Categories
AGENDA SUKANKINI

Hampir 600 atlet diberi kebenaran jalani latihan pusat terkawal

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Selepas lebih dua bulan menjalani latihan secara kuarantin, atlet kebangsaan bakal menikmati sedikit kebebasan apabila ia tamat hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata hampir 600 atlet merangkumi 28 jenis sukan yang menjalani latihan secara kuarantin berikutan peningkatan kes Covid-19 pada hujung tahun lepas, kini diberi kebenaran untuk menjalani latihan pusat secara terkawal.

Beliau berkata selain tahap kecergasan, daya saing dan prestasi, kesihatan mental atlet juga harus dijaga.

“Saya rasa mereka dah tepu. Jadi saya memikirkan sudah sampai tahap (atlet) diberi kelonggaran dan saya nak ambil kesempatan ini untuk ucap tahniah kepada semua atlet dan jurulatih termasuk jurulatih luar negara semuanya komited dalam menjalani latihan secara kuarantin.

“Pada saya, komitmen yang dipamerkan ini amat disanjungi. Saya berharap dengan pelepasan ini, mereka dapat menjalani latihan seperti biasa, memandangkan status negeri Selangor pun dah tukar ke Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kadar kes Covid-19 pun dah menurun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) penganjuran Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Atlet negara menjalani latihan menerusi pendekatan kuarantin di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, Kompleks Sukan Keramat, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, Kompleks Sukan Paralimpik Kampung Pandan dan Velodrom Nilai sejak Januari.

Reezal Merican bagaimanapun mengingatkan atlet untuk terus mematuhi SOP dan norma baharu dalam menjalani latihan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Jurulatih pastikan atlet negeri cergas, berat badan kekal

SHAH ALAM, 9 FEB: Jurulatih di bawah Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor perlu mengemukakan laporan kecergasan atlet sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah eksekutifnya berkata laporan secara berkala penting untuk memastikan berat badan atlet tidak naik serta mengikut jadual pemakanan sepanjang berada di rumah.

“Jurulatih akan menyediakan laporan berserta gambar dan rakaman video atlet berlatih di rumah. Kita tidak mahu atlet mengalami kesukaran untuk menyambung semula latihan intensif yang disediakan jurulatih sebelum PKP,” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada SelangorKini.

Beliau turut mengingatkan kunci kejayaan atlet adalah disiplin tinggi dan tidak berputus asa.

Sebelum ini, MSN Selangor turut menilai indeks prestasi utama (KPI) jurulatih kendaliannya pada setiap bulan bagi mencapai sasaran ditetapkan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Rasuah dalam sukan boleh rencat pembangunan atlet

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Isu rasuah bukanlah masalah baharu di Malaysia, sebaliknya sudah menular sejak sekian lama dan jika dibiarkan berlarutan boleh merosakkan masyarakat dan meruntuhkan negara.

Pelbagai sektor sebenarnya terkait dengan isu berkenaan walaupun tindakan tegas telah diambil pihak berkuasa dalam menangani penyakit sosial itu, termasuklah dalam industri sukan yang boleh merencatkan pembangunan atlet negara sekiranya masalah tersebut tidak dibanteras sepenuhnya.

Rasuah dalam sukan bukan hanya berkaitan dengan perolehan dana persatuan dan menggunakan jawatan untuk mendapat suapan, malah mengatur perlawanan, penyalahgunaan kuasa serta proses dalam membuat sesuatu keputusan juga ditakrifkan sebagai rasuah.

Menurut laman rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Rasuah (SPRM) www.sprm.gov.my, suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah mahupun pemberian diskaun.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam jawapan bertulis kepada Bernama, bagaimanapun berkata jika dilihat daripada konteks perkembangan atlet negara, isu rasuah dalam sukan masih berada pada tahap terkawal.

Namun, KBS menegaskan langkah pembudayaan, pencegahan dan penguatkuasaan perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk memastikan ia tidak menjadi ‘barah’ kepada pembangunan sukan negara.

Menurut KBS, sebagai usaha berterusan Pesuruhjaya Sukan (PJS) berhasrat meneruskan program Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi memastikan semua badan sukan kebangsaan bebas daripada budaya tidak sihat itu dan menyebarkan lagi semangat bebas rasuah kepada semua ahli gabungannya.

Melihat kepada trend gejala rasuah dalam sukan di Malaysia, kebanyakannya melibatkan aktiviti mengatur perlawanan, yang biasanya berlaku apabila pertaruhan dalam sukan semakin berleluasa.

Misalnya, pada 2018, dua pemain badminton profesional negara Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang digantung daripada menyertai sebarang kejohanan masing-masing selama 20 dan 15 tahun oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas didapati bersalah terlibat dalam skandal mengatur perlawanan.

Selain itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendenda 17 pemain pasukan Kuala Lumpur sebanyak RM5,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan terbabit dengan skandal rasuah dan mengatur perlawanan.

Kesemua pemain terbabit hanya dikenakan denda selepas FAM mengambil kira faktor bahawa mereka menjadi ‘mangsa keadaan’ penaja yang mendesak mereka supaya terlibat dengan skandal tersebut.

Sementara itu, bekas Pesuruhjaya Sukan Dr Wirdati Mohd Radzi yang juga pengamal undang-undang, turut senada dengan KBS dan berpendapat lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk membanteras rasuah dalam sukan.

“Banyak kes (rasuah dalam sukan) yang mungkin tidak dilaporkan.

“Jadi, tidak dapat mengetahui secara tepat betapa besarnya kesan ini kerana tidak ada laporan. Persatuan tidak lapor mungkin ada banyak sebab. Jadi saya minta ahli persatuan tampil untuk membantu mengurangkan atau buang terus gejala ini dalam sukan di Malaysia.

“Apa yang membimbangkan, ia boleh menutup peluang pembangunan sukan kerana wang yang sepatutnya disalurkan kepada pembangunan sukan tidak sampai kepada atlet,” katanya ketika dihubungi Bernama, baru-baru ini.

Jelasnya, badan sukan tidak sepatutnya terlepas daripada dikenakan tindakan jika disabitkan kesalahan, dan jika kesalahan itu membabitkan persatuan, hanya ahli persatuan boleh membuat laporan kerana mereka terikat dengan perlembagaan persatuan sukan masing-masing.

Melainkan jika kesalahan yang dilakukan berkait dengan orang awam maka orang awam berhak untuk melaporkan salah laku berkenaan bersama dengan bukti yang kukuh, katanya.

Wirdati turut memaklumkan antara faktor gejala rasuah dalam sukan kurang dilaporkan disebabkan kurangnya kesedaran atau pendedahan mengenai hal tersebut dalam komuniti sukan.

“Bila kita dapat mendidik sepenuhnya khalayak sukan, insya-Allah kita akan dapat lihat perubahan. Persatuan pun kena dibantu oleh peguam atau pengamal undang-undang untuk membantu mereka bawa kes kepada pihak berwajib.

“Rasuah bukan benda main-main. Sukan juga tidak terlepas daripada akta rasuah,” kata Wirdati.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

MSN Selangor nilai prestasi jurulatih setiap bulan, pastikan capai sasaran

SHAH ALAM, 27 JAN: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menilai indeks prestasi utama (KPI) jurulatih kendaliannya pada setiap bulan bagi mencapai sasaran ditetapkan.

Pengarah eksekutifnya berkata penilaian itu untuk memastikan pengendali dilantik bertanggungjawab terhadap tugas masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohamad Nizam Marjugi menjelaskan elaun jurulatih dan atlet juga dibayar mengikut laporan kehadiran serta latihan yang dikemukakan kepada MSN pada setiap bulan.

“Kita memahami keadaan atlet yang berdepan keadaan tidak menantu susulan pembatalan SUKMA 2020 dan pelbagai kejohanan lain, namun atlet yang hebat berusaha mengekalkan prestasi pada setiap masa,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata MSN bakal menilai semula program latihan atlet susulan penundaan beberapa kejohanan berikutan kes Covid-19 yang masih tinggi.

SUKMA dan Para SUKMA 2020 Johor yang sepatutnya diadakan pada 6 hingga 14 Mac dibatalkan susulan penularan Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga.

Bagaimanapun, Johor tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 kerana negeri itu hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga pegawai Institut Sukan Negara positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Tiga pegawai Institut Sukan Negara (ISN) yang terlibat dengan kem latihan berpusat secara kuarantin didapati positif Covid-19 ketika ujian dijalankan pada 12 Jan lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN Ahmad Faedzal Md Ramli berkata kesemua individu itu diuruskan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihaknya mengambil tindakan susulan sewajarnya.

“Senarai kontak rapat juga telah dikenal pasti untuk mereka menjalani ujian saringan Covid-19 dan kini diletakkan di bawah ‘Home Surveillance Order (HSO)’. Kita juga menjalankan kerja pembersihan serta sanitasi di ibu pejabat ISN di Bukit Jalil.

“Sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap bidang perubatan, sains dan inovasi sukan, pihak ISN amat menitikberatkan aspek kesihatan, keselamatan dan kebajikan atlet serta pegawai terutama dalam menghadapi cabaran Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata 47 pegawai ISN terdiri daripada pegawai perubatan dan sains sukan telah memulakan perkhidmatan serta memantau perkembangan program latihan atlet dan jurulatih negara di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) di lima lokasi kem latihan berpusat ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) ini.

Lima venue tersebut ialah Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, Kompleks MSN Taman Keramat, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan dan Pusat Latihan Kebangsaan Perahu Layar, Langkawi.

“Skop tanggungjawab utama pasukan ISN semasa kem latihan berpusat ini turut meliputi pemantauan tahap kesihatan, khidmat rawatan awal, rujukan klinikal perubatan serta pematuhan terhadap amalan penjagaan kesihatan diri terutama dalam pengurusan ‘counter measures Covid-19’.

“Dalam aspek prestasi pula, pasukan sains sukan ISN berperanan dalam memberi khidmat kepakaran sains sukan terutama dalam aspek pemakanan sukan, suaian fizikal, psikologi sukan, fisiologi senam dan biomekanik,” katanya.

Sebelum ini, MSN mengesahkan tujuh atlet dan enam pegawai positif Covid-19 setelah kembali ke kem latihan selepas cuti Krismas dan Tahun Baharu pada 3 Jan lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Atlet kebangsaan jalani latihan sepenuh masa mulai 4 Januari

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Atlet kebangsaan akhirnya dapat menarik nafas lega apabila boleh memulakan latihan harian seperti biasa secara sepenuh masa dan bukan lagi latihan secara kuarantin, bermula Isnin depan.

Bagaimanapun Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin menegaskan semua atlet membabitkan kira-kira 700 atlet Program Podium dan Pelapis, termasuk atlet para perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Atlet di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang yang menjalani latihan secara kuarantin sejak Oktober telah diberikan cuti bermula Khamis lepas hingga 3 Januari.

“Sejurus melapor diri ke pusat latihan pada 3 Januari, kita akan membuat ujian Covid-19 untuk melihat sama ada mereka mematuhi SOP atau tidak ketika bercuti. Mereka kemudiannya boleh berlatih seperti biasa bukan lagi kuarantin,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini mengumumkan pembukaan semula sektor sukan dan rekreasi bermula 1 Januari kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sementara itu, Jefri berkata MSN akan mengadakan bengkel bersama para persatuan sukan kebangsaan (NSA) pada akhir Januari untuk membincangkan perancangan mengenai persiapan ke kejohanan utama seperti Sukan Olimpik, Paralimpik dan Sukan SEA pada 2021 diikuti Sukma, Sukan Komanwel dan Asia pada 2022.

Beliau berkata ketika ini pihaknya masih menunggu jadual kejohanan yang bakal ditentukan persatuan sukan antarabangsa, dengan kejohanan peringkat antarabangsa dijangka kembali rancak secara berperingkat pada 2021 dengan penemuan vaksin, selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Buat masa ini apa yang penting adalah bukan sahaja kejohanan yang bakal diserta tetapi perancangan mereka sehingga 2022, termasuk latihan, latihan pendedahan (di luar negara), pendedahan pertandingan, kelayakan ke Olimpik dan sasaran.

“Tahun ini kita sudah membuat perancangan sehingga 2022 tapi pada masa itu kabur dengan Covid-19. Sekarang hala tuju lebih jelas dengan penemuan vaksin,” tambahnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Pastikan kekal fokus, MSN Selangor bincang prestasi atlet secara maya

SHAH ALAM, 20 DIS: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor mengadakan perbincangan secara maya bersama jurulatih dan atlet sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah Eksekutifnya Mohamad Nizam Marjugi berkata langkah tersebut bertujuan memantau prestasi atlet serta mendengar cadangan untuk menambah baik program latihan.

“Setakat ini MSN sudah mengadakan mesyuarat dalam talian melibatkan lebih 10 jenis sukan kerana kita mahu mereka kekal fokus dan berdisiplin.

“Kita juga sedang mempertimbang untuk mengadakan sesi motivasi secara maya atau bersemuka awal tahun depan, cadangan ini akan dibincangkan lebih lanjut,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mohamad Nizam berkata MSN sebelum ini menganjur kem berpusat dengan menjemput pakar psikologi bagi menguatkan mental atlet dan memastikan mereka kekal bersemangat meskipun tiada kejohanan besar.

Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2020 Johor yang sepatutnya diadakan pada 6 hingga 14 Mac dibatalkan susulan penularan Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Johor tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 kerana negeri itu hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan,
pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor tumpu sukan potensi sumbang pingat

SHAH ALAM, 28 OKT: Acara sukan yang berpotensi menyumbang lebih banyak pingat dalam kejohanan utama antara fokus Selangor tahun depan.

EXCO pembangunan generasi muda dan sukan berkata tumpuan meliputi program latihan, kejurulatihan dan kemudahan sukan buat atlet.

“Justeru, besarlah harapan saya agar Kerajaan Negeri memberi peruntukan lebih baik dalam Belanjawan 2021 untuk kita meneruskan pogram pembangunan sukan.

“Semoga belanjawan kali ini membolehkan atlet mendapat kemudahan sempurna sekali gus meningkatkan prestasi mereka,” kata Mohd Khairuddin Othman menambah pelan tindakan jangka panjang sedang dirangka Majlis Sukan Negeri.

Pada masa sama, beliau berkata Kerajaan Negeri sedang menstruktur pengambilan jurulatih untuk melahirkan lebih ramai atlet berkualiti.

Mohd Khairuddin Othman ditemui media selepas upacara pelepasan (Flag off) peringkat kelima Le Tour De Langkawi 2020 di Kuala Kubu Bharu pada 11 Februari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Penstrukturan jawatan yang lebih baik juga dapat menjamin karier mereka sebagai jurulatih,” katanya lagi.

Pembentangan Belanjawan Selangor 2021 dipancar secara langsung dari Dewan Negeri Selangor dan boleh diikuti melalui saluran TV Selangor, selangortv.my.

Siaran langsung itu juga boleh diikuti melalui Facebook Live Media Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2021: MSN Selangor harap dana bangunkan atlet pelapis

SHAH ALAM, 20 OKT: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berharap peruntukan bagi pembangunan atlet pelapis diberi perhatian dalam Belanjawan 2021.

Pengarah eksekutifnya berkata program pembangunan bakat penting bagi meneruskan kesinambungan atlet untuk menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.

“MSN berharap belanjawan kali ini menyediakan dana bagi program persediaan bakat dan pelapis juga untuk berdepan kejohanan SUKMA pada 2022 dan 2024,” kata Mohamad Nizam Marjungi ketika dihubungi.

Bagi kemudahan sukan, katanya, ia hanya boleh dipertimbang selepas pandemik Covid-19 dapat dikawal sepenuhnya kerana melibatkan kos operasi dan penyelenggaraan yang tinggi.

Mohamad Nizam berkata kemudahan sukan sedia ada yang dimiliki pihak berkuasa tempatan memadai untuk atlet meneruskan latihan sepanjang tempoh perintah kawalan.

“Kos operasi dan penyelenggaraan yang tinggi akan membebankan MSN. Kita tidak mahu mengambil risiko dalam keadaan tidak menentu sekarang. Lebih baik tumpu pembangunan atlet,” kata beliau lagi.

Belanjawan Selangor 2021 akan dibentangkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Negeri pada 30 Oktober.

Selangor menyasar kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa dalam SUKMA Johor yang akan berlangsung pada 2 hingga 10 April.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sukan Sea: Prestasi pemain sepak takraw lebih penting banding usia

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menegaskan usia bukan ukuran, sebaliknya pencapaian semasa menjadi penanda aras untuk dipilih mewakili negara ke Sukan SEA 2021 di Vietnam.

Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail berkata pemain senior tetap menjadi keutamaan bagi membarisi skuad sepak takraw negara jika tiada atlet muda yang mampu menandingi prestasi mereka.

Ahmad menegaskan keputusannya itu bukan menidakkan cadangan dibuat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menyenaraikan atlet pelapis ke temasya dwitahunan itu, namun mengambil kira faktor pemain berpengalaman sebagai nadi utama pasukan.

“PSM setuju dengan pendirian siapa yang terbaik, mereka akan pergi ( Sukan SEA Vietnam). Mungkin atlet baru berumur 21 tahun atau lebih sikit. Kalau 25 tahun pun tiada masalah. Kami tidak kisah umur berapa. Hanya yang terbaik akan dipilih.

“Nak tahu siapa yang terbaik, kena ada kejohanan. Dari situ kita akan pilih siapa yang terbaik untuk dihantar ke Sukan SEA. Kita tidak mahu menidakkan bakat atlet sedia ada, disebabkan kriteria baru ini,” katanya, baru-baru ini.

Ahmad berkata perkara sama juga dilakukan musuh tradisi, Thailand, apabila pemain senior turut disenaraikan bagi memperkukuhkan kekuatan pasukan dalam misi mengekalkan pingat emas, di temasya dwitahunan itu.

“Kita lihat yang menjadi pencabar utama kepada kita ialah Thailand. Seluruh peminat tahu atlet mereka berusia dan berpengalaman. Itu antara sebab mengapa Thailand memonopoli sukan ini.

“Pemain Thailand sudah tujuh, lapan kali ke Sukan SEA dan Sukan Asia. Umur bukan ukuran dia, Ponchai (Ponchai Kaokaew) tahun ni dia 39 tahun, dan tahun ni saya dengar dia akan bermain lagi di Sukan SEA, dan mungkin ini yang terakhir.

“Kita kalah selama ini bukan dari segi kemahiran semata-mata, memang ada beza tapi ia lebih kepada mental. Mental tak kuat sebab kena jumpa pemain Thailand yang berpengalaman. Saya yakin dalam masa setahun dua ini, atlet Malaysia juga boleh berada di tahap itu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bekas juara silat dunia bangga terima bantuan

SHAH ALAM, 3 SEPT: Bekas juara silat dunia, Zakri Ibrahim terharu melihat kerjasama Kerajaan Negeri dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) membela nasib atlet melalui Program Ceria Atlet Selangor 2020.

Beliau berkata sepanjang menceburkan diri dalam bidang sukan bermula 1987 hingga 2000, Selangor menunjukkan usaha membantu atlet susah sehingga merasakan mereka dihargai.

“Saya terharu kerana jasa mewakili Selangor dan negara dipandang semula dengan mendapat bantuan.

“Ini menunjukkan masih ada yang prihatin dengan bekas-bekas atlet. Harap ini jadi penaik semangat generasi muda untuk terus bergiat dalam bidang sukan,” katanya selepas pelancaran program tersebut.

Bekas juara silat dunia, Zakri Ibrahim

Melalui inisiatif itu, 50 bekas atlet Selangor menjadi kumpulan pertama dibantu dengan peruntukan berjumlah hampir RM200,000.

Selain Zakri, beberapa bekas atlet negara turut menerima bantuan. Antaranya penyumbang pingat emas olahraga Sukan SEA 2003, Mohd Sharrulhaizy Abd Rahman; penyumbang emas acara berbasikal Sukan SEA 1997, Sorpihadi Shukri dan pemain hoki negara ke Olimpik pada 1972 dan 1976, R Pathmarajah.

Sementara itu, Pengerusi Yakeb Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata Selangor menjadi negeri pertama menjalin kerjasama dengan pihaknya bagi menjaga kebajikan atlet.

Katanya, idea EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman menubuhkan program itu hanya mengambil masa dua bulan dan dilakukan bersungguh-sungguh.

“YB (Mohd Khairuddin) tergerak hati selepas lihat kesusahan atlet dan bulan lepas 50 atlet dah dikenal pasti untuk dibantu,” katanya.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Atlet negara teruja kembali ke Bukit Jalil

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Beberapa atlet negara melahirkan rasa syukur dapat kembali menjalani latihan fizikal seperti biasa di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada tahun depan.

Ratu terjun negara, Pandelela Rinong berkata beliau gembira dapat kembali meneruskan latihan di Pusat Akuatik Nasional setelah terpaksa menjalani latihan ringan di rumah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu.

“Saya lega dan gembira dapat kembali ke persekitaran asal (latihan fizikal di Bukit Jalil) dan tak sabar untuk mulakan latihan.

“Sudah hampir tiga bulan saya tidak terjun, jadi saya rasa latihan perlu dijalankan segera bagi mendapatkan rentak terjunan sebelum menghadapi Sukan Olimpik pada tahun depan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Pada masa sama, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu menjelaskan beliau sedia mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk mengehadkan pergerakan di sekitar Bukit Jalil, jarakan sosial satu meter serta penggunaan pencuci tangan bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Berkongsi pandangan sama adalah pemanah para negara, S. Suresh yang gembira dapat menjalani latihan fizikal di Padang Memanah Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, setelah terpaksa mengehadkan sesi latihan di kawasan rumah susulan pelaksanaan PKP pada Mac lalu.

“Sebelum ini, saya sekadar menjalani latihan menggunakan tali getah dan sebagainya di rumah, tapi apabila MSN panggil saya kembali menjalani latihan seperti biasa, perasaan saya amat teruja.

“Jurulatih (Marzuki Zakaria) masih belum memaklumkan mengenai corak latihan, namun saya sedia mematuhi SOP yang dikeluarkan pihak terlibat bagi mengelakkan jangkitan Covid-19,” jelas anak jati Kedah itu.

Seramai 142 atlet, pegawai sukan dan staf sokongan dari MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) melapor diri untuk kem latihan pusat program Road to Tokyo (RTT) 2020 di Bukit Jalil yang bermula hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Timbalannya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut meluangkan masa meninjau kem latihan pusat berkenaan.

-BERNAMA