos penggalak

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Kadar kematian pesakit Covid-19 dalam kalangan mereka yang tidak mengambil vaksin adalah jauh lebih tinggi berbanding mereka yang mengambil vaksin lengkap dan mendapat dos penggalak.

Menurut data Kematian per (bagi setiap) 100,000 Populasi mengikut Status Vaksinasi bagi 1 Jan hingga semalam yang dikongsi oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Twitternya, menunjukkan kadar kematian dalam kalangan pesakit berumur antara 40 hingga 49 tahun yang tidak divaksin adalah sebanyak 92.09 bagi setiap 100,000 penduduk.

Kadar itu jauh lebih tinggi berbanding kadar kematian 3.08 kematian bagi pesakit yang lengkap vaksin dan 3.18 kematian bagi kalangan pesakit yang mengambil dos penggalak bagi kategori usia yang sama.

Bagi pesakit berusia 80 tahun ke atas, kadar kematian ialah 167.06 dalam kalangan yang tidak mengambil vaksin, berbanding 119.34 kematian yang mempunyai vaksin lengkap dan 42.00 kematian bagi pesakit yang mendapat dos penggalak.

Menurut data itu lagi, kadar kematian bagi pesakit berumur 18 hingga 29 tahun yang tidak mengambil vaksin ialah 8.14 berbanding 0.98 bagi penerima vaksin lengkap dan 0 bagi pesakit yang mengambil dos penggalak.

Bagi kumpulan pesakit berusia 30 hingga 39 tahun, data tersebut menunjukkan kadar kematian adalah 14.00 bagi setiap 100,000 penduduk berbanding 1.90 kematian bagi yang menerima vaksin lengkap manakala 4.18 kematian bagi pesakit yang mengambil dos penggalak.

Data itu menunjukkan kadar kematian sebanyak 49.46 bagi setiap 100,000 penduduk dalam kalangan pesakit yang tidak mengambil vaksin, 6.62 kematian dalam kalangan lengkap vaksin dan 4.41 kematian bagi yang mengambil dos penggalak bagi kumpulan pesakit berusia 50 hingga 59 tahun.

Bagi pesakit berusia 60 hingga 69 tahun, data itu mendedahkan kadar kematian adalah sebanyak 116.20 dalam kalangan mereka yang tidak mengambil vaksin, 14.58 dalam kalangan yang telah vaksin lengkap manakala 5.60 bagi mereka yang telah mendapatkan dos penggalak.

Dalam kumpulan usia 70 hingga 79 tahun pula, kadar kematian dicatatkan adalah 74.97 dalam kalangan mereka yang tidak mendapat vaksin, 44.29 bagi mereka yang telah divaksin dan 8.16 bagi mereka yang telah mendapat dos penggalak.

Sementara itu, dalam ciapan itu Khairy berkata berdasarkan data tersebut menunjukkan keberkesanan dos penggalak menghadapi gelombang Omicron.

“Booster memberi perlindungan yang terbaik daripada kematian dan gejala serius Covid-19.

“Berhenti membaca cerita konspirasi sampah di FB. Lindungi diri. Dapatkan dos penggalak,” kata Khairy.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kanak-kanak berisiko tinggi dijangkiti virus, perlu vaksin elak radang organ

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Kanak-kanak dan remaja bawah 18 tahun yang dijangkiti Covid-19 boleh mengalami Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) iaitu keadaan kritikal yang boleh berlaku apabila terjadinya keradangan organ dalaman terutamanya jantung, paru-paru dan otak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejak Jun 2020 hingga Disember 2021, sebanyak 174 kes kanak-kanak bawah 18 tahun telah mengalami MIS-C akibat jangkitan Covid-19 dengan mereka yang berusia bawah setahun melibatkan 24 kes, 1 hingga bawah 5 tahun (38 kes), 5 hingga bawah 9 tahun (64 kes), 9 hingga bawah 12 tahun (36 kes) dan 12 tahun ke atas (11 kes).

“Sehingga kini, tujuh kes (4 peratus) kematian kanak-kanak telah disebabkan oleh MIS-C susulan jangkitan Covid-19. Kanak-kanak juga berisiko mendapat Long-Covid (sindrom Covid-19 selepas fasa akut jangkitan),” katanya dalam kenyataan perkembangan Covid-19, hari ini.

Beliau berkata kumpulan kanak-kanak yang berisiko tinggi untuk mengalami jangkitan Covid-19 yang serius adalah golongan pesakit kanak-kanak yang mempunyai penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, lemah sistem imun badan, kencing manis, sedang menjalani rawatan menggunakan steroid (seperti pesakit autoimun dan transplan), kanser, asma dan obesiti.

Memandangkan kanak-kanak kini merupakan golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19, beliau berkata antara kaedah utama bagi mengurangkan risiko berkenaan adalah dengan kawalan kendiri dan vaksinasi.

Dr Noor Hisham berkata vaksin Covid-19 Comirnaty® (Pfizer-BioNTech) telah diluluskan penggunaannya untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di Malaysia dan daripada kajian klinikal, keberkesanannya adalah sebanyak 91 peratus serta berupaya untuk meningkatkan tindak balas imun yang tinggi terhadap penyakit Covid-19.

Katanya, ini dapat mengurangkan risiko penyakit Covid-19 yang serius.

“Pemberian vaksin kepada golongan kanak-kanak yang berusia 5 hingga 11 tahun ini adalah tepat pada masanya untuk melindungi kumpulan ini khususnya kanak-kanak yang mempunyai komorbid. Kanak-kanak golongan umur 5 hingga 11 tahun perlu diberi dua dos vaksin dengan sela masa lapan minggu selepas dos pertama,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pola penggunaan katil harian pesakit Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun semakin meningkat berikutan kenaikan kes jangkitan virus itu di dalam negara dengan peningkatan dilihat lebih ketara pada Februari 2022 terutama bagi kategori dua hingga lima.

Katanya, bermula awal Januari hingga pertengahan Februari 2022, bilangan kanak-kanak bawah 12 tahun yang dijangkiti Covid-19 adalah seramai 50,826 orang.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah itu, 15,817 merupakan kategori satu, 34,857 kategori dua, 120 kes (kategori tiga), 28 kes (kategori empat) dan empat kes (kategori lima).

Katanya, pola penggunaan katil harian pesakit Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak remaja berusia 11 hingga 17 tahun juga meningkat.

Beliau berkata ini mungkin disebabkan oleh penularan varian Omicron serta peningkatan pergerakan kanak-kanak dalam komuniti susulan pembukaan semula sesi persekolahan, pusat jagaan kanak-kanak dan bayi.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan semalam negara merekodkan 28,825 kes baharu iaitu tertinggi setakat ini, manakala 18,514 kes sembuh dilaporkan.

Daripada 28,825 kes itu, hanya 95 kes adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala bakinya terdiri daripada kategori satu serta dua.

“Daripada 95 kes Covid-19 kategori tiga, empat dan lima yang baru dilaporkan semalam, 28 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 49 kes telah menerima dua dos vaksin, 18 kes telah menerima dos penggalak, 41 kes berumur 60 tahun ke atas dan 48 kes mempunyai komorbid, manakala tiada kes ibu mengandung,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 400,000 kanak-kanak dapat dos pertama vaksin

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Sebanyak 454,194 individu atau 12.8 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web CovidNow, sejumlah 13,924,411 atau 59.2 peratus populasi dewasa di dalam negara pula telah menerima dos penggalak Covid-19 dan seramai 22,943,785 atau 97.5 peratus lengkap vaksinasi manakala 23,220,757 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,798,646 individu atau 89.9 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,883,444 atau 92.6 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 151,156 dos suntikan vaksin telah diberikan semalam melibatkan 72,991 suntikan dos pertama, 648 suntikan dos lengkap dan 77,517 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 66,018,432.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 34 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Johor melaporkan lapan kes, diikuti Sabah dengan tujuh kes, Selangor (lima), Melaka (empat), masing-masing dua kes di Kedah, Negeri Sembilan dan Perak manakala satu kes dicatatkan masing-masing di Kelantan, Pulau Pinang, Sarawak dan Terengganu.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 380,000 kanak-kanak terima dos pertama vaksin

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Sebanyak 383,165 individu atau 10.8 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web CovidNow, sejumlah 13,844,963 atau 58.8 peratus populasi dewasa di dalam negara pula telah menerima dos penggalak Covid-19, seramai 22,943,301 atau 97.5 peratus lengkap vaksinasi, manakala 23,220,003 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,798,368 individu atau 89.9 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,881,894 atau 92.6 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 36 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Johor melaporkan 11 kes, masing-masing enam kes di Sabah dan Selangor, Kedah (4), masing-masing tiga kes di Perak dan Pulau Pinang dan masing-masing satu kes di Negeri Sembilan, Terengganu dan Kuala Lumpur.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Ibu bapa diberi pilihan, kerajaan tidak paksa vaksin kanak-kanak

ISKANDAR PUTERI, 18 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak pernah memaksa ibu bapa mendaftarkan anak mereka mengambil vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Beliau berkata tanggapan segelintir ibu bapa bahawa kerajaan seolah-olah memaksa kanak-kanak mendapatkan vaksin COVID-19 menerusi  PICKids adalah tidak benar kerana mereka diberi pilihan untuk berbuat demikian.

“Kita ada bincang dalam Kabinet mengenai perkara ini. Tiada paksaan untuk rakyat, sama ada hendak ambil vaksin ketiga, keempat, kelima… tiada paksaan juga untuk rakyat terutamanya kanak-kanak ini diberikan vaksin.

“Dulu pun di peringkat awal ketika vaksin dos pertama, ramai yang tidak berminat ataupun takut untuk vaksin, (namun) selepas itu berebut-rebut pergi untuk mendapatkan vaksin jadi vaksin kedua tidak lagi menjadi isu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Taman Nusantara, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian ketika ditanya mengenai kadar vaksinasi PICKids masih di bawah 10 peratus dan nasihat beliau kepada ibu bapa.

Setakat semalam, seramai 341,960 atau 9.6 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui PICKids.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kadar pemberian dos penggalak juga sudah meningkat meskipun sebelum ini pelbagai cerita negatif ditimbulkan mengenai vaksin tersebut.

“Ketika ini, saya difahamkan booster (penggalak) memang ramai (ambil) setiap hari. Cuma untuk kanak-kanak, mungkin perkara ini baharu, jadi ia normal kepada rakyat kita.

“Bila benda baharu, mereka tunggu dan lihat terutama dengan banyak cerita yang bukan-bukan, jadi kita tak salahkan rakyat,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: KKM minta ibu hamil dapatkan vaksin, dos penggalak

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru semua wanita dan ibu hamil untuk mendapatkan vaksin Covid-19 termasuk dos penggalak kerana pengambilan vaksin terbukti dapat mengurangkan risiko komplikasi jika dijangkiti wabak itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata memandangkan ibu hamil tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk, langkah-langkah pencegahan amat penting bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

Beliau berkata berdasarkan rekod tahun ini sehingga 15 Feb, tiada kes kematian Covid-19 melibatkan ibu hamil.

“Sejak Mac 2020 hingga Januari 2022 sejumlah 18,277 kes Covid-19 dalam kalangan ibu hamil telah dilaporkan di Malaysia. Bilangan ini merupakan 0.64 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi jangkitan Covid-19 yang dilaporkan bagi tempoh sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata tahun lepas bilangan kes membabitkan ibu hamil melonjak pada Julai hingga September dan mula menunjukkan trend penurunan pada Oktober hingga Januari 2022.

“Sejak pandemik ini mula melanda pada 2020, sejumlah 191 kes kematian ibu hamil telah direkodkan, dengan kesemua kematian dilaporkan berlaku pada 2021.

“Kemuncak bagi kematian ibu hamil akibat komplikasi jangkitan Covid-19 ialah pada 2021 iaitu pada Julai (31 kes), Ogos (77 kes) dan September (44 kes), namun kes kematian semakin menurun pada Oktober (12 kes) dan November (3 kes),” katanya.

Beliau juga berkata analisis data kematian menunjukkan 79 peratus daripada kes kematian tidak menerima vaksin manakala 83 peratus daripada kes kematian mempunyai komorbid.

“Salah satu faktor penyumbang utama kepada penurunan kes kematian ibu hamil akibat komplikasi Covid-19 ialah liputan vaksinasi yang tinggi iaitu 94.7 peratus dalam kalangan populasi dewasa.

“Berdasarkan pencapaian kempen ibunisasi, data sehingga akhir Oktober 2021 menunjukkan 94 peratus daripada ibu hamil yang mendaftar di aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan vaksin telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan daripada jumlah tersebut 91 peratus telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19,” katanya.

Beliau juga memaklumkan ibu hamil yang masih belum menerima dos penggalak boleh menghubungi klinik kesihatan terdekat atau klinik swasta terpilih bagi mendapatkan janji temu awal.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 340,000 kanak-kanak terima dos pertama vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Sebanyak 341,960 atau 9.6 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 13,728,147 atau 58.3 peratus populasi dewasa di dalam negara pula telah menerima dos penggalak Covid-19, seramai 22,941,779 individu atau 97.5 peratus lengkap vaksinasi, manakala 23,218,655 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,797,767 individu atau 89.9 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,880,352 atau 92.6 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam, sebanyak 173,669 dos vaksin diberikan meliputi dos pertama sebanyak 54,398 termasuk 51,556 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, 1,544 dos kedua dan 117,727 dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin diberikan di bawah PICK meningkat kepada 65,702,191 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, sebanyak 39 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Selangor melaporkan 16 kes, Sabah (14 kes) manakala Kelantan, Pahang serta Perak (masing-masing dua kes) dan masing-masing satu kes di Kuala Lumpur, Melaka dan Kedah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KP kesihatan: Bersama hadapi cabaran Omicron, lindungi diri dengan vaksin

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Rakyat Malaysia perlu bersama-sama menghadapi cabaran varian Omicron dengan mematuhi semua langkah kesihatan awam dan sosial termasuk tatacara operasi piawai (SOP).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan di akaun Twitternya berkata banyak negara di rantau ini menunjukkan trend peningkatan kes Covid-19.

“Sila dapatkan vaksinasi dan dos penggalak untuk melindungi diri anda dan orang tersayang,” katanya.

Malaysia merekodkan kes Covid-19 harian tertinggi hari ini sejak kes positif pertama dilapor pada Januari 2020 dengan 27,831 kes dilaporkan.

Daripada jumlah itu, 27.33 peratus atau 7,606 kes adalah dalam kategori satu, 72.32 peratus atau 20,128 kes kategori dua, 0.21 peratus atau 59 kes kategori tiga, 0.1 peratus atau 28 kes kategori empat dan 0.04 peratus atau 10 kes kategori lima.

Dalam satu ciapan lain, Dr Noor Hisham berkata walaupun semasa kes diuji dan baharu didiagnosis, kebanyakan pesakit adalah pada kategori rendah seperti contoh hari ini 99.65 peratus kes dilaporkan dalam kategori satu dan dua, namun dalam hari-hari berikutnya ada kes yang merosot ke kategori yang lebih tinggi dan memerlukan kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau hospital.

Menurut beliau sehingga 5 petang hari ini, kes Covid-19 baharu dimasukkan ke hospital adalah 1,269 kes dan daripada jumlah itu 428 kes (33.7 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima.

“Sebanyak 841 kes atau 66.3 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, bilangan pesakit Covid-19 di katil bukan kritikal dan unit rawatan rapi (ICU) meningkat manakala pesakit di PKRC menurun hari ini berbanding semalam.

Beliau berkata penggunaan katil ICU bagi kes Covid-19 di dua negeri adalah lebih daripada 50 peratus iaitu Johor 61 peratus dan Kuala Lumpur 51 peratus.

Katanya bagi katil PKRC, sembilan negeri menunjukkan peratusan pengisian lebih 50 peratus dengan Melaka mencatatkan kadar 100 peratus diikuti Selangor 82 peratus.

Dr Noor Hisham berkata tujuh negeri lain yang mencatatkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus ialah Negeri Sembilan (79 peratus), Pahang (71), Kelantan (67), Sabah (64), Johor (63), Kedah (62) dan Perak (56).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya lapan kes kanak-kanak divaksin alami kesan sampingan ringan

KOTA BHARU, 16 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) hanya menerima lapan laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) bermula pada 3 Feb lepas dengan kesemuanya mengalami kesan sampingan ringan termasuk bengkak pada bahagian bahu selepas menerima vaksin.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata jumlah itu membabitkan hanya 0.006 peratus daripada keseluruhan 246,868 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang telah diberikan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

“Apabila laporan AEFI dibuat kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), kita akan melakukan catatan. Malah, kita juga telah memaklumkan sebelum ini apa-apa kesan yang berkaitan vaksin COVID-19, penerima boleh buat laporan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan di pusat pemberian vaksin khas (SPPV) di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini. Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (CITF-C) berkata setakat ini, peratusan pemberian vaksin menerusi PICKids di seluruh negara masih rendah dengan hanya merekodkan sekitar tujuh peratus. 

Beliau berkata Melaka mencatatkan peratusan pemberian vaksin tertinggi kepada kanak-kanak dengan 16.1 peratus diikuti Sarawak 13.99 peratus selain Kelantan berada dalam kelompok negeri terendah iaitu sekitar 1.18 peratus. 

Dr Noor Azmi berkata pihaknya menyasarkan 3.6 juta kanak-kanak termasuk 2.7 juta yang bersekolah akan menerima suntikan vaksin berkenaan.

“Kita menyeru kepada semua ibu bapa agar mengambil keputusan yang bertanggungjawab dengan menghantar anak-anak mereka menerima suntikan demi melindungi kesihatan,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata setakat tahun lepas, 278,000 kanak-kanak dan remaja di bawah 17 tahun telah dijangkiti COVID-19 dengan 63 daripada jumlah itu dilaporkan meninggal dunia.

— BERNAMA