Categories
SELANGOR

‘Selangor Bebas Aedes Tempat Kerja & Kuarters’ kawal wabak denggi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 APRIL: Bagi mengawal penularan wabak denggi di Selangor, Kerajaan Negeri melaksanakan program ‘Selangor Bebas Aedes di Tempat Kerja dan Kuarters’.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, program itu bagi memastikan pekerja mempunyai persekitaran selamat, manakala majikan mendapat pekerja yang sihat dengan peningkatan produktiviti serta kualiti kerja.

“Berdasarkan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, majikan bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kesihatan pekerja serta orang awam yang berkunjung bagi mendapatkan perkhidmatan.

“Majikan juga bertanggungjawab sebagai pihak yang perlu mengambil risiko dan mengendalikan pekerjanya serta menyediakan tempat kerja selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Taklimat Pelaksanaan Selangor Bebas Aedes (Tempat Kerja dan Kuarters) Jabatan dan Agensi, di Auditorium Dewan Jubli Perak, di sini.

Katanya, program yang membabitkan semua agensi kerajaan itu turut menggalakkan pelaksanaan aktiviti Pemusnahan Tempat Pembiakan (PTP) secara kendiri dan berkala serta tidak meletakkan tanggungjawab menjaga kawasan di atas bahu ketua jabatan sahaja.

Siti Mariah berkata, langkah itu mampu membudayakan warga kerja prihatin dan bekerjasama dalam memastikan kawasan tempat kerja serta kuarters bebas daripada pembiakan Aedes.

“Saya juga mahu mencadangkan supaya setiap agensi menganjurkan program “Denggi Hour” di tempat kerja masing-masing dengan mengambil masa kurang satu jam setiap minggu untuk membersihkan persekitaran pejabat.

“Saya optimis setiap jabatan dan agensi dapat memainkan peranan dalam kawasan penyeliaan masing-masing, bagi memastikan tempat kerja dan kuarters tidak menjadi tempat pembiakan Aedes,” katanya.

Sehingga minggu epid ke-14 tahun ini, bilangan kes denggi terkumpul di Selangor adalah 22,343 kes, meningkat 168 peratus berbanding minggu yang sama, tahun lalu.

Manakala, sebanyak 18 jumlah kematian direkodkan yang menyumbang kepada 56.78 peratus daripada keseluruhan kes demam denggi, di Malaysia.

Berdasarkan rekod data tahun lalu oleh Jabatan Kesihatan Selangor, tempat utama positif pembiakan Aedes mengikut jenis premis adalah rumah ibadah (42.9 peratus), tapak binaan (47.2%), pejabat kerajaan (18.8%), kilang (17.4%), kemudahan kesihatan (12.4%) dan sekolah (12.1%).

Daripada data itu, premis pejabat kerajaan berada pada kedudukan ketiga tertinggi dalam senarai tempat utama positif pembiakan.

Categories
SELANGOR

Isu Aedes: Pasar Awam Banting ditutup tiga hari

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 5 APR: Pasar Awam Banting akan ditutup sementara selama tiga hari bermula 8 hingga 10 April ini bagi memberi laluan kerja pembersihan dilakukan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Pegawai Komunikasi Korporatnya, Mohammad Kamal Mohd Ramlan berkata, pihaknya akan menjalankan kerja pembersihan secara menyeluruh terhadap bangunan pasar berkenaan ekoran isu pembiakan Aedes.

Katanya, terdapat banyak tempat berpotensi dikenal pasti menjadi tempat pembiakan Aedes di sekitar bangunan pasar terbabit.

“Sehubungan itu, kita meminta kepada semua peniaga di pasar berkenaan untuk turut sama menyertai kerja pembersihan ini memandangkan pasar ini juga merupakan punca utama rezeki mereka,” katanya dalam kenyataan akhbar.

Dalam kenyataan sama, Mohammad Kamal turut meminta peniaga di pasar awam berkenaan supaya membuka semua binaan tambahan, selain membersihkan tapak perniagaan sendiri.

“Laluan tengah pasar hendaklah dikosongkan, semua barangan perniagaan seperti bakul, meja, kerusi, kotak, rak barang, tong ikan dan sebagainya perlu dialihkan serta dikosongkan.

“Sekiranya didapati peniaga tidak mengosongkan petak perniagaan, kita akan mengambil barang-barang itu untuk dilupuskan.

“Kita tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan dan kehilangan barang semasa kerja pembersihan dijalankan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Premis biak Aedes bakal berdepan saman

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 17 JAN Majlis Perbandaran Klang (MPK) bakal mengeluarkan saman terhadap mana-mana premis dan kediaman yang didapati terbabit dengan sarang pembiakan Aedes.

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Norfiza Mahfiz berkata, mereka yang terbabit akan diberikan notis tujuh hari oleh MPK sebagai amaran, sebelum tindakan lebih lanjut akan diambil.

“Ketika operasi penguatkuasaan denggi, arahan itu dikeluarkan ekoran kawasan berkenaan menimbulkan kacau ganggu dan berisiko kepada pembiakan Aedes yang boleh mengancam keselamatan penduduk.

“Melalui notis itu, MPK memberi tempoh tujuh hari terhadap pemilik premis supaya membersihkan kawasan sebelum tindakan tegas diambil.

“Jika enggan mematuhi notis kompaun, mereka boleh didenda mengikut Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan sehingga RM2,000,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, MPK juga sentiasa mengadakan operasi bersama dengan pejabat kesihatan daerah ,di lokasi yang dikenal pasti.

Terdahulu, daerah Klang merekodkan sejumlah 960 kes denggi, pada dua minggu pertama awal tahun ini berbanding hanya 203 kes, dalam tempoh sama tahun lalu.

Jumlah itu tambah membimbangkan apabila membabitkan dua kematian, di Flat Seri Bahtera, Pulau Indah, di sini.

Kes pertama membabitkan wanita berusia 39 tahun, pada akhir Disember manakala awal Januari baru-baru ini mengorbankan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun.

Categories
SELANGOR

Kes denggi di Selangor menurun

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 11 NOV: Selangor mencatatkan penurunan wabak denggi sebanyak 15 peratus dengan 35,173 kes direkodkan setakat ini, berbanding 41,342 kes bagi tempoh sama, pada 2017.

Bagaimanapun, EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, trend penularan kes denggi diramal akan terus meningkat, pada akhir Disember ini dan berterusan hingga Januari tahun hadapan.

Katanya, ia ekoran faktor cuaca tidak menentu serta peningkatan pergerakan orang awam.

“Sebanyak 13 lokaliti hotspot wabak denggi dalam tempoh lebih 100 hari disenaraikan masing-masing di daerah Gombak (Taman Selaseh Fasa 2) dan Hulu Langat (Seksyen 3, Bandar Teknologi; Jalan Nirwana 1-17, Taman Nirwana dan Jalan Pintar Taman Universiti Kajang).

“Bagi daerah Klang pula (Jalan Setia 2 Kampung Batu Belah; Jalan Istimewa Seksyen 31; Apartment Seri Nervilla dan Seksyen 32 Bukit Rimau Jalan Sungai Burung), manakala Petaling (KD PJU 1A PPRT C, Seksyen 7, Kuarters Klinik Kesihatan; Bandar Kinrara 3, Jalan 3; SS 17/3 dan Seksyen 13, Teres E: Jalan 13/77-13/78J),” katanya.

Beliau bercakap demikian kepada pemberita pada sidang media sempena Majlis Gotong Royong Mega 2.0 Perangi AEDES Peringkat Selangor, di Taman Johan Setia, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Selangor, Dr Khalid Ibrahim dan Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Zawawi Mughni.

Aktiviti gotong-royong yang dijalankan secara serentak di seluruh negara hari ini membabitkan kerjasama bersepadu pihak kementerian dan agensi lain termasuk pelajar serta orang awam, bagi membendung peningkatan kes denggi.

Mengulas lanjut, Dr Siti Mariah berkata, rakyat Selangor digesa supaya mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi mengelakkan situasi parah berlaku, terutama mereka yang berada di lokasi hotspot wabak denggi.

“Saya mencadangkan kita semua dapat mengambil pendekatan misalnya semburan aerosol bagi membunuh nyamuk aedes di kawasan rumah dan memakai krim perlindungan nyamuk (insect repellant) bagi mengelakkan gigitan nyamuk, terutama kepada anak kecil.

“Selain itu, boleh juga letakkan ubat jentik-jentik (abate) ke dalam bekas takungan air di sekitar rumah seperti pasu bunga,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Banteras denggi: Kompaun lebih beri kesedaran

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU SELANGOR, 11 SEPT: Tindakan kompaun dan penguatkuasaan ketat diperakui lebih memberi kesedaran kepada masyarakat bagi memastikan tahap kepekaan terhadap masalah denggi di kawasan kediaman masing-masing.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batang Kali, Harumaini Omar berkata, sebelum tindakan tegas dikenakan pihak berwajib terutama Jabatan Kesihatan, penduduk disaran menggembleng tenaga bersama menghapuskan tempat pembiakan aedes.

Katanya, usaha mengekang tempat pembiakan aedes bukan terletak pada tanggungjawab jabatan terbabit sahaja, sebaliknya perlu seiring dengan kesedaran dan kerjasama semua penduduk.

“Tindakan kompaun tanpa kompromi salah satu cara untuk melibatkan penduduk supaya lebih bertanggungjawab kerana denggi boleh mengancam nyawa sesiapa sahaja.

“Ancaman denggi berlaku kerana terdapat pembiakan aedes di sesuatu kawasan, jadi tindakan perlu diambil daripada diri individu itu sendiri,” katanya pada program gotong-royong bersama penduduk di Apartmen Cempaka, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Harumaini berkata, beliau juga mendapati masih ada segelintir masyarakat yang kurang kesedaran terhadap alam sekitar dengan membuang sampah di merata tempat.

Katanya, hal itu mengakibatkan longkang tersumbat dan air bertakung, sekali gus boleh menjurus kepada pembiakan aedes.

“Justeru, sikap meletakkan tanggungjawab kepada orang lain perlu dibuang dalam diri, tetapi masyarakat seharusnya memberi sepenuh komitmen bagi menjamin tempat kediaman mereka bebas daripada pembiakan aedes dan mencegah denggi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru masyarakat yang tinggal di kawasan flat memberi kerjasama dengan menyertai setiap aktiviti gotong-royong dianjurkan jawatankuasa penduduk masing-masing.

Categories
SELANGOR

Hapuskan tempat pembiakan aedes bermula dari dalam rumah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 8 OGOS: Musnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes dengan segera bermula dari dalam rumah, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng.

Katanya, ia kerana kaedah penyemburan asap nyamuk bukanlah kaedah terbaik untuk mengelakkan kes demam denggi daripada terus meningkat.

“Dinasihatkan supaya penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya memeriksa kesemua perkakas dalam rumah termasuk bekas bunga dan juga bekas-bekas lama yang terbiar dalam stor.

“Sebenarnya cara paling berkesan untuk hapuskan denggi ialah memusnahkan, bukannya sekadar mengharapkan pihak berwajib membuat sempuran asap nyamuk, asap tersebut tidak dapat membunuh telur nyamuk berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Gotong Royong bersama Rukun Tetangga SS 15/6 yang turut disertai 50 penduduk.

Michelle berkata, sejak awal tahun hingga kini, terdapat tujuh kes demam denggi dilaporkan bagi kawasan SS15/6 dan SS15/6a.

“Program gotong-royong seperti ini tidak sepatutnya dipandang ringan oleh penduduk memandangkan ia adalah salah satu cara untuk menurunkan kes demam denggi,” katanya.

Categories
SELANGOR

Hapuskan aedes, kekalkan persekitaran bersih

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 JUN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menasihatkan orang awam agar kekal memastikan kawasan persekitaran kediaman ditinggalkan dalam keadaan bersih ketika pulang berhari raya, Aidilfitri ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, ada penduduk yang meninggalkan kawasan perumahan dalam keadaan tidak bersih yang mengakibatkan pembiakan habitat Aedes.

“Berdasarkan pengalaman lepas, kes demam denggi dijangka meningkat selepas cuti musim perayaan yang panjang kerana penghuni rumah tidak membersihkan kawasan persekitaran rumah.

“Mereka membiarkan air bertakung di tempat-tempat yang boleh menakung air seperti kolah mandi, tangki air, perangkap semut, pasu bunga dan sebagainya.

“Bekas-bekas yang boleh menakung air ini boleh menyebabkan pembiakan nyamuk aedes,” katanya dalam kenyataan.

Justeru beliau menegaskan, orang ramai boleh melaksanakan beberapa inisiatif pencegahan bahi menggelakkan penularan Aedes dan denggi.

Antaranya, menghapuskan semua bekas takungan air di dalam di persekitaran rumah serta memastikan tangki air, kolah dan pasu bunga tidak membiak jentik-jentik aedes.

“Orang awam juga boleh meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik (abate) ke dalam bekas-bekas yang boleh menampung air seperti tangki air, kolah, pasu bunga dan sebagainya.

“Hapuskan juga tempat-tempat longgokan sampah seperti tin kosong, bekas polistirena, botol, tayar buruk dan lain-lain bekas yang boleh menakung air,” katanya.

Categories
SELANGOR

Masyarakat perlu bersama tangani denggi

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 20 MAC: Setiap masyarakat memainkan peranan dan perlu bekerjasama membanteras denggi daripada terus menular.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Najmuddin Jemain berkata, masyarakat perlu bekerjasama dan jangan hanya menuding jari dengan menyalahkan pihak berkuasa.

“Usaha untuk membanteras denggi itu hanya dapat dilakukan melalui langkah pencegahan bersama dan memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak.

“Namun, malangnya kesedaran masyarakat amat kurang sekaligus denggi akan lebih menular sekiranya kita tidak bersama-sama membanteras kes ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bengkel ‘Brainstorming’ dan tagline Gempur Aedes Kajang (GERAK) bagi Memperkasakan Pencegahan dan Kawalan Wabak Denggi daerah Hulu Langat bertempat di Dewan Sri Cempaka, di sini, hari ini.

Najmuddin berkata, masyarakat sendiri harus bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan bukan sahaja di dalam rumah, bahkan di luar rumah serta tempat awam juga.

“Kawasan mereka akan selamat daripada ancaman nyamuk aedes jika setiap penduduk memberikan kerjasama untuk membanterasnya.

“Setiap masyarakat yang sayangkan kesihatan diri dan keluarga wajar memahami berkenaan bahayanya nyamuk aedes sehingga boleh meragut nyawa,” katanya.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

Denggi: MPKj hantar pasukan khas bantu MPK

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KAJANG, 28 FEB: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bersedia menghantar pasukan khas bagi membantu Majlis Perbandaran Klang (MPK) membasmi lokaliti hospot dan masalah denggi di daerah itu.

Yang Dipertuanya, Mohd Sayuti Bakar berkata, jawatankuasa khas bakal diwujudkan selaras saranan Kerajaan Negeri yang menyarankan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) secara konsisten memerangi habitat Aedes.

“Ini sememangnya arahan daripada Kerajaan Negeri supaya PBT lain membantu kerana amalan ini dilaksanakan sejak dua tahun lalu.

“Setiap kali ada PBT lain berdepan masalah, memang ada PBT yang turun membantu dari aspek penyelidikan, penghapusan habitat jentik-jentik dan aktiviti penyemburan (fogging),” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada sidang media Mesyuarat MPKj, di Menara MPKj, pagi ini.

Pada masa sama, MPK hari ini secara proaktif melancarkan melancarkan kenderaan promosi ‘Gempur Aedes’ bagi tujuan promosi dan hebahan kepada penduduk sekitar.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, kenderaan Perodua Bezza model Premium X terbabit dilengkapi sistem siaraya dan berinformasi bagi menguar-uarkan kepentingan mencegah Aedes.

Untuk rekod, kawasan MPK mencatatkan 6,745 kes termasuk enam kes membabitkan kematian, tahun lalu.

Manakala, dalam tempoh dua bulan tahun ini, sebanyak 1,047 kes dilaporkan.

Mohamad Yasid berkata, dua kawasan hotspot dikenal pasti menyumbang kepada wabak itu adalah Andalas (52 kes) dan Meru (30 kes).

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ catat 5041 kes demam denggi sepanjang 2017

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SUBANG JAYA, 25 JAN: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mencatatkan sebanyak 5041 kes demam denggi dengan enam kes kematian, sepanjang 2017.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, sebanyak 602 tempat pembiakan ditemui, pada tahun lalu.

“Kes demam denggi tertinggi adalah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Serdang membabitkan 2058 diikuti DUN Seri Kembangan sebanyak 1303 kes.

“Manakala, kawasan DUN Subang Jaya mencatatkan 930 dan DUN Kinrara mencatatkan 750 kes,” katanya dalam mesyuarat penuh MPSJ, semalam.

Noraini menasihatkan penduduk untuk meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu bagi memastikan kawasan kediaman bebas dari tempat pembiakan nyamuk aedes.

Categories
NASIONAL

Waspada kes demam denggi meningkat

KUALA LUMPUR 19 SEPT: Kes demam denggi bagi tempoh 3 hingga 9 September menunjukkan peningkatan dengan 1,223 kes berbanding 1,171 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun peningkatan itu tidak ketara, langkah pencegahan dan kawalan perlu diambil segera supaya trend pertambahan kes pada penghujung tahun seperti sebelum ini dibendung.

Bagaimanapun, katanya jumlah kumulatif kes denggi direkodkan berkurang sebanyak 11,171 kes kepada 66,906 berbanding 78,077 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

“Jumlah keseluruhan kematian demam denggi juga menurun 27 kematian dengan 149 kematian dilaporkan pada tempoh sama tahun ini berbanding 176 kematian pada 2016,” katanya dalam satu kenyataan.

aedesDr Noor Hisham berkata sejumlah 438 lokaliti wabak demam denggi dilaporkan di 14 negeri dan 71 lokaliti ‘hotspot’ semasa direkodkan di enam negeri.

Dalam pada itu katanya satu kes chikungunya direkodkan pada minggu tersebut di Sungai Udang, Yan, Kedah, menjadikan jumlah keseluruhan kes chikungunya dilaporkan sehingga 9 September tahun ini sebanyak 255 kes iaitu 189 kes di Kedah, Selangor (33), Johor (24), Kelantan (7) dan Perak, dua kes.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Bersihkan kediaman elak jadi sarang aedes

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 SEPT: Penduduk sekitar disarankan mengambil tanggungjawab membersihkan kawasan kediaman masing-masing sebagai usaha memastikan tempat tinggal mereka bebas dari pembiakan nyamuk aedes.

Exco Kesihatan, Kebajikan dan Pembangunan Wanita serta Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, hal itu kerana ia merupakan perkara asas sekiranya mahu kawasan berisiko tinggi menjadi bebas denggi.

“Sikap itu perlu dididik dari akar umbi membabitkan pelbagai golongan supaya penduduk lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan kediaman masing-masing.

aedes“Kita mengalukan kerjasama penduduk supaya kawasan yang berisiko tinggi dapat dihapuskan secara berkesan,” katanya di Majlis Perasmian Penutup Gotong Royong Denggi 12 minggu dan Hari Keluarga Merdeka Taman Pelangi Semenyih, baru-baru ini.

Pada masa sama, Dr Daroyah memuji komitmen tinggi penduduk Taman Pelangi yang berusaha mengadakan gotong royong secara berterusan sekaligus menjadikan kawasan kediaman mereka keluar daripada kawasan hotspot denggi.

IMG_7587“Saya berbangga dengan semangat penduduk kawasan ini yang berusaha untuk membebaskan kawasan mereka dari hotspot denggi. Kini, kawasan ini bersih dan tidak lagi dilabel sebagai hotspot denggi,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk supaya memastikan melaksanakan pemeriksaan dan membersihkan takungan air secara berkala.

Menurut sumber daripada bilik gerakan denggi kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan sejumlah 127 kes di Selangor setakat 12 September (semalam) dengan jumlah terkumpul dari 1 Januari hingga tempoh itu sebanyak 36,888 kes.

=EZY=