Categories
EXCO SELANGOR

Betik, nanas antara tanaman bermutu tinggi jana ekonomi

SHAH ALAM, 25 OGOS: Selangor bakal memperkenal beberapa benih tanaman asli bermutu tinggi yang diusahakan penduduk negeri ini pada bulan depan.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata jenis tanaman tersebut termasuk betik, nanas, timun dan melon sesuai dengan kualiti tanah negeri.

“Setakat ini kita tetapkan 12 jenis tanaman bernilai tinggi sebagai pendekatan baharu sektor pertanian dapat menjamin ekonomi,” katanya menjawab soalan tambahan wakil rakyat Sementa Dr Daroyah Alwi pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pada 7 September tahun lalu, Izham berkata sebanyak 12 jenis tanaman bernilai tinggi dikenal pasti sebagai pendekatan baharu sektor pertanian bagi menjamin ekonomi.

Beliau berkata tanaman seperti halia, kubis dan jagung ayam antara yang disasarkan bagi mengurangkan risiko kerugian jika berlaku perkara luar jangka.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada Jun memperuntuk lebih RM13 juta merangkumi program jaminan bekalan makanan, Agro Prihatin dan peningkatan hasil.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor belanja RM250,000 bantu pemuzik jana pendapatan

SHAH ALAM, 25 OGOS: Kerajaan Negeri memperuntuk sebanyak RM250,000 bagi membantu pemuzik jalanan atau busker yang terjejas pendapatan akibat Covid-19.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah berkata inisiatif melalui projek Kita Buskers Selangor memanfaatkan 500 pemuzik yang berdaftar bawah kelab atau persatuan negeri.

“Daripada 2,000 yang berdaftar, hanya sekitar 500 masih aktif kerana sejumlah besar bertukar kerjaya dengan menjadi penghantar makanan dan sebagainya.

“Justeru mereka yang masih aktif akan mendapat manfaat daripada program ini seterusnya membantu meringankan bebanan kewangan dan emosi mereka akibat pandemik,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan lisan wakil rakyat Sementa Dr Daroyah Alwi berhubung langkah kerajaan membantu pemain seni dan adat Melayu ketika pandemik pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sementara itu, Borhan berkata Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) akan mewujudkan muzium permainan di Kuala Selangor sebagai tarikan pelancongan terbaharu.

Beliau berkata persiapan yang kini pada tahap akhir memakan masa berikutan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan sejak awal tahun.

“Apabila siap kelak, muzium ini bukan sahaja dijadikan pusat tarikan kesenian dan pelancongan malah menjadi pusat aktiviti permainan tradisional secara berkeluarga,” katanya.

Pada 7 Ogos, Borhan berkata Kerajaan Negeri membela nasib busker dengan menempatkan mereka di pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih termasuk empat PPV mega bawah persekutuan

Projek Kita Buskers Selangor selama sebulan mulai mulai 15 Ogos membabitkan PPV Bangi Avenue, Sunway, Dewan MBPJ, MSU Shah Alam, Tanjung Sepat dan Gombak.

Categories
AGENDA NASIONAL

Negeri kesan 215 kes kerja tanah haram setakat Jun

SHAH ALAM, 25 OGOS: Sebanyak 215 kes kerja tanah haram dikesan di Selangor mulai tahun lalu hingga Jun tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata daripada jumlah itu, sebanyak 169 kes dikenakan kompaun selepas pemilik tanah didapati melanggar undang-undang.

Beliau menjelaskan sebanyak 34 kes pula gagal melaksanakan baik pulih tanah dan tiada sesiapa didakwa di mahkamah bagi tempoh berkenaan.

“Bagi jumlah kerja tanah haram, Majlis Perbandaran Klang mencatat jumlah tertinggi iaitu 52 kes, diikuti Majlis Perbandaran Kajang (40) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (36).

“Majlis Perbandaran Kuala Langat 33 kes, Majlis Bandaraya Subang Jaya (15) dan Majlis Perbandaran Sepang (12), sementara lain-lain pihak berkuasa tempatan melibatkan satu atau dua kes,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof dalam sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan kerja tanah haram.

“Jika ada kesan kacau ganggu, kompaun berulang dikenakan kepada pemilik dan pemaju. Fail siasatan akan dibuka untuk tindakan lanjut jika tiada tindakan oleh pemaju,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata tiada kelonggaran diberikan kepada pengusaha tanah kerajaan bagi pertanian dan penternakan lembu dalam tempoh pandemik.

“Kalau ada perubahan peraturan akan beri kesan kepada pendudukan tanah dan isu tanah. Tanah di Selangor agak terhad dan terpaksa memaksimumkan hasil daripada tanah.

“Namun begitu setakat penggunaan penternakan, kita beri peluang kepada pihak penternakan dan pengguna untuk mohon secara rasmi kepada kerajaan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

5,539 pemandu teksi, bas sekolah dapat bantuan makanan sejak Januari

SHAH ALAM, 25 OGOS: Seramai 5,539 pemandu teksi, van dan bas sekolah di seluruh negeri yang terjejas pendapatan akibat pandemik mendapat bantuan makanan.

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han berkata bantuan bernilai RM100 yang diagihkan sejak Januari tahun ini membabitkan peruntukan keseluruhan RM553,900.

“Pengedaran bakul makanan ini dilaksana Yayasan Food Bank Malaysia dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan diselaras Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

“Kerajaan Negeri akan memastikan tiada golongan tertinggal dalam sebarang bentuk bantuan pada masa akan datang agar lebih ramai dapat menikmatinya demi kelangsungan hidup,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi berhubung kebajikan pemandu teksi, van dan bas pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Inisiatif bakul makanan antara yang terangkum dalam Pakej Kita Selangor, yang turut memanfaatkan penyewa projek perumahan rakyat, pemandu lori sisa pepejal kendalian KDEBWM dan Orang Asal.

Bantuan itu sekali lagi diumumkan pada Jun lalu melalui Pakej Kita Selangor 2.0 dan diperluas kepada ibu tunggal, orang kelainan upaya dan pesakit Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor sedia beli lebih banyak vaksin jika ada keperluan

SHAH ALAM, 25 OGOS: Kerajaan Selangor sedia membeli lebih banyak bekalan vaksin jika ada keperluan pada masa hadapan bagi memastikan kesihatan rakyat terkawal.

Bagaimanapun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari tidak memperincikan lebih lanjut anggaran jumlah dos yang bakal dibeli negeri.

“Kalau ada keperluan dan kepentingan kita akan tambah pembelian vaksin jika kerajaan dan jabatan tertentu luluskan suntikan ketiga untuk keselamatan rakyat,” katanya menjawab pertanyaan wakil rakyat Sungai Panjang Datuk Imran Tamrin pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan program Vaksin Selangor (Selvax) bagi melengkapkan dan
mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Usaha Kerajaan Negeri itu melibatkan kos bernilai RM200 juta diiktiraf kerajaan persekutuan, malah terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Pada 19 Ogos, Kerajaan Negeri bersetuju meminjamkan sebanyak 500,000 dos stok vaksin yang dibeli melalui Selvax kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

Amirudin Shari berkata langkah itu bagi membantu beberapa negeri yang memerlukan bekalan pelalian ketika ini dengan vaksin perlu dipulangkan dalam tempoh sebulan atau dua bulan akan datang.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat Morib bawa isu rumah terbengkalai ke sidang Dewan Negeri

SHAH ALAM, 24 OGOS : Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib akan membawa isu rumah terbengkalai di kawasannya pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) kali ini.

Hasnul Baharuddin berkata selain itu, isu pandemik Covid-19 turut menjadi keutamaan untuk dibahas meskipun angka kes wabak di Morib tidak terlalu tinggi.

“Selaku timbalan speaker DNS, ruang untuk saya berbahas agak terbatas tetapi saya akan perjuangkan mengenai isu rumah terbengkalai dan ladang dusun durian.

“Malah kebajikan rakyat yang terkesan disebabkan Covid-19 juga diambil perhatian,” katanya menerusi rancangan bual bicara yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor, malam tadi

Persidangan penuh DNS dijadualkan berlangsung sembilan hari di Bangunan Annex di sini, bermula kelmarin hingga 6 September.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor ketika bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 mengingatkan ahli politik supaya tidak merebut kuasa hingga mengabaikan tanggungjawab membela rakyat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah rakyat terpaksa menanggung kesusahan apabila keadaan politik tidak stabil akibat perebutan kuasa.

Siaran langsung perbahasan wakil rakyat boleh diikuti menerusi https://selangortv.my/ dan https://www.facebook.com/MediaSelangor. Laporan ucapan dan perbahasan pula boleh diikuti melalui portal selangorkini.my.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan ingatkan pemimpin tidak rebut kuasa hingga abai rakyat

SHAH ALAM, 23 OGOS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengingatkan ahli politik supaya tidak merebut kuasa hingga mengabaikan tanggunjawab membela rakyat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah rakyat terpaksa menanggung kesusahan apabila keadaan politik tidak stabil akibat perebutan kuasa.

“Beta tidak dapat menyembunyikan rasa dukacita dan kesal apabila melihat pergolakan, pertelagahan dan ketidaktentuan politik negara yang begitu ketara sejak kebelakangan ini.

“Nampaknya ahli-ahli yang berhormat tidak mahu belajar dari sejarah kejatuhan sesebuah negara akibat perebutan kuasa yang mengakibatkan perpecahan dalam masyarakat,” titah Baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex di sini hari ini.

Sultan Selangor bertitah situasi ketika ini menyaksikan rakyat menderita kerana pandemik Covid-19 dan wakil rakyat perlu mengambil tahu masalah dihadapi mereka.

Baginda bertitah data individu yang hilang tempat bergantung atau menghadapi tekanan hidup perlu diangkat kepada kerajaan bagi memastikan nasib golongan ini dibela.

“Beta mengingatkan ahli-ahli yang berhormat, rakyat di bawah sana memerlukan anda untuk membantu kesusahan yang sedang mereka lalui.

“Bantulah mereka, carilah mereka, bukan sekadar mencari mereka untuk mendapatkan undi sewaktu pilihan raya semata-mata,” titah Baginda.

Siaran langsung sidang dewan negeri boleh ditonton menerusi Youtube SelangorTV dan Facebook MediaSelangor. Laporan berita pula boleh diikuti melalui portal selangorkini.my.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sultan sukacita bantuan negeri ringan beban rakyat ketika pandemik

SHAH ALAM, 23 OGOS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan sukacita atas usaha Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai pakej bantuan kepada rakyat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah bantuan itu dapat meringankan beban rakyat ketika berdepan kemelut dan kesusahan akibat penularan pandemik Covid-19.

“Beta berharap bantuan-bantuan seumpama ini sampai ke golongan sasar dan golongan terkesan tepat pada masanya untuk meringankan beban segolongan rakyat beta bagi meneruskan kelangsungan hidup,” titah Baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-14 di Bangunan Annex di sini hari ini.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan pertama tahun lalu, Kerajaan Negeri mengambil berat golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil yang terjejas akibat kelembapan ekonomi.

Sepanjang tahun lalu, negeri ini menyediakan dua pakej bantuan Selangor Prihatin dan program pemulihan ekonomi, malah Belanjawan 2021 mengambil kira faktor ekonomi tidak menentu akibat wabak tersebut.

Pakej bantuan disediakan seperti berikut:

1. Selangor Prihatin Fasa 1 (20 Mac 2020) – RM127.8 juta
2. Selangor Prihatin Fasa 2 (1 April 2020) – RM272.5 juta
3. Pelan Pemulihan Ekonomi (13 Julai 2020) – RM55.85 bilion (nilai ekonomi)
4. Pakej Kita Selangor 1.0 (20 Januari 2021) – RM73.877 juta
5. Pakej Kita Selangor 2.0 (9 Jun 2021) – RM551.56 juta

Dalam titahnya, Sultan Selangor turut menzahirkan sukacita terhadap pelaksanaan Saringan Komuniti secara percuma bagi mengesan jangkitan wabak pada peringkat awal.

Baginda bertitah lebih RM20 juta dibelanjakan negeri yang memanfaatkan seramai 177,823 individu termasuk pemberian 60,000 kit saringan kendiri secara percuma.

“Dalam kalangan pemain industri pula, kerajaan beta melaksanakan sistem Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) bagi membantu syarikat, kilang, pejabat dan tempat kerja untuk mengesan sebarang penularan wabak Covid-19.

“Sistem ini juga dapat mengawal perebakan virus supaya tidak mencipta kluster di luar kawalan,” titah Sultan Selangor lagi.

Teks penuh titah Sultan Selangor boleh didapati melalui Facebook Selangor Royal Office.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dewan Negeri Selangor bersidang penuh mulai esok

SHAH ALAM, 22 OGOS: Persidangan penuh Dewan Negeri Selangor (DNS) akan berlangsung sembilan hari di Bangunan Annex di sini, mulai esok hingga 6 September.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dijadual berangkat dan mencemar duli bagi merasmikan istiadat pembukaannya pada Isnin.

Pada 9 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata persidangan itu mengikut format biasa meliputi soal jawab dan perbahasan, bukan sekadar sidang khas.

Beliau menegaskan sidang dewan dibuat dengan pematuhan ketat tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Semua individu termasuk pengamal media disyaratkan lengkap dua dos vaksin, malah saringan menggunakan kit saliva dibuat setiap hari sebelum persidangan bermula.

Siaran langsung perbahasan wakil rakyat boleh diikuti menerusi https://selangortv.my/ dan https://www.facebook.com/MediaSelangor.

Laporan ucapan dan perbahasan pula boleh diikuti melalui portal selangorkini.my.

Categories
ADN SELANGOR

ADN Pelabuhan Klang bawa isu vaksin pada sidang dewan negeri

KLANG, 20 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang akan membawa isu pemberian vaksin Covid-19 pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) bermula minggu depan.

Azmizam Zaman Huri berkata aspek keberkesanan pelalian serta kapasiti pembekalan diutamakan bagi memastikan rakyat mendapat maklumat jelas.

“Kita nak tahu apakah pelaksanaan program vaksin dapat menghentikan virus kerana ada juga yang masih dijangkiti walaupun lengkap mendapat suntikan dos.

“Jadi kita ingin tahu apa tindakaan susulan untuk menghentikan penularan Covid-19,” katanya kepada SelangorKini.

Persidangan penuh DNS dijadualkan berlangsung sembilan hari di Bangunan Annex di sini mulai 23 Ogos hingga 6 September.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dijangka berangkat dan mencemar duli bagi merasmikan istiadat pembukaannya pada hari pertama.

Manakala proses saringan melibatkan semua ADN di bangunan sama diadakan hari ini dan Azmizam berharap beliau dalam keadaan sihat bagi menghadiri sidang berkenaan.

Sementara itu, beliau berasa gembira melihat semakin ramai penduduk di kawasan DUNnya tampil mendapatkan vaksin bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

“Kemudahan PPV (pusat pemberian vaksin) yang banyak sekitar Klang memudahkan penduduk selain Program Vaksin Selangor (Selvax) turut meningkatkan penerima vaksin,” katanya.

Categories
SELANGOR

Sidang dewan negeri hibrid dilaksana tahun depan

SHAH ALAM, 20 OGOS: Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) dijangka boleh dilaksanakan secara hibrid pada tahun depan, kata Speaker Ng Suee Lim.

Beliau berkata usul meminda peraturan tetap DNS 1965 bagi memasukkan klausa membenarkan speaker memanggil sidang secara maya akan dibentang dalam persidangan sembilan hari bermula Isnin ini.

“Usul meminda peraturan tetap DNS 1965 akan membenarkan speaker memanggil sidang secara maya sekiranya berlaku keadaan luar jangka.

“Sekiranya semua setuju, jawatankuasa tetap peraturan dewan akan merangka pelaksanaan untuk dibentang dalam persidangan Disember untuk diluluskan,” katanya pada sidang media di Bangunan Annex di sini, hari ini.

Beliau berkata Selangor menjadi negeri pertama mengemukakan usul untuk melaksanakan persidangan Dewan Negeri secara hibrid.

Semalam, Dato’ Menteri Besar berkata usul bagi membenarkan sidang dibuat secara hibrid akan dibawa pada persidangan kali ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi menghadapi cabaran penularan pandemik pada masa depan atau perkara lain yang menyukarkan persidangan secara fizikal.

Persidangan penuh sidang dewan negeri akan berlangsung di Bangunan Annex di sini, mulai 23 Ogos hingga 6 September.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dijadual berangkat dan mencemar duli bagi merasmikan istiadat pembukaannya pada Isnin.

Siaran langsung perbahasan wakil rakyat boleh diikuti menerusi https://selangortv.my/ dan https://www.facebook.com/MediaSelangor.

Laporan ucapan dan perbahasan pula boleh diikuti melalui portal https://selangorkini.my.

Categories
AGENSI SELANGOR

Usul sidang Dewan Negeri secara hibrid dibawa minggu depan

SHAH ALAM, 19 OGOS: Usul bagi membenarkan persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) dibuat secara hibrid akan dibawa minggu depan.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu bagi menghadapi cabaran penularan pandemik pada masa depan atau perkara lain yang menyukarkan persidangan secara fizikal.

“Antara usul yang akan dibentangkan adalah pindaan kepada peraturan-peraturan tetap DNS untuk membenarkan persidangan secara hibrid.

“Ini juga sebagai persediaan dalam menghadapi penularan pandemik Covid-19 pada masa depan atau cabaran lain yang menyukarkan persidangan secara fizikal,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam sidang media secara maya hari ini.

Beliau berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga bersetuju merangka dan meminda Undi 18 pada persidangan sekitar November atau akhir Disember.

Persidangan penuh sidang Dewan Negeri akan berlangsung sembilan hari di Bangunan Annex di sini, mulai 23 Ogos hingga 6 September.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dijadual berangkat dan mencemar duli bagi merasmikan istiadat pembukaannya pada Isnin.

Pada 9 Julai, Amirudin berkata persidangan itu mengikut format biasa meliputi soal jawab dan perbahasan, bukan sekadar sidang khas dan dibuat dengan pematuhan ketat tatacara operasi piawai (SOP).

Siaran langsung perbahasan wakil rakyat boleh diikuti menerusi https://selangortv.my/ dan https://www.facebook.com/MediaSelangor.

Laporan ucapan dan perbahasan pula boleh diikuti melalui portal selangorkini.my.