Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

AirAsia Group rugi RM803.85 juta suku pertama 2020

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Pandemik Covid-19 menjejaskan prestasi kewangan AirAsia Group Bhd, menyebabkan kumpulan syarikat penerbangan itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM803.85 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2020, berbanding keuntungan bersih sebanyak RM96.09 juta pada suku tahun sama tahun lepas.

Perolehan merosot kepada RM2.31 bilion daripada RM2.73 bilion sebelum ini.

“Kebimbangan mengenai penularan virus tersebut, serta sekatan perjalanan dan kawalan sempadan yang diumumkan oleh kerajaan pelbagai negara menyebabkan permintaan terhadap perjalanan udara merosot pada Februari dan Mac 2020,” menurut kumpulan syarikat penerbangan tambang rendah itu kepada Bursa Malaysia hari ini.

Walaupun industri penerbangan menghadapi cabaran yang besar dengan kapasiti dan pengurusan kos yang proaktif selain prestasi kukuh daripada perniagaan bukan syarikat penerbangan, AirAsia Group mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang pulang modal.

Bagi perniagaan syarikat penerbangan, jumlah perolehan kumpulan pada suku pertama 2020 susut 18 peratus kepada RM2.16 bilion tahun ke tahun dengan sekatan perjalanan yang meningkat dan tidak pernah berlaku sebelum ini berikutan Covid-19.

Kumpulan memberi respons proaktif dengan pengurusan kapasiti, menunjukkan keputusan dengan suku pertama 2020 melaporkan faktor muatan yang baik sebanyak 77 peratus.

Pengurangan kapasiti sebahagian besarnya dari Malaysia dan Filipina, masing-masing sebanyak 17 peratus dan 1.0 peratus berikutan laluan domestik dan antarabangsa ditangguhkan pada pertengahan Mac.

Indonesia, bagaimanapun, meningkatkan kapasitinya sebanyak 10 peratus dengan mengatur lebihan kapasiti laluan antarabangsa kepada pasaran domestik.

Sementara itu, segmen bukan syarikat penerbangan menyaksikan Teleport mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 49 peratus kepada RM150.4 juta berikutan ia berjaya menyelesaikan penggabungan kargo dalam syarikat operasi syarikat penerbangan Asean kumpulan itu.

Big Pay mencatatkan pertumbuhan perolehan sebanyak 161 peratus berikutan ia mendapat tarikan dengan pengembangan koridor pengiriman wang termasuk India, Bangladesh dan Nepal, manakala perolehan AirAsia.com naik 118 peratus berikutan ia melancarkan tawaran baharu, promosi, pakej penerbangan dan hotel.

Saham syarikat penerbangan itu di Bursa Malaysia digantung pagi ini. Ia kali terakhir diniagakan pada 85.5 sen.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

AirAsia jual 41,000 tempat duduk, tertinggi dalam sehari

KUALA LUMPUR, 24 JUN: AirAsia mencatat jualan harian tertinggi sebanyak 41,000 tempat duduk bagi seluruh kumpulan itu semalam, selepas tempoh hibernasi yang disifatkan sebagai menandakan permintaan tinggi bagi perjalanan udara.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd Tan Sri Tony Fernandes berkata laman sesawang syarikat penerbangan tambang rendah itu turut menyaksikan peningkatan trafik sebanyak 170 peratus.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata tempahan destinasi paling popular bagi Malaysia adalah Kota Kinabalu dan Kuching ke Kuala Lumpur manakala Thailand melibatkan laluan Bangkok ke Chiang Mai dan Hat Yai.

Destinasi popular untuk Filipina termasuk Manila ke Puerto Princesa dan Davao, India meliputi Delhi ke Srinagar dan Bengaluru ke Hyderabad manakala Indonesia membabitkan laluan Jakarta ke Denpasar dan Medan.

Selain itu, purata muatan penumpang bagi kumpulan AirAsia adalah sebanyak 50 peratus dengan AirAsia Malaysia mencecah 70 peratus – tertinggi bagi aspek itu untuk tempoh pasca-hibernasi.

“Perkembangan positif itu menjadikan kami lebih bersemangat dan menjangkakan permintaan ini akan berterusan.

“Kami merancang untuk meningkatkan kekerapan penerbangan sebanyak 50 peratus daripada operasi sebelum Covid-19 dan tidak sabar untuk ke semua laluan domestik pada minggu-minggu akan datang bagi menampung peningkatan permintaan,” katanya.

Pada masa ini, AirAsia mengendalikan 152 penerbangan harian di serata rantau ini.

Beliau berkata syarikat penerbangan itu juga berharap untuk melihat pembukaan semula sempadan antarabangsa yang jelas menunjukkan kepentingan pengangkutan udara bagi memulakan serta memulihkan aktiviti-aktiviti ekonomi di peringkat global.

Fernandes berkata syarikat itu akan turut memperluaskan Pas Tanpa Had AirAsia ke pasaran lain tidak lama lagi susulan sambutannya yang memberangsangkan di Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PELANCONGAN

AirAsia tambah penerbangan ke destinasi popular PKPP

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Bhd akan menambah kekerapan penerbangannya bagi laluan destinasi pilihan ramai ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk Langkawi, Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Riad Asmat berkata ini meliputi laluan Kuala Lumpur ke Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu serta dari Johor Bahru ke Kuching dan Pulau Pinang.

Bagaimana pun, jumlah sebenar penerbangan tambahan bagi Julai akan diumumkan kemudian, katanya kepada Bernama.

“Kami menyaksikan permintaan yang menggalakkan bagi pengembaraan domestik sejak menyambung semula operasi penerbangan.

“Oleh itu, kami akan terus memantau permintaan itu dan diharapkan dapat beransur-ansur meningkatkan kekerapan penerbangan dari hab lain seperti Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang di masa depan,” katanya.

Destinasi domestik lain AirAsia adalah Alor Setar, Ipoh, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Miri, Bintulu, Sibu, Sandakan, Tawau serta Labuan.

Mengulas langkah-langkah keselamatan dalam pesawat, Riad berkata adalah penting bagi AirAsia untuk terus mendidik pengembara mengenai penerbangan selamat dalam usaha membina semula keyakinan bagi melakukan semula perjalanan udara.

Sehubungan itu, syarikat itu telah melaksanakan pelbagai langkah menerusi fasa berbeza seperti pemeriksaan suhu badan, mensyaratkan bagasi tangan yang terhad, penggunaan penutup hidung dan mulut, prosedur tanpa sentuh bagi semua peringkat, standard kebersihan sewajarnya dan latihan perubatan dalam pesawat untuk anak-anak kapal.

Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), bukti bahawa risiko penyebaran Covid-19 di dalam pesawat juga amat rendah kerana dilengkapi ciri-ciri yang mengurangkan kemungkinan tersebut.

Penumpang juga berada di tempat duduk yang menjadi halangan kukuh manakala aliran udara dalam kabin ditapis sepenuhnya dengan proses sama diulangi setiap 2-3 minit menggunakan tapisan udara partikel keberkesanan tinggi (HEPA).

Ini disertakan dengan pendekatan keselamatan bio berperingkat yang meliputi keseluruhan perjalanan penumpang yang dapat meminimumkan lagi kebolehjangkitan dalam pesawat.

“Menerusi penerangan berterusan yang disalurkan kepada penumpang, kami percaya ini dapat membantu membina keyakinan untuk mereka kembali melakukan perjalanan udara ini,” katanya.

Menyentuh destinasi antarabangsa, Riad berkata AirAsia akan memulakan semula operasi itu sebaik keadaan pulih dan kerajaan bertindak menarik balik sekatan perjalanan serta sempadan.

Ditanya mengenai tumpuan AirAsia bagi tempoh enam bulan akan datang, beliau berkata penerbangan itu akan meneruskan usaha untuk mempelbagaikan asas hasil pendapatannya termasuk melaksanakan pendekatan lebih agresif namun mesra pasaran bagi mengembangkan perniagaan digital dan sampingannya seperti Santan, Teleport dan BigPay.

Selain itu, AirAsia juga akan turut memberi tumpuan menyokong inisiatif kerajaan bagi mempromosikan pelancongan tempatan secara bersama, katanya.

AirAsia, yang diumumkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia bagi kali ke-11 berturut-turut di Skytrax World Airline Awards 2019 baru-baru ini, turut memperluaskan jualan Pas Tanpa Had Cuti-Cuti Malaysia Tanpa Had yang ternyata mendapat sambutan luar biasa.

Malah, sejak dilancarkan pada 11 Jun lepas, lebih 40,000 penerbangan mendapat penebusan ganjaran itu dengan yang pertama dicapai hanya selepas tujuh minit pas itu mula dijual.

Pada Khamis lepas, AirAsia mengumumkan kerjasamanya dengan hotel-hotel tempatan bagi menawarkan jaminan harga terbaik dengan penjimatan lebih besar menerusi SNAP – platform kombinasi tempahan penerbangan dan hotel.

SNAP turut memanfaatkan rangkaian AirAsia yang luas di lebih 160 destinasi dengan sebahagian besarnya adalah laluan unik dan eksklusif untuk memberikan harga penerbangan terbaik.

Pada masa sama, ia turut menjalin kerjasama langsung dengan hotel-hotel tempatan bagi menawarkan nilai terbaik membabitkan harga bilik penginapan terbabit.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

AirAsia tawar kecuali caj tukar penerbangan

KUALA LUMPUR, 3 JUN: AirAsia mengumumkan bahawa ia mengecualikan caj pertukaran penerbangan untuk sebarang tempahan baharu dilakukan antara 3 Jun dan 31 Oktober, 2020.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata pilihan itu disediakan untuk tempahan dalam talian di airasia.com untuk penerbangan domestik di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan India.

“Penumpang boleh membuat perubahan tarikh penerbangan dalam jumlah yang tidak terhad melalui tab ‘Tempahan Saya’ di airasia.com atau aplikasi mudah alih AirAsia, dan boleh menempah semula penerbangan mereka untuk perjalanan sehingga 31 Disember 2020, bergantung pada ketersediaan tempat duduk dan perbezaan tambang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kumpulan AirAsia (Penerbangan), Bo Lingam berkata susulan keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini berkaitan dengan keadaan kesihatan awam semasa dan sekatan perjalanan, pelan perjalanan mungkin berjalan lancar sepanjang tahun ini.

Syarikat penerbangan itu berkata perubahan tarikh dan waktu penerbangan hanya sah sehingga 48 jam sebelum waktu berlepas yang asal dan hingga empat jam untuk AirAsia India.

Untuk maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh melayari https://www.airasia.com/aa/campaign/en/gb/no-flight-change-fee.html.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

AirAsia laksana prosedur tanpa sentuhan

KUALA LUMPUR, 13 MEI: AirAsia Group Bhd akan melaksanakan beberapa prosedur tanpa sentuhan bagi perjalanan penting selain mengemas kini ciri-ciri baharu pada aplikasi mudah alihnya untuk memastikan perjalanan yang lancar dan selamat kepada penumpang.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata ia telah menyediakan sistem pilihan pembayaran tanpa sentuhan secara Wave seperti AliPay dan WeChat Pay di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan akan diperkenalkan di lapangan terbang lain secara berperingkat.

Bagi memastikan proses daftar masuk tanpa sentuhan sepenuhnya, AirAsia berkata kiosk tanpa sentuhan boleh didapati di semua lapangan terbang yang beroperasi di seluruh Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia dan Jepun mulai hari ini, di mana tetamu boleh mencetak pas masuk dan tag bagasi setelah mendaftar masuk secara dalam talian di airasia.com atau melalui aplikasi mudah alih.

Menurut kumpulan itu, Sistem Penyelarasan Penumpang (PRS) membolehkan tetamu mengimbas pas masuk mereka dan menurutnya sistem itu turut disediakan di klia2 sebelum diikuti oleh lapangan terbang lain di Malaysia di mana AirAsia beroperasi.

AirAsia berkata ia juga telah mendigitalkan proses menaiki penerbangan dengan mengimbas semua pas masuk di pintu pelepasan dan tidak lagi mengambil pas masuk fizikal.

“Aplikasi mudah alih AirAsia pula akan dikemas kini pada bulan ini dengan ciri-ciri baharu di mana para tetamu boleh mengimbas pasport mereka melalui aplikasi tersebut, seterusnya memudahkan pengalaman pengguna dan melancarkan proses daftar masuk tanpa sentuhan.

“Terdapat juga cadangan untuk menambah ciri-ciri lain seperti imbasan visa perjalanan dalam masa terdekat,” kata syarikat penerbangan itu.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan AirAsia Javed Malik berkata selain langkah keselamatan ketat di lapangan terbang seperti penanda penjarakan sosial dan Allstars yang memakai peralatan perlindungan diri, prosedur tanpa sentuhan itu akan memberikan pengalaman lebih selamat, cekap dan tanpa sentuhan kepada tetamu.

“Keselamatan tetamu dan Allstars adalah keutamaan kami dan prosedur tambahan ini adalah bukti komitmen berterusan kami untuk memastikan keselamatan perjalanan dalam persekitaran normal baharu bagi perjalanan udara, ” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pesawat bawa pulang rakyat Malaysia dari Iran tiba di KLIA

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Pesawat khas yang membawa rakyat Malaysia dari Tehran, Iran, satu daripada negara yang terjejas teruk dengan wabak Covid-19, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang awal pagi ini.

Pesawat AirAsia disewa khusus untuk Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang digerakkan oleh kerajaan Malaysia tiba pada 6.35 pagi, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Laporan terdahulu menyatakan seramai 46 individu termasuk 10 kanak-kanak, yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Tehran akan dibawa pulang dalam penerbangan khas.

Mereka yang dibawa pulang akan melalui proses saringan kesihatan di Unit Kecemasan Udara di KLIA, sama seperti dua misi HADR dari Wuhan, China pada Februari lalu.

Semalam, Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata pesawat AirAsia berlepas ke Tehran untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Iran hasil perbincangan peringkat tertinggi antara kerajaan negara terlibat dalam semangat kerjasama Asean.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Taufan: AirAsia batal beberapa penerbangan ke Filipina

KUALA LUMPUR, 2 DIS: AirAsia membatalkan dan menjadualkan beberapa penerbangan dari Filipina bermula hari ini sehingga Rabu termasuk laluan Kuala Lumpur-Manila, susulan Taufan Kammuri.

AirAsia dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelanggan yang melakukan perjalanan dalam beberapa hari akan datang digalakkan memeriksa status penerbangan mereka di airasia.com/flightstatus untuk mendapatkan maklumat terkini.

Syarikat penerbangan itu berkata, semua pelanggan yang terjejas telah dimaklumkan melalui e-mel dan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).

AirAsia berkata, pelanggan yang penerbangannya dibatalkan atau ditangguhkan melebihi tiga jam boleh menukar masa perjalanan yang baharu, mengekalkan nilai tambang mereka dalam akaun kredit AirAsia BIG Loyalty untuk perjalanan masa depan dengan AirAsia atau menrima bayaran balik sepenuhnya.

“Menukarkan penerbangan mereka ke satu tempoh perjalanan baharu di laluan yang sama dalam masa 30 hari dari tarikh penerbangan asal tanpa tambahan kos dan tertakluk kepada kekosongan tempat duduk atau mengekalkan nilai tambang dalam akaun kredit bagi perjalanan akan datang dengan AirAsia; atau dapatkan bayaran balik dalam jumlah yang sama dengan nilai tempahan,” kata syarikat penerbangan itu.

Credit Account dalam talian boleh ditebus dalam masa 90 hari dari tarikh dikeluarkan.

Pelanggan juga boleh membuat perubahan tempahan secara dalam talian di airasia.com dengan menekan pada ikon AVA di bahagian bawah sebelah kanan skrin.

Syarikat penerbangan itu berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan dan sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan.

Selain itu, penumpang juga boleh mendapatkan maklumat lanjut dan bantuan dengan menghubungi pasukan sokongan pelanggan di Twitter (@AirAsiaSupport) atau di support.airasia.com.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

AirAsia menang anugerah syarikat penerbangan tambang rendah

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, dipilih sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Utama dan Krew Kabin Utama Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Asia pada Anugerah Perjalanan Dunia Asia dan Oceania 2019.

AirAsia dalam kenyataan hari ini berkata syarikat penerbangan itu mengatasi penggiat serantau lain seperti Scoot, Jetstar, SpiceJet, Nok Air dan Firefly.

Ia berkata kemenangan itu meneruskan kejayaan berturut-turut syarikat penerbangan berkenaan pada majlis anugerah yang sudah memasuki edisi ketujuh.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

AirAsia minta MAHB kaji semula sistem operasi lapangan terbang

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Sistem pengoperasian di terminal utama di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan klia2, yang baru-baru ini terganggu hampir empat hari dan menyebabkan kelewatan puluhan penerbangan, perlu dikaji semula atau digantikan dengan yang lebih baik.

Semasa membuat gesaan itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknologi dan Digital) Kumpulan AirAsia, Aireen Omar berkata sistem itu, yang beliau anggap “sudah berusia dan amat mahal” patut dinaik taraf dengan segera untuk membolehkan syarikat penerbangan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan mereka dan juga negara.

Beliau berkata, syarikat penerbangan itu sebelum ini telah mencadangkan supaya sistemnya yang didakwanya kurang mahal dan “jauh lebih kompeten daripada yang digunakan ketika ini di semua lapangan terbang di Malaysia”, tetapi telah ditolak oleh pengendali lapangan terbang itu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mula beransur pulih selepas mengalami gangguan sistem sejak 22 Mac lalu. – foto BERNAMA

“Mereka (MAHB) minta kami menggunakan sistem mereka dan kami tahu sistem mereka adalah “‘kurang kompeten’’ tetapi mereka memaksa kami menggunakan sistem mereka.

“Jadi saya fikir bahawa (gangguan baru-baru ini) menunjukkan MAHB benar-benar perlu lakukan sesuatu dan mendengar pandangan pelanggan mereka supaya mereka boleh memberikan perkhidmatan lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen penukaran mata dua hala AirAsia BIG dan Petronas Mesra di sini, hari ini.

Gangguan sistem berkenaan telah menjejaskan beberapa sistem di lapangan terbang seperti rangkaian WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan, kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi.

Keadaan terminal lapangan terbang KLIA yang sesak akibat mengalami gangguan sistem pada 22 Ogos 2019. Foto BERNAMA

Pada Isnin, MAHB berkata ia tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian itu disebabkan oleh perbuatan berniat jahat.

Awal hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa MAHB menyiasat punca sebenar kegagalan itu, sambil menegaskan ia tidak sepatutnya berlaku kerana sistem yang sama digunakan di lapangan terbang lain di dalam negara.

Dilaporkan, MAHB membuat laporan polis hari ini berhubung gangguan itu dan disahkan oleh Ketua Polis Daerah KLIA ACP Zulkifli Adamsah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

AirAsia mansuh bayaran pemprosesan mulai Oktober

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia akan memansuhkan bayaran pemprosesan bagi pelanggan yang membuat bayaran sama ada melalui perbankan dalam talian dan kad kredit mulai Oktober depan.

“Kami (akan) masih mempunyai beberapa caj untuk memacu trafik kepada kaedah lebih murah, lebih selamat dan kurang penipuan. Tetapi akan terdapat juga kaedah tanpa sebarang bayaran,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Tony Fernandes hari ini.

Beliau mengumumkan perkara itu dalam catatan di twitter melalui dua hashtag, iaitu #technologyrules dan #makingairfaresaffordable.

Bayaran pemprosesan AirAsia bermula pada kadar RM4 jika anda menggunakan debit terus dan boleh meningkat sehingga RM16 dengan UnionPay.

Bagaimanapun, jika pelanggan memilih untuk membuat pembayaran menggunakan aplikasi e-dompet AirAsia iaitu BigPay, tiada bayaran pemprosesan yang terbabit.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penggunaan ruang AirAsia dijangka meningkat

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Group, menyasarkan penggunaan ruang dalam perniagaan kargo dan logistiknya, yang kini kurang digunakan, meningkat lima peratus susulan perkongsian baharu dengan Gobi Partners dan EasyParcel.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pada masa ini, syarikat penerbangan itu hanya menggunakan 15 peratus daripada 60 peratus ruang yang diperuntukkan untuk kargo dan logistik manakala baki 40-50 peratus adalah untuk bagasi.

“Saya percaya kita boleh menjadikan perniagaan logistik dan kargo sebesar segmen penumpang. Potensi perniagaan ini sangat luas,” katanya ketika mengumumkan perkongsian itu, di sini hari ini.

Teleport, landasan kargo dan logistik yang dijenamakan semula AirAsia, dan syarikat modal teroka Gobi Partners, melabur US$10.6 juta dalam e-dagang serantau dan syarikat penghantaran bungkusan, EasyParcel.

EasyParcel, yang mempunyai hampir setengah juta pengguna, akan menggunakan pembiayaan Siri B untuk memperluas penawarannya kepada pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menerusi perkongsian itu, EasyParcel akan memanfaatkan keupayaan logistik dan infrastruktur Teleport yang meliputi lebih 100 bandar raya, 10,000 penerbangan AirAsia setiap minggu dan 1,000,000 tan kapasiti kargo.

CEO Teleport Pete Chareonwongsak berkata syarikat itu mahu menggandakan pendapatan dalam tempoh 12 bulan akan datang daripada RM400 juta yang diperoleh tahun lepas.

“Teleport akan mengubah ekosistem logistik dan e-dagang, menjadikannya lebih mudah kepada orang, ramai terutama PKS, untuk memindahkan barangan dari A ke B.

“Menerusi kepakaran operasi kami pelaburan ini akan membolehkan kami mempercepat akses logistik untuk PKS, dan pada masa yang sama menggalakkan lebih banyak kerjasama dengan komuniti pemula niaga logistik wilayah,” katanya.

Turut hadir, Pengasas dan CEO EasyParce Clarence Leong dan Pengarah Urusan Gobi Partners, Jamaludin Bujang.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

AirAsia sedia tambah kekerapan penerbangan KL-Langkawi

LANGKAWI, 15 MEI: AirAsia bersedia menambah kekerapan penerbangan mingguan Kuala Lumpur (KL)-Langkawi daripada 63 kepada 80 penerbangan tahun ini untuk memenuhi permintaan yang meningkat, menurut Pengurus Pemasaran Kanan Bahagian Komersial, Shirley Tan.

“Kami menyaksikan pertumbuhan yang kukuh dari segi kedatangan pelancong ke Langkawi dan bercadang meningkatkan kekerapan penerbangan dari KL ke Langkawi,” katanya kepada Bernama selepas Sesi Libat Urus Pelancongan bersama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan syarikat penerbangan di sini, hari ini.

Sesi itu dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi dengan kerjasama MAHB dan syarikat-syarikat penerbangan lain untuk berkongsi pandangan mengenai Dana Promosi Pelancongan Antarabangsa Langkawi.

Tan berkata tarikan alam semula jadi yang terdapat di Langkawi menjadi faktor ia menjadi destinasi tumpuan pelancong.

“Ia merupakan lokasi yang paling menarik bagi pelancongan. Inilah faktor syarikat penerbangan seperti kami mahu menjalin kerjasama bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke pulau ini,” katanya.

-BERNAMA