Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Tepati jadual vaksin imunisasi kanak-kanak

SHAH ALAM, 24 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) meminta ibu-bapa yang pulang ke kampung supaya membuat temujanji rawatan imunisasi anak-anak di klinik kesihatan atau klinik swasta berdekatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata walaupun negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun vaksin imunisasi terhadap kanak-kanak mesti diteruskan untuk mengekalkan imuniti tinggi.

“Program imunisasi di semua fasiliti kesihatan berjalan seperti biasa. Ibu-bapa disarankan menepati jadual imunisasi dan tarikh temujanji yang ditetapkan.

“Elakkan daripada keciciran imunisasi untuk bayi untuk bayi dan kanak-kanak,” ,” katanya dalam kenyataan sempena Minggu Imunisasi Kebangsaan yang bermula hari ini.

Tegas beliau, kelewatan pemberian imunisasi bukan sahaja boleh meningkatkan risiko penyakit campak dan polio kepada kanak-kanak malah mengancam nyawa.

Menurut Hisham, data KKM menunjukkan terdapat 15 kes kematian penyakit campak (measles) tahun lalu, berbanding hanya enam pada 2018.

Manakala 915 kes bagi penyakit batuk kokol, dengan 20 kematian, sekaligus meningkat berbanding 2018, iaitu sebanyak 892 kes dengan 22 kematian.

“Majoriti kes-kes ini tidak menerima suntikan vaksin. Terdapat juga kes berlaku di kalangan bayi yang belum layak iaitu belum sampai untuk menerima vaksin,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Bekalan vaksin Influenza A cukup

GOMBAK 14 JAN: Bekalan vaksin Influenza A di hospital dan klinik kerajaan serta swasta di negeri ini adalah mencukupi, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau sendiri sudah menghubungi Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berhubung perkara itu dan Kementerian Kesihatan memberi jaminan bekalan vaksin Influenza A adalah mencukupi.

“Sebelum ini klinik swasta ada kehabisan bekalan vaksin, tetapi saya dimaklumkan oleh menteri kesihatan bahawa bekalan sebenarnya cukup, tetapi berlaku pembelian panik.

“Mungkin masyarakat terperanjat, jadi ramai ambil vaksin. Kita jangka bekalan vaksin akan kembali stabil pada minggu ini,” katanya ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Gombak di sini, hari ini.

Amirudin berkata beliau sudah mengarahkan Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud untuk memantau perkembangan Influenza A dari semasa ke semasa.

“Jika ada perkembangan kurang baik berhubung penularan virus ini atau berkaitan vaksin, kita akan ambil tindakan sewajarnya.

“Namun, isu membabitkan penularan virus ini membuka mata masyarakat betapa pentingnya vaksin kepada tubuh kita,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kos beli vaksin untuk pendatang asing diumum nanti

IPOH, 15 DIS: Kos perbelanjaan untuk membeli bekalan vaksin bagi disuntik kepada pendatang asing di negara ini akan diumumkan bila tiba masanya, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata, kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai perkara itu, pada minggu hadapan.

“Buat sementara waktu kita lebih menumpukan kawalan polio dan seterusnya mungkin perlu mengkaji keperluan vaksin penyakit lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Placemaking Festival 2019’ di Dewan Konvensyen GRC di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan cuba mendapatkan kerjasama daripada kerajaan Filipina untuk mendapatkan vaksin memandangkan negara itu memperoleh bekalan vaksin yang lebih murah.

Pada minggu lepas, media melaporkan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah dijangkiti virus polio, iaitu kes pertama selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit itu.

Dalam pada itu, Dr Lee berkata, kementeriannya kini lebih menumpukan pemberian suntikan vaksin kepada pendatang asing termasuk warganegara di Sabah.

“Di Sabah khususnya di kawasan pesakit polio berlaku kita telah buat vaksinasi 100 peratus untuk warganegara Malaysia dan asing.

“Kita juga telah berbincang dengan UNICEF dan WHO dan kita harap kita boleh memperluaskan vaksin ini meliputi kanak-kanak tanpa dokumen sebab bukan setakat melindungi kanak-kanak warga asing tetapi juga kanak-kanak warga Malaysia,” katanya.

Ketika ditanya sama ada KKM akan mandatori suntikan imunisasi kepada kanak-kanak, beliau berkata, setakat ini tiada keperluan untuk perkara itu.

“Selepas usaha pendidikan dan penerangan diberi kepada ibu bapa kadar vaksinasi meningkat dan telah mencapai 95 peratus ke atas.

“Jadi ini bermaksud komuniti di Malaysia telah dapat perlindungan daripada penyakit dan boleh dielak melalui vaksin. Jadi buat sementara waktu tiada keperluan untuk kita wajibkan vaksin,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin kepada pendatang asing, elak penyakit berjangkit

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Malaysia bakal memberikan suntikan vaksin kepada pendatang asing di negara ini, sebagai usaha mengelak penularan wabak penyakit berjangkit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan akan mendapatkan kerjasama daripada Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi memperoleh bekalan vaksin untuk diberi kepada pendatang asing.

Beliau berkata, kementerian juga akan cuba mendapatkan kerjasama daripada kerajaan Filipina untuk mendapatkan vaksin memandangkan negara itu memperoleh bekalan vaksin yang lebih murah.

“Satu kerjasama antara Malaysia dengan Filipina (akan diwujudkan) sebab kita di Malaysia tidak diberi (dibekalkan) vaksin yang murah…tetapi Filipina, mereka dapat harga yang murah. Kami akan cuba peroleh (vaksin) menggunakan negara Filipina untuk diberi kepada pendatang asing.

“Kementerian juga akan bekerjasama dengan UNICEF untuk mendapatkan vaksin yang disubsidikan kepada pendatang asing,” katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan ‘Be a Heart Hero’ di Yayasan Jantung Malaysia oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye hari ini.

Noor Hisham berkata, kira-kira 20 hingga 30 peratus pendatang asing khususnya di Sabah dan Sarawak keluar masuk negara ini tanpa saringan dan perkara itu menjadi kegusaran pihaknya jika mereka ini tidak mendapat vaksin.

Minggu lepas, media melaporkan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah dijangkiti virus polio, iaitu kes pertama selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit itu.

Bayi itu dilapor mengalami demam diikuti lemah anggota badan dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di hospital sebelum disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1), pada Jumaat lepas.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham mengharapkan wujudnya kesedaran dalam kalangan ibu bapa tentang pentingnya mengambil suntikan vaksin sebelum pihaknya melaksanakan tindakan mewajibkan pengambilan vaksin.

“Kita kena galakkan dan beri pendidikan kesihatan kepada ibu bapa,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin: Kanak-kanak berhak bermain tanpa takut dijangkiti penyakit

MELAKA, 6 OKT: Kanak-kanak mempunyai hak untuk bermain tanpa rasa takut dijangkiti campak, pertusis (batuk kokol), cacar air dan penyakit lain daripada rakan mereka yang ibu bapanya enggan memvaksinkan anak mereka, kata pakar pediatrik dan neonatologi Datuk Dr Musa Mohd Nordin.

Perunding Pediatrik dan Neonatologi di Hospital Pakar Damansara itu berkata seseorang kanak-kanak akan meningkatkan risiko pertusis sebanyak 23 kali, sembilan kali cacar air dan penyakit lain jika ibu bapa tidak memberi vaksin kepada anak mereka.

“Seperti merokok, dengan peningkatan risiko kanser dan penyakit jantung, Kementerian Kesihatan memutuskan supaya perokok tidak mendedahkan asap rokok kepada orang lain yang tidak merokok.

“Begitu juga, kanak-kanak yang tidak bersalah ini mempunyai hak untuk bermain tanpa khuatir dijangkiti campak, pertusis, cacar air atau penyakit lain daripada rakan mereka yang ibu bapanya percaya semua yang dibaca dalam Internet. Kebebasan memilih adalah perkara baik, (tetapi) kebebasan untuk membahayakan orang lain adalah tidak,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata kekhuatiran bahawa pemberian beberapa jenis vaksin akan melemahkan dan menjejaskan sistem imun kepada kanak-kanak yang terdedah secara saintifiknya adalah salah.

Dr Musa menjelaskan sistem imun kanak-kanak adalah lebih kuat daripada apa yang dibayangkan oleh orang ramai.

“Sel-sel sentiasa dipulihkan dan dianggarkan sekiranya semua vaksin berjadual diberikan kepada seorang kanak-kanak pada satu-satu masa, hanya 0.1 peratus daripada ruang imun akan digunakan.

“Vaksin yang ada sekarang juga mengandungi sedikit antigen. Pada masa lalu, satu dos cacar mempunyai 200 antigen, hari ini, hanya 150 antigen dalam 14 vaksin yang diberi kepada kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata pengalaman dahulu merekodkan penyakit cacar membunuh 300 juta orang pada abad ke-20 sebelum ia dibasmi oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menerusi kempen vaksin global pada 1980.

Menurut Dr Musa, vaksin menghalang 2.5 juta kematian dan tiga suku juta ketidakupayaan setiap tahun, dan terdapat peluang untuk menyelamatkan 2.5 juta lagi nyawa setiap tahun sekiranya vaksin digunakan lebih meluas.

“Kanak-kanak dengan ‘dormant underlying diseases’ perlu diimunisasi kerana mereka terdedah dengan jangkitan, dan tiada bukti yang menunjukkan vaksin mencetuskan kesulitan ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Ribuan pelajar tidak boleh ke sekolah jika tidak divaksin

SAN FRANCISCO, 30 SEPT: Ribuan pelajar sekolah awam di Washington, Amerika Syarikat tidak dibenarkan ke sekolah jika tidak mengambil suntikan vaksin, lapor agensi berita Xinhua.

Larangan itu termaktub di bawah undang-undang baharu yang dikuat kuasa dua bulan lalu, memetik laporan The Seattle Times semalam.

Menjelang beberapa minggu lagi sebelum sesi persekolahan dibuka, pihak sekolah di Washington sedang mengemas kini kertas kerja dan menghantar peringatan akhir kepada keluarga ibu bapa dan penjaga.

Pelajar sekolah awam di Seattle, jika tidak mendapat gabungan vaksin campak-beguk-rubella menjelang pertengahan Oktober, pegawai sekolah akan menghantar surat “pra-pengecualian” dan memberi keluarga tempoh selama 30 hari untuk mendapatkan vaksin.

Pelajar hanya akan dikecualikan dengan alasan faktor agama atau perubatan.

Alasan peribadi atau falsafah untuk tidak memberikan anak-anak mereka suntikan vaksin adalah tidak diterima.

Tahun ini, Jabatan Kesihatan Washington mencatatkan 86 kes campak jumlah tertinggi dicatatkan di negeri ini sejak 1990.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Orang Asli Kuala Koh mula ambil suntikan vaksin

GUA MUSANG, 2 JULAI: Jabatan Kesihatan Daerah Gua Musang memulakan gerakan memberikan suntikan vaksin kepada penduduk Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh dan Aring 5 mulai semalam sebagai langkah pencegahan penularan wabak jangkitan penyakit berjangkit.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, setakat ini seramai 204 Orang Asli di dua kampung tersebut menerima suntikan vaksin dan masih ada yang belum menerima suntikan akan berbuat demikian selepas ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, ia membabitkan seramai 65 Orang Asli di Kampung Kuala Koh manakala 139 orang lagi penduduk Orang Asli Kampung Aring 5 iaitu kampung yang terletak berjiran dengannya.

Katanya, penduduk Orang Asli yang belum diberi suntikan vaksin kerana mereka masih demam dan ibu mengandung ditangguh dahulu sehingga keadaan mereka kembali sihat atau selepas ibu itu melahirkan anak.

“Tidak ada masalah ketika gerakan melakukan suntikan vaksin itu kerana semua kaum tersebut memberi kerjasama penuh sehingga selesai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Suntikan vaksin kepada kaum itu dilakukan susulan kematian 15 Orang Asli di Kampung Kuala Koh mulai awal Mei lepas akibat demam campak dan 112 orang lagi menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan klinik berhampiran.

Hashim Alang berkata, usaha memberi suntikan vaksin itu sebagai langkah awal untuk mengelakkan jangkitan kuman penyakit itu sebagaimana yang disarankan Kementerian Kesihatan.

Katanya, kaum itu yang dijangkiti penyakit tersebut dan menerima rawatan susulan di HGM dan Hospital Kuala Krai (HKK) masih tidak dibenarkan pulang ke rumah mereka.

“Sebaliknya, mereka dikehendaki tinggal sementara di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Taman Etnobotani di bandar ini sehingga keadaan mereka pulih sepenuhnya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Ambil suntikan vaksin sebelum ke perkampungan Orang Asli Kuala Koh

KOTA BHARU, 12 Jun : Aktivis dan pengamal media yang mahu memasuki perkampung Orang Asli suku Batek di Kuala Koh Gua Musang dinasihati supaya mendapatkan suntikan vaksin jangkitan paru-paru terlebih dahulu bagi melindungi mereka daripada penyakit tersebut.

Pegawai Perubatan di sebuah klinik swasta di sini Dr Hafidzah Mustakim berkata pengambilan vaksin seperti Influenza dan Pneumococcal mampu mencegah jangkitan radang paru-paru (pneumonia).

“Gejala atau tanda yang dialami pesakit pneumonia termasuk batuk, sakit dada, demam, menggigil, sakit badan dan kesukaran bernafas dengan penyebab pneumonia adalah kuman terdiri dari samada kuman bakteria, virus, fungus atau parasit.

“Ia adalah penyebab kematian bagi semua peringkat umur selain adalah penyebab kematian utama pada golongan kanak-kanak di negara yang berpendapatan rendah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Isnin lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan larangan kepada orang ramai daripada memasuki perkampungan masyarakat Orang Asli itu kerana jangkitan kuman paru-paru mudah menular.

Mengulas lanjut, Dr Hafidzah berkata apabila seseorang terkena jangkitan pneumonia, ia boleh mengakibatkan berlakunya radang yang menyebabkan paru-paru dipenuhi cecair dan nanah.

“Mikroorganisma parasit memasuki badan melalui kulit atau ditelan kemudian pergi ke paru-paru melalui saluran darah, membolehkan ia memberi tindak balas terhadap imun subset sel darah putih yang meningkat.

“Golongan berisiko mendapat pneumonia ini termasuklah perokok dan pesakit kronik paru-paru atau asma, bayi kurang dari setahun atau mereka yang berusia lebih 65 tahun dan golongan yang menghidap Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS),” katanya.

Beliau berkata pesakit yang mendapat rawatan kemoterapi atau steroid, pesakit kegagalan buah pinggang, pengidap kanser, kekurangan zat atau malnutrisi berpanjangan, penggemar minuman alkohol berlebihan serta tinggal berkelompok dalam fasiliti kesihatan seperti ‘nursing home’ juga berisiko terkena jangkitan pneumonia.

Katanya rawatan umum adalah menggunakan ubat antibiotik, antivirus dan antikulat untuk merawat jangkitan penyakit itu namun bergantung kepada punca tertentu keadaan.

“Kebanyakan kes pneumonia, bakteria boleh dirawat di rumah dengan antibiotik oral dan kebanyakan orang bertindak balas terhadap antibiotik yang diberikan.

“Untuk kes yang lebih serius rawatan hospital juga diperlukan merangkumi langkah pencegahan berkesan termasuklah berhenti merokok kerana ia mengurangkan kerosakan pada paru-paru,” katanya. -BERNAMA

Categories
RENCANA

Salah informasi punca ibu bapa tidak percaya vaksin

MELAKA, 22 APRIL: Suasana di Klinik Kesihatan Ayer Keroh begitu sesak walaupun jarum jam baru menunjukkan pukul 7.30 pagi, menunjukkan betapa orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menggunakan kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan.

Sambil duduk memeluk anak lelaki saya berusia tujuh tahun yang demam, selsema dan batuk, saya memerhatikan orang-orang yang ada di sekeliling saya sehinggalah kepada seorang ibu muda yang berada di sebelah saya.

Aida (bukan nama sebenar) sedang mengendong bayinya yang sedang nyenyak tidur walaupun keadaan sekeliling agak bising. Dia kelihatan resah, di tangannya ada risalah mengenai imunisasi.

Apabila diajak berbual, Aida memberitahu penulis dia masih ragu-ragu dan tidak yakin untuk memberikan vaksin kepada bayi perempuannya yang berusia lapan bulan itu. Semuanya gara-gara membaca satu artikel di laman sosial mengenai keburukan penggunaan vaksin.

“Semasa anak saya berusia dua bulan, saya sudah tak bawa anak saya ke klinik kerana ada maklumat mengatakan vaksin boleh membawa maut, ada bahan berbahaya dan haram. Sekarang, saya masih was-was dan takut. Adakah kakak percayakan vaksin?” Aida melontarkan soalan kepada penulis.

Untuk menyakinkan ibu muda itu, saya memberitahu anak saya diberikan vaksin mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan di dalam buku ‘Rekod Kesihatan Bayi dan Kanak-kanak (0-6 Tahun)’ yang disediakan Kementerian Kesihatan.

Terpengaruh maklumat salah

Aida sebenarnya bukan seorang sahaja yang bimbang serta keliru dengan keperluan vaksin untuk bayinya.

Pakar Pediatrik Hospital Pantai Ayer Keroh, Dr Hayati Jaafar menjelaskan bahawa ilmu pengetahuan dan pemahaman mengenai penggunaan vaksin yang masih rendah adalah antara faktor menyebabkan masyarakat merasa bimbang dan mudah terpengaruh dengan maklumat dan ideologi salah yang diperolehi melalui laman sosial.

Beliau berkata apa yang membimbangkan ialah apabila terdapat golongan anti-vaksin yang terdiri daripada kalangan profesional seperti doktor yang sudah pasti mempunyai lebih kepakaran mengenai fungsi vaksin, tetapi malangnya lebih mengecewakan lagi mereka menjadi penggalak kepada anti-vaksin.

“Apa sahaja fakta mengenai keselamatan, efikasi dan konteks agama semuanya sudah dirungkaikan sebelum ini melalui pelbagai medium. Walaupun golongan anti-vaksin ini maklum akan fakta tersebut, mereka tetap dengan kebongkakan serta kedegilan untuk tidak memilih vaksin.

“Doktor juga ada yang anti-vaksin, walhal mereka lebih faham tentang imuniti, keberkesanan dan keselamatan vaksin namun akhirnya memilih untuk menjadi anti-vaksin. Saya percaya golongan anti-vaksin sudah membuat penyelidikan tetapi mereka menjadi selektif dan bias terhadap apa yang mereka percaya,” katanya.

Menurut beliau, memang menjadi etika bagi pengamal perubatan untuk bersikap telus dengan segala ubat atau vaksin yang diberikan kepada pesakit.

Mereka juga perlu memberi keterangan mengenai kesan sampingan yang mungkin berlaku terhadap kesihatan tubuh seseorang, namun itu bukanlah bermaksud ianya tidak selamat digunakan.

Pencegah penyakit terbaik

Dr Hayati berkata pemberian vaksin kepada bayi dan kanak-kanak adalah satu pencegahan penyakit yang terbaik dan berkesan dengan tujuan mencetuskan kebolehan sistem pertahanan badan bagi melawan bakteria atau virus yang menyerang tubuh setiap individu.

“Vaksin dihasilkan daripada kuman yang dimatikan atau dilemahkan. Apabila seseorang diberikan vaksin, secara semula jadi tubuh mereka akan menerima reaksi imun yang akan mencipta antibodi yang disimpan dalam ‘memori’ pertahanan badan dan akan digunakan ketika badan berhadapan dengan penyakit.

“Sesetengah penyakit diciptakan vaksin kerana penyakit itu tergolong dalam penyakit yang tidak boleh diubati, sangat mudah dijangkiti antara satu individu dengan individu yang lain terutamanya kanak-kanak dan komplikasinya sangat merbahaya sehingga boleh membawa maut,” katanya.

Menurut Dr Hayati, hanya kanak-kanak yang menghidap penyakit tertentu seperti HIV, ‘Congenital Immune Deficiency’ atau dirawat dengan ubat steroid, ubat kanser dan radioterapi dikecualikan daripada suntikan vaksin termasuk mereka yang sedang menerima rawatan ‘immunoglobulin’ dan selepas enam bulan (rawatan immunoglobulin) barulah boleh diberikan vaksin.

Untuk rekod, pemberian suntikan vaksin imunisasi secara percuma di Malaysia sudah pun dilakukan sejak tahun 1950-an menerusi Program Imunisasi Kebangsaan yang antara lain bertujuan mencegah 12 jenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria dan virus tertentu.

Penyakit cegahan vaksin ialah Tibi (Tuberculosis), Hepatitis B, Difteria, Pertussis (Batuk Kokol), Tetanus, Polio, Penyakit HIB (Haemophilus Influenza Type B), Measles (Campak), Mumps (Beguk), Rubella, Penyakit Human Papillomavirus (HPV) dan Japanese Encephalitis.

Hasil program tersebut menunjukkan kesan yang amat positif apabila angka kematian kanak-kanak menurun sebanyak 85 peratus sekitar tempoh tahun 1970 hingga 2017, selain suntikan vaksin imunisasi juga berjaya membasmi penyakit cacar dan polio di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Bukan penyebab autisme

Dr Hayati berkata perkaitan antara vaksin terutama MMR – ‘Measles’ (Campak), ‘Mumps’ (Beguk) dan ‘Rubella’ dan autisme merupakan suatu mitos terbesar dalam bidang perubatan dan lebih malang, teori tidak tepat itu seringkali diulang oleh golongan anti-vaksin.

Menurut beliau perkara berkenaan dicetuskan oleh seorang pengkaji perubatan dari Britain, Andrew Wakefield pada 1998 yang mendakwa beliau menemui punca mengapa ramai kanak-kanak zaman kini menghidap autisme berdasarkan kajiannya melibatkan 12 orang pesakit yang mempunyai sejarah pengambilan vaksin MMR.

“Sedangkan sebahagian pesakit itu tiada masalah autisme dan ada juga yang sudah mempunyai masalah saraf sebelum mengambil vaksin MMR. Kemudian pada 2010, kajian doktor berkenaan ditarik balik kerana dia didapati menipu data dalam kajiannya,” kata Dr Hayati.

Beliau berkata kegusaran lain yang menyebabkan kebanyakan golongan yang menentang penggunaan vaksin adalah kerana terdapatnya bahan aluminium dan merkuri di dalam sesetengah vaksin yang mereka dakwa boleh memberi kemudaratan kepada otak kanak-kanak.

“Misalnya merkuri dalam vaksin influenza, selepas pemerhatian dibuat tiada apa-apa masalah yang berlaku terhadap mereka yang menerimanya begitu juga aluminium dalam vaksin, walhal kandungan aluminium dalam badan jika mengambil susu ibu dan susu formula lebih tinggi berbanding daripada aluminium dalam vaksin,” katanya.

Beri perlindungan

Menurut Dr Hayati, bagi memastikan imuniti kelompok di negara ini terus dikekalkan, pemberian vaksin sangat perlu diberikan kepada kanak-kanak sekali gus dapat memberi perlindungan kepada individu atau mereka yang tidak boleh menerima suntikan vaksin.

Beliau berkata justeru itu, ibu bapa yang belum memberikan vaksin kepada anak mereka dinasihatkan agar membawa kanak-kanak itu ke klinik kesihatan kerajaan atau swasta berhampiran untuk mendapatkan imunisasi mengikut jadual yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Kita sentiasa terbuka untuk menjawab kemusykilan dan keraguan ibu bapa terhadap vaksin dan harapan saya agar ibu bapa faham bahawa mengambil vaksin bukan sahaja untuk kepentingan anaknya sendiri tetapi demi kepentingan anak-anak dalam sesuatu komuniti,” katanya.

Jangan mudah terpengaruh

Ibu bapa seharusnya tidak mudah terpengaruh dengan golongan anti-vaksin yang berbahas mengunakan himpunan pendapat yang dicedok melalui laman sosial dan memandai-mandai menyatakan vaksin boleh mendatangkan kemudaratan kepada kanak-kanak sekali gus menolak vaksin.

Bapa seorang anak lelaki berusia tiga tahun, Mohd Qayyum Ashraf Mohd Shukor, 29, memberitahu Bernama, ibu bapa seharusnya lebih terbuka dan tidak berasa ragu-ragu terhadap penggunaan vaksin kerana fatwa di peringkat kebangsaan telah dikeluarkan dengan menyatakan bahawa vaksin yang dihasilkan di negara ini bukan haram dan telah diluluskan.

“Golongan anti-vaksin mempunyai rasa was-was yang tinggi dan berasa semua perkara perlu dibuktikan 100 peratus selamat dan bagus, barulah mereka hendak percaya. Namun agak pelik apabila, mereka mudah pula percaya kepada artikel yang ditulis golongan anti-vaksin di laman sosial.

“Mengikut keadaan dunia semasa, cuaca, corak pemakanan, kandungan makanan dan minuman, kesihatan masyarakat sekeliling serta penyakit-penyakit yang berjangkit, vaksin memang sangat perlu. Kita tidak tahu apa dan bila penyakit bakal mendatang, jadi vaksin penting untuk mencegah sebelum terjadi benda yang lebih buruk,” katanya.

Bagi ibu kepada tiga orang anak, Norizah Atin, 45, masyarakat sering dimomokkan dengan fakta dan dakwaan golongan anti-vaksin yang tidak tepat sehingga mereka menjadi keliru dan percaya bahawa vaksin merupakan agenda Yahudi untuk menghancurkan umat Islam selain mempunyai kandungan yang tidak halal.

“Bagi ibu bapa yang mudah percaya, mereka akan menolak vaksin dan memilih untuk membeli produk makanan tambahan, sedangkan terang-terangan kita tahu bahawa produk tersebut tidak mematuhi kehendak kementerian dan hanya bergantung kepada testimoni pengguna yang tidak diketahui akan kebenarannya.

“Ibu bapa tidak sepatutnya mendedahkan anak mereka kepada risiko penyakit berjangkit yang dapat dicegah dengan pengambilan vaksin. Janganlah lalai dan hanya mengutamakan ego sendiri berbanding nyawa anak. Ambil iktibar dengan kes kematian (tanpa imunisasi) yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Kes di Johor

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan satu kes kematian disyaki akibat jangkitan difteria di daerah Johor Bahru pada 21 Februari 2019. Kes itu melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berumur 2 tahun 1 bulan dan kanak-kanak itu tidak pernah menerima sebarang imunisasi sejak lahir.

Kanak-kanak itu mula mengalami demam, batuk dan bengkak tonsil pada 16 Februari 2019. Kanak-kanak itu dibawa ke unit kecemasan hospital pada 18 Februari 2019 dan meninggal dunia pada 21 Februari 2019.

Pada 2018, KKM merekodkan enam kematian akibat demam campak dengan semua kes tidak menerima imunisasi, lima kematian akibat difteria dengan empat kes tidak menerima imunisasi dan 22 kematian akibat batuk kokol dengan 19 kes tidak menerima imunisasi. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Perlis antara negeri terendah tolak vaksin

KANGAR, 5 MAC: Perlis antara negeri terendah mencatatkan kes penolakan vaksin kurang daripada satu peratus membabitkan jumlah kelahiran hidup.

Pengarah Kesihatan Negeri (JKN) Dr Sirajuddin Hashim, berkata negeri itu mencatatkan kira-kira 3,800 kelahiran hidup dan kes penolakan vaksin berkurangan setiap tahun sejak 2016.

“Sebanyak 27 kes direkodkan pada tahun lepas berbanding 32 kes pada 2017 manakala pada 2016 sebanyak 46 kes direkodkan berkaitan penolakan vaksin di negeri ini,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Derma Darah Penolong Pegawai Perubatan sempena Sambutan Hari Pembantu Perubatan 2019 di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, hari ini.

Dr Sirajuddin berkata, antara alasan yang sering diterima ialah ibu bapa kurang yakin dengan penggunaan vaksin.

“Kakitangan perubatan sentiasa memberikan saranan dan nasihat terbaik kepada ibu bapa berkaitan suntikan vaksin ini, tapi kalau dah mereka (ibu bapa) tidak mahu kita tidak boleh paksa mereka.

“Tetapi jumlah kes yang menolak vaksin ini berkurang (dari) tahun ke tahun,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Cadangan wajibkan suntikan imunisasi sebelum masuk sekolah dikaji

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan mewajibkan hanya kanak-kanak yang telah menerima suntikan vaksin imunisasi dibenar memasuki sesi persekolahan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, cadangan itu akan dikaji secara terperinci.

“Memang itu salah satu apa yang kita syorkan supaya menjadi pencegahan terhadap penyakit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Yayasan Petronas di sini, hari ini.

Pada 25 Februari lalu,beberapa pihak termasuk Persatuan Doktor Islam Malaysia dan I-MEDIK Malaysia menyarankan langkah itu dilaksana bagi melindungi kesihatan kanak-kanak daripada penyakit yang boleh dicegah seperti difteria dan campak.

Ini berikutan kes seorang kanak-kanak dua tahun di Johor yang disahkan tidak pernah menerima suntikan vaksin difteria meninggal dunia minggu lepas akibat penyakit itu.

Lima lagi kanak-kanak turut dilaporkan pernah berada dan berhubung secara terus dengan mangsa juga disahkan positif penyakit difteria.

Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan bahawa vaksin imunisasi adalah selamat dan ia tidak harus diragui kerana Jabatan dan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga telah mengeluarkan fatwa mengenai status halalnya.

Katanya, pencapaian program imunisasi pada 2017 ialah 88 peratus daripada 95 peratus yang disasarkan.

“Kita galakkan ibu bapa untuk benarkan suntikan imunisasi kepada anak mereka. Jangan dengarlah (dakwaan kumpulan anti-vaksin).

“Memang mungkin ada satu dua (kes yang menpunyai reaksi negatif). Itu malang, tetapi yang lain tu, vaksin adalah selamat,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Jangan terpedaya propaganda tolak vaksin

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang awam supaya tidak terpengaruh dengan perkongsian maklumat tidak sahih berkaitan vaksin khususnya di laman sosial.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia termasuk dakwaan kononnya Program Imunisasi Kebangsaan dilaksanakan kerajaan tidak memberi manfaat serta menimbulkan banyak kesan buruk.

“Pemantauan KKM mendapati wujud ibu bapa menolak pemberian vaksin kepada anak mereka setelah terpengaruh dengan maklumat tidak tepat yang disebarkan.

“Jika situasi penolakan vaksin ini berterusan, kemungkinan penyakit-penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin akan terus meningkat dan usaha kerajaan dalam mengukuhkan Program Imunisasi Kebangsaan serta usaha advokasi bagi mencegah penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin selama ini menjadi sia-sia,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, katanya kes penolakan vaksin pada 2017 sedikit menurun iaitu kepada 1,404 kes berikutan usaha-usaha advokasi yang dijalankan KKM secara meluas bersama agensi awam dan swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan serta sukarelawan kumpulan media sosial perubatan.

“Bilangan kes penolakan vaksin yang direkodkan di klinik-klinik kerajaan terus meningkat iaitu daripada 637 kes pada tahun 2013 kepada 1,603 kes pada 2016,” katanya.

Noor Hisham berkata, pihaknya memantau penyebaran maklumat tidak sahih ini kerana ia memberikan kesan terhadap usaha KKM dalam mengekang peningkatan kes-kes berjangkit yang boleh dicegah oleh vaksin malahan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengenal pasti penolakan vaksin sebagai salah satu ancaman kesihatan global bagi tahun 2019.

“Penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin meningkat di negara ini, dengan kes demam campak meningkat daripada 195 kes pada 2013 kepada 1,934 kes pada 2018, iaitu peningkatan 891.8 peratus bagi tempoh lima tahun.

“Bilangan kes demam campak (measles) yang tiada imunisasi meningkat daripada 125 kes (68.7%) pada 2013 kepada 1,467 kes (75.9%) pada 2018.

“Pada 2018, KKM merekodkan enam kematian demam campak di mana semua kes tiada imunisasi, lima kematian difteria dengan empat kes tiada imunisasi, manakala 22 kematian batuk kokol (pertussis) membabitkan 19 kes tiada imunisasi,” katanya.

Untuk rekod, pemberian imunisasi boleh mencegah penyakit–penyakit tertentu selain berfungsi mengurangkan komplikasi yang boleh membawa kematian.

Ketika ini, Program Imunisasi Kebangsaan mampu mencegah 12 jenis penyakit berjangkit disebabkan bakteria dan virus tertentu malahan diberikan secara percuma kepada bayi serta kanak-kanak warganegara di klinik-klinik kerajaan sejak 1950an.

“Dengan program imunisasi dan peningkatan capaian perkhidmatan kesihatan, Malaysia berjaya menurunkan kadar kematian kanak-kanak sebanyak 85 peratus bagi tempoh 1970 hingga 2017, daripada 55.9 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup kepada hanya 8.4 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup.

“Imunisasi juga berjaya membasmi cacar (smallpox) dari dunia ini manakala penyakit polio telah berjaya dibasmi di Malaysia,” katanya.