Categories
NASIONAL

Rakyat Diseru Turun Menuntut “Janji Demokrasi” Pada Ambang Kemerdekaan

SHAH ALAM, 24 OGOS: Perhimpunan ‘Janji Demokrasi’ yang bakal berlangsung pada ambang Hari Merdeka 31 Ogos di Dataran Merdeka bukan suatu demonstrasi jalanan.

Sebaliknya, ia adalah seruan kepada rakyat untuk menyertai sambutan ambang Hari Merdeka disamping mengingatkan Kerajaan Pusat untuk memenuhi janji bagi penambahbaikan sistem pilihanraya.

Ahli Jawatankuasa Kerja ‘Janji Demokrasi’, Maria Chin Abdullah berkata, rakyat Malaysia digesa supaya datang ke sambutan itu dengan pakaian kuning bagi menunjukkan solidariti dengan ?Janji Demokrasi?.

“Kita hanya mahu menyertai sambutan malam kemerdekaan itu sahaja dengan membawa mesej yang ingin kita sampaikan,” katanya ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Katanya, gabungan  47 NGO yang menyertai ?Janji Demokrasi? turut membawa mesej menuntut keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, mendukung hal sivil, kebebasan bersuara, memansuhkan akta zalim dan kebebasan media.

“Saya menyeru semua rakyat Malaysia yang prihatin untuk turun beramai-ramai berpakaian kuning sebagai tanda sokongan,” katanya.

Maria berkata nama inisiatif ?Janji Demokrasi? ditukar daripada ?Janji Bersih? kerana bertepatan dengan tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 iaitu ‘Janji Ditepati’.

Penukaran nama itu juga kerana ?Janji Demokrasi? tidak mahu dikaitkan dengan gabungan NGO di dalam gerakan BERSIH walaupun sebahagiannya merupakan anggota gabungan gerakan itu.

Beliau turut mengulas mengenai ancaman daripada kumpulan anti-BERSIH iaitu Majlis Tindakan Peniaga-peniaga Kecil Kuala Lumpur (MTPKL) yang sebelum ini mengugut untuk bertindak agresif terhadap perhimpunan ?Janji Demokrasi?.

“Jika mereka hendak berdemonstrasi, biarkan lah mereka, polis akan sentiasa memantau keadaan.

?Saya berharap polis dapat bertindak bagi mengawal keamanan untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Penganjur Kecewa Dengan Provokasi Terhadap Himpunan Janji BERSIH

SHAH ALAM 15 OGOS : Gabungan Himpunan Janji BERSIH akan memastikan himpunan yang akan diadakan di ambang kemerdekaan di Dataran Merdeka, 30 Ogos ini akan berjalan dengan aman.

Penggerak utama Himpunan Janji BERSIH, Datuk A Samad Said berkata beliau kecewa dengan pihak yang cuba untuk melakukan provokasi terhadap himpunan tersebut.

Katanya, himpunan itu adalah usaha menuntut pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.

“Hanya pihak tertentu sahaja yang sengaja mempersulitkan keadaan dan hal demikian bukan datang daripada kita?, katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata Janji BERSIH hanya merupakan satu himpunan yang mengkehendaki para pesertanya memakai pakaian berwarna kuning untuk menyambut Hari Merdeka.

Tokoh sasterawan yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Samad berkata satu mesyuarat lanjut akan diadakan malam esok bagi membincangkan provokasi kumpulan anti-BERSIH.

Baru-baru ini Majlis Tindakan Peniaga-peniaga Kecil Kuala Lumpur (MTPKL) dilaporkan mengancam untuk bertindak agresif terhadap perhimpunan itu.

Samad turut menyangkal dakwaan pihak polis kononnya program itu cuba mempolitikkan sambutan Merdeka.

Katanya, perkara itu tidak timbul kerana program itu dibuat bersama 26 kelompok NGO yang mahu lapan tuntutan BERSIH ditunaikan.

Antara tuntutan tersebut adalah membersihkan daftar pemilih, menyediakan akses media yang adil kepada parti politik, menggunakan dakwat kekal dan memberi tempoh kempen minima 21 hari.

Sementara itu, Jawatankuasa Pemandu BERSIH, Maria Chin Abdullah berkata mana-mana pihak tidak perlu mengadakan provokasi kerana perhimpunan itu merupakan perhimpunan aman.

“Mengapa menjadi kesalahan untuk berpakaian warna kuning semasa Janji Bersih?” katanya.

Dilaporkan sebelum ini perhimpunan Janji BERSIH itu bakal disertai 26 daripada 80 badan gabungan BERSIH.

Categories
NASIONAL

PAS Dakwa Kajian UKM Ketinggalan: PR Mampu Dapat Majoriti Mudah

SHAH ALAM 26 JULAI : PAS hari ini mendakwa kajian yang dibuat Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) dianggap sudah ketinggalan kerana ia berlangsung semasa rakyat memperolehi ?gula-gula? politik Perdana Menteri khususnya selepas pembentangan bajet 2012, Oktober tahun lalu.

Justeru, kajian-kajian itu tidak cukup untuk menggambarkan bakal parti yang akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang berlalu lebih lima bulan sekiranya PRU-13 akan berlaku September ini.

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Zuhdi Marzuki berkata, kajian-kajian yang dijalankan dengan kecederungan melihat persepsi politik rakyat lazimnya akan menghasilkan peratusan undi popular bukannya parti mana yang akan menang mengikut lokaliti Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

Selain daripada itu, beberapa krisis dalaman Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat(PR) di Kedah dan Selangor, yang dibesar-besarkan oleh media arus perdana ketika tempoh kajian dijalankan turut mempengaruhi persepsi pengundi.

Bagaimanapun, krisis tersebut telah dengan segera dipadamkan oleh pimpinan-pimpinan negeri PR sehingga situasi ini berkemungkinan akan merubah semula persepsi politik para pengundi.

“Persepsi politik pengundi-pengundi bawah 50 tahun dan di kawasan bandar mungkin telah berubah disebabkan isu-isu semasa yang berlaku seperti BERSIH 3.0, NFC, janji PR tentang pemansuhan PTPTN dan termasuk juga tsunami politik di Timur Tengah,” kata Dr Zuhdi dalam satu kenyataan media.

Sebelum ini, kajian oleh Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat dan Prof Madya Dr Rohana Yusof menunjukkan BN boleh merampas semula negeri Selangor dan Kedah dari kerajaan PR.

“Dengan tidak menafikan peratusan undi popular turut berpengaruh dalam menentukan parti mana yang akan menang, tetapi pengaruh itu tidak mutlak di dalam sistem politik Malaysia.

“Di Malaysia peratusan undi popular lazimnya tidak menggambarkan berapa bilangan kerusi parlimen atau DUN yang dimenangi oleh sesebuah parti politik, berbanding dengan negara yang mengamalkan sistem politik Proportional Representation,” kata Dr Zuhdi.

Ujar Dr Zuhdi, PR boleh memenangi sekurang-kurangnya 105 kerusi parlimen seterusnya akan berupaya untuk mencapai majoriti mudah dengan perubahan besar politik di Sabah dan Sarawak seperti mana yang didedahkan oleh Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli pada Jun lepas.

“Oleh sebab itu, PPP cenderung untuk bersetuju dengan hasil kajian Pusat Penyelidikan Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya (UMCEDEL) yang menyatakan bahawa golongan atas pagar yang membuat keputusan di saat-saat akhir akan menjadi faktor penentu siapakah yang bakal menang dalam PRU ke 13,” kata Dr Zuhdi.

Categories
NASIONAL

Ambiga : Tuntutan Ikhlas, Biar SUHAKAM Siasat

KUALA LUMPUR, 19 MEI : Pengerusi Bersama BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga mempersoalkan tindakan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil Bumiputera Malaysia (Ikhlas) menuntut ganti rugi lebih RM1 juta yang didakwa akibat penganjuran BERSIH 3.0 di sekitar Kuala Lumpur pada 28 April lalu.

Beliau berkata, Ikhlas dilihat cuba mengaitkan BERSIH dalam isu itu walhal ia boleh dipertikaikan kerana kalangan peniaga lain menjalankan perniagaan mereka seperti biasa pada hari tersebut.

Katanya, BERSIH amat sangsi dengan kenyataan dibuat persatuan peniaga itu kerana ketika ini pula NGO tersebut menyatakan kesal kerana warga asing dikatakan menguasai kawasan perniagaan Jalan Tunku Abdul Rahman.

“Sekarang mengatakan warga asing berniaga pula. Apakah tujuan mereka dan sampai hari ini mereka tidak mengemukakan hal kerugian mereka kepada saya. Tiada sebarang maklumat tentang tuntutan mereka tetapi saya dengar mereka telah pergi ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

“Itu cara yang baiklah. Biar mereka buat tuntutan mereka di SUHAKAM dan kita akan melihat bagaimana SUHAKAM akan membantu dan menasihati mereka,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ambiga berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah dalam laporan media hari ini yang menyatakan kekesalan dengan kebanjiran peniaga asing yang memonopoli pusat beli belah Jalan Tunku Abdul Rahman seolah-olah menyekat peluang peniaga Bumiputera untuk menjalankan perniagaan.

Katanya, didapati 80 peratus daripada keseluruhan lot niaga di situ dikuasai peniaga asing termasuk dari Pakistan, Indonesia, Bangladesh, India dan beberapa peniaga dari rantau Asia Tenggara.

Sebelum ini Ikhlas menyatakan mengalami kerugian hampir puluhan ribu ringgit berikutan himpunan BERSIH 2.0 dan 3.0 sehingga bertindak membuka gerai burger di hadapan rumah Ambiga pada 10 Mei lalu tetapi kenyataan terbaru itu memberi gambaran berlainan.

Mengulas lanjut, Ambiga menjelaskan perkara itu sengaja dijadikan isu dengan memberi gambaran bahawa penganjuran BERSIH membuatkan peniaga mengalami kerugian.

“Persoalannya isu ini bukan melibatkan BERSIH sahaja tetapi juga yang lain. Kalau ada acara lain dengan jalan ditutup seperti sambutan Hari Kemerdekaan dan sebagainya, tetapi kalau mereka membuka perniagaan mungkin akan mendapat untung kerana kalau dilihat gerai makanan dan minuman yang dibuka beroleh untung yang banyak,” katanya.

Categories
NASIONAL

BERSIH: SUHAKAM Perlu Tubuh Jawatankuasa Bebas Siasat Kekasaran Polis

KUALA LUMPUR 16 MEI: BERSIH 2.0 mendesak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menubuhkan suruhanjaya bebas bagi menyiasat segera kekasaran yang dilakukan polis terhadap peserta himpunan Duduk Bantah pada 28 April lalu.

Satu memorundum diserahkan oleh Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk A Samad Said dan Datuk S Ambiga kepada Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam beserta enam dakwaan terhadap polis.

Turut hadir sama adalah Peguam Lawyers For Liberty, Fadiah Nadwa Fikri dan Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah.

Enam dakwaan tersebut adalah:

*Ketidak wajaran penggunaan gas pemedih mata dan semburan air kimia termasuk melepaskan tembakan secara terus kepada peserta himpunan.

* Kekasaran polis terhadap peserta himpunan termasuk mengasari mereka selepas ditahan.

*Menangkap, mencederakan petugas media selain merampat peralatan media.

* Menahan secara rambang peserta perhimpunan tanpa mendedahkan senarai nama mereka yang disyaki terlibat kepada umum.

*Kekasaran terhadap peserta perhimpunan selain menahan individu tanpa alasan yang memakai t-shirt BERSIH.

*Kegagalan polis mempamerkan butiran pengenalan peribadi seperti nama dan nombor identiti mereka.

Ambiga dalam sidang media berkata, penubuhan suruhanjaya bebas ini penting bagi menjelaskan kepada umum keadaan sebenar pada hari kejadian dan pihak SUHAKAM akan memutuskan perkara ini dalam masa terdekat.

Beliau mengulangi desakan BERSIH 2.0 yang mahu semua senarai nama mereka yang dikehendaki polis dipaparkan kepada umum melalui media dan bukannya memaparkan gambar kepada umum semata-mata.

“Mereka belum memutuskan sama ada akan mengadakan siasatan atau tidak. Ada kemungkinan mereka akan mengadakan mesyuarat minggu hadapan untuk memutuskan perkara ini,” katanya.

Bersih 2.0 juga menuntut jaminan polis agar mana-mana individu yang menyerah diri bagi membantu siasatan berada dalam keadaan selamat tanpa dicederakan selain dibenarkan untuk membawa peguam.

Awal minggu ini menyaksikan seorang peserta BERSIH 3.0, Mohd Safuan Mamat @ Nordin tampil menyerah diri membantu siasatan di balai Polis Dang Wangi namun dicederakan menggunakan batang paip hitam di dalam lokap.

Lebih mengejutkan, seorang tahanan turut menampar beliau sebanyak empat kali dan polis hanya memerhatikan tindakan berkenaan.

Beliau diminta untuk mengaku bersalah atas kejadian memusnahkan kereta polis dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jalan Duta.

Safuan dibebaskan dengan ikat jamin RM1,500 turut diminta melaporkan diri di Balai Polis Merchang, Terengganu pada minggu pertama setiap bulan sehingga selesai perbicaraan.

Categories
NASIONAL

Pak Samad : “Jangan Hiraukan Kenyataan Menteri Dalam Negeri”.

SHAH ALAM, 14 MEI: Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein bahawa terdapat unsur semasa perhimpunan BERSIH 3.0 yang mahu menyebabkan kematian tidak perlu diambil perhatian.

Demikian menurut Pengerusi Bersama Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 3.0) Datuk A. Samad Said ketika dihubungi TVS petang ini.

Menurut beliau kenyataan tersebut boleh dianggap sebagai andaian kerajaan pusat untuk memberikan gambaran negatif terhadap BERSIH 3.0.

“Untuk saya, itu andaian mereka. Itukan sesuatu yang kita tidak tahu hasrat orang jadi kita cuma boleh buat andaian sahajalah dan kita boleh buat tohmahan untuk menyebelahi kita.

“Saya sendiri fikir, itu tidak payah diambil berat. Benda semacam itu akan bertingkat-tingkat dan berkembang-kembang.

“Memang tak perlu dilayan, sebab mantan IGP (Ketua Polis Negara) sudah kata, mantan Perdana Menteri sudah kata, ini pula Menteri Dalam Negeri pun sudah kata dan nanti akan banyak lagilah yang akan berkata,? kata Samad yang lebih dikenali Pak Samad.

Menurut Sasterawan Negara itu lagi, pihak berkuasa sepatutnya menubuhkan sebuah jawatankuasa yang mampu menjalankan siasatan lebih adil.

“Apa yang harus berlaku adalah seperti yang disarankan mengadakan suatu pemeriksaan yang lebih rasmi, yang lebih adil barangkali untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa yang khusus daripada membiarkan hal ini agak merayau dan berselerak,” ujar beliau.

Samad turut memberitahu jawatankuasa BERSIH 3.0 pada masa ini masih belum membincangkan samada akan mengadakan satu lagi perhimpunan BERSIH atau BERSIH 4.0.

“Itu masih dalam khayalan lagi, sebab masih jauh lagi, tetapi ada orang yang menginginkannya, itu biasalah.

“Kami akan adakan mesyuarat untuk bincangkannya nanti, saya tak dapat beritahu sekarang, nanti kalau ia berlaku saya akan maklumkan,” kata beliau.

Samad memberitahu lagi, BERSIH 3.0 bukanlah mengejar jumlah penyertaan yang besar semata-mata tetapi mahukan mesej perhimpunan dapat disampaikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.

Categories
NASIONAL

Pindaan Akta Pilihanraya Wujudkan Pilihanraya Yang Tidak Telus

SHAH ALAM, 23 APRIL : Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini disifatkan sebagai tidak menepati tuntutan rakyat (BERSIH) dan Jawatankuasa Penambahbaikan Pilihanraya (PSC).

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, pindaan ini bakal mewujudkan sebuah pilihanraya yang tidak telus.

“Pindaan ini sememangnya tidak menyebelahi tuntutan rakyat yang dicadangkan oleh PSC, kita (Pakatan Rakyat) telah berusaha membetulkan semua ini dalam sesi perbahasan di  Dewan Rakyat.

“Oleh itu, hanya tinggal jalan terakhir iaitu protes rakyat menerusi BERSIH 3.0 yang akan di adakan hujung bulan ini,”ujarnya.

Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mula dibentangkan pada 9 April lalu, bagaimana pun diluluskan sepuluh hari kemudian selepas melalui sesi perbahasan hanya lebih kurang tujuh jam.

Antara pindaan yang dilakukan ialah memperluaskan sempadan bagi orang ramai yang menunggu atau berdiri berdekatan dengan pusat mengundi pada hari pengundian kecuali bagi mereka yang mengundi daripada 50 meter kepada 100 meter .

Selain itu, pindaan baru ini juga membataskan wakil calon untuk berada di ‘barong panas’ Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada hari mengundi atas alasan memastikan petugas SPR tidak terganggu selain memberi keselesaan kepada pengundi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, sewajarnya pindaan tersebut memikirkan jalan penyelesaian berhubung masalah pokok seperti daftar pemilih yang mencurigakan.

“Apa yang menjadi masalah untuk mengekalkan agen parti di barong berhampiran SPR, kalau hujah mereka agen calon menganggu di barong SPR bermakna bahawa agen pungutan undi (Polling Agent) juga tidak sewajarnya ada di situ.

“Ini bukan isu ganggu atau tidak ganggu, yang dikhuatiri berlaku penyelewengan ketika itu, maka berhak untuk mana-mana agen untuk membantah,”jelasnya yang juga Naib Presiden PAS.