Categories
NASIONAL

Cukai perkhidmatan digital asing pastikan persaingan adil

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan digital asing yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 akan memastikan persaingan adil dan memupuk persaingan sihat dengan pemain perkhidmatan digital tempatan, kata laman web perbandingan kewangan, RinggitPlus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Hann Liew berkata kenaikan cukai dan duti bagi industri perjudian sudah pastinya akan membantu menjana hasil tambahan bagi membangunkan negara dalam aspek lain.

“Dengan Pelan Tindakan Dasar Industri 4.0, kerajaan sudah pastinya mahukan industri yang berinovatif dan sangat berdigital.

“Sebagai satu daripada pemain dalam industri teknologi kewangan, kami gembira dan bersedia untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam perniagaan digital,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata Belanjawan itu juga menunjukkan kajian semula dan rundingan semula projek, komitmen dan kewangan yang tegas, dan berharap ia akan menjadi satu kebiasaan yang perlu diamalkan oleh pengguna dengan kewangan peribadi mereka sendiri.

“Walaupun kerajaan mengambil inisiatif untuk menambah baik standard kehidupan kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40), pengguna dalam semua segmen perlu lebih berhemat dalam perbelanjaan mereka.

“Rakyat Malaysia perlu memahami kepentingan pengurusan wang peribadi dan bagaimana mereka boleh memaksimumkan wang tunai mereka ketika negara terus berkembang maju,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

MARA peruntuk RM2 bilion bagi pengajian tinggi pada 2019

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memperuntukkan sebanyak RM2 billion tahun hadapan bagi membiayai penuntut tajaannya yang melanjutkan pengajian di dalam dan di luar negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata jumlah pembiayaan berkenaan adalah sama dengan jumlah tahun ini.

“Daripada segi pendidikan, penyelarasan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan bajet-bajet yang kita dapat Alhamdulillah kita dapat seperti apa yang telah kita pohon. Itu akan menambahkan lagi mutu produk Mara itu sendiri,” katanya pada Bernama di Majlis Malam Apresiasi Mara 2018, di sini malam tadi.

Majlis berkenaan diadakan bagi meraikan pesara dan warga kerja Mara yang telah berkhidmat antara 25 hingga 40 tahun.

Terdahulu Rina dalam ucapannya berkata, Mara juga telah membelanjakan RM3.3 juta sehingga bulan Ogos tahun ini untuk pembiayaan kesihatan warga, anggota keluarga dan pesara Mara.

Kata Rina, ia jelas menunjukkan Mara sangat mengambil berat tentang hal kebajikan warganya termasuk golongan pesara dan anggota keluarga mereka.

“Kemudahan kebajikan yang dinikmati ini adalah kerana Mara sebagai majikan sangat menghargai komitmen dan dedikasi tuan-tuan dan puan-puan yang telah bersama-sama memikul tanggungjawab dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penambahan 50 Taska mampu tingkat jumlah pekerja wanita

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Penambahan sebanyak 50 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di bangunan kerajaan mampu meningkatkan jumlah serta produktiviti wanita dalam pasaran kerja sehingga 30 peratus, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda.

Beliau berkata langkah itu bertepatan dengan usaha kerajaan menyediakan fasiliti bagi ibu bekerja yang gusar untuk meninggalkan anak mereka dalam jagaan pengasuh dan khuatir dengan risiko keselamatan anak mereka.

“Peruntukan RM10 juta bagi menambah 50 taska yang diumumkan pada Belanjawan 2019 itu adalah usaha terbaik untuk membantu mereka (wanita bekerjaya) lebih dekat dengan anak serta berupaya memantau anak-anak mereka secara lebih kerap.

“Ini penting kerana kita tidak mahu prestasi golongan wanita yang berpotensi dalam pasaran kerja ini terjejas kerana bimbangkan keselamatan anak-anak mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau mengulas pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang menyediakan peruntukan RM10 juta untuk menambah 50 Taska bagi meringankan bebanan ibu bekerja, di samping terus menggalakkan dan memberi insentif kepada sektor swasta untuk tujuan sama.

Kadar semasa penyertaan wanita dalam tenaga kerja hanya berada pada paras 53.5 peratus bagi 2017 berbanding 77.7 peratus bagi lelaki. Daripada jumlah yang tidak bekerja, 60 peratus atau 2.6 juta wanita memaklumkan bahawa bebanan kerja di rumah adalah sebab utama mereka tidak menyertai pasaran kerja.

Sementara itu, Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Habsah Syed Hasan Shahabudin berkata ia merupakan bantuan terbaik kepada pekerja wanita dalam sektor awam.

“Selain taska, kerajaan perlu juga melihat gaji minimum yang sekarang membantutkan pengoperasian taska swasta terutama bagi golongan berpendapatan rendah.

“Insentif juga perlu diberikan kepada usaha baharu dan inovatif seperti ‘childminder on demand’ yang menerokai model perniagaan baharu yang menggunakan teknologi canggih,” katanya.

Bagi Presiden Pertubuhan Pembangunan dan Inovasi Wanita (Wadi) Sukmamurni Abdul Manaf berkata pihaknya turut menyambut baik hasrat kerajaan yang secara komprehensif meningkatkan penglibatan wanita dalam pasaran kerja.

“Bagaimanapun, kita harap, ia bukan setakat menambah taska tetapi perlu seiring dengan penawaran perkhidmatan yang terbaik serta yuran berpatutan terutama bagi taska di bangunan kerajaan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

FTZ di Pulau Indah langkah positif tarik FDI

SHAH ALAM, 3 NOV: Cadangan kerajaan untuk mengkhususkan 153.78 hektar kawasan di Pulau Indah sebagai Zon Perdagangan Bebas (FTZ) merupakan satu langkah positif dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan daripada peserta global dan mentransformasikan Selangor kepada hab logistik serantau.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan Selangor, Dato’ Teng Chang Kim berkata cadangan itu akan lebih membantu bagi memudahkan urusan menjalankan perniagaan di Pulau Indah.

“FTZ akan membantu menarik pelaburan langsung asing (FDI) mewujudkan kilang pembuatan di Pulau Indah, dan inilah sesuatu yang disokong oleh kerajaan Selangor,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Parlimen.

Lim berkata, langkah itu akan menyokong dan memangkin aktiviti perkapalan dan logistik di Pelabuhan Klang.

Mengulas lanjut, Teng berkata pemaju tanah perindustrian di Pulau Indah, Central Spectrum (M) Sdn Bhd, pada masa ini membangunkan sebahagian Pulau Indah, boleh meraih manfaat daripada cadangan tersebut.

Beliau berkata, cadangan itu akan membolehkan pengilang di pulau itu mengeksport produk mereka secara kompetitif ke pasaran antarabangsa, sekali gus menikmati pengecualian cukai eksport dan cukai lain.

Teng berkata, ia juga akan meningkatkan ranking Pelabuhan Klang, yang pada masa ini di kedudukan ke-12 pelabuhan kontena terbesar di dunia,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan 2019 berteraskan kesejahteraan rakyat – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 NOV: Belanjawan 2019 dilihat sebagai belanjawan yang bertanggungjawab dan dinamik, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Menerusi twitter, Amirudin berkata, pembentangan belanjawan kali ini juga berasaskan keadaan kewangan serta kesejahteraan rakyat.

“InsyaAllah Belanjawan Selangor 2019 akan mengambil pendekatan yang serupa dalam merancakkan ekonomi dan memperkukuh kewangan negeri,” tulisnya.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam, Selangor turut menjadi salah satu fokus belanjawan kali ini.

Ia dilihat melalui Pelan Tindakan Dasar Industri 4.0, diumumkan Khazanah Nasional Berhad akan membangunkan 80 ekar tanah di Subang sebagai hab aeroangkasa bertaraf dunia.

Melaluinya, Khazanah akan bekerjasama dengan agensi berkaitan, terutamanya MARA dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan industri.

Pada masa sama, Kerajaan turut bercadang untuk menjadikan tanah seluas 380 ekar di Pulau Indah sebagai Zon Perdagangan Bebas untuk menyokong dan memangkin aktiviti perkapalan dan logistik di Pelabuhan Klang.

Zone Bebas baru ini akan menjadi sambungan kepada Port Klang Free Zone (PKFZ).

Terakhir, Kerajaan akan mengambil langkah untuk memastikan Taman Hutan Selangor FRIM disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Respons Kerajaan kepada IR4.0 kena masanya- TalentCorp

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Parlimen dilihat sebagai respons kerajaan terhadap ketibaan Revolusi Industri Keempat (IR4.0), yang memang kena pada masanya, selaras dengan keperluan mendesak ketika ini untuk menangani permintaan kepada bidang pekerjaan masa hadapan.

Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) berkata pelbagai peruntukan bagi meningkatkan infrastruktur Malaysia khusus buat ekonomi digital adalah amat perlu ketika ini memandangkan ekonomi IR4.0 dilihat akan menampilkan pasaran global yang amat kompetetif, dijana oleh teknologi berasaskan internet.

“Belanjawan 2019 jelas mencerminkan keprihatinan kerajaan berhubung perkara ini, apabila ia memberi fokus kepada usaha menyediakan kemahiran sumber tenaga negara yang sesuai untuk menghadapi cabaran yang dibawa oleh IR4.0,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Pembentangan belanjawan menyaksikan RM210 juta dicadangkan bagi tempoh 2019 sehingga 2021 untuk menyokong pemindahan kepada IR4.0, dan Perbadanan Produktiviti Malaysia pula disasar melaksanakan program “Readiness Assessment” bagi membantu 500 syarikat kecil dan sederhana bertukar kepada IR4.0.

TalentCorp juga berharap lebih ramai majikan Malaysia dalam sektor swasta akan memberikan maklum balas yang positif menerusi langkah-langkah berinovasi bagi mewujudkan persekitaran tempat kerja yang lebih kondusif, termasuk menawarkan latihan sambil bekerja yang banyak membantu, seperti waktu kerja fleksible.

Sementara itu syarikat Kelly Services, syarikat peneraju global dalam sistem berkaitan tenaga kerja, menyambut baik inisiatif kerajaan dalam belanjawan itu khususnya merujuk kepada usahanya untuk menggalakkan penglibatan kaum wanita dalam tenaga kerja.

Menurutnya peruntukan RM10 juta bagi membangunkan pusat jagaan harian di pejabat-pejabat kerajaan pasti akan menggalakkan kaum ibu untuk kembali bekerja bagi membantu untuk turut sama menyumbang kepada ekonomi negara.

“Tambahan lagi, memang amat baik bagi kerajaan untuk menyatakan komitmen mereka bagi mencapai sasaran 30 peratus wanita memainkan peranan dalam bidang pembuat keputusan menjelang tahun 2020,” menurut kenyataan itu.

Berhubung peningkatan gaji minimum daripada RM1,050 kepada RM1,100, Kelly Services menyuarakan kebimbangannya mengenai impak pengumuman secara tiba-tiba kepada para usahawan yang sebelum ini menjangka peningkatan hanya akan kekal kepada lima peratus.

“Menjelang ketibaan hujung tahun, syarikat-syarikat perniagaan kini hanya ada kurang dua bulan untuk melaksanakan perubahan itu,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bantu rakyat miliki rumah dengan lebih mudah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 NOV: Belanjawan 2019 menunjukkan usaha Kerajaan membantu rakyat di negara ini memiliki rumah dengan lebih mudah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, salah satunya ialah melalui penubuhan dana berjumlah RM1 bilion oleh Bank Negara khas buat golongan berpendapatan kurang RM2,300 sebulan untuk memiliki rumah buat kali pertama.

Katanya, melalui kadar pembiayaan terkurang serendah 3.5 peratus, ia sekali gus dapat mengurangkan jumlah bayaran ansuran bulanan pembiayaan oleh peminjam untuk memiliki rumah, dan seterusnya lebih mudah mendapat pembiayaan .

“Untuk pembeli rumah pertama bernilai sehingga RM500,000, Kerajaan akan memberi pengecualian duti setem sehingga RM300,000 yang pertama ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi tempoh dua tahun sehingga Disember 2020,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Belanjawan 2019 lagi, Zuraida berkata, Kerajaan turut memandang serius isu lambakan rumah tidak terjual.

Katanya, ia melalui cadangan pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik bagi pembelian rumah pertama, berharga antara RM300,001 sehingga RM1 juta berkuatkuasa bagi tempoh 6 bulan mulai 1 Januari 2019.

“Insentif bagi memperkemas Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) dengan menghapuskan cukai untuk rumah bernilai di bawah RM200,000 dilihat dapat menstabilkan pasaran semasa dan ternyata belanjawan untuk 2019 memberi fokus kepada pemilikan rumah bagi golongan B40.

“Secara keseluruhan, Belanjawan 2019 adalah perangkaan bersifat merencana pembangunan secara holistik dan juga lebih bersasar bagi menangani permasalahan dihadapi Malaysia,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kementerian Kesihatan yakin laksana program penuhi keperluan rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad optimis kementeriannya mampu melaksanakan program digariskan kerajaan bagi memenuhi keperluan rakyat.

“Kita ambil ini sebagai satu cabaran dan akan melaksanakan amanah sebagaimana diinginkan.

“Seperti mana Kementerian Pendidikan, kita diberi kepercayan tinggi bagi memenuhi keperluan rakyat,” katanya kepada media di lobi Parlimen di sini, semalam, selepas pembentangan Belanjawan 2019.

Kementerian Kesihatan adalah kementerian kedua tertinggi menerima peruntukan selepas Kementerian Pendidikan iaitu sebanyak RM29 bilion.

Kementerian Kesihatan akan memberi fokus bagi menambah baik perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kepada orang ramai dengan peruntukan RM10.8 bilion dikhususkan untuk kemudahan itu dan berkaitan.

Selain itu, Skim Perlindungan Kesihatan (PEKA) juga akan dilaksanakan bagi kira-kira 800,000 individu berusia 50 tahun dan ke atas bagi kumpulan B40 dengan kos RM100 juta.

Dr Dzulkefly berkata, kementerian diyakini tidak akan menghadapi masalah bagi menjayakan program berkenaan.

“Tiada masalah, kita akan lakukan kerana kita mempunyai pegawai dan penolong pegawai persekitaran yang mencukupi untuk tujuan ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Wang Tabung Harapan tiada kaitan dengan Belanjawan 2019

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Wang Tabung Harapan tidak ada kaitan dengan Belanjawan 2019, kata Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Sebaliknya beliau berkata, tabung berkenaan tidak mempunyai tujuan tertentu melainkan hanya membantu Kerajaan menyelesaikan masalah hutang negara.

“Kerajaan akan gunakan duit berkenaan sebijak mungkin,” katanya dalam sidang media selepas Sesi Pembentangan Belanjawan 2019, hari ini.

Melalui laman facebook rasmi Kementerian Kewangan, sehingga kini Tabung Harapan berjaya mengumpul sebanyak RM196,604,966.68 sejak mula dilancarkan pada 30 Mei lalu.

Categories
NASIONAL

KKMM sambut baik peruntukan RM1 bilion bangunkan NFCP

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menyambut baik Belanjawan 2019 dibentangkan dengan peruntukan RM1 bilion bagi pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, peruntukan itu baik bagi perkembangan perhubungan khususnya internet di seluruh negara.

“Saya ucap tahniah kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kerana memberi peruntukan baik untuk KKMM dengan fokus kepada pelaksanaan NFCP.

“Ini berita baik untuk kita dalam usaha bagi meningkatkan perkhidmatan ke seluruh negara khususnya luar bandar bagi mendapat kemudahan internet,” katanya kepada media di lobi Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2019.

Beliau berkata, perkembangan itu bagus kerana tumpuan dunia kini kepada industri 4.0 dengan bidang industri dan perniagaan menjadi perhatian ramai.

Katanya, belanjawan itu mengambil kira keperluan semasa walaupun Guan Eng menghuraikan pelbagai masalah ekonomi dihadapi selepas mengambil alih pentadbiran daripada kerajaan terdahulu.

“Namun, inisiatif diberikan kerajaan amat baik khususnya kepada golongan B40 serta pemberian subsidi ke atas petrol, elektrik dan sebagainya.

“Saya melihat belanjawan ini mengambil kira keperluan semasa dengan memberi bantuan kepada orang ramai dalam keadaan ekonomi tidak menentu,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan komited penuhi aspirasi rakyat

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Kerajaan komited memenuhi aspirasi rakyat melalui Belanjawan 2019, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, dalam masa sama, belanjawan kali ini tidak melebihi pendapatan Kerajaan.

“Ini kerana kita hanya meminjam duit untuk membayar hutang bagi membolehkan kadar bunga menjadi rendah.

“Kerajaan amat berhati-hati dalam merangka belanjawan kali ini, jika kita tak ada duit, kita tidak boleh belanja,” katanya dalam sidang media selepas Sesi Pembentangan Belanjawan 2019, di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, Tun Mahathir turut menempelak tuduhan yang mengatakan Belanjawan 2019 yang dibentangkan Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) ‘mencilok’ idea Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Kita tidak curi duit dan kita tidak belanja duit lebih daripada yang mampu,” katanya.

Categories
NASIONAL

Belanjawan 2019 selari manifesto PAKATAN

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan Belanjawan 2019 membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, ia dapat dilihat menerusi subsidi bersasar antaranya Bantuan Sara Hidup dan RON95
seperti dibangkitkan dalam manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN) sebelum ini.

“Saya anggap belanjawan ini melegakan kerana kerana ada keupayaan menampung susutan ekoran ketiadaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Walaupun dalam bentuk dividen khas Petronas tetapi jumlah sebesar RM35 bilion itu kemudian digunakan untuk membayar balik hutang GST dan cukai pendapatan,” katanya di lobi Parlimen.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah menyifatkan Belanjawan 2019 sebagai komprehensif merangkumi semua masyarakat, di Malaysia termasuk kumpulan berpendapatan rendah (B40), pertengahan (M40) dan Orang Asal.

“Belanjawan ini juga selari dengan janji manifesto PAKATAN sebelum pilihan raya antaranya subsidi petrol,” katanya.