Categories
PBT SELANGOR

PBT Selangor tingkat edaran bantuan makanan kepada masyarakat

SHAH ALAM, 6 JULAI: Pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor mengambil inisiatif meningkatkan pengedaran bakul makanan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meneruskan bantuan Bakul Prihatin dengan menyediakan 2,700 pek makanan untuk diagihkan kepada bekas kakitangannya, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), operator taska dan wartawan serta jurugambar sambilan.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata penambahan bantuan itu bagi memastikan tiada masyarakat terputus makanan dan diagihkan secara berperingkat bermula esok.

“Kita percaya ramai terkesan terutama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan sumbangan makanan perlu diperluaskan supaya semua menerima manfaat.

“Bagi individu yang ingin turut sama membantu, mereka boleh membeli baucar bakul makanan bernilai RM10, RM30,RM50 di Pasaraya 99 Speedmart,” kata Shahrin Ahmad kepada SelangorKini.

 

Sementara itu, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) membantu golongan terkesan melalui ahli majlis dan pengurusannya agar tiada pihak tercicir menerima bantuan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor Rahilah Rahmat. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata pengurusan MDKS mengagihkan bantuan makanan kepada komuniti strata manakala ahli majlis menyumbang kepada penduduk.

“Sejak sumbangan ini diperkenalkan pada 14 Jun sebanyak 200 bakul makanan diagihkan. Bantuan diteruskan esok dengan 300 lagi diberikan kepada keluarga terjejas.

“Ia digerakkan melalui dua pasukan diketuai saya sendiri dan satu lagi Setiausaha MDKS, Yusli Askandar,” katanya.

Dalam pada itu, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyediakan bekalan bank makanan di dua lokasi iaitu Petron Taman Ehsan dan Jalan 13, Desa Jaya.

“Bank makanan itu disediakan Ahli majlis Zon 24, Fok Wai Mun bagi meringankan beban masyarakat sepanjang tempoh PKPD.

“Sekecil-kecil sumbangan ternyata besar nilainya kepada yang memerlukan. Sekiranya terdapat pihak yang ingin turut serta amat dialu-alukan,” katanya menerusi Facebook.

PKPD dikuat kuasa membabitkan 34 mukim di lapan daerah di negeri ini selama 14 hari bermula Sabtu lalu hingga 16 Julai.

Categories
ADN SELANGOR

PKPD: Bantuan 4,000 pek makanan untuk penduduk Pelabuhan Klang

PELABUHAN KLANG, 5 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang menyediakan 4,000 pek makanan bagi membantu rakyat terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Wakil rakyatnya berkata bantuan berperingkat itu mula diagihkan hari ini menerusi wakil penduduk memandangkan penerima terikat dengan tatacara operasi piawai (SOP) pergerakan.

“Sejak seminggu lalu, kita hebahkan perkara ini dan minta penduduk memerlukan supaya mengisi borang secara dalam talian.

“Setakat pagi ini sahaja lebih 2,000 permohonan telah diterima. Ini memberi isyarat semakian ramai terkesan akibat pandemik dan perlu dibantu,” kata Azmizam Zaman Huri ketika melancarkan program bantuan itu di Pandamaran Jaya hari ini.

Beliau berkata setiap bakul mengandungi makanan asas antaranya beras, sardin, minyak, biskut dan gula bernilai RM50 serta mampu menanggung keperluan lebih seminggu untuk keluarga besar.

“Kita minta penduduk yang terputus bekalan makanan untuk mengambil peluang ini. Jika tidak tahu proses mengisi borang dalam talian, boleh hantarkan maklumat diri kepada nombor 017-2434200,” katanya.

Bermula kelmarin hingga 16 Julai ini, kerajaan menguatkuasakan PKPD di 34 mukim dalam lapan daerah di Selangor bagi membendung Covid-19.

Berikutan itu pergerakan penduduk terhad selain hanya seorang sahaja wakil isi rumah dibenarkan membeli barang keperluan asas sehingga 8 malam kecuali bagi kes kecemasan.

Categories
ADN SELANGOR

ADN jamin bekalan makanan untuk penduduk Mentari Court

SHAH ALAM, 5 JULAI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia memberi jaminan akan menyalurkan bantuan makanan kepada penduduk di Pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Halimey Abu Bakar berkata pihaknya menyediakan bekalan makanan dan barang keperluan untuk diagihkan ke 3,500 kediaman di situ sehingga 14 Julai.

“Saya dimaklumkan setiap hari barang sumbangan akan tiba. Alhamdulillah saya mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang bank makanan.

“Yang di dalam (penduduk) Insya-Allah kita akan pastikan bekalan makanan tidak putus. Kalau ada masalah boleh terus hubungi saya,” katanya lapor portal Malaysia Gazette semalam.

Beliau berkata penduduk juga tidak perlu bimbang dan terus mematuhi arahan pihak berkuasa memandangkan mereka perlu menjalani ujian saringan Covid-19 serta disuntik vaksin sepanjang tempoh PKPD.

Untuk sebarang bantuan penduduk di Blok A, B, C dan D boleh menghubungi talian 011-1317 5831 manakala bagi Blok E, F dan G menerusi 011-5989 9854.

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis Sepang bantu 14 pekerja kilang kehabisan bekalan makanan

SHAH ALAM, 4 JULAI: Polis Sepang mengambil pendekatan segera dengan menghulurkan bantuan bekalan makanan kepada 14 individu di Taman Bunga Raya, Sepang, malam tadi.

Menerusi perkongsian di Facebook, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang menerima panggilan daripada seorang wanita memaklumkan adiknya yang tinggal bersama 13 rakan sekerja kehabisan bekalan makanan kerana dikuarantin.

“Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengambil tindakan susulan dengan mengarahkan anggota supaya bantuan makanan segera dihantar ke rumah tersebut,” katanya.

Susulan itu anggota dari unit kereta peronda (MPV) telah menghantar 16 bungkusan makanan kepada penghuni rumah berkenaan yang juga pekerja kilang.

Semalam, Polis Selangor memaklumkan akan membantu golongan terkesan akibat pandemik Covid-19 khususnya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Ketua Polis Selangor Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata arahan dikeluarkan kepada ketua balai dan anggota untuk memberi bantuan segera.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPS serah bantuan makanan kepada penduduk Mentari Court

PETALING JAYA, 1 JULAI: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyerahkan 3,500 pek makanan kepada penduduk Mentari Court, PJS 8 yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula hari ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata bantuan berupa beras, tepung, gula, sardin, minyak masak dan serbuk teh itu dijangkakan mampu menampung keperluan penduduk selama dua minggu.

“Ini merupakan bantuan kedua untuk kawasan dikenakan PKPD. Awal bulan lalu kita serahkan lebih 1,000 pek makanan termasuk barangan basah untuk penduduk di Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima, Sabak Bernam.

“PKPS bersedia menghulurkan bantuan ke kawasan PKPD lain sekiranya mendapat arahan daripada Kerajaan Selangor. Kita akan membantu penduduk terkesan sebaik mungkin,” kata Dato’ Abdul Ghariff Ramin.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan makanan terbabit kepada Pegawai Daerah Petaling, Dato’ Johary Anuar.

Selain Mentari Court, kerajaan juga mengenakan PKPD di Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite – PKNS selama 14 hari bermula hari ini.

Perintah itu dibuat selepas kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi dikesan di ketiga-tiga kawasan berkenaan.

Categories
ADN SELANGOR

ADN Kinrara agih makanan rumah ke rumah pastikan bekalan cukup

SHAH ALAM, 29 JUN: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara mengambil inisiatif turun ke kawasan perumahan bagi mengagihkan makanan asas kepada penduduk.

Wakil rakyatnya Ng Sze Han berkata langkah tersebut berikutan ada penduduk berasa malu untuk memohon bantuan meskipun berdepan masalah kekurangan bekalan makanan.

“Kelmarin kami edarkan ikan segar kepada penduduk. Selalunya bakul makanan hanya diberi kepada yang memohon, namun kami sedar ada yang tidak selesa untuk mohon bantuan.

“Jadi dengan cara ini, kami juga dapat mendengar keluhan rakyat dan mengenal pasti jenis bantuan lain yang diperlukan mereka,” katanya ketika dihubungi.

Selain itu, Sze Han berkata program Dapur Kinrara yang menyediakan makanan tengah hari untuk golongan memerlukan terus mendapat sambutan menggalakkan.

“Setakat ini program berjalan di dua lokasi. Kita harap ramai akan menyokong kerana ia memberi manfaat kepada golongan susah,” katanya.

Dapur Kinrara diwujudkan hujung tahun lalu sebagai dapur berpusat yang akan mengagihkan makanan tengah hari secara percuma kepada golongan memerlukan pada setiap Ahad.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

304 keluarga susah di Sabak Bernam, Kuala Langat dapat bantuan makanan Mais

SHAH ALAM, 29 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbangkan barangan asas bernilai RM30,400 kepada 304 keluarga di Sabak Bernam dan Kuala Langat yang terjejas pendapatan akibat Covid-19.

Agensi itu berkata bantuan dalam bentuk makanan antaranya beras, tepung, minyak dan gula itu disalurkan menggunakan peruntukan fidyah Mais bernilai RM100.

Menurutnya, sumbangan membabitkan kerjasama dengan rakan strategik agihan fidyah Mais terdiri Sahabat Muslimah Saidatina Aisyah, Pertubuhan Ehsan Penyayang Selangor dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam.

“SRA Kampung Banting, Maahad Tahfiz Imran Zikry, Maahad Tahfiz Harun Almasri, Maahad Tahfiz Bustanul Arifin dan masjid,” katanya di Facebook hari ini.

Mais berkata pihaknya berterima kasih kepada pembayar fidyah yang sumbangan mereka disampaikan kepada golongan memerlukan.

 

Categories
PBT SELANGOR

MBSA sedia bantuan makanan untuk pekerja hotel, industri seni

SHAH ALAM, 24 JUN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan 2,000 pek makanan lagi bagi membantu golongan terjejas akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Datuk Bandar Mohd Rashidi Ruslan berkata bantuan disasarkan kepada beberapa kumpulan antaranya pekerja hotel dan pusat asuhan serta pemain industri seni kreatif.

“Sepanjang pandemik ini mereka tidak dapat bekerja seperti biasa menyebabkan pendapatan terjejas. Kita akan serahkan bantuan bermula minggu depan,” katanya ketika ditemui di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Besar Tanjung MBSA Seksyen 19 hari ini.

Terdahulu MBSA menyumbang bantuan makanan berisi makanan asas antaranya tepung gandum, minyak masak, gula dan beras bernilai RM50 kepada 40 petugas PPV terbabit.

Mohd Rashidi berkata ia adalah inisiatif pihaknya bagi menghargai komitmen dan kesungguhan kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor yang komited menjalankan tugas menangani wabak Covid-19.

“Bantuan ini merupakan kesinambungan matlamat pembangunan mampan melalui pendekatan ‘tiada yang tertinggal’ dalam aspek pembangunan sosial, ekonomi, kelaparan, kesihatan dan keadilan sosial.

“Diharap masyarakat terus memberi sokongan terhadap usaha murni ini sekali gus membantu Shah Alam menjadi bandar raya pintar, berdaya huni dan berdaya saing menjelang 2035,” katanya.

Sejak Februari lalu, MBSA telah menyumbang lebih 4,000 bantuan makanan kepada golongan terkesan selain petugas barisan hadapan.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

650 keluarga miskin di PJ dapat bantuan makanan sepanjang PKP

SHAH ALAM, 22 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengagihkan bantuan makanan kepada 650 keluarga yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.

Unit Komunikasi Korporatnya dalam kenyataan menyebut sumbangan bernilai RM100 melalui program PJ City Food Bank turut diberikan kepada 21 rumah kebajikan sekitar Petaling Jaya.

“Pandemik Covid-19 memberi kesan mendalam terutama kepada golongan berpendapatan rendah berikutan ramai yang terputus sumber pendapatan sepanjang tempoh PKP.

“Program ini menyasar keluarga miskin bandar dengan pendapatan isi rumah bawah RM1,500 sebulan dan keutamaan kepada yang mempunyai ramai tanggungan serta orang kelainan upaya (OKU),” katanya.

Kenyataan itu menyebut bantuan tunai dan keperluan asas turut diagihkan kepada 82 kakitangan MBPJ yang dijangkiti Covid-19 serta yang sedang menjalani perintah kuarantin.

Selain itu, Unit Komunikasi Korporatnya berkata pihak berkuasa tempatan tersebut meraikan pelajar B40 di lima sekolah angkat yang mendapat keputusan 5A dan ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia.

“Selain memberi pengiktirafan, inisiatif ini mampu memberi galakan dan dorongan serta mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan pelajar untuk meningkatkan prestasi akademik,” kata MBPJ.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Ratusan individu terjejas Covid-19 dapat bantuan Mais

SHAH ALAM, 20 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) semalam menyumbangkan pek makanan kepada 270 individu sekitar Sabak Bernam dan Klang yang terkesan akibat Covid-19.

Dalam perkongsian di Facebook, agensi itu memaklumkan bantuan bernilai RM27,000 meliputi makanan asasi seperti beras dan minyak masak.

“Ada dalam kalangan penerima ini mereka yang terputus perbelanjaan, tidak dapat bekerja akibat majikannya tidak beroperasi dan ada juga pendapatan yang terjejas sebab tidak boleh berniaga.

“Sumbangan menggunakan peruntukan fidyah Mais diagihkan kepada penerima yang dikenal pasti sekitar Sabak Bernam dan Klang. Semoga bantuan ini dapat meringankan beban mereka,” kata Mais.

Mais memperuntuk RM2 juta untuk membantu 20,000 keluarga yang terjejas akibat Covid-19 terutama golongan berpendapatan rendah atau mereka yang hilang punca pendapatan.

Program itu mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd, Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan, masjid dan surau di daerah terlibat.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

PKP penuh: Tenaga pengajar agama lega dapat bantuan makanan

SHAH ALAM, 15 JUN: Tenaga pengajar agama negeri ini menarik nafas lega dan bersyukur menerima makanan asas sumbangan Kerajaan Selangor.

Pemegang tauliah al-Quran berkata bantuan tersebut mampu menjimatkan perbelanjaan dapur kerana berdepan masalah kewangan sejak perkhidmatan dihenti sementara susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya.

Dalilah Ahmad. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Pendapatan saya terjejas hampir 90 peratus sepanjang Covid-19 kerana tidak dapat keluar mengajar al-Quran seperti biasa. Ketika ini saya hanya bergantung kepada bayaran individu yang minta diajar secara dalam talian.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri terutama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana menyediakan bantuan dinanti selama ini,” kata Dalilah Ahmad kepada SelangorKini.

Beliau antara 280 asatizah berdaftar di bawah Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Petaling yang menerima manfaat berkenaan hari ini.

Abdullah Abdul Shukor. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, guru tahfiz Abdullah Abdul Shukor berkata perkara terbabit mencerminkan keprihatinan Kerajaan Selangor terhadap semua tanpa mengira status kependudukan individu.

“Sebagai salah seorang perantau yang mencari rezeki di negeri ini amat menghargai bantuan diberi. Mereka (Kerajaan Negeri) sedar dalam tempoh pandemik, ramai individu hilang pekerjaan ditambah pula dengan kos sara hidup semakin meningkat,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agihan makanan bermula Isnin depan, tidak terhad mahasiswa di Selangor

SHAH ALAM, 14 JUN: Bantuan makanan dan keperluan asas kepada mahasiswa Selangor di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara dan milik Kerajaan Negeri dijangka diagih mulai 21 Jun ini.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor Mohd Hidayat Mohd Sauffi berkata kaedah agihan sedang dibincangkan Jawatankuasa Tetap Pendidikan sebelum dimuktamad dalam masa terdekat.

“Difahamkan, jawatankuasa terbabit sudah berhubung dengan pihak universiti termasuk mengeluarkan surat permohonan rasmi untuk menghantar bantuan ini.

“Sebaik pengurusan universiti beri pelepasan, bantuan akan terus disalur. Semestinya agihan dibuat mengikut tatacara operasi piawai (SOP) dengan kebenaran bersyarat memandangkan ia adalah program Kerajaan Negeri,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah dianggarkan seramai 300 ahli gabungan tersebut akan digerakkan untuk menyalur bantuan kepada penuntut yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Insya-Allah dengan kekuatan yang ada kita terbuka untuk membantu sekiranya diperlukan, mengambil kira bantuan Kerajaan Negeri ini meliputi seluruh IPT dan tidak terhad di Selangor sahaja.

“Malah, kami memiliki pengalaman sebagai perantara untuk menyalur bantuan sama kepada pelajar menerusi pakej disediakan Kerajaan Selangor sebelum ini,” katanya.

Pada 9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 mengumumkan peruntukan RM1.5 juta untuk menyediakan barangan makanan dan keperluan asas kepada 7,500 mahasiswa yang masih berada IPTA dan IPT bawah Kerajaan Negeri.