Categories
AGENDA NASIONAL

Bah di Terengganu, Kelantan makin buruk, bilangan mangsa pindah meningkat

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) — Keadaan banjir dilaporkan semakin buruk di Terengganu dan Kelantan apabila bilangan mangsa meningkat di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan masing-masing 3,434 orang dan 2,186 orang, setakat 5 petang ini.

Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan 67 PPS dibuka di lima daerah iaitu Kemaman, Hulu Terengganu, Besut, Setiu dan Dungun membabitkan 985 keluarga.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan, beberapa jalan ditutup kepada semua jenis kenderaan iaitu Jalan Pelantoh (Kampung Pelantoh), Jalan Teladas Air Putih (Jambatan Lama Teladas), Jalan Air Putih (Masjid Kampung Tebak), Jalan Air Putih (susur keluar Tol Chukai) dan Jalan Air Putih (Kampung Dadong-Sawah Padi) di Kemaman.

Selain itu, Jalan Jerteh-Keruak (Kampung Duek) dan Jalan Jerteh-Keruak (Kampung Jerubun), Besut; Jalan Pengkalan Merbau-Pelong (Kampung Seri Kenangan), Setiu; Jalan Tepus-Kuala Jengai (Kampung Rantau Panjang), Dungun dan Jalan Simpang Gaung-Simpang Sungai Tong (Kampung Kuala Ping) dan Jalan Bukit Diman-Tersat (Kampung Pengkalan Ajal), Hulu Terengganu.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan, lapan sungai iaitu Sungai Chalok, Sungai Setiu dan Sungai Nerus di Setiu; Sungai Telemong, Sungai Marang (Marang),  Sungai Kemaman dan Sungai Tebak di Hulu Terengganu serta Sungai Dungun telah melepasi paras bahaya.

Di KELANTAN, Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun, mengingatkan penduduk di negeri ini supaya tidak menjadikan bencana banjir sebagai pesta tahunan, walaupun situasi yang dihadapi ketika ini dianggap sebagai air hujan bertakung.

“Begitu juga warga emas atau orang dewasa yang mahu pergi melihat haiwan ternakan dan sebagainya sekiranya ditenggelami air, kalau boleh pergi ke tempat tersebut biarlah berteman bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas, di sini hari ini.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) memaklumkan, sebanyak 30 PPS dibuka masing-masing sembilan di Kuala Krai dan Tanah Merah manakala tujuh di Pasir Mas dan lima di Jeli melibatkan 622 keluarga.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan lima sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 35.27 meter (m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (25.69m), Sungai Kelantan di Temangan, Machang (22.04m), Sungai Kelantan di Kuala Krai (25.13m) dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.42m).

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Rumah dilanda bah, pengantin harung air ke masjid langsung majlis nikah

HULU TERENGGANU, 26 FEB: Seorang pengantin perempuan terpaksa mengharungi banjir beberapa meter untuk menuju ke Masjid Kampung Matang di sini bagi melangsungkan majlis pernikahannya pagi tadi.

Zaleha Ahamad, 25, berkata majlis pernikahan itu sepatutnya diadakan di rumahnya di Kampung Matang di sini, namun terpaksa bertukar lokasi ke masjid itu kerana rumahnya dinaiki air lebih satu meter sejak semalam.

“Mengikut perancangan asal, selepas bernikah, saya dan suami Sayed Khalil Khusairi Tuan Hamzah (26 tahun) terus bersanding di rumah namun apakan daya, ia terpaksa dibatalkan.

“Tak sangka majlis pernikahan yang sepatutnya menjadi kenangan indah seumur hidup bertukar menjadi begini. Namun, saya fikir positif bahawa pengalaman mengharung banjir ini akan menjadi sesuatu yang manis untuk kami kongsikan kepada anak cucu nanti,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Kampung Matang adalah antara kampung yang sering terjejas banjir di daerah Hulu Terengganu kerana lokasinya terletak di kawasan yang agak rendah berhampiran Sungai Telemong.

Anak keempat daripada enam beradik itu berkata dia tidak menyangka banjir akan berlaku kali ini kerana kebiasaannya banjir di daerah itu hanya terjadi dalam tempoh November hingga awal Januari sahaja.

“Majlis ini dirancang sebulan lepas kerana kedua-dua keluarga pengantin beranggapan banjir sudah selesai. Walaupun tidak dapat melalui pengalaman sepertimana pengantin lain, saya dan suami tetap bersyukur kerana telah menghalalkan ikatan perhubungan.

“Khemah untuk jamuan semua tetamu pula terpaksa dialihkan ke atas jalan kerana halaman rumah dinaiki air,” katanya yang mengenali suami sejak sekolah menengah.

Ketika ini, seramai 493 penduduk daripada 156 keluarga terjejas banjir di daerah Hulu Terengganu dan ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) daerah itu.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Mangsa diminta patuhi SOP bagi bendung jangkitan Covid-19

KUALA KRAI, 26 FEB: Semua mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di sekitar Kuala Krai di sini, dinasihatkan supaya tidak mengabaikan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan bagi mengelakkan penularan Covid-19 berikutan kes harian yang masih tinggi di Kelantan ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata mangsa banjir diminta sentiasa berwaspada dengan menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka sepanjang berada di PPS.

“Saya minta supaya mereka sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri, jaga had pergaulan semasa di PPS, patuhi arahan serta banyak bersabar dan solat,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Tinjauan Bernama di beberapa PPS di sini seperti di Pejabat Veterinar, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Embak dan SK Banggol Guchil mendapati tahap pematuhan SOP sangat baik dan semua mangsa banjir yang ditempatkan berada dalam keadaan selesa.

Kebanyakan mereka akur dengan arahan pihak berkuasa supaya berpindah ke PPS demi keselamatan masing-masing, meskipun wujud rasa bimbang dijangkiti virus Covid-19.

Seorang mangsa banjir, Jamilah Salleh, 63, berkata melihat angka kes harian yang tinggi di Kelantan, sedikit sebanyak merisaukannya sepanjang berada di PPS.

“Walaupun SOP yang ditetapkan di PPS masih dilaksanakan tetapi dengan keadaan sebegini (kes yang masih tinggi) saya harap tiada penularan Covid-19 di sini,” kata peniaga santan itu ketika ditemui di PPS Pejabat Veterinar di sini, hari ini.

Seorang suri rumah, Ruhayati Abd Rahman, 58, yang ditempatkan di PPS yang sama berkata beliau dan keluarga terpaksa akur untuk berpindah meskipun pada awalnya agak keberatan kerana bimbang dengan penularan wabak Covid-19.

“Saya sekeluarga tidak boleh buat apa-apa selain perlu segera berpindah ke PPS kerana trend air di sekeliling rumah semakin naik sejak malam tadi, saya hanya bertawakal kepada Allah supaya dijauhi daripada wabak itu,” katanya yang melapor diri di PPS tersebut pada pukul 7.30 pagi tadi.

Semalam, jumlah harian Covid-19 di Kelantan mencatatkan 1,836 kes dengan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R naught (Rt) adalah 1.14.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Jumlah penduduk Terengganu, Kelantan berpindah meningkat

KUALA TERENGGANU, 26 FEB: Hari kedua banjir di Terengganu menyaksikan peningkatan mendadak jumlah penduduk terjejas kepada 2,525 orang daripada 712 keluarga pagi ini berbanding 1,237 orang daripada 339 keluarga malam tadi.

Peningkatan itu susulan penambahan 29 lagi pusat pemindahan sementara (PPS) menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi ketika ini ialah sebanyak 51 buah di lima daerah.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan Dungun menjadi daerah terbaharu dilanda banjir di Terengganu dengan 69 individu daripada 24 keluarga ditempatkan di empat PPS ketika ini.

“Daerah Kemaman merekodkan jumlah tertinggi iaitu 1,203 orang daripada 328 keluarga di 18 PPS diikuti Hulu Terengganu (650 orang, 196 keluarga di 11 PPS), Setiu (198 orang, 71 keluarga di tujuh PPS) dan Besut (405 orang, 93 keluarga di 11 PPS).

Jumlah mangsa banjir di KELANTAN juga terus menunjukkan peningkatan setakat 8 pagi ini, iaitu 853 orang daripada 237 keluarga berbanding 400 orang daripada 113 keluarga, malam tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan sebanyak 21 PPS dibuka melibatkan masing-masing lapan di Tanah Merah dan Jeli manakala empat di Kuala Krai dan satu di Pasir Mas.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan beberapa sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya.

Sungai berkenaan ialah Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli merekodkan bacaan 29.75 meter (m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (26.79 m), Sungai Kelantan di Temangan, Machang (21.50 m), Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai (42.50 m) dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.32 m).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima sungai utama Kelantan pada paras bahaya, jumlah mangsa banjir terus meningkat

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu dan Kelantan, mencatatkan peningkatan malam ini.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,237 orang membabitkan 339 keluarga setakat 10 malam ini, berbanding 975 orang daripada 269 keluarga pada petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan 22 PPS beroperasi malam ini iaitu 12 di Kemaman, empat di Setiu dan masing-masing tiga di Hulu Terengganu dan Besut.

Di KELANTAN, mangsa banjir di Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli, meningkat kepada 400 orang daripada 113 keluarga setakat 9 malam ini berbanding 52 orang daripada 17 keluarga petang tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) memaklumkan sebanyak 11 PPS dibuka melibatkan masing-masing empat di Kuala Krai dan Tanah Merah manakala tiga di Jeli.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan lima sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli merekodkan bacaan 29.75 meter (m), Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai (40.31m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (26.38m), Sungai Kelantan di Temangan, Machang (18.87m) dan Kampung Sungai Nal di Kuala Krai (25.01m).

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan sistem cuaca tekanan rendah dijangka melanda sempadan negeri Pahang dan Terengganu hari ini, dan seterusnya bergerak ke barat laut merentasi Semenanjung yang boleh menyebabkan hujan lebat berterusan dan angin kencang.

Hujan lebat dan angin kencang berkenaan dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di Semenanjung sehingga 26 Feb, namun ramalan terkini menunjukkan kemungkinan sistem cuaca tekanan rendah itu untuk meningkat ke tahap Lekukan Tropika adalah rendah.

Sementara itu di SELANGOR, 10 buah rumah di Jalan Wangsa Utama, Taman Wangsa Permai, Sungai Buloh dilanda banjir kilat selepas tembok pagar perumahan di situ runtuh akibat hujan lebat berterusan sejak petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata runtuhan tersebut menyebabkan laluan air longkang terhalang hingga berlakunya banjir kilat setinggi 0.45 meter kira-kira 6.02 petang, bagaimanapun tiada pemindahan mangsa banjir dilaporkan.

Katanya kawasan lain di Sungai Buloh turut dilanda banjir kilat membabitkan Stesen Komuter Sungai Buloh, Kampung Cempaka 2, Kampung Paya Jaras Hilir dan Kampung Batu Gajah, selain menyebabkan beberapa insiden kenderaan dinaiki air.

“Selain itu, beberapa lokasi berisiko banjir yang kini dalam pemantauan iaitu Kunci Air Sri Muda, Kunci Padang Air Jawa dan Seksyen 13 masing-masing di Shah Alam, Kampung Sungai Laksamana dan Kampung Sungai Kertas (Selayang); Kampung Sungai Serai dan Kompleks Penghulu Batu 10 Cheras (Cheras).

“Turut dipantau Jalan Semenyih, Kampung Sungai Kantan, Pekan Kajang, Jalan Mendaling, Kampung Jambu dan Taman Muhibah di Kajang serta Bayu Permai, Taman Velox, Bandar Country Homes, Kampung Bakau, Pekan Rawang, Taman Tun Teja dan Taman Jati (Rawang),” katanya dalam kenyataan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hujan lebat berterusan, negeri Pantai Timur kembali dilanda banjir

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Hujan lebat berterusan di negeri-negeri di Pantai Timur sejak dua hari lepas menyebabkan beberapa daerah di Terengganu, Pahang dan Kelantan kembali dilanda banjir.

Di TERENGGANU, lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sejak pagi tadi iaitu tujuh di Kemaman dan satu di Setiu membabitkan 383 orang daripada 114 keluarga.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan 191 individu daripada 55 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Teladas, diikuti Balai Raya Padang Kubu (79 orang, 26 keluarga), Dewan Sivik Air Putih (50 orang, 12 keluarga), Masjid Kampung Dadong (tujuh orang, dua keluarga), Sekolah Kebangsaan Lembah Jabor (tujuh orang, dua keluarga), SK Air Putih (tujuh orang, dua keluarga) dan Balairaya Padang Kemunting (empat sekeluarga).

“Di Setiu pula, 38 individu daripada 14 keluarga ditempatkan di Balairaya Kampung Hulu Seladang,” menurut kenyataan itu.

Di KELANTAN, tiga PPS dibuka iaitu dua di Tanah Merah dan satu di Kuala Krai melibatkan 52 orang daripada 17 keluarga setakat 4 petang tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) memaklumkan dua PPS tersebut iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lawang dan SK Klewek di Tanah Merah serta Masjid Lama Keroh di Kuala Krai.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiga sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lanas di Air Lanas merekodkan bacaan 29.75 meter (m), Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai (37.54 m) dan Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (25.19 m).

Di KUANTAN, kawasan di Kampung Bantal, Jerantut yang bersebelahan Sungai Tembeling dinaiki air sejak tengah malam tadi namun tiada PPS dibuka setakat ini.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bantal Zamzarina Manap berkata ia melibatkan beberapa kedai runcit, kedai makan dan chalet.

Berdasarkan JPS melalui laman web rasminya memaklumkan paras air di dua sungai di Pahang sudah melebih paras waspada iaitu Sungai Tembeling di Jerantut dan Sungai Keratong di Rompin.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan sistem cuaca tekanan rendah dijangka melanda sempadan negeri Pahang dan Terengganu hari ini, dan seterusnya bergerak ke barat laut merentasi Semenanjung yang boleh menyebabkan hujan lebat berterusan dan angin kencang.

Hujan lebat dan angin kencang berkenaan, dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di Semenanjung sehingga 26 Feb, namun ramalan terkini menunjukkan kemungkinan sistem ini untuk meningkat ke tahap Lekukan Tropika adalah rendah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor, negeri pantai timur diutamakan naik taraf ban atasi banjir

KUALA TERENGGANU, 24 FEB: Langkah mitigasi terutama usaha menaik taraf ban bukan sahaja difokuskan kepada negeri sering dilanda banjir seperti di pantai timur malah termasuk di Selangor, walaupun negeri itu jarang mengalami banjir besar seperti baru-baru ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata setiap kali dilanda banjir, negara mengalami kerugian sangat besar sehingga berbilion ringgit, justeru penyelesaian secara one-off perlu dilaksanakan segera dengan turut mengambil kira negeri itu.

“Kita akan bagi keutamaan (naik taraf ban) kawasan biasa berlaku banjir seperti negeri-negeri di pantai timur seperti Kelantan, Terengganu, Pahang serta Johor dan termasuk juga di Selangor yang sebelum ini tidak pernah (banjir besar).

“Contoh seperti di Selangor, kita tengok ban yang ada sudah tidak memadai dan perlu ditinggikan atas faktor cuaca, paras air laut yang semakin meningkat dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak cadangan projek menaik taraf parit di Kampung Kubang Parit di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan media baru-baru ini yang menyatakan penduduk yang tinggal di pesisir pantai berisiko diancam impak melampau perubahan iklim dalam tempoh 10 tahun akan datang jika langkah mitigasi terutama usaha menaik taraf ban pantai tidak dilaksanakan segera.

Ditanya mengenai peruntukan khusus untuk menaik taraf ban, Tuan Ibrahim berkata jumlahnya tidak dapat dinyatakan lagi, namun ia akan melibatkan peruntukan yang agak besar.

Beliau berkata peruntukan yang diperlukan bagi cadangan penyelesaian jangka masa panjang fenomena banjir di seluruh negara melebihi RM300 bilion dengan tempoh pelaksanaan secara berfasa sehingga 2100.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata dianggarkan lebih kurang RM10 bilion diperuntukkan untuk menaik taraf pelbagai sistem termasuk ban, tebatan banjir, saliran bandar dan pemuliharaan sumber air di seluruh negara.

Sementara itu, mengenai projek di Kampung Kubang Parit, beliau berkata sebanyak RM4.5 juta diperuntukkan untuk kerja melibatkan proses naik taraf parit tanah kepada longkang konkrit sepanjang kira-kira satu kilometer.

“Kawasan ini asalnya ialah kawasan pertanian tapi sudah banyak berubah sebab banyak perumahan, jadi kita dapati sistem perparitan ini perlu diselenggara dengan baik… Projek ini dijangka mengambil masa setahun untuk disiapkan,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
ADN SELANGOR

MBI sumbang baucar persekolahan kepada mangsa banjir Sabak Bernam

SHAH ALAM, 24 FEB: Lebih 40 mangsa banjir di Sabak Bernam pada Disember lalu menerima bantuan baucar persekolahan RM100 pada Selasa.

Speaker Dewan Negeri Selangor berkata sumbangan daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu bertujuan meringankan beban penduduk dalam menyediakan keperluan sekolah anak masing-masing.

“Sabak Bernam (banjir) tidak melibatkan mangsa yang ramai tetapi Kerajaan Selangor tetap membantu mereka.

“Ini menunjukkan kita mengambil berat terhadap semua golongan masyarakat dan mahu membantu mangsa yang terbebas,” kata Ng Suee Lim di majlis berkenaan.

Ahli Dewan Negeri Sekinchan itu berkata semua mangsa turut menerima Bantuan Selangor Bangkit sebanyak RM1,000 daripada Kerajaan Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bantuan banjir: Ringan beban beli peralatan rumah

KLANG, 24 FEB: Penerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) menganggap sumbangan dari Kerajaan Negeri itu mampu meringankan beban kewangan mereka untuk membeli perkakasan rumah yang musnah akibat banjir Disember lalu.

Justeru, seorang mangsa banjir di Klang Chen Fook Chai, 51, segera meminta pelepasan daripada majikan selepas dimaklumkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang mengenai tarikh dan masa bagi menerima bantuan itu.

Beliau amat gembira apabila menerima panggilan dari PDT Klang selepas menunggu hampir dua bulan dan memaklumkan menghantar permohonan kepada ketua kampung akhir Disember lepas.

“Saya menghubungi majikan untuk memohon pelepasan kerja supaya dapat hadir mengambil sumbangan RM1,000 di Dewan Serbaguna di sini.

“Saya enggan terlepas tarikh dan masa yang ditetapkan kerana ia amat diperlukan ketika ini.

“Kalau ikutkan banyak benda yang saya mahu beli, terutama peti ais kerana yang ada sekarang milik kawan saya. Jadi, selepas ini saya boleh pulangkan semula kepadanya,” katanya ditemui semalam.

Bagi Mazlan Mohammad Jais, 62, walaupun terpaksa menunggu lama, beliau memahami pegawai terbabit perlu teliti sebelum menyerahkan bantuan kepada penerima.

Bapa lima anak itu berkata, dia sekeluarga mahu menggunakan wang berkenaan untuk membeli almari pakaian dan kasut baharu.

“Saya buat permohonan seminggu selepas banjir, Alhamdulillah hari ini (semalam) dapat bantuan. Tempoh menunggu tidaklah terlalu lama kerana mereka (pegawai) perlu tapis satu per satu borang pemohon.

“Jadi, tiada masalah bagi saya kerana yang penting bantuan sampai selain berterima kasih kepada pegawai kerana membantu kelancaran agihan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

10,000 lagi mangsa bah Klang terima bantuan hari ini

SHAH ALAM, 24 FEB: Agihan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) diteruskan hari ini membabitkan seramai 10,000 keluarga terjejas banjir sekitar Klang.

Pegawai daerahnya berkata sesi penyerahan bantuan RM1,000 dijalankan di Dewan MBSA Kemuning Utama, Dewan Seri Kerayong, Kompleks Sukan Pandamaran dan Dewan TNB Kapar mulai jam 3 petang hingga 8.30 malam.

Mohd Faizal Abdul Raji memaklumkan perkembangan itu menjadikan keseluruhan penerima 55,654 dengan perbelanjaan sebanyak RM55.654 juta.

Sementara itu, pemohon yang mahu mendapatkan bantuan melalui pemindahan ke akaun (EFT) bank boleh kemas kini maklumat di pautan https://www.selangor.gov.my/klang.php/database_stores/form/28 .

Mereka perlu mengemukakan nombor kad pengenalan, nama, nombor akaun bank, nama bank, gambar tangkap layar muka depan penyata bank, gambar swafoto memegang kad pengenalan dan nombor telefon.

Semalam, Dato’ Menteri Besar berkata mangsa banjir di daerah terbabit boleh menerima BSB sebanyak RM1,000 setiap keluarga melalui EFT bank masing-masing.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari jika mereka memerlukan sumbangan wang tunai, penerima digesa menepati waktu dan tarikh ditetapkan bagi mengelak beratur panjang.

Susulan banjir besar Disember lalu, Kerajaan Negeri menyediakan RM100 juta bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bantuan bah RM1,000 ringan beban mangsa ganti perkakas rumah rosak

KLANG, 24 FEB: Seorang warga emas berhasrat menggunakan bantuan RM1,000 untuk membeli katil baharu selepas hampir dua bulan tidur di lantai beralaskan tilam lusuh.

Kamariah Abdul Wahid. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Kamariah Abdul Wahid, 60, berkata Bantuan Selangor Bangkit (BSB) yang diperoleh sedikit sebanyak menampung kos pembelian tanpa perlu membelanjakan wang sendiri.

“Walaupun perlu menunggu sedikit masa, tetapi saya bersyukur kerana akhirnya dapat bantuan. Sekurang-kurangnya wang ini boleh digunakan untuk ganti perabot yang rosak terutama katil dan tilam.

“Sejak kejadian banjir Disember tahun lepas, saya dan keluarga hanya tidur atas tilam buruk. Kadang-kadang kasihan melihat tiga anak saya tidur dalam keadaan tidak selesa,” kata ibu tiga anak yang menetap di Taman Cempaka Sari Fasa Tiga di sini.

Kamariah antara 2,500 mangsa banjir di Klang yang menerima bantuan berkenaan di Dewan Serbaguna Pejabat Tanah dan Daerah Klang dekat sini semalam.

Zaiton Hassan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Zaiton Hassan, 62, turut mahu membelanjakan sumbangan tersebut untuk membeli katil baharu dan peralatan elektrik yang rosak akibat ditenggelami banjir.

“Alhamdulillah, sangat senang hati boleh ganti barang musnah melalui sumbangan ini. Di rumah ketika ini hanya ada satu katil terpakai yang dibeli oleh anak saya tetapi tidak muat kerana saya memiliki enam anak tinggal serumah.

“Saya berterima kasih kepada ketua kampung kerana membantu membuat permohonan sehingga berjaya mendapat bantuan hari ini. Tidak lupa juga pihak terlibat yang sudi menghulurkan sumbangan lain sepanjang tempoh menunggu bantuan ini.

Durairaj Manoharan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bagi Durairaj Manoharan, 43, berkata impian untuk membeli perkakas elektrik yang hanyut dibawa arus banjir tidak akan kesampaian tanpa bantuan tersebut.

Menurut bapa empat anak yang tinggal di Kapar, pendapatan bulanan sebagai pekerja kilang tidak cukup untuk membeli sendiri kelengkapan tersebut berikutan harga semakin mahal.

“Buat masa ini saya guna apa yang ada sahaja, jadi dengan bantuan ini saya boleh ganti kelengkapan baharu secepat mungkin.

“Kalau harapkan gaji sendiri tentu tidak mampu, sekurang-kurangnya bantuan RM1,000 ini dapat meringankan beban kami sekeluarga,: katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mangsa bah dinasihat hadir waktu ditetap, elak beratur panjang

KLANG, 24 FEB: Penerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) sekitar Klang dinasihatkan tidak terburu-buru ke lokasi serahan sebaliknya hadir mengikut waktu ditetapkan.

Pegawai Daerah Klang Mohd Faizal Abdul Raji berkata pihaknya mendapati ramai hadir seawal jam 12.30 tengah hari serta sanggup berpanas kerana bimbang tidak akan memperoleh bantuan RM1,000.

“Kita menetapkan masa dari jam 3 petang hingga 8.30 malam, tetapi masih ada datang terlalu awal kerana tidak sabar. Sebenarnya mereka tidak perlu risau memandangkan tempoh diberikan itu memang cukup.

“Malah, kita juga akan melanjutkan masa sehingga jam 9 malam jika masih ada yang beratur di luar. Jadi, diharap mereka boleh bersabar kerana peruntukan disediakan juga cukup untuk penerima layak,” katanya.

Beliau ditemui di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Klang dekat sini, beliau memaklumkan seramai 2,500 keluarga terjejas banjir sekitar daerah itu menerima bantuan di lokasi terbabit hari ini.

Sebelum itu, Dato’ Menteri Besar menggesa mangsa banjir di Klang yang memerlukan sumbangan BSB secara tunai supaya menepati waktu dan tarikh ditetapkan bagi mengelak beratur panjang.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pemohon memilih untuk mengambil sendiri menyebabkan berlaku kesesakan di tempat agihan semalam.

Pada Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan RM100 juta bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.

Amirudin sebelum ini menganggarkan kerugian sekitar RM1.4 bilion susulan bah termasuk kos baik pulih infrastruktur kira-kira RM400 juta.