Categories
ADN SELANGOR

Bantuan makanan lebih RM20,000 untuk penduduk Kuala Kubu Bharu

SHAH ALAM, 18 OGOS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu memperuntuk lebih RM20,000 untuk bantuan bakul makanan kepada golongan memerlukan sejak 1 Ogos hingga Ahad lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN)nya berkata pusat khidmat menyalurkan bantuan tersebut setiap hari supaya tiada penduduk terputus bekalan makanan.

“Laporan menunjukkan kami telah menghantar sebanyak RM22,974.50 makanan untuk mereka memerlukan pada 1 hingga 15 Ogos,” kata Lee Kee Hiong menerusi Facebook.

Kepada penduduk DUN itu yang memerlukan bantuan boleh menghubungi talian 0111-550 9837.

Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan setiap DUN menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ahli parlimen Pakatan Harapan berjumlah RM30,000.

Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Sementa lancar bantuan makanan bulanan kepada penduduk terjejas

SHAH ALAM, 11 OGOS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa melancarkan program bakul ihsan bagi membantu keluarga yang hilang punca pendapatan susulan pandemik Covid-19, kata penyelarasnya.

Mohd Saadon Muah berkata bantuan bulanan secara tetap mulai bulan ini sehingga wabak berakhir membabitkan 60 penerima dari 12 kampung yang sudah dikenal pasti.

“Menerusi program ini penerima diberikan bantuan makanan asas antaranya beras, gula dan minyak berjumlah RM100 sebulan.

“Diharap langkah ini dapat membantu mereka daripada terputus bekalan makanan,” katanya ditemui di Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Hotel De Palma, hari ini.

Mohd Saadon berkata mulai minggu ini juga pihaknya mengagihkan 1,200 bungkusan sayuran secara berperingkat bagi membantu lebih ramai penduduk yang terjejas Covid-19.

“Bungkusan mengandungi empat jenis sayuran. Seramai 100 penduduk di setiap kampung akan terima bantuan ini dan setiap minggu kita agihkan dalam 300 bungkus.

“Sepanjang Januari hingga Julai ini, hampir 5,000 bakul makanan diagihkan sekitar DUN. Jumlah ini tidak termasuk penerima yang dikuarantin,” katanya.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan tambahan RM50,000 setiap DUN bagi menjayakan Program Bakul Makanan menerusi Pakej Kita Selangor 2.0.

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS agih bantuan makanan kepada keluarga asnaf terjejas di Sungai Panjang

SHAH ALAM, 3 OGOS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bakul makanan kepada beberapa keluarga asnaf terkesan di Parit 12 Sungai Panjang dekat sini.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan bantuan tersebut diuruskan cawangan Sabak Bernam untuk golongan berkaitan di kariah Masjid Nurul Falah hasil maklumat Penolong Amil Kariah (PAK).

“Kerjasama diberikan oleh PAK memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka memerlukan dengan kadar segera,” katanya.

LZS berterima kasih kepada pembayar zakat dan menjelaskan tanggungjawab dipukul bersama dengan baik bagi memastikan amanah tersebut dapat dilaksanakan sebaiknya.

Categories
ADN SELANGOR

ADN Bukit Melawati edar 1,000 bantuan makanan untuk individu dikuarantin

KUALA SELANGOR, 1 OGOS: Sebanyak 1,000 bakul makanan telah diedar kepada individu yang dikuarantin di Bukit Melawati sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh.

Ahli Dewan Negeri (ADN)nya berkata pusat khidmatnya banyak menerima permohonan daripada golongan berkaitan di mana hampir 10 keluarga memohon dalam masa sehari.

“Sebelum ini kita buka kepada semua tetapi kali ini khusus kepada mereka yang dikuarantin.

“Sejurus menerima laporan, bantuan bakul makanan akan terus dihantar pada hari yang sama,” kata Juwairiya Zulkifli ketika ditemui pada Porgram Vaksin Selangor (Selvax) di Dewan Bandar Baru di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu, pihaknya juga menerima permohonan bantuan peranti dalam kalangan pelajar sekolah serta universiti dengan 15 komputer riba telah diagihkan bagi membantu mereka mengikuti kelas secara dalam talian.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor mengumumkan jumlah peruntukan kepada wakil rakyat bagi menjayakan program Mesra Rakyat ditambah kepada RM100,000 tanpa mengira fahaman politik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tambahan RM50,000 diberi kepada mereka bagi mengagih bantuan makanan kepada penduduk terjejas.

Kerajaan Negeri juga menyalur RM30,000 kepada ahli parlimen Pakatan Harapan yang tidak menerima peruntukan peringkat Persekutuan bagi memudahkan mereka membantu rakyat.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat agih barang dapur, tidak ketepikan warga asing

PETALING JAYA, 31 JULAI: Warga asing sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan tidak terkecuali menerima bantuan makanan sejak perintah kawalan ketat dikenakan awal Jun lalu.

Ahli Dewan Negerinya (ADN) Elizabeth Wong berkata golongan tersebut yang hilang pendapatan akibat Covid-19 membuat permohonan melalui Facebook, sistem pesanan ringkas dan borang dalam talian.

“Kita tidak meminggirkan warga asing kerana memahami kesempitan dihadapi mereka yang tidak bekerja selama dua bulan. Mereka menerima barang keperluan bernilai antara RM70 hingga RM80 bergantung pada bekalan.

“Selain makanan asas, mereka diberi makanan bermasak yang disumbangkan peniaga kendera saji dan kafeteria,” katanya menambah lebih 1,000 keluarga mendapat manfaat termasuk rakyat tempatan.

Beliau ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall di sini semalam.

Wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei pula berkata pusat khidmatnya akan mengedarkan lampin pakai buang dan susu bayi serta dewasa mulai minggu depan.

“Inisiatif ini memang ada dalam perancangan pusat khidmat saya memandangkan banyak permohonan diterima daripada penduduk yang memerlukan bantuan tersebut.

“Bagaimanapun, program bakul makanan berjalan seperti biasa kerana sekarang waktu mencabar untuk semua orang dan kita akan bantu sehabis baik bagi mengurangkan beban penduduk,” katanya.

Sementara itu, ADN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran memaklumkan sebanyak 10 pek makanan asas bernilai RM50 meliputi beras, telur, sayur, gula dan garam diedarkan kepada penduduk setiap hari.

“Barang keperluan ini akan terus dihantar kepada mereka yang menghubungi pusat khidmat tanpa mengambil kira latar belakang keluarga terbabit kerana kita percaya pemohon benar-benar memerlukan,” katanya.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais agih bantuan makanan ke Gombak termasuk 277 keluarga Orang Asli

SHAH ALAM, 30 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan bantuan makanan kepada 376 keluarga sekitar Gombak, Hulu Langat dan Hulu Selangor yang terkesan akibat Covid-19.

Agensi itu dalam kenyataan menyebut bantuan meliputi beras, minyak, tepung dan gula turut diserahkan kepada 277 keluarga Orang Asli termasuk yang bukan beragama Islam.

“Bantuan ini melibatkan peruntukan berjumlah RM37,600 bagi membantu keluarga terkesan pandemik hingga dikategorikan sebagai asnaf sementara.

“Mais juga menggunakan dana Baitulmal bagi membantu Orang Asli yang bukan Islam. Semoga sumbangan ini meringankan beban penerima,” kata Mais di Facebooknya semalam.

Sementara itu, salah seorang penerima dari Kampung Orang Asli Batu 12 Nor Zalina Jumbai menghargai bantuan terbabit yang mampu meringankan bebannya sekeluarga.

“Saya gembira dan terharu atas sumbangan ini. Terima kasih kepada Mais kerana menghulurkan bantuan,” katanya.

 

Categories
ADN SELANGOR

Ribuan penduduk Kajang termasuk pekerja asing dapat bantuan makanan

KAJANG, 26 JULAI: Hampir 2,000 bakul makanan diagihkan kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang terjejas sepanjang tempoh perintah kawalan.

Wakil rakyatnya Hee Loy Sian berkata bantuan turut diagihkan kepada pekerja asing yang terputus sumber pendapatan berikutan tidak dapat keluar bekerja.

“Kebanyakan penduduk yang terkesan kerana diberhentikan kerja dan tidak dapat keluar bekerja untuk menyara keluarga,” katanya ketika ditemui pada program Selvax Komuniti di Dewan Seri Cempaka hari ini.

Beliau berkata sebanyak 1,000 bakul makanan lagi akan diagihkan kepada penduduk terkesan untuk fasa ketiga bermula Ogos ini.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor mengumumkan jumlah peruntukan kepada wakil rakyat bagi menjayakan program Mesra Rakyat ditambah kepada RM100,000 tanpa mengira fahaman politik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tambahan RM50,000 diberi kepada mereka bagi mengagih bantuan makanan kepada penduduk terjejas.

Kerajaan Negeri juga menyalur RM30,000 kepada ahli parlimen Pakatan Harapan yang tidak menerima peruntukan peringkat persekutuan bagi memudahkan mereka membantu rakyat.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais agih bantuan makanan kepada 331 keluarga di enam daerah

SHAH ALAM, 24 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) semalam mengedarkan makanan asas kepada 331 keluarga di enam daerah yang terkesan akibat Covid-19.

Jabatan memaklumkan sumbangan fidyah disalur kepada penerima sekitar Kuala Langat, Sepang, Hulu Langat, Gombak, Hulu Selangor dan Sabak Bernam berupa beras, minyak masak, gula serta tepung membabitkan peruntukan RM33,100.

“Mais berterima kasih kepada semua pembayar fidyah terutama di Selangor dan semoga dapat membantu meringankan beban mereka,” menurut kenyataan di Facebook.

Agihan dibuat melalui 20 rakan strategik agihan fidyah Mais terdiri daripada Pejabat Agama Islam Daerah dan Kompleks Islam Daerah bagi penyediaan dapur fidyah.

Rakan strategik turut melibatkan Sahabat Hospital Selayang, Sahabat Hospital Kuala Kubu Bharu, Maahad Tahfiz, Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Rendah Agama Islam, masjid serta surau.

“Mereka (rakan strategik) banyak membantu dalam mengenal pasti golongan memerlukan terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS sedia 26,350 bantuan makanan untuk individu terjejas pandemik

PETALING JAYA, 23 JULAI: Sejumlah 26,350 bakul makanan disediakan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk diagihkan kepada individu terkesan Covid-19 sehingga Disember ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata sumbangan itu diberi kepada polis, amil kariah masjid dan jawatankuasa penduduk menerusi inisiatif bantuan di bawah Zakat Selangor Peduli.

“Inisiatif ini adalah memudahkan LZS membantu individu terjejas pendapatan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan kadar segera.

“Setakat ini kita mengagihkan lebih 3,500 bakul makanan sejak PKP 3.0 dan ini tidak termasuk proses sanitasi serta bantuan kepada pemandu bas serta teksi,” kata Saipolyazan M Yusop ketika ditemui dalam majlis penyerahan bakul makanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Beliau memaklumkan orang ramai yang mempunyai maklumat atau terputus bekalan makanan diminta terus menghubungi pejabat LZS dan juga boleh merujuk 2,000 penolong amil kariah yang dilantik di sembilan daerah.

Pada 2 Julai, LZS mengumumkan peruntukan zakat RM69.3 juta bagi melaksanakan 19 inisiatif Zakat Selangor Peduli bagi membantu golongan terjejas akibat pelaksanaan PKP 3.0.

Inisiatif dilaksanakan secara berperingkat sehingga Disember ini dijangka memanfaatkan 59,322 penerima dan 431 institusi.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Kuala Kubu Bharu beri bantuan di rumah kebajikan

SHAH ALAM, 11 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu memberi tumpuan mengagihkan bantuan ke rumah kebajikan selain mereka yang mengibarkan bendera putih.

Wakil rakyatnya, Lee Kee Hiong berkata penghuni rumah berkenaan turut dibantu berikutan kebanyakan bergantung sepenuhnya dengan sumbangan individu dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Ramai terjejas akibat Covid-19 dan kita yakin rumah-rumah kebajikan ini juga berdepan situasi sama serta perlu dibantu supaya tidak terputus bekalan makanan atau keperluan lain.

“Selain makanan, kita juga menyumbang barangan seperti susu, lampin pakai buang mengikut keperluan mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, individu di DUN terbabit yang memerlukan pertolongan akan dibantu pusat khidmat masyarakat, ahli majlis, ketua kampung dan NGO dengan bekalan makanan hendak diagih diperoleh di kedai runcit berhampiran kawasan penerima.

“Ini salah satu cara menyokong membangunkan ekonomi tempatan pemilik premis niaga itu yang juga terkesan terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

PKPD dikuat kuasa membabitkan 34 mukim di lapan daerah di negeri ini selama 14 hari bermula 3 hingga 16 Julai.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mahasiswa hargai negeri sumbang bekalan makanan

SERDANG, 8 JULAI: Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) menghargai bantuan makanan dan keperluan diri sumbangan Kerajaan Selangor kepada mereka.

Yang dipertua Majlis Persatuan Pelajar berkata sumbangan itu meringankan beban golongan terbabit yang terbatas pergerakannya susulan perintah kawalan ketat di situ.

“Bantuan ini juga membantu pelajar yang berdepan masalah kewangan. Jadi bahan makanan dan peralatan diri ini dapat menampung keperluan mereka untuk seminggu dua,” kata Muhammad Huzaifi Ismut.

Beliau mewakili pelajar UPM menerima bantuan tersebut daripada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi program Pembangunan dan Kebajikan Mahasiswa Anak Negeri Selangor hari ini.

Bantuan meliputi makanan kering antaranya mi segera, sambal ikan bilis, biskut, bubur nasi selain peralatan diri seperti berus gigi dan barangan mandian.

Seramai 7,200 pelajar kelahiran Selangor di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara menerima sumbangan tersebut secara berperingkat.

Setakat ini, seramai 2,700 mahasiswa mendapat manfaat membabitkan Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Malaysia Kelantan.

Inisiatif bernilai RM1.5 juta itu sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumum Dato’ Menteri Besar pada 9 Jun lalu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Lebih 7,000 mahasiswa kelahiran Selangor dapat bantuan makanan

SERDANG, 8 JULAI: Seramai 7,200 pelajar kelahiran Selangor di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara menerima bantuan makanan dan keperluan diri daripada Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata agihan tersebut bagi membantu meringankan beban mereka yang terkandas di kampus susulan pelaksanaan perintah kawalan penuh.

“Kita bekalkan mereka dengan makanan kering yang sesuai, air mineral dan barang keperluan seperti pelitup muka, cecair pembasmi kuman, berus gigi dan sabun mandi.

“Sekarang pergerakan mereka juga terbatas. Jadi bantuan ini dapat membantu selain meringankan kos sara hidup,” katanya selepas menyerahkan bantuan tersebut di Universiti Putra Malaysia hari ini.

Amirudin berkata sumbangan melalui program Pembangunan dan Kebajikan Mahasiswa Anak Negeri Selangor selesai diagihkan kepada 2,700 pelajar di IPT seluruh negara.

Pusat pengajian itu termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Malaysia Kelantan.

Inisiatif bernilai RM1.5 juta itu sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumum Dato’ Menteri Besar pada 9 Jun yang bakal memanfaatkan lebih 7,000 mahasiswa yang lahir di negeri ini.