Categories
SELANGOR

Persekutuan harus bangun program Sungai Nadi Kehidupan di Selangor

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan Persekutuan harus benar-benar jujur dan ikhlas dalam membantu pembangunan di Selangor ekoran negeri itu penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata sumbangan 23 peratus Selangor terhadap KDNK sewajarnya dilihat Kerajaan Persekutuan dan program pembangunan seperti Sungai Nadi Kehidupan (River Of Life – ROL) seharusnya juga dilakukan di negeri itu.

“Saya sudah membawa perkara ini dalam Majlis Sumber Air Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beberapa minggu lalu dan perkara sama dibangkitkan dalam perbahasan sidang Dewan Rakya, baru-baru ini.

IMG_5828“Jika Kerajaan Persekutuan jujur dan ikhlas ingin menyumbangkan kepada Kerajaan Negeri, maka projek ini mesti disambung terus ke Selangor kerana ia juga tanggungjawabnya,” katanya dalam sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2016 di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab isu dibangkit Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (Keadilan-Kajang) dan menjelaskan projek itu hanya dijalankan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta dihentikan apabila menghampiri sempadan Selangor.

ROL antara lain bertujuan untuk mengubah kawasan tertentu di Kuala Lumpur yang menghadap Sungai Klang supaya mempunyai nilai ekonomi dan komersial tinggi dengan dibahagi kepada tiga bahagian iaitu pembersihan dan pengindahan sungai serta kemajuan tanah.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menerima kertas cadangan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berkenaan pembinaan jalan alternatif di Kampung Batu 10, Cheras.

kampungBaru“Bagaimanapun tiga cadangan itu mengakibatkan pengambilan tanah dengan kos cukup tinggi. Kita sedang melihat cadangan lain yang boleh diselesaikan dengan persetujuan penduduk dan wakil rakyat sendiri,” katanya menjawab isu disentuh Razaly Hassan (PAS-Dusun Tua).

Beliau berkata, isu Kampung Mampir di DUN Dusun Tua turut mendapat perhatian Kerajaan Negeri bagi jalan penyelesaian.

Katanya, disebabkan penduduk menduduki tanah itu adaalah Melayu dan keturunan Indonesia tetapi tidak menepati syarat untuk menduduki tanah rezab Melayu, maka perbincangan lanjut bersama wakil rakyat dan penduduk akan dijalankan.

“Perkara ini boleh kita selesaikan dengan menbatalkan tanah rezab Melayu itu dengan menggantikan dengan tanah lain. Namun, terdapat masalah lebih rumit memandangkan pembinaan rumah terlalu padat di atas tanah seluas 1.26 hektar dan tidak teratur membabitkan masalah rezab jalan.

“Kerajaan Negeri bercadang untuk berbincang jika penduduk bersedia bagi mendapatkan hak milik tanah dengan persetujuan kerana kerja perobohan harus berlaku,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB: BN kering idea, hanya kritik istilah

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 NOV: Kekeringan idea menyebabkan Adun pembangkang Barisan Nasional (BN) hanya mampu menumpukan isu penggunaan beberapa istilah seperti ‘SmartSelangor’ dan mempersendakan perasaan sebak Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2016.

Mohamed Azmin berkata, beliau menerima kritikan itu sebagai sebahagian daripada asam garam yang perlu ditempuhi seorang ahli politik dan juga Menteri Besar.

MB Azmin“Saya mengambil maklum dan berterima kasih atas nasihat yang diberikan. Malangnya, fokus pembangkang lebih kepada istilah seperti ‘Smart Selangor’ dan itu jadi asas kritikan belanjawan kali ini.

“Tak apalah, bagi saya itu sepak terajang politik mereka dan istilah ini dah lama diguna pakai di negara maju (yang Bahasa Inggeris bukan bahasa utama) seperti Perancis, Jerman dan Jepun.

“Mereka turut menyinggung ketika pembentangan belanjawan mengatakan saya sebak dengan mengatakan ini adalah air mata yang tidak boleh dipercayai tetapi ini menyatakan tanggungjawab sebuah kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Belanjawan Selangor 2016 di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mohamed Azmin menganggap kedudukan sebagai Menteri Besar adalah satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikulnya bukan satu keistimewaan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB: Sedia kaji saham air untuk rakyat

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan Negeri sedia mengkaji cadangan yang dikemukakan bekas Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menerbitkan saham industri air di Selangor kepada rakyat selepas proses pengambilalihan selesai.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, berkata kajian rancangan itu akan dibuat selepas proses pengambilalihan diselesaikan walaupun idea berkenaan tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

azmin sidang“Idea ini dicetuskan mantan Menteri Besar sebelum ini tetapi tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat MMKN.

“Bagaimanapun, Syarikat Air Selangor sedia mengkaji cadangan menerbitkan saham industri air Selangor untuk rakyat negeri ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Belanjawan Selangor 2016 di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Terdahulu, Abdul Khalid ketika menduduki jawatan Menteri Besar Selangor mengumumkan akan menerbitkan saham selepas Kerajaan Negeri mengambilalih perindustrian air Selangor.

Bagaimanapun, beliau meletak jawatan sebelum sempat proses pengambilalihan industri air diselesaikan, pada September 2014.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Iktiraf UEC sekolah menengah persendirian Cina terima respon positif

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 NOV: Tindakan Kerajaan Negeri mengumumkan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi sekolah menengah persendirian Cina mulai tahun depan mendapat respon positif semua pihak.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri menerima semua pandangan dan teguran untuk menterjemahkan Belanjawan 2016 ke arah lebih baik.

“Banyak inisiatif dan respon positif yang kita terima. Selepas Kerajaan Negeri mengumumkan untuk mengiktiraf sijil UEC dengan kupasan Exco Pendidikan, Nik Nazmi Nik Ahmad.

azmin012“Apabila diumumkan inisiatif itu, ia mendapat respon yang cukup positif daripada semua pihak,” katanya dalam penggulungan Rang Undang-Undang Pembekalan di Sidang Dewan Negeri, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin turut memuji tindakan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Adenan Satem yang berani menyelar Kerajaan Persekutuan dengan menggelar ia sebagai bodoh dan tidak berasas.

Sebelum ini, Universiti Selangor (UNISEL) adalah universiti milik penuh Kerajaan Negeri yang akan mengiktiraf UEC bertujuan untuk menangani masalah penghijrahan cendekiawan yang semakin serius.

Katanya, hal itu juga kerana Kerajaan Negeri menyedari peranan besar yang dimainkan sekolah jenis kebangsaan Cina dalam membangunkan modal insan.

Statistik menunjukkan bahawa seramai 3,000 pelajar menamatkan pengajian mereka dengan UEC setiap tahun.

Pelajar-pelajar dari 60 sekolah menengah persendirian Cina menduduki peperiksaan menduduki peperiksaan yang diformulakan oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) setiap tahun.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Tempoh bayaran semula pinjaman KDEB dilanjut setahun

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri melanjutkan tempoh bayaran semula pinjaman Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) selama setahun bagi menyelesaikan proses pengambilalihan syarikat Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB).

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata lanjutan tempoh itu dibuat bagi membolehkan KDEB merancang pembayaran semula selepas KHSB menjadi milikan penuh dengan tarikh asal pembayaran semula seharusnya diselesaikan, pada 28 November ini.

azmin012“KDEB membuat pinjaman kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM413.20 juta yang bermula Jun 2013, namun masih gagal membuat bayaran semula.

“Pinjaman itu ikenakan caj pembiayaan empat peratus setahun berjumlah RM16.528 juta dan menjadikan jumlah keseluruhan pinjaman RM429.728 juta,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mohamed Azmin (PKR-Bukit Antarabangsa) berkata, setakat ini KDEB sudah membuat bayaran balik RM5 juta sahaja menjadikan baki pinjaman RM424.728 juta.

Namun, KDEB masih gagal memiliki KHSB 100 peratus ekoran keengganan pemegang saham minoriti terbesar, Seringan Capital untuk menjual saham mereka.

Bagaimanapun, KHSB sudah melaksanakan kaedah pengurangan modal terpilih dan pelaksanaan pembayaran (SCR) bagi menjayakan pengambilalihan penuh ikuiti.

“Beberapa rundingan sudah dijalankan KDEB bersama Seringan Capital dari bulan Mac hingga Oktober lalu memandangkan cadangan kaedah SCR perlu mendapat sokongan pemegang saham minoriti terbesar KHSB.

“Seringan Capital secara dasarnya bersetuju dengan cadangan ini. KDEB sudah berjaya mengambil alih RM8 juta saham KHSB daripada Seringan Capital hanya, pada Mac lalu.

KDEB 01“KDEB sudah menjalankan urusan mendapatkan proses untuk mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Sekuriti, bank dan pemiutang utama KHSB,” katanya.

Katanya, KHSB melalui EGM sudah mendapat kelulusan pemegang saham minoriti untuk pelaksanaan SCR pada 16 Oktober lalu, namun memerlukan kelulusan mahkamah.

Difahamkan, pendengaran mahkamah ditetapkan pada 6 November ini dan proses dokumentasi dijangka selesai pada 28 November ini.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Lebuh raya: Ambil kira keperluan dan pandangan penduduk 

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 NOV: Pembinaan lebuh raya di Selangor perlu mengambil kira keperluan dan pandangan penduduk serta mengikut pelan Pembangunan Berorientasi Transit (TOD) yang digariskan Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata pembinaan lebuh raya juga bukan penyelesaian mutlak kepada masalah mengurangkan kesesakan.

“Seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan Selangor 2016, tekanan pembangunan pesat melebihi kemampuan kapasiti pengangkutan sedia ada.

azmin-sidang“Kerajaan Negeri yakin pembangunan infrastruktur menjadi anjakan pengangkutan awam bersepadu dan lestari dengan menggunakan tanah optimum,” katanya yang menjawab soalan Shahrum Mohd Sharif (BN-Dengkil) berhubung pembinaan Lebuhraya Damansara Shah Alam (DASH).

Mohamed Azmin (PKR-Bukit Antarabangsa), berkata Kerajaan Negeri mengguna pakai Seksyen 20A Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang memperuntukkan jabatan atau agensi kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri harus berunding dengan Jawatankuasa Perancang Negeri berkenaan sebarang aktiviti pemajuan yang mahu dijalankan di negeri itu.

“Oleh itu, apabila dilantik menjadi Dato’ Menteri Besar, saya berjumpa dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan hasrat kumpulan ‘Say No To Dash’ berhubung isu berbangkit, pada 19 Mac lalu.

“Saya meminta kementerian dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk meneliti bantahan dan mengemukakan pilihan lain terus kepada penduduk yang tidak bersetuju dengan jajaran terakhir membabitkan kawasan Damansara Perdana,” katanya.

lebuh rayaBeliau difahamkan, proses perbincangan dengan penduduk bersama pihak bertanggungjawab sedang dilakukan dan Prolintas sedang melaksanakan reka bentuk baru untuk dikemukakan kepada penduduk sebelum keputusan terakhir dilakukan.

“Kerajaan Negeri juga menegaskan dalam pertemuan itu berkenaan hasrat kita yang mahu nisbah pengangkutan 60:40 berbanding Kerajaan Persekutuan 40:60,” katanya.

Lebuhraya DASH disahkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), pada 14 Disember 2011.

Kerajaan Negeri meminta Jabatan Perancangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk mengkaji dan meneliti secara terperinci pembinaan dan jajaran untuk diselaraskan dengan pelan struktur negeri.

Pada 8 Februari hingga 23 Februari 2012, MBSA dan MBPJ mengambil tindakan membentangkan cadangan di taklimat pendengaran awam dan mendapati 98 peratus bersetuju, manakala dua peratus tidak bersetuju.

Mohamed Azmin, berkata MMKN pada 18 April 2012 bersetuju supaya jajaran itu dimasukan ke dalam pelan perancangan tempatan MBSA dan MBPJ selepas pendengaran awam.

“Antara cadangan Kerajaan Negeri adalah meminta Kerajaan Persekutuan memasukkan klausa iaitu apabila kutipan mencapai sasaran, maka projek perlu diserahkan kepada Kerajaan Negeri termasuk apabila tamat konsesi walaupun jika mendapat pulangan awal.

“Pada masa sama, keuntungan perlu adil dan ‘down side’ juga dilaksanakan jika tidak dicapai,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Guna GST biaya konsesi

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 OKT: Kerajaan Negeri sedia mengkaji kaedah untuk meringankan beba rakyat yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai kenaikan harga barangan termasuk kadar tol, berkuatkuasa hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri turut mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan menggunakan kutipan hasil Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi membiayai pampasan untuk syarikat konsesi lebuh raya.

MB Azmin“Kita perlu berpegang kepada pendirian meringankan beban rakyat dan akan lihat sejauh mana kemampuan Kerajaan Negeri dalam isu ini. Mula-mula kita kena tolak dulu, bantah (kenaikan tol) dan kemudian lihat pilihan lain bagaimana boleh ringankan beban rakyat.

“Kita ada cadangkan dengan MTES bahawa Kerajaan Persekutuan menggunakan perolehan hasil kutipan GST untuk membiayai meneruskan pembayaran pampasan syarikat konsesi.

“Kita dimaklumkan perolehan kutipan GST itu besar, lebih RM6 bilion seperti diumumkan. Mengapa tidak digunakan perolehan GST ini meringankan bebanan rakyat tetapi menggunakan kesempatan untuk terus menekan rakyat khususnya pengguna lebuh raya,” katanya.

tol auotmatik 1Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Katanya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memegang 30 peratus dalam syarikat Kesas Holding Sdn Bhd dan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) pula memegang 20 peratus dalam syarikat Sprint Sdn Bhd.

“Kenaikan ini di luar bidang kuasa kita sebab hanya pemegang saham minoriti. Kita tidak ada kata pemutus tetapi kena gunakan wakil untuk membantah kenaikan itu, sama ada berjaya meyakinkan Lembaga Pengarah hanya akan diputuskan dalam mesyuarat akan datang,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor terus bantah kenaikan kadar tol

SHAH ALAM, 15 OKT: Kerajaan Negeri kesal dengan keputusan menaikkan kadar tol di Lebuhraya KESAS dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) kerana tidak dibincangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata walaupun dua anak syarikat Kerajaan Negeri mempunyai saham minoriti dalam konsesi lebuh raya, namun ia tidak menghalang Selangor untuk membantah.

MB AzminBeliau berkata, Kerajaan Negeri melalui wakilnya sudah meminta Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah dipanggil segera untuk menggunakan kuasa minoriti bagi menolak cadangan kenaikan kadar tol.

“Walaupun tidak mempunyai kuasa pemutus dan hanya pemegang saham minoriti dalam syarikat konsesi lebuh raya, adalah menjadi dasar Kerajaan Negeri untuk membantah kenaikan tol yang tidak bertanggungjawab.

“Kesan kenaikan itu akan terus menekan kehidupan rakyat yang semakin terhimpit akibat kegawatan ekonomi dan kejatuhan nilai ringgit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin juga meminta Kerajaan Persekutuan menggunakan perolehan kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk membayar pampasan kepada syarikat konsesi.

tol auotmatik 1Katanya, ia bagi mengelakkan rakyat terus dibebani dengan kenaikan kadar tol yang melampau dalam keadaan peningkatan kos sara hidup hari ini.

“Keputusan Kerajaan Persekutuan membenarkan kenaikan kadar tol adalah tidak bertanggungjawab dan amat dikesali terutama ketika rakyat berdepan kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya.

Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang) masing-masing memiliki saham minoriti 30 peratus dalam syarikat konsesi Lebuhraya KESAS sejak 1993.

Manakala, pegangan saham sebanyak 20 peratus dimiliki kdua syarikat terbabit dalam konsesi Lebuhraya SPRINT sejak 1999.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB: PKNS, KPS digesa desak konsesi batal kenaikan harga tol

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 OKT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) digesa mendesak syarikat konsesi lebuh raya supaya membatalkan kenaikan kadar tol.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, berkata, dua anak syarikat Kerajaan Negeri itu adalah pemegang saham minoriti dalam Kesas Holding Berhad (KESAS) dan Sprint Sdn Bhd (SPRINT).

MB Azmin“Kerajaan Negeri memanggil PKNS yang memegang 30 peratus dalam KESAS, manakala KPS pula mempunyai 20 peratus (SPRINT) untuk memberi penjelasan berkenaan pengumuman yang dibuat syarikat konsesi itu.

“Kita dimaklumkan sehingga hari ini tiada sebarang mesyuarat lembaga pengarah yang dipanggil pengurusan KESAS dan SPRINT untuk membincangkan keputusan berkenaan perkara ini tetapi hanya makluman sahaja.

“Kerajaan Negeri mengarahkan PKNS dan KPS menulis surat kepada pengurusan dua syarikat konsesi itu untuk mendesak satu mesyuarat khas lembaga pengarah dilakukan bagi membincangkan perkara ini.

TOL LEBUHRAYA“Dalam mesyuarat itu nanti Kerajaan Negeri mengarahkan PKNS dan KPS membantah serta menolak kenaikan tol itu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, PKNS dan KPS bertanggungjawab mewakili pendirian Kerajaan Negeri yang tidak membenarkan sebarang kenaikan kadar tol walaupun hanya pemegang saham minoriti.

Beliau turut kesal keputusan Kerajaan Persekutuan membenarkan kenaikan kadar tol sambil menyifatkan keputusan itu tidak bertanggungjawab.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kerajaan Negeri bantah kenaikan tol

Oleh: MOHAMED AZMIN ALI

KeputusanKerajaan Persekutuan untuk membenarkan kenaikan kadar tol di 18 lebuh raya di seluruh negara berkuatkuasa hari ini adalah tidak bertanggungjawab dan amat dikesali. Kenaikan tol di antara 10 sen sehingga RM4.70 hanya akan membebankan rakyat di dalam keadaan ekonomi negara yang semakin gawat dan kos sara hidup yang semakin tertekan.

Kerajaan Negeri telah memanggil Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad yang masing-masing memiliki saham minoriti 30% dalam syarikat konsesi Lebuhraya KESAS sejak 1993 dan 20% dalam syarikat konsesi Lebuhraya SPRINT sejak 1999 untuk memberikan penjelasan kepada MTES.

Walaupun tidak mempunyai kuasa pemutus dan hanya merupakan pemegang saham minoriti dalam syarikat konsesi lebuh raya, adalah menjadi dasar Kerajaan Negeri membantah kenaikan tol yang tidak bertanggungjawab dan menekan kehidupan rakyat yang semakin terhimpit akibat kegawatan ekonomi dan kejatuhan nilai ringgit.

Kerajaan Negeri kesal kerana keputusan menaikkan tol Lebuhraya KESAS dan SPRINT tidak dibincangkan dan tidak diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah KESAS Holdings Berhad dan KESAS Sdn Bhd serta Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn Bhd dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd.

Kerajaan Negeri melalui wakilnya telah pun meminta Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah dipanggil segera untuk menggunakan kuasa minoriti bagi menolak cadangan kenaikan kadar tol ini.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Selangor meminta Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan perolehan hasil kutipan cukai GST bagi meneruskan pembiayaan pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya tanpa perlu menaikkan kadar tol.

# Mohamed Azmin Ali adalah Dato’ Menteri Besar Selangor

Categories
SELANGOR

Pelabuhan Klang kedua tersibuk di ASEAN

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PELABUHAN KLANG, 4 OKT: Selangor mampu mempertahankan kedudukan sebagai penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jika dapat menyediakan kemudahan logistik serba lengkap bagi kemudahan pelabur dalam dan luar negara.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, berkata kedudukan itu akan terus dipertahankan terutama keadaan pertumbuhan pelaburan yang memberangsangkan di negeri itu.

MB Azmin“Kita mengambil maklum Selangor adalah pintu masuk utama ke Malaysia untuk pelabur dan pelaburan langsung asing (FDI) negara, Kita juga harus ingat Selangor penyumbang utama KDNK negara.

“Hari ini, Selangor menyumbang 25 peratus kepada KDNK dan bertanggungjawab untuk memastikan sumbangan besar ini dipertahankan dalam usaha kita mencatatkan prestasi mampan dan meyakinkan pada masa akan datang.

“Selangor disokong dua lapangan terbang antarabangsa, mempunyai pelabuhan kedua tersibuk di ASEAN dan ke-13 di dunia,

“Malah, jaringan lebuh raya dan rel keretapi yang menghubungkan Pelabuhan Klang ke seluruh Semenanjung Malaysia mengukuhkan lagi negeri ini sebagai logistik hub utama,” katanya di sini, semalam.

PelabuhanMohamed Azmin, berkata Pelabuhan Klang yang secara puratanya mampu mengendalikan kontena sembilan juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) setiap tahun membuktikan kepentingan industri logistik dalam urusan import dan eksport negara.

“Kerajaan Negeri mengenalpasti industri logistik sebagai salah satu sektor kritikal yang perlu diberi perhatian demi memastikan pembangunan ekonomi Selangor terus berkembang positif,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB yakin ambil alih industri air sepenuhnya 15 Oktober

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PELABUHAN KLANG, 4 OKT: Urusan pengambilalihan pengurusan air sepenuhnya akan dijalankan selepas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri diberi taklimat terakhir dan secara rasminya akan berlaku, pada 15 Oktober ini.

Azmin AirDato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri juga akan menumpukan beberapa isu teknikal bagi memastikan bekalan air bersih seluruh Selangor mencukupi untuk keperluan pengguna dan pelabur di negeri itu.

“Saya dah beri jaminan kepada pelabur bahawa ini adalah keutamaan apabila Kerajaan Negeri ambil alih Puncak Niaga dan Syabas, Kita akan memastikan bekalan air terawat mencukupi terutama apabila projek Mitigasi 2 siap,” katanya, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri akan terus memberikan kerjasama padu bagi memastikan Projek Langat 2 dapat disiapkan mengikut jadual dan akan mengumumkan satu rancangan dalam Belanjawan 2016 bagi memastikan bekalan air terawat di Selangor mencukupi.

-NFN-