KUALA LUMPUR, 4 APRIL : Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) melancarkan kod etika dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dan garis panduan kerajaan sementara sejajar hari ini.
Tindakan ini sejajar dengan pengumuman pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam.
Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh Pengerusi Bersama Bersih 2.0, yang juga Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.
Enam kod etika penglibatan dalam PRU-13 ini menggariskan piawaian minimum etika bagi semua parti politik, calon, petugas kempen, sukarelawan dan penyokong di dalam pilihan raya umum selaras dengan norma-norma yang diterima pakai di peringkat antarabangsa.
Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S Ambiga berkata, Malaysia adalah ahli Majlis Hak Asasi Manusia sejak tahun 1967, menjadi ahli Kesatuan Inter-Parlimen (IPU) dan terikat dengan piawaian yang tinggi bagi kod etika pilihan raya.
“Deklarasi IPU 1994 berkaitan Kriteria bagi Pilihan Raya Bebas dan Adil menetapkan piawaian yang diterima secara universal bagaimana mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil.
“Resolusi IPU yang diterima pakai pada 20 April 2011 di Panama menekankan keperluan untuk mewujudkan rangka kerja pilihan raya yang berkesan.
“Yang harus berpaksikan beberapa elemen asas, termasuklah pilihan raya yang bebas dan adil yang diadakan secara berkala, kerahsiaan undi, proses pilihan raya yang kompetitif dan inklusif, akses media dan sumber negara secara adil dan seimbang kepada semua parti politik.
“Hak mengundi yang menyeluruh, proses pendaftaran pengundi yang boleh dipercayai dan badan yang bebas dan berkecuali yang diamanahkan bagi mengurus pilihan raya secara bebas dan adil,” katanya pada sidang media di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur(KLCAH).
Jelasnya, menjadi tanggungjawab semua parti politik dan calon untuk memastikan pematuhan kod etika ini oleh petugas kempen, sukarelawan dan penyokong masing-masing.
Enam kod etika yang dalam PRU-13 yang dibangkitkan Bersih 2.0 adalah larangan terhadap ucapan yang menghasut dan menggalakkan permusuhan, larangan terhadap kempen dengan cara memburuk-burukkan (smear campaign) dan kebebasan wartawan dan pemerhati pilihan raya untuk menjalankan tugas.
Tiga kod etika lain ialah larangan melakukan ugutan dan keganasan, kesalahan-kesalahan pilihan raya dan berkempen.
Ujar Ambiga, sebagai panduan, kempen yang mempunyai bahan kandungan yang tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak, mengandungi bahasa atau kelakuan kesat, penghinaan yang mencemar serta mengandungi tuduhan terhadap mana-mana individu disebabkan oleh etnik, jantina, agama dan kedudukan sosial adalah dilarang sama sekali.
Selanjutnya, dalam garis panduan kerajaan sementara antaranya menjelaskan peranan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri selepas pembubaran dimana mereka tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar, membuat perlantikan-perlantikan penting mahupun menandatangani kontrak perjanjian besar.
Selain itu, kerajaan sementara tidak boleh mengumumkan sebarang geran kewangan baru dalam apa bentuk atau janji berkaitan dengannya serta membuat apa-apa janji-janji baru bagi membina infrastruktur atau melaksanakan projek-projek awam.
“Anggota kerajaan persekutuan atau Exco Negeri tidak boleh menggabungkan lawatan rasmi mereka dengan kerja pilihan raya.
“Mereka juga tidak akan menggunakan sumber, kenderaan, kakitangan dan jentera kerajaan semasa kerja kempen pilihan raya mereka,” ujarnya lagi.
Di dalam garis panduan kerajaan sementara juga turut menyatakan akses media dan penyiaran perlu dilakukan secara bebas dan adil.