Categories
NASIONAL

ABIM gerak kempen KSSB, sasar bantu 1,000 keluarga asnaf

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mensasarkan 1,000 keluarga asnaf, fakir, miskin dan mualaf untuk dibantu dalam Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB), sepanjang Ramadan ini.

Program bagi tahun ke-12 itu dijalankan badan bukan kerajaan (NGO) itu di seluruh negara bagi membantu golongan sasaran yang ditetapkan.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, program KSSB digerakkan ABIM Pusat dan Negeri dengan setiap keluarga menerima bantuan kira-kira RM70 dalam bentuk barangan keperluan harian.

“ABIM menjalankan program ini dengan membantu golongan sasaran termasuk pelarian Rohingya dan Palestin bagi berkongsi kegembiraan, sepanjang Ramadan ini.

Jpeg

“Program dijalankan ini adalah keprihatinan ABIM kepada mereka semua dan kita menghulurkan bantuan walaupun tidak seberapa tetapi berterusan,” katanya kepada SelangorKini di PPT Taman Mulia, Bandar Tun Razak, di sini, semalam

Muhammad Faisal ditemui bersama kumpulannya ketika menghulurkan sumbangan kepada saudara baru, Muhammad Shafi Abdullah, 42.

Beliau menjelaskan, KSSB digerakkan dengan bantuan diberikan secara serahan dari rumah ke rumah selain menjalankannya bersama Jabatam Kebajikan Masyarakat dan komuniti tertentu juga kariah masjid.

“ABIM juga membuka pusat serahannya sendiri bagi memudahkan bantuan itu disalurkan dan sampai kepada kumpulan sasaran,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Shafi berkata, keluarganya menghargai keprihatinan ABIM yang menghulurkan bantuan itu, setiap tahun.

“Saya gembira kerana tidak pernah dilupakan ABIM dan ini membuktikan hubungan persaudaraan sesama Islam itu kukuh dan erat. Terima kasih ABIM atas bantuan dihulurkan ini, ” kata kelintan lori yang memeluk Islam pada 2008 diikuti isterinya, Nur Shafirah Rajasingam Abdullah, 39, selepas itu.

Pasangan suami isteri itu mempunyai tiga anak iaitu Muhammad Shazrul, 14; Muhammad Ahazlan, 12 dan Nur Shameera Danisha (2).

Categories
NASIONAL WANITA & KEBAJIKAN

Seorang Sekampit Beras: ABIM sasar agih 7,000 keluarga

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 6 JUN: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) terus komited melaksanakan Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) secara serentak di seluruh negara kepada asnaf zakat.

Penolong Setiausaha Agung ABIM, Maria Kamel berkata, pihaknya mensasarkan untuk mengagihkan KSSB kepada 7,000 keluarga sepanjang Ramadan tahun ini.

“Ini merupakan penganjuran kali ke-12 kita laksanakan. Saban tahun kita mengagihkan sekampit beras serta barangan dapur kepada mereka yang memerlukan.

“Kita berharap sumbangan ini dapat membantu dalam memenuhi keperluan asas keluarga di kalangan asnaf fakir, miskin, muallaf serta pelarian bagi meringankan kesusahan dan kesempitan hidup yang dilalui oleh para penerima,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

WhatsApp Image 2017-06-05 at 2.10.20 PMTahun lalu, program ini mendapat sambutan menggalakkan dengan menerima sebanyak RM297,580 sumbangan dan telah diagihkan kepada 4,959 keluarga.

Selain itu, sumbangan disampaikan oleh rakyat Malaysia melalui Kempen Infaq Ramadhan@ABIM juga bertujuan pembangunan pendidikan Islam, bimbingan saudara baru, program pembentukan sahsiah belia dan inisiatif menangani gejala sosial semasa.

Tambahnya lagi, ABIM turut menggalakkan orang ramai menyemarakkan rasa cinta dan kasih sesama ummat dengan menghulurkan infaq, sedeqah, zakat dan fidyah kepada yang memerlukan.

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

Karikatur Nanyang: ABIM gesa hentikan polemik RUU 355

OLEH Mohamad Raimi Ab Rahim

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat penyiaran karikatur monyet menggambarkan tokoh-tokoh tertentu yang berkaitan dengan isu pindaan RUU 355.

Penyiaran karikatur menerusi akhbar berbahasa Cina Nanyang Siang Pau dinilai tidak sensitif terhadap sentimen semasa mengenai RUU 355 dan dikhuatiri hanya akan memanjangkan polemik tersebut meskipun permohonan maaf telah dikemukakan.

Seharusnya pihak media perlu berpegang kepada etika kewartawanan murni untuk mendidik masyarakat mengenai RUU 355 tanpa dipolemikkan sebagai bahan sensasi.

Mengambil kesempatan ini; ABIM juga menggesa ahli-ahli politik untuk menjaga tutur kata dalam komentar terutama sekali membabitkan isu pindaan RUU 355.

Mereka seharus menampilkan sikap dan perilaku sebagai pemimpin masyarakat secara sopan kerana ia akan diteladani dan serta memberi kesan kepada pembangunan moral generasi muda.

Akhir sekali; ABIM menggesa agar perkembangan pesat interaksi antara agama yang berlangsung secara positif dan muhibbah di negara ini dijadikan wahana untuk mengelakkan berlarutnya sebarang polemik antara agama yang tidak dikehendaki.

 

* Mohamad Raimi Ab Rahim adalah  Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Categories
NASIONAL

Bersama sertai kempen #standupforourchildren

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 4 APRIL: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru seluruh masyarakat menyertai kempen #standupforourchildren yang digerakkan ABIM sebagai inisiatif memastikan kes kesalahan seksual kanak-kanak dapat diatasi.

Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, kempen itu adalah salah satu mekanisme untuk menterjemah objektif utama penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang diputuskan semalam menjadi kenyataan.

Katanya, ibu bapa perlu sentiasa mengikuti perkembangan semasa khususnya dalam dunia kepesatan teknologi komunikasi.

“Kecaknaan dalam perkara tersebut termasuklah pemantauan ibu bapa terhadap penggunaan media sosial anak-anak seperti WeChat yang direkodkan menyumbang kepada gejala rogol iaitu 138 kes dari keseluruhan 184 kes (75 peratus).

“Statistik dari PDRM menunjukkan 90 peratus kanak-kanak menjadi mangsa penderaan seksual kepada orang yang dikenali oleh kanak-kanak termasuk dari kalangan ahli keluarga mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, tindakan proaktif masyarakat termasuk melaporkan kes kepada pihak berkuasa amat penting kerana kajian menunjukkan pelaporan wajib berkaitan penderaan seksual kanak-kanak dapat mengurangkan kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak.

Justeru, bertepatan dengan semangat termaktub dalam Fasal 20 RUU ini yang menyatakan bahawa sekiranya seseorang individu tidak memberikan maklumat tersebut, ia adalah menjadi satu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM5,000.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

ABIM tarik balik saman, anggap pembatalan TPPA kemenangan moral

OLEH DEWI ABDUL RAHMAN

PUTRAJAYA, 16 MAC: Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM) dan dua pertubuhan bukan kerajaan lain (NGO) secara rasmi menarik balik saman mereka untuk menghentikan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) antara Malaysia dengan Amerika Syarikat yang terbatal, baru-baru ini.

Presiden ABIM, Mohamad Raimi Abd Rahim berkata, kerajaan perlu lebih berhati-hati pada masa akan datang dalam menandatangani sebarang perjanjian perdagangan yang boleh menjejaskan kedaulatan negara.

“Era ‘governmemt knows best’ telah berakhir selari dengan perkembangan demokrasi serta teknologi semasa.

ABIM TPPA (4)“Semakan kehakiman ini adalah sebahagian daripada manifestasi utama keprihatinan rakyat dan masyarakat global terhadap TPPA,” katanyaketika ditemui di Mahkamah Persekutuan, di sini, hari ini.

Beliau juga turut mengkritik kenyataan dikeluarkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri(MITI) yang tidak lagi berminat menyertai perjanjian itu tanpa Amerika.

“Kenyataan ini seakan-akan menggambarkan persepsi sempit pihak tertentu yang mahu negara menyertai TPPA hanya untuk mendapatkan akses atau ‘spill over’ ekonomi dari AS.

“Kenyataan MITI juga amat disesali kerana kita terpaksa membayar harga yang sangat mahal(RM15 juta) dalam bentuk kos sepanjang proses perundingan dan pengurusan teknikal TPPA,” katanya.

Raimi turut menggambarkan pembatalan TPPA sebagai ‘kemenangan moral’ kepada NGO dan pihak yang menentang perjanjian itu.

ABIM TPPA (7)Panel Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif menolak permohonan itu dan tidak membuat sebarang perintah berkenaan kos.

Peguam kanan Kerajaan Persekutuan, Shamsul Bolhassan bersetuju tidak menuntut apa-apa.

Dua lagi hakim dalam panel itu ialah Tan Sri Ahmad Maarop dan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham.

Sementara itu Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah memaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan bahawa anak guamnya mengarahkan penarikan balik saman itu kerana perkara terbabit kini akademik.

“Pertama dengan pengeluaran AS dari TPPA pada 23 Januari 2016 dan kedua apabila menteri perdagangan kita sendiri mengesahkan di Parlimen bahawa kerajaan tidak lagi berminat meneruskan perjanjian itu, “katanya.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

ABIM sokong RUU Akta Kesalahan Jenayah Seksual Kanak-kanak

OLEH MOHAMAD RAIMI AB RAHIM

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengucapkan tahniah di atas penganjuran Seminar Hentikan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak yang berlangsung dari 13-14 Mac, 2017 di Dewan Merdeka, PWTC.

Penganjuran seminar ini dianggap cukup signifikan dalam keadaan Negara telah digegarkan dengan penangkapan Richard Huckle dan kepulangan Selva Kumar Subbaiah ke Malaysia di mana kedua-duanya terlibat dengan pensabitan jenayah seksual.

ABIM juga ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri Malaysia yang telah tampil mengumumkan beberapa langkah drastik penting bagi menangani isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak termasuk pembentangan RUU Akta Kesalahan Jenayah Seksual Kanak-kanak yang akan dibentangkan dalam sesi Parlimen kali ini dan pembentukan Mahkamah Khas untuk kanak-kanak bagi kes kesalahan jeanayah seksual.

ABIM juga telah meneliti semua pembentangan panel-panel yang terlibat dan mendapati semua agensi dan NGO telah bersepakat bahawa institusi keluarga harus diperkukuhkan selain daripada aspek undang-undang yang perlu dipinda serta dibuat penambahbaikan demi kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia.

Selain daripada itu, ABIM juga menyambut baik sesi resolusi Seminar yang antara lain menekankan kepentingan pendidikan reproduktif atau pendidikan seks yang mesti diperkenalkan secara berperingkat dan diajar dari peringkat umur tadika.

Sebagai NGO dan badan dakwah yang telah lama berkhidmat dalam isu-isu sosial masyarakat, ABIM sebenarnya telah konsisten dan bersedia menganjurkan beberapa program pengukuhan jati diri, pendidikan reproduktif dan pengukuhan institusi Keluarga menerusi program DERMAGA (Dirimu Permata Berharga), SABDA (Siri Asuh Bimbing Didik anak-anak), KAMAR (Keluarga Mawaddah Warahmah) dan siri advokasi untuk keselamatan anak-anak iaitu #Standupforourchildren.

MOHAMAD RAIMI AB RAHIM, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Categories
NASIONAL

ABIM gesa putuskan hubungan diplomatik Korea Utara

SHAH ALAM 26 FEB: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa Kerajaan Malaysia memutuskan hubungan diplomatik dengan Kerajaan Korea Utara (Democratic People Republic of Korea).

Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, gesaan itu dibuat rentetan kenyataan keterlaluan dikeluarkan oDuta Negara tersebut ke Malaysia; Kang Chol.

“Kenyataan beliau yang mempertikaikan gerak kerja siasatan ke atas pembunuhan Kim Jong Nam serta mengaitkannya dengan agenda pihak asing secara langsung tidak menghormati sensitiviti dan kedaulatan negara.

“Umum mengetahui bahawa Korea Utara ialah negara ekstremis yang sering mencetuskan provokasi keterlaluan yang menjejaskan kestabilan politik antarabangsa,” kata Raimi dalam kenyataan media.

Beliau berkata Korea Utara mempunyai rekod hak asasi manusia yang buruk dan tidak selari dengan aspirasi sejagat.

“Reputasi tersebut mewajarkan hubungan diplomatik ini dikaji semula.

“Tindakan memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara dinilai tidak akan meninggalkan apa-apa kerugian kepada negara baik dari segi aspek ekonomi mahupun politik,” katanya.

Beliau berkata ABIM berpandangan tindakan memutuskan hubungan diplomatik ini secara tidak langsung menandakan komitmen negara menjunjung amalan demokrasi serta hak asasi manusia yang kini merupakan aspirasi sejagat.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Polisi Trump bawa kesan buruk dunia

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 JAN: Dasar luar diperkenal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilihat bakal melebarkan jurang di antara umat Islam dan bukan Islam.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata, ia seterusnya menyemarakkan lagi sentimen pelampau (extremism) dalam bentuk radikal Islam seperti Islamic State (IS) dan Islamiphobia dalam kalangan bukan Islam.

Katanya, dasar itu juga diperhatikan negara Eropah serta dunia Barat yang sedang menyaksikan bangkitnya golongan haluan kanan.

“ABIM khuatir dasar luar Trump akan mula dicontohi serta diamalkan sekiranya golongan haluan kanan menguasai politik di beberapa negara seperti Perancis.

“Perdana Menteri Britain, Theresa May misalnya sudah mula mengambil sikap berdiam diri dan tidak mahu mengkritik dasar terbaru Trump itu,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Trump menandatangani 10 perintah eksekutif dan dikatakan akan menghentikan visa pelancong ke atas tujuh negara iaitu Iraq, Syria, Iran, Sudan, Libya, Somalia dan Yaman.

Raimi berkata, dasar Trump terhadap Islam itu turut memberi tempias kepada isu kritikal lain.

“Tindakan itu pastinya mempengaruhi bagaimana mereka menentukan dan berurusan dengan isu seperti Islam radikal, isu Israel-Palestin serta usaha pendamaian dalam kalangan negara Islam,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

ABIM: Pindah kedutaan AS ke Jerusalem marakkan api peperangan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 JAN: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menentang keras hasrat Amerika Syarikat di bawah presiden baru, Donald Trump yang mahu memindahkan kedutaan mereka dari Tel Aviv ke Jerusalem.

ABIM-RAIMI-300x236Presidennya, Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata, tindakan semberono itu umpama mencurah minyak ke dalam api melihat kepada situasi yang genting di Jerusalem.

“Tindakan ini juga membelakangkan beberapa keputusan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sejak kebelakangan ini mengkritik pencerobihan rejim Israel. Pada masa sama, PBB turut mengiktiraf hak Palestin terhadap tanah air mereka termasuk yang terpenting di kawasan Jerusalem atau Baitul Maqdis,” katanya.

Beliau berkata, ia boleh mengundang ketegangan diplomatik dan provokasi yang akan membawa kepada konflik bersenjata jika hasrat itu diteruskan.

Sebelum ini, bekas Setiausaha Negara, John Kerry berkata, perubahan kedutaan AS ke Jerusalem akan mencetuskan krisis teruk antara Israel dan Palestin kerana kedua-duanya menuntut penempatan di wilayah itu.

Hubungan antara Amerika Syarikat dan Israel dilihat kiang renggang sepanjang lapan tahun Barack Obama berkhidmat dan sampai ke tahap paling buruk pada akhir bulan lalu apabila Washington enggan menggunakan kuasa veto dalam resolusi PBB berhubung penempatan haram Israel itu.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Naib Presiden ABIM juara Penulisan Muda Kemanusiaan 2016

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 DIS: Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin menjuarai Pertandingan Penulis Muda Kemanusiaan 2016 bertemakan ‘The Power of Humanity.’

Beliau yang juga aktivis Malaysian Life Line for Syria (MLLFS) memenangi tempat pertama dalam kategori bukan wartawan (Bahasa Melayu).

Serahan dibuat Timbalan Ketua Delegasi Serantau ICRC, Claire Servoin di Wisma UOA, Kuala Lumpur.

abimPemenang tempat pertama menerima peralatan elektronik bernilai RM1,500 manakala pemenang tempat kedua bakal membawa pulang peralatan elektronik bernilai RM1,000.

Pertandingan itu dilancar pada 8 Mei lalu sempena sambutan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia dianjur ICRC dan Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia (NPC) dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).

Panel hakim yang terdiri daripada ahli akademik, pengamal dan pakar dalam bidang komunikasi, undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta hal ehwal kemanusiaan memilih enam pemenang yang menunjukkan pemahaman asas yang amat baik berkaitan isu dan cabaran kemanusiaan.

Terdahulu, pada 2015, artikel tulisan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Life Line for Syria (MLLFS), Syahrir Azfar Saleh (Syahrir Azfar Al-Halabi), ‘Allah, Suriah, Hurriyah Bas’ yang tersiar dalam Sinar Harian memenangi tempat kedua dalam pertandingan sama.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Terus sumbang bantu Aleppo demi kemanusiaan

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Rakyat disaran merujuk kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang berada di lapangan bagi mendapatkan sumber maklumat tepat dalam situasi menimpa penduduk Aleppo, Syria.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, konflik kemanusiaan di Aleppo menarik perhatian pelbagai pihak bagi menyatakan simpati terhadap pembunuhan beramai-ramai yang berlaku ke atas rakyat Syria.

“ABIM menyaran rakyat Malaysia merujuk kepada NGO-NGO Islam yang berada di lapangan sebagai sumber utama bagi mengetahui keadaan terkini di Syria bagi kita semua maklum dengan maklumat yang tepat,” katanya dalam sidang media di Restoran Line Clear, Kampung Baru hari ini.

Faisal berkata, ABIM menubuhkan sebuah NGO bersama iaitu Malaysian Life Line For Syria (MLLFS) bagi menghantar misi kemanusiaan ke negara bergolak itu.

Katanya, misi yang dinamakan “Misi Musim Sejuk 4.0” akan menghantar bantuan seperti kit musim sejuk, ubat-ubatan, makanan dan dana untuk pendidikan.

“Kita menghantar kit musim sejuk, ubat-ubatan, pendidikan dan bantuan makanan. Sumbangan itu akan disasarkan kepada rakyat Aleppo yang dipaksa keluar dari Idlit, Syria,” katanya.

Antara NGO yang bernaung di bawah MILLFS ialah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKKIM), Pertubuhan Kebajikan Nurul Iman (LOF), Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (GASMA), Pertubuhan Ilmu Malaysia (ILMU), Malaysia Reverted Muslim (MRM) dan Global Peace Mission Malaysia (GPM).

Selain itu pihak lain yang turut sama adalah Nasi Kandar Line Clear Kampung Baru, Yayasan Ta’lim, Alkhadeem, Pustaka Bushra, Baitulssalam, Arr Sunnah Management dan Rahyanah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MLLFS, Syahril Azfar Saleh berkata, sehingga kini pihaknya sudah berjaya mengumpulkan dana RM200,000, namun masih memerlukan dana tambahan RM300,000.

“Kita sasar kutipan RM500,000. Sehingga kini kita berjaya mengumpul RM200,000 dan memerlukan RM300,000 dalam dalam masa dua hingga tiga minggu ini,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan misi kemanusiaan seramai lima orang itu berangkat ke Aleppo pada awal Januari tahun depan selama sebulan.

Bagi mengetahui maklumat lanjut mengenai misi bantuan boleh melayari Malaysia4syria.org atau jika ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan kepada akaun Maybank 5648-1051-3971.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Hentikan pembunuhan beramai-ramai di Aleppo

OLEH: Angkatan Belia Islam Malaysia

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melalui agensi bantuan kemanusiaan Malaysia Life Line for Syria (MLLFS) mengikuti rapat perkembangan terkini yang berlaku di Aleppo, Syria.

ABIM menzahirkan rasa kesal dengan tindakan sepi pemimpin-pemimpin dunia Islam dan juga kegagalan kuasa besar dunia untuk menghentikan pembantaian dan pembunuhan rakyat Syria di Aleppo.

Namun begitu, perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada awal pagi ini (waktu Malaysia) memberikan sedikit kelegaan dan sinar harapan namun ABIM menilai masih terlalu awal untuk mengatakan perjanjian tersebut mampu untuk dilaksanakan dengan sebaiknya.

Perjanjian di antara wakil Russia dan juga pejuang pembebasan Syria berlaku setelah tentera pro rejim Syria menggambarkan kesediaan mereka untuk menawan semula Aleppo secara keseluruhannya.

Pasukan tentera pro rejim Syria telah memperhebatkan kemaraan mereka ke kawasan yang telah dibebaskan oleh pejuang pembebasan Syria (FSA) semenjak dua minggu yang lalu setelah melakukan pengepungan selama berbulan-bulan.

Kemaraan tentera Rejim Syria mencapai kemuncaknya pada Isnin yang lalu dan telah menyaksikan kawasan-kawasan yang telah dibebaskan oleh FSA semenjak empat tahun yang lalu jatuh satu per satu kepada penguasaan rejim Syria.

Laporan menyebutkan hanya beberapa kawasan dalam lingkungan 10 kilometer persegi sahaja yang masih belum dikuasai dan terdapat di dalamnya lebih 100,000 penduduk Aleppo yang terkepung termasuk pejuang pembebasan yang masih bertahan.

aleppo-fallenKemaraan tentera pro rejim Syria pada Isnin lalu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 82 orang awam terbunuh di mana PBB mengklasifikasikan ia sebagai bencana kemanusiaan yang total/kritikal (complete meltdown of humanity).

Rupert Colville yang merupakan jurucakap PBB mengatakan bahawa mereka yang terbunuh adalah daripada 4 buah kawasan iaitu Bustan alQasr, al-Fardous, al-Kallaseh dan juga Salahuddin termasuk 11 orang wanita dan 13 orang kanak-kanak.

Sebahagian daripada mereka mati ditembak ketika cuba untuk melarikan diri daripada pertempuran yang berlaku malah ada di antara mereka yang ditembak mati di dalam rumah apabila tentera pro rejim Syria Berjaya menguasai kawasan-kawasan tersebut.

Laporan-laporan lain juga menyebutkan ada sebahagian daripada mangsa mati dibakar hidup-hidup dan ditembak mati selepas menjadi mangsa rogol oleh tentera yang tidak berperikemanusiaan.

PBB juga melaporkan lebih 37,000 orang telah keluar dari Timur Aleppo dan mendapatkan perlindungan di Barat Aleppo ataupun di pinggir-pinggir bandar.

Sekurang-kurangnya 14,700 orang terpaksa berhimpit di dalam rumah-rumah perlindungan termasuk di kilang pembuatan kapas di dalam suasana musim sejuk yang menambahkan kesengsaraan mereka.

ABIM dan MLLFS menggesa untuk satu koridor kemanusiaan dibuka bagi memberi laluan kepada bantuan kemanusiaan terutama dari sudut rawatan kecemasan hospital dan juga bantuan makanan dan minuman kepada lebih 100,000 penduduk Aleppo yang masih terkepung di samping jaminan evakuasi mereka yang masih berada di dalam berjalan dengan baik tanpa ada risiko eksekusi atau ditangkap.

ABIM dan MLLFS juga dengan tegas mengutuk pembunuhan beramai-ramai dan juga pembantaian berterusan rakyat Syria yang yang mendapat ‘persetujuan’ seluruh pemimpin dan kuasa besar dunia ini dan menegaskan pendirian bahawa Presiden Syria, Bashar Assad dan juga Russia termasuk sekutu keduanya harus dipertanggungjawabkan di atas kekejaman ini dan konflik di Syria yang memasuki tahun keenam ini harus dihentikan bagi mengelak lebih ramai mereka yang tidak berdosa terkorban dan merana.

MLLFS dalam masa yang sama sedang melaksanakan kempen Bantuan Musim Sejuk Syria yang dijangka akan membantu rakyat Syria berhadapan dengan musim sejuk dan dijangka berangkat pada Januari 2017.

Sasaran sumbangan adalah sebanyak RM500,000 dan ianya boleh disampaikan melalui atas talian melalui pautan berikut : www.billplz.com/winteraidsyria