Categories
AGENDA NASIONAL

KPM tunggu laporan kes pelajar gantung diri akibat banyak kerja sekolah

SUNGAI PETANI, 26 OGOS: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih menunggu laporan penuh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes pelajar berusia 13 tahun yang bertindak menggantung dirinya akibat tekanan kerana kerja sekolah yang terlalu banyak.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kementerian juga akan menjalankan siasatan sendiri berhubung kes berkenaan sebelum mengambil sebarang tindakan termasuk mengubah modul pembelajaran sekiranya perlu.

“Saya sedih dengan kejadian ini kerana sepatutnya sekolah menjadi tempat yang gembira untuk pelajar menimba ilmu selain memupuk kasih sayang. Tetapi bila sampai tahap dapat tekanan, itu tidak sepatutnya berlaku.

“Jadi, buat masa ini masih terlalu awal untuk buat apa-apa kerana kita masih sedang tunggu laporan siasatan polis dan kementerian,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Merbok yang terjejas akibat ribut Lekima baru-baru ini.

Pada malam Sabtu lepas, pelajar berkenaan ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai bertindak menggantung dirinya di dalam bilik air rumahnya di flat Jalan Paya Terubong, Taman Sri Relau, Georgetown, Pulau Pinang.

Hasil siasatan mendapati remaja terbabit dikatakan kurang berminat untuk belajar selain prestasi pelajarannya yang agak lemah termasuk sering merungut kepada ibu bapanya mengenai kerja sekolah yang terlalu banyak.

Ketika diminta mengulas kenyataannya dalam laman sosial Twitter mengenai kerajaan akan memastikan semua anak yang hadir ke sekolah mulai 2020 dilengkapi dengan sarapan, Dr Maszlee berkata, program itu akan dimulakan pada tahun hadapan.

“Program makanan percuma ini adalah untuk semua pelajar dan konsepnya adalah kita mahu pastikan semua anak mendapat makanan yang berkhasiat kerana kita mahu bina generasi yang sihat, mendapat zat makanan cukup bagi mendapatkan otak yang cerdik.

“Program ini juga membolehkan pelajar menguasai sivik di mana pelajar akan duduk makan dengan guru, belajar adab makan yang betul termasuk lepas makan kena basuh peralatan sendiri di mana semua ini dapat melatih disiplin mereka dengan lebih baik,” katanya.

Mengenai tindakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menghalang anak mereka mendapatkan pendidikan sebagai tanda protes terhadap pelajaran jawi di sekolah, Dr Maszlee berkata, NGO serta masyarakat sepatutnya menggalakkan anak untuk pergi ke sekolah dan bukan sebaliknya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian Pendidikan kaji alat mainan mampu asah minda kanak-kanak

KLUANG, 25 OGOS: Kementerian Pendidikan akan mengkaji penggunaan alat permainan yang mampu mengasah minda kanak-kanak di peringkat awal pendidikan bagi melahirkan generasi yang kreatif dan berinovasi.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, kajian itu susulan idea Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang menyatakan kanak-kanak seawal lima tahun perlu didedahkan dengan kemahiran, inovasi serta kreativiti.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini, pihaknya masih merangka dasar berkaitan dengan pendidikan pra-sekolah, dan jika idea terbabit sesuai untuk diterima, maka ia akan dilaksanakan.

“Buat masa ini, saya masih belum mahu memberikan komen lanjut berkenaan pelaksanaannya di peringkat pusat (kerajaan puasat) kerana ia masih di peringkat kajian.

“Namun di peringkat (kawasan Parlimen) Simpang Renggam, saya akan laksanakannya dalam masa terdekat ini, dengan kerjasama beberapa pihak swasta dan kita akan lihat keberkesanannya di sini (Simpang Renggam),” katanya kepada BERNAMA hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, penggunaan alat permainan seumpama ini terbukti keberkesanannya kerana beliau sudah melihat sendiri pelaksanaannya di China.

Terdahulu, Dr Maszlee ditemui pada perasmian program Sesi Interaksi Ahli Parlimen Simpang Renggam dengan Pihak Industri dan Institusi Pendidikan di Kawasan Simpang Renggam, Kluang, Batu Pahat dan Layang-Layang di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) di sini.

Hadir sama, Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Dr Wahid Razzaly dan Presiden Persatuan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kluang, Tan Sri Datuk Tan Seng Leong.

Dalam pada itu, berkaitan dengan interaksi yang dilaksanakan, Dr Maszlee berkata, ia lebih kepada menyentuh kerjasama masyarakat, pihak industri dan institusi pendidikan bagi membangun kawasan sekitar Simpang Renggam, Layang-Layang, Kluang serta Batu Pahat.

Katanya, kerjasama ketiga-tiga pihak itu diyakini dapat memberi banyak manfaat terutama berkaitan pendidikan berasaskan teknikal dan latihan vokasional.

“Program ini juga akan membabitkan aktiviti khidmat komuniti sosial dalam kalangan industri serta institusi pendidikan yang ada.

“Program akan bermula esok dan ia akan berterusan dari semasa ke semasa, selagi saya diberi kepercayaan di sini (Simpang Renggam),” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Saranan perkenal kaligrafi lain dipertimbang

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Kementerian Pendidikan bersedia mempertimbangkan keperluan memperkenal kaligrafi lain selain seni dan tulisan khat dalam kurikulum sekolah di negara ini.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, perkara itu boleh dibincangkan secara terperinci memandangkan negara terdiri daripada pelbagai kaum yang memiliki identiti kesenian masing-masing.

“Menarik untuk dibincangkan memandangkan dalam pendidikan seni kita menitikberatkan kesenian daripada pelbagai etnik di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Maszlee berkata demikian apabila ditanya kemungkinan kerajaan memperkenalkan seni kaligrafi lain seperti kaligrafi Cina kepada pelajar sekolah di negara ini.

Cadangan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat dalam kurikulum sekolah menimbulkan pelbagai reaksi, bagaimanapun kementerian itu bertegas bahawa pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah vernakular akan dilaksanakan tahun hadapan seperti dijadual.

Pengenalan itu turut disambut baik Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan bantahan mengenai perkara itu hanya melibatkan sebahagian kecil masyarakat.

Perdana Menteri dilaporkan berkata kerajaan berpegang kepada dasar kemakmuran bersama dan tidak pernah menghalang penggunaan tulisan bahasa lain.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pengarang media cetak dan elektronik berbahasa Cina bagi membincang serta memberi penjelasan terperinci mengenai pengenalan tulisan jawi.

“Kita telah berbincang dengan beberapa editor akhbar Cina… kita bincang secara terperinci menjelaskan tentang apa yang kita lakukan dan beberapa perkara yang dibaik pulih agar pengajaran tidak membebankan murid dan guru,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM akan keluar kenyataan isu buku teks tulisan jawi

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu pertikaian mengenai cadangan pengenalan penggunaan tulisan jawi dalam buku teks di semua sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Menterinya, Dr Maszlee Malik ketika ditemui media mengesahkan perkara itu, bagaimanapun beliau tidak mahu mengulas lanjut.

“Saya akan keluarkan kenyataan. Tunggu nanti kita keluarkan kenyataan,” katanya selepas majlis perasmian The 10th University Scholars Leadership Symposium (USLS) 2019 di Pusat Konvensyen Setia Alam di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengumumkan penggunaan tulisan jawi di semua sekolah dalam negara termasuk SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) membabitkan pelaksanaan seni khat ke dalam buku teks murid Tahun Empat pada tahun hadapan.

Namun, cadangan itu mendapat bantahan daripada Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Persatuan berkenaan berpendirian bahawa seni khat dan tulisan jawi yang akan dimasukkan dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat itu adalah tidak sesuai kerana tidak mempunyai hubungan secara langsung.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

Categories
AGENDA NASIONAL

Kurikulum baharu hadapi keperluan IR4.0

KUALA LUMPUR, 29 JUL: Kementerian Pendidikan sedang merancang kurikulum baharu sesuai dengan keperluan Revolusi Industri keempat (IR4.0), kata Menterinya, Dr Maszlee Malik.

Kurikulum itu akan mengandungi tiga elemen utama – Struktur Kurikulum Organik dan Fleksibel; Transformasi Penyampaian Pengajaran dan Pembelajaran; serta Penilaian Alternatif bagi membantu generasi akan datang menghadapi era revolusi yang lebih mencabar.

“Kita akan mencorakkan sistem pendidikan agar dapat mempersiapkan anak kita bagi menghadapi masa hadapan yang lebih mencabar pada era revolusi IR 4.0, maka kurikukum kita menjurus kepada IR 4.0.

“We have to admit that the language of technology and the IR 4.0 is based on English. Sciences, all the computing, coding, robotic, these subjects are depends on English. If we want to master all those segment and specialities we (must) do it in English.

(“Kita perlu mengakui bahawa bahasa teknologi dan IR4.0 berdasarkan bahasa Inggeris. Sains, semua komputer, koding, robotik, mata pelajaran ini bergantung kepada bahasa Inggeris. Jika kita ingin menguasai semua segmen itu dan kepakaran kita (mesti) buat dalam bahasa Inggeris.)

“Dalam menghadapi era IR 4.0, kita dihadapkan dengan kepakaran yang tidak pernah wujud, pelbagai bidang baharu. Jadi kita perlu perlengkapkan anak kita dengan teknologi IR 4.0 itu,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan Laporan Tahunan 2018 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di Auditorium Sasana Kijang Bank Negara di sini.

Dalam pada itu mengenai laporan berkenaan, Maszlee berkata beberapa pencapaian dicapai iaitu peningkatan enrolmen pra sekolah kebangsaan sebanyak 85.4 peratus pada 2018 berbanding 84.3 peratus bagi 2017.

Selain itu, program Sifar Cicir Murid telah menunjukkan pengurangan kadar keciciran sebanyak 26.1 peratus di peringkat menengah dan 25.6 peratus di peringkat sekolah rendah.

Beliau berkata, melalui usaha membudayakan Pengajaran Abad ke-21 (PAK 21) dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), kementerian berjaya meningkatkan jumlah Sekolah Penarafan KBAT yang mencapai tahap cemerlang iaitu 67 peratus (189 daripada 282 sekolah) pada tahun lepas berbanding 4.6 peratus (13 daripada 282 sekolah) ketika 2017.

“Kita juga telah meningkatkan kecekapan dengan pembaikpulihan jumlah sekolah daif sehingga tiga kali ganda iaitu melibatkan 394 sekolah pada 2018 berbanding 120 sekolah pada 2017,” jelasnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Maszlee berkata pihaknya tidak berhasrat meminda waktu persekolahan di seluruh negara sebaliknya menasihatkan ibu bapa supaya memastikan keselamatan anak mereka ke sekolah.

Menteri itu menjelaskan kementerian masih kekalkan waktu persekolahan sedia ada selain tiada perancangan untuk mempercepatkan atau melambatkan sesi persekolahan.

“Kementerian masih kekal dengan waktu persekolahan yang sedia ada, kita tidak pernah awalkan. Jadi diminta ibu bapa dan komuniti memberikan perhatian kepada kebajikan anak mereka dan anak di kawasan persekitaran,” katanya.

Beliau mengulas satu laporan berita tempatan mengenai keadaan gelap atau kelam kerana kurang pencahayaan di kawasan laluan ke sekolah, boleh menyebabkan pelajar yang keluar awal untuk persekolahan sesi pagi terdedah menjadi mangsa jenayah. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ketengah ilmu robotik di sekolah tahfiz-Dr Maszlee

JOHOR BAHRU, 20 JULAI: Kementerian Pendidikan menggalakkan pihak swasta untuk bersama-sama membantu mengetengahkan ilmu kemahiran robotik di sekolah tahfiz di negara ini.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, ilmu berkaitan robotik dilihat amat penting untuk dilengkapkan dalam kalangan murid sekolah berkenaan bagi mengelakkan mereka tidak ketinggalan selaras arus semasa.

“Kementerian Pendidikan sememangnya menggalakkkan aktiviti robotik kerana ini adalah persiapan kepada anak-anak kita di alam pekerjaan pada masa hadapan yang begitu bergantung kepada robotik, ilmu berkaitan Revolusi Industri 4.0.

“Jadi, kita mesti melengkapkan anak-anak kita segala ilmu yang menyediakan masa depan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup pertandingan Tun Fatimah Innovation Challenge (Tun Fatimah i-Challenge) di Sekolah Tun Fatimah, di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu melahirkan kegembiraan terhadap pertumbuhan sekolah tahfiz di negara ini.

Namun, pada masa sama, beliau bimbang murid di sekolah itu yang dilihat kurang didedahkan dengan kemahiran robotik untuk masa depan mereka.

Berhubung pertandingan Tun Fatimah i-Challenge yang mengetengahkan aktiviti pengaturcaraan dan pembangunan robotik, beliau percaya ia mampu melahirkan pelajar yang sangat teliti, mempunyai komitmen yang tinggi serta sabar dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tidak lantik pegawai dapatkan wang daripada kontraktor

KUALA LUMPUR, 1 JUL: Kementerian Pendidikan tidak pernah melantik mana-mana pegawai untuk mendapatkan sejumlah wang daripada kontraktor bagi tujuan memperoleh tender.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata pihaknya menerima aduan dari Johor, Kedah, Sabah dan Perak berhubung individu tertentu yang mengaku sebagai pegawai kementerian dan meminta kontraktor menyerahkan wang kepada mereka.

“Ada yang mengaku menjadi ketua setiausaha, setiausaha politik saya, lantas mereka meminta kontraktor untuk membayar sejumlah wang untuk dapatkan tender tertentu.

“Saya atau pihak kementerian, tidak pernah ada mana-mana pegawai yang diarahkan untuk mengutip sebarang wang daripada kontraktor. Jikalau ada, sila laporkan kepada pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan kepada kementerian sendiri,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Tindakan tersebut, katanya merupakan penyalahgunaan kuasa dan pihaknya menentang sekeras-kerasnya perbuatan seumpama itu.

Maszlee bagaimanapun menyatakan beliau tidak pasti dengan nilai yang terlibat hasil penipuan berkenaan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Laporan JKD dibentang kepada PM minggu depan

PUTRAJAYA, 22 JUN: Laporan penuh Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKD) yang siap hujung April lepas akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad minggu depan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, beliau sendiri akan membentangkan laporan itu bagi mendapat pandangan Perdana Menteri sebelum perincian lanjut dilakukan melalui pendekatan tertentu selepas itu.

“Jawatankuasa mengkaji keseluruhan sistem pendidikan negara yang diwujudkan melalui cadangan mesyuarat jemaah menteri telah menyerahkan laporan lengkap itu kepada saya awal bulan lepas.

“Selepas dibentangkan kepada Perdana Menteri, kita akan adakan beberapa siri makmal dan bengkel bagi memperhalusi laporan tersebut sebelum dibentangkan semula kepada kabinet pada masa yang akan ditentukan kemudian,” katanya kepada pemberita pada majlis Silaturahim Aidilfitri Menteri Pendidikan di sini hari ini.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching, warga kementerian serta jemputan khas.

Dipengerusikan oleh Prof Emiratus Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid, JKD yang ditubuhkan pada Oktober tahun lepas telah mengadakan siri pertemuan melibatkan 3,141 pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan sebelum mengemukakan laporan lengkap cadangan menambah baik sistem pendidikan negara kepada kementerian pendidikan.

Maszlee berkata kajian semula dasar pendidikan negara itu termasuk menambah baik kurikulum dan sistem pendidikan dari peringkat prasekolah sehingga universiti.

Beliau berkata antara lain, laporan yang menyentuh mengenai usaha memperlengkapkan pelajar berdepan masa depan yang mencabar, mengarusperdanakan TVET serta menempuh alam pekerjaan dalam Revolusi Industri 4.0 . – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN

Empat universiti awam Malaysia antara terbaik dunia

PUTRAJAYA, 19 JUN: Empat universiti awam (UA) yang juga universiti penyelidikan negara berjaya memperbaiki kedudukan, apabila disenaraikan antara universiti terbaik dunia dalam QS University Ranking 2020 berbanding tahun sebelumnya.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam sidang media mengumumkan kedudukan terkini universiti tempatan di sini hari ini berkata daripada senarai itu, Universiti Malaya (UM) kini berkedudukan ke-70 terbaik dunia, meningkat 17 anak tangga berbanding tahun lalu.

Berdasarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking 2020 yang dikeluarkan hari ini, Universiti Putra Malaysia (UPM) kini di kedudukan ke-159 daripada kedudukan ke-202, Universiti Kebangsaan Malaysia di kedudukan ke-160 (184) dan Universiti Sains Malaysia ke-165 (207).

Turut menunjukkan peningkatan ialah Universiti Teknologi Malaysia yang naik 11 anak tangga daripada kedudukan 228 sebelum ini, katanya.

“Siri penarafan ini menyaksikan 20 universiti tempatan tersenarai dengan 10 daripadanya berjaya memperbaiki kedudukan, dua universiti mengekalkan kedudukan, tujuh universiti tersenarai untuk kali pertama, manakala sebuah universiti tergelincir dari kedudukan tahun lepas,” katanya.

Sebanyak 15 institusi pendidikan tinggi tempatan awam dan swasta juga disenaraikan dalam ‘top 1000’ QS World Rankings, iaitu UCSI; Universiti Teknologi Petronas (UTP); Taylor’s; Management & Science University (MSU); Universiti Utara Malaysia (UUM); Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Universiti Teknologi Mara (UiTM); Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Sunway University.

Turut tersenarai, Universiti Malaysia Pahang (UMP); Universiti Multimedia (MMU); Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS); Universiti Tenaga Nasional (UNITEN); Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Perkembangan itu membuktikan kerajaan berada di landasan tepat dalam menyediakan institusi pendidikan tinggi berkualiti ke arah Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Maszlee bagaimanapun menegaskan bahawa kementerian tidak memberi keutamaan kepada kedudukan atau ranking universiti, sebaliknya menekankan kecemerlangan budaya akademik dan peranan universiti sebagai penyelesaian masalah rakyat dan negara.

“Kementerian mengharapkan setiap universiti dapat menghasilkan para pengkaji dan kajian akademik yang boleh dijadikan rujukan di peringkat dunia, yang sekali gus membantu dalam mendapat kedudukan terbaik dalam ranking dunia,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lepasan cemerlang SPM digalak mohon IPG

PUTRAJAYA, 30 MEI: Kementerian Pendidikan (KPM) menggalakkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang untuk memohon Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan ( PPISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, sebanyak 6,000 tempat ditawarkan di bawah program itu namun kebanyakan pelajar cemerlang lebih tertumpu kepada kursus profesional sedangkan negara juga memerlukan guru-guru yang cemerlang.

“Semuanya ingat nak masuk matrikulasi, akhirnya IPG mengalami kemerosotan. Jadi kita menggalakkan pelajar cemerlang yang berminat memohon menjadi guru” kata pada majlis berbuka puasa KPM bersama media, di sini semlam.

Selain itu, Maszlee berkata KPM juga menggalakkan permohonan untuk menjadi guru Bahasa Mandarin dan Tamil yang diperlukan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

“Kita menghadapi kurangnya permohonan untuk guru mengajar Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil,” katanya.

Dalam pada itu, Maszlee berkata KPM akan memberi tumpuan kepada usaha mendidik masyarakat supaya melihat kepada kursus yang menjanjikan peluang kerjaya pada masa depan seperti bioteknologi, teknologi nano, analisis data dan robotik.

Mengakui KPM belum berjaya mendidik masyarakat untuk melihat masa depan yang lebih mencabar, beliau berkata pelajar cemerlang lebih tertumpu kepada kursus profesional seperti perubatan, farmasi, pergigian, guaman dan akauntan.

“Ramai yang masih terikat dengan kursus tradisional dan bila tak dapat, masing-masing marah walhal banyak kursus yang menjanjikan peluang kerja lebih baik pada masa depan tidak ada orang ambil,” katanya.

Katanya, pada tahun lepas terdapat 5,000 tempat di universiti awam (UA) bagi kursus-kursus sains berbeza yang tidak mendapat sambutan.

Maszlee berkata kerajaan tidak mahu wujud ketidak sepadanan antara kursus yang diambil pelajar di institusi pengajian tinggi dengan peluang kerjaya yang ditawarkan pada masa akan datang.

-BERNAMA

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Cadangan MBM perkenal subjek kenali agama lain ditolak

KLUANG, 19 MEI: Cadangan Majlis Belia Malaysia (MBM) supaya diperkenalkan satu subjek khusus bagi mengenali agama lain, selain agama Islam di sekolah dan pusat pengajian tinggi (IPT) tidak dipersetujui oleh Kementarian Pendidikan.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, bagaimanapun beliau konsisten dengan cadangan kementerian sebelum ini yang mahukan setiap sekolah dan universiti lebih kerap mengadakan program rentas budaya.

Katanya, berkongsi kebudayaan sesuatu kaum adalah lebih sesuai berbanding mempelajari agama lain, ini kerana dibimbangi akan menimbulkan lebih banyak kesan yang negatif berbanding yang positif

“Baru-baru ini sewaktu saya ke Pulau Pinang, saya telah lihat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) ada kerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan di negeri Johor kita ada Sekolah Islam Hidayah (SIH) yang aktif buat program bersama sekolah-sekolah vernakular lain.

“Jadi, kita galakkan sekolah berlainan aliran ini untuk buat program silang budaya ini dan biasanya silang budaya ini lebih kepada perayaan, pakaian dan kalau boleh kita hendak pergi lebih jauh daripada itu untuk saling memahami budaya masing-masing,” katanya, hari ini.

Beliau yang merupakan Anggota Parlimen Simpang Renggam berkata sedemikian semasa sidang media Penyerahan Plak Program Bantuan Rumah Harapan di Kampung Parit Haji Hashim, di sini.

Dr Maszlee turut menegaskan perkara yang paling penting ialah penghayatan setiap pelajar untuk berinteraksi antara satu sama yang lain menerusi pelbagai aktiviti kokurikulum bagi mengukuhkan perpaduan dan bukannya mempelajari setiap agama yang lain.

Semalam, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha dilaporkan berkata, subjek pendidikan agama Islam yang diajar di sekolah pada masa kini adalah baik, namun ia hanya memberi fokus kepada satu agama tanpa memahami agama lain.

Katanya, cadangan berkenaan bukan bermaksud negara bakal mengamalkan kesamarataan agama, tetapi perpaduan akan dapat dipupuk apabila semua memahami sensitiviti penganut pelbagai agama di negara ini. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Cadangan PTPTN atasi peminjam culas ambil kira pandangan umum

KLUANG, 18 MEI: Cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkaitan kaedah pembayaran balik serta sekatan kepada peminjam yang culas perlu mengambil kira pandangan masyarakat serta impak positifnya.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, cadangan itu baru di peringkat cadangan dan merupakan pandangan yang diambil melalui proses libat urus bersama pelbagai pihak.

“Sekarang ini, PTPTN sedang lakukan konsultasi awam untuk dapatkan maklum balas masyarakat mengenai isu yang timbul dan majoriti rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

“Bagaimanapun, saya telah minta PTPTN agar buat komunikasi yang baik bersama media, untuk memberikan gambaran sebenar agar orang ramai dapat maklumat yang tepat.

“Bagi orang muda di luar sana, In sya Allah, kita akan cuba membantu sebaik mungkin dalam usaha kita memberikan yang terbaik kepada golongan ini dan ini merupakan komitmen saya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Anggota Parlimen Simpang Renggam itu memberikan janji tersebut selepas melakukan penyerahan Bubur Lambuk Econsave di Pasar Raya Econsave Simpang Renggam.

Turut hadir, Pengurus Operasi Pasar Raya Econsave Wilayah Selatan Mas Imran Adam.

Keputusan PTPTN akan diumumkan pada Julai hadapan setelah mengambil kira konsultasi awam yang dijalankan ini, termasuk keputusan menyenaraihitamkan peminjam yang gagal membayar hutang dan pemberian diskaun terhadap peminjam.

Terdahulu, media melaporkan pihak PTPTN berkemungkinan akan memperkenalkan semula tindakan menyekat perjalanan ke luar negara bagi peminjam yang gagal membayar balik pinjaman.

Turut dipertimbangkan cadangan menyekat memperbaharui pasport, lesen memandu, cukai jalan dan lesen perniagaan. – BERNAMA