Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia alami penurunan selepas dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Selasa namun mengalami penurunan selepas itu berikutan kekurangan belian memandangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang mungkin dilaksanakan telah menjejaskan sentimen pasaran.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.27 mata kepada 1,590.46 daripada 1,590.73 ketika penutupan dagangan pada Isnin.

Indeks utama itu dibuka 0.94 mata lebih baik kepada 1,591.67.

Lingkungan pasaran bagaimanapun positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 239 berbanding 164, manakala 293 kaunter tidak berubah, 1,456 kaunter tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan 253.41 juta saham bernilai RM122.02 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berpandangan indeks utama dijangka mencatatkan prestasi tidak banyak berubah dalam jangka terdekat kerana pelabur masih berhati-hati, beralih antara saham bertemakan pemulihan dan berkaitan penjagaan kesihatan.

Kaunter perladangan dan logam mungkin menyaksikan minat dagangan yang memberangsangkan, menurutnya.

“Dari segi komoditi, harga minyak sawit mentah (MSM) melonjak sekitar 5.0 peratus untuk ditutup di atas paras RM4,000 satu tan pada Isnin, sementara niaga hadapan timah merekodkan satu lagi harga tertinggi,” jelasnya dalam nota penyelidikan pada Selasa.

Ia menekankan pelabur juga mungkin memberi tumpuan kepada sektor semikonduktor, berikutan permintaan kukuh terhadap cip dalam keadaan pandemik.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun dua sen kepada RM8.25, Top Glove susut tujuh sen kepada RM5.41, Public Bank naik satu sen kepada RM4.14 dan TNB menambah tiga sen kepada RM9.96.

Bagi saham aktif, TDM meningkat satu sen kepada 31.5 sen, sementara Tanco Holdings dan Velesto Energy masing-masing menambah setengah sen kepada sembilan sen dan 16.5 sen.

Saham paling untung termasuk MTouche yang menokok 15 sen kepada 26.5 sen, sementara Gopeng naik 13.5 sen kepada 97 sen dan Sarawak Oil Palm menambah lapan sen kepada RM3.91.

Antara saham rugi pula, Careplus dan Supermax masing-masing susut lapan sen kepada RM2.82 dan RM5.90, dan Adventa turun tujuh sen kepada RM2.20.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 4.00 mata kepada 11,711.48, Indeks FBM Emas Syariah kurang 1.90 mata kepada 13,146.08 manakala Indeks FBMT 100 naik 2.04 mata kepada 11,362.88.

Sementara itu, FBM 70 meningkat 18.15 mata kepada 15,429.39 dan FBM ACE naik 40.03 mata kepada 8,750.64.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.35 mata kepada 198.29, Indeks Perladangan naik 25.29 mata kepada 6,942.54 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 13.61 mata kepada 14,860.77.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Skim persaraan swasta terus catat pertumbuhan, NAV cecah RM5 bilion

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Skim persaraan swasta (PRS) melebihi RM5 bilion dalam jumlah nilai aset bersih (NAV) setakat ini, dengan setengah juta rakyat Malaysia menabung untuk persaraan mereka, mewakili peningkatan sebanyak 43 peratus daripada RM3.5 bilion setakat 31 Disember 2019.

Pentadbir Pencen Swasta Malaysia (PPA) dalam satu kenyataan berkata pengukuhan pertumbuhan NAV itu dimungkinkan oleh prestasi dana PRS yang berdaya tahan dan mantap, walaupun melalui ketidaktentuan yang berlaku pada tahun lepas serta menyaksikan bahagian pergerakan pasarannya yang saksama sejak sembilan tahun sebelum ini.

Pengerusi PPA, Datuk Zaiton Mohd Hassan berkata kejayaan ini adalah bukti keyakinan orang ramai terhadap PRS sebagai skim simpanan sukarela untuk persaraan mereka.

“Keyakinan yang diberikan ini bukanlah sesuatu yang PPA ambil ringan, itulah sebabnya kami bekerja keras setiap tahun dengan kerjasama Penyedia PRS bagi membangunkan lebih banyak perkhidmatan nilai tambah seperti PRS Online dan ciri Penamaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Syed Zaid Albar mengulas kematangan berterusan industri PRS, seperti yang dibuktikan oleh kejayaan ini, adalah seiring dengan hasrat rakyat Malaysia yang mahu mencari jalan tambahan untuk mengumpul simpanan persaraan mereka.

“SC komited untuk meningkatkan rangka kerja PRS termasuk memperluaskan penawaran dan kedalaman PRS termasuk perkhidmatan berkaitannya.

“Ini termasuk meningkatkan penggunaan teknologi untuk memperluaskan aksesibiliti skim sukarela ini dan melonjakkan tarikannya kepada generasi muda,” katanya.

Menurut PPA lagi, untuk terus memacu industri tersebut, ia akan bekerjasama rapat dengan SC, Penyedia PRS dan rangkaiannya yang merangkumi hampir 25,000 perunding PRS di seluruh negara dalam usaha berterusan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menabung untuk persaraan, terutama di kalangan belia.

Sekarang ini, kira-kira 58 peratus daripada anggota PRS berumur 40 tahun ke bawah, yang menggambarkan kedudukan yang baik untuk keselamatan persaraan masa depan negara.

“Di samping itu, pelanjutan pelepasan cukai tahunan sebanyak RM3,000 bagi skim ini sehingga 2025 seperti yang diumumkan semasa Belanjawan 2021 menunjukkan komitmen berterusan oleh kerajaan serta SC dalam mengutamakan kesejahteraan persaraan untuk semua rakyat Malaysia.

“Langkah ini memastikan rakyat kekal mendapat intensif untuk bersara selaras dengan amalan yang mantap dalam pelbagai bidang kuasa yang memberikan pelepasan cukai untuk simpanan persaraan secara sukarela,” tambahnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Digi lanjutkan tawaran internet produktiviti 30GB percuma untuk B40

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Digi Telecommunications Sdn Bhd bertindak memperkukuh komitmennya menyokong kalangan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dengan melanjutkan tawaran percuma Internet Produktiviti 30GB sebulan (1GB sehari) sehingga 31 Julai, 2021 serta terus membantu keperluan usaha e-pembelajaran dan bekerja secara jarak jauh.

Dalam kenyataan pada Sabtu, syarikat telekomunikasi itu berkata kesemua pelanggan pascabayar dan prabayar aktif akan terus menikmati Internet Produktiviti 30GB sebulan bagi tujuan pembelajaran dan produktiviti yang melebihi peruntukan data bulanan pelan sedia ada masing-masing.

Selain itu, syarikat itu juga akan terus menawarkan akses percuma dan tiada had melibatkan aplikasi, laman sesawang dan perkhidmatan berkaitan maklumat bagi memastikan rakyat negara ini sentiasa mendapat perkembangan terkini mengenai Covid-19.

“Ini termasuk aplikasi MySejahtera dan MyTrace, laman sesawang penting dan talian penting berkaitan kesihatan seperti Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan selain Pertubuhan Kesihatan Sedunia serta sebagainya,” katanya.

Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi https://www.digi.com.my/bpr.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Bursa Malaysia menyusut selepas dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Bursa Malaysia dibuka tinggi buat seketika pagi ini sebelum menyusut selepas keuntungan awal disekat oleh kegiatan pengambilan untung membabitkan kaunter perladangan dan teknologi di tengah-tengah prestasi bercampur-campur pasaran serantau.

Pada jam 9.30 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.49 mata kepada 1,603.01 berbanding 1,608.50 pada penutupan petang urus niaga Rabu.

Indeks utama itu bagaimanapun dibuka 6.71 mata lebih tinggi pada 1,615.21.

Pergerakan harga di keseluruhan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 344 berbalas 315 manakala 398 kaunter tidak berubah, 1,134 tidak diniagakan dan 51 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 1.26 bilion saham bernilai RM704.64 juta.

Menurut Malacca Securities, saham berwajaran tinggi sarung tangan getah dijangka kembali pulih dalam jangka masa terdekat memandangkan peningkatan jangkitan Covid-19 di seluruh dunia.

“Kami berpendapat saham berkaitan keluli atau logam pula akan terus menarik perhatian pelabur dalam tempoh terdekat di tengah-tengah lonjakan permintaan untuk keluli seluruh dunia. Selain itu, kami yakin masih ada ruang untuk peningkatan bagi kaunter plastik dan pembungkusan menjelang pengumuman keputusan kewangan suku tahunan terbarunya.

“Juga, peserta pasaran mungkin mengintai saham minyak dan gas (O&G) dalam situasi harga minyak mentah yang semakin kukuh. Mengenai komoditi pula, harga minyak sawit mentah (MSM) mengalami penurunan selepas meningkat rancak baru-baru ini sementara harga minyak naik melepasi paras US$68 setong,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan TNB masing-masing turun 1.0 sen kepada RM8.24, RM4.16 dan RM9.99, sementara Petronas Chemicals naik 16 sen kepada RM8.27 dan IHH Healthcare meningkat 1.0 sen kepada RM5.40.

Bagi kaunter aktif, Vortex Consolidated memperoleh setengah sen kepada 14.5 sen, Hiap Teck naik 3.0 sen kepada 59.5 sen sementara SC Estate turun setengah sen kepada 11.5 sen dan Focus Dynamics tidak berubah pada 13 sen.

Kuala Lumpur Kepong dan Malaysia Pacific adalah antara yang paling kerugian pada sesi awal hari ini, masing-masing menyusut 64 sen dan 36 sen kepada RM22.16 dan RM39.30.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 25.31 mata kepada 11,815.50, FBMT 100 turun 29.20 mata kepada 11,469.83, FBM 70 jatuh 0.90 mata pada 15,641.30, FBM Emas Syariah turun 16.17 mata kepada 13,289.25 tetapi FBM ACE meningkat 0.75 mata satu mata pada 8,865.75.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 66.65 mata kepada 6,849.27, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 63.96 mata kepada 14,902.52 tetapi Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 1.45 mata kepada 200.17.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Harga permintaan pasaran hartanah susut pada suku pertama 2021

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: PropertyGuru Malaysia melaporkan trend keseluruhan harga permintaan mencatatkan penurunan sebanyak 0.84 peratus suku ke suku dan 1.79 peratus tahun ke tahun kepada 87.86 mata indeks dalam suku pertama 2021, berikutan kebimbangan pembeli.

Memandangkan situasi ekonomi pandemik yang tidak menentu ini, ia percaya bahawa sentimen berhati-hati terus menguasai pasaran dan pasaran hartanah dijangka berdepan trend harga turun naik dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Bagaimanapun, peningkatan kadar pemvaksinan di seluruh masyarakat Malaysia diharapkan dapat menambahkan kestabilan dan meningkatkan sentimen pengguna selari dengan perkembangan semasa,” kata Pengurus Negaranya Sheldon Fernandez dalam satu kenyataan susulan pengeluaran laporan terkini Indeks Pasaran Hartanah PropertyGuru Malaysia (MPMI).

Laman web hartanah itu juga melaporkan perubahan harga permintaan dicatatkan di Kuala Lumpur (0.66 peratus), Pulau Pinang (1.36 peratus) dan Johor (0.29 peratus), menunjukkan peluang pelaburan yang kukuh.

Pada Suku Pertama 2021, harga permintaan di Kuala Lumpur turun sebanyak lima peratus, penurunan tertinggi dicatatkan sejak PropertyGuru melancarkan indeks pasarannya pada 2016.

“Penurunan trend lebih dua tahun ini dipercepatkan oleh pandemik serta boleh dilihat sebagai trend pengubahan harga yang telah bermula seiring dengan tempoh ekonomi yang mencabar dan penawaran harga melampau hartanah,” katanya.

Meskipun keseluruhan harga permintaan suku ke suku dan tahun ke tahun di Malaysia menurun, MPMI mendapati keseluruhan senarai bekalan yang dikesan di PropertyGuru menyaksikan pertumbuhan suku ke suku sebanyak 2.71 peratus, dan 15.85 peratus tahun ke tahun pada 2021, menunjukkan trend peningkatan.

Semasa suku tersebut, Pulau Pinang merekodkan kenaikan tertinggi dalam jumlah bekalan tahunan, meningkat sebanyak 34.17 peratus tahun ke tahun dan 1.19 peratus suku ke suku, pertumbuhan positif bagi suku ketiga berturut-turut.

“Pemulihan jumlah bekalan yang kukuh di pasaran utama di Malaysia mungkin disebabkan keputusan kerajaan untuk membenarkan industri pembinaan dan pembangunan hartanah, seiring dengan sektor penting lain untuk terus beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan semasa.

“Ini menunjukkan bahawa para pemaju yakin pemulihan akan berlaku,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka rendah 4.0980/1030 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Ringgit dibuka menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika tumpuan beralih kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) yang dijadual berlangsung lewat Selasa, kata penganalisis.

Pada 9.01 pagi, ringgit diniagakan pada 4.0980/1030 berbanding dolar AS daripada 4.0960/1000 pada akhir dagangan Isnin.

Seorang penganalisis berkata, biarpun sentimen terhadap ringgit dijangka pulih berikutan petunjuk ekonomi yang positif, keadaan semasa sebaliknya kekal tidak menentu ketika pelabur memilih untuk bersikap berhati-hati menjelang mesyuarat dua hari FOMC tersebut.

Dalam pada itu, Jabatan Perangkaan menerusi laporannya pada Jumaat lepas, berkata Indeks Pelopor (IP) yang positif pada Februari 2021, memberi isyarat bahawa Malaysia menuju ke arah ekonomi yang semakin mengukuh dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Pasaran OANDA, Edward Moya berkata keputusan dasar FOMC itu dianggap tidak memberi kejutan kerana telah dijangkakan mengekalkan pendirian semasa membabitkan kadar faedah atau pembelian aset walaupun dalam persekitaran pemulihan ekonomi.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang utama lainnya.

Ringgit bagaimanapun susut sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0903/0952 daripada 3.0890/0932 pada Isnin namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7892/7945 daripada 3.8017/8058, sebelum ini.

Ringgit juga naik berbanding euro kepada 4.9500/9577 daripada 4.9545/9602 serta mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6938/7011 daripada 5.6992/7056.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit susulan ambilan untung

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Bursa Malaysia susut sedikit pada awal dagangan Selasa berikutan aktiviti pengambilan untung secara sederhana membabitkan kaunter produk pengguna terpilih ketika sentimen bercampur-campur menguasai pasaran serantau, kata peniaga.

Pada 9.15 pagi ini, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.254 mata kepada 1,619.23 daripada 1,623.47 pada akhir dagangan Isnin.

Indeks penanda aras itu turun 0.26 mata kepada 1,623.21 sewaktu pasaran dibuka pagi ini.

Sentimen pasaran secara amnya negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 294 berbanding 260 manakala 384 kaunter lain tidak berubah, 1,262 tidak diniagakan dan 29 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 769.23 juta saham bernilai RM490.78 juta.

Sementara itu, Malacca Securities menerusi nota penyelidikannya menjangkakan sentimen pasaran kekal berhati-hati menjelang pengumuman membabitkan sekatan pergerakan baharu susulan pandemik Covid-19.

“FBM KLCI misalnya mencatat peningkatan untuk sesi ketiga berturut-turut, sebahagiannya dipacu oleh aktiviti belian ketara dalam kaunter sarung tangan susulan peningkatan mendadak Covid-19 di beberapa negara terutamanya di India dan Brazil,” katanya.

Bagaimanapun, firma pembrokeran itu berkata momentum peningkatan saham sarung tangan tersebut akan susut apabila kes Covid-19 kembali berkurangan selain didorong oleh pelaksanaan program vaksinasi.

“Kami kekal optimis terhadap saham berkaitan pembungkusan berikutan peningkatan ketara terhadapnya serta penghantaran ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Selain itu, para pelabur juga mungkin berminat terhadap saham-saham berkaitan teknologi selepas kenaikan semalaman oleh pasaran NASDAQ.

“Malah, saham pengangkutan dan logistik juga kekal menjadi tumpuan yang dipacu oleh permintaan tinggi terhadapnya,” katanya.

Nestle dan Petronas Dagangan muncul dua kaunter paling rugi di Bursa Malaysia, masing-masing merosot 80 sen dan 20 sen kepada RM135.70 dan RM20.10

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut 5.0 sen kepada RM8.31, Public Bank turun 1.0 sen kepada RM4.18, Petronas Chemicals merosot 7.0 sen kepada RM7.84 manakala TNB tidak berubah pada RM10 dan Top Glove sebaliknya naik 7.0 sen kepada RM5.97.

Bagi saham aktif, Focus Dynamics dan Kanger International masing-masing menokok 1.0 sen kepada 15.5 sen dan 8.0 sen, KTG naik setengah sen kepada 26 sen dan Hiap Teck meraih 1.5 sen kepada 55 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 23.62 mata kepada 11,914.29; FBMT 100 turun 27.16 mata kepada 11,565.42; FBM 70 rendah 24.85 mata kepada 15,692.77; FBM Emas Shariah menguncup 7.79 mata kepada 13,436.52 manakala FBM ACE naik 101.44 mata kepada 9,002.36.

Mengikut sektor pula, Indeks Perladangan susut 16.31 mata kepada 6,868.43, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 62.19 mata kepada 14,989.42 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.36 mata kepada 197.30.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kadar pengangguran naik kepada 4.5 peratus pada 2020

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Kedudukan tenaga buruh Malaysia yang terjejas pada 2020 berikutan krisis kesihatan dan kesan ekonomi, menyebabkan kadar pengangguran mencecah 4.5 peratus berbanding 3.3 peratus pada 2019, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pasaran buruh global berada dalam situasi tidak menentu sepanjang 2020 yang mengakibatkan kehilangan pekerjaan dan pengurangan jam bekerja serta sumber pendapatan berikutan pandemik Covid-19 dan langkah mengekang penularan pandemik ini yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara.

“Semasa krisis kesihatan, kadar pengangguran bulanan adalah dalam lingkungan 3.9 peratus hingga 5.3 peratus — penambahan melebihi 200,000 penganggur.

“Pembukaan semula lebih banyak aktiviti perniagaan dengan pematuhan kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan sehingga akhir tahun ini dilihat telah dapat mengimbangi kepentingan kesihatan dengan pemulihan ekonomi dan perniagaan,” katanya dalam kenyataan berdasarkan Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, 2020.

Mengulas mengenai situasi tenaga buruh pada tahun lepas, Mohd Uzir berkata tenaga buruh yang merangkumi penduduk bekerja dan penganggur, meningkat 0.6 peratus kepada 15.7 juta orang daripada 15.6 juta orang pada 2019.

Sementara itu, beliau berkata kadar pengangguran tahunan meningkat 1.2 mata peratus kepada 4.5 peratus pada 2020, kadar tertinggi sejak 1993.

Bilangan penganggur bertambah 39.9 peratus kepada 711,000 orang daripada 508.2 ribu orang pada 2019.

Daripada jumlah ini, 72.3 peratus adalah penganggur aktif yang meningkat 40.4 peratus kepada 514,200 orang daripada 366,200 orang pada 2019.

Beliau berkata bilangan mereka yang bekerja berkurang 0.8 peratus kepada 15 juta orang berbanding 15.1 juta orang pada 2019.

Melihat kepada guna tenaga mengikut sektor ekonomi, beliau berkata majoriti penduduk bekerja tertumpu dalam sektor perkhidmatan dengan peratus sumbangan sebanyak 64.5 peratus diikuti pembuatan (16.7 peratus) dan pertanian (10.5 peratus).

Sementara itu, penduduk bekerja dalam sektor pembinaan dan perlombongan dan pengkuarian masing-masing meliputi 7.8 peratus dan 0.5 peratus.

Mohd Uzir berkata pasaran buruh Malaysia diramalkan akan meningkat secara marginal namun masih berdepan dengan cabaran ketidaktentuan situasi krisis kesihatan.

“Ketika pelbagai fasa PKP 2.0 juga dilaksanakan secara berterusan bagi mengekang penularan pandemik ini, beberapa kelonggaran bagi aktiviti ekonomi untuk beroperasi juga dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ketat.

“Dengan fasa pemulihan ekonomi yang berterusan disokong pelbagai program inisiatif oleh kerajaan bagi membantu kelangsungan perniagaan serta pelancaran program pemvaksinan pada 2021, ia diharapkan dapat membantu melegakan serta mengurangkan beban perniagaan.

“Ini sekali gus boleh membantu mempercepatkan pemulihan pasaran buruh,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Indeks Keadaan Perniagaan naik 28.8 mata suku pertama 2021

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Indeks Keadaan Perniagaan (BCI) Malaysia meningkat 28.8 mata tahun ke tahun kepada 111.8 mata pada suku pertama berakhir Mac 2021 yang menunjukkan pengilang telah meraih kembali keyakinan mereka sejak penularan Covid-19 pada suku pertama 2020.

Menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), mod pengembangan itu sebahagiannya turut dipacu pemulihan ekonomi domestik dan global, pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan penyediaan pakej rangsangan ekonomi kepada pengilang.

Berasaskan suku ke suku, MIER berkata BCI susut 3.6 mata kepada 111.8 mata, disebabkan penurunan jualan susulan pengurangan tempahan domestik dan luaran, serta penurunan pengeluaran akibat permintaan yang rendah daripada sumber tempatan dan asing.

“Meskipun berlaku kemerosotan indeks, sentimen perniagaan adalah melebihi paras ambang (daripada 100 mata) untuk dua suku berturut-turut,” katanya dalam Laporan Kaji Selidik Keadaan Perniagaan bagi suku pertama 2021 yang dikeluarkan hari ini.

MIER berkata sub-indeks komponen jualan pembuatan BCI susut 4.85 mata suku ke suku kepada 54.5 mata namun meningkat 8.3 mata tahun ke tahun, menunjukkan jualan pembuatan yang telah mendapat semula momentum.

Bagi tempahan domestik, laporan itu menyatakan bahawa sub-indeks susut 18.4 mata suku ke suku kepada 47.7 mata namun 6.0 mata lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Dari segi tempahan eksport, MIER berkata sub-indeks susut 3.2 mata suku ke suku kepada 57.5 mata namun meningkat 11.3 mata berasaskan tahun ke tahun.

MIER berkata Indeks Pelaburan Modal menokok 3.7 mata suku ke suku kepada 67.5 pada suku pertama 2021 dan meningkat ketara sebanyak 21.3 mata tahun ke tahun, menunjukkan perbelanjaan pelaburan yang telah pulih.

Menurut laporan itu, keadaan pekerjaan telah meningkat ketara suku ke suku dengan 32 peratus syarikat melaporkan tenaga kerja mereka telah bertambah berbanding 28 peratus pada suku terdahulu.

Menurutnya, hanya empat peratus majikan melaporkan pengurangan pekerjaan pada suku pertama 2021, penurunan yang ketara sebanyak 27 peratus suku ke suku.

Kos upah turut meningkat sedikit pada suku pertama 2021 memandangkan 36 peratus responden daripada 1,000 organisasi perniagaan melaporkan peningkatan upah berbanding 31 peratus pada suku sebelumnya.

“Harga jualan domestik kekal stabil dengan 73 peratus daripada pengilang melaporkan harga yang tidak berubah pada suku pertama 2021,” katanya.

Pada masa depan, MIER berkata keadaan perniagaan dijangka meningkat pada tiga bulan akan datang, disokong oleh Indeks Jangkaan (EI) yang lebih kukuh yang meningkat 10.7 mata suku ke suku kepada 120.6 mata pada suku pertama 2021.

Ia mengaitkan pergerakan meningkat dalam EI itu dengan jangkaan pengeluaran kukuh yang naik 4.0 mata daripada suku sebelumnya serta jualan eksport yang dijangka lebih baik yang melonjak 6.7 mata daripada suku kedua 2020.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Bursa Malaysia meningkat semula pada Khamis, mencerminkan pemulihan semalaman pasaran Amerika Syarikat (AS).

Semua indeks dan indeks sektoral berada dalam keadaan positif dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.8 mata kepada 1,600.38 setakat 9.05 pagi.

Saham pandu pasaran dibuka 3.31 mata lebih tinggi kepada 1,599.89.

Keseluruhan suasana pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 266 kepada 156, manakala 329 kaunter tidak berubah, 1,435 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah 386.22 juta saham bernilai RM156.58 juta.

Malacca Securities menjangka bursa tempatan mungkin mencatatkan sedikit kenaikan semula, menjejaki peningkatan semalaman di Wall Street.

Bursa tempatan mungkin mengambil petunjuk daripada kenaikan semalaman Nasdaq dan meletakkan sektor teknologi itu pada radar, katanya dalam satu nota.

Pada Rabu, saham AS pulih daripada penyusutan pada sesi sebelumnya berikutan Dow meningkat dengan tumpuan pelabur beralih kepada kemajuan pemulihan ekonomi di tengah-tengah pengeluaran pendapatan korporat yang ketara.

Dow naik 0.93 mata kepada 34,137.31, Nasdaq meningkat 1.19 peratus untuk ditutup kepada 13,950.22 dan S&P 500 naik 0.93 peratus untuk ditutup kepada 4,173.42. Selain itu, bursa Asia ditutup rendah semalam.

Di peringkat tempatan, Malacca Securities yakin kaunter perladangan mungkin menyaksikan sedikit peningkatan susulan harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih kukuh.

Harga MSM terus berlegar menghampiri paras RM4,000, namun impak positif masih belum dicerminkan di kaunter perladangan.

Bagaimanapun, kaunter sarung tangan mungkin menurun akibat kebimbangan terhadap harga jualan purata sarung tangan berikutan program vaksinasi Covid-19 yang sedang dilaksanakan dan kelemahan harga minyak yang dijangka mengehadkan kenaikan itu.

Harga minyak merosot ketara pada Rabu susulan kebimbangan mengenai unjuran permintaan tenaga selepas peningkatan inventori minyak mentah AS yang tidak dijangka dan lonjakan penularan Covid-19 di India.

Di peringkat tempatan, kebanyakan kaunter wajaran tinggi adalah rendah dengan hanya empat kaunter terutamanya saham sarung tangan yang berada dalam keadaan negatif.

Petronas Chemicals naik enam sen kepada RM7.85, manakala Axiata dan Sime Darby Plantation masing-masing menokok tiga sen kepada RM3.84 dan RM4.46.

PPB Group meningkat 18 sen kepada RM18.68 dan CIMB menambah dua sen kepada RM4.24.

Press Metal dan Digi susut satu sen kepada RM5.24 dan RM4.19, manakala Hartalega dan Supermax berkurangan dua sen kepada RM10.10 dan RM5.52.

Dalam kalangan saham aktif, Techhna-X dan Key Asic masing-masing meningkat dua sen kepada 15 sen dan 23 sen.

Ucrest meningkat 1.5 sen kepada 50 sen dan Dynaciate rendah setengah sen kepada 11 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 34.91 mata kepada 11,790.03, FBMT 100 naik 32.23 mata kepada 11,443.00, manakala FBM 70 meningkat 63.42 mata kepada 15,573.87.

FBM Emas Shariah naik 45.08 mata kepada 13,197.67 dan FBM ACE tinggi 59.18 mata kepada 8,585.26.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan 24.11 mata lebih tinggi kepada 6,84214, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 17.79 mata kepada 15,029.21, dan Indeks Produk dan Perindustrian meningkat 0.61 mata kepada 195.37.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi 4.1140/1180 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pagi ini namun kekal dalam jajaran sempit berikutan kelemahan harga minyak yang diimbangi oleh sentimen risiko yang lebih baik dan dolar AS yang menyusut.

Pada 9 pagi, unit tempatan itu berada pada 4.1140/1180 berbanding dolar AS daripada 4.1190/1230 sewaktu ditutup pada Rabu.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata penyusutan dolar AS adalah sejajar dengan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat yang lemah, yang menyokong ringgit.

Sewaktu dibuka, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7341/7401 daripada 5.7390/7462 dan naik berbanding yen kepada 3.8082/8126 daripada 3.8107/8155 semalam.

Bagaimanapun, unit tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0977/1016 daripada 3.0958/0995 dan jatuh berbanding euro kepada 4.9520/9572 daripada 4.9453/9509.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka rendah 4.1180/1230 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan kebimbangan mengenai pandemik Covid-19 di rantau ini dan pendirian Rizab Persekutuan AS yang memihak kepada kadar faedah tinggi mengesahkan pandangan mata wang Amerika Syarikat itu kukuh, kata peniaga.

Pada 9 pagi, unit tempatan berada pada 4.1180/1230, rendah sedikit daripada 4.1130/1180 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata dolar AS hampir tidak membuat sebarang perubahan yang ketara walaupun kebimbangan mengenai Covid-19 telah menjejaskan harga minyak semalaman.

“Sekatan perjalanan dijangka akan berkuat kuasa dengan lebih lama daripada jangkaan berikutan gelombang baharu Covid-19 yang telah melanda Asia,” katanya kepada Bernama.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ringgit meningkat semula berbanding pound kepada 5.7397/7470 daripada 5.7508/7594 dan naik berbanding euro kepada 4.9556/9633 daripada 4.9590/9659 semalam.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0972/1021 daripada 3.0964/0011 dan susut berbanding yen kepada 3.8098/8151 daripada 3.7918/7968.

– BERNAMA