Categories
NASIONAL SELANGOR

SYABAS Gagal Guna Modal CAPEX Untuk Manfaat Pengguna

PC EXCO Jan 2013 MB 01

SHAH ALAM, 23 JAN : Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas) didapati gagal menggunakan Perbelanjaaan Modal(Capex) yang diberikan Kerajaan Negeri bagi beberapa projek pembangunan seperti digariskan syarikat itu sebelum ini.

Antaranya, Syabas didapati gagal melaksanakan projek menaiktaraf loji rawatan air Bernam River Headwork (BRH) yang keupayaan asalnya ialah 40.6 Juta Liter Sehari (JLH) kepada 65.5JLH pada tahun 2008 dengan kos sebanyak RM45 juta.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sehingga hari ini, loji itu hanya mampu menyalurkan 25JLH secara efektif kepada pengguna atas sebab-sebab kepincangan dan kegagalan perancangan oleh Syabas.

Malah katanya, pada tahun 2010, Syabas sekali lagi memohon peruntukan sebanyak RM15 juta untuk melaksanakan pembinaan dua stesen pam booster bagi memastikan penyaluran air dari Loji BRH berada pada kapasiti 65.5JLH.

“Syabas juga didapati gagal meningkatkan kapasiti agihan Loji Rawatan Air (LRA) Rasa di mana Syabas menyatakan bahawa projek bernilai RM90 juta itu boleh menyalurkan air sebanyak 180JLH ke kawasan Bukit Beruntung dan sekitarnya.

“Namun setelah siap projek ini, ia gagal untuk menyalurkan air sebagaimana yang dirancangkan. Hasilnya hanya 90 hingga 100JLH sahaja dapat digunakan bagi membekalkan air ke Bukit Beruntung, Bukit Sentosa, Sungai Buaya dan sebahagian kawasan Rawang pada masa ini.

“Perancangan Syabas secara tidak menyeluruh menyebabkan syarikat itu sekali lagi mencadangkan untuk membina sebuah sistem pam penggalak di Kolam Panca Rasmi dan beberapa penyambungan sesalur agihan sedia ada dengan kos RM81 juta,” katanya dalam sidang media di SUK, hari ini.

Tambahnya, Syabas gagal menyelenggara aset bekalan air yang dimeterai melalui Perjanjian Konsesi pada tahun 2004, di mana syarikat konsesi itu didapati tidak mempunyai penyelenggaraan berkala terhadap sistem Variable Speed Drive (VSD) di Rumah Pam Wangsa Maju sejak 2008 lagi.

Selain itu, syarikat konsesi tersebut juga gagal memanfaatkan sistem sedia ada bagi memastikan sistem beroperasi dengan baik tanpa sebarang gangguan bekalan air seperti yang berlaku baru-baru ini.

“Apabila Syabas menyedari keadaan di Rumah Pam Wangsa Maju, maka Syabas sepatutnya melihat kepada alternatif sedia ada untuk mengurangkan beban tersebut antaranya melaksanakan pengagihan semula menggunakan sistem agihan alternatif atau rumah pam penggalak “AU3 Booster” bagi mengurangkan beban di Rumah Pam Wangsa Maju.

“Rumah pam AU3 Booster ini tidak digunakan Syabas sejak 2004 dan hanya diaktifkan semula pada 30 Disember 2012. Persoalannya mengapa Syabas tidak menggunakan rumah pam itu sebagai usaha mengatasi masalah yang berlaku? Sebaliknya, Syabas terus menuding jari kepada Kerajaan Negeri,” katanya lagi.