Categories
KENYATAAN MEDIA

Kadar TOL tinggi terhadap penternak ikan sangkar tidak benar

OLEH ZAIDY ABD TALIB

Isu yang dibangkitkan oleh penternak ikan sangkar di Pulau Ketam semasa penyerahan memorandum oleh Pengerusi Komuniti Keselamatan Dan Pembangunan Pulau Ketam, Chia Mong Chun kepada Ketua MCA Kapar, Datuk Song Kee Chai berkenaan dengan kadar TOL dikenakan kepada penternak oleh Kerajaan Negeri seperti yang dilaporkan The Star Online pada 23 Jun 2017 adalah tuduhan tidak berasas.

Berdasarkan laporan tersebut, penternak ikan sangkar Pulau Ketam dikatakan telah dibebankan dengan kadar TOL tinggi pada kadar RM2 sekaki persegi di mana dengan caj pada kadar tersebut penternak perlu membayar di antara RM60,000 hingga RM100,000 setahun.

Untuk makluman, jumlah sebenar kadar bayaran TOL dipersetujui Kerajaan Negeri hanyalah sebanyak RM0.40 semeter persegi setahun di mana kadar tersebut dipersetujui dan disahkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke 15/2016 pada 27 April 2016 berbanding dengan kadar nilaian diberikan Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH) iaitu sebanyak RM4 semeter persegi setahun.

ybzaidy-2Kadar bayaran TOL kepada pengusaha ikan dalam sangkar (SKL) ditetapkan Kerajaan Negeri antara terendah jika dibandingkan dengan beberapa negeri lain.

Sebagai contoh, Pulau Pinang RM0.45 semeter persegi, Perak RM0.60 semeter persegi dan Johor RM0.50 semeter persegi.

Anggaran keluasan setiap pengusaha di kawasan penternakan ikan dalam sangkar di Pulau Ketam adalah maksima 20,000 meter persegi manakala keluasan minima pula sekitar 500 meter persegi.

Berdasarkan kepada pengiraan dengan keluasan maksima 20,000 meter persegi untuk kadar bayaran TOL sebanyak RM0.40 semeter persegi adalah berjumlah RM8,000 setahun.

Manakala jika mengambil kira keseluruhan caj-caj sedia ada dikenakan oleh Jabatan Perikanan Selangor untuk tempoh setahun adalah lebih kurang RM9,070 dan caj tersebut tidak termasuk caj levi pekerja asing ditetapkan Kerajaan Pusat.

Kadar caj sedia ada ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Selangor adalah seperti berikut :-

a. Lesen Sistem Kultur Laut (SKL) pada kadar RM10.00 setahun bagi setiap sistem kultur yang meliputi permukaan air seluas 200 meter persegi atau kurang dan bagi setiap tambahan kawasan permukaan air seluas 100 meter persegi atau sebahagian daripadanya, suatu fi sebanyak RM5.00 setahun; dan

b. Lesen Bot Sistem Kultur Laut pada kadar maksimum RM70.00 per bot setahun mengikut kategori bot (kuasa kuda).

IKAN SANGKARAtas dasar keperihatinan Kerajaan Negeri dalam membantu semua golongan petani, penternak dan juga nelayan termasuk penternak ikan dalam sangkar di Pulau Ketam ini, saya akan mengadakan pertemuan dengan kesemua para penternak ikan dalam sangkar di Pulau Ketam dalam masa terdekat.

Ia bagi memberikan penerangan dan menjelaskan perkara sebenar serta tepat berhubung dengan isu kadar bayaran TOL dan dalam masa sama mendengar sendiri keluhan dan masalah yang mereka hadapi.

Diharapkan agar para penternak ikan dalam sangkar dapat merujuk kepada pihak yang berautoriti bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan jelas agar tidak timbul salah faham dan sebagainya.

* Zaidy Abdul Talib adalah Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor perluas pertanian teknologi moden

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 28 JUN : Kerajaan Negeri giat melaksanakan pelan pembangunan pertanian moden bagi meningkatkan hasil produk tani sepanjang 2017 ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, penggunaan teknologi fertigasi dilaksanakan secara meluas melibatkan 400 usahawan tani.

“Penggunaan teknologi moden menyebabkan pengeluaran sebanyak 27,000 MT setahun sekali gus menyumbang kepada 33 peratus pengeluaran tani negara.

ybzaidy-2“Namun pilot projek kita tentunya ‘Plant Factory’ iaitu penanaman dalam bangunan dilaksanakan penuh jaya hasil komitmen Jabatan Pertanian Gombak dan seterusnya akan diperluaskan di seluruh negeri,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama katanya, teknologi moden seperti ‘precision farming’ dengan menggunakan perisian dan peralatan ‘drone’ untuk menentukan kawasan penyemburan baja dan racun diyakini mampu menjana kepada perolehan hasil tani.

Beliau berkata, walaupun keluasan pertanian negeri tidak seluas negeri lain, namun hasil keberkesanan kaedah moden membolehkan Selangor menjadi antara pengeluar hasil tani khususnya padi tertinggi negara.

“Keluasan pertanian negeri sekitar 19,000 HA dengan jumlah petani seramai 15,700. Tetapi kita berjaya meningkatkan hasil purata padi negera tertinggi dengan 6.1 MT/HA berbanding purata Malaysia.

“Bahkan dari tahun 2002-2016 Selangor dianugerahkan MyGap 727 My Organic 28 atas kejayaan kita,” katanya.

Categories
SELANGOR

Inisiatif SUKE, EKVE atasi isu banjir memuaskan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 MEI: Kerajaan Negeri mengadakan lawatan tapak ke lokasi projek Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang Elevated Expressway (SUKE) dan Lebuhraya East Klang Valley Expressway (EKVE), pada 15 Mei lalu.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, ia bagi memastikan kerja dilakukan mengikuti syarat pembangunan ditetapkan.

Katanya, lawatan juga diadakan bagi menilai langkah penambahbaikan dilakukan susulan kejadian banjir lumpur dari kawasan projek yang menjelaskan penduduk sekitar.

“Untuk SUKE di Taman Bukit Teratai, Ampang, Kerajaan Negeri berpuas hati dengan perancangan mitigasi yang dikemukakan juga pembinaan saliran diperbesarkan.

ZAIDY PANTAU (4)“Bagaimanapun, kita masih belum berpuas hati khususnya berkaitan dengan reka bentuk dan penyelenggaraan kolam takungan serta perangkap lumpur.

“Maka Kerajaan Negeri mengarahkan kerja penambahbaikan dilakukan dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan.

Zaidy yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemantau Pelaksanaan Lebuhraya Di Dalam Negeri Selangor berkata, Kerajaan Negeri turut berpuas hati dengan kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan diambil bagi projek Lebuhraya EKVE di sekitar Felda Semungkis, Batu 14, Hulu Langat.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa memantau semua projek pembinaan lebuh raya dengan mengadakan perbincangan dan lawatan ke tapak dari semasa ke semasa,” katanya.

Lawatan turut disertai Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Kementerian Kerja Raya (KKR), Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS) dan syarikat konsesi Projek Lintasan Sungai Besi – Ulu Kelang Sdn Bhd (Prolintas) serta syarikat konsesi EKVE Sdn Bhd.ZAIDY PANTAU (3) ZAIDY PANTAU (1) ZAIDY PANTAU (2)

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Proses akhir kemas kini agihan bantuan BLB

SHAH ALAM, 19 APRIL: Pengagihan bantuan kepada pesawah yang terkesan ekoran serangan wabak Hawar Daun Bakteria (BLB) dilakukan secara berperingkat, kata Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.

Beliau berkata, tidak timbul sebarang isu kononnya pengagihan tidak disalurkan secara adil memandangkan senarai pengusaha tani yang terjejas masih lagi dalam proses kemas kini.

“Berdasarkan bancian Jabatan Pertanian, senarai lot yang terkena serangan BLB sudah dikenal pasti berserta nama pengusaha untuk diedarkan kepada ketua blok bagi mengesahkan pengusaha sebenar yang mengusahakan lot berkaitan.

“Ketua blok mengemukakan senarai dikemas kini kepada Jabatan Pertanian berserta dokumen salinan kad pengenalan untuk proses pembayaran. Senarai yang dikemas kini dijangka siap pada 21 April ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, selepas proses kemas kini selesai, Jabatan Pertanian akan mengemukakan senarai kepada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) untuk proses pembayaran bantuan pada kadar RM960 mengikut lot.

ZAIDY TALIB (2)“Majlis penyerahan cek akan dibuat secara berperingkat oleh Kerajaan Negeri, namun sebelum bantuan diberikan, Kerajaan Negeri sudah mengedarkan input baja mikrob sebanyak 2,000 botol untuk 2,000 lot sawah terlibat dan 2,600 racun rumpai bagi 2,600 lot sawah.

“Jumlah peruntukan terlibat dianggarkan RM942,000,” katanya.

Untuk makluman, sektor pertanian adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, namun keprihatinan Kerajaan Negeri melangkaui fungsi sebenar dasar berkebajikan itu.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan rungutan pengusaha tani yang masih belum menerima bantuan BLB walaupun peruntukan RM8.5 juta sudah diluluskan di peringkat negeri.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada isu berat sebelah bantuan pesawah

SHAH ALAM, 19 APRIL: Tiada isu berat sebelah terhadap penyaluran bantuan kepada pesawah yang terkesan ekoran serangan wabak Hawar Daun Bakteria (BLB).

Justeru, Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, kenyataan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos kononnya bantuan tidak diagihkan secara adil hanya fitnah.

“Memang dakwaan (Jamal) tidak betul dan bersifat tohmahan. Untuk makluman, edaran dibuat berdasarkan bancian dijalankan Jabatan Pertanian Negeri berkenaan kadar kerosakan hasil tani.

“Bantuan pula disalurkan kepada pengusaha dan bukannya pemilik sekitar 15,000 (hasil semakan awal),” katanya ringkas kepada SelangorKini.

Memetik laporan Sinar Harian, Jamal mendedahkan wujud agihan bantuan bersifat politik dan tidak disalurkan kepada pesawah di kawasan terlibat.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri sebelum ini mengumumkan bantuan RM8.5 juta sebagai inisiatif berkebajikan pengusaha walaupun keperluan itu sebenarnya di bawah bidang kuasa pentadbiran Putrajaya.

Zaidy Abdul Talib (1)Serangan BLB sejak awal Januari lalu menyebabkan hasil sawah padi seluas 3,700 hektar di Sabak Bernam musnah dengan kerugian hampir RM5 juta.

Serangan itu dikatakan paling teruk berlaku pada musim kedua tahun ini selepas serangan terakhir, pada 2013.

Setakat ini tiada kawalan ampuh mampu menghalang serangan BLB yang boleh dibawa manusia, peralatan dan angin.

-AA-

Categories
SELANGOR

Nelayan tak pernah dipinggir

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 APR: Kerajaan Negeri tidak mempunyai cadangan untuk memberikan bantuan secara ‘one-off’ kepada nelayan, buat masa ini, kata Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.

Beliau berkata, golongan itu bagaimanapun tidak pernah dipinggirkan Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan hasil dan pendapatan mereka.

Katanya, sejumlah RM1.3 juta diperuntukkan dalam bentuk bantuan enjin, sampan dan peralatan menangkap ikan membabitkan 144 penerima, pada 2015.

zaidy-dun“Bermula 2016, dasar pemberian ditambah baik iaitu bentuk bantuan adalah berbentuk peralatan menangkap ikan sahaja dan kita tidak lagi memberikan bantuan sampan serta enjin.

“Ini disebabkan dengan peruntukan yang ada, lebih ramai lagi golongan nelayan dapat merasai bantuan disediakan,” katanya ketika sesi penggulungan Menjunjung Titah Sultan Selangor, di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin membangkitkan isu pemberian bantuan secara ‘one-off’ kepada nelayan.

Zaidy berkata, sejumlah RM824,390 diperuntuk kepada 732 nelayan dalam bentuk bantuan peralatan menangkap ikan seperti GLobal Positioning System (GPS) dan jaring menangkap ikan, pada 2016.

“Ia tidak termasuk RM607,780 membabitkan 168 penerima dalam kalangan usahawan akuakultur yang menjadikan jumlah keseluruhan RM1.4 juta dengan 900 penerima,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Projek WCE capai 30.19%

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 MAC: Kerajaan Negeri dimaklumkan kemajuan pembinaan Projek Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) sehingga Febuari 2017 mencapai 30.19 peratus.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata jajaran WCE seksyen 7 yang melibatkan Assam Jawa – Tanjong Karang masih dalam proses dimuktamadkan di peringkat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bil 30/2005 yang diadakan pada 30 November 2005 secara dasarnya telah menimbang dan bersetuju dengan pembinaan lebuhraya WCE.

“Pada Febuari 2017, Kerajaan Negeri dimaklumkan bahawa peratus kemajuan jajaran lebuhraya yang terlibat di Selangor adalah sebanyak 30.19 peratus,” katanya pada Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-13, hari ini.

WCEJelasnya, Kerajaan Negeri juga mengarahkan pemaju supaya melaksanakan tindakan tertentu bagi mengelakkan kacau ganggu terhadap rutin harian penduduk.

Katanya, antara tindakan diambil termasuklah melaksanakan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) bagi mengawal kesan aliran trafik di kawasan jalanraya terlibat.

Selain itu, pemaju juga diarah mematuhi arahan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Pelan Pengurusan Alam Sekitan (EMP), Pelan Keselamatan Projek (PSP), Pelan Kualiti Projek (PQP) dan Amalan Pengurusan Terbaik (BMP).

-nR-

Categories
SELANGOR

Tingkat hasil cili dan rock melon dengan Teknologi Fertigasi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 APR: Kerajaan Negeri mensasarkan pengeluaran cili sebanyak 1 juta polibeg dan sebanyak 700,000 polibeg bagi pengeluaran tanaman rock melon tahun ini melalui teknologi fertigasi.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian memfokuskan pengeluaran tanaman itu sebagai satu program Smart Agriculture.

Katanya, kedua-dua tanaman itu difokuskan memandangkan ia mempunyai pasaran yang baik masa kini.

“Sehingga kini, terdapat 490 petani dengan keluasan 1,088 yang mengusahakan tanaman secara teknologi fertigasi,” katanya yang menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Hasbullah Mohd Ridzwan.

zaidy-dunPada masa sama, Zaidy berkata Jabatan Pertanian kini sedang menguji dan mempromosikan penggunaan ‘plant factory’ sebagai inisiatif Smart Agriculture.

Katanya, menerusi teknologi ‘plant factory’, tanaman sayuran dapat dikeluarkan daripada kawasan yang kecil menggunakan teknologi pencahayaan buatan dengan pembekalan nutrien secara hidroponik dan sesuai digunakan di kawasan bandar.

Terdahulu, Zaidy berkata Kerajaan Negeri sentiasa merangka untuk penambahbaikkan dalam sektor pertanian dengan menfokuskan teknologi baru.

Katanya, pengusaha tanaman pertanian disaran menggunakan teknologi fertigasi bagi melipatgandakan hasil seterusnya menjana lebih pendapatan.

Beliau berkata, sektor pertanian perlu memaksimumkan pengeluarannya ekoran hanya lima peratus kawasan pertanian berasaskan makanan.

-nR-

Categories
SELANGOR

Naik taraf jalan ke Puncak Alam 90% siap

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 APR: Status kerja di tapak projek naik taraf Jalan Meru Tambahan ke Puncak Alam mencapai 90 peratus berbanding 86 peratus mengikut jadual, setakat 16 Mac lalu.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, Audit TMP (Pelan Pengurusan Trafik) dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor setiap tiga bulan sekali bagi memastikan penilaian keselamatan awam.

Katanya, dua perkara diaudit ketika Audit TMP iaitu dokumentasi dan keadaan di tapak.

“Bagi item dokumentasi, ia termasuk pelantikan Traffic Management Officer, TMP, laporan Road Safety Audit Stage 4 serta laporan Traffic Management Safety Report (TMSR).

zaidy-dun“Bagi item keadaan di tapak, antara diaudit termasuk zon kawalan trafik semasa pembinaan, keratan rentas jalan, papan tanda sementara di tapak bina, penggunaan penghadang, delineation (blinker dan string delineator) tandaan jalan dan jalan di tapak,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Dr Abdul Rani Osman berhubung projek naik taraf Jalan Meru Tambahan ke Puncak Alam.

Zaidy berkata, kontraktor membuat penyenggaraan rutin sepanjang tempoh pembinaan secara pusingan setiap tiga bulan atau mengikut keperluan.

“Kerja penyenggaraan secara pusingan termasuk penyenggaraan perabot jalan, penyenggaraan jambatan, pembentung dan parit.

“Kerja penyenggaraan dijalankan mengikut keperluan termasuk menyenggara jalan sedia ada dengan membaiki permukaan jalan dan menyenggara bahu jalan, memotong rumput di bahu jalan, cerun, longkang dan median, mengecat semula tanda jalan sekiranya pudar, pembaikan kecil saliran dan kerja lanskap,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Selangor terima RM497 juta peruntukan MARRIS bagi 2016

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 MAC: Sejumlah RM497 juta diterima pada 2016 bagi peruntukan Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri (MARRIS), kata Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.

Beliau berkata, bagaimanapun pecahan pemberian MARRIS bagi tempoh sama mencecah RM687.6 juta.

Katanya, ia termasuk peruntukan bagi Jabatan Kerja Raya (JKR) sebanyak RM196 juta, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan RM2 juta, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) berjumlah RM11 juta dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan RM478.6 juta.

“Prestasi perbelanjaan keseluruhan MARRIS bagi semua jabatan bagi 2016 juta mencapai tahap 97 peratus,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak berhubung peruntukan MARRIS.

Zaidy berkata, prestasi perbelanjaan MARRIS di bawah JKR mencapai 100 peratus, diikuti JPS dengan 99 peratus, PBT (97 peratus) dan PDT (86 peratus).

-nR-

Categories
SELANGOR

Tangki simpanan air tanggungjawab pemaju

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 MAC: Tanggungjawab menyelenggara, menjaga keselamatan dan kebersihan tapak tangki air adalah di bawah pemaju sehingga diserahkan kepada pemegang lesen bekalan air.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, ia adalah selaras peruntukan dalam Kaedah-kaedah Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi Air dan Pemasangan Paip) 2014.

“Peruntukan itu merangkumi Bahagian III (Bab 1: Pelaksanaan Tanggungjawab) dan Bahagian III (Bab 4: Penyerahan Sistem Bekalan Air).

“Pemaju dikehendaki mematuhi kesemua keperluan teknikal sebelum menyerahkan sistem bekalan air kekal kepada pemegang lesen.

“Hal ini termasuk pematuhan terhadap penyerahan tangki air untuk tujuan pewartaan sebagai Rizab Bekalan Air sebelum diambil alih dan dioperasi pemegang lesen,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

ZAIDY DUNBeliau merujuk soalan lisan dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han berhubung menara tangki simpanan air.

Zaidy berkata, terdapat 14 sistem simpanan air gagal diserahkan kepada Air Selangor disebabkan kegagalan pemaju menyiapkannya mengikut pelan dan mengemukakan Borang 12B tapak tangki air untuk pewartaan Rizab Bekalan Air.

“Untuk kes khusus seperti pemaju bankrap, ia bergantung kepada proses pemulihan sesuatu projek, sama ada diambil alih Kerajaan Negeri atau pihak lain.

“Selepas diambil alih, tanggungjawab berkenaan akan diambil alih pemaju baru,” katanya menjawab soalan tambahan Sze Han.

-nR-

Categories
SELANGOR

Lebih 5,000 dijangka kunjungi SFV sempena cuti sekolah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM – Selepas tujuh tahun tidak menerima pengunjung, Selangor Fruits Valley (SFV) kini dibuka semula sempena cuti persekolahan penggal pertama.

Pembukaan SFV itu bermula 18 hingga 26 Mac ini dengan tiket bagi kanak-kanak dan warga emas RM4 serta dewasa RM7.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, Kerajaan Negeri menjangkakan seramai 5,000 pengunjung hadir sepanjang cuti sekolah ini.

Katanya, pembukaan itu ekoran sambutan yang menggalakkan sewaktu Sambutan Tahun Baru Cina, baru-baru ini.

SFV 3“Seramai 700 pengunjung direkodkan pada pembukaan sambutan itu dan kita mendapat maklum balas positif, pujian serta cadangan untuk dibuka cuti sekolah ini walaupun tidak diwar-warkan secara meluas.

“Kita jangkakan SFV menerima kira-kira 5,000 pengunjung hadir,” katanya kepada SelangorKini.

Zaidy berkata ketika ini, 90 peratus infrastruktur sudah dibina untuk fasa awal dan dijangkakan akan siap keseluruhannya dalam tempoh terdekat.

Katanya, pembukaan rasmi kepada umum dijangka akan dibuka pada bulan Mei depan.

Terdahulu, Pengurus Besar Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Tamby Omar Mohammed berkata kawasan tanaman pertanian itu sudah mula mengeluarkan hasil terutama kelapa pandan, jambu batu, kacukan nangka dan cempedak (nangcem) serta buah-buahan bermusim.

SFV 2Dengan pembukaan semula SFV, pihaknya turut menawarkan beberapa tarikan baharu termasuk laman herba, taman herba, penternakan dan pengeluaran madu kelulut, taman rusa, taman arnab di menara tinjau, selain penternakan kambing serta ladang kelapa pandan.

SFV yang berkeluasan 1,000 ekar itu dijangka akan menjadi satu lagi tarikan pelancongan pertanian di Selangor dan melengkapi produk pelancongan di daerah berdekatan.

Orang ramai boleh mengunjungi SFV di KM7, Jalan Batang Berjuntai, Rawang, Selangor.

-nR-