Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 60,000 asnaf dapat bantuan sempena Ramadan, Syawal

PUCHONG, 12 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan bantuan berjumlah RM28 juta kepada 61,315 asnaf seluruh negeri sempena Ramadan dan Syawal tahun ini.

Sebanyak RM18.07 juta disalur kepada 39,445 asnaf miskin, RM8.66 juta untuk 17,787 asnaf fakir manakala baki kepada 4,083 asnaf mualaf.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Abdul Basith Hamid berkata tiga daerah mencatat bilangan penerima tertinggi iaitu Klang, Petaling dan Hulu Langat.

“Setiap tahun ketiga-tiga daerah ini merekod jumlah penerima tertinggi berikutan banyak syarikat kerajaan dan swasta beroperasi di situ selain faktor miskin bandar,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan tersebut kepada 10 penerima bersama Timbalan Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir di Dewan Serbaguna MPSJ Puchong di sini hari ini.

Timbalan Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir (tengah) menyampaikan bantuan Ramadan dan Aidilfitri kepada salah seorang penerima di Dewan Serbaguna MPSJ, Puchong pada 12 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Abdul Basith menjelaskan setiap individu menerima bantuan antara RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan masing-masing.

Menurutnya, bayaran melalui kaedah baucar tunai dikredit ke akaun penerima atau ketua keluarga yang boleh dikeluarkan di mana-mana cawangan Bank Islam.

“Semoga bantuan ini memberi keceriaan dalam menyambut Ramadan dan Syawal. Inilah keberkatan berzakat, yang berada membantu golongan miskin sekali gus membersihkan harta,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima Maimunah Pawan Che, 67, bersyukur atas bantuan untuk meringankan beban keluarganya terutama ketika mendepani wabak Covid-19.

“Ini kali pertama saya terpilih mendapat bantuan LZS. Saya sangat berterima kasih kepada LZS kerana prihatin terhadap golongan susah, lebih-lebih lagi saya yang memiliki ahli keluarga ramai.

“Dalam keluarga saya hanya menantu yang bekerja manakala suami sudah pencen, justeru bantuan seperti ini amat bermakna buat kami,” katanya yang menetap di Shah Alam.

 

Categories
SELANGOR

LZS serah 29 van jenazah bernilai RM4.5 juta

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BUKIT JELUTONG, 10 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan 29 van jenazah bernilai RM4.5 juta kepada masjid terpilih meliputi sembilan daerah, di negeri ini hari ini.

Ketua Pegawai Penyelarasnya, Abdul Basith Hamid berkata, sumbangan itu bagi membantu memudahkan pengurusan jenazah di kariah masjid berkenaan.

Katanya, ia juga diperuntukkan kepada masjid yang tidak memiliki kemudahan kenderaan untuk menguruskan jenazah, terutama di kawasan luar bandar selain mempunyai kariah yang ramai.

“Sumbangan van jenazah ini adalah sebahagian kecil daripada sumbangan zakat di bawah Program Pembangunan Institusi Agama dan sejak 2013 sehingga kini, LZS menyumbangkan 60 buah van dengan jumlah keseluruhan RM7.2 juta.

“Jika pengeluar zakat terus menunaikan zakat melalui LZS, kami akan dapat meneruskan usaha menyalurkan sumbangan bantuan zakat bagi membangunkan institusi agama terutama untuk kebajikan ahli kariah dan surau di seluruh Selangor.

“Dengan sumbangan ini, semoga ia dapat mempermudahkan urusan menguruskan jenazah kepada kariah masjid terpilih,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Van Jenazah di Dewan Besar, Masjid Tengku Ampuan Jemaah, di sini hari ini.

Penyerahan kunci van berkenaan disempurnakan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail sambil disaksikan Pengurus Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Lukman Al-Hakim Mohd Tamyes.

Pada masa sama, Abdul Basith berkata, idea tercetusnya pemberian van jenazah kepada beberapa masjid bermula pada 2013, apabila tular berita sebuah van jenazah dalam keadaan sangat daif di daerah Hulu Selangor.

“Ketika itu pemandu van jenazah salah sebuah masjid di Hulu Selangor sedang membawa jenazah dan van berkenaan tiba-tiba rosak di pertengahan jalan sehingga menyukarkan urusan pengebumian.

“Oleh sebab itu, hasrat kami adalah untuk memastikan seluruh masjid di Selangor yang kurang berkemampuan dapat diberi satu van oleh LZS melalui hasil pengeluaran zakat umat Islam Selangor,” katanya.

Terdahulu, antara 29 masjid terpilih menerima bantuan van jenazah adalah Masjid Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang; Masjid Al Amin, Hulu Langat; Masjid Kariah Rinching Hilir, Semenyih; Masjid Kg Batu 3, Semenyih; Masjid Jamaiyah Morib; Masjid Sultan Abdul Samad, Banting dan Masjid Al-Ehsan Kg Sungai Lang Tengah.

Turut sama menerima Masjid Kampung Sungai Merab, Kajang; Masjid Al-Ulum, Sungai Pelek; Masjid Al-Jannah, Kampung Hj Razali; Masjid Jamek El-Hassanad; Masjid Nurul Hidayah, Kuala Selangor; Masjid Jamiul Hasanah; Masjid Bandar Baru Sungai Buloh; Masjid Ukay Perdana, Ampang; Masjid Al-Ansar Taman Keramat; Masjid Jumhuriah Petaling Jaya; Masjid Riyadhus Solihin, Seri Kembangan dan Masjid Dato Hj Kamaruddin Petaling Jaya.

Manakala, masjid lain termasuk As-Salam Petaling Jaya; Masjid Nurul Huda, Puchong; Masjid Himmatul Aliyah, Seksyen 32 Shah Alam; Masjid Al-Barokah, Seksyen U15; Masjid As-Syukriah, Sungai Besar; Masjid Al-Ehsan, Sabak Bernam; Masjid At-Takwa, Sabak Bernam; Masjid Sungai Tengi, Kuala Kubu Bharu; Masjid Al-Falah, Batang Kali dan Masjid Bandar Utsma Batang Kali.

Categories
AGAMA SELANGOR

LZS kutip RM757 juta wang zakat 2017

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 9 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjaya mengutip zakat sebanyak RM757 juta sepanjang 2017, kata Ketua Pegawai Penyelarasnya, Abdul Basith Hamid.

Katanya, daripada jumlah tersebut, RM444.8 juta adalah zakat pendapatan, diikuti zakat perniagaan RM161.3 juta dan lain-lain zakat RM150.1 juta.

“Berdasarkan penyata kutipan dan agihan zakat 2017, zakat pendapatan melalui Skim Potongan Gaji menyumbangkan 40 peratus kepada kutipan zakat di negeri ini.

“Dicatatkan 4,217 syarikat, atau lebih kurang seramai 182 ribu kakitangan Islam menunaikan tanggungjawab mereka dengan jumlah keseluruhan kutipan RM302 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan pada Majlis Serahan Sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit Hospital (TKPH) di Hospital Shah Alam, semalam.

Sehingga kini, pada 2018, LZS sudahpun menguruskan RM377 juta transaksi zakat.

Abdul Basith berkata, setiap tahun pihaknya berusaha menyempurnakan amanah lebih 270 ribu pengeluar zakat di negeri ini dengan mengagihkan zakat
kepada lapan asnaf berhak.

“Dalam Islam, kita sentiasa dituntut supaya mempertingkatkan sumbangan dan khidmat kepada golongan memerlukan terutama bagi ibadah zakat,” katanya.

Categories
SELANGOR

LZS sempurna amanah 270 ribu pengeluar zakat

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA LANGAT, 13 MEI: Setiap tahun Lembaga Zakat Selangor (LZS) berusaha menyempurnakan amanah lebih 270 ribu orang pengeluar zakat di negeri itu.

Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid berkata, tahun lalu sahaja LZS berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan menyediakan kemudahan terbaik kepada umat islam dengan jumlah transaksi RM757.1 juta.

Katanya, berdasarkan Penyata Kutipan dan Agihan Zakat bagi tahun lalu yang telah diaudit Deloitte PLT sebanyak RM88.1 juta berjaya diagih kepada asnaf fakir.

“Sebanyak RM205.7 juta kepada asnaf miskis, RM45.1 juta untuk asnaf mualaf dan RM22.6 juta untuk asnaf riqab.

“Manakala, lagi RM47.8 juta kepada asnaf gharim dan RM112.3 juta kepada asna fisabilillah serta RM247 ribu untuk asnaf ibnu sabil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ketika berucap dalam majlis Serahan Bantuan Ramadan & Raya Perdana 2018 di Universiti Mahsa, Saujana Putra Kampus, di sini, semalam.

Selain itu katanya, daripada jumlah tersebut sebanyak RM295.6 juta untuk program Pembangunan Sosisal seperti bantuan kewangan, bantuan makanan bulanan, bantuan perubahan, bantuan ramadan, bantuan sewa rumah dan lain-lain.

“Sementara RM164.6 juta pula diagihkan untuk program Pembangunan Pendidikan termasuk bantuan yuran persekolahan, bantuan peralatan sekolah dan dermasiswa.

“LZS juga mengagihakn RM35.1 juta untuk program Pembangunan Insan selain program Pembangunan Institusi Agama selain program Pembangunan Ekonomi masing-masing diagihkan RM18.1 juta dan RM8.5 juta,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Basith berkata, LZS terus komited menyantuni ummah dalam apa jua keadaan.

Categories
SELANGOR

LZS serah 10 van jenazah berjumlah RM1.2 juta

OLEH SHEEDA FATHIL

PUCHONG, 9 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan 10 van jenazah bernilai RM1.2 juta kepada masjid terpilih di negeri ini, hari ini.

Ketua Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid berkata, sumbangan van jenazah berkenaan merupakan salah satu inisiatif bantuan zakat di bawah asnaf fisabilillah bertujuan membantu memudahkan pengurusan jenazah.

“Ia diperuntukan kepada masjid yang tidak memiliki kemudahan kenderaan untuk mengurus jenazah terutamanya di kawasan luar bandar selain mempunyai kariah yang ramai.

“Untuk makluman, sumbangan van jenazah ini adalah sebahagian kecil daripada sumbangan zakat di bawah Program Pembangunan Institusi Agama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan van jenazah bertempat di Masjid Seri Aman, Puchong, di sini, hari ini.

Abdul Basith berkata, idea tercetusnya pemberian van jenazah kepada beberapa masjid bermula 2013, apabila tularnya satu berita mengenai sebuah van jenazah dalam keadaan sangat daif.

“LZS komited memberikan bantuan pembangunan institusi agama Islam di Selangor malah setakat ini sahaja kami sudah menyumbangkan 50 van jenazah dengan jumlah keseluruhan RM6 juta,”katanya.

Selain itu, Abdul Basith berkata, LZS mensasarkan 15 van jenazah akan diserahkan di beberapa masjid Selangor pada tahun ini.

Terdahulu, antara 10 masjid terpilih menerima bantuan van jenazah adalah Masjid Kariah Kampung Kuala Perdik, Hulu Langat; Masjid Kariah Lubuk Kerubi, Hulu Langat; Masjid Kariah Sungai Kembong Hilir, Kajang; Masjid Kariah Kampung Jawa, Hulu Langat dan Masjid Kampung Seri Aman, Puchong.

Manakala, masjid lain termasuk Masjid Al-Ubudiah, Hulu Selangor; Masjid Nurul Husna Felda Sungai Tengi Selatan, Hulu Selangor; Masjid Ar-Ridzuan, Bestari Jaya; Masjid At-Taqwa, Kuala Selangor dan Masjid An’Nur Kampung Kanchong Tengah, Kuala Langat.

Sementara itu, Nazir Masjid Kampung Kuala Perdik, Nahar Yakub berkata, beliau gembira LZS sudi memberi bantuan van jenazah memandangkan van sedia ada sudah mempunyai pelbagai masalah.

“Terima kasih kepada LZS kerana sudi memberi van jenazah dan kami akan berusaha menguar-uarkan perkara ini kepada penduduk setempat,” katanya.

Manakala Nazir Masjid Kariah Lubuk Kerubi, Zainun Daud berkata, dengan harapan semoga inisiatif LZS itu diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Terima kasih kepada LZS kerana sudi memberikan van jenazah malah ia sedikit sebanyak dapat membantu kerja pengurusan jenazah dan pengebumian dengan lebih cepat,” katanya.

Categories
SELANGOR

LZS Sumbang 200 Komputer Riba Kepada Mahasiswa Selangor

Zakat Selangor Sumbang Laptop pada Anak Yatim 01

SHAH ALAM 13 MAC : Seramai 200 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) menerima sumbangan bantuan komputer daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bernilai RM 2,000 setiap satu.

Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, pemberian bantuan itu melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM400,000.

“Pemberian komputer riba ini diharap mampu menjentik motivasi kepada para pelajar tajaan LZS yang lain, khususnya anak-anak asnaf untuk berusaha lebih gigih dalam pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Mesra Pelajar Tajaan Lembaga Zakat Selangor yang diadakan di Dewan Pro-Canselor Universiti Selangor (Unisel) di sini.

Ujarnya, para pelajar disaran untuk memanfaatkan penggunaan komputer riba tersebut untuk tujuan berfaedah demi menggapai kecemerlangan berterusan dalam pendidikan.

Zakat Selangor Sumbang Laptop pada Anak Yatim 02Bantuan ini hanya terbuka kepada asnaf kelahiran Selangor dan belajar di IPT yang berada di dalam negeri ini.

Sebelum ini, LZS memulakan pemberian komputer riba sejak 2004 kepada mereka yang cemerlang dengan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.0 ke atas dan ia dibuat berdasarkan permohonan dan memenuhi kriteria tertentu.

Walaubagaimanapun, bermula pada tahun ini mereka yang memperolehi PNGK 2.5 ke atas layak juga menerimanya.

Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, para pelajar yang sudah berjaya diharapkan mampu menjadi penyumbang pembayaran zakat di masa hadapan apabila sudah berkerjaya.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar, Pejabat Agihan LZS, Abdul Basith Hamid dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Unisel, Prof Madya Zainal Abidin Kidam.

Sehingga Disember 2012, LZS telah membiayai sejumlah 2,320 mahasiswa asnaf fakir dan miskin yang melanjutkan pengajian di IPTA dan IPTS seluruh negara bermula dari peringkat sijil hingga doktor falsafah.