Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: BWF batal empat kejohanan antarabangsa

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memutuskan untuk membatalkan empat kejohanan antarabangsa selepas mengadakan rundingan dengan tuan rumah setiap kejohanan, susulan penularan Covid-19.

Empat kejohanan yang dibatalkan ialah Terbuka Taiwan 2020 dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 6 Sept, Terbuka Korea (8 hingga 13 Sept), Terbuka China (15 hingga 20 Sept) dan Terbuka Jepun (22 hingga 27 Sept).

Setiausaha Agung BWF Thomas Lund dalam kenyataan dikeluarkan hari ini berkata keputusan itu dibuat demi kepentingan kesihatan pemain, penonton, sukarelawan dan ahli gabungan mereka.

“Kami sangat kecewa terpaksa membatalkan kejohanan ini, tetapi merasakan kesejahteraan semua yang terlibat adalah yang paling penting pada masa ini.

“Saya menghargai usaha yang dilakukan oleh ahli persatuan di rantau ini sepanjang proses ini atas kesabaran dan komitmen terhadap BWF,” katanya.

Lund juga menegaskan badan induk dunia itu akan terus menyelaraskan sebarang aktiviti sukan badminton agar mematuhi sepenuhnya peraturan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pihak berkuasa kesihatan tempatan serta larangan perjalanan antarabangsa dan domestik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Tiada pilih kasih, sentimen keluarga dalam ABM – Misbun

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek berkata tiada pilih kasih dalam pemilihan pemain remaja untuk mewakili negara dalam sebarang kejohanan.

Beliau menegaskan anak saudaranya, Muhammad Fazriq Mohamad Razif perlu membuktikan kemampuannya dan bersaing dengan pemain lain bagi merebut posisi selaku pemain utama dalam skuad remaja kebangsaan.

Bagaimanapun, Misbun menyifatkan pemain berusia 16 tahun itu, dilihat memiliki bakat istimewa dan berpeluang cerah menyinar pada masa depan bersama barisan pemain remaja negara.

“Tak ada (sentimen kekeluargaan)…dalam memilih pemain dalam pasukan, kita tidak harus ada pilih kasih, yang penting ialah ikut merit, keupayaan mereka sendiri bagaimana untuk menempatkan status diri beliau dalam team.

“Saya lebih suka semua orang mengambil peluang ini, kita akan menilai dan kita akan pilih mana yang terbaik untuk mewakili Malaysia. Malah, ada beberapa pemain lain yang mempunyai bakat semulajadi, apa yang kita perlu buat ialah gilap dan kembangkan bakat itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara di sini.

Fazriq, anak kepada bekas legenda beregu negara, Razif Sidek, dianggap sebagai prospek masa depan negara apabila mencipta impak tersendiri selepas meraih kejuaraan berganda dengan menjuarai Kejohanan Badminton Grand Prix Final Sirkit Remaja Kebangsaan, tahun lalu.

Sementara itu, Fazriq Razif bertekad untuk membuktikan potensi dirinya sambil mengakui tidak memiliki sebarang keistimewaan dalam skuad remaja kebangsaan.

“Saya rasa beruntung berada di bawah naungan beliau (Misbun) dan saya harap dapat belajar ilmu daripadanya. Beliau melahirkan ramai jaguh negara seperti (Datuk) Lee Chong Wei dan Muhammad Hafiz Hashim. Jadi saya akan berusaha berlatih di bawah bimbingan beliau dan belajar sebanyak mungkin,” jelas Fazriq.

Fazriq juga menyasarkan layak secara merit untuk membuat debut di Kejohanan Remaja Dunia yang dijangka berlangsung di Auckland, New Zealand bermula 11-24 Jan depan, selepas ditunda daripada jadual asal, iaitu 28 Sept hingga 11 Okt ini berikutan penularan wabak Covid-19.

Pemain itu yang menduduki ranking dunia ke-10 untuk acara beregu dan ke-21 bagi acara perseorangan, masih belum membuat keputusan sama ada mahu fokus dalam acara beregu atau perseorangan.

“Setakat ini tak ada lagi dalam pemikiran saya, tapi saya cuba yang terbaik dalam kedua-dua acara. Bagi saya setahun atau lebih untuk melihat perkembangan dan membuat keputusan,” katanya Fazriq menambah ayahnya bagaimanapun menasihatkannya agar lakukan yang terbaik dan bermain untuk kedua-dua acara kerana masih muda dan bertenaga.

“Sebenarnya, saya lebih berminat untuk main beregu seperti ayah, apapun saya tetap rasa seronok bermain beregu atau perseorangan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Pemain, jurulatih lapor diri sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Seramai 64 pemain dan jurulatih pasukan senior melapor diri untuk sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) semalam.

Semua pemain termasuk 35 pemain simpanan menjalani kuarantin kendiri di bilik asrama masing-masing di ABM selama 24 jam sebelum kembali menjalani latihan setelah menjalani saringan Covid-19.

“Saya berharap dapat mengulangi apa yang kami lalui semasa Road to Tokyo (RTT) tetapi pada skala lebih besar serta semua dalam pasukan senior dapat kembali.

“Bagi pemain simpanan, mereka menjalani latihan dua minggu sebelumnya yang akan memberi kelebihan pendedahan awal dari segi kebiasaan dalam gerakan di gelanggang berbanding kumpulan RTT.

“Sasarannya untuk membawa mereka ke tahap sebelum Perintah Kawalan Pergerakan. Secara fizikal, ia akan mengambil masa tetapi kita menyesuaikan program agar mereka dapat meningkatkan aspek tertentu permainan yang boleh mereka fokuskan,” kata Pengarah Kejurulatihan BAM Wong Choong Hann dalam kenyataan.

Terdahulu, 17 pemain termasuk lapan di bawah program RTT selesai mengikuti kem latihan selama 30 hari di bawah tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat di ABM pada 30 Jun.

Choong Hann berkata melihat rekod prestasi RTT, beliau yakin sebulan adalah jangka masa yang baik untuk meningkatkan tahap prestasi pemain kepada sekurang-kurangnya 90 peratus.

“Kumpulan kedua pemain dan jurulatih akan menyertai latihan kumpulan elit tetapi kami menerapkan SOP jarak sosial yang ketat dengan jadual latihan disusun untuk mengawal jumlah atlet di gelanggang atau gim dalam satu masa.

“Walaupun SOP akan lebih longgar tetapi dari segi pengawalan kendiri kita akan menerapkan tahap keperluan yang sama dengan menumpukan kepada kebersihan dan kewaspadaan untuk memerangi Covid-19,” katanya dan menambah penting bagi pemain untuk bertanggungjawab serta mengikuti SOP dan garis panduan ditetapkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

KP MSN: Atlet, pegawai di Akademi Badminton Malaysia negatif Covid-19

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Kesemua individu yang terlibat dengan kem latihan pusat di bawah program ‘Road to Tokyo’ (RTT) di Akademi Badminton Malaysia (ABM), disahkan negatif COVID-19.

Keputusan ujian swab itu disahkan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menerusi kenyataan hari ini.

Seramai 38 orang melibatkan atlet, jurulatih, atlet ‘sparring’, pengurus sukan, anggota sokongan serta pegawai khidmat sokongan sains dan perubatan sukan menyertai kem latihan di ABM, Bukit Kiara sejak semalam.

Sementara itu, keputusan ujian melibatkan 24 orang juga terdiri daripada atlet, jurulatih, atlet ‘sparring’, pengurus sukan, anggota sokongan serta pegawai khidmat sokongan sains dan perubatan sukan untuk kem latihan di Pusat Latihan Perahu Layar Langkawi, dijangka akan diketahui esok.

Kesemua peserta kem latihan pusat di ABM dan Langkawi menjalani ujian saringan ketika pendaftaran di kem iaitu atlet elit bakal menjalani latihan khas dengan pengasingan selama sebulan untuk persediaan ke Sukan Olimpik Tokyo.

Seramai 146 individu, termasuk 14 atlet dan 26 atlet para, dijangka memulakan latihan di MSN Bukit Jalil Isnin depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Misbun rangka modul khas jurulatih lahir pemain dunia

LUMUT, 14 MAC: Satu modul latihan khas disediakan Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek untuk diguna pakai jurulatih negara dalam usaha melahirkan pemain bertaraf dunia.

Beliau berkata formula modul latihan khusus untuk pasukan jurulatih itu digunakannya hingga berjaya melahirkan jaguh seperti Datuk Lee Chong Wei dan beberapa pemain lain yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Sekurang-kurangnya sumbangan saya ini boleh memastikan badminton negara mendapat perhatian peminat sukan global,” katanya ketika ditemui di Kejohanan Remaja Terbuka Manjung, dekat sini hari ini.

Bulan lalu, legenda badminton negara itu dipertanggungjawabkan untuk membimbing skuad remaja dan diberi tempoh dua bulan mengemuka cadangan berhubung struktur baharu diperlukannya membabitkan program skuad remaja negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2020 tangguh

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2020 dijadual berlangsung pada 31 Mac hingga 5 April di Axiata Arena, Bukit Jalil ditangguhkan berikutan Covid-19.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata keputusan itu dibuat selepas berunding dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan selaras  keputusan Kerajaan Malaysia menggantung semua acara sukan berikutan sekatan  dilaksanakan sebagai langkah memerangi Covid-19 sehingga akhir April 2020.

“Bagi pembeli tiket untuk acara ini, bayaran balik akan bermula pada Isnin (16 Mac) dan diproses kepada semua dalam tempoh lapan hari bekerja.

“Situasi itu sentiasa dipantau berterusan, BAM  terus mengawasi semua nasihat kerajaan dengan keutamaan menjaga keselamatan dan kesihatan semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BWF juga turut mengeluarkan kenyataan menangguhkan semua kejohanan Jelajah Dunia BWF dan saingan BWF lain dari 16 Mac hingga 12 April kerana peningkatan Covid-19 di seluruh dunia.

Kejohanan terjejas termasuk Terbuka Switzerland 2020, Terbuka India 2020, Masters Orleans, Terbuka Malaysia dan Terbuka Singapura serta beberapa lagi kejohanan antarabangsa Gred 3.

Penangguhan itu bermula sebaik berakhirnya Kejohanan Badminton Terbuka All England 2020 di Birmigham, England pada Ahad.

Beberapa kejohanan turut terkesan susulan penangguhan diadakan dalam tempoh kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sehubungan itu, BWF membuat pengumuman lanjut mengenai peraturan berkaitan mata kelayakan ke temasya Sukan Olimpik pada masa dimaklumkan kemudian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

BAM tawar diskaun pembelian awal tiket Terbuka Malaysia 2020

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menawarkan diskaun 15 peratus bagi pembelian tiket awal menyaksikan Terbuka Malaysia 2020 bermula hari ini hingga 23 Februari dan diskaun 10 peratus dari 24 hingga 29 Februari.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh Chee Keong berkata kanak-kanak berumur empat hingga 18 tahun layak untuk membeli tiket kelas pelajar untuk bahagian Premium, bahagian Lower Tier dan Upper Tier.

“Kami berharap peminat mengambil kesempatan terhadap tawaran ini dan membeli tiket mereka awal. Banyak diskaun diperolehi jika mereka membeli tiket semasa tempoh tawaran.

“Bagaimanapun yang lebih penting, pembelian tiket awal menjamin peminat mendapat tempat pilihan mereka,” katanya.

Semua tiket, termasuk kategori ‘Super Fan’ yang menawarkan akses ke tempat duduk tepi gelanggang dan menerima imbuhan seperti buku cenderamata dan poster rasmi yang ditandatangani oleh pemain kebangsaan dan hospitaliti eksklusif di Axiata Arena, tertakluk kepada tawaran.

Tiket pelajar bermula dari RM13 (hari pembukaan) dan akan meningkat apabila kejohanan berlangsung.

Peminat dapat membeli tiket mereka secara dalam talian di https://myticket.asia/ atau di kaunter tiket semasa hari perlawanan pada Axiata Arena mulai 31 Mac.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Rashid setuju wujud program pembangunan khas badminton

BANGI, 22 DIS: Sukan badminton di Malaysia perlu mengikut jejak langkah sukan bola sepak dan ragbi, yang memiliki program pembangunan akar umbi, susulan kemerosotan prestasi pemain negara di peringkat remaja.

Perkara itu disokong legenda perseorangan badminton negara Rashid Sidek yang merasakan kewujudan program pembangunan seperti Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) satu langkah tepat memastikan Malaysia tidak terus ketinggalan jauh berbanding Thailand, Indonesia dan China yang telah mula menyinar di peringkat remaja.

Namun katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu menyediakan sejumlah peruntukan yang besar dan konsisten, sebelum program seumpama itu diwujudkan.

“Dari pandangan peribadi saya, ya, memang kalau ikutkan, kita patut ada program seperti itu, kalau mempunyai bajet yang cukup. Kalau tanpa bajet memang sukar untuk kita lakukan,” katanya pada sidang media perlawanan akhir Kejohanan Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah di sini, hari ini.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu berkata demikian ketika ditanya keperluan sukan badminton di Malaysia memiliki program pembangunan akar umbi susulan kemerosotan prestasi Malaydia di peringkat remaja.

Skuad remaja negara mencetuskan kebimbangan apabila pulang dengan tangan kosong dalam dua kejohanan utama tahun ini – Kejohanan Badminton Remaja Asia di China, Julai lepas dan Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Rusia, pada Oktober.

Beliau yang kini ketua jurulatih kelab badminton Sports Affairs itu berkata, tugasnya adalah melatih dan membentuk pemain ke arah menjadi seorang juara, namun satu platform lebih tinggi diperlukan, bagi membolehkan para permain memperoleh pengalaman.

“Untuk program seperti NFDP itu, semua kalau dalam badminton kita memang bergantung kepada program sedia ada BAM. Sebagai kelab, kita tambahan untuk dapatkan bakat-bakat baru dan melatih mereka jadi juara.

“BAM boleh ambil pemain-pemain ini untuk diserap masuk ke dalam BAM. Kita tidak keberatan, kerana sebelum ini kita pernah buat macam itu,” tambahnya.

Sementara itu, Rashid yang merupakan pengarah program kejohanan yang julung kali diadakan itu, menyifatkan beberapa bakat muda dikenal pasti, dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di sini.

Pasukan Unggul bimbingan bekas pemain badminton negara Mohd Zakry Abdul Latif, dinobatkan sebagai juara, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 dan piala pusingan.

“Saya sangat berbangga menyaksikan semangat juang dan kesungguhan pemain, yang mempamerkan komitmen tinggi sebagai satu pasukan, di usia sangat muda. Ini hanyalah satu permulaan dan percaya dengan usaha berterusan, mereka akan muncul juara pada masa depan,” kata Rashid.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Fazriq juarai Kejohanan Badminton Sirkit Remaja Kebangsaan

SEREMBAN, 7 JUL: Bintang muda negara, Muhammad Fazriq Mohamad Razif menambah koleksi kejuaraan peribadinya selepas menumpaskan Hooi Shao Herng, pada aksi final Kejohanan Badminton Sirkit Remaja Kebangsaan Grand Prix di Kelab Rekreasi Cina Negeri Sembilan (NSCRC) di sini, hari ini.

Muhammad Fazriq, 15, sebelum ini menjuarai Kejohanan Jemputan Shonai Bawah 15 Tahun di Jepun, baru-baru ini.

Pada final yang penuh mendebarkan itu, anak bongsu kepada legenda beregu negara, Datuk Razif Sidek mempamerkan aksi agresif pada set pertama, namun berjaya diekori rapat pencabarnya sebelum kemenangan berpihak kepada Muhammad Fazriq dengan keputusan 22-20.

Bangkit pada set kedua, beliau mempamerkan aksi terbaik dengan mudah menumpaskan Hooi yang mewakili Kuala Lumpur dengan keputusan 21-15.

Pemain muda itu yang mewakili Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang bercakap kepada pemberita selepas kemenangan itu berkata, kemenangan hari ini menjadi penyuntik semangat kepadanya untuk menampilkan aksi terbaik pada kejohanan-kejohanan akan datang.

“Dalam kedua-dua set, pihak lawan bermain dengan cukup bagus dan kualiti sangat tinggi. Saya juga ada membuat sedikit kesilapan pada awalnya, tetapi saya cuba mengatasi lawan dengan meningkatkan konsisten.

“Kejohanan ini memang akan buat saya lebih semangat untuk perlawanan akan datang dan saya mahu perbaiki kesilapan saya, supaya saya dapat bermain dengan lebih baik,” katanya.

Keputusan Perlawanan Akhir:

Perseorangan Lelaki

Bawah 16 Tahun
Muhammad Fazriq Mohammad Razif (BAM) mn Hooi Shao Herng (BAM) 22-20, 21-15

Bawah 14 Tahun
Ewe Eon Eogene (BAM) mn Ramno Ferdinan (BAM) 21-18, 22-20

Bawah 12 Tahun
Kee Is Qian (Kedah) mn Lim Boon Le (Pahang) 22-20, 24-22

Perseorangan Wanita

Bawah 16 Tahun
K.Letshana (Selangor) mn Arena Satu (Sabah) 10-21, 21-9, 21-5

Bawah 14​ Tahun​​​​​​
Ngu Xian Meow (BAM) mn Siti Zulaika Mohamad Azim Tan (BAM) 21-17, 21-18

Bawah 12 Tahun
Dania Sofea Zaidi (Johor) mn Oo Shan Zi (Pulau Pinang) 21-14, 21-14.

Beregu Lelaki

Bawah 16 Tahun
Muhammad Fazriq-Hoh Shou Wei (BAM) mn Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe (BAM) 21-14, 21-17

Bawah 14 Tahun
Ewe Won Eogene-Ramno Ferdinan (BAM) mn Gooting Bryan Jeremy-Low Han Chen (BAM) 21-19, 24-22

Bawah 12 Tahun
Tan Zhi Shen-Tan Zhi Yang (Pulau Pinang) mn Kee Is Qian-Loh Zi Heng (Kedah) 21-17, 21-18

Beregu Wanita

Bawah 16 Tahun
Khor Jing Wen-Tan Zhing Yi (BAM) mn Chen Su Hui-Cheng Su Yin (BAM) 21-15, 9-21, 21-19

Bawah 14 Tahun
Lim Yi Wei-Lai Ting Cen (BAM) mn Chan Wen Tse-Ngu Xian Meow (BAM) 18-21, 22-20, 21-8

Bawah 12 Tahun
Lai E Yun-Dania Sofea Zaini (Johor) mn Christine Lam Mei He-Oo Shan Zi (Pulau Pinang) 23-21,21-14

– BERNAMA

Categories
RENCANA

Badminton negara perlu berpijak di bumi nyata

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Usahlah memasang impian terlalu tinggi melihat pemain sedia ada setaraf legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, dan Malaysia kembali menjadi antara kuasa besar dunia, dapat dikecapi dalam tempoh terdekat.

Ini kerana barisan pemain muda negara hari ini dilihat belum lagi mewarisi semangat, keyakinan dan kesungguhan bekas pemain nombor satu dunia itu selain tidak mempunyai ‘keinginan luar biasa’ seperti dimiliki Chong Wei yang menjadi antara senjata rahsia kejayaan beliau selama ini.

Perit untuk ditelan, namun ia turut diakui ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek yang tanpa berselindung mengakui Malaysia perlu menunggu 10 hingga 15 tahun untuk mempunyai pemain setanding Chong Wei.

Penganalisis sukan badminton dan juga antara ‘sifu’ Chong Wei di luar gelanggang, Norbakti Alias berpandangan pemain sedia ada kini lebih bergantung kepada nasib semata-mata dalam meraih kejayaan memandangkan mereka tidak mempunyai matlamat serta kekuatan dalaman seperti dimiliki Chong Wei.

“Mereka (pemain muda) tidak mustahil boleh jadi macam Chong Wei tapi ia perlu datang daripada diri sendiri. Jurulatih akan bagi benda (ilmu) yang sama kepada semua tetapi macam mana pemain nak gunakan kesempatan itu untuk buktikan kemampuan mereka sahaja yang jadi perbezaan.

“Pemain kena ada sasaran. Mereka hari ini hanya ikut program latihan tetapi Chong Wei dulu tidak. Bila sedar ada kelemahan, beliau akan luangkan lebih masa untuk berlatih memperbaiki kelemahan itu. Barisan pemain sedia ada sekarang bergantung kepada nasib sahaja,” katanya kepada Bernama.

Norbakti berkata barisan pemain di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini masih tidak mempunyai matlamat, dan kebanyakan pemain itu berada di BAM disebabkan keinginan ibu bapa melihat kejayaan mereka.

Faktor kemewahan yang ada pada kebanyakan pemain muda hari ini, turut dianggap sebagai ‘penghalang’, menurut Norbakti yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam arena sukan badminton negara sejak bermula sebagai seorang wartawan sukan.

“Saya tak nampak lagi seorang pemain muda yang ada ciri-ciri macam Chong Wei. Kadang-kadang yang ada dekat situ (BAM) pasal ibu bapa yang nak tengok mereka berjaya, bukannya kerana kehendak mereka.

“Mereka ini berlatar belakangkan keluarga yang mewah jadi jika gagal dalam badminton tidak ada yang perlu dirisaukan. Kehidupan Chong Wei dulu lain…perbezaan itu memberi kesan,” tambah beliau.

Justeru, Norbakti berkata barisan pemain muda negara perlu memiliki ‘semangat luar biasa’ kerana Kementerian Belia dan Sukan serta BAM telah menyediakan satu venue latihan berprestasi tinggi yang lengkap di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Bagi beliau, dengan fasiliti bertaraf dunia di samping memiliki antara barisan jurulatih terbaik di ABM, tiada alasan untuk seseorang pemain itu gagal mencapai tahap terbaik dalam karier masing-masing sekiranya mereka mempunyai matlamat dan kehendak yang tinggi.

“Situasi badminton negara ini ibarat di sekolah dengan cikgu mengajar dan bahan disediakan adalah sama tetapi ada pelajar yang bijak dan kurang bijak…yang bijak ini apa mereka buat sehingga jadi bijak?.

“Chong Wei satu ketika hampir dibuang dan bila Misbun menyertai BAM beliau terus ‘tangkap’ Chong Wei untuk berlatih di bawahnya. Chong Wei tahu apa dia nak dan ada kesungguhan untuk capai apa dia nak. Ia juga menunjukkan norma seseorang yang ingin belajar kerana ilmu ini kita kena minta,” tegasnya.

Bercakap mengenai keperibadian ikon sukan negara itu, Norbakti menyifatkan pemenang pingat perak tiga kali Sukan Olimpik itu mempunyai dedikasi yang tinggi dalam menjadi seorang pemain cemerlang selain memiliki mentaliti juara setanding ramai jaguh sukan dunia antaranya bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo.

Pada masa sama, beliau berpendapat pemain perseorangan lelaki muda negara, Lee Zii Jia, 21, yang menghuni ranking ke-20 dunia ketika ini memiliki pakej fizikal lengkap dan berada di landasan tepat menjadi antara pemain terbaik dunia.

Beliau berkata beberapa nama sebelum ini juga pernah dikaitkan sebagai pengganti Chong Wei seperti Liew Darren dan Chong Wei Feng yang masing-masing satu ketika pernah menduduki ranking ke-10 dan ke-12 dunia.

“Dia (Zee Jia) kalau tengok tahap fizikal dan ketinggian dimiliki memang cukup lengkap untuk jadi pemain hebat. Bukan beliau sahaja sebelum ini, kita pernah ada Daren dan Wei Feng yang berpotensi tetapi gagal. Segalanya terpulang kepada pemain,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, dipetik sebagai berkata tempoh 10 hingga 15 tahun terlalu lama untuk melahirkan pemain setanding Chong Wei dan ia mampu dipendekkan kepada lima tahun.

“Sekarang semua kita sudah ada, kemudahan kelas pertama sudah ada. Apa yang kita nak adalah mentaliti kelas pertama, disiplin kelas pertama dan pendekatan untuk menjadi pemain kelas pertama.

“Perkara-perkara ini saya rasa semua atlet dan jurulatih tahu malah saya yakin dari 15 tahun itu kita boleh percepatkan lagi hingga ke lima tahun. Buat masa ini mari kita usahakan untuk ke lima tahun berbanding 10 hingga 15 tahun,” katanya baru-baru ini.

Pada Khamis lepas, Chong Wei dengan berat hati mengumumkan persaraannya selepas 19 tahun mencurah bakti mengharumkan nama Malaysia dengan meraih 69 gelaran, termasuk 47 gelaran juara Siri Super.

Beliau turut melakar sejarah tersendiri apabila memegang gelaran sebagai pemain nombor satu dunia sebanyak 348 minggu dari 2008 sehingga 2013.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Pentas Olimpik penentu hala tuju Zii Jia – Misbun

 

KUALA LUMPUR, 2 Jun : Pentas Olimpik menjadi platform paling sesuai untuk pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia untuk menentukan hala tuju dalam karier badmintonnya.

Pemain berusia 21 tahun itu harus bijak memanfaatkan peluang terhidang di depan mata berikutan ketiadaan jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei serta pemain perseorangan lelaki lain seperti Chong Wei Feng dan Liew Daren pada temasya sukan itu.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek berkata berada di gelanggang pertandingan pada temasya Sukan Olimpik dan pencapaian pemain kelahiran negeri Jelapang Padi itu akan membantunya mengukir nama dalam arena badminton negara dan antarabangsa.

“Dia (Zii Jia) harus ambil kesempatan ini. Kesempatan untuk membina legasi dia sendiri. Dia harus banyak bertanya, banyak berfikir, banyak menganalisa permainan lawan dan harus tempatkan diri dia di mana, adakah dia harus sama dengan orang lain. Itu yang akan menentukan arah tuju dia.

“Kalau pada pandangan saya, untuk Zii Jia ini, pentas Olimpik adalah satu petanda untuk menentukan arah tuju dia,” katanya kepada Bernama.

Menurut Misbun, kalau dilihat dari segi prestasi, anak didiknya itu sudah kian menghampiri pemain ternama yang berada di ranking terbaik dunia namun kemenangan masih belum berpihak kepada pemain itu di pentas tertinggi.

Beliau berkata tahap kematangan yang ada pada Zii Jia masih belum mencapai tahap yang dikehendaki meskipun pemain itu kini sudah mula mendapat liputan media dan tumpuan daripada pemain lain.

“Dari segi kematangan, keseimbangan latihan diterapkan belum mencapai tahap sebenarnya yang disasarkan, ia perlukan masa.

“Saya ‘jaga’ dia baru hampir satu tahun setengah tapi dia banyak menerima ilmu yang diterapkan daripada pasukan dan juga daripada ketiadaan Chong Wei sekarang, jadi dia sedang cuba menampakkan diri dia,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kesediaan untuk jatuh atau bangun, kalah atau menang serta memiliki tahap disiplin tinggi perlu dijadikan kunci untuk mencipta kejayaan sebagai seorang yang mahu bergelar jaguh sukan. -BERNAMA

 

Kredit Foto Facebook Lee Ziijia

Categories
SUKANKINI

Chooi-Low mara ke suku akhir China Masters

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Pasangan beregu lelaki profesional negara, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen meneruskan rentak cemerlang mereka apabila mara ke suku akhir Kejohanan Badminton China Masters 2019 di Hainan, semalam.

Gandingan pilihan keempat itu hanya mengambil masa 33 minit mengatasi pasangan Taiwan, Lin Chia Yu-Yang Ming-Tse; 21-14, 21-17 dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung di Agile Stadium of Lingshui Culture and Sports Square, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF); www.bwfbadminton.com.

Dalam pada itu, bekas pemain beregu lelaki negara, Tan Boon Heong yang bergandingan dengan Kim Sa Rang dari Korea Selatan, turut melangkah ke suku akhir selepas menewaskan Liu Wei Chen-Lu Chen dari Taiwan; 21-19, 21-19.

Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin turut cemerlang menempah slot ke kelompok lapan pemain terbaik selepas mengejutkan pilihan utama, Ihsan Maulana Mustofa dari Indonesia; 14-21, 21-13 dan 21-9 dalam aksi pusingan ketiga.

Sementara itu, beberapa pemain Malaysia tersingkir daripada kejohanan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan US$75,000 (RM306,826) itu, selepas tumpas kepada lawan masing-masing.

Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See yang juga pilihan utama, tewas mengejut 12-21, 16-21 kepada pasangan muda China, Dong Weijie-Chen Xiaofei, manakala Choong Hon Jian-Man Wei Chong tumpas kepada pilihan kelima, Di Zijian-Wang Chang dari China; 14-21, 17-21 dalam acara beregu lelaki.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara perseorangan dan beregu wanita pada kejohanan Jelajah BWF berstatus Super 100 itu.

– BERNAMA