Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Inisiatif Digitalisasi cipta peluang kerja, sumber kekayaan baharu

SHAH ALAM, 15 NOV: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) menyasar untuk mencapai empat objektif melalui Inisiatif Digitalisasi Selangor yang diumum dalam Belanjawan 2021.

Ketua digitalisasinya berkata sasaran meliputi mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan selain menyokong kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana.

Kamarul Nizam Kassim menjelaskan usaha juga ke arah mewujudkan industri baharu dan mencipta sumber pendapatan baharu Kerajaan Negeri.

Kamarul Nizam Kassim ketika bual bicara pendigitalan dan keusahawanan di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 14 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Semua inisiatif tersebut bakal membuka ruang kepada peluang pekerjaan dan perniagaan, seterusnya mencipta sumber kekayaan baharu untuk rakyat dan negeri.

“Inisiatif dilaksanakan antaranya Data Internet Selangor, Rakan Digital Selangor, Selangor Kerjaya, Selangor Freelancer dan Selangor Advance,” katanya pada program Bual Bicara anjuran Media Selangor semalam.

Kamarul Nizam berkata MBI turut mengenal pasti kerjasama dengan syarikat gergasi yang memiliki kepakaran tertentu ke arah merealisasikan agenda tersebut.

“Kita juga bercadang menggunakan Dana Inovasi Selangor untuk melabur dalam perniagaan baharu yang mampu melonjakkan pendapatan negeri,” katanya lagi.

Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk RM369 juta bagi mencapai hasrat Negeri Pintar Ulung dan Agenda Digitalisasi.

Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih 800,000 rakyat Selangor belum ke arah digital

SHAH ALAM, 15 NOV: Lebih 800,000 rakyat Selangor dikesan tidak menggunakan internet dan menyesuaikan diri dengan ekosistem pendigitalan yang semakin berkembang.

Ketua digitalisasi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) berkata kelompok itu meliputi warga emas, peniaga kecil dan industri mikro serta belia berpendapatan rendah (B40).

“Kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mendapati 12.6 peratus rakyat Malaysia tidak menggunakan internet dan dalam konteks Selangor, kita anggarkan sekitar 831,000 individu terpinggir.

Kamarul Nizam Kassim ketika bual bicara pendigitalan dan keusahawanan di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 14 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Menyedari perkara ini, MBI mengambil inisiatif melantik 1,000 rakan digital untuk mengenal pasti dan membantu golongan sasar,” kata Kamarul Nizam Kassim dalam Program Bual Bicara anjuran Media Selangor semalam.

Beliau berkata Kerajaan Negeri perlu menyegerakan proses pendigitalan dalam kalangan masyarakat sesuai dengan norma baharu pascawabak Covid-19.

“Wakil rakyat juga perlu memainkan peranan dengan memberi penerangan kepada masyarakat di kawasan masing-masing berhubung kepentingan serta manfaat pendigitalan,” kata Kamarul Nizam.

Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk RM3 juta bagi memastikan warga emas, pengusaha kecil dan sederhana, industri mikro serta belia B40 meningkatkan kualiti hidup mereka.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agenda digitalisasi diperhebat, bantu rakyat – EXCO

SHAH ALAM, 15 NOV: Kerajaan Negeri bakal memperhebat inisiatif digitalisasi bagi membantu rakyat terkesan akibat Covid-19, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata kajian mendapati pendapatan seramai 36 peratus daripada 6.6 juta penduduk Selangor terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Malah kajian juga mendapati kira-kira 84 peratus rakyat mempunyai simpanan yang hanya mampu bertahan selama tiga bulan sahaja, perkara ini membimbangkan kita.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail bersama Ketua Pengarah Eksekutif MSSB, Fareed Mohd Asharee serta Ketua Degitalisasi Perbadanan Menteri Besar, Kamarul Nizam Kassim bergambar bersama di pejabat Media Selangor selepas bual bicara pendigitalan dan keusahawanan di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 14 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Cara untuk membantu adalah mengajar mereka bagaimana perniagaan dalam talian boleh mengubah nasib kerana boleh dilakukan tanpa perlu ada kedai atau gerai secara fizikal,” katanya dalam program bual bicara Media Selangor.

Sejumlah RM369 juta diperuntuk bagi menjayakan agenda Negeri Pintar Ulung dan Agenda Digitalisasi dalam Belanjawan Selangor 2021.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha itu bagi menggerak ekonomi secara holistik melalui transformasi sistem perkhidmatan, sosial, perniagaan dan keusahawanan, penciptaan nilai serta seni kreatif.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan dasar itu juga memecahkan stigma bahawa pendigitalan tidak membunuh peluang pekerjaan, sebaliknya mewujudkan peluang pekerjaan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Belanja mengurus lebih 70 peratus tidak tepati aspirasi rakyat

HULU LANGAT, 7 NOV: Peruntukan lebih 70 peratus bagi perbelanjaan mengurus dalam Belanjawan 2021 disifatkan tidak bertepatan dengan aspirasi rakyat yang mahukan lonjakan pemulihan ekonomi.

Dato’ Menteri Besar berkata belanjawan dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam tidak memberi respon kepada beberapa isu dibangkitkan rakyat dan berbeza dengan Belanjawan Selangor 2021 memperuntukkan 47 peratus bagi aspek pembangunan.

“Sebaliknya di peringkat Persekutuan, mereka meletakkan hanya 21 peratus untuk tujuan tersebut dan selebihnya bagi perbelanjaan mengurus.

“Justeru, di samping kritikan wakil pembangkang dalam sidang Dewan Negeri Selangor, kita melihat belanjawan Persekutuan tidak menterjemahkan perkara berhubung pemulihan ekonomi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari kepada media selepas program lawatan pasca banjir di Taman Sri Nanding di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau melihat tiada peruntukan khusus bagi sektor aeroangkasa di Selangor yang seharusnya diberi tumpuan kerana ia menjanjikan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Menurutnya, peruntukan tersebut penting bagi meningkatkan kedayatahanan industri berkenaan yang ketika ini berdepan situasi sukar akibat penularan pandemik Covid-19.

“Kita sememangnya memerlukan sokongan untuk sektor tersebut kerana melibatkan tenaga kerja yang ramai malah menjadi kegiatan penting kepada negara amnya dan Selangor khususnya.

“Saya perlu lihat kembali apakah ada sokongan kepada sektor ini supaya mereka (penggiat industri) mampu bertahan dan keluar daripada masalah kemelesetan akibat Covid-19,” katanya.

Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan RM322.5 bilion atau 20.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diperuntukkan dalam Belanjawan 2021.

Daripada jumlah itu, RM236.5 billion (73.3 peratus) adalah untuk perbelanjaan mengurus dan RM69 billion (21.4 peratus) bagi perbelanjaan pembangunan manakala baki RM17 bilion untuk Kumpulan Wang Covid-19.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT PILIHAN MINGGUAN RENCANA

Belanjawan Selangor 2021 manfaat untuk semua

Dengan peruntukan RM2.32 bilion, Belanjawan Selangor 2021 menumpu usaha pemulihan ekonomi akibat Covid-19 dengan tidak mengabaikan golongan bawah yang perlu diberikan bantuan.

Melalui lima strategi, belanjawan bertema Melakar Realiti Baharu: Memperkasa Ekonomi Bermaruah Paksi Kecekalan Rakyat menggerakkan program pendigitalan sebagai langkah merancak ekonomi pascawabak.

Belanjawan tahun depan tidak hanya tertumpu kepada sektor berskala besar bagi memacu ekonomi dan pembangunan negeri, tetapi turut menyalurkan pelbagai bantuan ke peringkat akar umbi masyarakat.

Selain memberi bantuan tunai dalam inisiatif sedia ada, Belanjawan Selangor 2021 menyediakan latihan vokasional dan teknikal, memudahkan usaha niaga dan membantu warga negeri menjana pendapatan.

Berdasarkan teks pembentangan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Negeri Selangor pada 30 Oktober, wartawan Aliff Fikri merumus isi penting yang menjadi perhatian utama.

 

Strategi Pertama: Agenda Digitalisasi Selangor, Pemangkin Negeri Pintar Ulung

Kelulusan Dokumen Digital Kerajaan RM2 juta
– diperkenal di peringkat Pejabat Tanah dan Galian
– kurangkan tempoh proses dokumen pindah milik

Dana Inovasi Selangor RM100 juta
– suntikan modal teroka kepada syarikat pemula

Selangor Advance RM130 juta
– bantu pembekal dan penyedia perkhidmatan kepada kerajaan dan anak syarikat lancarkan aliran tunai

Inisiatif Automatif TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) RM5 juta
– caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama 12 bulan untuk bengkel salur
kepada peserta
– manfaat kepada 3,000 graduan TVET

Rakan Digital Selangor RM3 juta
– biasakan penduduk guna aplikasi digital
– tingkatkan pendapatan tambahan dan pendidikan anak

Smart Selangor Parking dibangunkan selaras komitmen Kerajaan Negeri untuk merealisasikan hasrat Negeri Pintar terulung di rantau Asean menjelang 2025. Foto ARKIB SELANGORKINI

Projek Perintis 5G RM3 juta
– menjadi negeri memiliki liputan terbesar
– menyediakan prasarana di Bangunan SUK 1

Pekerja Sambilan Selangor (Selangor Freelancers) RM10 juta
– bantu rakyat guna kemahiran bagi jana pendapatan
– untuk lulusan kampus, tenaga kerja yang diberhentikan dan suri rumah

Wi-Fi dan Data Internet Selangor RM17.5 juta
– manfaat kepada 54,000 pengguna, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40), ibu tunggal dan mahasiswa

e-Dapur Selangor RM10 juta
– bantu peniaga kecil cari pasaran melalui khidmat e-panggilan

Program Digitalisasi Urus Tadbir Tenaga Kerja (PRODUTK)
– bantu industri kecil sederhana (IKS) ke arah pendigitalan
– percuma kepada syarikat IKS yang mendaftar dalam tiga bulan
– kurangkan kos dan digitalkan urus tadbir syarikat IKS

Inisiatif e-Pembekalan Peruncit Mikro RM15 juta
– bantu 1,000 peruncit mikro
– beri pinjaman mikro kredit untuk peruncit beli stok
– guna kaedah digital untuk percepat pesanan dan bayaran

e-Sukan RM3 juta
– ekosistem e-sukan melalui penganjuran kejohanan amatur, latihan dan bimbingan kepada belia

Strategi Kedua: Selangor Sentosa, Ummah Sejahtera

Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) Ibu Tunggal RM62 juta
– RM200 sebulan untuk wanita B40 beli barangan keperluan asas
– 5,000 ibu tunggal dapat manfaat

Skim Insurans Peduli Sihat RM42.5 juta
– memanfaat 85,000 pemegang polisi
– meliputi perlindungan akibat kematian, penyakit kronik, khairat kematian dan hilang upaya kekal serta kemudahan rawatan di klinik swasta

Pemberdayaan OKU RM3.25 juta
-tingkat peranan Majlis Tindakan OKU Selangor

Bantuan Pengusaha dan Guru-guru Tadika RM 2 juta
-bantu tadika terjejas akibat pandemik

Sukarelawan Jiran Baik RM300,000
– bantu masalah keciciran bantuan bagi mereka yang tiada upaya bergerak
– sasarkan warga emas, wanita dan kanak-kanak

Pembangunan Orang Asli RM1 juta
– tambah baik rumah dan bantu pewartaan tanah perkampungan

Ketua komuniti India
– tambah 14 orang lagi kepada 62 ketua
– bantu negeri dapat maklum balas dan selesai masalah setempat
– terima elaun bulanan dan peruntukan program

Bank Makanan Kanak-Kanak RM1 juta
– daripada peruntukan RM6 juta bawah program Bank Makanan
– atasi masalah kurang makanan berkhasiat di semua 56 Dewan Undangan Negeri

Warga emas RM27.5 juta
– bantuan khairat kematian RM500 diwujudkan semula dengan dana RM7.5 juta
– Skim Mesra Usia Emas, termasuk Jom Shopping, diteruskan RM20 juta

Majlis Wanita Selangor (Manis), Pusat Wanita Berdaya & Institut Wanita Berdaya RM4.8 juta
– Manis rangka dasar pemberdayaan wanita, kerjasama dengan badan bukan kerajaan
– Pusat Wanita Berdaya (PWB) bantu B40 terima RM3 juta
– Institut Wanita Berdaya (IWB) arusperdanakan gender RM1.8 juta

Ekspo Hasil Suri Selangor RM300,000
– untuk wanita B40 ketengahkan produk
– upayakan ibu tunggal dan orang kelainan upaya pasarkan jualan

Caruman Perkeso untuk guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) RM1.1 juta
– manfaat kepada 4,200 guru

Program Tahfiz TVET/Inisiatif Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS) RM2 juta
– pelajar dapat latihan dan sijil kemahiran

Fast track untuk pelajar tahfiz RM2 juta
– 200 pelajar ambil peperiksaan SPM dan kemudiannya sertai latihan teknikal

Bina masjid, sekolah agama dan pusat tahfiz (sebahagian RM378 juta)
– sembilan masjid, dua sekolah rendah dan dua maahad tahfiz

Strategi Ketiga: Memacu Penciptaan Nilai Dan Pembangunan Modal Insan

Niaga Darul Ehsan atau NaDi (sebahagian program Hijrah RM15 juta)
– peniaga kecil dapat pinjaman RM1,000 hingga RM3,000
– boleh mohon tanpa premis tetap dan syarikat
– kena daftar syarikat selepas enam bulan terima pinjaman
– lesen pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas ada syarikat

Skim pinjaman Zero to Hero (sebahagian program Hijrah RM15 juta)
– bantu mulakan perniagaan walau tanpa lesen PBT dan daftar syarikat
– terbuka kepada warga negeri 18 hingga 60 tahun

Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) RM2 juta
– bantu 3,000 anak muda keluarga B40 cari pendapatan melalui khidmat e-panggilan

Pendidikan sekolah dan universiti
– Pusat Tuisyen Rakyat RM13 juta
– Pinjaman Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) RM35 juta
– Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Selangor RM8 juta
– bantuan lanjut pelajaran ke luar negara Bitara RM1 juta

Bantuan Yuran Asas Selangor (BAYU) RM4 juta
– tidak perlu bayar yuran masuk Universiti Selangor dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

Karnival Kerjaya Selangor
– ruang golongan muda cari pekerjaan
– himpunkan syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan

Kursi Menteri Besar Selangor RM5 juta
– kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dengan Universiti Putra Malaysia (UPM)
– perkasa penyelidikan dalam bidang ekonomi, kewangan dan keusahawanan

Bakat Muda Selangor RM1 juta
– bangunkan bakat dalam seni lukis, muzik dan sastera

Sukan & anak muda
– pembangunan atlet dan bakat baharu RM27.9 juta
– pembinaan generasi muda dan sukan RM34.9 juta
– Penggerak Belia Tempatan (PeBT) RM2.83 juta
– bola sepak RM20 juta

Rancakkan pelancongan RM5.85 juta
– Kempen Pusing Selangor Dulu bagi menarik minat orang ramai ke Selangor

Strategi keempat: Memperkasa kemampanan alam sekitar, sumber dan rantaian bekalan makanan

Skim Air Darul Ehsan RM40 juta
– beri manfaat kepada 250,000 pengguna
– RM1.8 bilion dibelanjakan sejak 2019

Skuad Pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)
– pengawasan 24 jam di lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat
– tambah bilangan stesen sukat kualiti air sebagai sistem amaran awal

Tangani pencemaran air RM200 juta
– premis berpotensi cemar anak-anak sungai diroboh
– pantau guna dron berteknologi tinggi termasuk analisis data

Sahabat Sungai (Friends of River) RM1 juta
– sukarelawan bantu kempen pemuliharaan sungai

Pertanian untuk makanan RM26.4 juta
– guna teknologi untuk hasilkan pulangan tinggi di kawasan terhad

Pertanian komuniti RM500,000
– galak masyarakat setempat jayakan jaminan bekalan makanan khusus di bandar

Kemudahan simpanan makanan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor
– kemudahan bilik dingin dan sejuk beku
– kongsi data antara pengeluar dan rantaian edaran ke pasar
– kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama)
– tiga lokasi terbesar sedia ada: Dengkil, Puchong dan Kuala Selangor

STRATEGI KELIMA: MERANCAKKAN PEMULIHAN EKONOMI DAN PEMBANGUNAN INDUSTRI

Rumah Selangorku Idaman dan Harapan
– tambah kepada 60,000 unit dalam masa tiga tahun
– pemaju dibenarkan pinda syarat rumah jenis A, B, C dan D kepada jenis khas (E)
– saiz rumah 1,000 kaki persegi dengan harga tidak lebih RM250,000 seunit
– lengkap penghawa dingin, kabinet dapur, kabinet baju dan pemanas air

Skim Smart Sewa RM20 juta
– kadar berpatutan untuk golongan berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40)

Smart Sewa to Ownership (2Stay)
– nilai hartanah yang dibangunkan RM750 juta
– bantu golongan kurang mampu dan sukar dapat pembiayaan untuk miliki rumah pertama

Bandar Belia dan Sukan di kawasan Stadium Shah Alam
– nilai pembangunan kasar (GDV) RM8 bilion
– inisiatif pembiayaan dengan syarikat swasta
– menyegarkan semula kawasan berpotensi tinggi

Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) RM11 juta
– acara tahunan tarik pelabur
– pamer produk tempatan dan kerjasama dengan syarikat asing

Pameran Penerbangan Selangor RM2 juta
– galak pembangunan industri aeroangkasa di Subang
– ruang syarikat tempatan promosi produk dan teroka pelaburan

Projek besar pembangunan negeri
– pembangunan infrastruktur RM170 juta
– melancarkan aliran trafik RM103.4 juta
– membina jalan baharu RM36 juta
– teruskan operasi Bas Smart Selangor RM25 juta
– membina tebatan banjir RM78 juta
– pengurusan saliran mesra alam RM18 juta
– bangunkan sistem saliran RM12.51 juta
– bina benteng pantai RM2.64 juta

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Dedah pendigitalan demi masa depan rakyat Selangor

SHAH ALAM, 4 NOV: Rakyat negeri ini perlu dididik dan didedahkan dengan pendigitalan sebagai persediaan masa hadapan pascawabak Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu bertepatan, malah Belanjawan Selangor 2021 yang dibentangkan Jumaat lalu mengutamakan platform maya.

“Memang diakui tidak semua rakyat bersedia apabila kita buat pendigitalan, namun kita perlu sedar walau dapat putuskan rantaian pandemik, kita mungkin berdepan gelombang baharu.

“Jadi kita tidak boleh mengeluh. Kita buat untuk masa depan sebab itu ditubuhkan program digitalisasi untuk semua termasuk sistem pendidikan,” katanya dalam program temu bual bersama Astro Awani malam tadi.

Amirudin berkata pemberian data internet pada tahun depan akan mengukuhkan langkah berkenaan selain memudahkan urusan rakyat.

“Kita juga akan jalin kerjasama dengan Telekom Malaysia bagi memastikan rangkaian jalur lebar tersusun,” katanya lagi.

Data Internet Selangor diperkenalkan pada 2021 bagi mengurangkan masalah jurang digital supaya golongan berpendapatan rendah (B40) berupaya mencipta pendapatan.

Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak RM17.5 juta diperuntuk bagi menjayakan program itu termasuk inisiatif WiFi yang dijangka memanfaatkan hampir 54,000 pengguna.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan Selangor 2021: Realiti hidup rakyat bersama Covid-19

SHAH ALAM, 3 NOV: Belanjawan Selangor 2021 dibentangkan Jumaat lalu bertepatan realiti baharu kehidupan didepani rakyat dalam suasana pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata susulan itu, pengalaman tiga bulan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi asas dalam setiap saluran peruntukan demi kepentingan dan kebajikan rakyat.

“Kita kena terima hakikat virus itu tak akan capai angka kosong setiap waktu dan hari tetapi kita mesti teruskan kehidupan, aktiviti perniagaan atau sosial.

“Kalau tidak, kehidupan dan penghidupan akan tempang. Kita kena seimbangkan dan inilah cabaran kita,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika bersiaran di Astro Awani malam ini.

Susulan itu, beliau meminta rakyat supaya tidak berputus asa dan perlu meneruskan kehidupan serta aktiviti sosial dengan kaedah berbeza.

“Selain mengamalkan pemakaian pelitup muka dan kebersihan, rakyat juga harus bersedia dengan norma baharu daripada segi kehidupan seperti transaksi perniagaan, kerja dari rumah dengan komputer riba serta dikelilingi anak,” katanya.

Pada 30 Oktober lalu, Amirudin membentangkan Belanjawan Selangor 2021 dengan anggaran peruntukan RM2.32 bilion, membabitkan RM1.22 perbelanjaan mengurus dan RM1.103 bagi pembangunan.

Categories
ADN SELANGOR

ADN: Langkah tepat jaya program kebajikan, agenda perkasa wanita

SHAH ALAM, 2 NOV: Kerajaan Selangor melakukan rancangan tepat apabila bakal melaksanakan pelbagai program kebajikan dan pemberdayaan wanita menerusi Belanjawan 2021.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati berkata peruntukan RM71.3 juta bagi meneruskan agenda memperkasa wanita dan keluarga dilihat penting kerana mereka turut memainkan peranan bagi membentuk generasi masa depan lebih berkualiti.

“Saya gembira dengan pengumuman Dato’ Menteri Besar yang menyediakan sejumlah peruntukan signifikan bagi pembangunan wanita, keluarga dan kebajikan masyarakat.

“Ini menunjukkan Kerajaan Negeri amat prihatin kerana terus mengutamakan mereka yang selama ini turut sama menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara,” kata Juwairiya Zulkifli kepada SelangorKini.

Jumaat lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pandemik Covid-19 tidak mematahkan semangat Kerajaan Negeri untuk tetap memberi fokus kepada usaha pemberdayaan wanita di negeri ini.

Katanya, tahun hadapan merupakan tahun lonjakan paradigma bagi memartabatkan wanita Selangor dalam Belanjawan 2021.

Categories
ADN SELANGOR

Jawatankuasa pilihan sumber air puas hati langkah atasi LRA tercemar

SHAH ALAM, 1 NOV: Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Negeri Selangor (JPK-SAS) menyambut baik pelan menyeluruh bagi menangani pencemaran henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021.

Pengerusinya berkata sehingga Oktober ini sembilan kejadian berkaitan LRA dilaporkan hingga menjejaskan ratusan ribu akaun pengguna berikutan gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Pelan ini mengambil kira pelbagai aspek merangkumi pindaan undang-undang, rancangan sumber air kecemasan, penambahbaikan pemantauan dan penguatkuasaan serta pengunaan teknologi sesuai untuk mengenal pasti pencemaran seawal mungkin.

“Saya berbesar hati Kerajaan Negeri mengambil kira saranan dalam penyata dibentangkan pada sidang Julai oleh JPK-SAS,” kata Michelle Ng Mei Sze ketika dihubungi.

Beliau berharap Kerajaan Negeri dapat meletakkan satu tempoh masa kepada setiap rancangan dibentangkan sebagai langkah akauntabiliti dan ketelusan.

Menerusi Strategi Keempat: Memperkasa Kemampanan Alam Sekitar, Sumber dan Rantaian Bekalan Makanan, antara usaha akan dilakukan Kerajaan Negeri adalah meminda Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Luas) 1999 untuk meningkatkan bayaran denda bagi kesalahan pencemaran sumber air.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan Projek Perintis Rawatan Biologikal/BioRemediation bagi tujuan pemuliharaan kualiti air Sungai Gong menggunakan kaedah kombinasi pendekatan biologi seperti peletakan bahan nano teknologi (Aquaritin) dan kaedah fizikal seperti Sistem Rawatan Air Mentah (RWTS).

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Peruntukan tepat untuk pembangunan sukan negeri

SHAH ALAM, 1 NOV: Peruntukan pembangunan sukan berjumlah RM27.9 juta tepat pada masanya ketika kontinjen Selangor membuat persediaan ke Sukan Malaysia (Sukma) di Johor tahun hadapan.

EXCO pembangunan generasi muda dan sukan berkata kemudahan itu akan menambah baik segala program dirancang dan diyakini Selangor mampu meneruskan kecemerlangan pada temasya dwi tahunan itu walaupun berdepan cabaran susulan penularan Covid-19.

“Peruntukan diberikan Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan Selangor 2021 amat sesuai pada saat kita bersiap untuk ke Sukma dan ia juga membolehkan proses menaik taraf kemudahan atlet dilaksanakan.

“Rekod (Sukma) Selangor sebelum ini adalah di tangga tiga teratas dan kita yakin ia mampu dikekalkan pada kejohanan itu nanti,” kata Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan pihaknya juga akan terus mengembangkan potensi e-Sukan dengan peruntukan RM3 juta tahun hadapan meliputi pemberian latihan dan bimbingan untuk golongan muda memasuki industri tersebut.

Sebelum ini, Selangor muncul negeri pertama menganjurkan Permainan Siber Selangor (SCG), termasuk versi duduk di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menerima sambutan mengalakkan.

Selain itu, RM2 juta diperuntuk bagi meneruskan program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) untuk membantu kira-kira 3,000 belia mencari pendapatan atau kerjaya baharu sebagai penunggang motosikal dalam perkhidmatan e-panggilan.

Di samping itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2.83 juta dalam usaha untuk memartabatkan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) serta sumbangan 20 juta kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) adalah dari peruntukan Kerajaan Negeri, Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

FAS tumpu pembangunan pemain muda, tingkat kemudahan pusat latihan

SHAH ALAM, 1 NOV: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) akan memanfaatkan peruntukan RM20 juta dalam belanjawan negeri tahun depan bagi meningkatkan kemudahan sedia ada dan pembangunan pemain muda.

Setiausaha agungnya berkata pihaknya bersyukur di atas sokongan Kerajaan Negeri dan FAS bersedia melakukan yang terbaik demi kemajuan bola sepak Selangor.

“Kita akan menggunakan dana tersebut untuk meneruskan usaha meningkatkan kualiti jabatan teknikal, memampankan pembangunan elit pemain muda Selangor dan menaik taraf fasiliti di Pusat Latihan FAS,” kata Dr Johan Kamal Hamidon ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan pengumuman Dato’ Menteri Besar ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2021 pada Jumaat lalu adalah kepercayaan terhadap transformasi serta perancangan jangka panjang dijalankan di bawah pentadbiran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah selaku Presiden FAS.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan RM20 juta adalah bertujuan untuk pembangunan bola sepak iaitu RM10 juta daripada Kerajaan Negeri manakala bakinya sumbangan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Categories
AGENSI SELANGOR

PWB tekad perbanyak program, bantu wanita tambah pendapatan

SHAH ALAM, 31 OKT: Pusat Wanita Berdaya (PWB) Sungai Kandis bertekad mahu memperbanyakkan program atau bengkel bagi membantu meningkatkan pendapatan wanita terutama yang terkesan susulan Covid-19.

Penyelianya Roslida Udin berkata peruntukan RM3 juta yang akan disalurkan Kerajaan Negeri kepada PWB Selangor tahun hadapan membolehkan pelaksanaan aktiviti pembangunan ekonomi Hab Wanita Berdaya.

“Hab ini akan dibangunkan dengan kerjasama strategik pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjadi tumpuan aktiviti ekonomi serta pembangunan usahawan wanita,” katanya dalam kenyataan.

Roslida berkata pihaknya juga berbesar hati dengan penganjuran Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) yang bakal diteruskan tahun hadapan.

“Saya percaya produk peserta golongan suri rumah daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan peserta PWB dapat diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau turut menyambut baik belanjawan tersebut yang memberi penekanan terhadap pelbagai golongan khususnya wanita dalam menghadapi cabaran Covid-19 selain memberi dampak positif terhadap perkembangan sosial dan ekonomi rakyat.

Semalam Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Belanjawan Selangor 2021 dengan peruntukan keseluruhan RM2.3 bilion dan daripada jumlah itu sebanyak RM71.3 juta diperuntukkan bagi meneruskan agenda memperkasa wanita serta keluarga.