Categories
AGENDA PELANCONGAN

AirAsia, hotel tempahan tawar pakej harga terbaik, lebih jimat

KUALA LUMPUR, 18 JUN: AirAsia bekerjasama dengan hotel tempatan untuk menawarkan harga terbaik dengan lebih penjimatan menerusi platform tempahan penerbangan dan kombo hotel, SNAP.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan tambang murah itu berkata SNAP memanfaatkan rangkaian luas AirAsia yang meliputi lebih daripada 160 destinasi AirAsia untuk memberikan harga terbaik untuk tiket penerbangan dan pada masa sama menjalinkan kerjasama dengan rakan niaga hotel untuk menawarkan harga bilik berpatutan.

“Ini memberi faedah secara langsung kepada pengguna dengan menawarkan keselesaan, penjimatan yang lebih besar dan harga berpatutan, seterusnya ia juga dapat membantu mempercepatkan pemulihan pelancongan domestik,” katanya.

Pada masa yang sama, ia berkata rakan niaga hotel dapat memanfaatkan sumber ekosistem AirAsia yang kukuh, termasuk jumlah pelawat yang tinggi di laman sesawangnya, airasia.com, pangkalan data pengembara yang ketara serta kempen pemasaran berfokus kepada destinasi dilengkapi dengan strategi kreatif berdasarkan pengalaman luas syarikat penerbangan itu dalam industri pelancongan.

Hotel yang tersedia bagi kempen jualan SNAP itu melibatkan hotel bertaraf tiga hingga lima bintang, antaranya ialah The Chow Kit – An Ormond Hotel, MoMo’s Kuala Lumpur, Tune Hotel, Lexis Port Dickson, Vouk Hotel Suites.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

AirAsia tawar kecuali caj tukar penerbangan

KUALA LUMPUR, 3 JUN: AirAsia mengumumkan bahawa ia mengecualikan caj pertukaran penerbangan untuk sebarang tempahan baharu dilakukan antara 3 Jun dan 31 Oktober, 2020.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata pilihan itu disediakan untuk tempahan dalam talian di airasia.com untuk penerbangan domestik di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan India.

“Penumpang boleh membuat perubahan tarikh penerbangan dalam jumlah yang tidak terhad melalui tab ‘Tempahan Saya’ di airasia.com atau aplikasi mudah alih AirAsia, dan boleh menempah semula penerbangan mereka untuk perjalanan sehingga 31 Disember 2020, bergantung pada ketersediaan tempat duduk dan perbezaan tambang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kumpulan AirAsia (Penerbangan), Bo Lingam berkata susulan keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini berkaitan dengan keadaan kesihatan awam semasa dan sekatan perjalanan, pelan perjalanan mungkin berjalan lancar sepanjang tahun ini.

Syarikat penerbangan itu berkata perubahan tarikh dan waktu penerbangan hanya sah sehingga 48 jam sebelum waktu berlepas yang asal dan hingga empat jam untuk AirAsia India.

Untuk maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh melayari https://www.airasia.com/aa/campaign/en/gb/no-flight-change-fee.html.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

AirAsia laksana prosedur tanpa sentuhan

KUALA LUMPUR, 13 MEI: AirAsia Group Bhd akan melaksanakan beberapa prosedur tanpa sentuhan bagi perjalanan penting selain mengemas kini ciri-ciri baharu pada aplikasi mudah alihnya untuk memastikan perjalanan yang lancar dan selamat kepada penumpang.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata ia telah menyediakan sistem pilihan pembayaran tanpa sentuhan secara Wave seperti AliPay dan WeChat Pay di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan akan diperkenalkan di lapangan terbang lain secara berperingkat.

Bagi memastikan proses daftar masuk tanpa sentuhan sepenuhnya, AirAsia berkata kiosk tanpa sentuhan boleh didapati di semua lapangan terbang yang beroperasi di seluruh Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia dan Jepun mulai hari ini, di mana tetamu boleh mencetak pas masuk dan tag bagasi setelah mendaftar masuk secara dalam talian di airasia.com atau melalui aplikasi mudah alih.

Menurut kumpulan itu, Sistem Penyelarasan Penumpang (PRS) membolehkan tetamu mengimbas pas masuk mereka dan menurutnya sistem itu turut disediakan di klia2 sebelum diikuti oleh lapangan terbang lain di Malaysia di mana AirAsia beroperasi.

AirAsia berkata ia juga telah mendigitalkan proses menaiki penerbangan dengan mengimbas semua pas masuk di pintu pelepasan dan tidak lagi mengambil pas masuk fizikal.

“Aplikasi mudah alih AirAsia pula akan dikemas kini pada bulan ini dengan ciri-ciri baharu di mana para tetamu boleh mengimbas pasport mereka melalui aplikasi tersebut, seterusnya memudahkan pengalaman pengguna dan melancarkan proses daftar masuk tanpa sentuhan.

“Terdapat juga cadangan untuk menambah ciri-ciri lain seperti imbasan visa perjalanan dalam masa terdekat,” kata syarikat penerbangan itu.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan AirAsia Javed Malik berkata selain langkah keselamatan ketat di lapangan terbang seperti penanda penjarakan sosial dan Allstars yang memakai peralatan perlindungan diri, prosedur tanpa sentuhan itu akan memberikan pengalaman lebih selamat, cekap dan tanpa sentuhan kepada tetamu.

“Keselamatan tetamu dan Allstars adalah keutamaan kami dan prosedur tambahan ini adalah bukti komitmen berterusan kami untuk memastikan keselamatan perjalanan dalam persekitaran normal baharu bagi perjalanan udara, ” katanya.

-BERNAMA

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Tourism Selangor syor ‘percutian’ maya di rumah

SHAH ALAM, 4 APRIL: Tourism Selangor mengesyorkan beberapa ‘percutian’ menarik secara maya yang boleh dinikmati orang ramai tanpa perlu meninggalkan rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Agensi pelancongan itu mempelawa ‘kaki jalan’ melayari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.travel bagi percutian pertama mereka ke sembilan daerah di negeri itu.

Katanya orang ramai boleh mengambil peluang membaca semua cerita pelancongan itu di https://selangor.travel/travel-stories/ untuk idea percutian seterusnya selepas tamat PKP.

“Bagi peminat seni, luangkan masa bersama orang tercinta melawat Galeri Shah Alam secara maya dengan melayari laman sesawang https://galerishahalam.com/video/.

“Selain itu, gunakan data internet percuma untuk rakyat sepanjang tempoh PKP mendapatkan pelbagai promosi hotel dan pakej pelancongan menarik di hujung jari anda,” menurut Tourism Selangor.

Tourism Selangor turut menyenaraikan beberapa cadangan ‘percutian’ secara dalam talian lain antaranya :

1) Alami Selangor melalui video Hos Komuniti Selangor di YouTube dan langgani saluran YouTube rasmi Tourism Selangor untuk maklumat lanjut tentang produk serta acara pelancongan Selangor.

2) Tonton video dimuat-naik ke saluran menarik di Kuala Selangor di YouTube untuk pengalaman melancong ke daerah berkenaan.

3) Nikmati perkhidmatan penghantaran makanan dari restoran dan kafe popular di Selangor ke pintu rumah di https://selangor.travel/20-best-eateries-with-takeaways-and-delivery-services-in-selangor/

4) Ambil ilham hotel lima bintang untuk menghiaskan bilik tidur dengan cadar putih bersama tuala mandian yang baru dicuci bagi pengalaman penginapan mewah di rumah.

Categories
NASIONAL PELANCONGAN

MATTA tingkat promosi ekopelancongan tarik warga China

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Pelancong China ke Malaysia kini cenderung ke arah sektor ekopelancongan untuk menikmati keindahan alam semula jadi berbanding menjadikannya sebagai destinasi membeli belah.

Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Datuk Tan Kok Liang berkata berikutan itu pihaknya membanyakkan promosi ekopelancongan bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong dari negara itu.

Katanya ia juga selaras langkah kerajaan mengecualikan visa selama 15 hari kepada pelancong dari China dan India, yang dilaksanakan selama setahun bermula awal tahun ini.

“Sekarang trend pelancong dari China mereka suka aktiviti lasak di kawasan luar bandar seperti menyelam, pemandangan, ‘street food’ serta tingggal di kampung khususnya mereka yang suka buat video,” katanya.

Tan berkata MATTA sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam menarik kehadiran pelancong asing.

Beliau optimis sasaran kementerian itu untuk menarik kehadiran empat juta pelancong dari China ke Malaysia tahun ini berbanding lebih 3.2 juta tahun lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Perbelanjaan pelancong dijangka meningkat lapan peratus tahun ini

PETALING JAYA, 16 SEPT: Tourism Malaysia menjangka perbelanjaan pelancong meningkat lapan peratus tahun ini daripada RM28.1 bilion yang dicatatkan tahun lepas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Musa Yusof berkata, antara aspek yang boleh membantu meningkatkan perbelanjaan pelancong ialah menampilkan Malaysia sebagai destinasi membeli-belah, terutama dengan kempen Year-End Sale atau Jualan Akhir Tahun (YES), kerana membeli-belah merupakan bahagian terbesar perolehan pelancongan pada 2018.

“Bagi perbelanjaan pelancong tahun ini, kami menyasarkan peningkatan sebanyak lapan peratus, jika tidak, sekurang-kurangnya lima peratus. Dari Januari hingga Mac 2019, perbelanjaan membeli-belah menunjukkan peningkatan sebanyak 8.9 peratus pada RM7.05 bilion. Biasanya pada suku ketiga, ia (perbelanjaan) akan meningkat lebih banyak lagi.

“Kita tentunya mengharapkan prestasi pelancongan yang positif pada tahun ini. Antara Januari dan Jun 2019, ketibaan pelancong mencatatkan 13.35 juta, peningkatan 4.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya semasa sidang akhbar selepas pelancaran kempen YES Malaysia di sini, semalam.

Musa berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Tourism Malaysia, barang-barang yang menjadi pilihan utama dibeli pelancong semasa kunjungan mereka ke Malaysia tahun lepas adalah kraftangan, pakaian, produk kecantikan dan kasut.

Beliau berkata, kempen YES juga boleh mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang menyasar untuk menarik 30 juta pelancong dan RM100 bilion dalam perolehan pelancongan.

– BERNAMA

Categories
PELANCONGAN

Tourism Malaysia manfaatkan pemasaran digital untuk TMM 2020

KUCHING, 20 JUL : Tourism Malaysia memanfaatkan pemasaran digital untuk meningkatkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) yang menyasarkan kedatangan 30 juta pelancong tahun hadapan.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof berkata kempen itu menumpukan kepada pemasaran digital menerusi laman web TMM 2020, penggunaan tanda pagar VisitMalaysia2020, VM2020 dan MalaysiaTrulyAsia.

“Kami bersedia untuk melancarkan TMM 2020 dan menggunakan sepenuh kekuatan untuk menjangkau dunia dengan bantuan web,” katanya pada Program Ilek-Ilek yang dihadiri media, personaliti YouTube dan personaliti media sosial yang berpengaruh di Jalan Rubber di sini hari ini.

Di samping itu, Musa berkata usaha promosi TMM2020 juga dimulakan menerusi program Tourism Malaysia Mega Familiarisation (Mega Fam) yang mana pengamal media antarabangsa termasuk personaliti media sosial dan ejen pelancongan dijemput untuk merasai pengalaman pertama di Malaysia.

“Sejak awal tahun ini, seramai 86 peserta antarabangsa mengambil bahagian dalam empat program Mega Fam.

“Program Mega Fam merupakan satu daripada strategi pemasaran paling berkesan yang dilakukan oleh Tourism Malaysia. Sebanyak 80 peserta dari 10 negara mengambil bahagian dan menjana pulangan pelaburan sebanyak RM3.7 juta dalam nilai publisiti menerusi penghasilan pelbagai artikel, dokumentari dan publisiti media sosial,” katanya.

Musa berkata Tourism Malaysia juga memanfaatkan kewujudannya dalam media sosial yang mana sehingga 20 Jun lepas, pihaknya mempunyai 3.3 juta pengikut di Facebook, kira-kira 73,000 pengikut di Instagram dan 422,489 pengikut di Twitter serta 45.6 juta tontonan di YouTube.

“Kehadiran pelancong antarabangsa dari Januari hingga Mei tahun ini ialah 10,954,014 orang yang menunjukkan peningkatan positif sebanyak 4.8 peratus daripada 10,545,447 pelancong pada tempoh sama tahun lepas.

“Pasaran jarak dekat (ASEAN) dan sederhana merupakan penyumbang utama dengan peningkatan ketibaan masing-masing 4.7 peratus dan 7.6 peratus,” katanya.

-BERNAMA

Categories
PELANCONGAN

MOTAC yakin capai sasaran kedatangan 30 pelancong tahun hadapan

TUMPAT, 14 JUL : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yakin akan mencapai sasaran kemasukan 30 juta pelancong ke negara ini pada tahun depan, sekali gus menjana kira-kira RM192 bilion pendapatan kepada negara.

Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata pendapatan berjumlah RM100 bilion dijangka diperoleh menerusi kemasukan pelancong asing manakala selebihnya melalui pelancongan domestik.

“Kelantan antara negeri yang dijangka menarik ramai kemasukan pelancong asing ke Malaysia. Kelantan menyasarkan sejumlah 5.5 juta pelancong akan mengunjungi negeri itu pada tahun ini, sekali gus membantu melonjakkan jumlah pelancong ke Malaysia pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penutupan Festival Kesenian Rakyat Kelantan (FKRK) 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Tan Sri Norliza Rofli, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan Datuk Md Anizam Ab Rahman dan Timbalan Gabenor Narathiwat Patimoh Sadiyamon.

FKRK mula dianjurkan pada 2017 merupakan satu daripada sembilan program yang tersenarai dalam kalendar pelancongan budaya di sembilan negeri bagi menyerlahkan keunikan seni budaya setempat sebagai satu produk pelancongan.

Pada penganjurannya yang lepas, sebanyak RM254,000 pendapatan telah dijana dengan kehadiran seramai 74,221 pengunjung.

Antara acara menarik yang diadakan pada FKRK kali ketiga tahun ini adalah pertandingan Rebana Ubi, Kertuk dan Dikir Barat selain persembahan Simfoni Pergendangan Kelantan.

Sementara itu Mohamaddin berkata kementeriannya sentiasa terbuka untuk menerima cadangan kerajaan negeri dalam usaha menghidupkan seni tradisi negeri masing-masing.

“Kesenian Mak Yong misalnya telah dibenarkan dipentaskan semula di Kelantan hasil kesepakatan bersama. Kita ucapkan terima kasih kepada Kelantan atas usaha murni memberi nafas baharu kepada kesenian Mak Yong dan ia kini boleh disaksikan di Auditorium JKKN Kelantan,” katanya.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL PELANCONGAN

Pelancongan kebudayaan jana RM551 juta setiap tahun

KUALA LUMPUR, 1 JUL: Sektor pelancongan kebudayaan menjanakan hasil pendapatan negara berjumlah RM551 juta setiap tahun sejak tiga tahun lepas, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata pada tahun lepas, lebih 17 juta pengunjung menyertai program pelancongan kebudayaan itu dan jumlah pengunjung pada tahun ini dijangka terus meningkat.

“Amalan dan cara hidup, seni persembahan dan hasil kraftangan mempunyai tarikan tersendiri, yang boleh dipromosi serta mampu menjana pendapatan kepada negara dan peningkatan pengunjung yang dilihat saban tahun menjadi bukti pencapaian yang membanggakan.

“Selain itu, usaha yang dibuat Jabatan Muzium Malaysia dengan mengadakan kolaborasi penganjuran pameran dengan negara luar termasuklah kerjasama dengan Kazakhstan adalah usaha positif untuk muzium terus berkembang dan memantapkan lagi jaringan antarabangsa serta mampu meningkatkan jumlah pengunjung ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Antarabangsa Alharamain: ‘Perjalanan Ribuan Tahun’ dan Majlis Ramah Mesra bersama Penggiat Industri Pelancongan di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamaddin berkata Muzium Negara telah dipilih menjadi tuan rumah kepada Persidangan Asian National Museums Association (ANMA) buat pertama kalinya mulai 29-31 Oktober ini dalam usaha memartabatkan peranan dan fungsi muzium dalam kalangan masyarakat.

“Persidangan yang bakal disertai dari pelbagai negara Asia seperti Thailand, Singapura dan Kazakhstan itu akan membincangkan tema dan menonjolkan fungsi muzium-muzium nasional. Mereka akan bermesyuarat dan membuat resolusi mengenai perkembangan muzium. Saya yakin dengan perancangan rapi dan promosi yang berterusan ini dapat meningkatkan lagi ‘visibility’ muzium,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara, Datuk Kamarul Baharin A Kasim berkata persidangan ANMA yang dianjurkan buat kali ketujuh itu turut membincangkan perubahan baharu dan perkembangan muzium yang tertumpu kepada sistem pendidikan dan penyelidikan serta membina hubungan baik dalam kalangan negara Asia.

“Persidangan ANMA ini masih lagi baharu dan setakat ini 19 negara daripada 23 negara anggota bersetuju untuk menyertai persidangan ini, dan yang kita harapkan tiga negara paling besar dalam bidang permuziuman iaitu Jepun, China dan Korea akan turut menyertai ANMA ini,” jelasnya.

Pameran Antarabangsa Alharamain yang berlangsung sehingga 21 Julai ini adalah pameran yang menampilkan koleksi seni Islamik dari 1,400 tahun lepas di mana sebahagian koleksi yang dipamerkan terdiri daripada hasil kerja logam, seramik dan kayu serta manuskrip yang diperoleh dari abad ketujuh hingga abad kesembilan. – BERNAMA

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Taman tema i-City destinasi pelancongan ketiga di Selangor peroleh MyTQA

 

SHAH ALAM, 27 Jun : Taman Tema i-City di Seksyen 7 di sini menjadi destinasi ketiga industri pelancongan di Selangor yang memperoleh pensijilan Jaminan Kualiti Menyeluruh Malaysia (MyTQA).

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Yean Yoke Heng berkata pensijilan diberikan susulan kejayaan taman tema itu memenuhi tujuh syarat yang ditetapkan iaitu berkaitan maklumat, tanggapan awal, daya tarikan, fasiliti, staf, keselamatan dan amalan lestari.

Beliau berkata selain taman tema i-City, dua lagi destinasi pelancongan di Selangor yang turut memperoleh pensijilan MyTQA adalah pusat membeli-belah Sunway Pyramid di Petaling Jaya dan taman haiwan ‘Farm in The City’ di Seri Kembangan.

“Pensijilan terhadap taman tema i-City ini diperakukan untuk tempoh tiga tahun dan ia merupakan destinasi pelancongan yang ke-39 seluruh Malaysia untuk menerima pengiktirafan itu.

“Antara 39 destinasi berkenaan adalah Langkawi Skycab, The Top Komtar, Menara Taming Sari dan Galeria Perdana,” katanya pada sidang media selepas merasmikan tarikah terbaharu taman tema i-City iaitu ‘Snow Village’ di sini, hari ini.

Taman Tema i-City yang turut dikenali sebagai ‘taman lampu digital’ itu dibuka secara berperingkat mulai Dis 2009 menawarkan pelbagai tarikan kepada pelancong antaranya taman tema air, pameran lampu digital berwarna-warni, muzium interaktif ‘Trick and Art’, muzium lilin interaktif ‘Red Carpet2’ yang mempamerkan pelbagai patung lilin figura komik, personaliti antarabangsa serta tempatan, tarikan rumah salji ‘Snow Village’ dan pelbagai permainan untuk kanak-kanak.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi i-Berhad, Datuk Eu Hong Chew berkata pembangunan di bandar pintar i-City akan terus dinaik taraf selaras dengan visi kerajaan Selangor untuk menjadi negeri pintar menjelang tahun 2025.

Katanya i-City akan membuat penambahbaikan khususnya dalam penggunaan teknologi digital untuk menyediakan prasarana taman tema yang lebih baik pada masa depan.

“Bagi menyokong Tahun Melawat Malaysia 2020, kami memperkenalkan tarikan terbaharu kepada pelancong iaitu Snow Village untuk pengunjung merasai sendiri kesejukan pada tahap negatif lapan dalam suasana negara tropika,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL PELANCONGAN

Jambatan angkat dibuka kepada orang ramai pada 2 Jun

KUALA TERENGGANU, 20 Mei: Jambatan angkat atau ‘drawbridge’ yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus akan dibuka kepada orang ramai pada 2 Jun hingga 17 Jun ini sebagai percubaan kepada prestasi sistem operasinya.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya berkata, selepas itu, jambatan angkat yang pertama di Asia Tenggara itu akan ditutup semula bagi melihat dan menambah baik kelancaran operasinya dan dijangka dibuka sepenuhnya pada akhir Jun.

“Kami akan buka sebagai testing untuk orang ramai lalu sempena Hari Raya ini, dan kami akan tengok balik dan dijangka dibuka sepenuhnya akhir Jun.

“Sekarang ini jambatan itu sudah siap 99 peratus. Yang lagi satu peratus itu adalah kerja-kerja finishing seperti pemasangan papan tanda jalan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Jambatan angkat bernilai RM248 juta itu akan menjadi jambatan keempat yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berbanding tiga ketika ini iaitu Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.

Jambatan yang mula dibina pada Ogos 2014 itu boleh diangkat di bahagian tengah untuk laluan kapal. -BERNAMA

Categories
PELANCONGAN

Pelancongan mampu pacu ekonomi ASEAN – Mohamaddin

PUTRAJAYA, 27 APR: Industri pelancongan ASEAN mempunyai peranan yang penting untuk membantu rantau ini membangunkan ekonomi dan memacu pelaburan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata, industri pelancongan ASEAN, menampilkan beberapa destinasi paling pesat berkembang di dunia dengan jarak penerbangan yang kurang daripada empat jam, akan terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN.

“ASEAN adalah destinasi impian. Dan apabila kita terus memacu momentum, ia akan terus mempunyai peranan yang besar untuk dimainkan.

“Industri ini membantu kita menjual ASEAN, membantu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan membantu memacu pelaburan,” katanya pada perasmian Konvensyen Persekutuan Persatuan Pelancongan ASEAN (FATA) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia Zulkifly Md Said.

Konvensyen selama dua hari, yang diadakan dengan kerjasama Tourism Malaysia, dihadiri seramai 160 delegasi dari Singapura, Thailand, Myanmar, Filipina, Kemboja dan Malaysia sebagai tuan rumah.

Mohamaddin berkata, persaingan yang lebih besar bagi pelancongan global akan terus meningkat, menambah kepada cabaran sedia ada yang perlu ditangani seperti ancaman bencana alam dan keganasan.

Beliau berkata,cabaran dalam pelancongan global dan industri pelancongan turut didorong oleh trend ekonomi yang tidak menentu, serta corak perjalanan yang berubah dan pilihan yang boleh memberi kesan kepada industri.

Mohamaddin berkata bagi menghadapi cabaran itu, kerajaan dan semua peserta industri perlu terus berinovasi, terutamanya dengan tarikan baharu dan acara untuk mengekalkan sektor pelancongan.

Katanya semua pihak perlu bekerjasama untuk membina industri penting ini bagi peluang yang lebih besar dan menghapuskan halangan kepada pertumbuhan.

– BERNAMA