Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM sangkal tiga berita palsu

SHAH ALAM, 31 MAC: Ketua Polis Daerah Tawau, Sabah menafikan dakwaan satu notis mengenai arahan Ketua Polis Negara (KPN) berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April 2020.

Penafian itu dimaklumkan Pasukan Respon Pantas kendalian Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui satu kenyataan pemakluman berita palsu hari ini.

“(Notis arahan) jelas mengandungi mesej tidak benar dan tidak selari sepenuhnya dengan arahan semasa oleh KPN,” kata kenyataan itu.

Selain itu, kenyataan tersebut turut memaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menafikan dakwaan rakaman video insiden kekecohan di sebuah pasaraya berlaku di Johor.

“Sebenarnya ia merupakan rakaman video tentang ‘looting’ yang berlaku di pasaraya beberapa bandar di Amerika Syarikat,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan sama menyertakan MKN menafikan selain Foodpanda, GrabFood dan restoran yang sudah mendapat kebenaran, sesiapa yang keluar rumah walaupun dengan alasan menghantar makanan akan didenda RM1,000.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM beri amaran penjawat awam jangan sebar berita palsu

SHAH ALAM, 30 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) memberi amaran kepada penjawat awam agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih terutama berkaitan Covid-19.

KKM menerusi kenyataan di Facebook hari ini memaklumkan maklumat dimaksudkan merangkumi pelbagai bentuk seperti data, rekod, kenyataan, video atau audio visual.

Katanya, sekiranya didapati bersalah mereka boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan Akta Rahsia Rasmi 1972 (Dokumen Rahsia Rasmi); Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Seksyen 233 (1)) dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan, penjawat awam dilarang menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih dan tidak tepat kepada umum melalui pelbagai saluran media,” katanya.

KKM berkata sebagai penjawat awam, seharusnya menjadi pihak bertanggungjawab.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tular gelombang ketiga Covid-19 pada 31 Mac berita tidak benar

SHAH ALAM, 30 MAC: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menafikan dakwaan berlaku gelombang ketiga Covid-19 pada 31 Mac ini seperti yang tular di media sosial.

Pasukan Respon Pantas KKKM juga meminta orang ramai tidak mempercayai gesaan supaya jangan keluar rumah pada musim hujan dan senja kerana pandemik terbabit mudah tersebar pada waktu itu.

“KKMM juga menafikan mempunyai sebarang hubungan dengan pihak yang memohon bantuan peralatan perubatan dan makanan untuk kumpulan berisiko tinggi di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang membuat saringan sampel Covid-19.

“Jabatan Kesihatan Perlis (JKNPs) menafikan Hospital Tuanku Fauziah dan klinik kesihatan di negeri itu mempunyai kaitan dengan hebahan risalah oleh Kelab Staf Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik (PPKSE), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang meminta sumbangan pakaian untuk barisan hadapan, peralatan, makanan serta keperluan lain,” katanya dalam kenyataan semalam.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Semak kesahihan maklumat: Cara melakukannya

Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Pernahkah anda menerima maklumat “disahkan” yang meragukan dikongsi secara meluas menerusi WhatsApp atau Facebook, menyatakan ia daripada kumpulan sembang lain dan anda ingin “jerit” kepada mereka “Google it!” (semak di Google)?

Ya, anda betul kerana itu, sebenarnya, satu daripada cara untuk periksa atau semak sendiri sebarang maklumat yang anda terima.

Situasi di atas mungkin berlaku kepada sesiapa sahaja – keluarga anda, jiran anda atau rakan rapat anda dan di tengah-tengah penularan wabak COVID-19, tidak dapat dielakkan semua orang akan dibanjiri maklumat palsu tetapi jangan bimbang, terus membaca ini untuk mengetahui perkara-perkara yang anda perlu ambil perhatian untuk buat semakan sendiri, dengan itu, mengelak daripada menjadi mangsa berita palsu.

Baru-baru ini, jurulatih semak fakta daripada United Kingdom, Pengasas dan CEO FATHM Fergus Bell menjalankan kursus penyemakan fakta di Bernama dan berkongsi cara yang boleh digunakan oleh semua orang untuk memastikan anda tidak membuang masa anda mempercayai dan berkongsi dakwaan palsu.

Ini adalah pandangan Bell tentang cara untuk menyemak fakta 101:

1. Menilai kebolehpercayaan sumber. Tanya diri sendiri jika terdapat rekod untuk dinilai.

2. Semak maklumat itu di Google. Cari ruangan untuk semak fakta dan lihat keseluruhan halaman untuk mengesahkannya.

3. Lihat pada “flag”, jika ada seseorang telah memaparkan kepalsuan berita atau kandungan itu

4. Baca isi kandungan, lakukan semakan dengan segera. Sentiasa fikir dahulu sebelum kongsi maklumat itu

5. Jika ia adalah imej, lihat imej. Sebagai contoh, jalankan carian imej menerusi ‘google image reverse’ (tool untuk semak imej)

6. Semak alamat pautan. Untuk mendapatkan kepastian, periksa siapa pemilik tapak itu, sama ada ia meragukan menerusi ‘who.is’ (tool dalam talian untuk memeriksa pemilik laman web.

Bagaimanapun, dengan perlu menyemak maklumat di Google, dan melakukan semua langkah di atas mungkin menyusahkan kerana ia akan mengambil masa anda, maka jurulatih semak fakta Malaysia, Kuek Ser Kuang Keng berkongsi pendapatnya dengan Bernama berhubung isu itu.

Menurutnya, jika anda menerima dakwaan yang menimbulkan perhatian anda secara emosi, ia adalah petunjuk bahawa kemungkinan besar ia adalah palsu. Jangan masuk dalam perangkap itu.

Beliau menasihatkan sekiranya tindak balas anda kepada maklumat itu bersifat emosional seperti marah, cemas, gembira, perlu tenangkan diri sekurang-kurangnya sepuluh saat dan fikirkannya.

“Mereka (pihak yang mula kongsikan berita palsu) adalah bijak dalam memainkan emosi (pembaca) anda. Ada kalanya, orang mengambil kesempatan daripada situasi itu dan mereka mempunyai agenda tersendiri.

“Oleh itu, jadikan sebagai satu tabiat. Berhenti sejenak selama sepuluh saat dan fikirkannya. Tanya diri anda ini, ‘Adakah ini membuat saya emosional dan mendorong saya untuk berkongsi dengan rakan dan keluarga’? Jika ya, itu adalah tanda (kemungkinan ia maklumat palsu). Berhati-hati lah, ” katanya dan menurutnya dengan tidak menyemaknya sendiri, akan membawa kepada situasi buruk dan mencetuskan kebimbangan tidak sepatutnya dalam kalangan orang ramai.

Amat penting untuk orang ramai belajar membuat semakan sendiri dengan mengenal pasti faktor-faktor perlu bagi menghentikan penyebaran maklumat palsu, terutamanya kepada orang yang kurang mendapat maklumat betul.

Kuek Ser berkata satu lagi perkara penting yang perlu dipertimbangkan untuk dibuat semakan, iaitu mesej audio daripada sumber tanpa nama.

“Tiada siapa tahu siapa sebenarnya di belakang suara itu, jadi perlu sentiasa semak sumber anda. Sekiranya tidak ada bukti berwibawa, jangan pedulikannya. Tiada siapa akan bertanggungjawab untuk mesej audio yang anda terima. Jangan percaya atau jangan sekali-kali kongsikannya.

“Satu hari anda terima mesej audio bahawa seseorang di kawasan kejiranan anda positif Covid-19. Anda menjadi bimbang dan tanpa berfikir secara kritis, anda akan kongsikan (mesej) dengan segera. Boleh anda bayangkan betapa teruk kesannya? ” katanya.

Ketika rakyat Malaysia sedang berdepan wabak Covid-19, ini adalah masa terbaik untuk kita semua menjalankan tanggungjawab dan belajar cara untuk menyemak sendiri apa-apa maklumat yang kita terima untuk mengekang dan memerangi fenomena berita palsu global yang dilihat seperti ‘ virus yang terus menular’ dalam masyarakat kita.

Dalam pelaporan berita, berpegang pada fakta adalah asas yang sentiasa perlu didukung, bagaimanapun, sesetengah orang masih memilih untuk mengabaikannya dengan lebih mempercayai maklumat yang mereka terima melalui sumber yang tidak diketahui.

Kali ini sekiranya anda menerima mesej audio dalam kumpulan keluarga WhatsApp anda, fikirkannya, adakah anda patut membuang masa berharga anda mendengar mesej audio yang tidak diketahui siapa pengirimnya dan menghantarnya kepada kumpulan lain? Semestinya tidak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Senarai berita palsu tular hari ini

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Berikut senarai penafian berita tular di sosial media oleh agensi-agensi bertanggungjawab melalui kenyataan media Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini.

– Kementerian Kesihatan nafi mengeluarkan sebarang Standard Operasi Prosedur pembelian barangan keperluan harian sepanjang musim Covid-19.
– Hospital Kluang nafi fasiliti hospital lama digunakan bagi menempatkan pesakit-pesakit bukan COVID-19 dari Hospital Kluang yang baharu.
– Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor nafi keadaan wabak Covid-19 di Kuala Selangor semakin parah seperti didakwa satu kenyataan yang dikeluarkan di Mukim Tanjong Karang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penyebar berita palsu diburu

PUTRAJAYA, 21 FEB: Kerajaan akan bertindak tegas ke atas penyebar berita palsu yang boleh mengganggu gugat keamanan negara dan keharmonian kaum dengan mendakwa mereka ke mahkamah, kata timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Mohamed Hanipa Maidin berkata kerajaan selama ini ‘berdiam diri’ kerana merasakan masyarakat tidak akan menyebarkan berita palsu lagi, namun masih ada individu yang berbuat demikian termasuk mengenai Covid-19 serta fitnah sehingga mengganggu gugat keamanan negara.

“Itu adalah titik permulaan mengapa kerajaan bertegas untuk memburu individu ini daripada terus menyebarkan fitnah terhadap kerajaan,” katanya dalam sidang media bersama Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Eddin Syazlee Shith berhubung isu penyebaran berita palsu dan fitnah di sini hari ini.

Mohamed Hanipa berkata walaupun Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dihapuskan, namun beliau percaya undang-undang sedia ada cukup untuk membendung gejala berita palsu.

Katanya, kerajaan tidak akan mengkaji semula pemansuhan akta berkenaan kerana undang-undang sedia ada seperti Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan akan dapat membendung gejala berita palsu.

“Kami komited melakukan perubahan dengan menghapus akta berita palsu (Akta Antiberita Tidak Benar) demi mewujudkan negara yang demokrasi tetapi kita amat sedih apabila ada pihak cuba menyalahgunakan kebebasan yang diberi,” katanya.

Dalam pada itu, Eddin Syazlee berkata sejak Januari lalu sehingga hari ini, sebanyak 62 kes membabitkan berita palsu disiasat.

Daripada jumlah itu, lapan kes didakwa melibatkan sembilan pertuduhan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan, katanya.

Sehingga hari ni, katanya lebih 2,000 artikel dikeluarkan melalui portal Sebenarnya.my bagi menangkis berita-berita palsu.

“Orang ramai dinasihatkan untuk menyemak dahulu sebarang maklumat yang diperoleh,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

26 kertas siasatan berita palsu Covid-19 dibuka

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Polis membuka tiga lagi kertas siasatan berhubung penyebaran berita tidak sahih mengenai jangkitan koronavirus 2019 (Covid-19) di media sosial, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 26 kes.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Risikan dan Operasi) Datuk Mohd Roze Shaari berkata tiga laporan kes baharu yang diterima pihaknya ialah di Kuching dan Miri di Sarawak serta satu kes di Temerloh, Pahang.

“Tiga kes berkaitan berita palsu akan dituduh di mahkamah masing-masing di Kuala Lumpur, Terengganu dan Sabah.

“Penularan berita ini dilihat serius, saya menasihatkan orang ramai agar tidak berkongsi sebarang kenyataan ataupun artikel tidak sahih berkaitan jangkitan virus itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SKMM: Jangan terjerat dengan berita palsu

SHAH ALAM, 31 JAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak menyebarkan atau terjerat dengan provokasi berita palsu di media sosial, kata ketua pegawai pematuhannya.

Zulkarnain Mohd Yasin berkata ramai yang terperangkap selepas meninggalkan komen menyalahi undang-undang selain menyebarkan atau berkongsi maklumat tidak benar, lapor Sinar Harian.

“Berita palsu itu sebenarnya berniat jahat bagi menimbulkan rasa marah, benci dan tidak percaya kepada sesuatu pihak atau individu. Sebab itu jika soalan yang diajukan melalui sebaran, adakah ia benar-benar persoalan?

“Ia juga provokasi supaya ada maklum balas daripada netizen untuk membalas atau meninggalkan komen. Apabila berbalas komen dalam keadaan marah, kita akan menghamburkan kata-kata tidak sepatutnya dan menokok tambah perkara tidak benar,” katanya.

Zulkarnain berkata berita palsu disebar untuk mendapatkan keuntungan dalam bentuk wang berdasarkan jumlah pengguna media sosial membaca atau menontonnya.

Katanya, mereka yang berbuat demikian boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Mutimedia.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sorotan 2019: Limpahan berita palsu, tetapi rakyat tahu cerita sebenar

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Tahun 2019 yang akan melabuhkan tirainya menyaksikan banyak berita palsu berputar di media sosial dan ada kalanya singgah ke media arus perdana, hasil kerja pelaku memutar maklumat dan orang jahil yang menjadikannya viral.

Rakyat Malaysia masih ingat bagaimana kepalsuan yang disensasikan itu seperti tiga juta rakyat China memasuki negara ini ekoran masalah teknikal di KLIA yang mencetuskan kegilaan dalam medial sosial.

Berita palsu tentang Projek IC Sabah 2.0 sedang dilaksanakan dan Jabatan Pendaftaran Negara mengagihkan MYKad percuma kepada rakyat asing muncul kembali tahun ini seolah-olah menjadi ruji pembohongan yang membelenggu rakyat Malaysia.

Selain itu terdapat juga berita palsu bahawa jalur lebar 5G menjejaskan kesihatan manusia dan Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangun Masyarakat melaksanakan perintah berkurang lewat malam terhadap remaja dalam usaha mengekang gejala sosial sehingga menimbulkan keperihatinan dalam kalangan masyarakat.

Satu lagi penularan berita palsu yang rakyat Malaysia harus hadapi ialah mengenai isu sesuatu makanan yang didakwa tidak halal atau premis makanan tertentu tidak halal atau status halal ditarik balik oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Semua ini merupakan sekelumit daripada senarai panjang berita palsu dalam tahun 2019.

Pihak berkuasa memerangi kebatilan ini dengan kebenaran menerusi media serta saluran lain termasuk portal sebenarnya.my yang bukan sekadar menegur dakwaan yang karut tetapi juga memberi gambaran yang sebenar.

Melihat bagaimana berita-berita palsu ini menjadi viral, seseorang boleh bertanya sama ada rakyat Malaysia begitu mudah tertipu dan akhirnya menjadi penyedia maklumat yang salah.

Satu kajian oleh Prof Datuk Seri Syed Arabi Idid dari Unit Kajian Pemilih Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) dan rakan penyelidik, Azrul Hisyam Wakichan pada September lalu tentang persepsi masyarakat terhadap berita palsu mendapati bahawa masyarakat Malaysia tahu membezakan antara berita palsu dan berita yang benar .

Sungguhpun majoriti 1,960 responden berumur 18 tahun ke atas mengakui bahawa berita palsu menarik untuk dibaca atau ditonton namun mereka tidak mudah terpedaya dengannya dengan 95 peratus mengatakan mereka menolak sebarang berita palsu dan berusaha mendapatkan kesahihan sesuatu berita itu.

Begitu juga, kajian yang merentasi tiga kumpulan etnik utama di seluruh negara – orang Melayu, Cina dan India – juga mendapati lebih daripada 95 peratus responden bimbang dan ingin melakukan sesuatu untuk menghentikan berita palsu kerana mereka takut kepada natijahnya terhadap masyarakat.

Sekiranya rakyat Malaysia boleh membezakan antara berita palsu dan berita sebenar, maka bagaimana berita palsu masih merebak seperti api? Apabila ditanya mengenai perkara itu, Syed Arabi memberitahu Bernama, mungkin kerana kepantasan berita palsu itu dihantar melalui media digital yang menarik perhatian rakyat Malaysia.

“Mereka juga hendak cepat berkongsi dan ekoran kesuntukan masa untuk pengesahan fakta, lantas mereka hilang sikap rasional dan akhirnya menjadi sebahagian daripada rangkaian berita palsu. Apabila mereka sedar akan kesilapan yang dilakukan ia mungkin sudah terlambat,” katanya.

Berita palsu bukan sesuatu yang baharu, penciptanya mempunyai motif tersembunyi atau hanya cebisan daripada khayalan mereka. Apa yang jelas menerusi perantara komunikasi maklumat yang baharu menyediakan mereka jangkauan yang lebih bagi mengelirukan khalayak antara kebenaran dan kebatilan.

Justeru, mulakan 2020 dengan berfikir dua kali atau melakukan semakan sebelum berkongsi berita sensasi menerusi internet bagi mengelak penularan berita palsu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kit Siang percaya kerajaan PAKATAN boleh tangani penyebaran berita palsu

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata beliau percaya kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) boleh menangani penyebaran berita palsu dan ucapan berbaur kebencian secara berkesan.

Katanya, berita palsu dan ucapan berbaur kebencian itu bukan sahaja boleh menghancurkan Malaysia yang bermasyarakat majmuk, tetapi juga telah dikenal pasti sebagai ancaman eksistensi ketiga terhadap manusia.

“Di Malaysia, atau di seluruh dunia, persoalan mengenai berita palsu, ucapan berbaur kebencian telah mengatasi sifat manusia dan kita sepatutnya berupaya untuk memeranginya,” katanya di forum Demokrasi Pada Era Polarisasi di sini semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata beliau sendiri pernah menjadi sasaran penyebar berita palsu di media sosial pada tahun 2017, dan isu itu telah menjadi suatu kebiasaan dan kelaziman dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kebelakangan ini, beliau berkata terdapat peningkatan dalam sentimen perkauman dan agama di negara ini, dengan permasalahan itu diburukkan oleh parti-parti tidak bertanggungjawab, pihak yang mengambil kesempatan dan penyebar berita palsu.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Rakyat Malaysia masih dibelenggu berita palsu

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Sehingga 23 September tahun ini, laman sesawang Sebenarnya.my menyiarkan 11 artikel penjelasan berkenaan isu dan berita palsu yang ditularkan melalui internet.

Penjelasan terbaharu yang dibuat oleh portal yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu adalah mengenai penyebaran senarai 13 restoran yang didakwa dimiliki bukan Islam dan kononnya mempergunakan pekerja Melayu dan sijil halal palsu untuk menipu pelanggan Islam.

Pada masa sama, Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut membuat penafian rasmi berhubung perkara itu.

Setakat ini, Sebenarnya.my telah menyiarkan 135 artikel penjelasan dan pembetulan fakta terhadap ‘berita-berita’ yang disebarkan di internet terutamanya melalui media sosial.

Portal itu ditubuhkan pada 14 Mac 2017 sebagai pusat sehenti bagi mengekang berita-berita palsu dalam talian yang semakin berleluasa khususnya dalam media sosial.

Ini jelas menunjukkan bahawa berita palsu masih membelenggui rakyat dan pihak berkuasa terpaksa terus tampil memberi penjelasan mengenainya, selain sering mengingatkan mereka bahaya yang menanti jika berita palsu sentiasa menjadi santapan minda mereka.

Ramai yang tidak sedar bahawa penyebaran berita palsu boleh memberi impak negatif kepada negara daripada pelbagai aspek termasuk menimbulkan keresahan masyarakat, menimbulkan kebencian dan lebih teruk lagi boleh mengakibatkan huru-hara.

Berita tidak benar boleh timbul dalam pelbagai bentuk. Ia mungkin berbentuk fitnah, menyebarkan aib sesetengah pihak dan boleh menjadi perkara yang disalah tafsir pihak yang menyebarkannya, tanpa ada niat untuk menipu.

Masalah dunia

Pengarah Institut Pendidikan Neo (iNED), Prof Dr. Azizul Halim Yahya berkata, penularan fitnah melalui media sosial dan internet bukan sahaja berlaku di Malaysia malah di serata dunia.

Beliau berkata, internet memudahkan akses kepada landasan penyampaian maklumat yang membolehkan penyampaian sebarang maklumat, sama ada benar mahupun fitnah, dilakukan dengan mudah dan tanpa pantauan.

Meskipun ada beberapa perkara yang dikongsikan di internet dilakukan sekadar gurauan atau permainan, namun audiens yang membaca atau menonton maklumat itu belum tentu dapat membezakan realiti antara dua keadaan itu, katanya.

Azizul yang juga bekas Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjelaskan bahawa dengan kecanggihan teknologi masa kini, perbuatan menyunting gambar, video, logo, surat, cop mohor dan sebagainya boleh dibuat dengan ‘bersih’ sehingga sukar dikesan sama ada ia palsu atau tulen.

Menurut beliau, keadaan ini semestinya boleh membawa kesan kepada situasi politik, ekonomi dan sosial dalam negara.

“Apabila rakyat mempercayai sesuatu yang tidak benar, mereka tidak boleh membuat pertimbangan yang betul. Tambah buruk lagi jika ahli politik yang terlibat dalam penggubalan undang-undang negara (juga mempercayai berita palsu dan) mereka akan membuat pertimbangan yang salah dengan kesannya hanya dilihat lama selepas itu.

“Apa juga polisi yang dibuat tanpa disemak dengan teliti, ia akan menjadi tidak baik dan akan merosakkan situasi pada waktu itu dan pada masa akan datang. Ini turut memberi kesan kepada perkembangan ekonomi negara apabila pelabur dari luar takut untuk masuk ‘menanam’ pelaburan mereka di negara kita,” katanya.

Sensitiviti kaum

Amalan ‘citizen journalism’ atau kewartawanan awam’ yang semakin digemari warganet sesuai dengan perkembangan teknologi dan kepelbagaian platform media sosial juga menyumbang kepada pertambahan dan penularan berita palsu.

Sekiranya seseorang warganet memainkan peranan sebagai ‘wartawan’ tanpa memahami etika dan amalan pemberitaan yang betul, ia boleh memberi kesan kepada tahap integriti bahan yang disebarkan.

Penulisan status, komen, ciapan, siaran gambar, poster, ‘meme’ atau video yang dibuat tanpa memahami faktor sosiobudaya dan sensitiviti kaum boleh mengakibatkan timbulnya rasa tidak senang, terhina atau tersinggung.

Keadaan menjadi lebih buruk jika ia kemudian menjadi punca perbalahan, pergaduhan atau rusuhan dalam kalangan masyarakat yang selama ini hidup rukun damai dalam suasana harmoni.

Persaingan sesama warganet atau portal-portal untuk menjadi ‘yang pertama’ menyiarkan sesuatu berita juga boleh menyebabkan mereka sanggup untuk mengetepikan aspek kredibiliti dan integriti maklumat yang disebar dan ditularkan.

Pensyarah kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Shekh Alsagoff berkata, bahan-bahan berbentuk spekulasi, tuduhan dan penghinaan adalah antara perkara yang boleh memberi impak besar kepada negara.

“Mereka mahu menyebarkan maklumat dengan pantas dan menarik tanpa memikirkan akibat kepada orang tertentu yang menjadi mangsa penyebaran berita itu. Kadang-kala berita itu betul tetapi hanya disiarkan ‘separuh jalan’ untuk menarik perhatian pembaca,” katanya kepada Bernama.

Perlukan dididik

Walaupun Malaysia mempunyai beberapa undang-undang yang boleh mengekang penyebaran berita palsu, katanya, cara yang paling berkesan untuk menangani isu itu adalah melalui pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat.

“Penekanan budaya ‘self-regulation’ atau kawal selia kendiri akan mendidik masyarakat untuk meneliti semua bentuk kandungan yang mereka terima berdasarkan sumber sah, sahih dan kesesuaian maklumat itu dengan adab dan budaya kita sebagai sebahagian daripada proses menilai sama ada maklumat yang diterima itu benar atau salah,” jelas beliau.

Syed Agil menarik perhatian kepada beberapa berita palsu dan berita diragui yang pernah memberi kesan buruk kepada masyarakat Malaysia seperti penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan penyebaran berita kononnya ada pergaduhan antara kaum di Chow Kit, Kuala Lumpur.

Menurutnya media terutamanya media arus perdana perlu terus memainkan peranan dalam mendidik masyarakat dan tidak hanya memberi tumpuan kepada berita bersifat sensasi seperti yang banyak disebarkan di media sosial.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Hapuskan akta zalim langgar demokrasi kebebasan rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) komited menghapuskan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 sekiranya mendapat mandat mentadbir Putrajaya selepas pilihan raya umum ke 14 (PRU14) nanti.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, komitmen itu dizahirkan kerana berpandangan akta itu digunakan Barisan Nasional (BN) bagi menghalang kebebasan bersuara di kalangan rakyat.

“PAKATAN menentang sebarang bentuk “berita palsu” kerana kami sentiasa menjadi mangsa fitnah dan tohmahan terutama sekali daripada jentera propaganda BN.

“Kami berpandangan akta ini terlalu luas dan akan disalahguna rejim pemerintah untuk membungkam kebebasan bersuara dan kritikan ditujukan kepada penguasa,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia menjadi negara pertama di dunia menjatuhkan hukuman terhadap individu di bawah Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang hanya digubal selepas lapan jam perbahasan di Parlimen, 11 April lalu.

“PAKATAN juga akan menghapuskan semua undang-undang zalim bertentangan dengan prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara,” katanya seandainya mengambilalih pentadbiran negara daripada BN.

Semalam, seorang lelaki warga Denmark menjadi individu pertama didakwa di bawah akta itu ekoran menerbitkan berita tidak benar berkaitan kelewatan polis sampai ke lokasi pembunuhan pensyarah warga Palestin di Setapak, baru-baru ini.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara seminggu dan denda RM10,000 ke atasnya.

=EZY=