Categories
AGENDA JENAYAH

APMM halau bot cuba seludup masuk 40 pendatang asing tanpa izin

SHAH ALAM, 19 OKT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Selangor telah memintas dan menghalau cubaan menyeludup masuk 40 pendatang asing tanpa izin, oleh sebuah bot dari Indonesia sekitar jam 4.00 pagi tadi.

Pengarah APMM Negeri Selangor Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor telah menerima maklumat risikan berkaitan pergerakan sebuah bot telah keluar dari Tanjung Balai, Asahan, Indonesia sekitar jam 9 malam semalam dengan disyaki membawa lebih kurang 40 orang pendatang asing tanpa izin warga Indonesia dan dipercayai menuju ke perairan Selangor.

Beliau berkata pada jam lebih kurang 12.20 malam, radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) APMM yang berpangkalan di Area Command Centre (ACC) Klang, telah mengesan bot sasaran curiga tersebut sedang bergerak dari perairan Permatang Sedepa menuju ke perairan Morib.

“Berikutan itu bot Penggalang 10 APMM yang dalam tugasan Op Benteng Sektor 5 telah digerakkan bagi pemintasan sasaran dengan dibantu bot PR4 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya sekitar jam 2 pagi tadi, Penggalang 10 dan PR4 tiba di lokasi dan telah bertembung dengan bot yang disyaki membawa pendatang asing tanpa izin, lalu mengarahkan untuk berhenti, namun tekong bot itu bertindak agresif memecut laju dan melakukan pergerakan merbahaya yang bertujuan meloloskan dari ditahan serta berusaha merapat ke kawasan pantai.

“Penggalang 10 dan PR4 terus menghalang tindakan bot berkenaan dengan menghimpit dan membayangi secara kejar buru sehingga ke laut lepas, bagi menghindar daripada menuju dan mendarat di pantai,” katanya.

Mohd Rosli berkata dalam tempoh kejar buru hampir satu jam tiga puluh minit itu, bot tersebut masih berdegil untuk berhenti serta bergerak secara agresif dan merbahaya.

Katanya Penggalang 10 dan PR 4 seterusnya melaksanakan tugas pengusiran dengan membayangi bot berkenaan keluar dari perairan negara sepenuhnya sekitar jam 4 pagi, seterusnya dipantau rapat oleh radar SWASLA di ACC Klang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pulau Ketam pilihan penyeludup, pendatang asing ceroboh negara

PELABUHAN KLANG, 27 APRIL: Pulau Ketam merupakan satu daripada pintu masuk pilihan penyeludup dan pendatang tanpa izin menceroboh negara ini berikutan lokasinya berhampiran negara jiran, kata polis.

Penolong Pengarah Pengoperasian Pasukan Gerakan Am (PGA) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Supt Ahmad Radzi Hussain berkata jarak di antara Pulau Ketam dan Tanjung Balai, Indonesia terlalu dekat iaitu kira-kira 20 hingga 30 batu nautika.

Ia mengambil masa perjalanan kurang daripada sejam menggunakan bot.

“Kedudukan pulau itu yang terletak berhampiran Rumah Api, One Phantom Bank juga memainkan faktor pulau itu menjadi pilihan.

“Oleh itu, Pulau Ketam ini menjadi perhatian penyeludup barangan kontraban seperti rokok dan arak selain menjadi transit bagi tekong darat untuk membawa masuk pendatang tanpa izin,” katanya kepada pemberita selepas melakukan rondaan di pulau itu hari ini.

Sementara itu, Ahmad Radzi berkata sejumlah 242 pendatang tanpa izin ditahan oleh PGA dalam tempoh 1 Jan hingga 26 April dan pasukan itu juga merampas pelbagai barang seludup yang dianggar bernilai RM5.3 juta, antaranya rokok dan arak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan cadang benar syarikat biaya kos hantar pulang pendatang di depot

PUTRAJAYA, 4 DIS: Cadangan membenarkan syarikat besar membiayai kos penghantaran pulang pendatang tanpa izin yang berada di depot tahanan imigresen (DTI) akan dibawa ke mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata sebagai timbal balas, syarikat itu akan diberikan kuota penggajian pekerja asing yang baharu selepas melalui tapisan ketat mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19.

Beliau berkata cadangan itu dipertimbangkan kerajaan bagi membantu pemain industri mendapatkan kuota penggajian pekerja asing dengan lebih pantas.

“Katakan ada 20,000 (pekerja asing) di dalam depot, hanya kira-kira 15 peratus yang tenaganya boleh digunakan, manakala yang lain ada masalah yang kita tak benarkan (mereka) bekerja semula, dan golongan ini perlu dihantar balik.

“Jika syarikat besar mahu mengambil mereka (pekerja asing) dengan lebih cepat, mereka boleh mengambil pekerja itu, hantar mereka kembali (ke negara asal) dan kita benarkan penggantian pekerja satu nisbah satu,” katanya selepas mengadakan mesyuarat bersama Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan mengenai pengurusan pekerja asing semalam.

Dalam pada itu, Hamzah berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan kajian semula dasar penggajian ekspatriat dengan kerjasama strategik TalentCorp dan Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC).

Katanya, kali terakhir kajian dibuat terhadap dasar itu ialah pada 20 Dis 2016, dan kini ia memerlukan penambahbaikan, dengan memastikan wujudnya keseimbangan dalam memenuhi keperluan sumber manusia yang mengutamakan tenaga kerja tempatan, terutamanya selepas pandemik Covid-19.

“Dulu kita ada ekspatriat peringkat satu, dua dan tiga. Kumpulan tiga contohnya bergaji RM3,000, saya rasa tidak adil untuk rakyat Malaysia memanggil mereka ekspatriat,” katanya.

Menurut Hamzah, mesyuarat juga bersetuju supaya penggajian pekerja asing bagi jawatan tukang emas dipertimbangkan semula di bawah Pas Lawatan Ikhtisas atau Professional Visit Pass (PVP) yang bertujuan melatih tukang emas tempatan.

“Perkhidmatan tukang emas warga asing ini tidak lagi diperlukan setelah jumlah tukang emas tempatan mencukupi untuk memenuhi keperluan industri,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

21,241 pendatang asing diusir, 15,957 masih dalam tahanan

PUTRAJAYA, 13 OGOS: Seramai 21,241 pendatang asing telah diusir ke negara asal masing-masing sejak awal tahun ini hingga 10 Ogos lepas, manakala 15,957 orang lagi masih dalam depot tahanan imigresen.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ketika ini kerajaan menghadapi kesukaran melaksanakan pengusiran terutamanya untuk mendapatkan persetujuan negara asal selain memastikan mereka bebas daripada Covid-19 sebelum dihantar pulang.

“Kita perlu memastikan negara sebelah sana sudah bersedia, kita tak boleh hantar begitu sahaja dan kita bekerjasama dengan kedutaan mereka di sini, dokumentasi semua ada, barulah kita hantar pulang,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen, di sini hari ini.

Daripada 21,241 pendatang asing yang telah dihantar pulang, 9,276 adalah dari Indonesia, Bangladesh (2,643), Myanmar (1,891), Thailand (1,715), India (1,412), China (1,343), Pakistan (991), Vietnam (646), Nepal (314), Kemboja (271) dan lain-lain negara (739), katanya.

Beliau berkata baki yang masih dalam depot tahanan adalah termasuk pendatang asing yang dipindahkan dari penjara.

Mengenai penguatkuasaan, Hamzah berkata Jabatan Imigresen telah melaksanakan 4,764 operasi sejak awal tahun ini hingga Isnin lepas dan menahan 18,575 pendatang asing serta 269 majikan yang melakukan kesalahan.

“Operasi berkala akan terus dilaksanakan bagi memastikan pendatang asing sedar bahawa kita tidak akan berhenti melakukan operasi,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya sebagai jabatan yang bertanggungjawab menjaga kedaulatan negara, Hamzah mahu Jabatan Imigresen menyelesaikan isu pendatang asing dalam negara secepat mungkin.

Katanya, usaha mempertahankan kedaulatan negara memerlukan keikhlasan dan kejujuran kerana tanpa kedua-dua sikap itu, terdapat ruang untuk pegawai tidak mengikut undang-undang.

Pada majlis itu, Hamzah turut melancarkan norma baharu Jabatan Imigresen iaitu penyampaian perkhidmatan yang dinaik taraf dengan penggunaan aplikasi digital dan dalam talian dengan tema ‘Deal with the Machine’.

Beberapa sistem telah dibangunkan bagi melengkapi inisiatif norma baharu itu seperti Sistem Temujanji Online (STO), Sistem MYEntry, Sistem MyTravelPas (MTP) dan Sistem Pertanyaan Online (SPO).

STO yang mula digunakan pada 8 Mei lepas telah berjaya meningkatkan kelancaran operasi jabatan dan mengawal kehadiran orang ramai di pejabat-pejabat imigresen selaras dengan tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan Covid-19.

MyEntry pula ialah sistem saringan dan kelulusan berpusat secara dalam talian bagi permohonan kebenaran masuk dan keluar negara untuk warga asing yang layak seperti ekspatriat dan pekerja mahir, manakala MTP merupakan sistem kemudahan perjalanan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura.

SPO pula ialah platform pertanyaan untuk pelanggan mendapatkan maklumat-maklumat asas tentang perkhidmatan teras Jabatan Imigresen bagi memudahkan orang ramai membuat persiapan sebelum berurusan di Jabatan Imigresen.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin kepada pendatang asing, elak penyakit berjangkit

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Malaysia bakal memberikan suntikan vaksin kepada pendatang asing di negara ini, sebagai usaha mengelak penularan wabak penyakit berjangkit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan akan mendapatkan kerjasama daripada Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi memperoleh bekalan vaksin untuk diberi kepada pendatang asing.

Beliau berkata, kementerian juga akan cuba mendapatkan kerjasama daripada kerajaan Filipina untuk mendapatkan vaksin memandangkan negara itu memperoleh bekalan vaksin yang lebih murah.

“Satu kerjasama antara Malaysia dengan Filipina (akan diwujudkan) sebab kita di Malaysia tidak diberi (dibekalkan) vaksin yang murah…tetapi Filipina, mereka dapat harga yang murah. Kami akan cuba peroleh (vaksin) menggunakan negara Filipina untuk diberi kepada pendatang asing.

“Kementerian juga akan bekerjasama dengan UNICEF untuk mendapatkan vaksin yang disubsidikan kepada pendatang asing,” katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan ‘Be a Heart Hero’ di Yayasan Jantung Malaysia oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye hari ini.

Noor Hisham berkata, kira-kira 20 hingga 30 peratus pendatang asing khususnya di Sabah dan Sarawak keluar masuk negara ini tanpa saringan dan perkara itu menjadi kegusaran pihaknya jika mereka ini tidak mendapat vaksin.

Minggu lepas, media melaporkan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah dijangkiti virus polio, iaitu kes pertama selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit itu.

Bayi itu dilapor mengalami demam diikuti lemah anggota badan dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di hospital sebelum disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1), pada Jumaat lepas.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham mengharapkan wujudnya kesedaran dalam kalangan ibu bapa tentang pentingnya mengambil suntikan vaksin sebelum pihaknya melaksanakan tindakan mewajibkan pengambilan vaksin.

“Kita kena galakkan dan beri pendidikan kesihatan kepada ibu bapa,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Projek IC PRU: Jangan Jadikan Selangor Seperti Sabah

azmizam luar pc 01

PELABUHAN KLANG, 28 APRIL: Kemunculan pendatang asing yang memiliki kad pengenalan biru di Selangor selepas Pilihan Raya Umum Ke -12 lalu berada di tahap membimbangkan.

Menurut Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri, sekiranya isu ini tidak ditangani segera, Selangor akan menghadapi masalah yang sama seperti dihadapi rakyat dan pasukan keselamatan di Sabah.

“Di Sabah masa isu pencerobohan Lahad Datu, pihak keselamatan tak dapat bezakan mana pendatang asing, mana warganegara sebab pendatang asing ini juga ada kad pengenalan biru.

“Sekarang di Selangor sudah mula menular sebab nak rampas Selangor.

“Saya menyeru supaya kita selamatkan Selangor jangan jadi seperti Sabah gara-gara Umno-BN nak mengekalkan kuasa mereka,” kata Azmizam dalam satu program ceramah di Taman Telok Gadong.

Azmizam berkata, beliau sendiri bertemu dengan empat warga Myanmar yang mendapat kad pengenalan biru secara mudah dan sempat membuat salinan dua daripadanya.

“Saya beri amaran kepada mereka, jangan sampai saya jumpa mereka di tempat mengundi, kalau jumpa siaplah,” kata beliau lagi.

Sebelum ini, bekas Ketua Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tamparuli, Yakup Damsah ketika tampil sebagai saksi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung projek IC mendakwa beliau dan beberapa kakitangan lain menginap di rumah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin bagi melicinkan operasi projek IC.

Abdul Aziz adalah Setiausaha Politik kepada Dr Mahathir pada masa itu untuk mengeluarkan kad pengenalan biru kepada pendatang asing.

Manakala seorang saksi lain turut mengaitkan dua bekas orang kanan Mahathir  berhubung dakwaan pemberian kewarganegaraan untuk jadi pengundi di Sabah.

Bekas Pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, Ramli Kamaruddin turut mendakwa menerima arahan daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub untuk mengeluarkan resit kad pengenalan sementara (resit JPN) dengan tarikh luput kepada warga asing, semata-mata untuk tujuan pilihan raya.

Categories
NASIONAL

Anwar :Suruhanjaya Diraja Siasat Pendatang Asing

PETALING JAYA 13 FEB : Kerajaan Pusat sewajarnya menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja dalam kadar segera bagi menyiasat isu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diberikan hak kewarganegaraan.

Gesaan itu dinyatakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran khuatir dengan peningkatan pengundi dari kalangan pendatang asing yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

“Ini bukan isu Sabah (projek ic), sebaliknya ini adalah isu negara keseluruhannya,”katanya dalam satu sidang media di Ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Baru-baru ini Perdana Menteri Bangladesh, Sheik Hasina Wajed membuat kenyataan mengejutkan apabila mendakwa rakyat negara itu yang bekerja di Malaysia diberi kerakyatan mudah jika mengundi Umno-BN.

Kenyataan itu dipetik dari www.ngoab.gov.bd iaitu laman rasmi Hal Ehwal badan bukan kerajaan (NGO) Jabatan Perdana Menteri negara itu.

Bagaimanapun pendedahan itu dipadamkan selepas 24 jam ia disiarkan.

Skandal pemberian kad pengenalan atas dasar kepentingan politik pemerintah ini bukan pertama kali dibangkitkan oleh pembangkang dan media.

Sebelum ini, skandal yang sama berlaku di Sabah sejak tahun 1980 an dan 1990 an ketika era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Satu kajian melaporkan sehingga 2005, seramai 600,000 pendatang tanpa izin mendapat status kewarganegaraan tetap melalui projek IC di Sabah bertujuan untuk memenangkan Umno-BN dalam pilihanraya.

“Kerajaan perlu memandang serius gesaan tersebut dan bukannya menjadikan ia sebagai suatu agenda politik sempit, kerana masalah ini adalah masalah yang melibatkan kepentingan seluruh negara.

“Oleh yang demikian status kewarganegaraan pendatang asing ini harus disahkan sama ada mereka layak atau tidak mengundi sebelum pilihanraya umum akan datang,”jelasnya.

Anwar menambah, pihaknya tidak membangkitkan soal pendatang asing yang memenuhi syarat menerima taraf kewarganegaraan.