Categories
PBT SELANGOR

550 tapak perniagaan disedia sempena Thaipusam

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 24 JAN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menawarkan sebanyak 550 tapak perniagaan bersempena Thaipusam 2017.

Pengarah Jabatan Korporat, Mohamad Zin Masoad berkata, MPS akan mengadakan penjualan permit dan undian tapak niaga Thaipusam di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak, Batu Caves, 2 Februari ini.

“Daripada jumlah itu sebanyak 119 petak berkeluasan 7×7 adalah untuk pernigaan gunting rambut dengan kadar RM200.

“Manakala perniagaan biasa pula sebanyak 431 petak ditawakan dengan kadar bayaran RM150,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya lagi, tahun ini juga, MPS memperkenalkan konsep hotspot dengan petak tersebut berlokasi di kawasan tumpuan pengunjung dengan keluasan 10×10 kaki.

“Sebanyak 39 petak hotspot dikenalpasti dan setiap satu petak dikenakan bayaran sebanyak RM500,” katanya.

Beliau juga mengingatkan pemohon permit petak niaga Thaipusam yang menjual makanan dan minuman diwajibkan untuk memiliki sijil kursus pengedalian makanan bagi pemohon dan pembantu selain pengesahan pemeriksaan kesihatan serta suntikan Typhoid IV.

Manakala bagi pernigaan gunting rambut, peniaga hanya perlu mendapatkan Suntikan TY2 (Tifoid)

“Penjaja diharapkan dapat mengekalkan tahap kebersihan persekitaran serta mutu makanan dijual bagi mengelakkan sebarang isu tidak diingini seperti isu berkaitan kesihatan termasuk penyakit berjangkit.

“Selain itu semua penjaja juga diminta untuk mematuhi dasar Kerajaan Negeri untuk tidak menggunakan plastik dan polistirena,” katanya.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

MPAJ kutip 96% cukai taksiran semasa, 85% tunggakan

OLEH NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 24 JAN: Langkah Kerajaan Negeri mengecualikan cukai taksiran bagi tahun 2016 kepada pemilik rumah kos rendah dan rumah kampung menjadi faktor penyumbang kepada kejayaan MPAJ meningkatkan kutipan tunggakkan kepada 85 peratus bagi tahun sama.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abd Hamid Hussain berkata hal ini berikutan golongan mempunyai akaun tertunggak tidak perlu lagi membayar cukai taksiran semasa tetapi sebaliknya lebih tertumpu kepada usaha menjelaskan tunggakan cukai masing-masing.

“Kita tidak ada analisis terperinci perkara tersebut tetapi bila Kerajaan Negeri memberi pengecualian cukai taksiran mungkin menjadi salah satu faktor meningkatnya kutipan tunggakan cukai taksiran tadi.

“Di Ampang ini khasnya memang banyak rumah kos rendah, lebih kurang 20,000 unit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini selepas menjayakan pementasan teater bangsawan Antabranta pada perhimpunan bulanan MPAJ yang dianjurkan Jabatan Perancang Bandar, MPAJ di sini, semalam.

Jelasnya, selain itu, MPAJ juga berjaya mengutip sebanyak 96 peratus cukai taksiran semasa bagi tahun sama.

Antara usaha dijalankan MPAJ bagi meningkatkan kutipan cukai taksiran termasuklah dengan menubuhkan pasukan khas bagi mengenal pasti masalah golongan lewat atau tidak membayar cukai taksiran.

“Kita melihat hubungan dengan masyarakat. Masyarakat mengenali kita iaitu apa peranan dan tanggungjawab dimainkan MPAJ.

“Usaha dilaksanakan MPAJ seperti mengesan mereka, cuba berhubung, beri notis dan sebagainya dan apabila mereka memohon pembaharuan lesen kita rujuk juga cukai taksiran mereka sama ada tertunggak atau tidak. Kalau tertunggak, kita nasihatkan supaya mereka jelaskan,” katanya.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

JKKN sedia bantu PBT kembangkan teater bangsawan

OLEH NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 24 JAN: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sedia membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor menganjurkan persembahan teater bangsawan seperti mana dianjurkan Jabatan Perancang Bandar, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) hari ini.

Pengarah teater dan Jurulatih Seni Budaya JKKN, Adira Wahinnur, berkata ini berikutan persembahan bangsawan merupakan salah satu cabang kesenian dan kebudayaan yang wajar diberi perhatian oleh masyarakat moden hari ini.

“Pihak kami sedia berkerjasama dengan mana-mana pihak sekiranya ada permintaan daripada mana-mana pihak di Selangor untuk adakan satu pementasan bangsawan seperti yang kita adakan.

“Langkah diambil MPAJ misalnya, diharap membuka jalan untuk pementasan bangsawan lain diadakan di Selangor termasuk anjuran pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya selepas berakhirnya pementasan bangsawan ‘Antabrata’ di Dewan MPAJ di sini, semalam.

Menyentuh pementasan Antabrata, beliau yang merupakan penulis skrip dan pengarah pementasan terbabit memberitahu terkejut apabila menyaksikan mutu lakonan dan penghayatan para pelakon yang rata-rata terdiri daripada kakitangan MPAJ sendiri.

“Saya tidak teragak-agak mengambil mereka sekiranya mereka ingin mengembangkan bakat lakonan dalam bangsawan kerana saya lihat bakat mereka boleh diasah,” katanya lagi.

Selain mutu lakonan beliau turut berbangga dengan komitmen diberikan pelakon walaupun terpaksa berlatih lebih sebulan untuk menjayakan persembahan selama dua jam itu.

“Paling menggembirakan saya kerjasama semua pihak khususnya Yang Dipertua (YDP) sendiri yang turut sama mahu berlakon menjayakannya yang tentulah memberi teladan baik kepada warga kerja MPAJ keseluruhannya,” katanya.

=EZY=

Categories
PBT

MPAJ: Idea kreatif dialu-alukan

OLEH NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 24 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengalu-alukan sebarang idea kreatif diketengahkan oleh jabatan yang bakal menganjurkan perhimpunan bulanan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Hussain berkata, idea kreatif ditonjolkan perhimpunan bulanan ini bukan sahaja mencerminkan imej dan kredibiliti jabatan di MPAJ.

“Ini merupakan sesuatu yang lari daripada tipikal perhimpunan bulanan apabilakita minta jabatan membuat sesuatu di luar kebiasaan atau di luar kotak dan Jabatan Perancang Bandar menampilkan satu persembahan teater bangsawan yang mana jarang kita saksikan.

“Ini memberi peluang kakitangan MPAJ mengenali seni dan budaya kita dan ditambah lagi MPAJ sendiri selalu mengadakan pertandingan berkaitan kebudayaan melibatkan masyarakat di sini seperti sekarang kita menganjurkan pertandingan kebudayaan seperti tarian dan nyanyian melibatkan pelajar sekolah,” kata Abd Hamid.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini selepas menjayakan pementasan teater bangsawan Antabranta pada perhimpunan bulanan MPAJ yang dianjurkan Jabatan Perancang Bandar, MPAJ di sini, semalam.

Jelasnya, selain sukan, persembahan kesenian dan kebudayaan juga merupakan salah satu medium berkesan untuk menjalin hubungan baik antara MPAJ dengan masyarakat di kawasan pentadbirannya.

Menyentuh pementasan teater bangsawan Antabrata, Abd Hamid memberitahu naskhah tulisan dan arahan Jurulatih Seni Budaya di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kuala Lumpur, Adira Wahinnur itu dipilih ekoran jalan cerita sesuai dengan hasrat Kerajaan Negeri dan MPAJ untuk membawa Selangor ke arah sebuah negeri yang hijau, lestari dan mampan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perancang Bandar MPAJ, Zuraina Said berkata, pementasan teater bangsawan dipilih jabatannya ekoran selaras dengan tema perhimpunan bulanan kali ini, ‘Membudayakan Bahasa Kebangsaan dan Bandar Hijau’.

“Kita mahukan kelainan pada 2017 ini. Pementasan ini juga diadakan sempena kejayaan MPAJ mendapat tempat pertama daripada 144 PBT seluruh negara bagi kategori membudayakan bahasa kebangsaan bagi tahun 2016.

“YDP sendiri dinobatkan sebagai ketua PBT yang memperjuangkan bahasa kebangsaan. Jadi kami nak kekalkan kedudukan itu sebab itulah tema ini dipilih. Dua elemen ini digabungkan kerana pada 2017 Kerajaan Negeri juga mahu kita bergerak ke arah teknologi hijau,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Insiden bunga api: Pegawai bertanggungjawab dihadap lembaga tatatertib

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 JAN: Jawatankuasa Penyiasatan insiden bunga api pada program Fiesta Gegar Klang, baru-baru ini mendapati seorang ketua jabatan bertanggungjawab menguruskan pertunjukan bunga api terbabit walaupun tidak diputuskan dalam mana-mana mesyuarat peringkat MPK.

Exco Kerajaan Tempatan, Ean Yong Hian Wah berkata, Kerajaan Negeri berpendapat pegawai itu perlu dihadapkan ke Lembaga Tatatertib MPK sebelum memutuskan tindakan yang akan dikenakan berdasarkan Peraturan-peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan dan Tatatertib) 1995 (SEL.P.U.7) selepas Kerajaan Negeri meneliti laporan itu.

“Kerajaan Negeri telah mendapat penjelasan dari MPK ke atas hasil siasatan yang diambil berhubung insiden bunga api yang digunakan untuk pertunjukan bunga api di Fiesta Gegar Klang sempena sambutan tahun baru 2017, meledak dan meletup lebih awal di tanah sebelum ia sempat ke udara.

eanyong“Bagi menyiasat insiden terbabit, MPK menubuhkan Jawatankuasa Penyiasatan dengan melantik empat pegawai dalaman untuk menganggotai jawatankuasa itu.

“Ia berfungsi untuk menyiasat dan mendapatkan keterangan lanjut berkaitan pertunjukan bunga api merangkumi kelulusan program, perbelanjaan, proses semakan dokumen dan menyediakan laporan siasatan,” katany dalam satu kenyataan medianya di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan Peraturan-peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan dan Tatatertib) 1995 (SEL.P.U.7), antara tindakan yang boleh dikenakan adalah amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun pangkat dan buang kerja.

Katanya, Kerajaan Negeri memandang serius ke atas kejadian yang menyebabkan kemalangan kepada orang awam akibat daripada kecuaian penjawat awam.

“Kerajaan Negeri juga amat berharap semua pelaksanaan program dan aktiviti di peringkat negeri, daerah juga pihak berkuasa tempatan perlu mengambil kira kepentingan dan keselamatan orang awam dalam semua aspek,” katanya.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Beri insentif pemaju jayakan program bandar rendah karbon

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 JAN: Kerajaan Persekutuan dan Negeri disaran menyediakan insentif kepada pemaju dalam melaksanakan pembangunan ke arah menjayakan matlamat bandar rendah karbon di negara ini.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, insentif seperti pengurangan cukai serta barangan berkaitan pembinaan adalah galakan kepada pemaju untuk bekerjasama dalam program berkenaan.

“Pada pandangan saya, kalau terdapat insentif daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, maka pihak pemaju akan memberi kerjasama baik.

MBSA Zaharin“Bagaimanapun, ia tidak pernah disentuh dan dinyatakan tiga pihak berkaitan,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian Bengkel Program Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon Shah Alam 2017, di sini, hari ini.

MBSA menetapkan sasaran menjadikan Shah Alam sebagai bandar rendah karbon, menjelang 2030.

Beliau berkata, perkara itu pernah dibincangkan pihaknya bersama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), namun ia belum disentuh kementerian terbabit bersama kementerian lain yang berkaitan.

“Saya rasa, sekiranya terdapat insentif yang sesuai, maka kerjasama baik akan diberikan pemaju dalam menjayakannya.

“Ini kerana tanpa insentif sedemikian, pemaju akan mengenakan bayaran agak tinggi yang perlu ditanggung pembeli. Bagi MBSA, kita akan berusaha memikir kaedah sesuai berhubung perkara itu,” katanya.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Shah Alam tanpa kenderaan Ahad ini

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berharap warga bandar raya itu dan semua pihak turut menjayakan Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan 2017, di Dataran Kemerdekaan, di sini, Ahad ini.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, ia adalah program permulaan dan pihak berkuasa tempatan PBT itu menyarankan orang ramai dan pihak berkaitan memberi kerjasama dalam menjayakannya.

“Program ini ke arah melahirkan warga Shah Alam yang sihat dan cergas. Ia adalah permulaan untuk melaksanakan program hari tanpa kenderaan di bandar raya ini.

MBSA Zaharin“Saya amat mengalu-alukan warga bandar raya ini untuk bersama menjayakannya kerana ia salah satu aktiviti dalam perancangan menjadikan Shah Alam sebagai bandar rendah karbon, menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perasmian Bengkel Program Rangks Kerja Bandar Rendah Karbon Shah Alam 2017, di sini, hari ini.

Katanya, prorgram bermula jam 6.30 hingga 9.30 pagi itu adalah perintis dan sekiranya mendapat sambutan, kemungkinan akan dijalankan sebulan dua kali atau bergantung kepada keadaan.

“Buat masa ini, kita akan jalankan sebulan sekali dalam tempoh tiga jam dengan penutupan jalan raya dalam jarak lebih kurang lima kilometer di kawasan Seksyen 14 Shah Alam.

“Ia bagi memberi peluang kepada warga Shah Alam untuk datang dan melakukan aktiviti selain daripada memandu kenderaan dan mereka boleh berjogging, berbasikal serta bermain papan luncur.

“Program juga diisi dengan acara senamrobik, ceramah kesihatan serta pelbagai gerai jualan termasuk ‘food truck’ bagi menghidupkannya,” katanya.

Antara jalan raya akan ditutup bagi mejayakan program itu ialah Persiaaran Bandaraya (Dataran Kemerdekaan), Persiaran Perbandaran, Persiaran Tasik, Persiaran Masjid, Persiaran Dato’ Menteri dan Persiaran Damai.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPK serah laporan siasatan insiden letupan bunga api esok

OLEH AFIX REDZUAN

PELABUHAN KLANG, 15 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan menyerahkan laporan siasatan dalaman berhubung insiden bunga api kepada pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor, esok.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, pihaknya sudah menyiapkan laporan dalaman itu dan hanya menunggu Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali untuk membuat tindakan selanjutnya berhubung perkara terbabit.

“Siasatan laporan dalaman telah siap dan hari Isnin (16 Januari) kita akan serahkan ke pejabat Dato’ Menteri Besar. Buat masa ini laporan mengenainya belum dapat kita dedahkan.

MB Pulau Indah“Saya difahamkan, polis juga sudah selesai siapkan siasatan dan menyerahkan laporan mereka kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan insiden letupan bunga api di Pandamaran, pada 1 Januari lalu.

Mengulas mengenai pegawai MPK yang diberikan cuti ekoran terlibat dalam insiden berkenaan, Mohamad Yasid berkata, pihaknya akan memanggil pegawai itu kembali bekerja sekiranya tiada kecuaian atau salah laku membabitkannya dalam insiden berkenaan.

“Berhubung status pegawai itu, ia turut bergantung pada siasatan polis,” katanya.

Dalam insiden jam 12.05 tengah malam itu, 12 dewasa dan empat kanak-kanak cedera apabila bunga api yang dipasang bagi meraikan kedatangan tahun baru menuju ke arah penonton serta meletup.

Pertunjukan bunga api itu diadakan sempena Fiesta Gegar Klang 2016 anjuran MPK yang berlangsung, dari 30 Disember sehingga 1 Januari lalu.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Kutipan sampah percuma sempena Tahun Baru Cina

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 JAN: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan menyediakan perkhidmatan kutipan sampah secara percuma di kawasan perumahan sempena Tahun Baru Cina.

Pegawai Komunikasi Korporat Jabatan Korporat dann Pengurusan Strategik, Azfarizal Abdul Rashid berkata, tempoh bagi melaksanakan perkhidmatan itu di semua kawasan di bawah pentadbiran MPSJ, bermula pada 17 Januari sehingga 26 Januari ini.

“Dimaklumkan, MPSJ amat komited dalam menyedia dan memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi komuniti khususnya penduduk di bawah pentadbiran MPSJ.

sampah“Perkhidmatan percuma ini tidak disediakan bagi kawasan perumahan bertingkat seperti flat, pangsapuri dan kondominium,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, penduduk dinasihatkan untuk mengumpul dan meletakkan sampah pukal tersebut di hadapan rumah dalam tempoh masa di atas bagi memudahkan kontraktor MPSJ untuk mengutip sampah pukal secara berperingkat.

“Bagi melancarkan perkhidmatan kutipan sampah pukal ini, Jawatankuasa Penduduk (JKP) atau wakil penduduk (Residents Association) juga boleh membuat permohonan mengikut kawasan.

“Mereka boleh menghubungi MPSJ ditalian 03-80267433/4363/7431 serta memaklumkan mengenai maklumat pemohon dan lokasi kutipan,” katanya.

Azfarizal berkata, perkhidmatan itu hanya dilaksanakan mengikut tempoh masa ditetapkan dan MPSJ tidak akan melaksanakan kutipan sampah pukal selepas tamat tarikh dinyatakan.

-NFN-

Categories
PBT SELANGOR YB ACTIVITIES

Bantu PBT, tangkap pesalah undang-undang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 8 JAN : Orang awam disaran untuk mengembeling tenaga membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenalpasti individu yang melanggar undang-undang dengan membuang sampah secara tidak teratur.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin berkata, kerjasama itu diperlukan sebagai komitmen masyarakat untuk menjaga keharmonian dan kebersihan persekitaran setempat.

“Ada individu yang melakukan tabiat kurang baik seperti membuang sampah merata-rata walaupun mereka tahu perkara tersebut salah.

“Keadaan dan sikap seperti inilah mencemarkan persekitaran dan kebersihan setempat yang sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama menjaganya.

“Oleh itu, anggota masyarakat perlu memainkan peranan komprehansif mengenalpasti individu ini supaya mereka dikenakan tindakan pihak majlis,” katanya.

Beliau berkata, mentaliti masyarakat juga perlu diubah dan bersifat lebih positif untuk bersama-sama pihak majlis menjaga kebersihan awam secara konsisten melalui kerjasama semua pihak.

Terdahulu, Bee Yin hadir menyerahkan 400 unit tong sampah kepada penduduk Kampung Chempaka di sini, hari ini.

Dalam perkembangan itu, penyerahan tersebut dibuat menerusi peruntukan RM7 juta yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ke arah mendidik masyarakat untuk bertangunggjawab menjaga kebersihan.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR YB ACTIVITIES

MBPJ agih 75,000 tong sampah seluruh Petaling Jaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 8 JAN: Sebanyak 75,000 unit tong sampah diagih secara berperingkat kepada seluruh penduduk perumahan di kawasan Petaling Jaya dengan jumlah peruntukan sebanyak RM7 juta.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin berkata, inisiatif tersebut dijalankan pihak berkuasa tempatan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ke arah memupuk kesedaran awam terhadap isu kebersihan di kawasan perbandarannya.

“Usaha ini dijalankan menerusi peruntukan RM7 juta dikeluarkan MBPJ untuk menyerahkan unit tong sampah kepada semua perumahan atas tanah di Petaling Jaya.

“Pengagihan pertama dijalankan di kawasan DUN Damansara Utama dengan 400 unit tong sampah diserahkan kepada penduduk Kampung Chempaka untuk dan jumlah seterusnya diagihkan dari semasa ke semasa sepanjang tahun ini.

“Inisiatif ini bakal memberi manfaat kepada 75,000 rumah kediaman atas tanah di Petaling Jaya, dan saya harap masyarakat awam mendapat kesedaran untuk menjaga kebersihan di kawasan Petaling Jaya,” katanya.

Beliau bercakap kepada SelangorKini pada majlis penyerahan unit tong sampah di Balai Raya Kampung Chempaka, Petaling Jaya Utara 1/5, di sini pagi ini.

MBPJ dalam kenyataannya semalam memaklumkan, edaran tong sampah berkenaan diserahkan bermula 8 Januari sepanjang tahun.

Penyerahan unit tong sampah hanya diberikan kepada penduduk perumahan di atas tanah (landed residential) yang menggunakan sistem tong sampah berpusat (leach bin).

Ia turut membabitkan kawasan perumahan kampung, kampung baru dan tanah lot kawasan bermasalah lori kutipan untuk memasuki untuk membuat kutipan (lorong yang sempit, jalan mati).

Bercakap lanjut, Bee Yin berkata, penduduk yang ingin mendapatkan unit tong sampah berkenaan secara percuma boleh mengemukakan salinan cukai taksiran (premis kediaman), salinan kad pengenalan dan mengisi borang permohonan secara terus pada hari penyerahan.

“Tanpa bayaran, penduduk hanya perlu mematuhi syarat ditetapkan dengan mengisi surat aku janji untuk menjaga tong sampah berkenaan secara baik dan teratur,” katanya.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR YB ACTIVITIES

Budaya baik tanpa politik, RA dan RT Subang Jaya jadi contoh

OLEH HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 7 JAN: Aktiviti kemasyarakat dapat dijalankan dengan jaya oleh Persatuan Penduduk (RA) dan Rukun Tetangga (RT) USJ 9 di sini, ekoran mengamalkan budaya baik dan bebas isu politik.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Hannah Yeoh, berkata sesungguhnya pendekatan menjadi amalan komuniti di kawasan berkenaan amat terpuji dalam menjayakan setiap aktiviti dirancang selama ini.

Katanya, di sepanjang pengalaman sembilan tahun beliau selaku wakil rakyat di sini, Persatuan Penduduk dan Rukun Tetangga USJ 9 menjalankan aktiviti dengan cemerlang sehingga menjadi rujukan pihak lain.

“Saya percaya kita mempunyai budaya yang baik dengan tidak mempermainkan isu politik apabila ia amat penting apabila menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

“Ini kerana jika kita campur adukkan soal politik dengan aktiviti sebegini, ia menimbulkan keadaan kurang senang, penduduk tidak berminat untuk turut serta kerana mereka mengandaikan terdapat agenda tersembunyi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Kabin Serta Sambutan Hari Krismas bersama RA dan RT USJ 9 di sini, hari ini.

Beliau berkata, jalinan kerjasama baik antara RA dan RT ternyata membuahkan hasil seperti diharapkan dalam menjaga keharmonian penduduk selain membantu pihak berkuasa dalam menangani perkara tidak diingini termasuk jenayah.

Katanya, ia berikutan kedua-dua pihak itu tertakluk di bawah bidang kuasa berbeza apabila RT di bawah Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Perpaduan Negara.

“Ia menjadi model contoh kerana isu politik diketepikan, jika tidak ia tidak akan berjaya sekiranya RT (di bawah Kerajaan Persekutuan) tidak memberi kerjasama.

“Kabin ini disumbangkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di bawah Kerajaan Negeri ditadbir pakatan politik berbeza (berbanding Kerajaan Persekutuan),” katanya.

Speaker Dewan Negeri Selangor itu berkata, maka dengan itu masyarakat mendapat manfaat akan kemudahan disediakan kerana sememangnya mereka layak memperolehnya selaku pembayar cukai.

=EZY=