Kerajaan Negeri Tidak Sekat BN Mohon Geran Selangorku

SHAH ALAM, 10 JUL : Kerajaan Negeri Selangor tidak menyekat permohonan pihak pembangkang (Umno-BN) sekiranya ingin menggunakan peruntukan Geran Selangorku di kawasan masing-masing bagi pembangunan infrastruktur.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, permohonan peruntukan itu tidak hanya terhad kepada Adun sahaja, tetapi turut terbuka kepada persatuan dan ketua kampung.

“Kerajaan Negeri tidak menyekat sebarang permohonan daripada mana-mana pihak. Malah, sejak ia dilancarkan, kita menerima banyak permohonan, tetapi keutamaan itu kebiasaannya diberikan kepada Adun berkenaan,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian semasa menjawab pertanyaan mulut daripada Datuk Muhammad Bushro Mat Johor (Paya Jaras-BN) berhubung penggunaan Geran Selangorku dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memantau pelaksanaan projek di bawah peruntukan geran itu secara berkala bagi memastikan ia diurus secara telus.

“Kos yang kita buat tidak berikan keuntungan lumayan kepada kontraktor. Pemberian projek dibuat secara sebut harga dan dipantau pelaksanaannya. Kita akan buat semakan sekiranya berlaku keraguan.

“Kerajaan Negeri memberi kepercayaan kepada profesional seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan PBT untuk jalankan tugas mereka dengan cara terbaik supaya duit amanah untuk kepetingan rakyat itu berjalan dengan baik,” ujarnya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Dr Shafie Abu Bakar (PAS-Bangi) berhubung peruntukan Geran Selangorku dalam Bajet 2013, Abdul Khalid menjelaskan ia bergantung kepada keuntungan anak syarikat Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sejumlah RM300 juta bagi pelaksanaan ?Geran Selangorku? melalui Bajet 2012 untuk faedah rakyat Selangor.

Peruntukan geran ini adalah berasaskan dana sumbangan dividen daripada GLC Negeri serta keuntungan operasi Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang berjaya mendapatkan hutang-hutang lapuk dari Syarikat Talam Corporation.

Antara program yang dilaksanakan melalui Geran Selangorku adalah pengenalan gaji minima (RM10 juta), program memperkasakan wanita (RM30 juta), program keusahawanan muda (RM30 juta), pembinaan infrastruktur sukan (RM30 juta), program sokongan pendidikan (RM30 juta).

Selain itu, program dari kebajikan kepada pekerjaan (RM20 juta) dan program jangkaan kehidupan bandar (RM10 juta), infrastruktur (RM50 juta), program pembasmian rasuah dan penyelewengan (RM15 juta) dan program pengukukan demokrasi (RM5 juta).

Di samping itu, program pengukuhan budaya (RM3 juta), pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar (RM5 juta), program pejabat ke rakyat (RM10 juta), program penerangan maklumat negeri (RM10 juta), program peningkatan kualiti hidup rakyat (RM5 juta), program peningkatan kemahiran penjawat awam (RM5 juta) dan penggerak dan pembangunan luar bandar (RM22 juta)

Categories
NASIONAL

Rakyat Boleh Banding Keikhlasan PR dan Umno-BN

PETALING JAYA 8 JULAI : Walaupun Umno-BN meniru idea dasar dan program Pakatan Rakyat, rancangan dan niat mereka tidak nampak ikhlas tetapi sekadar meraih undi, kata Timbalan Speaker Dewan Negeri(DNS) Selangor Haniza Talha.

Menurutnya, Umno-BN juga tidak lagi mampu mempengaruhi pemikiran rakyat walaupun mereka menguasai media perdana dan tidak mengamalkan dasar kebebasan maklumat.

“Umno-BN tiada idea. Mereka bagi duit kepada rakyat bukan mereka nak bantu dan tolong rakyat macam bagi RM500 (BR1M).

?Dia bagi dengan tujuan untuk dapat undi bagi mengekalkan kuasa termasuk mendapatkan kembali Selangor. Kalau benar-benar ingin menolong kenapa ia tidak dibuat sejak dulu sebelum kita memerintah?,” soal Haniza.

Haniza berkata, sejurus Pakatan mengambilalih Kerajaan Selangor pada Mac 2008 ia bertindak segera dengan menyalurkan bantuan 20 meter padu air percuma kepada rakyat dalam tempoh 100 hari.

Kerajaan Pakatan Selangor juga memulakan bantuan di dalam program Skim Mesra Usia Emas (SMUE) pada 2011.

Ini berbeza dengan Umno-BN di peringkat pusat yang hanya memulakan BR1M, pada April tahun ini semasa spekulasi pilihan raya umum memuncak.

Walaupun Umno-BN menguasai saluran media tradisional seperti televisyen, radio dan surat khabar, ledakan maklumat di internet dan rangkaian media sosial membolehkan rakyat berita tentang Pakatan.

“Apa dilakukan pemimpin Pakatan sekarang adalah pergi terus kepada rakyat di bawah dan rakyat dapat merasakan perubahan itu yang mana tidak dialami sebelumnya.

?Mereka (Umno-BN) boleh gunakan saluran media dikuasai mereka dengan membuat pelbagai dakyah tetapi rakyat akan tahu segalanya,? beliau berkata di dalam temu ramah eksklusif TVSelangor di dalam rancangan Fokus Isu.

Categories
NASIONAL

Haniza tegur Umno-BN supaya lebih bertanggungjawab

PETALING JAYA 8 JULAI : Wakil Rakyat Selangor khususnya dari Umno-BN diminta turut serta berganding bahu dengan Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) bagi memajukan negeri ini dengan mengemukakan pandangan bernas ketika sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) berlangsung.

Timbalan Speaker DNS, Haniza Talha berkata, apa dilihatnya di sepanjang empat tahun PR mentadbir Selangor, barisan pembangkang Umno-BN tidak menggunakan sepenuhnya sidang DNS sebagai ruang untuk mengemukakan atau berkongsi pandangan dengan Adun PR bagi kemajuan negeri.

“Apa yang saya perhatikan wakil rakyat khususnya daripada pembangkang tidak menggunakan peluang ini sebaiknya demi kepentingan rakyat dan kemajuan negeri ini. Mereka dilihat hadir sidang dewan dan menyertai perbahasan tanpa berpandukan fakta. Ia menjurus kepada perbahasan yang emosi dan kualiti mereka juga rendah.

“Sidang dewan perlu digunakan sepenuhnya kerana di situlah ruang bagi kita membuat sebarang keputusan dengan pembangkang juga memainkan peranan dalam pembangunan negeri Selangor ini. Namun apa yang dilihat ini tidak berlaku. Mereka juga menghantar soalan kurang bagi sesi soal jawab iaitu kurang dari 10 soalan,” katanya kepada TV Selangor.

Beliau yang juga Adun Taman Medan turut menganggotai Jawatankuasa Penyemak Soalan bagi sidang DNS menjelaskan setiap Adun diberikan tempoh sebulan sebelum sidang dewan dilangsung dengan mengemukakan 20 soalan iaitu 10 soalan lisan dan 10 soalan bertulis yang berkaitan isu atau permasalan di kawasan diwakili.

Katanya, apa diharapkan Adun Umno-BN perlu memberikan keutamaan demi kemajuan negeri dengan lebih serius dan bersungguh dalam mengemukakan sebarang permasalah atau isu ketika berlangsungnya sidang dewan.

“Pembangkang juga punya tanggungjawab dan memainkan peranan tersendiri dalam pembangunan demi kemajuan negeri ini. Mereka perlu memberikan kerjasama kepada Kerajaan Negeri dalam perkara ini,” katanya yang berharap pemimpin Umno-BN tidak terus mengamalkan sikap pentingkan diri serta beretorik.

Haniza selanjutnya berkata, apa yang menghampakan soalan diajukan juga berulang-ulang serta kehadiran yang menghampakan.

Tambahnya, ketika penggulungan dibuat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang dewan, majoriti Adun Umno-BN tidak mengikutinya dan soalan sama dikemukakan lagi pada sidang seterusnya.

Dalam perkembangan ini, dilaporkan Umno-BN sebagai pembangkang dilihat masih gagal menyesuaikan diri dengan keadaan baru itu setelah sekian lama bertindak sebagai peneraju Kerajaan Negeri.

Sidang DNS yang akan datang akan berlangsung pada 9 hingga 13 Julai ini.

Categories
SELANGOR

RM30 Juta Bina Infrastruktur Sukan Di Seluruh Selangor

SHAH ALAM,18 JUN : Golongan muda di Selangor kini antara yang bertuah apabila sejumlah RM30 juta diperuntukkan bagi pembangunan infrastruktur sukan di seluruh negeri menjelang akhir tahun ini.

Membabitkan 56 Dewan Negeri Selangor(DNS)ia dibangunkan melalui Geran Selangorku diharapkan dapat membantu membangunkan potensi anak muda dalam sukan di seluruh Selangor.

Ketika dihubungi Exco Adat Resam Melayu,Belia Dan Sukan, Dr Yunus Hairi menjelaskan pembinaan ini membabitkan gelanggang sukan dan dataran anak muda di kawasan yang sudah dikenal pasti.

“Perancangan kita untuk membina padang serbaguna di mana di situ akan mempunyai gelanggang futsal, bola jaring, badminton, takraw dan sebagainya mengikut keperluan setempat.

“Disamping itu akan ada juga gelanggang anak muda dan keluasan tanah yang kita perlukan tanah kerajaan adalah 100 kaki persegi,” katanya.

Menurut Dr Yunus, proses pembinaan gelanggang sukan dan dataran anak muda itu akan dilaksanakan mengikut fasa perancangan yang telah ditetapkan.

“Dalam fasa pertama, daripada peruntukan itu kita gunakan sebahagiannya untuk pembinaan gelanggang futsal dan dataran anak muda di seluruh Dewan Negeri Selangor,” katanya.

Jelas Dr Yunus, setakat ini di dalam fasa pertama sebanyak 15 gelanggang sukan telah diluluskan untuk pembinaanya dan terdapat empat gelanggang yang sudah memulakan pembinaannya.

“Pembinaan untuk gelanggang ini dijangkakan dalam tempoh lapan minggu dan dijangkakan dalam penghujung bulan Oktober ini semuanya akan selesai.

Tambah beliau, pembinaan gelanggang sukan itu turut akan dilengkapi dengan kemudahan lampu dan sebagainya mengikut keperluan.

“Proses pembinaannya diserahkan kepada Pejabat Daerah untuk proses sebut harga dan sebagainya,kemudian selepas selesai kita serahkan untuk penyelenggaraan kepada pihak berkuasa tempatan atau Majlis Tempatan.

“Dan pengurusan gelanggang itu nanti adalah kerjasama antara pejabat DNS atau pusat penyelaras DNS bersama-sama Penggerak Belia Tempatan,” katanya.

Categories
SELANGOR

MB: Sidang Dun Akan Bentang Tender 2006-2010

SHAH ALAM 7 MAC : Segala dokumen pemberian tender dan projek secara rundingan dari 2006 hingga 2010 akan dibentangkan Kerajaan Negeri sempena Persidangan Dewan Negeri Selangor yang akan berlangsung pada 19 Mac sehingga 23 Mac 2012, demikian ujar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

?Kita mengutamakan ketelusan dalam pentadbiran dan kerana itulah kita akan bentangkan dokumen-dokumen tender supaya rakyat tahu dan membuat penilaian terhadap keputusan-keputusan yang kita buat, ? kata Abdul Khalid ketika sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), hari ini.

Menurut Abdul Khalid lagi, pemberian tender secara rundingan telah lama diamalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional dan berasa pelik apabila menjadi pembangkang di Selangor, mereka berubah pendirian pula.

“Adakalanya juga terdapat kes tertentu yang memerlukan Kerajaan Negeri memberi projek atau tugasan secara terus dalam keadaan kecemasan.

“Sebagai contoh apabila kejadian tanah runtuh – kita perlu melantik juruperunding seperti Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) untuk menyiasat tahap keselamatan dengan segera.

“Dalam keadaan sebegini, kita tidak perlu meminta sebut harga,” tambah Abdul Khalid sambil memberitahu tindakan itu tidak bercanggah dengan prosedur Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana segala tindakan mendapat kelulusan EXCO dan Pegawai Kewangan Negeri.

Dokumen-dokumen tersebut perlu mendapatkan kelulusan DNS sebelum disiarkan kepada umum kerana dokumen berkenaan tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).