Categories
SELANGOR

Abdul Khalid : YAPIS Untuk Bela Sekolah Agama Rakyat

pic buletin 13 - 12Apr13 6ptg

KLANG, 13 APRIL : Kerajaan Negeri menubuhkan Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS) supaya dapat membela nasib Sekolah Agama Rakyat (SAR), Maahad Tahfiz dan sekolah pondok di seluruh Selangor yang diabaikan oleh Kerajaan Umno-BN sebelum 2008.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, YAPIS ditubuhkan supaya semua institusi pendidikan agama di seluruh Selangor dapat pembelaan yang sewajar oleh satu yayasan.

Katanya, SAR tidak mendapat perhatian dan pemantauan daripada Kerajaan Negeri sebelum 2008 hingga menyebabkan rata-rata pelajarnya keciciran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Dengan cara ini, aktiviti pendidikan Islam yang terutamanya dipanggil sekolah-sekolah pondok dahulu dapat diperkemaskan dan dipertingkatkan lagi.

“Dan kita dapati juga hasil daripada usaha ini begitu ramai pelajar-pelajar yang dulunya tercicir di sekolah telah dapat dirangkumi semula.

“Sebagai contoh, lebih daripada 100 anak-anak muda kita tercicir daripada pelajaran tetapi mereka dapat peluang kedua untuk menyertai Sekolah Tahfiz ini dan menjalankan program antara lain menghafaz Al-Quran dan kita sulami dengan beberapa program pendidikan yang membolehkan mereka menduduki SPM,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Dana Pendidikan Kepada YAPIS bertempat di Kompleks Tahfiz Al-Quran Sofiuddin (KOMTAS), Kampung Sungai Delek, Klang.

Dalam majlis itu, Abdul Khalid menyampaikan dana sebanyak RM1 juta kepada YAPIS di mana pemberian dana itu dipersetujui Kerajaan Negeri pada tahun lalu.

Sepanjang lima tahun ini juga, Kerajaan Negeri telah menyalurkan dana sebanyak RM32.5 juta bagi pembangunan infrastruktur SAR di seluruh Selangor.

Turut hadir pada majlis itu, Dr Halimah Ali, Timbalan Pengerusi YAPIS, Prof Dr Zainal Abidin Kidam, Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad serta hampir 300 pelajar tahfiz dan penduduk setempat.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Abdul Khalid : PR Sasar 45 Kerusi DUN Selangor

Majlis Pecah Tanah MB 03

KLANG, 12 APRIL: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mensasarkan Pakatan Rakyat(PR) Selangor mampu memenangi sehingga 45 buah kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU-13) akan datang.

“Sekarang kita memenangi 36 kerusi, sasaran kita ialah sampai ke 45, itu kita punya sasaran,” katanya PR perlu bergerak sebagai satu pasukan untuk mendapatkan sasaran itu.

Abdul Khalid berkata demikian ketika sidang media di Majlis Penyerahan Dana Pendidikan Kepada Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS) bertempat di Kompleks Tahfiz Al-Quran Sofiuddin(KOMTAS), Kampung Sungai Delek, Klang di sini hari ini.

Dalam pada itu, PKR akan mengumumkan senarai calonnya yang akan bertanding di Selangor pada 14 April ini di Padang Bola AU2, Hulu Klang.

Seterusnya PR Selangor pula akan mengumumkan semua calon pakatan tersebut dan termasuk pembentangan manifesto pada 17 April ini bertempat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Pada PRU-12 lalu, PR Selangor berjaya menewaskan Umno-BN yang hanya memenangi 20 kerusi DUN bagi membentuk sebuah Kerajaan Negeri pada tahun 2008.