Categories
BUDAYA RENCANA

Bukit Besi bukan sekadar sejarah perlombongan, wujud perkampungan antarabangsa

DUNGUN, 16 OKT: Sejarah perlombongan di Bukit Besi bukan sahaja memaparkan memori peninggalan penjajah dalam sosioekonomi penduduk tempatan, tetapi juga bukti wujudnya perkampungan antarabangsa di negara ini sejak 1929.

Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun Wan Mohd Rosli Wan Ngah berkata pada era kegemilangannya, kawasan itu didiami warga British, Amerika, Kanada, Australia, Belanda, Jerman, Afrika Selatan, India dan China.

Katanya, tumpuan warga asing di situ menjadikan Bukit Besi dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuklah kolam renang pertama di Malaysia yang lengkap dengan papan anjal, dibina sekitar 1950-an.

Miniatur yang terdapat di Muzium Bukit Besi memaparkan aktiviti perlombongan bijih besi ketika itu dan menggunakan kereta api untuk membawa bijih besi ke pelabuhan untuk dieksport ke luar negara. Foto BERNAMA

“Bukit Besi adalah nadi pertumbuhan ekonomi yang penting dalam negara khususnya di Terengganu apabila sebuah syarikat dari Jepun, Kuhara Mining Limited diberi lesen oleh kerajaan negeri memulakan aktiviti perlombongan pada Mei 1930.

“Ia sentiasa beroperasi 24 jam dan penempatan pekerjanya dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk stesen keretapi, sekolah, balai polis, hospital dan pawagam. Ia berlaku ketika syarikat dari British, Eastern Mining Metal Company (Emmco) mengambil alih perlombongan bermula 1950. Ketika itu, Bukit Besi sangat terkenal setaraf Kuala Lumpur dan Singapura,” katanya kepada Bernama sempena pembukaan hari pertama Muzium Bukit Besi di sini, semalam.

Menurut Wan Mohd Rosli, menyedari kehebatan di sebalik sejarah kegemilangan industri perlombongan bijih besi itu, beliau bersama 130 ahli persatuan berusaha mengumpul pelbagai maklumat dan bukti agar dapat dijadikan rujukan pada masa akan datang.

Susulan itu, sebuah galeri perlombongan diwujudkan di pejabat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Cawangan Bukit Besi pada 2002.

“Sejak itu, usaha berterusan dilaksanakan hinggalah terbinanya Muzium Bukit Besi yang membolehkan pengunjung melihat gambar penduduk ketika itu dan peralatan melombong, malah ada juga data penduduk asing yang dilahirkan di situ.

“Sebab itulah, kita menjangkakan muzium ini bukan sahaja akan dikunjungi rakyat negara ini tetapi juga waris warga asing yang mempunyai nilai sentimental tersendiri dengan Bukit Besi. Malah sehingga kini ramai waris dari Kanada, Australia dan Amerika Syarikat sering datang ke sini untuk mengimbau semula kenangan manis ayah, ibu, datuk dan nenek mereka yang pernah bekerja di sini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai cabaran mengumpulkan semua koleksi bersejarah di situ, beliau berkata pihaknya bukan sahaja perlu mencari semula bekas pekerja yang pernah tinggal di Bukit Besi tetapi juga berhubung dengan waris warga asing.

Tambahnya, sebahagian peralatan yang dipamerkan dibeli daripada pemilik asal dan waris, tetapi ada juga yang disumbangkan oleh waris warga asing dari Kanada dan Australia sebagai kenangan untuk diabadikan di muzium ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun Wan Mohd Rosli Wan Ngah (tiga, kiri) menerangkan kepada pengunjung mengenai aktiviti perlombongan bijih besi ketika ditemui di Muzium Bukit Besi. Foto BERNAMA

“Cuma, ada satu artifak yang masih kita usahakan iaitu keretapi lama yang digunakan di Bukit Besi. Agak sukar mahu mendapatkan keretapi yang sebenar untuk diletakkan di muzium ini. Ia adalah simbol kegemilangan dan kemajuan sektor pengangkutan darat hasil aktiviti perlombongan dari Bukit Besi ke pelabuhan di Dungun,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Rosli berkata pengunjung berpeluang masuk ke situ secara percuma sehingga satu tempoh yang akan ditetapkan kelak. Pengunjung juga akan didedahkan dengan lebih terperinci tentang pemprosesan bijih besi bermula dari kerja-kerja perlombongan hinggalah bahan mentah itu dieksport ke luar negara.

Sementara itu, beberapa pengunjung yang ditemui Bernama mengakui mereka teruja dapat melihat semula nostalgia kehidupan pada masa dahulu dan menghargai kesungguhan kerajaan yang komited membina muzium berkenaan.

Wan Mohamad Hazman Wan Ramli, 51 berkata muzium itu adalah bukti betapa tabahnya generasi terdahulu mengharungi liku-liku kehidupan meskipun terpaksa bekerja di bawah syarikat asing pascaperang dunia kedua ketika itu.

“Generasi sekarang terutama rakyat Terengganu perlu mengambil iktibar dan roh perjuangan nenek moyang mereka demi meneruskan kelangsungan hidup ke arah yang lebih baik,” katanya.

Bagi Fatimah Tambon, 67 yang pernah menetap di situ ketika suaminya bekerja di Bukit Besi, kewujudan muzium itu dapat mengembalikan kenangan manisnya kerana ia adalah penempatan yang sangat moden dan menjadi kebanggaan ramai ketika itu.

“Ia adalah titik permulaan kehidupan yang lebih berkualiti kerana syarikat perlombongan sangat menjaga kebajikan kami semua.

“Peluang menjadi sebahagian komuniti Bukit Besi secara tidak langsung mengubah kehidupan kami sekeluarga kerana lebih berfikiran positif dan berjiwa besar hasil asimilasi bersama penduduk dari pelbagai negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tiga muzium negeri dibuka semula, pelawat digalak buat janji temu

SHAH ALAM, 2 OKT: Tiga muzium dan satu monumen di negeri ini dibuka semula kepada pengunjung sejak semalam setelah Selangor beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Muzium berkenaan ialah Muzium Pertanian dan Perikanan Sabak Bernam, Muzium Kuala Selangor, Muzium Jugra dan Istana Bandar, Banting, menurut Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (Padat).

Pegawai penerangannya berkata kapasiti bagi pengunjung di setiap muzium seramai 15 orang manakala 50 individu dibenarkan melawat monumen pada satu-satu masa.

“Kita menggalakkan pelawat membuat janji temu berbanding hadir terus. Mereka tetap boleh melawat tanpa janji temu tetapi bergantung kehadiran pelawat ketika itu dan perlu menunggu giliran,” kata Farhani Shamsudin.

Beliau berkata semua lokasi berkenaan dinyahkuman sebelum dibuka kepada umum dan mereka yang ingin membuat janji temu boleh menghubungi Unit Perhubungan Awam Padat di talian 03-55190050.

Kerajaan melonggarkan tatacara operasi piawai (SOP) fasa satu PPN bagi industri kreatif untuk individu lengkap divaksin mulai 9 September.

Categories
AGENDA NASIONAL

Daftar e-janji temu sebelum masuk muzium mulai Sabtu

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Keputusan membuka semula secara serentak tujuh muzium di tiga negeri termasuk yang berada bawah fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 2 Oktober ini, dibuat dengan mengambil kira tatacara operasi ketat yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Tujuh muzium berkenaan ialah Muzium Negara, Muzium Etnologi Dunia Melayu, Muzium Seni Kraf Orang Asli, Muzium Muzik, Muzium Tekstil Negara di Kuala Lumpur; Muzium Automobil Nasional di Selangor dan Muzium Seni Bina Malaysia di Melaka.

Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelawat tidak digalakkan datang secara jumpa terus, namun hanya dibenarkan masuk dengan mendaftar lebih awal secara dalam talian melalui e-janji temu pada pautan http://www.jmm.gov.my/ms/content/janjitemu.

“Pelawat berusia 17 tahun dan ke bawah turut dibenarkan mengunjungi muzium dengan ditemani ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksin,” menurut kenyataan itu.

Antara tatacara operasi piawai (SOP) yang perlu dipatuhi pengunjung untuk melawat muzium berkenaan adalah mesti lengkap divaksin dan telah cukup tempoh matang 14 hari serta berstatus risiko rendah termasuk kontak kasual risiko rendah menerusi aplikasi MySejahtera.

JMM memaklumkan waktu operasi muzium-muzium JMM yang berada bawah fasa satu dan dua PPN bermula pada 9 pagi hingga 4 petang setiap hari kecuali Isnin (minggu pertama setiap bulan).

Tiga lagi muzium sudah dibuka kepada orang ramai iaitu Muzium Labuan, Muzium Marin Labuan di Wilayah Persekutuan Labuan dan Muzium Kota Kayang, Perlis, menurut kenyataan itu.

Muzium JMM lain pula akan dibuka secara berperingkat selepas selesai tempoh kerja-kerja penyelenggaraan pada tahun ini, kecuali Galeria Perdana, Langkawi, Kedah yang ditutup sejak awal tahun ini untuk kerja naik taraf mekanikal dan elektrikal serta reka bentuk hiasan dalaman pamerannya hingga Mac 2023.

Pada 9 September lepas, kerajaan memberikan kelonggaran kepada industri kreatif beroperasi pada fasa satu PPN dan susulan itu, JMM telah mula merancang pembukaan semula muzium-muziumnya terutama yang terletak di negeri berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPB: Empat muzium negeri ditutup hingga 6 Disember

SHAH ALAM, 10 NOV: Empat muzium di tiga daerah negeri ini ditutup hingga 6 Disember susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor memaklumkan penutupan melibatkan Muzim Sejarah Kuala Selangor dan Muzium Pertanian dan Perikanan Sabak Bernam.

Turut ditutup ialah Muzium Insitu Jugra dan Muzium Istana Bandar, kedua-duanya di Kuala Langat.

“Sejajar lanjutan tempoh PKPB di Selangor, muzium-muzium daerah di Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Kuala Langat ditutup untuk lawatan sehingga 6 Disember,” kata perbadanan itu dalam notis hari ini.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 03-55190050 atau 03-55103190 atau e-mel [email protected].

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Lima muzium pamer sejarah negeri

Sempena sambutan Hari Malaysia, Tourism Selangor memilih lima muzium bagi mengembalikan ingatan terhadap sejarah negeri, apatah lagi pelbagai keunikan termasuk tinggalan sejarah dapat disaksikan hingga ke hari ini. Wartawan NAZLI IBRAHIM memperinci keunikan muzium berkenaan.

Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor

– Terletak di puncak Bukit Malawati, Kuala Selangor, ia pusat pentadbiran awal Selangor yang diasaskan Raja Lumu (Sultan Sallehudin) sekitar 1766 sekali gus mercu tanda perkembangan awal institusi Kesultanan Melayu Selangor

– Kini berusia lebih 200 tahun. Pusat pentadbiran itu kemudian berpindah ke Bukit Jugra, Kuala Langat pada pemerintahan sultan keempat, Sultan Abdul Samad Tengku Abdullah

– Dijadikan kediaman rasmi pegawai daerah sekitar 1960 sebelum diubah suai pada 2006 untuk dijadikan muzium bersejarah kesultanan Selangor

– Menyimpan maklumat penubuhan negeri secara kronologi termasuk catatan asal usul nama Selangor, penaklukan Kota Melawati oleh Belanda dan serangan balas Sultan Ibrahim yang merampas kembali kota itu

– Sisa kubu pertahanan yang dibina semasa serangan Belanda dan tangga seratus yang digunakan pedagang untuk ke istana selepas menambat perahu di Pengkalan Batu Buruk masih boleh dilihat

Muzium Insitu Jugra

– Terletak di Kuala Langat, ia asalnya sebuah balai polis atau dikenali rumah pasung yang dibina pada pemerintahan Sultan Abdul Samad Tengku Abdullah pada 1878 sekali gus membuktikan zaman itu memiliki sistem perundangan moden

– Digunakan ketika Jugra menjadi pusat pemerintahan Kesultanan Melayu Selangor sebelum pentabdiran itu berpindah ke Klang pada 1882

– Antara yang dapat disaksikan adalah keunikan struktur binaan penjara, mahkamah mini, peralatan penjara seperti gari, perigi lama di samping kesan tapak cari gali arkeologi

Pusat Warisan Kajang

– Menyimpan sejarah dan warisan Kajang hampir 200 tahun lalu di Jalan Mendaling, Kajang

– Menonjolkan sejarah perkembangan masyarakat di Kajang termasuk aspek pekerjaan, pengangkutan dan bangunan lama

– Mempamer ketulan bijih timah dan dulang kayu yang digunakan masyarakat tempatan serta Mandailing di beberapa lombong sekitar Kajang. Ia ada kaitan dengan sejarah pembukaan daerah Kajang pada 1870-an

– Merupakan salah satu daripada enam hentian bagi perjalanan (tour) Kajang Heritage Walk

Muzium Sultan Alam Shah

– Terletak di Seksyen 14, Shah Alam, premis berkeluasan 135,000 kaki persegi dibina pada 1974. Ia diberi nama sempena Sultan Selangor ketujuh, Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj. Reka bentuknya berdasarkan seni bina Minangkabau

– Menyimpan hampir 4,000 artifak termasuk era manusia terawal menduduki Selangor. Paling terkenal ialah gendang Dong Son dari zaman gangsa, sejarah Selangor pada zaman Kerajaan Portugis, Belanda dan Bugis

– Pameran seni dan budaya etnik di Selangor seperti Bugis, Jawa, Minang, Banjar, Mandailing, Rawa dan lain-lain termasuk pakaian, alat muzik, alat serta senjata juga diperaga

– Bahagian luar menempatkan pameran kereta perisai Ferret, sistem radar, kapal terbang, lokomotif dan kereta pertama bekas Menteri Besar Selangor

Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz

– Hasil cetusan idea Yang di-Pertuan Agong ke-11, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

– Ditempatkan di Bangunan Sultan Sulaiman di Jalan Kota, Klang dan dinamakan sebagai Muzium Kenangan pada 1988

– Sultan kesembilan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan Bangunan Sultan Suleiman dijadikan galeri diraja yang baharu pada 2005.

– Pernah dijadikan pejabat pentadbiran British pada zaman kolonial sebelum Jepun menjadikannya markas perang pada Perang Dunia kedua

– Memuatkan gambaran zaman kanak-kanak dan tahun awal Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj sebagai putera mahkota, kerjaya ketenteraan dan pejabat awam sebelum ditabal sebagai sultan kelapan pada 1960

– Koleksi Diraja termasuk artifak dan hadiah peribadi yang luar biasa selain replika permata mahkota Selangor

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Masjid Hagia Sophia di Turki dibuka semula selepas 86 tahun

ISTANBUL, 25 JULAI: Masjid Hagia Sophia yang terkenal di Turki dibuka semula untuk ibadah buat pertama kalinya selepas 86 tahun dengan solat Jumaat, lapor agensi Anadolu.

Monumen ikonik itu berfungsi sebagai gereja selama 916 tahun sehingga penaklukan Istanbul, dan sebuah masjid dari tahun 1453 hingga 1934 – hampir 500 tahun – dan terakhir sebagai muzium selama 86 tahun.

Salah satu bangunan bersejarah di Turki paling banyak dikunjungi pelancong tempatan dan antarbangsa, pada 1985, semasa dijadikan muzium, Hagia Sophia dimasukkan dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO.

Pada 10 Julai, sebuah mahkamah Turki membatalkan keputusan Kabinet 1934 yang menjadikan Hagia Sophia sebagai muzium, membuka jalan untuk ia digunakan kembali sebagai masjid selepas 86 tahun.

Di era baru Hagia Sophia, Pengarah Hal Ehwal Agama Turki  memantau perkhidmatan keagamaan di masjid, sementara Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan pula mengawasi kerja-kerja pemulihan serta pemuliharaan.

Khazanah seni bina itu juga  dibuka untuk pelancong domestik dan luar secara percuma.

Pada Khamis, pihak berkuasa tertinggi agama Turki melantik tiga imam dan lima muazin untuk Masjid Hagia Sophia.

Ketua Hal Ehwal Agama Turki (Diyanet) Ali Erbas berkata Mehmet Boynukalin, Ferruh Mustuer, dan Bunyamin Topcuoglu dilantik sebagai imam masjid.

Boynukalin adalah seorang profesor di Jabatan Sains Agama Universiti Marmara.

Menurut Erbas, mereka melantik ulama terkenal sebagai imam sesuai dengan tradisi Uthmaniyyah.

Selain itu Mustuer dan Topcuoglu telah memenangi pertandingan membaca al-Quran antarabangsa.

Ketika solat berlangsung, lukisan, gambar, dan mozek ditutup dengan tirai dan dibuka semula selepas selesai.

Pada Khamis, Presiden Turki melancarkan plat nama baharu Masjid Hagia Sophia.

-BERNAMA

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Tarik pelancong lawati muzium, usaha tayangan teater

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 OGOS: Dalam usaha menarik pelancong melawat ke muzium, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) mengambil langkah untuk mengadakan sesi tayangan teater tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif, PADAT, Dato’ Paiman Keromo berkata, usaha itu bertujuan mengimbau kembali sejarah zaman dahulu dan sejarah permulaan Selangor terutamanya.

“Kita jadikan ia sebagai watak hidup supaya ramai akan tertarik untuk menonton dan pada masa sama mereka pasti lebih memahami mengenai sejarah tersebut.

“Usaha mengadakan tayangan teater ini selain menarik pelancong datang ke muzium ia juga dapat menambah pendapatan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dengan mengambil contoh seperti negara Indonesia yang menayangkan teater Ramayana yang kini mampu menarik tiga juta pelancong dan boleh mendapat pendapatan hampir RM300 juta setahun.

Paiman berkata, untuk sampai ke tahap seperti Indonesia bukan sesuatu yang mudah namun pihaknya akan berusaha menyenglongkar kembali sejarah Selangor terutamanya untuk tatapan umum selain menarik pelancong.

Selain itu, beliau berkata, PADAT kini sedang dalam proses mahu membangunkan produk pelancongan di Selangor dengan memantapkan lagi promosi.

“Produk pelancongan kita sudah ada cuma kita mahu memajukan lagi dengan menyediakan pakej yang bersesuaian kerana apabila pelancong datang ke sini, mereka dapat memilih pakej yang disediakan.

“Pada tahun ini, Muzium Sultan Alam Shah juga menawarkan pakej lawatan khusus bagi pelancong luar negara yang berpotensi untuk dijadikan sebagai tarikan baharu bagi muzium,” katanya.

Sementara itu, Paiman berkata, pada minggu kedua setiap bulan, pihaknya ada menganjurkan pertunjukan kebudayaan di Muzium Sultan Alam Shah yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

“Kita amat mengalu-alukan orang ramai untuk hadir dan melihat sendiri budaya negeri Selangor ini.

“Kerana kita kini dalam usaha ingin memartabatkan negeri di peringkat antarabangsa dan mengangkat identiti Selangor di persada dunia,” katanya.

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

2,583 pelajar bermalam di muzium, Selangor tuan rumah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 OGOS: Seramai 2,583 pelajar berusia linkungan 13 hingga 17 tahun bermalam selama dua hari satu malam di muzium seluruh Malaysia manakala Muzium Sultan Alam Shah, Selangor selaku tuan rumah, pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT), Dato’ Paiman Keromo berkata, Program Bermalam di Muzium itu merupakan salah satu program utama Jabatan Muzium Malaysia (JMM).

“Program Bermalam di Muzium merupakan satu usaha institusi muzium untuk menerapkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai pentingnya pemahaman dan menghargai sejarah, budaya serta warisan negara.

“Sememangnya program ini tidak asing lagi di negara kita dan di Selangor baru memasuki tahun kedua penganjurannya namun sambutan diterima amat menggalakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian “Bermalam di Muzium” yang diadakan di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah, di sini, semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Sementara itu, Paiman berkata, penglibatan peserta pada tahun ini meningkat kepada 160 pelajar berbanding tahun lalu hanya 120 peserta sahaja.

“Ia sekaligus menjadikan Muzium Sultan Alam Shah menerima penyertaan paling tinggi di seluruh Malaysia. Tahniah saya ucapkan.

“Pertambahan angka ini membuktikan bahawa muzium kekal relevan dan mampu menarik minat generasi muda bagi mendekati serta menghargai khazanah budaya bangsa kita,” katanya.

Menariknya, setiap peserta yang mengikuti program itu bakal terdedah dengan dua segmen menarik antaranya mereka akan diterangkan mengenai pentingnya menghargai kemerdekaan malalui aktiviti cintakan negara dan setia kawan.

Manakala, segmen kedua mereka akan didedahkan dengan aktiviti berunsurkan budaya menerusi perihal muzium supaya tidak lupa mengenai asal usul serta tamadun negara.

Penganjuran Program Bermalam di Muzium sudah dipelopori oleh Muzium Negara bermula tahun 2005 bersempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia.

Program itu mendapat sambutan cukup hangat dalam kalangan peserta sehingga ia dijadikan sebagai acara wajib Muzium Negara pada saban tahun.

Malah, kejayaan program itu merintis pelaksanaan program seumpamanya yang sehingga kini sebanyak 35 muzium mengambil bahagian untuk turut sama menganjurkannya.

Antara muzium terlibat adalah Muzium Sungai Lembing (Pahang); Muzium Terengganu; Muzium dan Galeri Universiti Sains Malaysia (USM); Muzium Perak; Muzium Tekstil Negara dan Muzium Sabah.

Categories
SELANGOR

Pengunjung muzium catat peningkatan

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 MEI: Pengunjung muzium di bawah Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) dijangka terus meningkat tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Faizul Fitri Muslil, berkata ‘trend’ kehadiran pengunjung kebiasaannya melebihi daripada sasaran dibuat.

muzium1“Seperti tahun lepas, Muzium Sultan Alam Shah mencatatkan seramai 189,195 pengunjung iaitu sepuluh peratus lebih daripada sasaran PADAT.

“Dengan kerja naik taraf yang sedang dilakukan dan pelbagai program, kita yakin jumlahnya akan meningkat lagi,” katanya kepada SelangorKini.

Selain Muzium Sultan Alam Shah, PADAT turut menguruskan tiga muzium lain iaitu Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor, Muzium Insitu Jugra, Muzium Pertanian dan Perikanan Sabak Bernam serta Muzium Permainan Tradisional Rakyat Kuala Selangor.

Pada 2015, Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor mencatatkan seramai 184,401 pengunjung, Muzium Insitu Jugra (6,988) dan Muzium Pertanian dan Perikanan Sabak Bernam (16, 241).

Muzium Permainan Tradisional Rakyat di Bukit Malawati terbakar pada 2011 dan masih dalam proses pembaikan dan pemulihan.

EZY

Categories
SELANGOR

Kaji 53 batu nesan lama

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 JUN: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) akan mengkaji sejumlah batu nesan lama Acheh yang ditemui di Kuala Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Faizul Fitri Muslil, berkata kajian penting bagi mengenal pasti kesahihannya sebelum ia boleh dipamer kepada umum.

nesan“Jabatan Kuratur Muzium Sultan Alam Shah sedang mengkaji bagi mendapatkan data dan bukti termasuk usia batu nesan itu.

“Ada lebih kurang 53 batu nesan semuanya,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Selangor 2015, 9 Jun lalu.

Mohd Faizul berkata, penemuan itu penting dan mampu menjadi tarikan orang ramai untuk berkunjung ke muzium berkenaan.

Beliau berkata, PADAT juga berusaha memindahkan Rumah Bugis ke perkarangan muzium bagi menambahkan koleksi bahan sejarah.

“Kita jalankan pelbagai program dan aktiviti berterusan bagi menarik minat orang ramai ke muzium,” katanya, menambah peruntukan RM8.9 juta ada disediakan Kerajaan Selangor.

Categories
SELANGOR

Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 9-15 Jun

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 JUN: Hari Muzium Antarabangsa peringkat Selangor 2015 berlangsung di Muzium Sultan Alam Shah, Klang, mulai 9 hingga 15 Jun ini.

Program anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) bersempena dengan sambutan Hari Muzium Antarabangsa pada 18 Mei setiap tahun.

muzium1Bertemakan ‘Muzium Untuk Masyarakat Lestari’, sambutan kali ini bertujuan menarik perhatian dan minat orang awam untuk berkunjung ke muzium, memperkenalkan fungsi dan perkhidmatan disediakan muzium.

Selain itu ia memberi peluang kepada kakitangan muzium berinteraksi dengan masyarakat.

Bagi menarik lebih ramai pengunjung, pelbagai program dan aktiviti disediakan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

Antaranya seperti demo perkahwinan Melayu Selangor, pertandingan grafiti, bengkel peracuan artifak, wacana muzium, ceramah agama, pertandingan melukis dan mewarna serta program komuniti bersama rumah kebajikan Safiyyah Homes.

Program berlangsung sepanjang enam hari ini bakal dirasmikan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Untuk maklumat lanjut mengenai sambutan ini boleh melayari www.padat.gov.my atau hubungi Unit Korporat PADAT di talian 03 – 5519 0050 / 7604.

EZY

Categories
SELANGOR

Hari Muzium Antarabangsa 14-18 Mei tampil pelbagai acara menarik

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM 12 MEI: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia akan menganjurkan Hari Muzium Antarabangsa peringkat kebangsaan bermula dari 14 Mei hingga 18 Mei ini.

Pegawai Penerangan Padat, Farhani Shamsudin berkata, pameran sambutan Hari Muzium Antarabangsa dirayakan pada 18 Mei oleh muzium di seluruh dunia.

banner 1 copy“Sambutan ini yang diadakan secara bergilir-gilir oleh muzium-muzium di Malaysia diadakan bertujuan bagi memberi peluang dan kesempatan kepada masyarakat untuk mengunjungi dan mengenali muzium dengan lebih dekat serta menarik minat masyarakat dalam melindungi warisan budaya bangsa.

“Selain itu sambutan ini juga merupakan tanda penghargaan terhadap sumbangan dan peranan yang dimainkan oleh muzium kepada masyarakat dan negara,” katanya menerusi satu kenyataan media.

billboard aturcara

Terdapat banyak program dan aktiviti yang telah diatur sepanjang lima hari sambutan ini antaranya seperti persembahan kebudayaan Pameran dari pelbagai muzium di Malaysia adalah karnival muziumpertunjukan motorsikal dan basikal antik, pertandingan menghias kereta dan demonstrasi seni silat.

Selain itu terdapat permainan tradisional dan perlawanan sukan, seminar permuziuman, bengkel cempuling, program bual bicara agama, kenduri nasi ambeng, kembara muzium, program muzium bersama komuniti, lawatan ke Bukit Melawati dan banyak lagi.

EZY