Categories
AGENSI SELANGOR

Peruntukan tinggi bukti program pengarusperdanaan gender berkesan

SHAH ALAM, 31 OKT: Peruntukan tinggi RM1.8 juta untuk program mengarus perdana gender membuktikan keberkesanan penubuhannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Wanita Berdaya (IWB) berkata projek rintis bermula tahun ini dilihat memberi manfaat selain membantu pembangunan negeri.

“Ia bermula dengan peruntukan kecil namun tahun hadapan jumlah dana diberikan adalah tinggi.

“Ini menunjukkan program berkait keperluan lelaki dan wanita itu penting dan kesannya besar untuk negeri,” kata Siti Kamariah Ahmad Subki ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pihaknya merancang untuk membabitkan semua portfolio dan agensi dalam program tahun hadapan.

Ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan RM1.8 juta diberi kepada IWB bagi menggiatkan lagi program pengarusperdanaan gender agar golongan wanita dapat memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan negeri ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agenda Digitalisasi buka peluang baharu perniagaan, pekerjaan

SHAH ALAM, 31 OKT: Agenda Digitalisasi Selangor yang menjadi fokus Belanjawan 2021 bakal mewujudkan peluang baharu perniagaan dan pekerjaan, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata inisiatif tersebut juga meningkatkan daya saing perniagaan serta produktiviti syarikat untuk bangkit berdepan tempoh mencabar akibat penularan Covid-19.

“Peningkatan daya saing mewujudkan lebih banyak peluang serta cabang baharu perniagaan. Apabila ini berlaku, rantaian bekalan akan bertambah untuk memenuhi permintaan pasaran.

Dato’ Teng Chang Khim. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Selain itu, ekosistem digitalisasi yang semakin berkembang turut mempengaruhi pertambahan peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Chang Khim berkata kemampuan ekonomi Selangor untuk bangkit susulan dampak Covid-19 bergantung sejauh mana rakyat cepat berubah serta menyokong agenda digitalisasi.

Sejumlah RM369 juta, atau satu pertiga dari keseluruhan belanja pembangunan, disediakan bagi menjayakan agenda Negeri Pintar Ulung dan Agenda Digitalisasi dalam belanjawan yang dibentangkan semalam.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha itu bagi menggerak ekonomi secara holistik melalui transformasi sistem perkhidmatan, sosial, perniagaan dan keusahawanan, penciptaan nilai serta seni kreatif.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan dasar itu juga memecahkan stigma bahawa pendigitalan tidak membunuh peluang pekerjaan, sebaliknya mewujudkan peluang pekerjaan

Categories
EXCO SELANGOR

Bas Smart Selangor kekal percuma, keistimewaan buat rakyat

SHAH ALAM, 31 OKT: Rakyat kekal mendapat keistimewaan berikutan perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor diteruskan tahun depan.

EXCO pengangkutan berkata usaha yang dimulakan sejak 2015 adalah salah satu cara Kerajaan Negeri menghargai rakyatnya.

“Hanya warga asing dikenakan caj 90 sen sebagai hasil tambahan untuk mengekal dan menambah baik mutu perkhidmatan Bas Smart Selangor,” kata Ng Sze Han mengulas pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini semalam.

Sejumlah RM25 juta diperuntuk bagi meneruskan perkhidmatan tersebut yang dilaksana oleh 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) pada 2021.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM5 juta pula akan ditampung PBT sebagai perkongsian kos bersama Kerajaan Negeri.

Tambahnya, sistem “Tap to Ride” akan dilancar pada Disember sebagai kaedah bayaran tambang melalui kad atau imbasan kod QR sebelum menaiki bas.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor sedia RM76 juta, berazam bantu belia dapat kerja

SHAH ALAM, 31 OKT: Kerajaan Selangor serius membantu golongan belia mendapatkan pekerjaaan apabila menyediakan RM76 juta menerusi Belanjawan Selangor 2021.

EXCO pembangunan generasi muda berkata peruntukan lebih besar kali ini dilihat bertujuan mewujudkan lebih 15,000 peluang pekerjaan di negeri ini.

“Ia satu usaha yang baik, selain memberi peluang pekerjaan Kerajaan Negeri bercadang menyediakan kemahiran untuk mereka bersesuaian dengan pasaran.

“Semoga usaha sebegini dapat mengurangkan jumlah pengangguran ketika pandemik Covid-19 seterusnya meningkatkan ekonomi rakyat,” kata Mohd Khairuddin Othman kepada SelangorKini.

Terdahulu, menerusi Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selangor Kerjaya menyasarkan 10,000 peluang pekerjaan, Inisiatif Selangor Automotif TVET, 1,000 Rakan Digital Selangor akan dilantik untuk membiasakan rakyat kepada aplikasi digital serta Inisiatif Selangor Freelancers.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

4,200 guru Kafa carum Perkeso antara RM378 juta dana majukan Islam

SHAH ALAM, 31 OKT: Seramai 4,200 guru kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) di Selangor bakal menerima caruman majikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mulai tahun hadapan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Selangor 2021 semalam berkata sebanyak RM1.1 juta disediakan untuk urusan berkenaan.

“Kerajaan Selangor amat cakna dan prihatin dengan perkhidmatan guru Kafa yang menyumbang bakti memberi didikan agama kepada anak Selangor,” katanya.

Beliau berkata sejumlah RM377.77 juta disediakan termasuk mengurus dan membangunkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi memantapkan institusi Islam di negeri ini.

“Pada masa sama, Kerajaan Selangor memperuntukan RM2 juta untuk membiayai 200 pelajar menyertai Program Fast Track Tahfiz bagi memperkasa pendidikan tahfiz serta memberi peluang pelajar menceburi bidang profesional.

“Sebanyak RM2 juta turut diperuntuk bagi menjayakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (Iktisass) sebagai langkah melahirkan golongan tahfiz berdaya saing serta berkemahiran tinggi,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

RM8 bilion nilai pembangunan majukan sekitar Stadium Shah Alam

SHAH ALAM, 30 OKT: Pekarangan Stadium Shah Alam akan diberi nafas baharu melalui projek pembangunan Bandar Belia dan Sukan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM8 bilion.

Dato’ Menteri Besar berkata kerjasama strategik dengan swasta secara perkongsian berkonsepkan
perkotaan hijau berpaksi kelestarian alam dan bandar pintar.

“Di samping pembinaan infrastruktur daripada kosong, Kerajaan Negeri juga berhasrat melaksana projek ‘peremajaan’ (rejuvenasi) di kawasan berpotensi tinggi tetapi mengalami kemerosotan dan lusuh akibat dimamah usia,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau mencadangkan pembangunan semula kawasan stadium berkenaan, yang dimajukan mulai awal 1990-an, dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini hari ini.

Stadium itu tidak dapat digunakan buat masa sekarang akibat kerosakan struktur bumbung dan memerlukan dana RM250 juta untuk dibaik pulih.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Belanjawan Selangor 2021 tumpu atasi pencemaran air

SHAH ALAM, 30 OKT: Belanjawan Selangor 2021 memberi tumpuan untuk mengatasi isu pencemaran sumber air di negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri menyasarkan untuk mengatasi sehingga 90 peratus punca pencemaran yang menyebabkan henti tugas loji rawatan air.

“Isu gangguan bekalan air merupakan perkara kritikal di Selangor dan kita lakukan kajian untuk atasinya, jadi kita luluskan beberapa projek untuk dimulakan segera yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sesi sidang media selepas Pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Negeri Selangor pada 30 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Selangor 2021 di sini (DNS) hari ini.

Terdahulu ketika membentangkan belanjawan, Dato’ Menteri Besar menggariskan empat langkah untuk mengatasi isu gangguan bekalan air.

Perkara tersebut meliputi projek perintis rawatan biologikal bagi pemuliharaan kualiti air Sungai Gong dan menambah bilangan stesen telemetri kualiti air bagi sistem amaran awal di hulu muka sauk.

Turut dilaksanakan projek pengepaman air mentah dari kolam takungan Hybrid Off River Augmentation Storage (Horas) di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih serta pemantauan dan pengawasan 24 jam di kawasan sensitif.

Categories
AGENDA NASIONAL

Iktisass dapat RM15 juta, sedia latihan bertaraf antarabangsa

SHAH ALAM, 30 OKT: Sejumlah RM15 juta diperuntuk bagi meneruskan program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (Iktisass) tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerjasama melalui perjanjian usaha sama diwujudkan dengan industri antarabangsa bagi memastikan bidang latihan memenuhi piawaian melalui penyediaan pusat latihan di rantau Asia Tenggara.

“Program ini bersifat holistik dan menyeluruh dengan penglibatan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor bagi melengkapkan ekosistem pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional.

“Melaluinya, peserta akan mempelajari kemahiran, menjalani latihan serta memperoleh peluang pekerjaan untuk melengkapkan kitaran yang dirancang,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 di sini hari ini.

Amirudin menjelaskan Kerajaan Negeri akan mewujudkan inkubator bagi mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing mencipta peluang pekerjaan baharu.

Sementara itu, katanya, Kerajaan Negeri akan melakukan ikhtiar berterusan untuk membasmi salah guna dadah dengan peruntukan RM1 juta.

Usaha tersebut meliputi:

– Inisiatif Bersepadu Menangani Penyalahgunaan Dadah melibatkan tiga kawasan rintis
– Program Total Enforcement Community Control (TECC) di 13 kawasan fokus terutama Desa Mentari
– Program pendidikan dan kesedaran di peringkat sekolah serta institut pengajian tinggi

Categories
AGENDA NASIONAL

Pinda syarat bina Rumah Selangorku, galak pemaju sedia kediaman

SHAH ALAM, 30 OKT: Pemaju dibenar meminda syarat Rumah Selangorku jenis A, B, C dan D kepada jenis E melalui Insentif Galakan Pembinaan Rumah Mampu Milik.

Dato’ Menteri Besar berkata rumah berkeluasan minimum 1,000 kaki persegi itu dijual tidak melebihi RM250,000 seunit dengan kelengkapan asas seperti penyaman udara, kabinet dapur dan baju serta pemanas air.

“Insentif ini juga akan menarik minat pemaju untuk mempercepatkan pembinaan Rumah Selangorku seterusnya memperbanyakkan lagi stok rumah tersebut.

“Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor melalui Rumah Selangorku Harapan dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) melalui Rumah Selangorku Idaman diamanahkan untuk menerajui kedua-dua konsep ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Berikut insentif lain diumumkan untuk sektor perumahan:

-RM20 juta bagi Program Skim Smart Sewa menggunakan dana Tabung Amanah Pengecualian Syarat Kuota Bumiputera

-Pengenalan Smart Sewa to Ownership (2STAY) untuk membantu golongan B40 dan individu sukar mendapat pembiayaan untuk memiliki rumah pertama

-Program 2STAY ini membabitkan Rumah Selangorku diperoleh daripada unit kontra percuma di bawah Program Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan

Categories
AGENDA NASIONAL

RM15 juta laksana 30 projek pemberdayaan komuniti

SHAH ALAM, 30 OKT: Sebanyak 30 projek pemberdayaan komuniti akan dilaksana Kerajaan Negeri tahun depan dengan peruntukan RM15 juta.

Dato’ Menteri Besar berkata RM10 juta diperuntuk untuk skim Ceria, baik pulih kediaman projek perumahan rakyat (RM4.3 juta) dan program pemberdayaan komuniti lain (RM1 juta).

“Kerajaan Negeri tidak menekankan semata-mata pembangunan aspek fizikal, malah pakej rangsangan pembangunan komuniti turut diperkenal.

“Langkah itu bagi membina masyarakat berdaya saing dan harmoni melalui penyediaan kediaman selesa serta persekitaran kehidupan kondusif,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 di sini hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

RM2.6 juta baiki benteng pantai rosak akibat air pasang

SHAH ALAM, 30 OKT: Benteng pantai yang terjejas berikutan fenomena air pasang besar antara September hingga Oktober membabitkan kos RM2.64 juta.

Dato’ Menteri Besar berkata kejadian itu menjejaskan kawasan pesisiran pantai, terutama Sabak Bernam dan Kuala Selangor dengan kerja baik pulih dilaksana tahun depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengumumkan peruntukan RM2.5 juta kepada pihak berkuasa tempatan bagi memperbaiki kemudahan asas dan infrastruktur.

“Sebagai sebuah kerajaan prihatin, pembangunan bandar yang inklusif dan mesra pengguna diberi penekanan.

“Ini bagi memastikan masyarakat boleh menikmati semua usaha pembangunan telah dijalankan serta mempunyai hak dan peluang yang sama dalam pembangunan fizikal dan sosial,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Categories
AGENDA NASIONAL

RM170 juta tingkat jaringan jalan raya

SHAH ALAM, 30 OKT: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menerima RM170 juta bagi meningkatkan sistem jaringan jalan raya dan merapatkan jurang antara daerah, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata daripada jumlah itu, sejumlah RM8.1 juta disalurkan bagi pembinaan jambatan dan jejantas di lokasi berikut:

-Jambatan Rantau Panjang, Kuala Selangor
-Jambatan Sungai Kundang, Gombak
-Jambatan Kampung Sungai Buah, Sepang
-Jambatan di atas Sungai Serigala
-Jalan Hulu Bernam-Sungai Besar, Hulu Selangor

“Sebanyak RM36 juta pula disediakan untuk menampung kerja-kerja pembinaan jalan baharu yang sedang berjalan,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Kerajaan Negeri juga menyediakan RM103.4 juta untuk menaik taraf jalan, iaitu RM80 juta bagi projek peringkat pembinaan, manakala RM23.4 juta pula bagi cadangan naik taraf baharu. Lokasi terbabit ialah:

-Jalan Bukit Rimau, Klang (pakej satu)
-Jalan Telok Gong dari persimpangan Glenmarie Cove ke persimpangan Jalan Ikan Tenggiri (pakej satu)
-Jalan Reko, Hulu Langat (pakej dua)
-Jalan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tiram Jaya, Tanjung Karang, Kuala Selangor
-Jalan Sungai Panjang dari persimpangan Jalan Kuala Selangor-Telok Intan ke Parit Empat Timur, Sabak Bernam

Amirudin turut mengumumkan beberapa cadangan jajaran baharu dan alternatif yang diluluskan peruntukkannya mengikut Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu:

-Naik taraf Jalan Utama Seri Cheeding ke Interchange Gamuda Cove, Kuala Langat (pakej satu)
-Naik taraf Jalan Terusan Utama sehingga ke Jalan Raja Musa, Tanjong Karang
-Membina dan naik taraf laluan Persiaran Bunga Raya ke Jalan Widuri, Bukit Beruntung, Hulu Selangor
-Membina laluan hijau ke Bandar Baru Selayang

Kerajaan Negeri turut memperuntukkan masing-masing RM1 juta untuk melaksanakan kajian cadangan projek naik taraf jalan dan kerja pembaikan cerun, serta memperluaskan sistem pemantauan lampu isyarat menggunakan peralatan internet.