Categories
NASIONAL

Suara golongan muda asas pembentukan negara

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Penurunan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun membolehkan suara golongan muda di negara ini lebih jelas, lantang dan dijadikan asas kepada pembentukan negara.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia ekoran isu yang dibangkitkan golongan muda adalah persoalan masa depan yang akan dihadapi generasi belia.

“Isu anak muda adalah isu rakyat, juga digelar politik marhean. Kita jangan ingat politik itu hanya untuk golongan kaya, aristokrat, bandar dan berpendidikan sahaja kerana undi setiap golongan itu amat bermakna dalam menentukan pentadbir negara.

“Sama seperti golongan muda, apabila di usia 18 tahun, kamu juga mahukan sistem pendidikan yang baik, peluang biasiswa dan peluang pekerjaan tetapi ketika ini mereka tidak diberi hak. Ini yang saya katakan tidak adil dan kita perlu perjuangkan hari ini,” katanya dalam program Bicara Politikonomi yang disiarkan secara langsung menerusi Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) semalam.

Menyentuh berkenaan kematangan politik belia pada usia 18 tahun, Syed Saddiq percaya 18 tahun merupakan umur yang mampu membuat keputusan yang matang dalam menentukan masa depan negara.

Bagaimanapun, Syed Saddiq berkata beliau mahu anak muda lebih mengambil tahu akan situasi dalaman negara dan isu semasa yang berlaku bagi membolehkan mereka jelas akan perjuangan yang benar dalam memajukan negara.

“Anak muda perlu ada garis panduan yang jelas mengenai politik kerana politik ini bukan sekadar melibatkan lambang dan parti sahaja. Ia lebih daripada itu meliputi pembangunan revolusi industri dan perkembangan isu dalam dan luar negara,” katanya.

Usul pindaan Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun akan dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Usul itu yang merupakan satu daripada janji dalam manifesto Pakatan Harapan, dijangka dibentangkan Syed Saddiq setelah ia dipersetujui secara sebulat suara oleh Kabinet, pada September lalu.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Selangor bertuah miliki MB faham jiwa belia

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 30 JUN: Generasi muda di Selangor disifatkan bertuah kerana memiliki Dato’ Menteri Besar yang memahami kehendak dan keperluan golongan itu, di negeri ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Amirudin Shari turut memperkenalkan pelbagai program membabitkan belia ketika memegang portfolio itu sebelum ini.

“Generasi muda di Selangor memang beruntung kerana Dato’ Menteri Besar kita cukup memahami kehendak mereka dalam pelbagai bidang sama ada sukan, muzik, seni mahupun kreativiti.

“Saya juga difahamkan beliau sendiri pernah terbabit aktif mendeklamasi puisi sehingga ke peringkat kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung bersama DJ Fazreen di konti sementara Selangor FM pada sambutan Hari Belia Negara & Youth Business Expo @Selangor 2019 di USJ Summit di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, belia di Selangor juga wajar mengambil peluang untuk lebih aktif dalam pelbagai aktiviti membabitkan golongan terbabit di negeri ini.

Pelbagai acara menarik diadakan sempena sambutan itu antaranya #youthpower Fun Run, Dyno Run by Dr Dyno Tuning Malaysia, Samurai Youth Bikers 2019, pelbagai bengkel kemahiran dan gerai jualan usahawan belia.

Categories
NASIONAL

Mesyuarat Kabinet khas tingkat peluang kerja belia

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Kerajaan mengadakan mesyuarat Kabinet khas untuk membincangkan usaha mewujudkan peluang pekerjaan dan persekitaran ekonomi baik, khusus bagi menangani masalah berkaitan pengangguran dalam kalangan belia.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, beberapa perkara dibangkitkan dalam mesyuarat itu, terutama berkaitan usaha kerajaan mewujudkan negara keusahawanan dan menerapkan budaya usahawan dalam kalangan belia.

“Tindakan dan dasar dibincangkan bagi menghasilkan suasana ekonomi lebih stabil dengan rakyat boleh terbabit melalui peluang pekerjaan dalam bidang keusahawanan yang bakal diwujudkan.

“Kerajaan akan terus menghulurkan bantuan kepada belia dalam usaha memperkasa mereka dalam pelbagai bidang keperluan serta memastikan agenda mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada mereka dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang Pertama 2019, di sini hari ini.

Sidang pertama MPBN hari ini menyaksikan 120 peserta daripada badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan di bawah Wilayah Persekutuan, membentang dan membahas enam usul utama.

Antara usul yang dibentangkan ialah mewujudkan satu unit Hal Ehwal Belia di bawah kuasa Menteri Wilayah Persekutuan, melantik belia sebagai Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan mencadangkan Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) menjadi rakan strategik dalam pengurusan fasiliti di Parlimen.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pasukan petugas pastikan sejuta peluang kerja direalisasi

GEORGE TOWN, 21 APRIL: Kerajaan menubuhkan pasukan petugas untuk memastikan sejuta peluang pekerjaan berkualiti disediakan kepada belia dalam tempoh lima hingga 10 tahun bagi mengatasi masalah pengangguran golongan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pasukan petugas yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu baharu sahaja diluluskan dalam mesyuarat Kabinet, baru-baru ini.

“Pada mesyuarat Kabinet itu, saya usulkan beberapa isu berkaitan belia terutama memastikan peluang pekerjaan bermutu untuk mereka dan jemaah menteri bersetuju meluluskan pasukan petugas khas untuk mencipta satu juta peluang pekerjaan berkualiti kepada golongan berkenaan.

“Pasukan petugas itu juga antara lain adalah antara usaha kami untuk menunaikan janji manifesto Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Belia Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau berkata, uniknya pasukan petugas itu bukan sahaja diwakili jemaah menteri malah akan disertai tokoh korporat yang sekian lama menjana puluhan ribu peluang pekerjaan di Malaysia.

Syed Saddiq berkata, pihaknya juga memerlukan bantuan dan sokongan daripada sektor swasta untuk membantu pasukan petugas itu menyediakan satu juta peluang pekerjaan kepada belia serta beliau percaya perkara itu akan dapat dicapai.

“Kerajaan memandang serius soal menyediakan peluang pekerjaan untuk belia kerana mereka adalah golongan yang akan membangunkan negara pada masa hadapan.

“Sebab itu kita perlukan sokongan daripada pihak swasta dan tokoh korporat untuk bersama-sama mencipta peluang pekerjaan berkualiti,” katanya.

Katanya, menerusi pasukan petugas itu juga, pihaknya akan menjalankan kajian bagi memastikan permulaan gaji bagi lepasan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dapat dinaikkan daripada RM1,400 kepada RM1,800.

Katanya, berdasarkan kajian dijalankan Bank Negara mendapati tenaga kerja berkemahiran masih menerima permulaan gaji yang sama dan statik sejak 20 tahun lalu sehingga menjejaskan lepasan daripada bidang TVET.

“Mereka bukan minta banyak sangat hingga RM6,000 hingga RM7,000 untuk permulaan kerja sebaliknya berilah gaji yang lebih bermaruah.

“Namun disebabkan lambakan pekerja asing merupakan punca utama gaji sektor berkenaan masih statik, jadi pasukan petugas berkenaan akan membincangkan serta mencari jalan penyelesaiannya,” katanya. -BERNAMA

Categories
SELANGOR

ADN Selangor disaran bersama dekati belia – Khairuddin

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 MAC: Golongan belia di Selangor yang kini mencecah 2.7 juta orang membentuk hampir separuh daripada keseluruhan populasi di negeri ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, keadaan ini menjadikan belia golongan yang mesti didekati Ahli Dewan Negeri.

“Kalau dilihat nisbah penduduk di Selangor bermakna hampir 50 peratus pengundi Yang Berhormat (YB) sekalian adalah dalam kalangan belia atau dalam erti kata lain YB mestilah menyokong portfolio saya, berkerjasama dengan saya, tiada pilihan,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata demikian ketika menjawab soalan ADN Permatang, Rozana Zainal Abidin pada sesi pagi Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Menjawab satu soalan tambahan, Mohd Khairuddin menjelaskan mengikut Dasar Belia Negara 2018, golongan belia ditakrifkan berumur 15 hingga 30 tahun.

Katanya, Kerajaan Negeri sendiri sangat menitik berat terhadap program pembangunan belia di Selangor.

Categories
SELANGOR

31 peserta tamat program Latih & Kerja Belia Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KAJANG, 13 JAN: Seramai 31 pelatih terdiri daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjaya menamatkan program Latih & Kerja Belia Selangor anjuran Skills Johor, di German-Malaysian Institute (GMI) di sini, hari ini.

Program julung kali yang turut mendapat kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu berlangsung selama seminggu, bermula 7 Januari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Skills Johor, Zakbah Harun berkata, program itu adalah sebahagian daripada inisiatif pihaknya ke arah memperkasa belia Selangor, sekali gus membantu meningkatkan kebolehpasaran mereka.

“Hal ini kerana, pada masa yang akan datang, Malaysia tidak perlu lagi mengambil terlalu ramai pekerja asing, bahkan tenaga kerja tempatan pula yang diperlukan di negara asing.

“Selaras dengan agenda kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara termaju di dunia, program ini juga bagi mencapai hasrat kadar sifar kemiskinan di negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan program itu.

Hadir sama, Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf LSZ, Dr Adibah Abdul Wahab dan Ketua Seksyen Pembangunan Perniagaan GMI, Mohd Tanwyn Mohd Khushairi.

Terdahulu, program menampilkan pelawak atau selebriti tempatan, Abam Bocey yang turut meluangkan masa berkongsi pengalaman dan kisah keperitan yang terpaksa direntas sebelum beliau menongkah kejayaan dalam perjalanan karier seni.

Zakbah berkata, belia masa kini perlu memiliki kesedaran dan keinginan, selain menanam tekad serta azam tinggi untuk meningkatkan lagi taraf kehidupan mereka ke arah lebih baik.

Justeru, katanya, beberapa aspek ditekankan sepanjang program itu seperti kepentingan pengetahuan, kemahiran dan tanggungjawab dalam diri pelatih.

“Ketiga-tiga elemen ini adalah dorongan utama yang boleh membantu pelatih mencapai impian masing-masing kerana tiada cita-cita yang mustahil dan tiada impian yang boleh dikecapi. Bak kata pepatah, Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

“Begitu juga masa hadapan yang cerah tidak mungkin dapat direalisasikan dalam masa yang singkat dan saya berharap, semangat dirasai pelatih akan sentiasa membakar mereka untuk terus berusaha dengan gigih demi kesenangan masa hadapan,” katanya.

Skills Johor adalah hab kemahiran pertama, di Malaysia yang banyak menyumbang kepada latihan, pengajian teknikal dan vokasional berteraskan keperluan industri.

Bertindak selaku pemangkin modal insan, institusi yang turut beroperasi di Petaling Jaya itu pernah dianugerahkan status sebagai Pentadbir Induk oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Pembangunan Sumber Manusia.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Belia digalak sertai Program Geran Agropreneur Muda 2019

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 4 JAN: Jabatan Pertanian Malaysia mengajak golongan belia untuk menyertai Program Geran Agropreneur Muda 2019 dalam usaha mengembangkan lagi bakat dalam bidang keusahawanan berasaskan agro.

Memetik kenyataan media, program itu bertujuan menggalakkan pembabitan golongan muda dalam bidang keusahawanan agro berasaskan semua aktiviti rantaian nilai sektor pertanian seperti tanaman, ternakan, perikanan, industri asas tani termasuk pemasaran, khidmat sokongan dan agropelancongan.

Antara syarat kelayakan pemohon adalah warganegara Malaysia, berusia antara 18 hingga 40 tahun, boleh membaca, mengira dan menulis.

Selain itu, individu yang baru memulakan projek juga wajib mengikuti program latihan teknikal dianjurkan atau diiktiraf jabatan/agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Syarat kelayakan lain pula, peserta yang memiliki sijil/diploma/ijazah dari Kementerian Pendidikan Malaysia atau institut latihan di bawah MOA berkaitan projek pertanian yang dicadangkan boleh dipertimbangkan untuk dikecualikan daripada menyertai program latihan teknikal terbabit.

Malah, keutamaan turut diberikan kepada individu yang mempunyai kemudahan tanah atau premis sedia ada.

Sementara itu, dokumen lengkap perlu dihantar ke jabatan/agensi MOA sebelum tarikh tutup permohonan mengikut fasa.

Tiga tarikh fasa permohonan dibuka iaitu Fasa 1 (1-31 Januari), Fasa 2 (1-31 Mei) dan Fasa 3 (1-30 September).

Untuk sebarang pertanyaan, boleh hubungi 03-88701234 atau e-mel ke [email protected] atau layari laman sesawang www.moa.gov.my.

 

 

Categories
SELANGOR

Belia jangan tua sebelum masa

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 10 DIS: Golongan belia di Selangor perlu sentiasa aktif dengan berfikir dan bertindak sesuai dengan usia mereka, kata Mohd Khairuddin Othman.

EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan serta Pembangunan Modal Insan itu berkata, belia juga wajar memanfaatkan usia masing-masing dengan aktiviti bermanfaat.

“Saya harap dapat menyambung kesinambungan dibawa Dato’ Menteri Besar dalam portfolio diberikan.

“Harapan saya, Selangor mesti berlainan daripada negeri lain dan kita mahu belia menjadi belia, membawa peranan sebagai belia dan saya harap belia tidak cepat tua,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengangkat sumpah sebagai EXCO baharu, pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, di Balairung Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Ketika ditanya berkenaan cabaran bakal dihadapinya sebagai EXCO, Mohd Khairuddin melahirkan keyakinan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, di Selangor.

Beliau yakin kerjasama utuh dengan agensi kerajaan akan dapat melaksanakan tanggugjawab dan amanah diberikan dengan baik.

Categories
SELANGOR

Belia Selangor terus diperkasa

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 DIS: Pembangunan belia di negeri ini terus diperkasa melalui pelbagai bidang yang menonjolkan potensi masing-masing.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia merangkumi pelbagai jenis bantuan, tajaan mahupun pembiayaan dari segi pendidikan dan perniagaan dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Katanya, sehingga kini lebih 100,000 belia mendaftar di bawah program Kerajaan Negeri.

“Selain bantuan pengajian sebanyak RM6.026 juta di Kolej Antarabangsa Inpens, golongan belia juga dibantu menerusi Institut Pengajian Sains Sosial dengan menaja 30 anak muda bagi tempoh 2018 hingga 2021.

“Menerusi program Hijrah Selangor, sebanyak 13,000 anak muda turut menikmati peluang ini dari keseluruhan peminjam 46,000 orang,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, di sidang Dewan Negeri Selangor, di sini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, seramai 1,167 anak muda turut menyertai program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Samrt Selangor, setakat ini.

“Kerajaan Negeri juga menyediakan ruang golongan ini menyertai kursus di STRAND Aerospace dan Selangor Human Resources Development Centre bagi meneroka bidang berimpak tinggi selaras kehendak semasa,” katanya.

Categories
NASIONAL

Beri peluang belia terlibat dalam peringkat pembuat keputusan- Syed Saddiq

CYBERJAYA, 25 SEPT: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu lebih banyak peluang diberikan kepada belia berusia 35 tahun ke bawah untuk dilantik ke peringkat pembuat keputusan sama ada di agensi kerajaan, swasta mahupun komuniti.

Beliau berkata cara itu akan dapat memastikan suara mereka didengari di samping melonjakkan potensi mereka dalam menghasilkan idea-idea unik untuk membangunkan organisasi.

“Tan Sri Tony Fernandes (Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia) telah memulakan dahulu dengan melantik Neelofa (selebriti) sebagai wakil belia dalam lembaga pengarah syarikat itu dan beliau (Tony) berkata langkah itu sangat berjaya dan mungkin akan diperluaskan lagi,” katanya pada sidang media selepas Sesi Dialog Pembudayaan dan Pemerkasaan Keusahawanan Muda, di sini hari ini.

Katanya bagi mengetahui gambaran menyeluruh kedudukan belia di negara ini termasuk pada peringkat pembuat keputusan beliau telah meminta Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia menyediakan indeks belia negara ​​​​​​​yang dijangka siap menjelang Januari tahun depan.

“Apabila kita sudah tahu kelompongan yang ada, barulah kita boleh bantu contohnya syarikat yang hendak melantik anak muda atau ada keraguan, saya akan berikan keyakinan kepada mereka bahawa belia boleh dilantik berdasarkan merit,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof yang turut serta dalam sidang media tersebut, berkata penglibatan belia dalam pembangunan negara sangat penting dan kerajaan akan menjadi pemudah cara bagi meningkatkan penyertaan mereka.

Bagaimanapun katanya kerajaan tidak boleh membentuk dasar untuk memaksa syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan melantik belia ke dalam lembaga pengarah mereka.

“Jadi kita akan terus memberi sokongan kepada segala aktiviti melibatkan usahawan muda supaya mereka dapat menonjolkan diri mereka,” katanya.

Mengenai sesi dialog tersebut, Syed Saddiq berkata ia bertujuan merasionalisasi dan memperhalusi program keusahawan belia sedia ada serta mendapatkan cadangan baharu dalam memenuhi komitmen Manifesto Kerajaan Pakatan Harapan – Iltizam untuk Anak Muda yang merangkumi Dana Pemerkasaan dan Keusahawanan Anak Muda sebanyak RM1 bilion.

Beliau berkata kementeriannya bersama-sama Kementerian Pembangunan Usahawan akan mengambil maklum sebarang cadangan dan maklum balas yang diterima bagi memperkasa pembangunan usahawan negara.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Pembangunan belia jadi keutamaan, keusahawanan diberi perhatian

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri sentiasa menitik beratkan aspek pembangunan belia di Selangor dengan memfokuskan dan memberi keutamaan kepada dua aspek penting iaitu pekerjaan dan pendapatan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, selain daripada memastikan belia mendapat pekerjaan, usaha perlu juga diberikan kepada pembabitan belia dalam bidang keusahawanan.

“Dalam banyak ketikanya, belia lebih menumpukan kepada usaha untuk mendapatkan pekerjaan sebagai sumber mata pencarian untuk menampung keperluan hidup.

“Mungkin juga disebabkan kurang pendedahan, kesedaran dan pengetahuan, belia tidak menganggap keusahawanan sebagai alternatif sumber pendapatan yang jauh lebih baik daripada pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi menggulung perbahasan menjujung kasih titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini.

Sehubungan itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri memperkenalkan Program Dana Usahawan Mikro bagi membuka peluang kepada usahawan mikro di Negeri Selangor untuk mempelbagaikan dan mengkomersialkan produk.

Katanya, untuk mengukuhkan perniagaan dan perusahaan mikro di Negeri Selangor melalui peningkatan produktiviti (pengeluaran jualan dan pendapatan).

“Program ini memberi ruang kepada 55 usahawan belia di Selangor. Selain itu, generasi muda di Selangor juga berpeluang untuk menyertai program-program dijalankan oleh Kerajaan Negeri antaranya program Hijrah Selangor yang berteraskan konsep Pinjaman Asas Simpanan.

“Hijrah Selangor mensasarkan golongan khusus seperti ibu tunggal, penerima blue print, asnaf, belia, orang kelainan upaya dan khariah masjid.

“Melalui program ini, seramai 23,260 orang usahawan belia ditawarkan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM 143,919,000,” katanya.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri melalui Hijrah Selangor juga melaksanakan program mentor usahawan (mentoring system) iaitu Zero to Hero.

“Melalui program ini usahawan dilatih dan dipantau oleh syarikat peneraju (anchor company) dalam jangka masa enam bulan untuk memastikan kejayaan mereka,” katanya.

Manakala, bagi generasi muda yang mempunyai minat dalam bidang digital dan teknologi, mereka boleh menyertai program yang dijalankan oleh SITEC di bawah kelolaan Invest Selangor.

“SITEC juga melancarkan Selangor Digital Creative Centre, sebuah pusat inkubator yang menawarkan kolaborasi dan persekitaran inovatif untuk generasi muda melahirkan start-up dan produk teknologi yang kreatif,” katanya.

Categories
SELANGOR

Belia impi peluang pekerjaan era Malaysia baharu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 OGOS: Mendepani era Malaysia baharu kini, kebolehpasaran peluang pekerjaan dan mutu hidup setaraf negara maju antara aspirasi popular yang diidamkan, khususnya golongan belia.

Tinjauan SelangorKini mendapati, rata-rata daripada mereka menanam azam untuk memiliki pekerjaan berpendapatan tinggi setaraf dengan bidang diceburi.

Bagi pelajar tahun akhir kursus Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Korporat, Amir Aizat Jafree, 25, menyifatkan setiap dasar dan agenda direncana kerajaan kini diharap memberi manfaat kepada belia.

“Saya yakin dengan Malaysia baharu, ia bakal menampilkan perubahan baru, terutama dari aspek peluang pekerjaan.

“Belia wajar diberi peluang ini kerana banyak lagi idea terbaharu yang berbeza dapat diterapkan daripada setiap bidang yang dipelajari.

“Seperti dapat dilihat fenomena sekarang ini, ramai belia terutama graduan, sejurus tamat pengajian di universiti mula menganggur tanpa melakukan sebarang kerja,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, bagi Shafieza Natasha Binti Suriya, 21, optimis dengan peralihan kerajaan yang mampu memberi hasil positif terhadap nasib belia yang sukar mendapat pekerjaan.

“Saya berpandangan kami sebagai pelajar dan bakal bergelar graduan diberi medium untuk bekerja.

“Jika diberi peluang pekerjaan setelah sekian lama menganggur, kami ditawarkan gaji yang setaraf. Contohnya, gaji lepasan kedoktoran di sektor awam mahupun swasta diberi sama rata.

“Walaupun di sektor berlainan tetapi suasana kerja itu sama,” katanya.