Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor, negeri pantai timur diutamakan naik taraf ban atasi banjir

KUALA TERENGGANU, 24 FEB: Langkah mitigasi terutama usaha menaik taraf ban bukan sahaja difokuskan kepada negeri sering dilanda banjir seperti di pantai timur malah termasuk di Selangor, walaupun negeri itu jarang mengalami banjir besar seperti baru-baru ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata setiap kali dilanda banjir, negara mengalami kerugian sangat besar sehingga berbilion ringgit, justeru penyelesaian secara one-off perlu dilaksanakan segera dengan turut mengambil kira negeri itu.

“Kita akan bagi keutamaan (naik taraf ban) kawasan biasa berlaku banjir seperti negeri-negeri di pantai timur seperti Kelantan, Terengganu, Pahang serta Johor dan termasuk juga di Selangor yang sebelum ini tidak pernah (banjir besar).

“Contoh seperti di Selangor, kita tengok ban yang ada sudah tidak memadai dan perlu ditinggikan atas faktor cuaca, paras air laut yang semakin meningkat dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak cadangan projek menaik taraf parit di Kampung Kubang Parit di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan media baru-baru ini yang menyatakan penduduk yang tinggal di pesisir pantai berisiko diancam impak melampau perubahan iklim dalam tempoh 10 tahun akan datang jika langkah mitigasi terutama usaha menaik taraf ban pantai tidak dilaksanakan segera.

Ditanya mengenai peruntukan khusus untuk menaik taraf ban, Tuan Ibrahim berkata jumlahnya tidak dapat dinyatakan lagi, namun ia akan melibatkan peruntukan yang agak besar.

Beliau berkata peruntukan yang diperlukan bagi cadangan penyelesaian jangka masa panjang fenomena banjir di seluruh negara melebihi RM300 bilion dengan tempoh pelaksanaan secara berfasa sehingga 2100.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata dianggarkan lebih kurang RM10 bilion diperuntukkan untuk menaik taraf pelbagai sistem termasuk ban, tebatan banjir, saliran bandar dan pemuliharaan sumber air di seluruh negara.

Sementara itu, mengenai projek di Kampung Kubang Parit, beliau berkata sebanyak RM4.5 juta diperuntukkan untuk kerja melibatkan proses naik taraf parit tanah kepada longkang konkrit sepanjang kira-kira satu kilometer.

“Kawasan ini asalnya ialah kawasan pertanian tapi sudah banyak berubah sebab banyak perumahan, jadi kita dapati sistem perparitan ini perlu diselenggara dengan baik… Projek ini dijangka mengambil masa setahun untuk disiapkan,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Juruukur main peranan penting pembangunan negara

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Juruukur memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, terutama apabila maklumat geospatial penting untuk membuat keputusan, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata pada masa ini, maklumat geospatial menyediakan platform integratif untuk semua data digital yang mempunyai dimensi lokasi kepadanya.

Pihak berkuasa, katanya, tidak boleh mentadbir apabila tidak mengetahui sempadan dan ciri-ciri fizikal negara, dan menambah di Malaysia banyak maklumat sedemikian telah dihasilkan dan disediakan oleh juruukur.

“Ia memberikan maklumat antara tempat, rakyatnya dan aktiviti mereka.

“Ia juga digunakan untuk menggambarkan apa yang berlaku di mana, membantu kita memahami mengapa dan dengan berkesan mereka bentuk respons dan intervensi yang sesuai. Adalah penting bahawa kita mempunyai ‘bagaimana’,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Kongres Juruukur Antarabangsa ke-21, yang menggabungkan Seminar Antarabangsa Pengurusan Maklumat Geospatial Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini semalam.

Turut hadir pada acara sehari itu ialah Penasihat Antara Serantau Sekretariat Pengurusan Maklumat Geospatial Global PBB, Greg Scott, dan Presiden Institut Juruukur Diraja Malaysia (RISM), Mohammad Azmi Mohd Zin.

Xavier berkata kerajaan perlu mengetahui bagaimana untuk memastikan akses dan penggunaan air, tanah, sumber asli yang saksama dan lestari.

Beliau berkata maklumat geospatial digambarkan sebagai ‘mata wang digital’ negara bagi membuat keputusan berasaskan bukti, komponen penting dalam ekonomi pengetahuan.

“Saya juga percaya kerajaan perlu memainkan peranan dalam memacu dan menyokong kolaborasi seluruh sektor untuk data dan maklumat yang boleh dipercayai dan tepat untuk respons berdasarkan bukti,” katanya.

Beliau berkata beberapa trend penting yang didorong oleh teknologi mungkin mempunyai impak besar pada masa depan, mewujudkan jumlah maklumat rujukan yang tidak dapat dibayangkan sebelum ini dan mempersoalkan pemahaman orang mengenai apa yang menjadi maklumat geospatial.

Acara itu menarik kira-kira 500 juruukur dari pelbagai disiplin ukur di Malaysia bersama-sama dengan 33 wakil pakar negara anggota PBB dan 11 pakar dari sistem PBB serta pihak berkepentingan yang berkaitan.

Wakil pakar adalah dari 25 negara, termasuk Malaysia.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Air Selangor operator tunggal bekalan air di Lembah Klang

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PUTRAJAYA, 4 JAN: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bakal beroperasi sebagai operator tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula 1 April ini.

Ia susulan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air melalui perjanjian tambahan ketiga kepada perjanjian utama penstrukturan semula industri berkenaan yang ditandatangani di Grand Ballroom, Hotel Marriott di sini, hari ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, melalui perjanjian itu, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bersetuju menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM1.9 bilion bagi membantu Air Selangor mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

“Pembiayaan PAAB dengan kadar faedah kompetitif dan jangka bayar balik yang panjang mampu mengurangkan tekanan ke atas tarif air ke atas pengguna.

“Air Selangor juga berjaya melaksanakan obligasinya di bawah Perjanjian Utama ditandatangani pada 2014 untuk mengambil alih keempat-empat syarikat konsesi iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan SPLASH.

“Pengambilalihan PNSB, ABASS dan SYABAS juga sudah selesai dilaksanakan sebelum ini dengan nilai pengambilalihan berjumlah RM1.68 bilion,” katanya.

Terdahulu, majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Raja Puji; Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, Dato’ Dr Tan Yew Chong dan Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad, Dato’ Seri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron.

Dr Xavier berkata, kejayaan pengambilalihan itu membolehkan Air Selangor beroperasi sebagai operator tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Katanya, ia dikawal selia melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 655).

“Melalui sistem ini, prestasi syarikat dalam melaksanakan perkhidmatan serta kualiti perkhidmatan bekalan air akan dikawal selia melalui petunjuk prestasi utama serta syarat perlesenan lain ditetapkan SPAN.

“Oleh yang demikian, kepentingan semua pihak berkepentingan khususnya pengguna akan sentiasa terjaga serta terjamin dari semasa ke semasa,” katanya.

Categories
NASIONAL

Xavier jamin isu air selesai

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 3 JUL: Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar memberi jaminan, isu air berlarutan di negeri itu akan diselesaikan segera dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata, perbincangan sudah diadakan dengan pihak terbabit, termasuk Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berhubung perkara itu, dan sehingga kini tidak banyak lagi isu yang perlu dimuktamadkan.

“Ada sedikit lagi perkara yang belum dipersetujui, namun kita percaya ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Saya juga akan minta jemaah menteri lanjutkan tempoh sebulan lagi,” katanya dipetik Free Malaysia Today, pada sidang media di hari ini.

Terdahulu, Xavier yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat itu melapor diri di Wisma Sumber Asli hari ini selepas mengangkat sumpah menerajui kementerian itu, semalam.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian, Dato’Seri Azizan Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan serta agensi di bawah kementerian yang baru diwujudkan itu.

Mengulas lanjut, Xavier berkata, tarikh akhir untuk mengetahui kedudukan berhubung penstrukturan semula industri air di negeri itu sepatutnya berakhir esok.

Bagaimanapun katanya, semua pihak terlibat turut komited menyelesaikan isu itu dengan segera.

“Jangan kita bincangkan tentang masa lalu, tetapi lihat ke masa depan, saya rasa kita bersedia menyelesaikan masalah ini yang telah berlarutan. Semua pihak bersedia menyelesaikannya dalam masa sebulan,” katanya.

Sebelum itu, jaminan untuk menyelesaikan isu air dalam tempoh 100 hari turut terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan sebelum memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Abdul Khalid Jumpa KETTHA Bincang Penstrukturan Semula Air Minggu Depan

mb kejohanan golf worldwide 2013 01

DAMANSARA 18 JUN : Perbincangan awal mengenai penstrukturan semula industri air dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dijangka akan diadakan minggu depan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid memaklumkan satu temujanji sudah diatur oleh pejabatnya dengan pihak kementerian.

Katanya, pertemuan antara pihak Kementerian itu akan dihadiri oleh beliau sendiri.

“Seperti yang kita tahu, Menteri Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili sebelum ini menyatakan persediaan untuk bertemu saya bagi membincangkan perkara ini.

“Oleh itu, saya akan bertemu dengan pihak Kementerian minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Cheque daripada penaja-penaja Kejohanan Golf Worlwide Holdings di Kelab Seri Selangor, di sini.

Abdul Khalid menambah temujanji itu akan diadakan sebagai permulaan awal sebelum perbincangan terperinci mengenai isu itu.

Proses penstrukturan semula industri air dimulakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat tahun lepas sebagai usaha mengambilalih operasi bekalan, rawatan dan pengedaran daripada empat syarikat swasta.

Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion untuk mengambilalih empat syarikat tersebut dan setakat ini mereka telah memberi respons positif terhadap tawaran itu.

Dalam majlis hari ini, Abdul Khalid berkata sebanyak RM 4.35 juta hadiah termasuk empat buah kereta jenis Toyota ditawarkan untuk kejohanan golf tersebut yang berlangsung daripada 20 hingga 23 Jun ini.

Kejohanan Golf Pro Am kali ke enam itu, menampilkan Juara tahun lalu, Thaworn Wiratchant (Thailand) yang dijangka akan mempertahankan kejuaraannya.

Turut berentap Lin Wen Tang (Chinese Taipei), Scott Hend (Australia) dan Anirbon Lahiri (India).