Categories
SELANGOR SUKANKINI

EXCO pastikan prestasi pemain badminton pada tahap terbaik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 DIS: Satu pertemuan khas antara Mohd Khairudddin Othman bersama juara Liga Remaja AirAsia-BAM 2018 akan diadakan dalam masa terdekat, bagi memastikan pemain mengekalkan prestasi pada tahap terbaik.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan berkata, Kerajaan Negeri juga akan memantau keperluan pasukan berkenaan dan mengambil segala langkah untuk membantu pemain.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan Kerajaan Negeri berasa amat bangga dengan kejayaan ini,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini SelangorKini melaporkan, pasukan badminton Selangor muncul juara kategori lelaki dan wanita, pada Liga Remaja Kebangsaan AirAsia-BAM 2018 di Stadium Juara Bukit Kiara.

Ketua jurulatihnya, Danan Jaya berkata, beliau menjangkakan perlawanan sengit akan berlaku khususnya bagi kategori lelaki.

“Baik lelaki dan wanita, saya mengingatkan pemain supaya tidak memandang mudah lawan, sebaliknya perlu sentiasa fokus dan akhirnya kami berjaya mengulangi pencapaian tahun lalu dengan menjadi juara kedua-dua kategori,” katanya.

Semua pemain daripada pasukan juara akan diberi peluang menjalani tempoh percubaan selama tiga bulan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sebelum diserapkan ke skuad pelapis negara.

Juara bagi setiap kategori menerima hadiah RM20,000, naib juara (RM15,000), ketiga (RM10,000) dan keempat (RM5,000).

Categories
SUKANKINI

Selangor pertahan gelaran juara Liga Remaja Kebangsaan AirAsia-BAM 2018

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Selangor ternyata berada dalam kelas tersendiri selepas mempertahankan gelaran juara Liga Remaja Kebangsaan AirAsia-Persatuan Badminton Malaysia (BAM) 2018 dengan mendominasi kategori lelaki dan perempuan pada hari terakhir kejohanan, hari ini.

Pusingan akhir yang menggunakan format berpasukan menyaksikan Selangor menewaskan Pulau Pinang 3-2 dalam kategori lelaki diikuti kejayaan 3-1 skuad wanita yang turut menundukkan Pulau Pinang.

Selangor memperoleh mata pertama menerusi Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar yang mudah mengatasi Teh Jin Hong 21-18 dan 21-10 sebelum Pulau Pinang bangkit mengutip dua mata masing-masing menerusi gandingan Goh Boon Zhe-Tan Yi Han dan Low Eu Cong.

Boon Zhe-Yi Han menang ke atas Mohd Nor Firdaus Azman-Khew Han Yang 16-21, 21-19 dan 19-21 manakala Eu Cong mudah mengatasi Han Yang 21-6 dan 21-8.

Selangor kemudian menyamakan kedudukan mata selepas Jimmy Wong-Muhammad Zulhairi mengalahkan pasangan Chee Yik Shen-Ooi Yi Yong 18-21, 21-15 dan 21-18.

Pemain perseorangan, Chua Jin Yang muncul wira Selangor selepas menghadiahkan mata kemenangan selepas menewaskan Goi Zi Chyan 21-13 dan 21-12 sekali gus mengesahkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.

Sementara itu, dalam saingan kategori perempuan pula menyaksikan Selangor bangkit daripada ketinggalan 1-0 selepas R.Kasturi tewas 12-21 dan 17-21 kepada Tan Zhing Yi dalam aksi pembukaan.

Gandingan V.Dharshinie-Loh Zhi Wei terpaksa berkerja keras sebelum berjaya mengatasi Lim Sze Jin-Tan Xin Zon 21-10, 20-22 dan 21-16 untuk memberikan mata pertama kepada Selangor.

Giliran Selangor mendahului 2-1 menerusi kemenangan K.Letshaanaa 21-5 dan 21-6 ke atas Gan Wan Yan sebelum pasangan Lai Zi Ying-Teh Won Quin memberikan mata kemenagan dengan menewaskan Tan Mei Xin-Teh Yi Young 21-19 dan 21-5.

Sebagai juara, Selangor membawa pulang hadiah wang berjumlah RM20,000 sementara Pulau Pinang dengan hadiah kemenangan berjumlah RM15,000.

Bercakap kepada pemberita, ketua jurulatih Selangor, Danan Jaya berkata kerja keras sepanjang kejohanan dan fokus untuk menampilkan aksi terbaik tanpa memikirkan soal kemenangan adalah kunci kejayaan pasukan.

“Kita memang sudah jangka akan menerima saingan sengit sebab itu kita melakukan persiapan rapi untuk mempertahankan kejuaraan. Kita juga tekankan kepada pemain supaya tidak terlalu berharap tetapi perlu berusaha sekiranya mereka mahu menjadi juara,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SUKANKINI

SOPMA18: Kuan Sheng puas hati sumbang pingat buat Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 18 OKT: Walaupun terlepas pingat emas, namun Law Kuan Sheng berpuas hati dapat menyumbang perak menerusi perseorangan lelaki badminton untuk kontinjen Selangor, pada Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018 kali ini.

Baginya, pencapaian itu amat bermakna kerana Selangor layak ke perlawanan akhir buat kali pertama walaupun gagal menyudahkannya dengan kemenangan.

“Saya berusaha memberi tentangan kepada pemain Johor, Tan Eng Chun tetapi mengalami kecederaan di bahagian kaki menyebabkan saya gagal bertahan hingga tewas.

“Namun, saya berpuas hati dengan pencapaian ini dengan mara ke akhir dan menyumbang pingat untuk pasukan,” katanya kepada Media Selangor.

Dalam perlawanan akhir itu, Kuan Sheng tewas kepada Eng Chun 21-12 dan 21-11.

Kuan Sheng turut menyumbang gangsa dengan pasangannya, Khor Teng Wooi dalam beregu lelaki apabila terkandas di separuh akhir kepada pasangan Johor, Eng Chun dan Edmond Teo Seng Keong, 21-18 dan 21-16.

“Dalam beregu, kita sekali lagi menempuh cabaran sukar berdepan Eng Chun dan pasangannya.

“Kekurangan pengalaman menyebabkan kita gagal mengatasi kehebatan beregu Johor,” katanya.

Katanya, beliau bersama pemain lain menjalani latihan insentif di Majlis Sukan Negeri Selangor serta beberapa kelab badminton termasuk dengan pemain normal selama lebih kurang tiga minggu.

Kuan Sheng berkata, beliau turut mendapat tunjuk ajar jurulatih dan bekas pemain negeri, Rahman Datuk Sidek serta beberapa jurulatih lain.

“Dengan keputusan diraih, saya berpuas hati dan akan terus berusaha gigih menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi kejohanan mendatang termasuk SOPMA 2020 di Johor,” katanya.

Categories
SUKANKINI

SOPMA18: Badminton Selangor raih satu perak, satu gangsa

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 18 OKT: Selangor berjaya meraih satu pingat perak dan satu gangsa menerusi acara badminton sempena Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018, di Akademik Badminton Perak, di sini, hari ini.

Pingat perak diperoleh pemain perseorangan lelaki, Law Kuan Sheng manakala gangsa melalui gandingan Kuan Sheng dan Khor Teng Wooi dalam beregu lelaki.

Dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki, Kuan Sheng yang cemerlang dari peringkat awal hingga separuh akhir, bagaimanapun gagal mengulanginya dan tunduk kepada Eng Chun dengan 21-9 dan 21 – 14.

Kuan Sheng sebelum itu berpasangan dengan Khor Teng Wooi dalam acara beregu, namun hasrat ke akhir tidak kesampaian.

Eng Chun sekali lagi hadir sebagai penghalang dan bersama Edmond Teo Seng Keong menghampakan beregu Selangor itu, pada separuh akhir dengan 21-14 serta 21-15.

Setakat ini, kontinjen Selangor meraih dua emas, satu perak dan dua gangsa dalam SOPMA 2018.

Dua emas dan satu gangsa dipungut melalui acara tenpin boling sebelum ini.

Categories
SUKANKINI

Terbuka Malaysia: LCW berdepan undian sukar

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 6 JUN: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei berdepan laluan sukar pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jali dari 26 Jun hingga 1 Julai ini.

Pemain ranking ketujuh dunia itu, akan berdepan pemain Jepun, Kazumasa Sakai di pusingan pembukaan pada 26 Jun, dan juara dua kali Sukan Asia, Lee Hyun Il dari Korea Selatan di pusingan kedua, pada hari berikutnya.

Jika tiada kejutan, Chong Wei dijangka bertemu pemain nombor satu dunia dan pilihan utama, Viktor Axelsen dari Denmark di peringkat suku akhir pada 28 Jun.

Sekiranya berjaya menewaskan pemain Denmark itu, Chong Wei dijadual bertemu sama ada tiga pemain China, iaitu juara bertahan Lin Dan, pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016 Chen Long atau pemain nombor tiga dunia, Shi Yuqi di separuh akhir pada 29 Jun.

Untuk rekod, Chong Wei merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016.

Kejohanan Terbuka Malaysia 2018 adalah saingan Jelajah Dunia Super 750 BWF yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah A$700,000 (RM2.790 juta).

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Pemain badminton negara fail rayuan hari ini

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 MEI: Pemain badminton negara, Tan Chun Seang, yang digantung daripada menyertai sebarang pertandingan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membabitkan aktiviti mengatur perlawanan, pertaruhan dan menentukan keputusan perlawanan memfailkan rayuan kepada BWF, pagi ini.

Peguamnya, Kit Foong berkata, terdapat dua perkara yang diutarakan melalui rayuan itu termasuk sabitan kesalahan dan kesangsian berhubung hukuman yang dijatuhkan terhadap Chun Seang.

“Mengikut peruntukan undang-undang BWF, pemain mempunyai hak untuk melantik salah seorang ahli panel rayuan dalam tempoh 14 hari. Jadi, kami juga akan melantik panel yang difikirkan bersesuaian untuk kes Chun Seang selain memfailkan rayuan, pada pagi ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu, Chun Seang melalui kenyataan medianya berkata, beliau mengarahkan peguamnya memfailkan rayuan kepada BWF terhadap keputusan mendapati pihaknya bersalah dan sudah dijatuhkan hukuman, pada 27 April lalu.

Beliau yakin, Panel Rayuan BWF akan memastikannya mendapat pendengaran saksama dan penelitian maksima semula yang adil ke atas kes terbabit.

“Saya juga menanti peluang diberikan oleh Panel Rayuan BWF untuk membentangkan rayuan menurut prinsip prosedur keadilan mantap sedunia yang diamalkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS),” katanya.

Sebelum ini, Zulfadli Zulkiffli dan Chun Seang dijatuhi hukuman gantung 20 juga 15 tahun daripada sebarang aktiviti membabitkan sukan badminton selepas mereka disabitkan dengan dakwaan mengatur perlawanan.

Hukuman itu boleh dianggap memusnahkan terus karier kedua-dua pemain itu, dalam badminton.

Zulfadli didapati bersalah kerana terbabit dengan 27 kes mengatur perlawanan, manakala Chun Seang terbabit dengan 26 kes.

Selain digantung daripada menyertai sebarang aktiviti berkaitan badminton, dua pemain profesional itu masing-masing turut didenda AS$25,000 (RM98,162) dan AS$15,000 (RM58,897).

Kedua-dua pemain itu didapati bersalah selepas sebuah panel bebas dilantik BWF membicarakan kes mereka di Singapura, pada Februari lalu.

Categories
SUKANKINI

Beregu campuran negara Juara Terbuka Jerman

OLEH HAFIZAN TAIB

JERMAN, 12 MAC: Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Jerman dengan menewaskan pasangan Denmark dalam final, semalam.

Mereka menewaskan Niclas Nohr-Sara Thygesen dalam dua set 21 – 14 dan 22 – 20 bagi mengesahkan gelaran itu iaitu kejuaraan pertama di peringkat antarabangsa tahun ini.

Pasangan rangking ke 10 dunia itu meneruskan persembahan cemerlang seperti mana ketika menjuarai kejohanan kebangsaan minggu lalu.

Beregu campuran kedua negara yang menjadi wakil tunggal Malaysia di final, pasti bersemangat dengan kejayaan itu untuk menghadapi Kejohanan Seluruh England, selepas ini.

=EZY=

Categories
NASIONAL SUKANKINI

BATC 2018: Malaysia tewaskan Myanmar 5-0

ALOR SETAR, 8 FEB: Pasukan lelaki negara mencatat kemenangan mudah 5-0 ke atas Myanmar dalam aksi Kumpulan C Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2018 yang berlangsung, di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, di sini, semalam.

Lee Zii Jia yang turun selaku pemain perseorangan pertama selepas Datuk Lee Chong Wei direhatkan menyumbang mata pertama apabila menumpaskan Phone Pyae Naing 21-3, 21-10 diikuti kemenangan Soong Joo Vern, yang hanya mengambil masa 22 minit untuk menewaskan Aung Myo Htoo 21-9, 21-7, lapor BERNAMA.

Iskandar Zulkarnain Zainuddin juga tidak menghadapi masalah untuk meraih mata ketiga Malaysia selepas mengalahklan Chan Win Oo 21-10, 21-10.

Pasangan beregu kedua negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, pula beraksi selama 20 minit sebelum menyumbangkan mata keempat apabila menumpaskan gandingan Myanmar Arkar Phone Myat-Hein Si Thu Toe 21-5, 21-5.

Beregu ketiga Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Mohd Rumsani, yang membuat penampilan pertama pada kejohanan berkenaan juga tidak mengecewakan selepas meraih mata kelima selepas mencatat kemenangan 21-12, 21-9 ke atas Aung Myo Htoo-Chan Win Oo.

 

Categories
SUKANKINI

MSN Selangor sedia bincang dengan persatuan sukan

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 17 OKT: Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor sedia mengadakan perbincangan dengan persatuan sukan di bawah naungannya ke arah kemajuan sukan di negeri itu.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata MSN Selangor akan menilai dan melihat bentuk bantuan diperlu berdasarkan perancangan dirangka sesuatu pertubuhan sukan itu.

“MSN Selangor sedia berbincang mengenai perkara ini.

“Kalau mereka mempunyai rancangan terhadap program pembangunan sukan, sudah pasti kita bersedia membantu dengan keupayaan dimiliki,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap Persatuan Sepak Takraw Selangor dan Persatuan Badminton Selangor yang meminta Kerajaan Negeri melakukan penambahbaikan dalam pembangunan sukannya.

Mengulas lanjut, katanya, setakat ini Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sekitar RM40,000 setahun kepada semua persatuan sukan untuk program pembangunan sukan dan bagi penyertaan dalam beberapa kejohanan.

“Walaupun saya percaya tidak cukup kepada sebahagian persatuan sukan tetapi ia memadai untuk persiapan menyediakan atlet ke kejohanan seperti Sukan Malaysia (Sukma).

“Namun begitu, terdapat persatuan sukan tertentu menyediakan program yang banyak dan tersusun.

“Kalau persatuan sukan itu sudah nampak bergerak aktif maka ia tidak menjadi halangan kepada kita untuk memberikan sokongan,” katanya.

=EZY=

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pembangunan Sukan Sepaktakraw dan Badminton perlu penambahbaikan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 OKT: Kerajaan Negeri disaran melakukan penambahbaikan dalam pembangunan sukan sepak takraw dan badminton di Selangor supaya lebih berkembang dan maju.

Setiausaha Persatuan Sepak Takraw Selangor, Mustakim Mairin, berkata sepak takraw memerlukan lebih banyak gelanggang untuk kemajuan sukan itu serta menjayakan pertandingan di negeri itu.

“Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor perlu membina lebih banyak gelanggang bagi sukan sepak takraw di Selangor khususnya di peringkat daerah.

“Kekurangannya menyebabkan perkembangan sukan ini agak perlahan kerana kita perlu berkongsi gelanggang sedia ada di kendalikan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pihak lain,” katanya kepada SelangorKini.

Dari segi peruntukan, beliau berkata, Kerajaan Negeri yang bakal membentangkan Belanjawan 2018 diminta menambah peruntukan disalurkan sebelumnya demi memenuhi keperluan persatuan dan atlet di bawah kendaliannya.

Katanya, penganjuran pertandingan dan latihan memerlukan perbelanjaan besar dalam usaha melahirkan bakat baru di Selangor.

“Badminton di Selangor memerlukan kemudahan lengkap ala ‘Mini Bukit Jalil’ seperti pusat latihan dan penempatan pemain supaya latihan lebih teratur serta sistematik dapat dilakukan demi kemajuan sukan ini.

“Kemudahan yang ada ketika ini ialah kompleks sukan badminton di Kampung Attap, Kuala Lumpur dan kita menghadapi kesukaran kerana ia jauh daripada Selangor,” katanya.

Beliau berkata, badminton juga memerlukan sejumlah peruntukan sewajarnya demi memenuhi keperluan atlet untuk tujuan latihan dan penyertaan dalam pertandingan.

Katanya, badminton adalah antara sukan popular dan menjadi tumpuan di negara ini dengan Selangor antara negeri utama dalam melahirkan bakat baru.

“Dengan peruntukan agak terhad, badminton Selangor tetap mencatat pencapaian baik dalam pertandingan seperti Sukan Sukma lalu dengan dua pingat emas.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri diminta menyediakan kemudahan lebih baik untuk kebaikan pemain badminton negeri,” katanya.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Pasukan badminton kebangsaan optimis beri persembahan terbaik KL2017

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Pasukan badminton kebangsaan tetap optimistik dan akan memberikan persembahan terbaik walaupunn bakal beraksi tanpa pemain utama negara, pada Sukan SEA 2017 (KL2017),

Chef de mission Malaysia, Datuk Marina Chin berkata, semua atlet terpilih sedang giat berlatih untuk melakukan yang terbaik, pada temasya itu.

“Untuk badminton, kami mempunyai jumlah pemain senior dan junior yang seimbang. Kami dapat lihatmereka mempunyai semangat juang yang tinggi,” katanya lapor BERNAMA ketika melawat atlet berkenaan, di sini, hari ini.

badminton campuranTiga pemain negara yang memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik Rio, Datuk Lee Chong Wei bagi perseorangan lelaki dan beregu Goh V Shem-Tan Wee Kiong bersama Zulfadli Zulkifli tidak akan bertanding pada Sukan SEA kali ini memandangkan tarikhnya bertindih dengan Kejohanan Dunia BWF 2017 di Glasgow, Scotland.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen berkata, kecederaan yang dialami juara remaja dunia 2015, Goh Jin Wei tidak serius berdasarkan dua imbasan MRI.

“Beliau akan pulih sepenuhnya menjelang kejohanan itu nanti,” katanya.

Pemain berusia 17 tahun itu mengalami kecederaan pada bahagian buku lali ketika Kejohanan Remaja Asia di Jakarta, pada 24 Julai lalu dan kini beransur pulih serta yakin dapat beraks,i pada temasya KL2017.

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Persatuan Pemandu Kontena Selangor anjur pertandingan badminton Piala YB Amirudin Shari

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KLANG, 15 JAN: Buat julung kalinya Persatuan Pemandu-Pemandu Kontena Negeri Selangor (PPKS) menganjurkan Pertandingan Badminton Beregu Lelaki antara Haulier Piala YB Amirudin Shari, hari ini.

Pengarah Program, Amat Safii berkata, Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan menyumbangkan hadiah platinum berjumlah RM5,300 bagi menjayakan lagi pertandingan itu.

“Program ini adalah julung kali diadakan di Selangor juga Malaysia untuk pemandu kontena.

amat“Objektif utama kita adalah untuk memperkenalkan persatuan ini yang baru ditubuh empat tahun lalu pada 2012, di samping mengeratkan lagi silaturrahim. Kami juga amat berbesar hati Kerajaan Negeri dan YB Amirudin menyumbangkan hadiah platinum dalam penganjuran badminton kali ini,” katanya kepada SelangorKini.

Amat berkata, terdapat 53 pasukan yang menyertai pertandingan berkenaan iaitu 106 daripada pelbagai syarikat Haulier di Selangor dengan kos keseluruhan penganjuran RM23,000.

Selain Jawatan Kuasa Tetap Sukan, turut memberi sumbangan terbesar adalah Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pelabuhan Klang yang diselia Pegawai Penyelarasnya, Azmizam Zaman Huri, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Selat Kelang, Association Malaysia Haulier (AMH), Taipan Co, Agenda Wira, Superb Logistik, Scania dan Volvo.

Sementara itu, Pengerusi PPKS, Hisham Bakar turut melahirkan rasa syukur kerana persatuan yang ditubuhkan untuk membantu dan membela nasib pemandu kontena di Selangor mendapat kerjasama Kerajaan Negeri.

“Pertandingan ini sebagai permulaan program dan pengenalan kepada semua pemandu kontena di Selangor.

“Melihat kepada sambutan yang menggalakkan daripada peserta, kita akan merancang untuk menjadikannya sebagai acara tahunan,” katanya.

-NFN-