Categories
SELANGOR

Peruntukan RM9.5 juta untuk JPS bangun pantai

 

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 NOV: Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan RM9.5 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) bagi kerja pembangunan pantai di seluruh Selangor, pada tahun depan.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM7.2 juta diperuntukkan untuk memperkukuhkan benteng pantai.

“Antara kawasannya adalah ban pantai di Batu Laut, Kuala Langat: Tanjung Rhu, Sepang; Remis, Kuala Selangor dan juga benteng pantai Coastel Belt, Sabak Bernam.

“Manakala bagi pemeliharaan dan pemuliharaan pantai juga muara pula mendapat peruntukan RM2.3 juta membabitkan kerja pengorekan muara sungai di Kuala Langat dan Sabak Bernam, mendalamkan muara Sungai Sekinchan serta juga pembaikan tembok penahan ombak di dataran Morib,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan usul belanjawan peruntukan pembangunan 2018 dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), semalam.

Berhubung projek menaik taraf benteng di muara Sungai Sekinchan, beliau berkata, ia dalam proses mereka bentuk dalaman dan akan ditender pada tahun depan.

“Sebanyak RM800,000 diperuntukkan di bawah butiran kerja mendalamkan muara dan membina groynes di Sekinchan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jelajah Infratani berjaya lahir usahawan kompetetif

OLEH ERMIZI MUHAMAD

DENGKIL, 11 NOV: Penganjuran Karnival Jelajah Infratani membuka peluang kepada masyarakat awam menerima input berkenaan industri pertanian dan penternakan, di negeri ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, penganjuran karnival yang mula dilaksanakan sejak April lalu berjaya melahirkan usahawan tani berdaya saing.

Beliau berkata, usahawan membabitkan belia mendapat banyak pendedahan secara dekat terhadap peluang keusahawanan yang didukung sepenuhnya Kerajaan Negeri.

“Antara lain, program ini diadakan sebagai pendekatan mesra pemimpin bertemu penternak juga usahawan Industri Kecil dan Sederhana secara dekat.

“Penganjurannya juga dapat meninjau lokasi infrastruktur untuk melihat permasalahan dan mencari solusi segera bersama agensi Kerajaan Negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Jelajah Infratani Dengkil, pagi ini.

Program perasmian turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat, Haslin Hassan; Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat DUN Dengkil, Borhan Aman Shah dan pegawai agensi perikanan, pertanian dan penternakan Selangor.

Penganjuran karnival berkenaan turut menyaksikan lebih 5,000 warga Dengkil hadir memeriahkan program yang berlangsung sejak awal pagi tadi.

Antara pengisiannya adalah pertunjukan pameran pertanian dan penternakan, sesi penerangan daripada jabatan Kerajaan Negeri, persembahan artis dan penganjuran pelbagai pertandingan kepada masyarakat setempat.

Jelajah Infratani adalah lanjutan program turun padang Zaidy selaku Exco Pertanian bagi mendekati petani, penternak dan nelayan khususnya di daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Hulu Selangor.

Namun, bermula tahun lalu, program itu dikembangkan bagi menyeragamkan kedua portfolionya untuk menyantuni rakyat dengan lebih luas dan berkesan.

Jelajah Infratani bagi tahun ini dimulakan di DUN Kuala Selangor, DUN Sungai Burong, DUN Kuala Langat, DUN Dengkil dan DUN Dusun Tua.

Categories
SELANGOR

Tunggu mendap sebelum jalan ditampal semula

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 NOV: Syarikat utiliti perlu menunggu proses pemendapan tanah berlaku dengan sempurna sebelum menjalankan kerja penampalan semula jalan selepas kerja korekan dan baik pulih dilakukan.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, pihaknya mengambil maklum pelbagai aduan dikemukakan berhubung lapisan tampalan jalan yang telah dikorek sebelum ini.

“Kita ambil maklum berlaku tampalan dan korekkan jalan yang dilakukan oleh syarikat utiliti.

“Kerja korekkan ada cagaran dan permit korekkan. Dari sudut teknikal pula proses pemendapan sempurna perlu sebelum kerja tampalan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan menjelasan berhubung persoalan jalan tidak ditampal sempurna yang dibangkitkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan, Haniza Talha.

Katanya, ada beberapa syarikat utiliti memaklumkan beberapa korekkan tidak boleh dimampatkan atau ditampal secara terus dan perlu menunggu satu tempoh sesuai.

Haniza dalam kenyataan tambahannya turut mencadangkan supaya syarikat utiliti dikenakan cagaran lebih tinggi supaya mereka lebih berhati-hati untuk membuat korekkan.

Categories
SELANGOR

HORAS bekal air 190 JLH walau belum siap

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 NOV: Projek HORAS 600 (HORAS) berjaya menghasilkan air tambahan sehingga 190 juta liter sehari (JLH) untuk keperluan empat Loji Rawatan Air (LRA), walaupun ia belum siap sepenuhnya.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, loji berkenaan adalah LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSPP2, SSP3 dan Rantau Panjang.

Katanya, HORAS juga berperanan mengawal dan mengurangkan pelepasan air mentah dari Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi.

“Kejayaan HORAS membantu masalah air adalah sangat besar jika dibandingkan dengan kos pembinaannya.

“Pelaksanaan HORAS ini menjadi rujukan negeri lain termasuk Melaka, Kelantan, Johor dan pelbagai badan bukan kerajaan untuk melihat bagaimana ia berjaya menyelesaikan masalah kekurangan sumber bekalan air,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz berhubung kejayaan HORAS.

Zaidy yang juga ADN Taman Templer berkata, HORAS masih diperlukan sementara menunggu pembangunan LRA Langat 2 yang dijangka siap pada 2019.

“HORAS diperlukan untuk berfungsi sebagai sumber air mentah di Selangor memandangkan bekalan air LRA Langat 2 dirangka untuk menampung permintaan di kawasan berbeza dari kawasan agihan Skim Sungai Selangor.

“Bekalan air dari LRA Langat 2 juga tidak menampung permintaan semakin meningkat di kawasan pembangunan baru seperti Elmina dan Kwasa Land yang akan terus mendapat bekalan dari Skim Sungai Selangor,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pertanian semakin rancak, raih pelbagai kejayaan

 

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 NOV: Golongan petani dan penternak seluruh negeri diberikan perhatian khusus dalam mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan bimbingan serta bantuan oleh jabatan berkaitan.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, hasil daripada komitmen itu memberikan pulangan positif kepada penggiat tani negeri.

Beliau berkata, perkembangan positif itu dibuktikan hasil komitmen Kerajaan Negeri dalam memberi galakan kepada petani untuk menerapkan kaedah pertanian berteknologi tinggi membabitkan kerjasama syarikat swasta.

Katanya, ia termasuklah penggunaan kaedah pertanian persis (precision agriculture) untuk memastikan produk pengeluaran dapat dihasilkan secara tepat dan bersistematik.

“Selain daripada itu penglibatan pihak swasta yang membawa bersama pengalaman, teknologi moden diberi perhatian untuk dilaksanakan di seluruh negeri.

“Antara kejayaan pengusaha sektor pertanian di peringkat kebangsaan antaranya jumlah pengeluar padi per hektar yang teringgi dicatatkan pada kadar purata 6.49 metrik tan per hektar berbanding pengeluaran purata negara iaitu 4.4 metrik tan per hektar.

“Selain itu, jumlah penerima anugerah myGAP dan myOrganik tertinggi direkodkan untuk tempoh lima tahun berturut-turut.

“Untuk tahun 2016 pula menyaksikan, 209 (21 peratus) pengusaha tanaman negeri dianugerahkan Sijil myGAP dan myOrganik 208 penerima Sijil myGAP dan 1 penerima Sijil myOrganik daripada 973 penerima sijil myGAP dan 15 penerima myOrganik dari seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Kelang, Dr Halimah Ali di Dewan Negeri Selangor (DNS), pagi ini.

Pada masa sama kata Zaidy, kejayaan lain diraih meliputi program pertanian fertigasi dengan perolehan jumlah polibeg tertinggi sebanyak 2 juta polibeg dihasilkan 1,000 pengusaha di atas tanah berkeluasan 790 hektar.

“Program Taman Kekal Pertanian Makanan (TKPM) Negeri juga menyaksikan kejayaan apabila mencatatkan jumlah hasil jualan tinggi sebanyak RM32 juta atau 43 peratus dari jumlah TKPM lain.

“Program ternakan ayam kampung secara berperingkat di Kuala Langat pula dilihat berjaya apabila Selangor menjadi antara pengeluar telur ayam tertinggi di Malaysia dan bekalan telur untuk negeri mencapai 100 peratus dari segi Self Sufficient Level (SSL),” katanya.

Categories
SELANGOR

Lebih RM50 juta untuk projek pencegahan banjir

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 NOV: Lebih RM50 juta dibelanjakan Kerajaan Negeri bagi projek pencegahan banjir di Klang, kata Zaidy Abdul Talib.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani itu berkata, ia meliputi sejumlah RM21.6 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dan RM33.9 juta (RMK11).

“Perancangan masa hadapan di dalam mengatasi masalah banjir di Klang adalah dengan pelaksanaan projek dalam kajian pelan induk saliran Bandar Klang (2009).

“Pelan berkenaan sudah dibuat perunding lantikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia dan melibatkan beberapa skop kerja yang dikenalpasti untuk dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar berhubung projek pencegahan banjir, di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Zaidy yang juga ADN Taman Templer berkata, JPS akan melaksanakan projek berkenaan secara berperingkat, mengikut Rancangan Malaysia.

Categories
SELANGOR

23 projek hotspot gantian paip lama seluruh Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 NOV : 23 projek hotspot gantian paip lama di seluruh negeri giat dibangunkan dengan kesemua projek berkenaan bakal siap pada suku tahun pertama 2018.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, untuk tempoh sehingga September lalu, 24 projek hotspot baru diberikan kepada kontraktor berjaya menerusi tender terbuka.

“Baki 27 hotspots lagi akan dilaksanakan pada 2018 tertakluk kepada baki pinjaman RM93.70 juta yang dikeluarkan lebih awal oleh Kerajaan Negeri pada 2018 dan bukannya pada tahun 2019 seperti yang dijadualkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang, Dato’ Sulaiman Abdul Razak di Dewan Negeri Selangor, Penggal ke 13, pagi ini.

Pada masa sama, Zaidy berkata, Kerajaan Negeri kini berjaya mengatasi masalah Non Revenue Water (NRW) seluruh negeri.

Katanya, pengambilalihan Air Selangor bagi pengurusan air negeri sejak 2015, 32.56 peratus penjimatan NRW dapat dikurangkan.

Jumlah berkenaan berkurang berbanding 31.4 peratus bagi tempoh sehingga September 2017.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukkan perbelanjaan RM50 juta, bagi mengatasi masalah kebocoran paip.

Sebelum ini, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menanggung kerugian air tidak berhasil (NRW) sebanyak RM1.821 juta akibat kecurian air dari 1 Januari sehingga 24 Mei, tahun lalu.

Jumlah itu diperoleh hasil daripada 261 notis dikeluarkan SYABAS membabitkan kes kecurian air di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Pada masa sama, jumlah tersebut meliputi pengunaan air sebanyak 587,011.67 meter padu bagi tempoh sehingga Mei.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mensasarkan pengurangan NRW sebanyak 25 peratus mampu dicapai bagi tempoh 2016 lalu.

Categories
SELANGOR

Selenggara ban hadapi air pasang besar

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KLANG, 22 SEPT: Penyelenggaraan ban di beberapa kawasan di Selangor sudah dilakukan sejak awal tahun sebagai persediaan menghadapi air pasang besar, kata Zaidy Abdul Talib.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, kerja menaik taraf dilakukan terhadap ban rendah supaya mengikut ketinggian sepatutnya.

“Ban yang rendah kita tinggikan, manakala ban pecah diperkukuhkan supaya ia mampu menahan air pasang besar dengan persediaan dibuat dari awal berdasarkan pengalaman tahun lalu.

“Jadi, proses naik taraf kita laksanakan lebih awal,” katanya ketika melawat lokasi kerja menaik taraf bagi mengatasi banjir di Persiaran Hamzah Alang, Meru, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri Meru, Dr Abdul Rani Osman.

ZAIDY TALIB (2)Pada masa sama, Zaidy berkata, penyelenggaraan ‘borrow pit’ yang berada, pada kedudukan selepas ban juga siap diselenggara bagi menakung kawasan air melimpah.

Beiau berkata, pihaknya turut menyelenggara parit dan longkang bagi memastikan sistem saliran berfungsi dengan baik jika fenomena terbabit berlaku.

“Bila ada lebihan air melepasi ban, borrow pit akan menjadi tempat takungan air melimpah.

“Kerja menaik taraf itu dilaksanakan di semua peringkat jabatan kerajaan termasuk Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Prestasi MARRIS era BN lebih mengecewakan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 JULAI: Sejumlah RM268.1 juta peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) berjaya disalurkan kepada agensi pelaksana bagi kerja yang sudah dilantik kontraktor, setakat 31 Julai lalu.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, ia bersamaan 44.7 peratus dari siling tahun semasa MARRIS berjumlah RM600 juta, bagi tahun 2017.

Katanya, pencapaian ini dijangka terus meningkat memandangkan terdapat tuntutan RM198 juta yang sedang dalam proses dan semakan akhir di peringkat Perbendaharaan Negeri sebelum peruntukan disalurkan.

TURAP JALAN“Dengan mengambil kira data ini, komitmen perbelanjaan MARRIS Kerajaan Negeri setakat 31 Julai 2017 adalah berjumlah RM 466.1 juta atau 76.4 pertus.

“Jika diteliti, rekod ini juga adalah jauh lebih baik berbanding prestasi perbelanjaan MARRIS pada 2006 dan 2007 sewaktu di bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya dalam kenyataan.

Zaidy berkata, Selangor menerima pemberian MARRIS berjumlah RM174.1 juta dan RM252.6 juta, masing-masing pada 2006 dan 2007, sewaktu zaman BN.

Katanya, perbelanjaan direkodkan pada tahun berkenaan adalah berjumlah RM27.5 juta (15.8 peratus) pada 2006 dan RM 139.04 juta (55 peratus) pada 2007.

“Rekod dan statistik menunjukkan Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan sudah merancang dan melaksanakan gerak kerja penyelenggaraan Jalan Negeri dengan amat baik dan kesemua proses adalah mematuhi tatacara perolehan dan kewangan semasa.

“Rekod perbelanjaan juga dilaporkan kepada Kementerian Kewangan (MOF) pada setiap bulan dan selanjutnya dipantau Jawatankuasa Pengurusan Pemberian (JPP) MARRIS juga di peringkat MOF,” katanya.

Pada 29 Julai lalu, Ahmad Zahid mendakwa Kerajaan Negeri tidak menambah baik kemudahan jalan negeri di bawah MARRIS selepas menerima peruntukan lebih RM200 juta daripada Putrajaya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Persekutuan patut belajar cara Selangor selenggara jalan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 JULAI: Dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi kononnya Kerajaan Negeri gagal menyelenggara jalan negeri menerusi peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan raya Malaysia (MARRIS)  adalah tidak benar.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, RM600 juta diluluskan sebagai Siling Perbelanjaan MARRIS untuk agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Jabatan Pengairan & Saliran (JPS) Selangor, 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sembilan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), bagi tahun 2017.

Katanya, jumlah itu melebihi jumlah pemberian yang dijangka dari Kerajaan Persekutuan, yang dianggarkan sebanyak RM496.38 juta.

ybzaidy-2“Perbezaan jumlah terimaan dengan sasaran perbelanjaan berkenaan akan ditampung menerusi baki terkumpul tabung Amanah MARRIS Negeri Selangor hasil penjimatan proses perolehan secara terbuka dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan.

Zaidy berkata, kesemua wang pemberian MARRIS diterima Kerajaan Negeri adalah diperakaunkan ke dalam Tabung Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri (Vot Amanah: 57041).

Katanya, perbelanjaan dana itu juga adalah tertakluk kepada Arahan Amanah tabung berkenaan dan Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian MARRIS yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF).

“Diharap Kerajaan Persekutuan dapat mencontohi komitmen dan prestasi Kerajaan Negeri dalam penyelenggaraan jalan persekutuan di dalam Selangor.

“Jalan Persekutuan (FT180 dan FT181) di Pelabuhan Kelang misalnya adalah jalan pintu masuk utama untuk perdagangan secara import dan eksport negara, Jalan Klang – Teluk Intan (FT05) merupakan jalan yang menghubungkan antara negeri dan menjadi akses serta nadi kepada aktiviti ekonomi setempat.

jalan reko“Kerajaan Negeri mengambil serius kerosakan di jalan berkenaan dan mengambil maklum status jalan berkenaan yang merupakan Jalan Persekutuan.

“Tetapi oleh kerana penggunaan dana MARRIS khusus untuk pembaikan Jalan Persekutuan adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, maka dana khusus membaiki jalan berkenaan haruslah disediakan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Pada 29 Julai lalu, Ahmad Zahid mendakwa Kerajaan Negeri tidak menambah baik kemudahan jalan negeri di bawah MARRIS selepas menerima peruntukan lebih RM200 juta daripada Putrajaya.

Categories
SELANGOR

Punca hasil padi merosot giat dikenalpasti

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JULAI: Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti punca sebenar kemerosotan hasil tuaian padi petani di Sekinchan yang didakwa berpunca daripada benih padi kebal (CL2).

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, Kerajaan Negeri mengambil maklum perkara terbabit dan menasihatkan petani supaya mengikuti arahan diberikan oleh Jabatan Pertanian ketika ini.

“Kerajaan Negeri masih menyemak apakah punca sebenar dan kita menasihatkan petani supaya mengikut arahan yang diberikan Jabatan Pertanian ketika ini,” katanya yang menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini.

zaidy-petaniSuee Lim bertanyakan mengenai bantuan kepada petani oleh Kerajaan Negeri berhubung kemerosotan hasil padi yang didakwa berpunca daripada benih CL2 menyebabkan tahap kesuburan tanah merosot.

Dalam perkembangan lain, Zaidy memaklumkan terdapat sejumlah 1,919 atau 21 peratus penerima bantuan kewangan penyakit Hawar Daun Bakteria (BLB) masih belum menerima cek bantuan.

Katanya, hal itu kerana terdapat kesilapan ejaan nama, nombor kad pengenalan dan perkara berkaitan isu di antara pemilik tanah sawah dan pemajak tanah sawah.

“Terdahulu, sejumlah 9,124 pesawah layak menerima bantuan kewangan ekoran BLB ini. Bantuan ini mendahului Kerajaan Persekutuan dengan peruntukan sebanyak lebih RM9 juta,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Exco sangkal laporan tak berasas isu TOL ternak ikan sangkar

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 JUL: Dakwaan kononnya kadar TOL yang tinggi dikenakan terhadap penternak ikan sangkar Pulau Ketam seperti dilaporkan sebuah agensi berita pada 23 Jun lalu disifatkan sebagai satu tuduhan tidak berasas.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata sebaliknya Kerajaan Negeri hanya mengenakan caj RM0.40 semeter persegi berbanding RM2 sekaki persegi seperti dilaporkan media itu.

“Berdasarkan laporan tersebut, penternak ikan sangkar di Pulau Ketam dikatakan dibebankan dengan kadar bayaran TOL tinggi iaitu RM2 sekaki persegi di mana dengan caj tersebut penternak perlu membayar di antara RM60,000.00 hingga RM100,000.00 setahun.

ybzaidy-2“Untuk makluman, jumlah sebenar kadar bayaran TOL yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri hanyalah RM0.40 semeter persegi setahun di mana kadar tersebut dipersetujui dan disahkan oleh Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 15/2016 pada 27 April 2016 berbanding dengan kadar nilaian yang diberikan oleh Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH) iaitu sebanyak RM4.00 semeter persegi setahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, isu itu dibangkitkan penternak ikan sangkar di Pulau Ketam semasa penyerahan memorandum oleh Pengerusi Komuniti Keselamatan Dan Pembangunan Pulau Ketam, En. Chia Mong Chun kepada Ketua MCA Kapar, Datuk Song Kee Chai.

Katanya, kadar bayaran TOL dikenakan Kerajaan Negeri pada masa ini merupakan antara terendah jika dibandingkan di beberapa negeri lain seperti Pulau Pinang RM0.45 semeter persegi, Perak RM0.60 semeter persegi dan Johor RM0.50 semeter persegi.

IKAN SANGKARKatanya lagi, dengan keluasan 20,000 meter persegi iaitu kelusan maksima kawasan ternakan yang ada di Pulau Ketam, bermakna Kerajaan Negeri hanya mengutip sebanyak RM8,000 setahun kepada pemilik sangkar ternakan ikan terlibat berbanding tohmahan pihak terlibat iaitu RM60,000 hingga RM100,000 setahun.

Tambah beliau, jika caj keseluruhan sedia ada dikenakan terhadap pemilik kawasan berkeluasan sama diambil kira, penternak terlibat hanya membayar kira-kira RM9,070 kepada Jabatan Perikanan Selangor tidak termasuk caj levi pekerja asing yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan.

Ujar beliau, kadar caj sedia ada lain yang ditetapkan Jabatan Perikanan Selangor adalah Lesen Sistem Kultur Laut (SKL) pada kadar RM10.00 setahun bagi setiap sistem kultur yang meliputi permukaan air seluas 200 meter persegi atau kurang dan bagi setiap tambahan kawasan permukaan air seluas 100 meter persegi atau sebahagian daripadanya, suatu fi sebanyak RM5.00 setahun.