Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin Moderna diluluskan kegunaan ketika bencana

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) ke-362 hari ini meluluskan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi produk Spikevax 0.20 mg/ml Dispersion for Injection Covid-19 mRNA Vaccine (nucleoside modified), juga dikenali sebagai vaksin Moderna.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata kelulusan produk itu bagi pemegang pendaftaran produk (PRH) Zuellig Pharma Sdn Bhd dan pengilang Rovi Pharma Industrial Services, Sepanyol.

“Kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan serta keberkesanan produk vaksin dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin Covid-19 di Malaysia dengan memastikan produk berkenaan dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan PBKD.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

207 kes maut akibat Covid-19, tertinggi sejak pandemik

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Malaysia mencatatkan kematian harian tertinggi hari ini sejak penularan Covid-19 di negara ini dengan 207 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negara ini sebanyak 8,201 kes atau 0.80 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata kes kematian itu membabitkan 184 warganegara, manakala 23 lagi warga asing sekali gus mengatasi angka kematian tertinggi sebelum ini yang dilaporkan pada 21 Julai iaitu 199 kematian.

Sementara itu, jumlah individu yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) setakat ini 1,009 orang dengan 524 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Jumlah kes sembuh dalam tempoh 24 jam lepas adalah 9,372, menjadikan jumlah kumulatif 853,913 kes atau 83.1 peratus, manakala kes aktif kini sebanyak 165,840 kes,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

2.5 peratus kes Covid-19 babit pesakit kategori tiga hingga lima

SHAH ALAM, 25 JULAI: Sebanyak 433 kes atau 2.5 peratus daripada 17,045 kes Covid-19 hari ini membabitkan pesakit kategori tiga hingga lima.

Ketua pengarah kesihatan berkata sebanyak 122 kes atau 0.7 peratus dalam kategori tiga, manakala 124 kes atau 0.7 peratus pada kategori empat.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan kategori lima pula merekodkan 187 kes atau 1.1 peratus.

“Keseluruhannya, 2.5 peratus kes dilaporkan hari ini berada pada kategori tiga, empat dan lima yang perlu ditempatkan di hospital merawat Covid-19 yang semakin penuh serta sesak.

“Oleh itu, masyarakat diseru terus kekal mematuhi tatacara operasi piawai, elakkan perhimpunan terutama di tempat sempit dan kurang pengudaraan dan segera mendapatkan janji temu vaksin Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, kategori satu bermaksud tiada gejala, kategori dua bergejala ringan dan kategori tiga mempunyai radang paru-paru.

Kategori empat pula merujuk kes radang paru-paru yang memerlukan bantuan oksigen manakala kategori lima kes kritikal dan bergantung pada bantuan pernafasan.

Jumlah jangkitan Covid-19 terus melonjak ke paras tertinggi dengan 17,045 kes hari ini berbanding rekod 15,902 semalam.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan kes di negara ini melebihi paras sejuta kepada 1,013,438 kes.

Selangor turut mengalami kenaikan ketara apabila mencatat 8,500 kes berbanding 7,351 semalam. Kuala Lumpur dan Kedah juga menunjukkan peningkatan besar kepada masing-masing 2,045 dan 1,216 kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya sedikit petugas kesihatan dijangkiti virus lepas divaksin

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Hanya segelintir petugas kesihatan dari Kementerian Kesihatan (KKM) yang melengkapkan dua dos suntikan vaksin telah dijangkiti virus Covid-19 kategori tiga dan empat sementara tiada yang dijangkiti kategori lima, menurut data KKM dari 24 Februari hingga 14 Julai tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam hantaran di Twitternya malam tadi berkata data terkini diperoleh daripada ujian berkala menunjukkan 3,106 (1.26 peratus) daripada keseluruhan 245,932 petugas kesihatan dijangkiti virus itu selepas melengkapkan suntikan vaksin, dengan masing-masing tiga (0.1 peratus) dalam kategori tiga dan empat (0.1 peratus) di kategori empat.

“Pernah suatu ketika, ramai tidak gembira dengan ciapan saya apabila saya menyentuh mengenai bilangan petugas kesihatan telah dijangkiti selepas lengkap dua dos vaksin. Ya, kamu masih boleh dijangkiti selepas lengkap dua dos vaksin tetapi tidak serius, kurang kemasukan ke hospital dan kematian.

“Percayalah vaksin, percaya data. Vaksin menyelamatkan nyawa dan selepas divaksinasi sepenuhnya kita boleh berdampingan dengan Covid-19,” katanya.

Berdasarkan infografik yang dikongsikan Dr Noor Hisham, sebanyak 1,012 petugas kesihatan dirawat di bawah kategori satu yang mana tidak mengalami sebarang simptom; 2,088 (kategori dua-gejala ringan); tiga (kategori tiga-radang paru-paru); tiga (kategori empat – perlu oksigen) dan sifar dalam kategori lima (rawatan di unit rawatan rapi – ICU).

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lima lagi kes varian Delta dikesan di Selangor

SHAH ALAM, 13 JULAI: Sebanyak lima lagi pesakit Covid-19 dikesan membawa varian Delta di Selangor setakat 13 Julai, semuanya membabitkan penularan tempatan.

Sebelum ini dua pembawa varian tersebut, pertama kali dikesan di India, adalah kes import yang dikesan di negeri ini setakat 30 Jun, menurut angka ketua pengarah kesihatan hari ini.

Kenyataan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menunjukkan varian berbahaya ini (B.1.617.2) paling banyak dikesan di Labuan dengan 14 kes dan 10 di Pahang.

Kuala Lumpur pula mencatatkan lapan kes, Negeri Sembilan enam manakala Johor dan Melaka masing-masing merekodkan lima kes.

Selangor merekodkan tujuh kes varian Delta daripada 67 kes di seluruh negara.

Namun Selangor kekal mendahului negeri lain berkaitan penularan varian Beta (B.1.351), dikesan di Afrika Selatan, dengan 47 kes tempatan daripada 195 kes di seluruh negara.

Sarawak negeri kedua tertinggi merekodkan varian ini dengan 44 kes, diikuti Kelantan (24), masing-masing 13 kes di Kedah dan Perak.

Selangor juga merekodkan lima kes varian Alpha (B.1.1.7), pertama kali dikesan di United Kingdom, termasuk dua import. Setakat ini hanya 11 kes dikesan di seluruh negara.

Daripada tiga varian membimbangkan (VOC) berkenaan, Delta lebih cepat merebak dan mudah menyebabkan risiko kematian sehingga menjadi perhatian utama pakar perubatan saat ini.

Jumlah keseluruhan kes VOC di seluruh negara setakat ini 273 kes.

Sementara itu, dalam sidang medianya, Dr Noor Hisham berkata varian Delta yang cepat merebak antara punca peningkatan kes di negara ini.

“Varian Delta, ia merebak dengan cepat, pada permulaan jangkitan R-naught (R0) ialah 5 hingga 8, bererti kalau 100 orang dijangkiti boleh menjangkiti 800 orang dalam tempoh singkat,” katanya.

“Ini kerana, kita lihat, jangkitan mengikut udara dan dalam masa yang singkat, ia (virus) boleh menjangkiti. Kita kena ambil tindakan untuk elak dijangkiti iaitu pakai pelitup muka dua lapis dan elak tempat sesak.”

Categories
AGENDA NASIONAL

Tujuh kluster baharu sumbang 143 kes Covid-19 di Selangor

SHAH ALAM, 29 JUN: Sebanyak tujuh kluster baharu Covid-19 dikesan di Selangor dengan empat daripadanya merupakan jangkitan tempat kerja.

Ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan menyebut kluster terbabit dikesan di Hulu Langat, Sabak Bernam, Kuala Langat, Sepang dan Petaling.

Rekod Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga menunjukkan sebanyak 143 kes positif dicatatkan selepas 646 individu disaring di semua lokasi terbabit.

Perincian kluster seperti berikut:

1. Industri Balakong Sembilan (tempat kerja, 20 kes)
2. Jalan PJS Lapan (tempat kerja, 17 kes)
3. Tapak Bina Sunsuria City (tempat kerja, 34 kes)
4. Industri Sungai Chua Satu (tempat kerja, 11 kes)
5. Cahaya Enam (komuniti, 13 kes)
6. Jalan Empat Bandar Baru Bangi (komuniti, 39 kes)
7. Jalan Tanggilan (institusi pendidikan swasta, sembilan kes)

Sebanyak 27 kluster baharu dikesan di seluruh negara yang turut melibatkan Pahang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Johor, Perak, Kelantan, Putrajaya, Sabah dan Sarawak.

Bermula tahun lalu, sebanyak 2,821 kluster dikesan dengan 1,934 ditamatkan dan 887 masih aktif.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KP kesihatan sasar negara capai imuniti kelompok pada November

SHAH ALAM, 20 JUN: Negara boleh mencapai imuniti kelompok sekitar November atau Disember, bergantung kepada peningkatan suntikan vaksin Covid-19.

Ketua pengarah kesihatan berkata strategi itu antara yang terpenting ketika ini berikutan kepatuhan tatacara operasi piawai (SOP) dan arahan duduk rumah kurang berkesan, lapor Berita Harian.

“Sebab sudah terlalu lama sangat (situasi pandemik Covid-19). Ini menyebabkan kelesuan mental dan fizikal. Jadi, lebih susah untuk bertahan.

“Bila buka (kelonggaran), kes akan merebak. Jadi vaksin sandaran. Beri masa dua ke tiga bulan ini untuk meningkatkan vaksinasi,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata isu kelewatan bekalan vaksin antara punca situasi Covid-19 di beberapa negeri seperti Selangor dan Wilayah Persekutuan masih meruncing.

“Masalah vaksin ini isu bekalan. Kerajaan sudah beli dari tahun lepas dan sekarang, kita perlukan bekalan dalam masa terdekat. Jika kita nak beli vaksin pun (sekarang), ia akan dihantar lambat lagi.

“Kerajaan sudah membuat bayaran, tetapi bekalan tidak sampai lagi,” kata Dr Noor Hisham.

Beliau menambah kerajaan membeli 44.4 juta dos vaksin Pfizer untuk 22.2 juta penduduk, Sinovac sebanyak 12.8 juta dos (6.4 juta penduduk) dan Astrazeneca 6.4 juta dos untuk 3.2 juta penduduk.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Varian baharu punca kes Covid-19 di ICU tidak turun

SHAH ALAM, 16 JUN: Kemunculan varian baharu antara punca kes Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) tidak menurun di sebalik pengurangan kes dalam tempoh dua minggu mulai 1 Jun.

Ketua pengarah kesihatan berkata varian tersebut mengakibatkan kes gejala serius, iaitu kategori empat dan lima, dengan kesihatan merosot pada kadar lebih cepat.

“Keadaan ini menyebabkan lebih ramai pesakit memerlukan bantuan oksigen dan alat pernafasan khususnya golongan rentan seperti warga emas serta pesakit yang menghidap lain-lain penyakit.

“Penggunaan kapasiti ICU yang melebihi 100 peratus amat membimbangkan kerana tidak semua pesakit memerlukan rawatan kritikal ditempatkan di ICU,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Beliau berkata penggunaan katil melebihi kapasiti turut didorong tempoh pemulihan panjang antara 14 ke 26 hari bagi pesakit ICU yang menghadapi komplikasi jangkitan serius.

Sehubungan itu, beberapa langkah diambil bagi mengatasi masalah tersebut antaranya:

1. Menambah kapasiti 11,598 katil di hospital dan 31,861 di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 awam

2. Menaik taraf kegunaan katil di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal Covid-19

3. Bekerjasama dengan hospital pengajar antaranya Pusat Perubatan di Universiti Malaya, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Hospital Kanak- kanak Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menggunakan fasiliti mereka bagi merawat pesakit Covid-19

4. Bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam penubuhan Hospital Medan. Setakat ini enam Hospital Medan ATM telah dibina di hospital-hospital KKM

5. Bekerjasama dengan 112 hospital swasta khususnya di Lembah Klang bagi rawatan pesakit Covid-19 yang melibatkan sejumlah 1,274 katil wad biasa dan 128 katil ICU

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dua minggu akan datang tempoh kritikal kurangkan kes Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan tempoh dua minggu pelaksanaan sekatan pergerakan penuh akan datang merupakan tempoh kritikal untuk negara mengurangkan bilangan kes kepada 4,000.

Beliau berkata dalam tempoh berkenaan, kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk membantu melandaikan lekuk Covid-19, yang masih mencatatkan bilangan kes harian yang tinggi.

Namun, pada masa sama beliau turut kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang masih melakukan pergerakan yang tidak perlu, termasuk perhimpunan seperti parti keramaian dan majlis.

“Ini adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Negara merekodkan sejumlah 5,793 kes baharu harian Covid-19 hari ini berbanding 6,849 kes semalam, manakala jumlah kes sembuh Covid-19 dalam tempoh 24 jam juga sekali lagi mencatatkan angka tertinggi sejak pandemik itu melanda Malaysia, dengan 8,334 kes berbanding 7,749 semalam.

Kerajaan pada 28 Mei lepas memutuskan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes sembuh Covid-19 cecah 8,334, tertinggi sejak pandemik

SHAH ALAM, 12 JUN: Jumlah kes sembuh Covid-19 bertambah 585 kes kepada 8,334 kes berbanding semalam, kata ketua pengarah kesihatan.

Rekod dikongsikan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menunjukkan bilangan kes sembuh hari ini tertinggi pernah dicatatkan sejak pandemik menular.

Angka terbaharu itu menjadikan kes pulih di Malaysia sebanyak 572,113 kes setakat Sabtu.

Dr Noor Hisham dalam kenyataan menyebut sebanyak 76 kes kematian direkodkan dengan 27 kes di Selangor dan masing-masing sembilan kes di Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan.

Johor pula mencatatkan lapan kes, masing-masing lima kes di Sabah dan Melaka, Sarawak (empat), Kelantan (tiga), Kedah (dua) serta masing-masing satu di Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Labuan.

Kenyataan sama turut memaklumkan sebanyak 24 kluster baharu dikesan membabitkan tempat kerja, komuniti dan pusat tahanan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penggunaan katil ICU Covid-19 cecah 104 peratus dalam dua minggu

SHAH ALAM, 8 JUN: Kadar penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) naik sehingga 104 peratus setakat 6 Jun, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan menyebut kenaikan sebanyak lapan peratus dalam tempoh dua minggu mulai 24 Mei amat membimbangkan.

“Kadar penggunaan katil ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan kerana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU,” katanya.

Beliau berkata penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 bukan ICU pula turun 10 peratus kepada 89 peratus dalam tempoh sama, termasuk di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 yang mencecah 54 peratus.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kebanyakan hospital berdepan peningkatan kes bergejala serius (kategori empat dan lima) yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Beliau menjelaskan pesakit dalam kategori itu memerlukan tempoh pemulihan antara 14 hingga 26 hari berikutan komplikasi serius daripada jangkitan virus.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan semua pihak bahawa penularan Covid-19 yang dihadapi negara masih kekal pada situasi sangat serius.

“Bahaya penularan Covid-19 dan kapasiti hospital (terutama ICU) pada tahap kritikal dan boleh terus meningkat sekiranya kita alpa walau untuk sehari sekalipun,” tegas Dr Noor Hisham.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kadar boleh jangkitan Covid-19 turun lima hari berturut-turut

SHAH ALAM, 3 JUN: Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di seluruh negara mencatatkan penurunan dalam tempoh lima hari berturut-turut mulai Sabtu.

Rekod ketua pengarah kesihatan di Facebook menunjukkan kadar terbabit yang mencatat 1.06 semalam, merosot daripada 1.16 pada 29 Mei dan 1.12 (30 Mei).

Pada 31 Mei, nilai Rt merekodkan kadar 1.09 manakala kelmarin 1.07.

Mengikut data Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, hanya Johor mencatatkan Rt bawah nilai kebangsaan dengan 1.04, manakala Kedah merekodkan kadar sama 1.06.

Labuan pula mendahului negeri lain dengan kadar 1.49, disusuli Negeri Sembilan (1.24), Sabah (1.21), Melaka (1.19), Perlis (1.18) dan Pahang (1.13).

Pulau Pinang dan Kelantan masing-masing 1.12, Perak (1.11) sementara Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Terengganu serta Sarawak (1.09).

Jumlah jangkitan harian Covid-19 naik 600 kes lagi kepada 7,703 kes semalam dengan Selangor kekal merekodkan kes tertinggi sebanyak 2,728 kes.

Jumlah kematian turut meningkat kepada 126 kes, rekod tertinggi sejak penularan pandemik.

Sumber Facebook Dr Noor Hisham Abdullah