Categories
AGENDA NASIONAL

Unit bencana: Fenomena air laut pasang besar di pesisir pantai Selangor terkawal

SHAH ALAM, 17 OKT: Fenomena air laut pasang besar yang melanda pesisir pantai Selangor hari ini dilaporkan terkawal dan tiada sebarang limpahan air berlaku sehingga mengakibatkan kejadian banjir serius.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata setakat 11 pagi tadi, hanya halaman dua buah rumah di Kampung Sungai Janggut, Kuala Selangor dilaporkan dinaiki air akibat limpahan air laut kira-kira 6.11 pagi, bagaimanapun air telah surut sekitar 7 pagi.

Katanya Jeti Pulau Ketam, Klang turut dinaiki air bagi tempoh sama namun keadaan tersebut juga kembali reda.

“Hari ini hanya ada limpahan kecil air (berhampiran pantai) dan tiada kes yang serius melibatkan petempatan penduduk di kesemua kawasan sekitar daerah Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat dan Sepang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Fenomena air pasang besar dengan ketinggian air laut boleh mencecah hingga 5.8 meter, diramal melanda pesisir pantai di lima daerah di Selangor bermula hari ini hingga Isnin depan, serta 15 dan 16 November depan.

-BERNAMA

 

Categories
PBT SELANGOR

Pantas MPKL kesan limpahan kecil di Pantai Kelanang

SHAH ALAM, 16 OKT: Pasukan Tindakan Segera (Pantas) Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengesan limpahan kecil di Pantai Kelanang, Banting pagi tadi namun tidak mengakibatkan ban pecah.

Penyelarasnya berkata tiada limpahan air berlaku di Pantai Cunang, Pantai Batu Laut, Pantai Morib dan Jeti Tanjung Sepat pada hari pertama pemantauan fenomena air pasang besar.

“Walaupun air pasang besar kedua dijangka bermula esok namun kita sudah menggerakkan dua pasukan pada sesi pagi dan petang untuk melakukan rondaan di kawasan berisiko dinaiki air hari ini.

“Rondaan bagi memastikan aset dan infrastruktur di kawasan terbabit tidak terjejas serta dalam keadaan terkawal,” kata Miskon Karim ketika dihubungi.

Beliau berkata lima kawasan di daerah itu sudah ditutup kepada orang ramai berikutan paras air laut dijangka berada paras maksimum iaitu 5.8 meter.

“Oleh itu, penduduk setempat atau pengunjung digesa supaya tidak menghampiri kawasan berkenaan sama ada untuk melakukan aktiviti memancing atau berekreasi.

“Kita khuatir jika mereka enggan memberi kerjasama akan mengancam keselamatan kerana perlu diingat, ketika ini kita bukan sahaja bimbang isu air pasang tetapi juga pandemik Covid-19,” katanya.

Fenomena tersebut dijangka melanda Kuala Langat, Sepang, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam pada 17 hingga 19 Oktober.

Data ramalan Pusat Hidrografi Nasional menjangka kejadian kali ini tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Air pasang besar: Penduduk Kuala Selangor dinasihat jaga keselamatan

SHAH ALAM, 16 OKT: Penduduk Kuala Selangor perlu sentiasa berwaspada dengan fenomena air pasang besar kedua yang dijangka melanda daerah itu esok.

Pegawai Daerahnya Mohd Faizal Abdul Raji berkata orang awam dinasihat menjauhi kawasan pesisir pantai yang berisiko dinaiki air.

“Oleh kerana amaran (air pasang besar) sudah dikeluarkan Unit Pengurusan Bencana Negeri, kita berharap penduduk terus mengambil langkah berjaga-jaga dan menitiberatkan aspek keselamatan, nyawa serta harta benda.

“Sekiranya diarah berpindah ke pusat pemindahan sementara, penduduk perlu mematuhi arahan tersebut bagi memastikan tiada perkara buruk terjadi,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Faizal turut memberi jaminan bantuan makanan dan minuman akan disalurkan segera kepada penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan.

“Berdasarkan pengalaman lalu, insiden benteng pecah menjejaskan beberapa penempatan sahaja tetapi penduduk memilih untuk tinggal di rumah saudara terdekat sementara keadaan kembali pulih.

“Bagaimanapun, kita tetap bersedia untuk menyalurkan bantuan makanan kepada mereka,” katanya lagi.

Fenomena tersebut dijangka melanda Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam pada 17 hingga 19 Oktober.

Data ramalan Pusat Hidrografi Nasional menjangka kejadian kali ini tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Air pasang besar: 52 kawasan di lima daerah berisiko banjir

SHAH ALAM, 15 OKT: Sebanyak 52 kawasan di lima daerah di Selangor berisiko tinggi mengalami banjir akibat fenomena air pasang besar gelombang kedua pada Sabtu hingga Isnin depan.

Menurut kenyataan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang dikeluarkan pada 3 September, daerah yang terkesan ialah Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Pada 17 hingga 19 Oktober ini, kawasan terlibat akan mengalami gelombang kedua fenomena dan paras air laut dijangka pada tahap maksimum iaitu 5.8 meter.

Air pasang besar pertama kali berlaku pada 19 hingga 20 September lalu dan gelombang ketiga dijangka berlaku pada 15 hingga 16 November depan.

Info grafik kawasan berisiko tinggi banjir akibat fenomena air pasang besar pada 17 hingga 19 Okt 2020.
Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN

Air pasang besar: MB ingatkan penduduk elak aktiviti pantai Sabtu hingga Isnin

SHAH ALAM, 15 OKT: Dato’ Menteri Besar sekali lagi mengingatkan penduduk lima daerah negeri ini mengelak aktiviti pesisir pantai pada Sabtu hingga Isnin depan susulan fenomena air pasang besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penduduk perlu bersedia berdepan sebarang kemungkinan kerana limpahan air boleh menyebabkan banjir di kawasan berhampiran laut.

“Paras air laut sekitar Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam dijangka pada tahap maksimum iaitu 5.8 meter.

“Justeru, kepada mereka berhampiran kawasan pesisiran pantai khususnya di lima daerah ini harus berhati-hati, elakkan aktiviti tepi pantai dan bersedia dengan sebarang kemungkinan yang wujud,” katanya menerusi rakaman video.

Unit Pengurusan Bencana Negeri menjangka fenomena antara 17 hingga 19 Oktober itu berlaku pada jam 6 hingga 7.30 pagi.

Info grafik senarai pusat pemindahan dan nombor perhubungan bilik gerakan daerah

 

Categories
ADN SELANGOR

Air pasang besar: Penduduk diminta waspada, agensi berkaitan terus pantau

SHAH ALAM, 14 OKT: Penduduk berdekatan pantai Morib sudahpun dimaklumkan dengan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku hujung minggu ini, kata Ahli Dewan Negerinya.

Hasnul Baharuddin berkata, pada masa sama, Unit Bencana Negeri Selangor giat melakukan pemantauan serta makluman kepada penduduk.

“Walaupun semua sudah sedia maklum, penduduk diingatkan supaya berjaga-jaga sekiranya berlaku hujan lebat pada 17 hingga 19 Oktober ini.

“Saya bimbang banjir kilat berlaku sekiranya hujan lebat bertembung dengan fenomena air pasang besar, oleh itu penduduk diminta bersiap sedia,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau turut menggesa supaya orang awam tidak berada berhampiran Pantai Kelanang sepanjang tempoh fenomena berkenaan.

Fenomena air pasang besar kedua dijangka melanda Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam dengan ketinggian aras air sekitar 5.7 hingga 5.8 meter.

Data ramalan Pusat Hidrografi Nasional menjangka fenomena kali ini tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Air pasang besar: 21 pusat pemindahan disediakan

SHAH ALAM, 13 OKT: Sebanyak 21 pusat pemindahan disediakan sebagai persediaan menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku pada 17 Oktober ini, kata pegawai Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor.

Menurutnya, persediaan itu dibuat bagi menghadapi kemungkinan banjir kilat di beberapa kawasan termasuk Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

“Sementara itu, kesemua benteng pantai yang pecah ketika fenomena air pasang besar pada September lalu sudahpun dibaik pulih oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” kata Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir ketika dihubungi SelangorKini.

Jelasnya lagi, Unit Bencana Negeri juga akan melakukan pemantauan menggunakan dron sepanjang tempoh berlakunya fenomena air pasang besar.

“Semua agensi memainkan peranan sepanjang tempoh fenomena tersebut, pemantauan akan dilakukan empat jam sekali ataupun secara berkala,” katanya.

Fenomena air pasang besar kedua dijangka melanda Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam dengan ketinggian aras air sekitar 5.7 hingga 5.8 meter.

Data ramalan Pusat Hidrografi Nasional menjangka fenomena kali ini tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 1,000 anggota bomba siap sedia hadapi air pasang besar

SHAH ALAM, 12 OKT: Lebih 1,000 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sedia digerakkan sebagai persediaan berdepan fenomena air pasang besar kedua, Sabtu ini.

Penolong Pengarah Operasinya Hafisham Mohd Noor berkata antara balai terlibat ialah Sabak Bernam, Kuala Langat, Klang dan Sepang.

“Fenomena ini diramal berlaku pada 17 hingga 19 Oktober, oleh itu dalam tempoh tiga ke empat hari sebelum kejadian, kami akan memantau cuaca dan lokasi yang berisiko banjir kilat.

“Selain itu, anggota bomba juga menjalani latihan pengendalian bot sepanjang bencana berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Fenomena air pasang besar kedua dijangka melanda Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam dengan ketinggian aras air sekitar 5.7 hingga 5.8 meter.

Data ramalan Pusat Hidrografi Nasional menjangka fenomena kali ini tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Air pasang besar: JPS tambah baik struktur ban Kampung Telok Gong

SHAH ALAM, 2 OKT: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menambah baik dan memperkukuh struktur ban di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang sebagai persediaan berdepan air pasang besar kedua, dijangka pertengahan bulan ini.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berkata impak fenomena bulan lalu mengakibatkan air laut menembusi ban sekali gus menjejaskan kediaman berhampiran.

“Kita segera berbincang bersama JPS Klang dan penduduk kampung bagi mengenal pasti punca (rekahan ban). Siasatan mendapati terdapat beberapa kesan lubang dampak pukulan ombak yang menyebabkan air laut menembusinya,” tulisnya di Facebook.

Beliau turut berterima kasih kepada agensi berkaitan kerana peka terhadap masalah penduduk dan sentiasa berusaha mencari penyelesaian jangka pendek serta panjang.

Sebelum ini, Azmizam meminta Majlis Perbandaran Klang dan JPS mengkaji semula beberapa saliran longkang dan sungai di Pelabuhan Klang bagi mengelak limpahan sekiranya fenomena air pasang berlaku antara bulan ini hingga November.

Unit Pengurusan Bencana Negeri menjangka fenomena itu melanda Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam pada 17 hingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November.

Susulan itu, penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan tidak melakukan aktiviti di pesisiran pantai sebagai langkah berjaga-jaga.

Categories
ADN SELANGOR

ADN: Persiapan rapi hadapi gelombang kedua air pasang besar

SHAH ALAM, 25 SEPT: Persiapan rapi dibuat bagi menghadapi gelombang kedua fenomena air pasang yang dijangka berlaku pertengahan Oktober ini, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib.

Hasnul Baharuddin berkata langkah awal yang diambil adalah memastikan kelengkapan di pusat pemindahan mencukupi selain meningkatkan kerjasama bersama agensi keselamatan.

“Persiapan dibuat di beberapa kawasan pemindahan seperti di Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang dan Dewan Orang Ramai Sri Kundang selain pemantauan bersama agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bagi memastikan keadaan terkawal,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan fenomena pertama yang berlaku pertengahan bulan ini hanya merosakkan beberapa tembok penahan ombak seperti di Pantai Morib dengan kerosakan dibawah 10 meter.

Fenomena air pasang besar kedua dijangka berlaku pada 17 hingga 19 Oktober dengan ketinggian aras air sekitar 5.7 hingga 5.8 meter.

Data ramalan Pusat Hidrografi Nasional menjangka fenomena kali ini tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

Berikut senarai pusat pemindahan dan nombor perhubungan bilik gerakan daerah:

1)Sepang (03-8706 4613)
Pusat pemindahan: Maahad Integrasi Tahfiz Selangor

2)Kuala Langat (03-3182 2565)
Pusat pemindahan: Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang dan Dewan Orang Ramai Sri Kundang

3)Klang (03-3371 6700)
Pusat pemindahan: Dewan Serbaguna Kampung Sungai Serdang, SRA Kampung Batu 4 Jalan Kapar, Dewan Kompleks Sukan Pandamaran dan Dewan Serbaguna MPK Pelabuhan Klang

4)Kuala Selangor (03-2289 7632 / 03-2289 6225 (APM)
Pusat pemindahan: Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang, Dewan SRJK(C) Pasir Penambang, SMK Seri Tanjong, SK Pasangan, SK Asam Jawa, Balai raya JKKK Kampung Pasir Tuntong, Dewan Orang Ramai Jeram, Balai JKKK Kampung Sugai Sembilang, Dewan Orang Ramai Sungai Buloh dan SK Tambak Jawa

5)Sabak Bernam (03-3224 7058 / 03-3224 1749 (APM)
Pusat pemindahan: Dewan Sri Sekinchan, Dewan Sri Bernam, Dewan Parit Baru dan Dewan Sri Nakhoda, Bagan Nakhoda Omar

6)Unit Pengurusan Bencana Negeri (03-5544 7324 / 03-5521 2440)

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Ban pecah dan rosak dibaiki, kawal limpahan air pasang besar bulan depan

SHAH ALAM, 21 SEPT: Ban rosak dan pecah pada hujung minggu lalu akibat air pasang besar akan dibaiki sebagai persediaan menghadapi fenomena sama bulan depan.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor berkata senarai kerosakan akan diserahkan kepada bahagian teknikal untuk tindakan lanjut.

“Kawasan air melimpah akan terus dikawal. Kita jangkakan paras ais pasang pada Oktober nanti lebih tinggi iaitu 5.8 meter berbanding bulan ini di paras 5.7 meter.

“Kejadian kali ini masih dapat dikawal kerana persediaan awal dibuat selepas ramalan. Pusat pemindahan sementara tetap disediakan namun tiada mangsa ditempatkan,” kata Ahmad Fairuz Mohd Yusof kepada SelangorKini hari ini.

Beliau menjelaskan kawasan sekitar Klang, Kuala Langat dan Kuala Selangor difokuskan bulan depan kerana paras air tinggi dijangka berlaku di situ.

Fenomena berkenaan berlaku antara jam 5 hingga 8 pagi Sabtu dan Ahad lalu serta dijangka berlarutan pada 17 hingga 19 Oktober dan 15 hingga 16 November.

Pusat Hidrografi Nasional menjangka paras air laut di sekitar Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam berada pada tahap maksimum iaitu 5.8 meter.

Categories
ADN SELANGOR

MPK, JPS diminta kaji semula kawasan saliran elak limpahan banjir

SHAH ALAM, 21 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta mengkaji semula kawasan saliran longkang dan sungai di Pelabuhan Klang bagi mengelak limpahan banjir jika berlaku fenomena air pasang besar.

Ahli Dewan Negerinya Azmizam Zaman Huri berkata insiden ban pecah di beberapa lokasi berikutan fenomena itu semalam menyebabkan air laut melimpah dan menjejaskan penempatan berhampiran.

“Dua kawasan ban pecah tersebut adalah di Kampung Pendamar dan Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang.

Limpahan air laut susulan fenomena air pasang besar di Pelabuhan Klang pada 20 September 2020. Foto Pusat Khidmat Rakyat Pelabuhan Klang

“Manakala di Taman Selat Damai Pelabuhan Klang pula, terdapat beberapa kawasan menjadi laluan air masuk yang mengakibatkan air laut melimpah di sebahagian kawasan kejiranan di sana,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau menambah pihaknya menghubungi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan untuk membaiki ban pecah serta menambah baik fasiliti sedia ada bagi mengelak kejadian sama berulang.

Menurutnya, MPK melalui Jabatan Kejuruteraan turut menghantar jentera bagi membaiki kerosakan ban di Taman Teluk Gedung Indah sebagai usaha jangka pendek menutup rekahan dan lubang pecah.