Categories
SELANGOR

Hasil pertama durian belanda Sungai Lang Baru awal 2015

Oleh: NAEEM RAFFI

BANTING, 16 NOV: Projek tanaman durian belanda yang diusahakan penduduk Kampung Sungai Lang Baru, di sini, mendapat perhatian Kerajaan Negeri.

Projek berskala kecil yang mula diusahakan secara kelompok sejak setahun lalu itu dijangka akan mengeluarkan hasil pertamanya awal tahun depan.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, usaha itu perlu dicontohi dan tidak mustahil akan menjadi projek tanam berskala besar jika diusahakan secara meluas.

durian_belanda“Usaha ini mendapat respon baik dari Jabatan Pertanian Selangor dan saya minta mereka untuk memberi fokus dengan membuat kajian pemasaran kerana dalam tempoh tujuh bulan lagi tanaman ini akan mengeluarkan hasil pertamanya.

“Kita juga akan menyebar luas projek ini ke tanah lain, sekali gus menjadikan ia satu projek berskala besar dan berdaya maju pada masa hadapan,” katanya ketika melawat kebun durian belada di Kampung Sungai Lang Baru, di sini, hari ini.

Projek tanaman durian belanda adalah inisiatif ADUN Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan, bagi membantu meningkatkan pendapatan dan ekonomi penduduk setempat dengan memberikan 2,500 anak pokok secara pecuma kepada 10 kampung tradisi.

“Tahniah kepada penduduk kampung dan ADUNnya kerana berjaya membangunkan projek ini dan saya harap kampung berdekatan turut serta dalam memastikan ia menjadi projek berskala besar.

“Ia adalah projek perintis di Selangor dan diharapkan ia terus berkembang maju,” katanya.

YB Zaidy turun padang ke TG. Sepat Program Pertanian (3)Mengulas lanjut, Zaidy berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi meneroka peluang yang ada untuk menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Saya banyak belajar dari negara luar, di Pekan Baru Riau, Indonesia, durian belanda adalah produk tani yang popular kerana khasiat daunnya boleh mengubati kanser dan panyakit gaut.

“Kita sedang giat membuat kajian berhubung peranan herba dan akan mencari suatu tapak untuk dijadikan hub tanaman herba dan durian belanda ini adalah sebagai tanaman itu,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Belia Tani tarik minat belia, pacu pembangunan negeri

Oleh: NAEEM RAFFI

BANTING, 16 NOV: Program Belia Tani antara usaha kolektif Kerajaan Negeri menarik anak muda tempatan terbabit secara serius dalam sektor pertanian selain meningkatkan ekonomi masyarakat tempatan seterusnya memacu pembangunan negeri.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, program yang dalam proses perancangan itu dirangka rapi dalam memastikan setiap pesertanya memperoleh pendapatan lumayan.

“Sudah tiba masanya, kita ubah persepsi lapuk masyarakat yang berpandangan sektor pertanian ini hanya untuk golongan berusia.

YB Zaidy turun padang ke TG. Sepat Program Pertanian (13)“Belia Tani bukan sahaja mengisi peranan anak muda dalam sektor ini, bahkan kita harapkan menjadi sumber pendapatan yang baik selain bekerja di sektor lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Selangor Kini selepas merasmikan Program Jelajah Tani di DUN Tanjung Sepat di Padang Sungai Kelambu, di sini, hari ini.

Hadir sama ADUN Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan dan Pengarah Jabatan Pertanian Selangor, Mohamad Idrus Abdul Hamid.

Mengulas lanjut, Zaidy berkata, pihaknya sudah mengenalpasti beberapa tapak pertanian untuk diusahakan belia dalam program itu.

“Antara tapak yang dikenalpasti setakat ini adalah Selangor Fruits Valley, yang mana di situ masih terdapat tanah untuk diusahakan. Belia yang berminat akan ditawarkan tapak seluas dua hektar untuk diusahakan.

YB Zaidy turun padang ke TG. Sepat Program Pertanian (15)“Buat masa ini, belia yang berminat boleh merujuk terus ke pejabat saya dengan membawa kertas kerja untuk dipertimbangkan,” katanya.

Terdahulu, Zaidy dibawa melawat ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Sungai Kelambu bagi melihat projek pertanian nenas, sayuran dan tanaman kontan umbisi.

Beliau turut berkesempatan merasmikan kebun durian belanda yang diusahakan penduduk Kampung Sungai Lang Baru.

Untuk rekod, Jelajah Tani akan diadakan di tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula di Tanjung Sepat dan berakhir di DUN Jeram, pada 14 Disember ini.

Program berteraskan pembangunan sektor pertanian itu bertujuan untuk mempromosikan program Selangor Agrofest 2014 yang akan berlangsung pada 18 hingga 21 Disember ini di Stadium Sungai Besar.

-NFN-

APA DAH JADI – Bukit Botak terus menjadi isu

Isu Bukit Botak bukan lagi isu asing di Selangor. Projek pembinaan perumahan yang diambil-alih oleh kerajaan negeri (Pakatan) kerana kegagalan pemerintah terdahulu (BN) ini telah siap sepenuhnya namun, kini isu pembeli pula yang gagal untuk mendapatkan pinjaman kewangan dari pihak bank tempatan.

Untuk liputan penuh layari http://www.selangorku.com

Categories
SELANGOR

Umno usah berlagak jaguh kritik kerajaan negeri

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM 17 JAN: Sikap hipokrit Umno yang kononnya memperjuangkan pendidikan belia Melayu dalam isu Pusat Latihan Giat Mara Selayang adalah sangat menjengkelkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Zaidy Abdul Talib, berkata selama ini Umno tidak pernah peduli akan keadaan pusat latihan itu yang didirikan atas tapak tidak sah status tanah dengan keadaan bangunan dan kemudahan yang serba kekurangan.

ZaidyKatanya, Umno harus membuktikan terlebih dahulu akan ‘keprihatinan’ mereka terhadap pendidikan belia Melayu sebelum sibuk menyalak menyalahkan kerajaan negeri.

“Jadi, saya minta kepada Umno supaya berhenti menjadi pejuang hipokrit dalam isu bangsa dan agama seperti yang mereka laungkan selama ini.

“Sebaliknya, buktikan kepada semua melalui tindakan yang sewajarnya walaupun saya memang ragui akan keikhlasan dan keupayaan mereka,” kata Zaidy dalam status laman ‘Facebook’ yang dimuat naik semalam.

Umno sebelum ini giat mengkritik pentadbiran kerajaan negeri yang didakwanya tidak bertimbang rasa sehingga sanggup mengusir Pusat Latihan Giat Mara dalam notis 12 bulan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menjelaskan bahawa hasil pemantauan “Task Force’ kerajaan negeri mendapati keadaan bangunan berkenaan kurang memuaskan di samping bidang latihan yang disediakan tidak produktif, pada 15 Januari lalu.

Bagaimanapun, kata Abdul Khalid, kerajaan negeri akan menimbang semula keputusan itu dan bersedia memberi bantuan kewangan untuk menaik taraf bangunan jika pihak Giat MARA tidak berkemampuan.

Mengulas lanjut, Zaidy yang juga Ketua Penerangan PAS Selangor berkata, beliau sedia berbincang dengan kerajaan negeri bagi memastikan latihan itu dapat terus dikekalkan untuk kemudahan belia setempat.

IMG_1066a (1)“Pada masa sama, saya juga berharap usaha ini mendapat kerjasama baik daripada pihak Giat Mara dalam menaik taraf pusat latihan ke tahap lebih baik lagi.

“Jika memang kawasan itu tidak sesuai, saya sendiri akan membantu untuk mengenal pasti tempat yang lebih sesuai di sekitar Selayang,” katanya.

Semalam, Zaidy turut berkesempatan melawat ke pusat latihan berkenaan dan disambut baik pihak pengurusan dan tenaga pengajar yang bertugas.

Hasil lawatan singkat itu, Zaidy mendapati keadaan infrastruktur bangunan memang perlu dinaik taraf untuk keselesaan pelajar khususnya dewan kuliah yang ditempatkan di dalam kabin dua tingkat serba kekurangan selain persekitaran sangat sempit dan tidak selesa.

Beliau diberitahu, bangunan berkenaan sebenarnya diubah suai daripada sebuah dewan orang ramai yang terbiar sebelum ini.

Justeru, beliau berharap kerajaan pusat dan Giat Mara lebih prihatin dengan memastikan kebajikan serta keselesaan pelajar terjaga bagi membolehkan mereka menimba ilmu juga latihan dengan baik.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Isu Giat Mara, Kerajaan Negeri sedia bantu

Oleh: Zaidy Abdul Talib

Suka saya nyatakan bahawa kunjungan Exco Kerajaan Negeri Selangor bersama wakil SSIC tempoh hari adalah merupakan siri-siri lawatan Kerajaan Negeri mengenal pasti tanah-tanah kerajaan yang diduduki secara tidak sah didalam Negeri Selangor termasuklah Pusat Giat Mara Selayang.

Saya berkesempatan melawat ke Pusat Giat Mara Selayang pada pagi tadi, yang disambut mesra oleh pihak pengurusan dan guru-guru yang bertugas, dan juga kelihatan beberapa pelajar yang sedang membuat latihan amali berkaitan elektrik dan pelajar lain sedang rehat tengah hari.

IMG_1066aDifahamkan pusat ini berkapasiti pelajar lebih kurang 100 orang termasuk yang sedang melakukan latihan industri diluar, dengan dua sessi pengambilan setiap tahun bagi kursus elektrik dalam tempoh 2 tahun.

Setelah dibawa melawat sekitar Pusat Giat Mara ini, saya dapati keadaan infrastruktur bangunan memang amat perlu dinaik taraf untuk keselesaan pelajar khususnya dewan kuliah yang ditempatkan dalam kabin dua tingkat yang serba kekurangan begitu juga keadaan sekitaran yang sangat sempit dan tidak selesa.

Ianya difahamkan bahawa bangunan ini adalah diubah suai dari dewan orang ramai yang terbiar sebelum ini.

Pandangan saya, sepatutnya pihak kerajaan persekutuan dan Giat Mara perlu lebih prihatin dengan memastikan kebajikan dan keselesaan pelajar agar mampu menimba ilmu dan latihan dengan baik.

sukSaya ingin ucapkan terima kasih atas keprihatian Kerajaan Negeri Selangor, setelah mendapati Pusat Giat Mara ini berada di atas tanah Kerajaan Negeri secara tidak sah status dan tanpa izin ini masih beroperasi menawarkan bantuan kewangan sekiranya pihak Giat Mara tidak mampu untuk membaik pulih infrastruktur bangunan tersebut ke tahap yang sesuai dan mencapai piawai sebagai sebuah institusi latihan dalam tempoh yang diberikan,

Dan Kerajaan Negeri juga akan menawarkan tempat yang lebih sesuai sekiranya Pusat Giat Mara ini ingin berpindah memandangkan sekarang ianya berada di tengah kawasan perumahan yang sempit.

ZaidySaya selaku ADUN Taman Templer akan berbincang dengan Kerajaan Negeri ke arah memastikan agar Pusat Giat Mara ini dapat dikekalkan untuk kemudahan belia-belia Selayang mendapat latihan teknikal dan dalam masa yang sama mengharapkan agar Giat Mara dapat bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk menaiktaraf Pusat Giat Mara ini di kepada yang lebih baik.

Sekiranya memang kawasan itu tidak sesuai, saya akan membantu untuk mengenal pasti tempat yang lebih sesuai di sekitar Selayang.

Dalam masa yang sama, saya juga merasa mual dengan sikap UMNO yang seolah-olahnya jaguh orang melayu tetapi hipokrit dengan sekian lama membiarkan pusat latihan Giat Mara yang memberi latihan kepada anak bangsa dalam keadaan tidak sah status tanah dan juga keadaan bangunan dan kemudahan yang serba kekurangan.

Saya minta kepada UMNO supaya berhenti hipokrit dalam memperjuangkan bangsa dan agama seperti mana yang mereka laung-laungkan tetapi buktikanlah dengan tindakan walaupun saya memang meragui akan keikhlasan dan keupayaan mereka.

* Zaidy Abdul Talib adalah ADUN Taman Templer dan Ketua Penerangan PAS Selangor

Categories
NASIONAL

Bukan Islam dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS tangkis fitnah Umno

SHAH ALAM 22 NOV: Organisasi PAS di semua peringkat perlu memastikan kehadiran dan kewujudan mereka disedari dan dirasai oleh lapisan masyarakat, kata perwakilan Selangor, Zaidy Abdul Talib.

Membahas ucapan dasar presiden, beliau yang juga ADUN Templer itu berkata, ahli perlu menjadikan PAS sebuah parti bersifat inklusif, bukannya eksklusif untuk ahli sahaja.

“Harus dirasai masyarakat. (Malangnya) ada PAS kawasan dan cawangan tidak dirasai kewujudannya,” katanya pada Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Stadium Malawati, hari ini.

photoMemetik Harakah Daily, beliau juga mahu Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) diperkasa dan mencadangkan satu modul khas diwujud kepada DHPP agar mereka lebih memahami Islam.

Katanya, pencapaian DHPP sangat membanggakan apabila mereka terlibat dalam menjelaskan isu perjuangan Islam kepada bukan Islam yang dijadikan senjata Umno untuk menakut-nakutkan bukan Islam.

“Ada ahli DHPP menyertai usrah kawasan untuk mendapatkan penjelasan terhdap isu-isu agama yang berkait dengan mereka.

“Alhamdulillah sedikit sebanyak mereka telah faham tentang Islam yang diperjuangkan PAS melalui pendekatan ini,” katanya.

– FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bukit Botak : Jangan Terpedaya Tawaran Umno-BN

Zaidy Abdul Talib  Majlis Perbandaran Selayang 01

SELAYANG, 3 MEI : Penduduk Bukit Botak dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan tawaran Umno-BN yang berjanji untuk menurunkan harga kediaman itu daripada RM90,000 kepada RM70,000 sekiranya berjaya merampas Selangor dalam pilihan raya nanti.

Calon PAS DUN Taman Templer, Zaidy Abdul Talib menyifatkan ia adalah satu lagi siri janji pilihan raya Umno-BN yang diyakini tidak akan dikotakan kepada rakyat.

“Kita kecewa dengan Umno-BN yang memainkan penduduk Bukit Botak dengan berjanji untuk menurunkan harga kediaman yang siap dibina sedangkan semua tahu projek itu disiapkan Pakatan Rakyat (PR) setelah dibiarkan terbengkalai berpuluh tahun lamanya.

“Saya minta rakyat jangan sekali lagi terpedaya dengan janji sebegini. Saya mewakili PR merasa kecewa dengan tindakan Umno-BN untuk memenangi pilihan raya melalui cara ini,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu siri jelajah kempennya berjanji untuk menurunkan harga rumah projek Bukit Botak di Selayang sehingga RM 70,000 sekiranya BN diberi mandat menerajui Kerajaan Negeri.

Tawaran itu dibuat sebagai aku janji manifesto BN Selangor semasa beliau mengadakan program turun padang di Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), baru-baru ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Gelombang Sokongan Rakyat Makin Kuat Di Selayang

Penamaan Calon Di Selayang 01

SELAYANG, 20 APRIL: Gelombang sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat(PR) makin kuat di Selayang berdasarkan kecemerlangan pentadbiran dan pelbagai program yang diaturkan Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini.

Calon Parlimen Selayang, William Leong(PKR) berkata, rakyat dapat merasai perbezaan ketara di bawah pentadbiran PR Selangor yang dilihat lebih banyak menyelesaikan masalah berbanding Umno-BN.

“Saya yakin rakyat telah buka mata dengan satu keyakinan bahawa Kerajaan PR boleh memerintah dengan baik, jujur dan telus.

“Saya sendiri sering turun padang untuk menyelesaikan masalah rakyat dan sekaligus memberi satu harapan kepada rakyat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru,” katanya.

Bagi calon DUN Rawang, Gan Pei Nei(PKR), beliau berharap rakyat akan memberi mandat sekali lagi kepada PR untuk mentadbir Selangor bagi meneruskan kecemerlangan yang dilaksanakan sejak tahun 2008.

Beliau yang kekal bertanding di kerusi DUN tersebut buat kali kedua yakin manifesto gabungan itu serta program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) mampu memikat hati rakyat untuk terus kekal menyokong PR.

“Saya rasa rakyat melalui maklum balas yang kita terima mereka nampak ada perbezaan ketara di bawah pemerintahan PR khasnya seperti polisi air percuma, program MES dan sebagainya.

Penamaan Calon Di Selayang 02“Kita dilihat sebagai sebuah kerajaan bebas rasuah dan terbukti bersih serta amanah di mana ia diakui oleh Ketua Audit Negara sendiri.

“Secara tidak langsung ia memberi keyakinan kepada rakyat untuk terus menyokong PR,” ujarnya.

Sementara itu, calon PAS DUN Taman Templer yang ditandingi Zaidy Abdul Talib berjanji akan meneruskan kecemerlangan pentadbiran PR di Selangor dengan membawa harapan rakyat yang menuntut perubahan.

Katanya, beliau akan melakukan yang terbaik dengan menawarkan khidmat kepada rakyat dan menyerahkan kepada mereka untuk memilih pemimpin yang dirasakan layak.

“Kami di sini akan meneruskan kecemerlangan yang dibuat oleh PR dalam tempoh lima tahun. Di Malaysia.

“Kita akan tawarkan khidmat kepada rakyat dan serahkan kepada mereka untuk memilih calon yang terbaik. Saya cukup yakin dengan kebangkitan rakyat yang percaya kepada PR,” katanya.

Calon PKR DUN Kuang, Tengku Maraziyah Tengku Sulaiman pula berharap rakyat akan memberi sokongan padu kepada PR yang sentiasa berusaha membela nasib rakyat.

Beliau juga berharap pilihan raya kali ini akan berlangsung secara aman tanpa sebarang provokasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya ingin memenangi kerusi DUN ini untuk masa depan warga Kuang kerana saya telah pantau keadaan di sana sejak tahun 2000 lagi.

“Saya akan meneruskan apa yang ingin dilaksanakan oleh PR di mana ia terbukti telah berjaya malah akan ditambah baik lagi seperti yang ditawarkan dalam manifesto PR Selangor,” ujarnya.