Categories
NASIONAL SELANGOR

Bersih Jumpa Lapan Kes Pengundi Ragu

bersih lapan kes ragu 01

KUALA LUMPUR, 14 MAC : Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 mengesahkan setakat ini terdapat lapan kes yang melibatkan pendaftaran pengundi yang meragukan.

Maria Chin Abdullah selaku Ahli Jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 menyatakan, lapan kes berkenaan direkodkan sejak kempen Jom Pantau diperkenalkan pada Disember tahun lalu.

Berdasarkan butiran lapan kes ini, lima daripada individu berkenaan didaftarkan tanpa izin atau pengetahuan mereka. Tiga daripada lima itu didaftarkan di kawasan bukan tempat kediaman mereka.

Dalam satu kes, individu tersebut diberitahu oleh Suruhanjaya Pilihanraya bahawa agensi itu tidak pernah menerima borang pendaftaran pengundinya walaupun beliau telah mendaftarkan diri melalui sebuah konsulat luar negara Malaysia pada tahun 2012.

Oleh itu, beliau tidak layak untuk mengundi dalam Pilihan Raya Umum-13 (PRU-13) yang akan datang.

Dalam satu kes lain pula, individu tersebut tersebut tidak berjaya mencari rekod pendaftarannya dalam talian dan oleh itu mungkin tidak dapat mengundi pada PRU-13.

Dalam satu kes lagi, seorang pemilih mengesyaki adanya pengundi hantu yang menggunakan alamatnya.

Kesemua kes ini telah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu ini yang dihantar melalui faks dan email, kata Maria Chin.

“Jumlah ini bukannya sedikit dan mungkin menandakan bahawa kes-kes sebegini lebih banyak lagi memandangkan kebimbangan yang telah diluahkan sebelum ini akan kewibawaan daftar pemilih.

“Malah dalam beberapa kes, pihak pengadu telah berjumpa sendiri dengan SPR,” katanya pada sidang media di Dewan Himpunan Cina (KLCAH).

Tegasnya, Bersih 2.0 bimbang daftar pemilih yang meragukan akan memberikan kesan buruk di dalam pilihanraya akan datang meskipun SPR memberikan jaminan sebelum ini bahawa daftar tersebut berwibawa.

Leave a Reply

Your email address will not be published.