Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia minat dalami aeroangkasa Korea Selatan

SACHEON, 25 NOV: Malaysia berminat mendalami kemajuan dan pembangunan industri aeroangkasa Korea Selatan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap semasa lawatan beliau ke fasiliti pertahanan dan aeroangkasa Korea Aerospace Industries (KAI) di sini, perdana menteri berkata Korea Selatan telah mencatatkan kemajuan besar dalam bidang tersebut sejak kali terakhir beliau datang ke negara ini.

Lawatan terakhir Dr Mahathir ke Korea Selatan sebagai perdana menteri adalah pada 2002.

“Saya sentiasa berminat dengan pesawat pejuang dan pesawat buatan tempatan. Saya ingin melihat bagaimana ia beraksi dan kemajuan industri pesawat anda,” katanya kepada Ketua Pegawai Eksekutif KAI Ahn Hyun-ho, yang menyambut ketibaan beliau ke fasiliti itu, di sini.

Dr Mahathir, yang juga merupakan seorang juruterbang berkelayakan dan penggemar bidang aeroangkasa tiba di fasiliti pertahanan dan aeroangkasa itu dengan menaiki helikopter sekitar pukul 10.30 pagi waktu tempatan.

Sacheon terletak kira-kira 100 kilometer dari Busan, bandar raya yang menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan 2019, yang Dr Mahathir dijadualkan hadir.

Dr Mahathir meluangkan masa lebih dua jam di fasiliti itu dengan pertemuan kira-kira setengah jam bersama para pegawai tertinggi dan kemudiannya melawat fasiliti tersebut di mana beliau diberikan taklimat mengenai pesawat tempur ringan (LCA) KAI FA-50 Fighting Eagle.

Turut mengiringi beliau semasa lawatan tersebut ialah Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darell Leiking; Duta Malaysia ke Korea Datuk Mohd Ashri Muda; dan Atase Pertahanan Malaysia di Seoul, Kolonel Mohd Sobirin Mohd Yusof.

Malaysia ketika ini sedang menimbang pilihannya bagi LCA dan dijangka secara rasmi melancarkan usaha pemerolehan untuk bergerak seiring dengan kemajuan dan teknologi canggih.

Menurut terbitan pertahanan, Jane’s Defence Weekly, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merancang untuk mendapatkan 36 LCA dengan pilihan bagi 26 lagi bagi melengkapkan kumpulan pesawat pejuang Hawks, Sukhoi SU-30MKM dan FA-18D Hornets yang ada sekarang.

Kelulusan kerajaan dijangkakan pada suku pertama 2020.

Antara jenis LCA lain yang dipertimbangkan oleh TUDM selain KAI FA-50 Fighting Eagle, adalah Hindustan Aeronautics Limited (HAL) Tejas; Leonardo M-346; Aero Vodochody L-39NG; CAC L-15A/B; CAC/PAC JF-17; Saab Gripen; dan Yakovlev Yak-130.

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Subang catat RM91.5 juta pelaburan aeroangkasa

SHAH ALAM, 6 NOV: Sejumlah RM91.5 juta pelaburan berjaya direkod di kawasan Subang dalam bidang aeroangkasa, kata EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim.

Katanya nilai pelaburan itu membabitkan penyertaan tiga syarikat iaitu Airod Techno Power Sdn Bhd, UPECA Aerotech Sdn Bhd dan Afjets Sdn Bhd.

“Mekanisma yang digunakan Kerajaan Negeri dalam memastikan cadangan projek pelaburan dapat direalisasi adalah melalui Invest Selangor yang akan sentiasa berhubung rapat dengan syarikat berkenaan bagi mendapatkan maklum balas projek.

“Invest Selangor juga akan menyelaraskan isu dilapor agensi, menganjurkan mesyuarat penyelarasan, koordinasi mengikut agensi serta membuat pemantauan susulan berkenaan status kemajuan projek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mulut dikemukakan Shatiri Mansor (PAKATAN-Kota Damansara) di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor sasar unjur RM2 bilion dalam aeroangkasa pada 2025

SHAH ALAM, 5 NOV: Selangor menyasarkan RM2 bilion pendapatan dan 75,000 peluang pekerjaan dijana setahun melalui industri aeropolis dan aeroangkasa menjelang 2025.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata setakat ini 62 peratus industri berasaskan aeroangkasa berada di Selangor dengan Subang menyumbang 34 peratus membabitkan 70 syarikat berbanding 200 syarikat seluruh negara.

“Kedua-dua industri ini menyumbang RM1.7 bilion pendapatan dan menjana 55,000 pekerjaan setiap tahun setakat ini.

“Jumlah pengendalian penumpang pula tiga juta setahun dan dijangka lebih lima juta penumpang akan menggunakan perkhidmatan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, Subang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan lisan persidangan Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata, Kompleks A di Subang juga merupakan hab penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pertama di Malaysia yang satu-satunya dilengkapi kemudahan Aerodrome di rantau Asia.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB ketuai delegasi Selangor lawat Airbus Bizlab di Perancis

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 JUN: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melawat Pejabat Airbus Bizlab di Toulouse dalam rangka lawatan kerjanya ke Perancis, semalam.

Amirudin berkata, Airbus BizLab adalah rangkaian pemacu industri aeroangkasa bagi peringkat global.

“Di sini usahawan dan syarikat pemula niaga dapat meningkatkan transformasi idea inovatif kepada perniagaan yang memberi pulangan.

“Sejak 2015, ia telah memacu syarikat pemula bernilai 19.5 milion euros,” tulisnya di laman twitter.

Turut sama dalam rombongan itu ialah EXCO Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar, Raja Shahreen Raja Othman.

Airbus BizLab adalah pemacu industri aeroangkasa di peringkat antarabangsa, dan sejak empat tahun lalu telah mengendalikan 72 syarikat pemula niaga aeroangksa serta 54 projek dalaman Airbus.

Program yang dijalankan selama enam bulan itu turut berlangsung di empat lokasi termasuk Toulouse (Perancis), Hamburg (Jerman), Bangalore (India) dan Madrid (Sepanyol).

Terdahulu SelangorKini melaporkan, Kerajaan Negeri mahu semua pihak bekerjasama bagi mencapai sasaran memperoleh RM175 bilion pendapatan industri aeroangkasa menjelang 2030.

Amirudin Shari berkata, pihak berkaitan seperti institusi pengajian tinggi, pusat latihan, sektor swasta dan sebagainya harus bergabung bagi membantu Kerajaan Negeri dalam menjayakan sasaran itu.

Pada masa sama, katanya, masih ada banyak lagi ruang yang boleh diteroka bagi membangunkan industri aeroangkasa di Selangor.

Sebelum ini, Selangor turut mensasarkan menjadi tiga hab aeroangkasa terbaik dalam usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI).

Pada Belanjawan 2019, Amirudin turut mengumumkan Gugusan Industri Aeropolis dan Aeroangkasa diantara sembilan gugusan utama di negeri ini. Antara lokasi gugusan berkenaan ialah kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), Subang.

 

Categories
NASIONAL

Syarikat aeorangkasa China berminat melabur di Malaysia

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Beberapa syarikat aeroangkasa China berminat untuk bekerjasama dengan firma Malaysia bagi membangunkan projek pusat sains, di negara ini.

Presiden Dewan Perniagaan Global Malaysia (DPGM), Prof Datuk Seri Dr Alex Ong berkata, antara yang berminat ialah Shenfei Aerospace International, yang bersedia melabur RM100 juta dan bekerjasama dengan syarikat tempatan bagi membina pusat sains bertaraf antarabangsa.

Katanya, DPGM juga bersedia menjadi jambatan kepada pihak China yang ingin membuat pameran serta menyebarkan maklumat mengenai sektor aeroangkasa, di Malaysia.

“Bidang ini sudah diperkasakan sejak dahulu lagi, namun ia perlu penambahbaikan daripada segi pengetahuan terkini untuk memastikan negara tidak ketinggalan dan sentiasa bersaing dengan negara maju.

“Pada masa sama, ia memberi kelebihan kemajuan kepada negara untuk meningkatkan jurang ekonomi dan hubungan dengan negara sahabat lain yang mempunyai teknologi seperti itu,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga sedang meneroka peluang pelaburan sektor berkenaan bersama bakal pelabur China dalam lawatan ke Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), di Beijing bersama Pengarah MIDA Bahagian Pelaburan, Mohd Zukepli Embong, baru-baru ini.

“Hasil kunjungan itu, Mohd Zukepli menyatakan beberapa peluang pelaburan yang ada di Malaysia kepada bakal pelabur dalam beberapa bidang pusat sains,” katanya.

Hadir sama dalam kunjungan itu ialah Pengarah Urusan Shenfei Aerospace International (M) Sdn Bhd, Datuk Steven Tong dan beberapa rombongan pengusaha serta badan organisasi aeroangkasa, di Beijing.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya percaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil langkah baik bagi meyakinkan pelabur luar negara membuat pelaburan, di Malaysia.

 

Categories
EKONOMI SELANGOR

Selangor kuasai 62% industri aeroangkasa Malaysia, tingkat kolaborasi dengan Maghribi

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

KAHERAH, 13 OKT: Dunia mempunyai tiga ‘M’ yang menjadi hos kepada industri aeroangkasa iaitu Malaysia, Maghribi dan Mexico, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Sehubungan itu, beliau berkata, lawatan kerjanya ke Maghribi turut melihat perkembangan bidang berkenaan di negara terbabit juga bentuk kerjasama pada masa depan, apatah lagi Maghribi adalah salah satu daripada rakan kolaborasi Selangor dalam industri aeroangkasa.

“Selangor yang mempunyai 62 peratus daripada keseluruhan industri aeroangkasa di Malaysia harus terbabit dengan aktif bersama Kerajaan Maghribi. Saya sempat bertemu dengan Timbalan Menteri Ekonomi Maghribi dan satu komuniti yang ditubuhkan dalam kalangan syarikat utama di dalam industri aeroangkasa, di negara itu.

“Kita melihat beberapa perkara yang boleh diselaraskan termasuk membawa beberapa syarikat dari Maghribi untuk membuka pelaburannya, di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kunjungan hormat ke Pejabat Atase Pendidikan (Selangor) dan Pelancaran Projek Naik Taraf Kafeteria Asrama Selangor kepada Pusat Aktiviti Pelajar Selangor, di sini, semalam.

Turut hadir adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor; Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar, Soffan Affendi Aminudin; Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Agama Islam Selangor, Azlinda Azman; Pemangku Pengurus Besar Yayasan Selangor, Zahura Zakry dan Atase Pendidikan (Selangor), Mohd Yasser Abdul Ghani.

Terdahulu, Amirudin dalam lawatan kerjanya selama seminggu ke Timur Tengah turut ke Maghribi dan Jordan bagi bertemu pelajar Selangor di negara berkenaan sebelum mengadakan pertemuan dengan kelompok sama, di Kaherah.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Selangor juga hampir berjaya memuktamadkan pelaburan baru di Jordan membabitkan industri aeroangkasa.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Malaysia bakal bangunkan 30 PKS pembuatan aeroangkasa baharu menjelang 2020

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Kerajaan menyasar untuk membangunkan 30 syarikat pembuatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) baharu dalam sektor aeroangkasa menjelang 2020, selain 20 syarikat yang ada sekarang.

Ketua Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO), Shamsul Kamar Abu Samah berkata, segmen pembuatan industri aeroangkasa tempatan menunjukkan pertumbuhan mengkagumkan sejak 1990-an dan baru-baru ini mengatasi segmen penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) sebagai penyumbang pendapatan utama dalam sektor aeroangkasa.

“Sudah tentu, sektor MRO telah menyediakan sejumlah pendapatan kepada Malaysia tetapi pada masa ini, (segmen) pembuatan adalah nombor satu. Kami berharap ia (pembuatan) boleh meningkat antara 7.0 dan 15.0 peratus setiap tahun, tetapi ia sangat bergantung kepada bagaimana kita boleh membawa lebih banyak pelaburan.

Shamsul Kamar berkata, kira-kira 48 peratus atau RM6.6 bilion hasil industri aeroangkasa pada 2017 datang daripada segmen pembuatan aeroangkasa, diikuti oleh 46 peratus daripada segmen MRO dan selebihnya daripada segmen perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk.

Beliau berkata, keputusan General Electric, syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat untuk melabur RM200 juta bagi menubuhkan sebuah pusat perkhidmatan LEAP berteknologi tinggi baru di Malaysia akan menghasilkan sehingga 40 syarikat penerbangan baru yang menyelenggara enjin mereka di lapangan terbang Subang.

“Kami berharap dengan pelaburan baru itu lebih banyak enjin akan diservis di Subang,” kata Shamsul kepada pemberita selepas pelancaran Konvensyen Perniagaan Aeroangkasa Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIABC) ketiga di sini, hari ini.

Pelancaran itu dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking.

Shamsul Kamar berkata, NAICO, satu unit di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), akan bekerjasama dengan PKS untuk memastikan penglibatan jangka panjang mereka dalam industri aeroangkasa.

“MITI melalui agensinya seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan SME Corporation (SME Corp), akan menyediakan geran untuk membantu PKS dalam industri aeroangkasa.

“Geran terbabit, bagaimanapun hanya meliputi kira-kira 50 peratus daripada pelaburan yang diperlukan kerana kita mahu melihat komitmen yang sama daripada pemain industri dan untuk menentukan sama ada mereka benar-benar mahu melabur dalam segmen ini,” tambahnya.

Sementara itu, Darell berkata, Pelan Induk Aeroangkasa Malaysia 2030 menyasarkan hasil tahunan sebanyak AS$14.3 bilion atau RM55.2 bilion menjelang 2030 dan penciptaan lebih daripada 32,000 pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Malaysia berada di barisan hadapan pelbagai aktiviti dalam rantaian nilai aeroangkasa. Syarikat kita meliputi perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk, integrasi sistem dan pembuatan bahagian dan komponen pesawat, termasuk peralatan sokongan darat dan aktiviti MRO.

“Penglibatan PKS dalam industri itu juga menggalakkan. Sebanyak 20 PKS di bawah Program Industri Pembuatan Aeroangkasa Global oleh SME Corp telah menunjukkan pertumbuhan positif dan dijangka menjana lebih daripada RM30 juta pada tahun ini ” katanya.

Pada 2017, eksport aeroangkasa Malaysia melonjak 54 peratus kepada RM8.51 bilion berbanding 2016, dengan eksport utama adalah bahagian dan komponen, terutamanya untuk sayap dan fiuslaj pesawat.

KLIABC selama tiga hari yang bermula hari ini dianjurkan oleh MATRADE dengan kerjasama Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) dan ABE France. Ia akan menyaksikan penyertaan 150 pertubuhan industri aeroangkasa daripada 21 negara.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
EKONOMI

Syarikat Malaysia wajar melabur dalam sektor aeroangkasa AS

NEW YORK 16 JUN: Malaysia mungkin sedang berusaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) untuk sektor aeroangkasanya, namun kemungkinan untuk bekerjasama dengan syarikat Amerika Syarikat (AS), malah menubuhkan operasi sendiri di AS, boleh membuka sinergi untuk kedua-dua pihak dalam bidang pengkhususan.

Pelabur boleh meraih manfaat yang besar dalam sektor aeroangkasa, logistik dan lain-lain yang merupakan agenda utama pada Sidang Kemuncak SelectUSA 2018, yang dijadual berlangsung dari 20 hingga 22 Jun di Washington DC.

Setiausaha Bahagian Perdagangan Antarabangsa di Jabatan Perdagangan, Gilbert Kaplan, memberi penekanan kepada persidangan itu, yang bermatlamat mempromosikan AS sebagai destinasi pelaburan utama dunia, serta menghubungkan syarikat asing yang layak dengan organisasi pembangunan ekonomi AS bagi memudahkan perniagaan pelaburan dan pewujudan pekerjaan.

Bertema ‘Melabur Di Sini, Berjaya Di Sini’, beliau berkata subsektor aeroangkasa yang terbuka untuk pelaburan asing termasuklah pembinaan pesawat awam besar, rotor, ruang komersial, penerbangan am, enjin, sistem pesawat tanpa pemandu, infrastruktur lapangan terbang, bahan api penerbangan, rantaian bkalan, termasuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih, komposit, logam dan avionik.

“Pelabur ke persidangan ini mewakili hampir setiap sektor. Dari segi pengecualian cukai dan sebagainya, banyak perbincangan akan dilakukan.

“Setiausaha (Perbendaharaan) Mnuchin akan bercakap tentang cukai. Mungkin tidak banyak pengecualian cukai, sebaliknya mengenai hakikat bahawa Amerika Syarikat telah menurunkan kadar cukai pendapatan korporatnya secara mendadak sejak beberapa bulan yang lepas, menjadikan Amerika Syarikat sangat kompetitif dari segi percukaian.

“Banyak negeri (di AS) akan berada di sana (persidangan), yang menawarkan program cukai yang menarik kepada pelabur,” kata Kaplan kepada Bernama.

Berdasarkan angka, beliau berkata: Ekonomi AS kukuh, paling kukuh di dunia, dan akan terus meningkat’,.

“Kami melihat keuntungan luar biasa dalam pasaran kewangan. Pengurangan cukai, pembaharuan pengawalseliaan, dan inisiatif propertumbuhan lain, yang digubal dalam tempoh 18 bulan yang lepas menjadikan Amerika Syarikat sebagai tempat yang lebih baik untuk menjalankan perniagaan.

“Ini dibuktikan oleh lebih daripada US$3.7 trilion saham FDI di Ameika Syarikat, yang terus menguasai bahagian terbesar FDI di dunia,” katanya.

Kaplan juga berkata peserta pada empat siri persidangan pelaburan tahunan itu mengumumkan projek baharu FDI bernilai hampir US$ 93 bilion di Amerika Syarikat antara Oktober 2013 dan September 2017, yang menyokong lebih 140,000 pekerjaan.

Untuk persidangan kali ini Kaplan berkata selain 50 negeri dan wilayah di AS, 2,846 peserta sudah mendaftar setakat ini.

Beliau juga berkata terdapat 1,000 syarikat pelabur berpotensi dari 60 negara sudah mengesahkan kehadiran mereka.

Kaplan berkata angka itu dijangkakan meningkat kepada 1,200 firma dari 64 negara.

Beberapa rakyat Malaysia yang ditemu bual di sini, berkata kerajaan Malaysia wajar menganjurkan acara yang serupa bagi menarik pelaburan ke Malaysia, menjadikan Malaysia sebagai gebang ke ASEAN.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor perluas misi pelaburan aero angkasa di India

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 FEB: Selepas Jepun, misi pelaburan negeri kini diperluaskan ke India bagi menerokai peluang pelaburan dalam bidang teknologi dan aero angkasa.

Gerak kerja tersebut diketuai Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS), Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim bersama delegasi Kerajaan Negeri yang tiba di Hyderabad dan New Delhi sejak semalam.

“Acara pertama di Hyderabad ialah perasmian Bio Asia 2017, konvensyen yang ke-14 sejak 2004, oleh Governor Negeri Telangana, Narasimhan.

“Saya diberi penghormatan untuk berucap pada majlis perasmian itu,” kata Teng di Facebook.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menjangkakan perolehan RM750 juta mampu diraih hasil daripada misi pelaburan dan perlaksanaan Selangor Aeroangkasa.

Daripada jumlah itu, 200 pekerja tenaga mahir juga bekerjasama bagi membangunkan industri terbabit.

Menyokong kepada pelaksanaan itu, kilang pengeluaran selongsong kipas untuk enjin jet Rolls-Royce Trent 1000 dan Trent 7000 dijangka bakal siap hujung tahun ini serta dijangka beroperasi tahun depan.

UMW Aerospace yang didirikan di kawasan tanah berkeluasan 12 hektar di Serendah itu selaras inisiatif Kerajaan Negeri untuk memfokuskan industri terbabit.

Fasiliti terbabit akan bertindak sebagai penyewa utama bagi cadangan Taman Pengeluaran Logam Keras Aeroangkasa oleh UMW.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RM352.6 juta bangun industri aeroangkasa

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 NOV: Selangor menerima pelaburan RM352.6 juta bagi tiga projek perkilangan industri aeroangkasa bagi tempoh 2015 hingga Ogos lalu.

Exco Pelaburan, Perindustrian Kecil dan Sederhana, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, ia meliputi RM322 juta pelaburan tempatan dan baki RM30.6 juta adalah pelaburan asing.

“Daripada tiga projek ini, dijangkakan 237 peluang pekerjaan bakal dibuka,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

teng-dunBeliau merujuk soalan lisan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Baru, Lee Kee Hiong berhubung pelaburan aeroangkasa di Selangor.

Berdasarkan statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), syarikat yang terlibat adalah UMW Aerospace Sdn Bhd, Blue Lines Sdn Bhd dan Global Turbine Asia Sdn Bhd.

“UMW bakal membuka ruang pekerjaan kepada 166 jawatan kosong, Blue Lines (61), manakala Global Turbine (10),” katanya.

Bertempat di Serendah, UMW dijangka membangunkan produk ‘fan case for aero engines’.

Sementara itu, Blue Lines dan Global Turbine memilih lokasi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

Blue Lines bakal membangunkan produk aircraft cabin refurbishment dan aircraft line maintenance sementara Global Turbine pula ‘design development’ dan ‘manufacturing of tooling and parts for aircraft’.

-NFN-

Categories
SELANGOR

RM750 juta dijangka dijana pelaksanaan Selangor Aeroangkasa

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 MEI: Sebanyak RM750 juta pelaburan dijangka dapat dijana daripada perlaksanaan Selangor Aeroangkasa.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS dan Perdagangan serta Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim, berkata seramai 200 pekerja tenaga mahir juga bekerjasama membangunkan industri terbabit.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan laman sesawang terbaru Invest Selangor.

Teng Invest SelangorKetua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Hasan Azhari Idris, berkata kilang pengeluaran selongsong kipas untuk enjin jet Rolls-Royce Trent 1000 dan Trent 7000 dijangka bakal siap hujung tahun ini serta dijangka beroperasi tahun depan.

Katanya, UMW Aerospace yang didirikan di kawasan tanah berkeluasan 12 hektar di Serendah itu selaras inisiatif Kerajaan Negeri untuk memfokuskan industri terbabit.

Fasiliti terbabit akan bertindak sebagai penyewa utama bagi cadangan Taman Pengeluaran Logam Keras Aeroangkasa oleh UMW.

“Tumpuan diberikan kerana 62 peratus industri aeroangkasa Malaysia beroperasi di Selangor. Jadi, kita mengambil inisiatif untuk memfokuskan industri ini di bawah ‘core clusters’ peralatan pengangkutan.

“Di bawah kelompok ini terdapat dua bidang diberi perhatian iaitu automotif dan aeroangkasa. Namun, ketika ini Kerajaan Negeri baru meluluskan ‘Selangor Aerospace Council’ beberapa minggu lalu dan dijangka memulakan mesyuarat pertama sebelum atau selepas Hari Raya Puasa,” katanya.

Hassan berkata, kerja pembinaan sedang dilaksanakan dan dijangka pengeluaran unit pertama selongsong kipas enjin jet Trent 1000 pertamanya yang kemudian dihantar ke fasiliti pemasangan Rolls Royce di Seletar Aerospace Park, Singapura selepas menerima pesanan sulung yang disasarkan pada Oktober 2017.

UMW-rolls-royce-1024x691UMW Aerospace sebelum ini menandatangani perjanjian selama 25 tahun dengan pilihan sambungan lima tahun dengan Rolls-Royce Plc pada Ogos 2015 bagi pemasangan selongsong kipas enjin jet Rolls-Royce.

Perjanjian itu meliputi pengetahuan pembuatan dan program perkongsian teknologi dengan pasukan kejuruteraan Rolls-Royce di United Kingdom (UK).

Enjin Trent 1000 digunakan pada pesawat Boeing 787 Dreamliner.

Bagi meningkatkan keupayaan, UMW bakal membina sebuah pusat pembangunan teknologi dan pra­pengeluaran bersebelahan kilang selongsong kipas di Serendah.

Fasiliti prapengeluaran itu menyokong objektif inovasi UMW melalui penerokaan proses pengeluaran masa hadapan dan teknologi automasi.

UMW Aerospace, merupakan syarikat Malaysia pertama menjadi pembekal peringkat satu kepada Roll-Royce, ia juga akan mengeluarkan selongsong kipas Trent 7000 sebaik sahaja program itu dimulakan yang juga merupakan enjin berkapasiti besar awam daripada generasi ketujuh dan menjadi enjin eksklusif untuk Airbus A330neo.

EZY