Categories
SELANGOR

SSDU kunjungi Baitul Barokah, hulur bantuan Aidilfitri

OLEH NORHAYATI UMOR

SEPANG, 9 JUN: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berkesempatan berkunjung ke Baitul Barokah Wal Mahabbah di Rumah Baitul Barokah bagi menyampaikan bantuan Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah Urusan SSDU, Dr Fahmi Ngah berkata, kunjungan itu juga merupakan sebahagian inisiatif Activ8 Smart Selangor.

Katanya, ia bertujuan menjalinkan hubungan silaturrahim di antara SSDU dan rakyat Selangor terutamanya golongan kurang berkemampuan.

“Kami dapat bertemu penghuni Baitul Barokah Wal Mahabbah, termasuklah 122 anak yatim dan 45 kakitangan rumah itu.

“SSDU turut menyampaikan sumbangan baju raya pada setiap anak yatim, barangan dapur dan sedikit duit raya,” katanya di majlis itu, semalam.

Dr Fahmi berkata, anak-anak yatim itu juga diberikan sedikit barangan sumbangan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor.

SSDU ditubuhkan pada April 2016, merupakan unit khas diberi mandat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk menggerakkan agenda Smart Selangor dengan lebih efektif.

Pada awal Disember 2016, Smart Selangor Blueprint 1.0 dilancarkan dengan menumpukan empat teras utama iaitu Inovasi, Perhubungan, Perpaduan Sosial dan Kehidupan Mampan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SSDU dan Media Selangor tiada sebarang kerjasama dengan DIGEST

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 JUN : Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) tidak pernah berhubung dan mempunyai sebarang bentuk kerjasama bersama Persatuan Usahawan Digital Selangor (DIGEST), kata Pengarah Urusan SSDU, Dr Fahmi Ngah.

Dr Fahmi berkata, SSDU selaku badan rasmi yang dimandatkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk menerajui dan melaksanakan program Smart Selangor mewakili Kerajaan Negeri tidak pernah mempunyai sebarang bentuk kerjasama atau hubungan rasmi mahupun tidak rasmi bersama DIGEST, sehingga kini.

“SSDU tidak pernah memberikan sebarang bentuk sokongan kepada sebarang program yang dianjurkan pihak DIGEST.

“Saya merujuk kepada jemputan program Majlis Berbuka Puasa dan Pelancaran Persatuan yang dianjurkan DIGEST, di Hotel Grand Blue Wave, di sini, semalam,” katanya dalam kenyataan.

Malah, beliau berkata, SSDU juga tidak pernah berhubung atau mempunyai sebarang bentuk kerjasama dengan semua penama daripada pihak DIGEST seperti tertera dalam jemputan.

Katanya, antara nama yang dinyatakan adalah Presiden DIGEST, Haidar Darus; Timbalan Presiden, Idris Baharom; Pengarah Kewangan, Affify Khusli; Pengarah Operasi, Aadzim Sen-Gupta dan Penaung juga Penasihat DIGEST, Dato’ Sri Megat D Shahriman.

Sementara itu, Media Selangor turut menegaskan tidak mempunyai sebarang bentuk kerjasama juga urusan dengan pihak DIGEST serta menyangkal dakwaan sebagai rakan strategik selain tidak mengetahui segala bentuk aktiviti persatuan berkenaan.

Categories
SELANGOR

SSDU: Dilantik jadi EDO pertama di rantau Asia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 APR: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) melakar sejarah apabila dilantik oleh Amazon Web Services (AWS) Amerika Syarikat menjadi Organisasi Pembangunan Ekonomi (EDO) AWS pertama di rantau Asia.

Pengarah SSDU, Dr Fahmi Ngah berkata, kerjasama strategik ini mampu merealisasikan visi Smart Selangor menjadikan Selangor sebagai Smart State terunggul di ASEAN menjelang 2025.

Katanya, menerusi kerjasama itu, SSDU akan memperluaskan penggunaan teknologi ‘Cloud Computing’ AWS di Selangor.

“Kita sangat teruja dan berterima kasih kepada AWS di atas keyakinan diberikan kepada kebolehan SSDU dan juga kepada potensi pemasaran untuk teknologi ini.

“Lantikan sebagai EDO oleh AWS yang berpengkalan di Amerika Syarikat ini membolehkan SSDU menyegerakan pembangunan beberapa insiatif utama di bawah program Smart Selangor” katanya ketika ditemui.

Dr Fahmi berkata, lantikan pertama di rantau Asia membolehkan kerjasama di antara SSDU dan AWS memperkenalkan program AWS Cloudstart, AWS Educate dan AWS Academy di Selangor.

Program AWS Cloudstart boleh mengupayakan sektor SME untuk menggunapakai beberapa infrastruktur teknologi maklumat berasaskan ‘Cloud Computing Technology’ yang diiktiraf dunia untuk tujuan pembangunan dan pemasaran produk pada kos berpatutan.

“Ini akan membolehkan sektor SME lebih fokus kepada pembangunan produk mereka dan tidak memakan masa dan kos yang lama menyiapkan keperluan asas infrastruktur teknologi maklumat yang hanya bertujuan menyokong pembangunan produk mereka.

“Lebih banyak bakat dan produk inovasi baru juga dapat dihasilkan untuk pasaran dunia menerusi program AWS Academy dan AWS Cloudstart daripada Selangor apabila ia diperkenalkan nanti,” katanya.

Beliau berkata, AWS juga akan melaburkan kepakaran mereka membantu SSDU membina ekosistem yang sesuai untuk menyokong pembangunan Industri 4.0 dan Internet of Things.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor diiktiraf sebagai ahli pengasas Go Smart

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 MAC: Selangor diiktiraf sebagai ahli pengasas Global Organization of Smart Cities (GO Smart) Alliance’ yang dibentuk oleh Kerajaan Bandar Taipei di Taipei SmartCity Summit & Expo 2018, baru-baru ini.

GO Smart adalah rangkaian antarabangsa yang merangkumi kerajaan tempatan dan syarikat swasta yang akan bekerjasama untuk membangunkan Smart City menerusi kolaborasi, perkongsian kepakaran dan pembangunan projek inovatif.

Taipei SmartCity Summit & Expo 2018 yang berlangsung daripada 27 hingga 30 Mac ini disertai lebih daripada 120 bandar dan 33 negara bertujuan mempamerkan kaedah-kaedah pembangunan ‘Smart City’ terbaik dunia.

Menyifatkan pengiktirafan diberikan kepada Selangor itu, Timbalan Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah berkata, ia menunjukkan ‘Smart Cities’ dunia juga mengiktiraf kebolehan Selangor dalam mencipta visi itu, sebelum ini.

Katanya, pengiktirafan terbabit turut menunjukkan Selangor mampu membangunkan negeri pintar atau ‘Smart State’ dengan kepakaran negeri itu sendiri.

“Pengiktirafan ini jelas menunjukkan bahawa ‘Smart Cities’ dunia juga mengiktiraf kebolehan Selangor mencipta visi dan membangunkan ‘Smart State’ dengan kepakaran kita sendiri,” katanya kepada SelangorKini.

Pada majlis yang diadakan di Pusat Pameran Nangang, wakil daripada 27 kawasan dan bandar di seluruh dunia dan lima majlis perbandaran negara menandatangani inisiatif bertujuan memudahkan kerjasama antara kerajaan dan industri sekali gus mempromosikan Smart City.

Timbalan Datuk Bandar Taipei, Charles Lin berkata, matlamat inisiatif itu adalah untuk mewujudkan satu organisasi ‘global Smart Cities’, bertajuk Go Smart, tahun depan.

SSDU ditubuhkan pada April 2016, merupakan unit khas diberi mandat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk menggerakkan Smart Selangor dengan lebih efektif.

Terdahulu, Kerajaan Negeri yakin rakyat Selangor bersedia menerima inovasi baru yang bakal dilaksanakan menerusi agenda Smart Selangor.

Dr Fahmi berkata, bidang telekomunikasi jauh berkembang pesat dengan arus informasi dan teknologi tinggi membolehkan negeri itu menuju gagasan Smart State 2025.

Categories
EKONOMI SELANGOR

Formula Selangor boleh lonjak ekonomi Malaysia

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 11 OGOS: Pertumbuhan pendapatan Kerajaan Persekutuan mampu ditingkatkan ke tahap lebih baik jika formula Kerajaan Negeri digunakan dalam urus tadbir di Putrajaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, Dr Fahmi Ngah berkata, hal itu terbukti apabila kadar purata pertumbuhan pendapatan tahunan Selangor, pada 2015 dan 2016 berada pada paras 10.4 peratus setahun berbanding persekutuan yang menyusut kepada 0.6 peratus.

Katanya, Selangor turut menganggarkan kadar pertumbuhan pendapatan kerajaan pada kadar 13 peratus berbanding 0.8 peratus di persekutuan, pada tahun ini.

“Ini bermakna Selangor mampu merangka inisiatif penjanaan pendapatan baru seperti kutipan hasil lebih baik, tiada rasuah dan ketirisan ataupun melabur dalam pelaburan yang memberikan pulangan lebih baik.

“Selangor juga selalunya memperuntukkan peratusan perbelanjaan pembangunan tahunan jauh lebih besar daripada persekutuan yang mana pada 2017 dilonjakkan kepada 52 peratus daripada jumlah perbelanjaan tahunan berbanding 18 peratus sahaja di peringkat persekutuan,” katanya kepada SelangorKini.

fahmi_ngahBeliau yang juga Timbalan Pengarah Unit Penyampaian Smart Selangor itu menjelaskan, formula yang digunakan pimpinan Kerajaan Negeri berjaya menampakkan hasil apabila Selangor hari ini mampu mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi jauh lebih baik.

Katanya, jika formula sama disertakan tadbir urus baik, pimpinan Kerajaan Negeri mampu melaksanakan pembangunan lebih baik untuk Malaysia jika Putrajaya berjaya ditawan.

Ketika ditanya prospek kadar pertumbuhan pendapatan Selangor pada 2018, Fahmi sekali lagi meluahkan keyakinan beliau terhadap kemampuan Selangor mencatatkan pertumbuhan pendapatan sihat.

“Saya yakin kadar pertumbuhan lebih baik mampu dicatatkan untuk 2018 dan tahun mendatang jika Kerajaan Negeri berani melaksanakan pelaburan dalam industri baru seperti bioteknologi, e-dagang, halal, ‘smart cities’ dan aero angkasa,” katanya.

Categories
SELANGOR

Orang ramai dipelawa sertai Hari Terbuka Smart Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 SEPT: Orang ramai berpeluang menyertai Hari Terbuka Smart Selangor di Selangor ICT Fair 2016, di Encorp The Strand Mall, Petaling Jaya, pada 24 dan 25 September ini.

Timbalan Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah berkata, segala perkembangan program Smart Selangor akan dikongsikan untuk makluman rakyat sepanjang dua hari itu.

“Pada masa sama, kita juga mahukan maklum balas daripada rakyat berkenaan apa yang sudah dilakukan sehingga kini.

“Maklum balas mereka semestinya akan diambil kira dalam memperkasa program di bawah jenama Smart Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Fahmi berkata, SSDU bakal mengendalikan lapan ‘booth’ di Selangor ICT Fair 2016 nanti.

“Selain Hari Terbuka, kita juga akan pamerkan model ‘Smart City’ yang diperbuat daripada permainan ‘Lego’ di salah satu booth.

Timbalan Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah

“Kita juga akan menunjukkan bagaimana ‘drone’ boleh digunakan untuk mengambil data (data capture),” katanya.

Sebelum ini, SSDU menganjurkan Lab Smart Selangor bagi mendapatkan maklum balas daripada agensi kerajaan dan anak syarikat Kerajaan Negeri.

Program sama turut diadakan bagi mendapatkan input daripada wakil rakyat dan pihak swasta berkaitan.

-AA-

Eksklusif : Cabaran merealisasikan Smart Selangor

‘Smart Selangor bukan sekadar projek mega tetapi sebagai inisiatif untuk menyelesaikan masalah rakyat menerusi pengunaan teknologi. Dengan cara itu masalah dapat diselesaikan dengan kesan terus kepada rakyat’.

Categories
SELANGOR

MBPJ, JMB Desa Mentari perlu sebulu tangani sampah

Oleh: SYASYA SUFIAN

PETALING, 27 FEB: Tindakan dua hala antara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) perlu dilakukan bagi mengatasi masalah sampah di Pangsapuri Desa Mentari.

Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, Dr Fahmi Ngah, berkata ia susulan pengurusan sampah di kawasan itu tidak begitu efisyen.

IMG_5244“Apa yang berlaku sekarang isu pengurusan tidak kemas daripada segi JMB dan MBPJ, sementara antara masalah dikenal pasti adalah terdapat longgokan sampah haram dan penggunakan kebuk sampah tidak sesuai.

“Selain itu, ia juga termasuk kereta buruk tidak bertuan yang bertahun lamanya ditinggalkan,” katanya kepada SelangorKini selepas mengadakan lawatan tapak sampah longgok dan kereta buruk di Desa Mentari, semalam.

Lawatan anjuran Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor dan Pejabat Dun Seri Setia itu turut disertai Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pada masa sama, Fahmi turut menyarankan MBPJ supaya menambah tong roro di kawasan itu selain meningkatkan kekerapan kutipan sampah lebih dua kali seminggu.

Katanya, Kerajaan Negeri turut akan menyemak dan membuat penstrukturan semula daripada segi kutipan dan pembersihan sampah di seluruh Selangor bagi mengatasi masalah berkenaan.

IMG_5362“Kita lihat isu itu berlaku disebabkan tong sampah besar cepat penuh dalam tempoh sehari, tetapi dimaklumkan kutipan hanya dilaksanakan dua kali seminggu.

“Mungkin pengurusan kutipan dua kali seminggu itu sejak bertahun lalu, tetapi penduduk kini semakin bertambah dan pembanggunan semakin pesat jadi sistem baru lebih efisyen perlu dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis MBPJ, Halimey Abu Bakar, berkata pihaknya akan mempertimbangkan penambahan tong roro dan kekerapan kutipan sampah di kawasan itu.

Namun, katanya penduduk sendiri perlu lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan kawasan perumahan mereka.

“Sikap tidak bertanggungjawab penduduk itu sendiri perlu diubah. Kalau ada tambahan tong pun tetapi tidak dibuang dan hanya campak dari tingkat atas juga tidak berguna,” katanya.

-AA-

Categories
SELANGOR

Tiada keperluan semak Belanjawan Selangor 2016

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 JAN: Selangor turut menerima tempias ketidaktentuan ekonomi semasa negara, namun tiada keperluan menyemak semula Belanjawan 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi negeri, Dr Fahmi Ngah, berkata kecenderungan menyemak semula belanjawan lebih kepada Kerajaan Persekutuan ekoran penurunan harga minyak  yang menjejaskan pendapatan negara.

Fahmi NgahKatanya, kekurangan permintaan produk menggunakan minyak sebagai tenaga dari negara industri seperti China, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) mengakibatkan eksport minyak negara menjadi lemah.

“Sebagai negeri industri, kita harus melihat dan menangani kesan itu, tetapi belanjawan negeri tidak perlu disemak ekoran hasil pendapatan kita tertumpu kepada hasil cukai tanah.

“Berdasarkan unjuran yang dilakukan dahulu, ia konservatif dan tidak ada keperluan menyemak di peringkat negeri berbanding persekutuan saya lebih berat (cenderung) kepada perlu (semak belanjawan),” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Fahmi turut mencadangkan supaya kerajaan menangguhkan sementara pembinaan projek mega bagi menangani kegawatan ekonomi negara jika kejatuhan harga minyak berterusan bagi tempoh panjang.

Sebaliknya, beliau berkata, hasil kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dianggarkan bertambah sekitar RM16 bilion dijangka dapat membantu negara.

-AA-

Categories
SELANGOR

Sungai Klang boleh jana RM10 bilion jika dipulihkan

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 JAN: Dianggarkan minimum RM10 bilion boleh dijana Kerajaan Selangor jika pembangunan Sungai Klang berjaya dipulihkan dalam tempoh ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri, Dr Fahmi Ngah, berkata usaha memelihara dan memulihara sungai itu sudah bermula sejak 2009, namun hanya satu fasa berjaya dilaksanakan sepenuhnya.

Dr Fahmi Ngah“(Jika berjaya dilaksanakan), sudah tentu kita mampu menarik pengusaha hotel, restoran, butik atau pengusaha sukan air sedunia selain pusat penempatan untuk dimajukan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Fahmi berkata, Perbadanan Sungai Klang akan diwujudkan dalam tempoh terdekat bagi memudahkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan sungai itu secara berterusan.

Bagaimanapun, katanya, langkah itu boleh dilaksanakan jika tiada masalah perundangan.

“Kita melihat penubuhan perbadanan akan memastikan keberkesanan pelaksanaan, namun isu perundangan perlu diteliti terlebih dahulu.

“Kita memerlukan pelan tindakan agresif dan berkesan, maka perbadanan itu harus diwujudkan,” katanya.

Projek pemuliharaan Sungai Klang bermula sejak 2009 merangkumi pelbagai fasa, antaranya kebersihan, pembangunan impak, perluasan pembangunan dan pembangunan direalisasi.

-AA-

Categories
NASIONAL

Mampukah bajet 2016 pacu negara saat ekonomi getir?

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 23 OKT : Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, Dr Fahmi Ngah khuatir peruntukan perbelanjaan pembangunan kecil tidak mampu memacu ekonomi negara yang dijangka berdepan situasi getir tahun hadapan.

Dalam Bajet Persekutuan 2016 yang dibentangkan hari ini, Perdana Menteri Najib Tun Razak mengumumkan perbelanjaan pembangunan bagi 2016 hanya RM52 bilion iaitu RM1.5 bilion lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Sementara perbelanjaan mengurus pula menelan 80.53 peratus dari keseluruhan belanjawan bersamaan RM215.2 bilion.

Dr Fahmi Ngah“Perbelanjaan pembangunan hanya naik RM1.5 bilion bagi 2016 berbanding 2015.

“Bagi tahun yang penuh mencabar, hanya itu untuk pembangunan ekonomi?” soal Dr Fahmi dalam reaksi awal beliau kepada Bajet 2016 tadi.

Secara asasnya, perbelanjaan pengurusan melibatkan peruntukan untuk penggajian dan keselamatan sosial kakitangan; penyelenggaraan dan operasi seperti perjalanan, utiliti, sewa serta bekalan; dan subsidi.

Selangor mengambil pendekatan berbeza dengan mengutamakan peruntukan pembangunan untuk menjana pengukuhan aktiviti ekonomi.

Dr Fahmi berkata, Kerajaan Persekutuan sewajarnya mengambil inisiatif menarik pelabur ke negara ini melalui langkah-langkah khusus dan reformasi urustadbir.

“Tiada insentif spesifik memulihkan keyakinan pelabur yang saban hari mencurigai peluang berlabur di dalam negara.

“Tiada penambahbaikan tatakelola kecuali penambahan jumlah anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata beliau.

Dr Fahmi turut mengingatkan orang supaya tidak terpedaya dengan saguhati Kerajaan Persekutuan kerana ia datang dari hasil kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan ke atas rakyat.

“Pendapatan hilang daripada petroleum dianggar RM30 bilion akan ditampung dgn GST berjumlah Rm39 bilion.

“Jadi, yang selamatkan negara adalah rakyat bukannya kerajaan,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

Tangguh kadar faedah Amerika, faktor ringgit catat kenaikan

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 OKT: Nilai ringgit mencatat kenaikan pada kadar 4.14 bagi setiap satu dolar Amerika Syarikat hari ini berbanding sebelumnya yang didapati diniagakan pada paras lebih rendah.

Catatan itu dianggap tertinggi dengan peningkatan kira-kira lima peratus kerana prestasi buruk direkodkan mata wang negara sebelum tempoh itu.

Dr Fahmi NgahKetua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, Dr Fahmi Ngah, berkata terdapat beberapa faktor yang memungkinkan perubahan positif berkenaan.

“Antara faktor membantu ialah penangguhan kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat dan juga pengukuhan matawang serantau yang berlaku ketika ini,” katanya.

Kenaikan terbabit juga dilaporkan berikutan pemulihan harga minyak mentah global serta sokongan daripada dagangan eksport negara yang lebih kukuh, sejak Ogos lalu.

ringgitmalaysiaSejak beberapa bulan lalu, ringgit diniagakan lemah berbanding Dolar Amerika apabila berada pada paras kira-kira 4.30 hingga 4.41 bagi setiap satu USD.

Keadaan demikian mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat yang merasakan ia bakal mendatangkan kesan kepada ekonomi semasa.

Kos sara hidup tinggi ditambah kenaikan harga barangan keperluan harian serta pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April lalu memberi impak kepada kehidupan masyarakat.

-NFN-