Categories
SELANGOR

Perhebat agensi penuhi harapan anak muda

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 JUN: Kerajaan Negeri akan memperhebatkan peranan agensi dan pertubuhan berkaitan anak muda, di Selangor dalam usaha memberdayakan golongan berkenaan.

Exco Pemberdayaan Generasi Muda & Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Amirudin Shari berkata, ia bertepatan dengan iltizam digariskan bagi memenuhi harapan perubahan diinginkan mereka.

“Penggerak Belia Tempatan (PeBT) akan diperkuat dengan matlamat dan sasaran baharu untuk lebih trampil dan berwibawa.

“Skim bantuan anak muda akan diteruskan mengambil contoh Bantuan Masuk Universiti, Hijrah Selangor dan Insentif Perkahwinan Belia.

“Ini bagi memastikan pembangunan ekonomi anak muda lebih seimbang dan berdaya saing,” katanya dalam Majlis Iftar Perdana Generasi Muda Selangor 2018, di sini, kelmarin.

Majlis julung kali itu berjaya menghimpunkan lebih 1,000 anak muda dari institut pengajian tinggi awam dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan yang berkaitan.

Himpunan dengan jumlah besar itu dicatat ekoran terhapusnya tembok kongkongan universiti selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Bagaimanapun, Amirudin berkata, perubahan total harus mengambil masa dan perancangan tepat supaya masa depan anak muda tidak menjadi mangsa uji kaji pelaksanaan.

“Banyak lagi isu akan disentuh dan diperhalusi seperti keupayaan anak muda memiliki rumah, pembangunan kemahiran dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti,” katanya.

Dalam majlis itu juga berlangsung sesi dialog Memenuhi Harapan Perubahan Anak Muda membariskan panelis Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof; ADN Kampung Tunku, Lim Yi Wei dan Naib Ketua AMK Pusat, Radzlan Jalaludin.

Categories
RENCANA SELANGOR

Insentif Perkahwinan Belia ringan beban golongan muda

OLEH SYAZWANI SUFIAN

DALAM usaha Kerajaan Negeri menggalakkan perkahwinan di usia muda, pasangan pengantin yang diijabkabul bakal menerima manfaat Program Insentif Perkahwinan Belia sebanyak RM500 seorang dari Pusat Khidmat DUN masing-masing.

Inisiatif itu bertujuan mensejahterakan rumah tangga dan keluarga khususnya anak Selangor atau yang bermastautin lebih 10 tahun.

Menerusi belanjawan selangor 2013, Menteri Besar Selangor mengumumkan pemberian insentif perkahwinan kepada belia yang layak sebanyak RM200, namun bermula 1 Januari 2014 insentif itu dinaikkan RM500 seorang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut menjelaskan dalam Belanjawan 2018 yang lalu bahawa masa depan negara adalah dalam genggaman millennials.

Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri menyediakan RM9.09 juta bagi tahun ini untuk pembangunan generasi muda termasuk Insentif Perkahwinan Belia berjumlah RM5 juta dan program generasi muda anjuran Penggerak Belia Tempatan (PeBT) berjumlah RM1.44 juta.

Program itu dipertanggungjawabkan YAWAS mulai Januari 2017 dan tahun ini ia berada di bawah Pengerusi Jawatakuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan.

Lanjutan berkaitan program itu, pasangan pengantin baru layak menerima insentif itu sekiranya mereka berkahwin untuk kali pertama sahaja.

Bantu bangun institusi kekeluargaan

Program itu juga, sekali gus dapat membantu menjimatkan kos pasangan khususnya bagi yang kurang berkemampuan memandangkan keadaan ekonomi negara semakin menghimpit rakyat.

Selain itu, ia adalah usaha berterusan Ke-rajaan Negeri melalui Inisiatif Peduli Rakyat dalam membangun jati diri golongan belia.

Insentif Perkahwinan Belia juga dilaksanakan dalam usaha meringankan bebanan pasa-ngan muda ekoran kenaikan harga barang serta kesan Cukai Barangan dan Perkhidmatan.

Cabaran ekonomi masa kini juga turut memaksa pasangan muda terikat dengan pelbagai komitmen yang menjerat me-reka dengan pelbagai kenaikan kos termasuk ketidaktentuan harga minyak.

Perbezaan Insentif Perkahwinan Selangor

Menariknya, insentif yang diperkenalkan di Selangor adalah terbuka kepada semua kaum tanpa mengira bangsa atau agama yang tinggal di negeri itu serta tiada sebarang had pendapatan isi rumah ditetapkan.

Selain itu, insentif ini tiada syarat seperti penilaian gaji pasangan akan diambil kira selain belia yang memohon adalah anak jati Selangor.

Pasangan boleh memohon dalam memohon dalam tempoh tiga bulan bermula dari tarikh nikah (bagi Islam) atau tarikh daftar perkahwinan (bagi bukan Islam).

Bagi mereka yang bernikah atau berkahwin bermula tarikh 1 Januari 2017, maka tempoh permohonan dilanjutkan sehingga setahun.

Manakala, Skim Bantuan Perkahwinan pula hanya terhad untuk golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf Wilayah Persekutuan yang beragama Islam sahaja.

Skim itu juga akan diberikan tertakluk kepada pengiraan Had al Kifayah iaitu pengiraan yang digunakan dalam menentukan kelayakan permohonan untuk menerima bantuan zakat.

Ia mengambil kira keperluan asasi yang diperlukan oleh seseorang untuk meneruskan kelansungan hidup.

Jumlah pengiraan Had Al Kifayah akan dikira sebagai jumlah perbelanjaan bulanan yang diperlukan permohon dan kemudian dibandingkan dengan pendapatan isi rumah.

Sekiranya jumlah pengiraan lebih tinggi daripada pendapatan, maka pemohon adalah layak menerima.

Berbanding dengan insentif yang diberikan Kerajaan Negeri iaitu tiada had pendapatan yang diperlukan untuk menerima insentif terbabit.

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Elak kadar pengangguran meningkat, teknikal dan teori perlu seimbang

OLEH AMINUDDIN HARUN

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh mahu sistem pendidikan tinggi dalam negara hari ini perlu diubah suai untuk memenuhi keperluan generasi muda.

Dan katanya lagi, kementeriannya kini terlibat dengan beberapa pihak yang berkaitan untuk mendapatkan pandangan bagi menjayakan Revolusi Pendidikan 4.0.

1. Saya menyambut baik usaha dan langkah yang ditekankan oleh Idris Jusoh dalam memperbaharui sistem pendidikan di negara ini terutama kepada generasi akan mendatang. Tetapi perlu diingatkan bahawa revolusi pendidikan ini juga bukan hanya tertumpu kepada sistem pembelajaran, bahkan ia perlu memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Kerajaan perlu lebih bertegas dalam usaha mengurangan pengangguran di kalangan mahasiswa yang dilihat terlalu tinggi dan perlu diberi keutamaan.

Namun, disini timbul persoalan, dengan perkembangan ekonomi yang tidak stabil dan kerajaan yang korup serta pentadbiran kerajaan yang tidak berjaya diuruskan dengan baik, bagaimana masalah ini dapat diselesaikan?

2. Revolusi Pendidikan 4.0 adalah sebahagian Revolusi Perindustrian 4.0 yang menular di seluruh dunia, iaitu trend semasa automasi dan pertukaran data yang merangkumi sistem siber fizikal, internet benda, pengkomputeran awan dan pengkomputeran kognitif.

Saya melihat revolusi ini sedikit sebanyak akan memberi manfaat kepada generasi kita dan peluang yang diberikan adalah berganda berbanding konsep pendidikan sedia ada.

Namun, jika peruntukan bajet pendidikan yang sering dipotong. Bagaimana untuk ia dilaksanakan?

Dalam Bajet 2017 menyaksikan potongan besar bajet operasi universiti-universiti awam di Malaysia.

Saya hanya perlu berikan dua contoh, iaitu bajet untuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dipotong kepada RM352.7 juta daripada RM512.33 juta sebelumnya (potongan 31.16 peratus), manakala Universiti Teknologi MARA (UiTM) pula dipotong sebanyak 25.2 peratus, iaitu daripada RM2.23 bilion kepada RM1.67 bilion.

Secara keseluruhannya, peruntukan keseluruhan bagi 20 universiti awam pada tahun 2017 jatuh sebanyak 19.23 peratus, iaitu daripada RM7.57 bilion kepada RM6.12 bilion. Ini merupakan potongan besar untuk tahun kedua berturut-turut selepas potongan teruk pada bajet tahun lepas.

Dalam Bajet 2016, Datuk Seri Najib Razak juga telah memotong peruntukan biasiswa dan dermasiswa sebanyak sekitar RM800 juta, sementara peruntukan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin dipotong daripada RM200 juta menjadi RM10 juta sahaja.

3. Dalam soal ini, saya rasa Kementerian harus memandang jauh bagi melahirkan generasi muda yang benar-benar berpendidikan bertaraf dunia, perbanyakkan diskusi meja bulat dan ia perlu diadakan bagi memperhalusi pelbagai isu dan cabaran dan menyusun langkah bagi mencari penyelesaian.

4. Saya yakin bahawa universiti-universiti di Malaysia masih tidak memenuhi kriteria universiti antarabangsa. Kita mesti menunjukkan imej pendidikan terbaik kalau ingin menjadikan universiti-universiti di negara ini bertaraf antarabangsa kerana tanpa universiti yang berkualiti, kita tidak akan dapat mengejar kecemerlangan.

Walaupun universiti boleh memainkan peranan untuk membangunkan seseorang individu tetapi segala pengalaman pelajar, fokus dan orientasinya berkembang awal di peringkat sekolah.

5. Salah satu masalah universiti di Malaysia adalah kerajaan tidak menggalakkan persaingan antara universiti. Persaingan antara universiti hampir tiada langsung di negara kita. Universiti di Malaysia ditubuhkan dengan konsep pendemokrasian pendidikan, bukan dengan matlamat persaingan.

Kita mesti ada misi yang fleksibel dan adaptif bagi membolehkan universiti dibolehkan untuk mengubahsuai diri mengikut keadaan. Misalnya aspek penyelidikan, di mana setiap universiti sepatutnya bersaing untuk memastikan bahawa penyelidikan yang dijalankan di universiti masing-masing adalah yang terbaik.

6. Saya berharap kementerian harus mencari penyelesaian kepada masalah pengangguran di kalangan mahasiswa. Menurut Laporan Bank Negara 2016 yang diterbitkan pada 23 Mac 2017 menyatakan bahawa pengangguran belia di Malaysia telah mencapai kadar 10.7 peratus pada 2015, iaitu meningkat tiga kali ganda daripada kadar pengangguran negara 3.1 peratus.

Separuh daripada jumlah pekerja menganggur adalah golongan muda walaupun mereka hanya mewakili satu pertiga daripada jumlah tenaga kerja Malaysia.

Kadar pengangguran belia yang mempunyai pendidikan tinggi adalah 15.3 peratus berbanding dengan yang tidak mempunyai pendidikan tinggi pada kadar 9.8 peratus pada 2015.

# Aminuddin Harun adalah Pengerusi KEADILAN Negeri Sembilan

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan 2018: Peningkatan kualiti ekonomi generasi muda diberi fokus

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 OKT: Peningkatan kualiti ekonomi generasi muda diberikan fokus penting dalam Belanjawan 2018 Selangor bagi memastikan ia menepati agenda pembangunan di negeri itu.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata fokus itu penting untuk mengangkat kualiti kehidupan generasi muda supaya lebih berdaya saing dan mampu menepati pasaran tenaga kerja.

“Ini dikaitkan dengan kadar pengangguran tinggi kini yang mendorong Kerajaan Negeri untuk komited menangani isu ini,” katanya kepada pemberita selepas pelepasan pelumba Jelajah Malaysia 2017 di Toyota Motor, Seksyen 15, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya inisiatif baru dilaksana, generasi muda negeri bakal menerima manfaat jangka panjang.

RAKYAT SELANGOR“Saya percaya akan ada inisiatif baru dan kalau ia dapat dimanfaatkan sebaiknya, tentunya kita akan mampu melonjakkan pembangunan sosial generasi muda untuk memenuhi tenaga kerja kini,” katanya.

Terdahulu, dasar pembangunan belia membabitkan 10 teras utama melibatkan keusahawanan dan pekerjaan, kepimpinan dan organisasi, teknologi maklumat dan organisasi.

Ia turut meliputi aspek kemasyarakatan, jaringan kesukarelaan, kebudayaan dan kesenian, kesejahteraan dan kesihatan, sukan dan kecergasan serta agama dan kepercayaan.

Amirudin berkata, usaha bagi merealisasikan keperluan itu dilaksanakan menerusi penubuhan Penggerak Belia Tempatan bagi melahirkan kepimpinan berdaya saing untuk menjadi agen perubahan kepada golongan belia di Selangor.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Pertahan adat budaya, pacu pembangunan belia tempatan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM 24 OGOS: Belia seluruh negeri disaran memainkan peranan untuk terus menyanjung tinggi prinsip kebudayaan dan jati diri yang kukuh bagi memartabatkan nilai pembinaan bangsa.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, prinsip itu membolehkan golongan belia Selangor lebih maju ke hadapan dengan berpaksikan nilai adat dan budaya zaman yang tidak dipinggirkan.

“Dunia yang semakin bergerak maju ke hadapan dengan kemajuan teknologi itu harus selari dengan perkembangan insan, akal, akhlak dan jati diri. Justeru, belia Selangor perlu ada ketahanan untuk mempertahankan ketamadunan, adat, budaya dan penyatuan masyarakat kerana ini yang akan membawa kita ke hadapan.

AMIRUDIN“Ini menjadi persoalan sepanjang zaman yang harus difikirkan untuk menjadikan rakyat Selangor lebih berdaya saing, di peringkat global,” katanya pada Townhall Session sempena penganjuran Kongres Mahasiswa Selangor 2017, di Dewan Raja Muda Seksyen 7, baru-baru ini.

Amirudin berkata, aspek kebudayaan dan jati diri berfungsi sebagai pendukung kejayaan golongan belia, memandangkan peluang penerokaan terhadap bidang yang semakin meluas.

Katanya, keberkesanan itu turut dizahirkan Kerajaan Negeri menerusi pelbagai dasar yang tidak meminggirkan aspek kebudayaan dan pembinaan bangsa.

“Walaupun kemajuan zaman itu semakin dinikmati, namun elemen ini seharusnya perlu dipertahankan sebagai bukti bahawa agenda kebudayaan berkenaan tidak lenyap ditelan zaman,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memberi tumpuan terhadap dasar pembangunan potensi bagi mewujudkan pembabitan belia aktif, di Selangor.

Ia membabitkan teras keusahawanan dan pekerjaan, kepimpinan juga organisasi, teknologi maklumat dan organisasi, kemasyarakatan, jaringan kesukarelaan, kebudayaan dan kesenian, kesejahteraan dan kesihatan, sukan dan kecergasan serta agama dan kepercayaan.

Inisiatif merealisasikan dasar itu dilaksankan menerusi penubuhan Penggerak Belia Tempatan bagi melahirkan kepimpinan berdaya saing untuk menjadi ejen perubahan kepada golongan belia, di Selangor.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan Selangor 2018 fokus pembangunan belia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 OGOS: Belanjawan Selangor 2018 dijangka akan memfokuskan golongan belia iaitu tunjang kepada pembangunan sesebuah negara.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana Selangor mempunyai pelbagai program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) membabitkan semua peringkat, bahkan rizab yang tinggi membolehkan negeri itu memfokuskan pelbagai golongan.

“Program IPR hanya di Selangor. Tiada satu negeri yang mempunyai program terbaik seperti ini antaranya program Peduli Sihat. Di Johor dan Perak atau negeri lain tidak ada.

“Begitu juga program kepada peniaga untuk membesarkan perniagaan termasuk yang tiada modal.

Azmin“Menerusi program ini, kita membantu ramai peniaga bukan Nasi Lemak Anak Dara sahaja tapi bila saya turun Umno marah kata makcik tua tidak tolong,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Tabung Komuniti Selangor dan Makan Malam Bersama Sukarelawan Selangor di Midlands Convention Centre, di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan mengambil kira dan menjadikan pembangunan anak muda sebagai fokus tahun depan.

“Bagi program Hijrah, Kerajaan Negeri sudah membelanjakan RM240 juta kepada 35,000 peniaga. Manakala, sejumlah RM1.92 bilion sudah dibelanjakan bagi keseluruhan program IPR dan kita mempunyai rizab hampir RM4 bilion, setakat ini.

“Jika kita tidak belanjakan bagi program itu, rizab akan melebihi RM6 bilion. Namun, saya percaya lebih banyak memberi, lebih banyak pulangan yang kita akan dapat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Festira’17 buka ruang 6,000 usahawan pasar produk

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 MEI: Festival Ramadan Selangor 2017 (Festira’17) membuka ruang dan peluang kepada lebih 6,000 usahawan di Selangor memasarkan produk.

Ia ekoran festival anjuran PKNS Real Estate Sdn Bhd (Prec) sering menjadi tumpuan ramai bagi membuat persiapan menyambut Aidilfitri setiap tahun.

Exco Generasi Muda, Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan, Amirudin Shari, berkata sejak penganjurannya beberapa tahun lalu, festival yang menyajikan pelbagai pengisian itu mendapat perhatian orang ramai bukan hanya di Selangor malah negeri lain.

FESTIRA 17 (4)“Dengan pelbagai program dan barangan jualan dalam Festira’17, ia memberi kemudahan kepada masyarakat yang mengunjunginya.

“Selain itu dalam masa sama, festival ini tentunya memberi ruang yang lebih kepada usahawan di Selangor dalam memperkenal dan memasarkan hasil jualan mereka,” katanya dalam majlis perasmian Festira’17 di SACC Mall, di sini, hari ini.

Beliau berkata, penganjuran festival seperti Festira’17 juga adalah bersesuaian dengan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Shah Alam, Petaling Jaya dan bandar lain di Selangor sebagai pusat tumpuan kepada masyarakat.

Festira’17 kali ini menampilkan kelainan dengan tiga pusat membeli belah, SACC Mall, Kompleks PKNS Shah Alam dan Kompleks PKNS Bangi, menganjurkannya dengan identiti tersendiri dan berbeza.

Ketua Pegawai Eksekutif Prec, Fakru Radzi Ab Bhani berkata, SACC Mall akan menampilkan tema Kampung Kita ‘Nostalgia Raya’, Kompleks PKNS Shah Alam dengan Seni Bina Islam dan Timur Tengah manakala Kompleks PKNS Bangi bertemakan Arab Timur Tengah.

Katanya, festival kali ini menekankan unsur lebih islamik bersesuaian dengan Ramadan sebagai bulan beribadah menampilkan barisan selebriti terkemuka antaranya Inteam, Rabbani, Far East, Raihan, Lah Ahmad, UNIC, Nowseeheart, Saff-one dan Munif Ahmad.FESTIRA 17 (2) FESTIRA 17 (1)

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Keusahawanan jana pendapatan golongan muda dan wanita

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 DIS: Golongan muda disaran terlibat secara langsung dalam bidang keusahawanan bagi menjana pendapatan lebihan seiring tuntutan pasaran kini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan berkata, bidang tersebut diyakini mampu menjadi nilai tambah kepada golongan belia untuk meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.

“Belia sekarang sudah ada keinginan untuk berdikari dalam mencari sumber pendapatan bukan sahaja makan gaji tetapi dengan kaedah perniagaan. Perkara sebegini wajar dijadikan pendekatan terbaik dan mampu menjadi nilai tambah untuk meningkatkan taraf dan pendapatan golongan belia.

2“Sebab itulah kalau dilihat bidang ini sangat mendatangkan rezeki dan lebih ramai golongan belia menyertai bidang ini serta berjaya dalam perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Bengkel Solekan ‘Basic to Advance, anjuran Penggerak Belia (PeBT) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 2 dengan kerjasama Pejabat Penghulu Mukim Setapak dan Malaeka Ventures & Make Up by Mya Syamyra.

Penganjuran bengkel tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif MPS menggalakkan masyarakat memanfaatkan peluang tersebut untuk mendapatkan pemahaman yang lebih jelas tentang asas solekan dan kecantikan.

Malah, bengkel tersebut juga dilaksanakan bagi mengetengahkan beliawanis dalam penglibatan mereka di zon berkenaan.

Pada masa sama, Hasbullah berkata, penganjuran program tersebut boleh menjadi landasan terbaik kepada belia khususnya wanita untuk mengembangkan kebolehan diri.

“Saya yakin ada dalam kalangan peserta yang hadir bukan untuk belajar solekan semata-mata tetapi memasang memasang hasrat dan cita-cita untuk menjadi jurusolek serta usahawan berjaya,” katanya.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Lindungi belia terpinggir, jamin perlindungan dan keadilan

 

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 OGOS: Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memberi jaminan untuk berterusan melindungi belia menerusi kebebasan asas, hak perlembangaan dan undang-undang serta keadilan kepada belia terpinggir.

Mohamed Azmin berkata, hal itu kerana masa depan negara terletak di tangan belia hari ini.

“Jadi kepada belia, saya dengan rendah diri menyatakan apa yang dilakukan sebelum ini ialah melindungi kebebasan asas anda, hak perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

AZMIN“Tidak akan kehilangan usaha untuk melindungi yang lemah dan terpinggir serta berjuang untuk keadilan untuk semua,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Belia Antarabangsa, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, belia dunia ketika ini sebenarnya boleh menjangkau lebih jauh ke hadapan berbanding apa yang dihasilkan.

“Namun, hari ini adalah untuk pelbagai meneliti perkara. Walaupun kita bergembira dengan rahmat dan prospek masa depan yang cerah, janganlah kita lupa mereka yang kurang bernasib baik.

“Beribu anak muda yang lari daripada penindasan dan kerosakan perbalahan sivil juga peperangan,” katanya.

Mohamed Azmin turut mengajak masyarakat mengingati usaha pihak yang berkorban nyawa dalam mencari ekonomi lebih baik, diskriminasi, penindasan dan eksploitasi.

“Marilah kita ingat bahawa kemiskinan, kekurangan asas penjagaan kesihatan dan kekurangan tempat penginapan. Hal ini penting kerana ia menjadi isu yang berulang dan wajib untuk diselesaikan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Belia Selangor di Sarawak didedah kemajuan ekonomi negeri

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 JUN : Belia Selangor di Sarawak menerima pendedahan ekslusif terhadap perkembangan kemajuan Selangor oleh Exco Belia Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, pada 24 Mei lalu.

Bertempat di Hotel Grand Margherita Kuching Sarawak, program berkenaan merupakan gerak kerja Exco Belia ke seluruh negara dalam memastikan warga belia Selangor di luar negeri diberi pendedahan berhubung aspek kemajuan negeri.

BeliaProgram anjuran Bahagian Pembangunan Belia Majlis Sukan Negeri itu dihadiri lebih 65 mahasiswa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Pengarah Esekutif MSN, Zubir Idrus dan Timbalan Pengarah MSN, Mohd Najwan Halmi.

Sementara itu, Amirudin dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri giat merancakkan pembangunan ekonomi negeri sejak 2008 sebagai jaminan melahirkan negeri berkebajikan dan peduli rakyat.

Beliau berkata, pendirian tersebut diambil selaras dengan dasar dan gagasan Kerajaan Negeri iaitu, ‘Membangun Smart Selangor yang Peduli’ sebagaimana dibentangkan Menteri Besar, Dato Seri Mohamed Azmin Ali.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga konsisten merealisasikan lima teras utama strategi Belanjawan 2016 lalu dengan memberi tumpuan terhadap pelaksanaan gagasan Smart Selangor ke arah menjana pendapatan strategik.

“Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri menjaga harta dan hasil mahsul negeri, Hifz Al-Mal, serta membangunkannya berpasikan falsafah keadilan pengagihan seperti dituntut Maqasid Syariah.

“Justeru saya ingin menegaskan bahawa seluruh dasar Kerajaan Negeri dan Belanjawan 2016 adalah berpaksikan prinsip Ekonomi Maqasid,” katanya.

Beliau berkata, hasil ketelusan prinsip tersebut juga membuahkan perolehan tinggi kepada rizab negeri untuk 2016.

“Setakat ini, simpanan Kerajaan Negeri melonjak dari RM3.6 bilion kepada RM4.034 bilion, yang merupakan nilai tertinggi dalam sejarah pernah dicapai bagi simpanan rizab negeri,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Beri belia peluang insentif, galak isi kekosongan 3D

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 FEB : Golongan belia perlu diberi peluang dan insentif lebih menarik bagi mendepani persaingan dengan tenaga kerja dari luar untuk mendapatkan pekerjaan.

Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim, berkata inisiatif yang memberi manfaat kepada golongan itu diperlukan bagi menarik minat mereka mengisi sebarang pekerjaan meskipun berbeza latar pendidikan.

ABIM RAIMI“Kalau ada kaedah insentif terhadap peluang pekerjaan tersebut, saya percaya golongan belia bersedia mengisi kekosongan itu.

“Isunya kini, ramai tidak terlibat dalam kerjaya berlainan daripada pendidikan mereka disebabkan faktor kebajikan, latihan dan peluang kerjaya.

“Jadi keutamaannya, sistem dan aliran itu perlu ditambah baik,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata, dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa kononnya golongan belia terlalu memilih pekerjaan sekaligus membuka ruang kepada warga asing bekerja di negara ini adalah tidak relevan.

Bukan menggambarkan realiti sebenar, katanya masih ramai rakyat negara ini yang memilih untuk bekerja di negara luar kerana imbuhan lebih besar walaupun bekerja dalam sektor kemahiran 3D (kotor, sukar dan merbahaya).

“Dakwaan itu perlu dipastikan kerana dalam konteks untuk tangani kemelut ekonomi yang membebankan kini, masih ada golongan belia yang bekerja di luar bidang kepakaran mereka.

“Sebab itulah, pemerkasaan dan tumpuan untuk bantu golongan ini perlu dilaksanakan dan bukan sekadar menambah masuk tenaga kerja luar,” katanya lagi.

Pada masa sama beliau berkata golongan belia pula disarankan untuk lebih berdaya saing dengan menyertai pelbagai program keusahawanan dan kerjaya dan tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Jawab tujuh soalan sebelum cabar belia

OLEH : NURUL IZZAH ANWAR

Jawapan-jawapan daripada Kerajaan yang sentiasa berubah mengenai isu derma 1MDB dan juga kenyataan balas daripada media asing yang menyangkal kerajaan berulang kembali menerusi episod kemasukan 1.5 juta warga tenaga dari Bangladesh.

Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia serta Menteri Dalam Negeri baru-baru ini mengikut jejak langkah Perdana Menteri apabila mengumumkan bahawa pengambilan pekerja asing daripada Bangladesh akan dibekukan dan memohon majikan menumpukan pengambilan pekerja tempatan.

Tidak berapa lama setelah menandatangani memorandum persefahaman dengan kerajaan Bangladesh dan mendapat tentangan daripada pihak pembangkang serta rakyat kerajaan dengan sewenang-wenangnya mengumumkan pembekuan kemasukan 1.5 juta pekerja asing daripada Bangladesh.

Tambahan lagi, jumlah 1.5 juta kini diperjelas sebagai mewakili permohonan tenaga kerja Bangladesh secara keseluruhan daripada 139 negara.

Dengan kontroversi sebegini struktur aliran kerajaan Malaysia dalam membuat keputusan polisi wajib dipersoal!

warga asing -sosial1. Adakah sebuah tindakan susulan memorandum persefahaman Bangladesh-Malaysia boleh dibatalkan sebegitu sahaja?

2. Senaraikan semua syarikat-syarikat dan industrinya yang memohon dan memerlukan pengambilan pekerja daripada Malaysia. Berapakah jumlahnya? Berapakah peratus yang diwakili Malaysia daripada 139 negara yang diumum Timbalan Menteri Datuk Richard Riot?

3. Apakah status kejayaan pemutihan 6P sebelum ini dan kelangsungan program bagi memastikan lambakan pekerja asing tanpa izin dapat diselesaikan secara berperingkat?

4. Apakah rancangan kerajaan bagi menaik taraf kualiti pekerjaan supaya bagi mereka yang bekerja di bawah sektor 3D sekalipun, mendapat pembayaran yang berpatutan dengan tahap penjagaan minima yang memastikan hak pekerja tidak terabai dan tidak dilayan seperti hamba abdi.

5. Nyatakan secara spesifik bilakah pelaksanaan gaji minima RM1,500 sebulan bakal dilunaskan? Saya boleh menjamin pekerja Malaysia boleh bekerja di kilang-kilang, bidang pembinaan serta perkhidmatan jika gaji minima dilaksanakan.

6. Nyatakan tempoh garis masa pelan merujuk dan melibatkan golongan berkepentingan dalam sidang meja bulat bersama kerajaan ke arah peningkatan levi yang seharusnya dibebankan ke atas majikan bukannya kepada pekerja?

7. Nyatakan pula berapa jumlah pekerja tempatan yang bekerja di luar negara dalam sektor 3D terutamanya di Singapura dan berapa ramai pekerja tempatan yang bekerja di dalam industri kasar seperti minyak & gas dan perkapalan.

Pengambilan lagi pekerja asing akan memberi kesan dan impak kepada pekerja tempatan secara lansung dari segi penggajian. Malah, sasaran untuk mencapai 40 peratus gaji kepada pekerja daripada jumlah KDNK tidak akan tercapai.

Ternyata, Menteri dalam Negeri beserta Timbalannya wajib menjawab persoalan-persoalan di atas secara tuntas sebelum menuding jari kepada belia-belia Malaysia dan mencabar mereka untuk serta-merta bekerja di dalam sektor 3 D – dangerous, dirty and difficult – dengan penggajian yang tidak setimpal!

Adalah menjadi satu kewajipan asas negara untuk menyediakan pekerjaan dengan gaji yang baik terutamanya untuk pekerja tempatan ke arah negara yang lebih baik.

* NURUL IZZAH ANWAR adalah NAIB PRESIDEN KEADILAN/ AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI