Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Berita palsu burukkan keadaan, tangani secara bijak

GOMBAK, 17 SEPT: Kerajaan Negeri terpaksa berdepan dengan cabaran berita palsu sehingga ada diantaranya membuatkan sesuatu isu bertambah buruk di mata rakyat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata terdapat pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap Kerajaan Selangor termasuk isu penjajaran Sungai Pelempas dan pelarasan elaun kakitangan masjid dan surau.

Namun jelas beliau, isu berkenaan sudahpun diselesaikan dengan baik namun sengaja diambil kesempatan oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Jika dulu akhbar dan media menjadi medium utama untuk masyarakat tahu pengumuman atau berita-berita terbaharu. Tetapi sekarang setiap saat kita boleh terima berita palsu, malah ada yang memburukkan tanpa fakta sebenar.

“Tak apalah, mereka boleh serang dengan berita palsu tetapi kami yakin pentadbiran Kerajaan Negeri sudah melakukan yang terbaik buat rakyatnya, kerana inilah janji kita kepada penduduk Selangor,” katanya pada Sambutan Hari Malaysia di Dewan Sri Siantan di sini, semalam.

Menurutnya lagi, cabaran dihadapi membuatkan Kerajaan Selangor berdiri lebih teguh dan menjadi kerajaan sensitif dengan persekitaran terutama membabitkan kepentingan rakyat.

“Ketika Covid-19 melanda, Selangor satu-satunya negeri yang mengumumkan tiga kali pakej rangsangan ekonomi, malah kita sudah belanja lebih dari RM400 juta bagi pakej rangsangan pertama dan kedua.

“Semua dilakukan demi membantu rakyat susah dan semua golongan yang memerlukan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada pekerja restoran nasi kandar di Butterworth positif Covid-19

KEPALA BATAS, 7 OGOS: Polis hari ini mengesahkan tiada pekerja restoran nasi kandar di Jalan Chain Ferry, Butterworth dijangkiti Covid-19 seperti yang didakwa dalam mesej audio yang tular menerusi aplikasi WhatsApp sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata pihaknya melakukan siasatan berhubung perkara itu setelah menerima laporan polis daripada pengarah restoran nasi kandar terbabit yang turut menerima mesej audio berkenaan.

“Menerusi mesej suara dalam bahasa Tamil itu, lelaki tersebut memaklumkan seorang pekerja di restoran nasi kandar berkenaan dijangkiti Covid-19 dan semua pelanggan meninggalkan premis serta diminta untuk mereka (pelanggan) tidak berkunjung ke situ lagi. Bersama mesej suara itu turut disertakan gambar restoran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya kini giat mengesan individu yang merakam dan menularkan maklumat palsu tersebut yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA

Polis buka 266 kertas siasatan berita palsu Covid-19

SHAH ALAM, 19 JULAI: Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka 266 kertas siasatan berhubung berita palsu Covid-19 sehingga semalam.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata daripada jumlah itu sebanyak 172 kes dalam siasatan, 30 didakwa di mahkamah, 12 diberi notis amaran, 13 proses perbicaraan dan 17 telah mengaku bersalah.

“Bagaimanapun, tiada pertambahan kertas siasatan dibuka dalam tempoh lebih dua bulan lalu, sekali gus menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap penyebaran berita palsu mulai meningkat.

“Namun, polis dan SKMM masih dalam proses penilaian beberapa laporan yang diterima mengenai kes itu mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) membuat 352 penafian berita palsu.

“Justeru, masyarakat diingatkan berhati-hati sebelum sebar sebarang kandungan yang diragui kesahihannya dan boleh menyalurkan maklumat kepada PRP di talian 03-8911 5103 atau layari www.sebenarnya.my untuk menyemak kebenaran berita.”

Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM sangkal dua berita palsu

SHAH ALAM, 20 MEI: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menafikan dakwaan pihak tertentu mengenai kebenaran bagi penganjuran Bazar Ramadan di Tanjung Karang seperti tular di media sosial.

Penafian itu dimaklumkan Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi Multimedia dalam kenyataan pemakluman berita palsu hari ini.

“MDKS menjelaskan tapak jualan dalam video itu adalah kawasan penjaja berlesen yang diberi kebenaran menjaja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat mulai 13 Mei dengan syarat pematuhan tatacara operasi piawai.

“Ia termasuk penggiliran hari berniaga, penjarakan sosial dan penetapan waktu berniaga dari jam 3 petang hingga 10 malam sepanjang Ramadan dengan pemantauan berkala dilaksanakan penguat kuasa menerusi kerjasama polis serta Jabatan Sukarelawan Malaysia,” katanya.

KKMM juga memaklumkan Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik menafikan polis mengeluarkan arahan larangan pergerakan rentas daerah dan negeri bermula 22 hingga 27 Mei ini kepada semua balai polis dalam negeri itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga premis diarah tutup sementara pekerja positif Covid-19

PUTRAJAYA, 9 MEI: Tiga premis diarah tutup sementara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana ada dalam kalangan pekerja didapati positif Covid-19, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, premis yang diarah tutup adalah sebuah kilang ayam di Negeri Sembilan, sebuah pasar raya di Selangor dan sebuah tapak pembinaan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

“Jika berlaku dan ada kes positif Covid-19 dalam kalangan pekerja serta Kementerian Kesihatan (KKM) merasakan perlu untuk ditutup premis perniagaan itu, maka pihak kerajaan akan arahkan premis itu ditutup.

“Kita tutup untuk buat saringan ke atas pekerja dan seterusnya buat sanitasi di premis perniagaan itu,” katanya pada sidang media harian di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis membuat 46,086 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPB di seluruh negara.

Sebanyak 3,713 pasar raya, 3,073 restoran, 1,244 kilang, 1,705 bank, 713 terminal pengangkutan darat, 87 terminal pengangkutan air dan 111 terminal pengangkutan udara diperiksa.

Selain itu, pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang melibatkan 16,414 anggota juga memeriksa 22,741 kenderaan persendirian dan 1,426 kenderaan awam.

Mengenai berita palsu, Ismail Sabri berkata sehingga semalam polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia membuka 262 kertas siasatan berkaitan berita palsu Covid-19.

Daripada jumlah itu, 179 masih dalam siasatan manakala 29 kes didakwa di mahkamah, 11 diberi notis amaran dan 18 mengaku bersalah.

Beliau berkata, melalui Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sehingga kini sebanyak 265 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu dibuat kepada orang ramai oleh PRP.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada PRP di talian 03-8911 5103 atau layari WWW.SEBENARNYA.MY untuk menyemak kesahihan berita,” katanya.

Sehingga hari ini, Ismail Sabri berkata, 229 Pusat Kuarantin beroperasi berbanding 245 pada hari sebelumnya dengan 14,843 individu masih menjalani proses kuarantin wajib termasuk 454 rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air semalam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

IPD Gombak nafi operasi tangkap warga asing besar-besaran di Selayang

SHAH ALAM, 27 APRIL: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak hari ini menafikan video tular berkaitan operasi tangkapan warga asing termasuk Rohingya secara besar-besaran di Selayang.

Situasi tersebut sebaliknya merupakan pemindahan 52 warga asing di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Selayang Baru ke pusat kuarantin Institut Perakaunan Negara, Sabak Bernam bermula 25 April lalu.

Penafian itu dikeluarkan Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia terhadap beberapa dakwaan tidak benar yang tersebar di media sosial.

Selain itu, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan makmal ujian Covid-19 di Hospital Umum Sarawak di Kuching tidak berfungsi, malah menegaskan tidak pernah menerima makluman mengenai perkara tersebut.

KKM menjelaskan mempunyai dua lagi makmal lain di negeri berkenaan iaitu di Universiti Malaysia Sarawak dan Hospital Sibu.

“Sekiranya makmal di hospital umum mengalami masalah untuk menjalankan ujian, KKM akan menggunakan sumber luar di makmal swasta,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat Perubatan UIA nafi kluster baharu Covid-19 babit kakitangan

SHAH ALAM, 19 APRIL: Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUMMC) menafikan dakwaan terdapat kluster aktif Covid-19 baharu membabitkan kakitangannya.

Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dalam kenyataan hari ini mengeluarkan dua penafian terhadap beberapa kenyataan yang tular di media sosial.

“IIUM Medical Centre menafikan dakwaan terdapat kluster aktif Covid-19 baharu di UIA dengan lebih 20 kakitangan UIA didapati positif kes Covid-19, ramai lagi kakitangan dikuarantin sementara menunggu keputusan saringan,” katanya.

Selain itu, pengarah kesihatan Sabah turut menafikan dakwaan bahawa bangunan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Kota Kinabalu ditutup berikutan wabak Covid-19.

“Beliau sebaliknya menjelaskan hanya satu wad di hospital berkenaan diletakkan di bawah arahan kuarantin bagi memastikan tiada penularan Covid-19,” kata kenyataan itu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tidak benar lelaki pengsan di Pasar Borong Selayang pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 17 APRIL: Hospital Selayang menafikan seorang individu yang pengsan di Pasar Borong Selayang adalah pesakit Covid-19 seperti didakwa dalam video yang tular di media sosial.

“Pihak hospital ingin merujuk kepada mesej tular bersama rakaman video didakwa pesakit Covid-19 di pasar itu (Pasar Borong Selayang) adalah tidak benar,” katanya di Facebook.

Baru-baru ini tersebar klip selama 10 saat yang menunjukkan individu berkenaan yang tidak dikenali serta berkopiah, pengsan di pasar itu.

Sementara itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam kenyataan malam tadi mengesahkan perkara berkenaan.

KKMM turut memaklumkan berita seorang pesakit Covid-19 yang kini sedang dirawat di Hosipital Umum Miri pernah mengunjungi Everwin Supermarket di sana.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM: Tiada pelanggan positif Covid-19, bayaran pencen April diawalkan palsu

SHAH ALAM, 13 APRIL: Pasaraya Econsave menafikan laporan tersebar di WhatsApp yang mendakwa dua pelanggannya di cawangan Rinching positif Covid-19.

Syarikat itu berkata berita tersebut adalah palsu, malah tidak ada seorang pun pelanggannya di uji mengidap wabak itu seperti didakwa.

“Kami telah membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarlan berita palsu itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini turut mengesahkan berita tular itu tidak benar.

KKMM turut memaklumkan berita pembayaran pencen untuk April akan diawalkan juga palsu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Sharafuddin dukacita penyebaran berita, video palsu Covid-19

SHAH ALAM, 13 APRIL: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita terhadap penyebaran berita dan video palsu berkaitan Covid-19 yang tular kebelakangan ini.

Justeru, baginda mengingatkan semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dan tidak mereka berita palsu yang boleh menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat.

“Beta juga berharap rakyat tidak mudah mempercayai dan menyemak terlebih dahulu kesahihan setiap berita yang diterima di media sosial,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Istana Selangor hari ini.

Baginda turut menyeru rakyat supaya terus memperbanyakkan doa supaya negeri ini dijauhi daripada wabak penyakit dan bala bencana yang boleh menyebabkan kematian.

Dalam kenyataan itu, Sultan Sharafuddin turut mengucapkan selamat menyambut Ramadan 1441 Hijrah dan menjalani ibadah puasa kepada seluruh umat Islam.

“Semoga semua amal ibadat yang dilakukan akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM sangkal tiga berita palsu

SHAH ALAM, 10 APRIL: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengeluarkan tiga penafian terhadap beberapa kenyataan yang tular di media sosial.

Pasukan Respon Pantas KKMM dalam kenyataan memaklumkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menafikan pernah mengeluarkan kenyataan berhubung solat Jumaat tetap diteruskan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bertarikh 8 April.

Selain itu, pihak Pengurusan HeroMarket menafikan dakwaan empat pekerjanya di cawangan Alam Megah positif Covid-19.

Kenyataan sama menyatakan Hospital Lawas, Sarawak menafikan dakwaan terdapat penambahan kes Covid-19 di daerah tersebut sejak 14 Mac lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada situasi orang awam serbu BSN keluarkan duit bantuan

SHAH ALAM, 7 APRIL: Tidak ada kejadian orang awam menyerbu Bank Simpanan Nasional (BSN) gara-gara mahu mengeluarkan wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) seperti yang tular di media sosial semalam, kata institusi perbankan berkenaan.

BSN dalam kenyataan berkata gambar yang dikongsi menerusi media sosial berkenaan adalah tidak benar.

“Keadaan di cawangan kami terkawal dengan kerjasama polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), mereka akan memastikan penjarakan sosial dipatuhi.

“Jumlah pelanggan dalam premis bank dihadkan dan pelanggan dinasihatkan untuk memakai topeng hidung dan mulut sepanjang masa,” katanya.

Semalam, tular di media sosial gambar orang awam beratur untuk mengeluarkan wang BPN di setiap cawangan BSN.

BSN berkata, pelanggan juga boleh melakukan pengeluaran wang semua terminal mesin juruwang automatik (ATM) dan rangkaian mesin Malaysian Electronic Payment System Sdn Bhd (Meps) seluruh negara.

“Manakala untuk menyemak baki akaun, ia boleh dibuat secara dalam talian. Para pelanggan juga disarankan untuk menyemak status BPN melalui laman web LHDN https://bpn.hasil.gov.my,” katanya.