Categories
AGENDA SUKANKINI

Buru slot tambahan Sukan Olimpik Tokyo 2020 – Azizulhasni

NILAI, 14 FEB: Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Berlin, Jerman, pada 26 Februari hingga 1 Mac ini menjadi platform bagi skuad negara meraih satu lagi slot tambahan dalam acara keirin dan pecut individu pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Jaguh trek negara, Mohd Azizulhasni Awang berkata justeru dalam usaha meraih sasaran itu, beliau serta Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Mohd Zonis perlu berada di kedudukan enam terbaik secara keseluruhan dalam acara pecut pada kejohan tersebut.

“Fokus pada kejohanan dunia adalah untuk mendapatkan satu lagi slot dalam acara pecut supaya di Olimpik Tokyo nanti kita dapat sekurang-kurangnya dua individu bersaing dalam acara keirin dan pecut,” katanya pada sidang media mengenai persiapan skuad trek negara ke Berlin, di sini, semalam.

Selain sasaran berada di pentas podium, katanya, beliau akan menggunakan kejohanan itu untuk melakukan sebarang pelarasan sebelum menghadapi Sukan Olimpik 2020.

Mengenai persiapannya menjelang kejohanan trek dunia itu, Azizulhasni berkata meskipun hanya 90 peratus pulih selepas terbabit dalam kemalangan pada siri Piala Dunia di Brisbane, Australia, Disember lalu, namun persiapan tetap diteruskan.

“Bahu saya masih sakit kalau latihan di gimnasium atau berkayuh di atas ‘roller’ tetapi kayuhan di gelanggang tidaklah menjejaskan, tetapi secara keseluruhannya persiapan sudah mantap,” katanya.

Pada kejohanan trek dunia, Azizulhasni akan bersaing dalam acara keirin, Fadhil dalam acara 1 kilometer ujian masa dan ketiga-tiga pelumba negara itu turut mengambil bahagian dalam acara pecut.

Sukan Olimpik 2020 di Tokyo dijadual bermula 22 Julai hingga 9 Ogos ini.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Selangor beri insentif RM929,200 kepada atlet SUKMA, Sukan Asia dan Para Asia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 JAN: Kerajaan Negeri memberikan insentif sebanyak RM929,200 kepada atlet negeri itu yang berjaya melakar kejayaan dalam Sukan Malaysia (SUKMA), Sukan Asia dan Para Asia 2018.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, insentif itu diberikan tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada atlet yang mengharumkan nama Selangor dalam pertandingan sukan yang disertai.

Katanya, Kerajaan Negeri amat prihatin dengan usaha dan sumbangan yang diberikan atlet, pegawai pasukan dan persatuan sukan negeri di tiga kejohanan sukan utama itu.

“Pasukan sukan yang menerima insentif tertinggi adalah renang yang beraksi cemerlang di SUKMA Perak dengan memenangi 12 emas, 16 perak dan 15 gangsa, sekali gus menerima insentif terbesar sebanyak RM194,000,” katanya pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Kontinjen Selangor, di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini, hari ini.

Khairuddin berkata, sebanyak RM831,200 diberikan kepada atlet SUKMA; RM55,000 kepada atlet Sukan Asia Jakarta-Palembang dan RM43,000 kepada atlet Sukan PARA Asia, Indonesia daripada jumlah keseluruhan insentif itu.

“Kerajaan Negeri berbesar hati untuk mengiktiraf dan menghargai kecemerlangan atlet yang mewakili negara di Sukan Asia Jakarta-Palembang dan Sukan Para Asia.

“Seramai 16 atlet berjaya mengharumkan nama Malaysia, di bumi Indonesia. Mereka daripada atlet sukan tenpin bowling, sepak takraw, pencak silat, skuasy, terjun, basikal, sukan layar dan renang,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri komited untuk menggalakkan pembangunan sukan secara menyeluruh menerusi pelbagai usaha yang dilaksanakan Majlis Sukan Negeri Selangor.

“Seperti kejayaan ketiga kejohanan ini, segala program dan latihan yang diwujudkan daripada akar umbi membantu dalam pembangunan atlet sekali gus, menyumbang kepada kejayaan yang dicapai tahun lalu,” katanya.

Antara senarai penerima insentif tertinggi secara individu adalah atlet berbasikal Sukan Para Asia., Mohd Najib Turano, sebanyak RM19,000 manakala atlet renang, Jordan Yip Zhu Ern, daripada SUKMA menerima RM14,000.

Selain itu bagi Sukan Asia, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (tenpin bowling) serta Farhan Adam (sepak takraw) masing-masing menerima insentif RM8,000.

Pada kejohanan SUKMA Perak September lalu, kontinjen Selangor berjaya menduduki tempat ketiga dengan memperoleh kutipan pingat 47 emas, 69 perak dan 67 gangsa.

Manakala, bagi Sukan Asia, atlet Selangor berjaya meraih tiga emas, enam perak dan dua gangsa.

Sementara itu, bagi Sukan Para Asia, atlet negeri itu membawa pulang pingat perak (tiga) dan gangsa (lima).

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Kerajaan Negeri sedia ganding bahu pasti kebajikan atlet terjaga

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 JAN : Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan dalam memastikan kebajikan atlet terjaga sebaiknya.

  EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Kerajaan Negeri sentiasa melihat kebajikan atlet Selangor sebagai keutamaan.

“Antara langkah awal, saya akan mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Belia dan Sukan bagi membincangkan beberapa isu termasuk membabitkan isu kebajikan atlet.

“Di peringkat negeri, pada masa ini hubungan dengan atlet berjalan baik tanpa sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, katanya, Majlis Sukan Negeri kini sedang membuat persiapan akhir untuk mengadakan majlis penyerahan insentif kemenangan kepada kontinjen Selangor.

Serahan insentif itu membabitkan atlet yang mengharumkan nama negeri dalam beberapa sukan antaranya Sukan Malaysia 2018, Sukan Asia dan Para Asia 2018, pada 29 Januari ini.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Hargai sokongan Sultan Selangor, Kerajaan Negeri

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 12 SEPT: Pemberian insentif Kerajaan Negeri kepada atlet Selangor atas kejayaan menyumbang pingat untuk kejuaraan negara dalam Sukan Sea 2017 disifat mereka sebagai pembakar semangat untuk terus mencipta kegemilangan pada masa depan.

Atlet berkaitan turut melahirkan penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang berkenan mencemar duli menyampaikan kepada mereka dalam Majlis Penyerahan Insentif kepada atlet dan jurulatih Selangor mewakili negara dalam kejohanan itu.

Seramai 99 atlet dan sembilan jurulatih menerima insentif berjumlah RM540,000 disediakan Kerajaan Negeri apabila setiap atlet memperoleh emas menerima RM5,000 manakala pingat perak (RM3,000) dan gangsa (RM2,000).

“Terima kasih dan pastinya insentif ini memberi galakan kepada saya juga atlet lain untuk terus berusaha mencatat lebih kejayaan pada masa akan datang.

Farah Ann“Sukan Sea kali ini yang ketiga dan kejayaan ini dianggap terbaik kerana dicatat di tempat sendiri biarpun turut meraih dua emas dalam temasya sama dua tahun lalu di Singapura,” kata atlet gimnastik artistik, Farah Ann Abdul Hadi, 23, yang mendapat RM10,000 untuk dua pingat emas bagi acara berpasukan wanita dan senaman lantai.

Katanya, ia adalah Sukan Sea yang ketiga baginya serta disifatkan sebagai pencapaian terbaik kerana kejayaan dicatat di negara sendiri.

Atlet pencak silat, Muhammad Faizul M Nasir, 29, turut menyifatkan kejayaan menggondol enas dalam kelas B Putra sebagai yang terbaik kerana mengulangi pencapaian di Sukan Sea 2015 di Singapura.

“Insentif ini akan memberi galakan kepada atlet dan pencapaian saya ini dapat diraikan bersama semua yang membantu termasuk isteri saya.

“Semoga kejayaan ini melonjak semangat saya untuk persediaan ke Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia,” katanya yang mendapat insentif RM5,000.

INSENTIF SUKAN SEA (2)Sementara Chew Yiwei, 22, yang menyertai sukan akuatik, mendapat insentif RM8,000 untuk satu pingat emas (3 meter papan anjal) dan satu perak (10 meter platform) di Sukan Sea, berterima kasih dengan penghargaan diberikan itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua khususnya Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor yang menyokong untuk kejayaan saya dalam temasya sukan dwitahunan ini.

“Saya sudah memulakan latihan dan akan melipatgandakan usaha untuk kejohanan akan datang termasuk ke Sukan Komanwel 2018 di Australia,” katanya yang menyertai Sukan Sea buat kali ketiga tahun ini.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Atlet sukan orang pekak terus bangkit

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 JAN: Pengalaman membimbing skuad bola sepak orang pekak Malaysia memberikan kenangan manis buat bekas pemain Selangor, Azlan Johar walaupun terpaksa memberikan sepenuh perhatian kepada mereka.

azlan-joharKatanya, walaupun ada kala menguji kesabaran belia, namun komitmen yang diberikan sangat dikagumi.

“Saya terpaksa memberikan penerangan dan demonstrasi berulang kali serta penjelasan yang panjang dalam mengurukan pasukan orang pekak.

“Saya mengagumi cara mereka menghormati walaupun satu ketika dahulu tidak diberikan pendedahan luas,” katanya.

Menyingkap pengalaman beliau dalam satu temuramah esklusif bersama SelangorKini bagi membincangkan perkembangan semasa bola sepak tempatan, Azlan berkata, nasib orang pekak dalam arena sukan tanah air mula diberikan perhatian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negeri (MSN).

Selaku Naib Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Selangor, beliau pernah membimbing skuad bola sepak orang pekak kebangsaan pada 2015 pada kejohanan Sukan Bola Sepak Oceania.

Kejayaan itu menyaksikan pasukan kebangsaan bakal beraksi dalam Sukan Bola Sepak Asia Orang Pekak 2017 yang bakal berlangsung di Hokkaido, Jepun.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Program Sains Sukan UNISEL lahir atlet bertaraf antarabangsa

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 15 MAC: Program Sains Sukan ditawarkan di Universiti Selangor (UNISEL) berjaya membentuk Muhammad Rauf Nur Misbah menjadi pelumba basikal yang mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Pengarah Pusat Sukan UNISEL, Dr Mohd Norazwan A Bakar, berkata kejayaan itu diperolehi berikutan kemampuan Muhammad Rauf mengaplikasikan pengetahuannya dalam bidang sukan diceburinya itu.

Unisel-Grafik“Apabila beliau mahir dalam akademi khususnya sebagai pelajar Sains Sukan, beliau dapat mengaplikasikan pengetahuannya dalam aktiviti sukan yang beliau terlibat sehingga membawa kejayaan kepada beliau,” katanya kepada SelangorKini.

Antara pencapaian Muhammad Rauf di peringkat antarabangsa termasuk mewakili negara dalam Kejohanan Tour de Korea 2013 (TdK 2013), Tour of Thailand dan banyak lagi.

Selain kejayaan Muhammad Rauf, UNISEL turut melakar kejayaan menduduki tempat ke lapan dalam Kejohanan Sukan Intitut Pengajian Tinggi (SUKIPT) awal tahun ini berbanding lebih 20 pasukan yang mengambil bahagian.

“UNISEL berusaha melahirkan atlet dalam pelbagai bidang sukan bagi mengharumkan Selangor dan Malaysia pada peringkat antarabangsa,” katanya.

EZY

Siti Farah Izzati, Cheng Feng Raih Kemenangan di Sukses ke-9

SHAH ALAM, 21 JAN : Dua atlet memanah, Hay Cheng Feng, 17 dan Siti Farah Izzati Mohd Masron, 14, muncul sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sukan Selangor (Sukses) ke-9 yang berlangsung selama 10 hari di Selangor.

Cheng Feng dan Siti Farah Izzati, yang masih bersekolah, berharap akan terus mencipta kecemerlangan dalam bidang sukan yang diceburi dan terpilih mewakili Selangor di dalam Sukma dan seterusnya Malaysia di peringkat antarabangsa.

Biarpun kontingen Hulu Langat yang mereka wakili dalam Sukses ke 9 tidak muncul juara keseluruhan tetapi kedua mereka tetap mengganggap kejayaan ini sesuatu yang membanggakan bagi kontinjen tersebut.

Ketika ditemui TVSelangor Cheng Feng berkata, Sukses kali ini memberikan cabaran hebat bagi dirinya kerana ia turut disertai peserta lain yang mampu membuat kejutan.

“Kali ini hebat sikitlah nak dapat emas semua sebab ramai pencabar tetapi saya berjaya kira baguslah,” katanya yang nyata gembira dengan kejayaan meraih empat emas dan satu perak dalam lima acara disertainya.

Cheng Feng yng terlibat dalam Sukses buat kali kedua berharap kejayaan ini akan melayakkan dirinya mewakili Selangor dalam Sukan Malaysia (Sukma) akan datang.

“Macam bertuah, gembira, bangga kerana menjalani latihan dengan gigih dan kuat,” ujarnya mengulas kejayaannya muncul Olahragawan Sukses ke 9 ini yang berlangsung dari 10 hingga 20 Januari.

Kejayaan Cheng Feng dan Siti Farah Izzati diumumkan dalam Majlis Penutup Sukses ke 9 yang berlangsung di Hotel Grand Bluewave di sini semalam.

Majlis tersebut disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibraihm yaang turut menyampaikan trofi dan hadiah iringan kepada kedua-dua Cheng Feng dan Siti Farah Izzati.

Bagi Siti Farah Izzati pula kejayaan empat emas dalam Sukses ini juga adalah pencapaian membanggakan bagi dirinya yang masih muda.

Malah kejayaan muncul sebagai Olahragawati bagi temasya sukan itu adalah satu yang membanggakan kerana ia turut disertai atlet lain yang berpotensi dan berkebolehan.

“Sebenarnya kalau boleh nak dapat lima emas tapi satu tak dapat tak apalah.

“Macam banggalah dan gembira,” katanya yang muncul Olahragawati Sukses dalam usia muda.