Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

AirAsia raih anugerah WTA kali kelapan, undi tertinggi

KUALA LUMPUR, 3 NOV: AirAsia terus mengungguli anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia di World Travel Awards (WTA) 2020 yang merupakan kemenangan syarikat itu bagi tahun kelapan berturut-turut.

Dalam kenyataan hari ini, AirAsia berkata pengiktirafan tersebut berserta anugerah Anak Kapal Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka 2020 itu diterima hasil undian tertinggi daripada kalangan profesional dan penggiat industri pengembaraan dari serata rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tony Fernandes berkata anugerah itu ditujukan khusus untuk kakitangan AirAsia Allstars yang telah meninggalkan syarikat penerbangan berkenaan baru-baru ini.

Malah, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan yang memberi komitmen, kegigihan dan dedikasi pada tahun ini.

“Penghargaan ini turut kami tujukan untuk lebih 600 juta pelanggan yang masih setia menyokong serta percayakan kami sejak hari pertama lagi. Mereka turut memahami ketika kami mengharungi tempoh paling sukar dalam sejarah AirAsia,” katanya.

Sementara itu, Pengasas WTA Graham E Cooke menyifatkan AirAsia terus menerajui penerbangan tambang rendah di Asia walaupun dalam persekitaran tidak dijangkakan yang dihadapi oleh industri berkenaan pada tahun ini.

“Usaha AirAsia untuk mencapai kecemerlangan kekal sukar ditandingi dan saya gembira kesungguhan itu turut diakui oleh kalangan penggiat pengembaraan serta orang ramai,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Pemain industri pelancongan digesa ketatkan SOP – Nancy

LENGGONG, 1 OKT: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menggesa pemain industri pelancongan memastikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang tinggi dalam kalangan pelawat bagi mengekang penularan kes Covid-19 yang kini sedang meningkat di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata penularan kes di hampir setiap negeri itu boleh menjadi petanda buruk kepada sektor berkenaan yang kini dalam proses pemulihan.

Walaupun jumlah kes tidak begitu besar, perkara itu tetap menakutkan bagi pelancong, katanya kepada pemberita selepas melawat Tapak Warisan Dunia Arkeologi Lembah Lenggong di sini hari ini.

“Jadi ia boleh memberi kesan kepada ekonomi dan diharapkan (aktiviti pelancongan) terus kekal seperti sedia ada dengan amalan mematuhi SOP yang ketat supaya orang ramai yakin untuk melawat tempat pelancongan di dalam negara,” tambahnya.

Mengenai Tapak Warisan Dunia Arkeologi Lembah Lenggong, Nancy berkata keunikan dan kemudahan fasiliti di lokasi yang menerima pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) itu diyakini dapat menarik ramai pelancong, sekali gus memberi sokongan terhadap industri pelancongan tempatan.

“Kita akan membangunkan bahagian-bahagian tertentu kawasan ini supaya menjadi lebih moden untuk menarik lebih ramai pengunjung dalam usaha menambah produk pelancongan domestik kita selain bekerjasama dengan kerajaan negeri Perak,” katanya.

Antara tarikan yang ditawarkan ialah Galeri Arkeologi Lembah Lenggong yang menempatkan Orang Perak atau “Perak Man” iaitu rangka manusia tertua yang pernah dijumpai di Malaysia dan paling sempurna dari zaman baru Paleolitik yang ditemukan pada 1991.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PELANCONGAN

Selangor catat pelawat domestik tertinggi 2019, belanja RM15.5 bilion

PUTRAJAYA, 1 OKT: Selangor mencatatkan jumlah perbelanjaan tertinggi pelawat domestik iaitu sebanyak RM15.5 bilion pada 2019, menurut laporan Survei Pelancongan Domestik Mengikut Negeri 2019.

Ia diikuti Kuala Lumpur iaitu sebanyak RM12.1 bilion, Sarawak RM8.7 bilion, Sabah RM8.1 bilion dan Perak RM7.8 bilion.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan semalam berkata lima negeri tersebut menyumbang 50.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pelancongan domestik pada 2019.

Bagi jumlah kedatangan pelawat domestik, Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu 33.6 juta orang, diikuti Kuala Lumpur 22.6 juta, Sabah 22 juta, Perak 21.1 juta dan Sarawak 19.8 juta, katanya.

“Daripada segi trend perjalanan bermalam, tujuan lawatan iaitu mengunjungi saudara-mara dan rakan-taulan merekodkan angka tertinggi bagi semua negeri,” katanya.

Mohd Uzir berkata, Melaka mencatatkan peratusan perjalanan tertinggi bagi tujuan percutian, iaitu 42.8 peratus daripada keseluruhan perjalanan, diikuti Pulau Pinang sebanyak 28.2 peratus, Pahang 26.6 peratus dan Sabah 21.5 peratus.

“Berdasarkan pilihan untuk jenis penginapan, majoriti pelancong memilih penginapan yang tidak berbayar seperti rumah saudara dan sahabat handai, kecuali bercuti di Melaka, Labuan dan Putrajaya,” katanya.

Mohd Uzir berkata, semua negeri mencatatkan jumlah pelawat domestik yang tinggi bagi kategori umur antara 25 hingga 39 tahun.

Bagi kelas pendapatan isi rumah pelawat domestik pula beliau berkata, Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Labuan merekodkan peratusan tertinggi bagi pelawat domestik dengan pendapatan isi rumah antara RM1,001 hingga RM3, 000 sebulan.

Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan peratusan pelawat domestik tertinggi daripada kalangan isi rumah berpendapatan antara RM5,001 hingga RM10,000 sebulan, manakala Melaka adalah negeri yang paling banyak dikunjungi oleh pelawat domestik bagi isi rumah berpendapatan RM3,001 hingga RM5,000 sebulan, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi antara tujuh terbaik dunia

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) merupakan antara hanya tujuh lapangan terbang di dunia yang diiktiraf oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) atas prestasinya yang terus cemerlang dalam memberikan perkhidmatan dan kemudahan yang terbaik kepada pelanggan.

Maklum balas daripada penumpang mengenai LGK diperoleh melalui Kaji Selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) suku tahun yang dijalankan setiap tahun oleh ACI sebagai penanda aras global untuk lapangan terbang dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata pengiktirafan daripada penumpang akan memberi motivasi kepada komuniti lapangan terbang dan rakan kongsi untuk terus memberikan yang terbaik walaupun menghadapi tempoh mencabar.

“Kami mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka yang berterusan dan berada di barisan hadapan.

“Kami berharap orang ramai akan mendapat semula keyakinan mereka terhadap perjalanan udara berikutan kami terus melaksanakan langkah-langkah keselamatan pada tahap tertinggi di lapangan terbang dan memastikan pengalaman penumpang tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

LGK akan menyertai ACI Director-General’s Roll of Excellence yang diwujudkan pada 2011 untuk memberikan pengiktirafan tambahan kepada lapangan terbang yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang.

LGK telah disenaraikan dalam ACI Director-General’s Roll of Excellence berdasarkan pencapaiannya yang memenangi pelbagai anugerah ASQ dalam tempoh lima tahun sejak 10 tahun lepas.

Lapangan terbang itu sentiasa mendapat markah yang tinggi untuk perkhidmatan pelanggan dan memenangi anugerah ACI seperti Lapangan Terbang Terbaik Mengikut Wilayah dan Lapangan Terbang Terbaik bagi saiz (dua – lima juta penumpang setahun).

“Pengiktirafan ini juga menjadi bukti kepada komitmen dan usaha kami untuk terus meningkatkan kualiti dan tahap perkhidmatan.

“Pasukan dipacu oleh janji kami untuk mewujudkan hubungan yang ceria, justeru, kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan dan kemudahan kami,” kata Mohd Shukrie.

Sebagai pintu masuk ke salah satu destinasi percutian paling popular di negara ini, LGK dinaik taraf dan diperluaskan pada 2018 untuk menampung 4.0 juta penumpang setahun.

Lapangan terbang itu mencatatkan sebanyak 2.9 juta pergerakan penumpang pada 2019, meningkat lapan peratus daripada 2018.

Lapangan terbang itu juga telah melalui penambahbaikan yang berjaya dari segi komersial pada tahun lepas yang meningkatkan pengalaman runcit dan sajian makanan supaya penumpang dapat menikmati pengalaman unik di lapangan terbang.

Penambahbaikan itu telah menghasilkan beberapa pencapaian untuk pulau itu, yang membawa masuk jenama baharu seperti Charles & Keith, Costa dan Burger King.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Menjelang, semasa PKP pelancong luar turun mendadak 68.2 peratus

PUTRAJAYA, 8 SEPT: Seramai 4,252,997 pelancong antarabangsa direkodkan tiba ke negara ini pada separuh tahun pertama 2020, iaitu penurunan sebanyak 68.2 peratus, berbanding 13.3 juta pelancong yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas, demikian menurut Tourism Malaysia.

Menurutnya, perbelanjaan pelancong dalam tempoh berkenaan (Jan-Jun 2020) direkodkan ialah RM12.5 bilion, turut menunjukkan penurunan sebanyak 69.8 peratus berbanding RM41.6 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Perbelanjaan per kapita turut mencatat penurunan sebanyak 5.3 peratus dari RM3,121.60 pada tahun 2019 ke RM2,956.10 pada tahun ini,” kata agensi penggalakan pelancongan itu dalam kenyataan hari ini.

Tourism Malaysia berkata sepuluh pasaran utama pelancongan antarabangsa ke Malaysia adalah Singapura (1,541,820), Indonesia (702,082), China (401,285), Thailand (348,133), India (153,873), Brunei (135,593), Korea Selatan (118,594), Jepun (73,201), Australia (72,103) dan Filipina (64,311).

Menurutnya, ketibaan pelawat harian di Malaysia pula mencatatkan sejumlah 1,712,140 pelancong dari Januari hingga Jun 2020, menurun 64.2 peratus berbanding 4,782,587 orang yang telah melawat Malaysia bagi tempoh yang sama tahun lepas

“Penurunan yang ketara bagi jumlah ketibaan pelancong dan pelawat harian ini adalah disebabkan faktor penutupan pintu sempadan Malaysia berikutan penularan pandemik Covid-19,” kata Tourism Malaysia.

Selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan virus Covid-19 sebagai pandemik pada 11 Mac, kerajaan Malaysia  menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang kemasukan pelancong antarabangsa sejak 18 Mac.

Menurut Tourism Malaysia, kesan pandemik kepada sektor pelancongan turut dilihat di luar sempadan Malaysia, dengan negara Asean lain juga merekodkan penurunan mendadak dari segi pencapaian pelancongan.

Menurut sumber dari Pacific Asia Travel Association (PATA), negara jiran termasuk Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia mencatatkan pertumbuhan negatif disebabkan larangan perjalanan antarabangsa yang dikuatkuasakan dalam usaha membendung penularan pandemik di negara masing-masing, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Tahap patuh SOP pengusaha industri pelancongan baik

PUTRAJAYA, 6 SEPT: Tahap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan pengusaha industri pelancongan termasuk operator bot di seluruh negara adalah baik, kata Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof.

Beliau berkata pengusaha industri pelancongan turut berperanan mengingatkan pengunjung di premis masing-masing supaya tidak mengabaikan SOP.

“Pematuhan SOP pengusaha industri pelancongan dipantau oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dan pihak berwajib yang lain. Pada masa yang sama Tourism Malaysia sentiasa memberikan peringatan mengenai SOP kepada semua pengusaha pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran MyCar sebagai e-hailing rasmi Langkawi Great Sale 2020 di pusat beli-belah IOI City Mall, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Dr Hezri Adnan berkata tahap pematuhan SOP dalam kalangan pengusaha industri pelancongan di Langkawi adalah baik.

“Pemain industri pelancongan di Langkawi sangat memahami kepentingan SOP. Sebagai contoh untuk kereta kabel sebelum ini enam orang ditetapkan bagi setiap gondola. Namun kini jumlahnya dikurangkan kepada empat orang bagi membolehkan penjarakan fizikal,” katanya lagi.

Kata Hezri, penandaan turut dibuat di banyak tempat bagi mengingatkan pengunjung di Langkawi tentang penjarakan fizikal.

Ditanya mengenai kedatangan pelancong ke pulau bebas cukai itu, Hezri berkata jumlah pelancong meningkat setiap bulan selepas perjalanan rentas negeri dibenarkan bermula Jun lepas.

“Pada Jun, kira-kira 82,000 orang mengunjungi Langkawi sementara pada Julai jumlahnya meningkat kepada 189,000 pengunjung.

“Jumlah ini dijangka meningkat bagi bulan Ogos namun angka tersebut masih belum dimuktamadkan pada waktu ini,” katanya lagi.

Hezri berkata antara faktor peningkatan pengunjung ke Langkawi ialah pertambahan jumlah penerbangan yang kini mencecah 77 penerbangan setiap minggu dan peningkatan kekerapan perkhidmatan feri dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah pada hujung minggu.

Mengenai MyCar sebagai e-hailing rasmi Langkawi Great Sale, beliau berkata pengguna boleh menikmati kadar rata menerusi kod promosi khas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Firefly tawar pas perjalanan tanpa had ke destinasi domestik

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Firefly, syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia Airlines Bhd memperkenalkan “Firefly Passport”, pas perjalanan tanpa had untuk ke mana-mana destinasi domestik di Semenanjung Malaysia.

Menurut Firefly, produk perjalanan udara yang terkini itu dibuka untuk jualan mulai 24 hingga 30 Ogos, 2020 dengan menawarkan dua pilihan iaitu pas tiga bulan bernilai RM399 atau penerbangan tanpa had selama enam bulan bernilai RM699.

“Firefly Passport memberi nilai hebat untuk membolehkan rakyat Malaysia terbang ke pelbagai destinasi sama ada untuk balik kampung, meneroka Malaysia, mengembara dan menikmati percutian dengan keluarga dan rakan-rakan atau mencari pilihan yang menjimatkan kos untuk perjalanan melibatkan urusan kerja yang kerap dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Firefly Passport boleh dibeli menerusi laman web https://www.fireflyz.com.my/travelpass.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Garis panduan, SOP gelembung perjalanan siap minggu depan

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dijangka dapat menyiapkan garis panduan dan tatacara operasi piawai (SOP) berhubung gelembung perjalanan yang dicadang dilaksanakan dengan beberapa negara terpilih minggu depan.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata garis panduan dan SOP terbabit akan dikemukakan untuk penilaian Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“MOTAC diarahkan oleh kerajaan agar mengemukakan cadangan berserta SOP negara kita. Kami juga berbincang dengan duta-duta terlibat, mendengar pandangan mereka. Mereka juga ingin tahu perancangan kita. Kami telah berbincang dengan Jepun, Singapura … ini akan menjadi inisiatif berterusan negara kita,” katanya ketika ditanya mengenai pelaksanaan gelembung perjalanan itu.

Nancy berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Promo TV Kempen ‘Cuti-cuti Malaysia’ dan pengumuman pemenang pertandingan ‘Video Muzik Cuti-cuti di Rumah’ di sini, hari ini.

Menurut Nancy, MOTAC juga bekerjasama dengan kementerian lain seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar dalam menyiapkan SOP berkenaan.

Terdahulu, Nancy dalam ucapannya berkata berdasarkan Siri Jelajah Promosi Pelancongan Domestik, beliau mendapati pelancongan tempatan mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat.

“Saya gembira melihat sokongan rakyat terhadap pelancongan domestik di mana kebanyakan hotel menerima tempahan penuh dan ramai yang memanfaatkan cuti hujung minggu dengan membawa keluarga berjalan-jalan,” katanya.

Beliau berkata satu tinjauan melibatkan 13,797 individu di negara ini mengenai persepsi rakyat terhadap pelancongan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan pelancongan domestik masih menjadi pilihan apabila 50.9 peratus responden percaya melancong dalam negara lebih selamat selepas PKP.

Selain itu, 71.3 peratus daripada responden memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang selamat berbanding negara-negara lain, katanya.

Beliau juga berkata pelancaran promo TV hari ini tepat pada masanya dengan tema-tema dalam video itu memberikan identiti unik kepada destinasi pelancongan yang ada di Malaysia

Nancy berkata promosi berterusan perlu dilakukan bagi mencetus minat orang ramai untuk keluar melancong selain menyuntik keinginan merasai sendiri pengalaman yang dilihat dalam video promosi tersebut.

Lima video promosi yang dihasilkan mengetengahkan beberapa tema dan produk pelancongan termasuk pulau dan pantai, aktiviti menyelam laut dalam dan bersnorkel, alam semula jadi dan pengembaraan, makanan tempatan dan tematik iaitu satu genre yang merangkumi semua aktiviti pelancongan.

Selain daripada media arus perdana seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui saluran TV1, TV2 dan TV OKEY, promosi itu turut dimuat naik ke laman web serta platfom digital.

Sementara itu, tiga pemenang pertandingan video muzik ialah Ko Chuan Li (kategori alat muzik), Mohd Yatim Naming (kategori nyanyian) dan Clarissa Premini Robert Jeyakumar (kategori sketsa).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Sektor pelancongan perlu pekerja mahir komunikasi, digital

PUTRAJAYA, 12 OGOS: Permintaan bagi kemahiran menyelesaikan masalah, komunikasi dan digital akan membawa kepada pewujudan pekerjaan baharu merentasi semua subsektor pelancongan di Malaysia, demikian menurut Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata ia merupakan dapatan daripada Kajian Environmental Scan for The Tourism Sector in Malaysia oleh Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) yang digunakan sebagai sebahagian ‘sistem makluman awal’ bagi mengenal pasti trend industri baharu yang muncul dalam sektor pelancongan.

“Pengalaman dan permintaan daripada pelancong yang merupakan pelanggan dalam industri pelancongan telah berubah seiring dengan kemajuan teknologi.

“Justeru, tuntutan pelanggan juga semakin meningkat dan pengusaha memerlukan pekerja mahir teknologi yang berupaya memberi respons kepada permintaan pelanggan yang celik teknologi,” katanya.

Berucap pada perasmian Persidangan Mengenai Masa Depan Pekerjaan Bagi Sektor Pelancongan di Malaysia (Pasca-Covid-19) di sini hari ini, beliau berkata teknologi automasi dan digital baharu telah mengubah sifat sebenar pelbagai jenis pekerjaan dalam sektor pelancongan.

Mohd Uzir berkata sebagai contoh, Internet benda (IoT) kini diguna pakai untuk menjadikan pekerjaan dalam sektor pelancongan dan hospitaliti lebih mudah.

“Kesannya perubahan teknologi mengurangkan keperluan kerja yang melibatkan mekanisasi rutin serta meningkatkan permintaan untuk kerja teknikal dan analitikal yang berkemahiran tinggi.

“Ini turut meningkatkan permintaan untuk kemahiran kognitif, sosial dan emosi bagi menyelesaikan masalah kompleks di samping keperluan untuk bekerja secara berpasukan serta interaksi sesama manusia,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Pelancongan domestik naik, permintaan penginapan menggalakkan

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Industri pelancongan domestik negara menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila kegiatan pelancongan dibenarkan semula selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan mulai 10 Jun.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata kadar purata penginapan di beberapa hotel bandar dan resort di seluruh negara adalah menggalakkan terutama di lokasi yang menawarkan keindahan alam semula jadi seperti pulau, pantai, tanah tinggi atau di pinggir hutan.

Beliau berkata sejumlah 180,000 tempat duduk pesawat terjual bermula 10 hingga 28 Jun lepas bagi tempoh penerbangan Julai hingga September 2020 melalui kempen promosi tiket penerbangan domestik yang dijalankan oleh syarikat penerbangan AirAsia.

Pengunjung kelihatan berswafoto semasa matahari terbenam di Pantai Chenang, antara lokasi wajib singgah sekiranya bercuti ke Langkawi. Foto: BERNAMA

“Trend mingguan kadar penginapan juga menunjukkan peningkatan berbanding minggu sebelumnya. Walaupun tidak mendadak atau ketara peningkatannya, ia masih memberi indikatif positif,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Yamani Hafez Musa (BN-Sipitang) mengenai sambutan pengusaha pelancongan dan rakyat terhadap galakan kerajaan mempromosi kempen melancong dalam negeri (domestik).

Nancy berkata perkembangan itu hasil inisiatif penggiat industri pelancongan tempatan melalui tawaran pakej pelancongan istimewa dengan harga promosi menarik bagi hotel, tiket kapal terbang domestik serta diskaun harga masuk ke produk dan destinasi pelancongan.

Dalam pada itu, Nancy menjelaskan susulan pembatalan kempen Visit Malaysia 2020 (VM2020) Mac lepas, peruntukan RM90 juta bagi kempen itu disimpan untuk kegunaan kempen VM edisi akan datang.

Katanya, walaupun VM2020 dibatalkan, kementerian itu masih menjalankan pemantauan untuk memastikan negara-negara yang akan bekerjasama dengan Malaysia adalah negara dari kategori Zon Hijau Covid-19.

Beliau menjawab soalan tambahan yang diajukan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) yang ingin tahu mengenai perancangan kementerian terhadap peruntukan yang disalurkan untuk kempen itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PELANCONGAN PILIHAN MINGGUAN

Pengusaha inap desa, pemandu pelancong terima insentif RM1,000

SHAH ALAM, 13 JULAI: Pekerja sektor pelancongan di negeri ini yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima insentif khas RM1,000.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan sekali bayar berjumlah RM600,000 meliputi pemandu pelancong, pengusaha inap desa dan hos komuniti.

“Kerajaan Negeri juga bersetuju menyalurkan subsidi baucar pelancongan bagi hotel, taman tema dan inap desa berlesen dalam kawasan pihak berkuasa tempatan berjumlah RM 2 juta,” katanya ketika membentangkan pakej rangsangan ekonomi fasa ketiga di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pelan pemulihan itu menekankan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan bagi menangani dampak Covid-19.

Jumlah keseluruhan nilai ekonomi bagi pakej tersebut ialah RM55.85 bilion.

Sektor pelancongan ditutup sepenuhnya pada 18 Mac lalu susulan pelaksanaan PKP bagi mencegah penularan Covid-19 selain kerajaan menutup pintu sempadan negara.

Bagaimanapun, pada 4 Mei lalu, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi semula tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) pihak berkuasa.

Aktiviti pelancongan domestik dan rentas negeri bermula 10 Jun lalu pula membuka peluang kepada industri hotel kembali beroperasi dengan mematuhi kebiasaan baharu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PELANCONGAN

AirAsia tambah penerbangan ke destinasi popular PKPP

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Bhd akan menambah kekerapan penerbangannya bagi laluan destinasi pilihan ramai ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk Langkawi, Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Riad Asmat berkata ini meliputi laluan Kuala Lumpur ke Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu serta dari Johor Bahru ke Kuching dan Pulau Pinang.

Bagaimana pun, jumlah sebenar penerbangan tambahan bagi Julai akan diumumkan kemudian, katanya kepada Bernama.

“Kami menyaksikan permintaan yang menggalakkan bagi pengembaraan domestik sejak menyambung semula operasi penerbangan.

“Oleh itu, kami akan terus memantau permintaan itu dan diharapkan dapat beransur-ansur meningkatkan kekerapan penerbangan dari hab lain seperti Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang di masa depan,” katanya.

Destinasi domestik lain AirAsia adalah Alor Setar, Ipoh, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Miri, Bintulu, Sibu, Sandakan, Tawau serta Labuan.

Mengulas langkah-langkah keselamatan dalam pesawat, Riad berkata adalah penting bagi AirAsia untuk terus mendidik pengembara mengenai penerbangan selamat dalam usaha membina semula keyakinan bagi melakukan semula perjalanan udara.

Sehubungan itu, syarikat itu telah melaksanakan pelbagai langkah menerusi fasa berbeza seperti pemeriksaan suhu badan, mensyaratkan bagasi tangan yang terhad, penggunaan penutup hidung dan mulut, prosedur tanpa sentuh bagi semua peringkat, standard kebersihan sewajarnya dan latihan perubatan dalam pesawat untuk anak-anak kapal.

Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), bukti bahawa risiko penyebaran Covid-19 di dalam pesawat juga amat rendah kerana dilengkapi ciri-ciri yang mengurangkan kemungkinan tersebut.

Penumpang juga berada di tempat duduk yang menjadi halangan kukuh manakala aliran udara dalam kabin ditapis sepenuhnya dengan proses sama diulangi setiap 2-3 minit menggunakan tapisan udara partikel keberkesanan tinggi (HEPA).

Ini disertakan dengan pendekatan keselamatan bio berperingkat yang meliputi keseluruhan perjalanan penumpang yang dapat meminimumkan lagi kebolehjangkitan dalam pesawat.

“Menerusi penerangan berterusan yang disalurkan kepada penumpang, kami percaya ini dapat membantu membina keyakinan untuk mereka kembali melakukan perjalanan udara ini,” katanya.

Menyentuh destinasi antarabangsa, Riad berkata AirAsia akan memulakan semula operasi itu sebaik keadaan pulih dan kerajaan bertindak menarik balik sekatan perjalanan serta sempadan.

Ditanya mengenai tumpuan AirAsia bagi tempoh enam bulan akan datang, beliau berkata penerbangan itu akan meneruskan usaha untuk mempelbagaikan asas hasil pendapatannya termasuk melaksanakan pendekatan lebih agresif namun mesra pasaran bagi mengembangkan perniagaan digital dan sampingannya seperti Santan, Teleport dan BigPay.

Selain itu, AirAsia juga akan turut memberi tumpuan menyokong inisiatif kerajaan bagi mempromosikan pelancongan tempatan secara bersama, katanya.

AirAsia, yang diumumkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia bagi kali ke-11 berturut-turut di Skytrax World Airline Awards 2019 baru-baru ini, turut memperluaskan jualan Pas Tanpa Had Cuti-Cuti Malaysia Tanpa Had yang ternyata mendapat sambutan luar biasa.

Malah, sejak dilancarkan pada 11 Jun lepas, lebih 40,000 penerbangan mendapat penebusan ganjaran itu dengan yang pertama dicapai hanya selepas tujuh minit pas itu mula dijual.

Pada Khamis lepas, AirAsia mengumumkan kerjasamanya dengan hotel-hotel tempatan bagi menawarkan jaminan harga terbaik dengan penjimatan lebih besar menerusi SNAP – platform kombinasi tempahan penerbangan dan hotel.

SNAP turut memanfaatkan rangkaian AirAsia yang luas di lebih 160 destinasi dengan sebahagian besarnya adalah laluan unik dan eksklusif untuk memberikan harga penerbangan terbaik.

Pada masa sama, ia turut menjalin kerjasama langsung dengan hotel-hotel tempatan bagi menawarkan nilai terbaik membabitkan harga bilik penginapan terbabit.

-BERNAMA