Categories
SELANGOR

Kerajaan perlu semak semula waran peruntukan kepada JKR

Oleh; NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 17 APRIL: Kerajaan Persekutuan digesa menyemak semula kaedah pemberian waran peruntukan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi melicinkan lagi pembangunan sesuatu projek.

Exco Insfrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Yunus Hairi, berkata kelemahan sedia ada itu bukan sahaja menjejaskan kelancaran dalam kesinambungan kerja pembinaan, tetapi memberi kesan negatif kepada aliran tunai syarikat kontraktor.

“Kelemahan pembayaran sehingga merencatkan pembangunan dan aliran tunai kepada kontraktor adalah tidak munasabah jika wujud dalam projek rundingan terus kerana segala perincian termasuk kos pembinaan diketahui pada peringkat awal.

Yunus Hairi“Begitu juga buat projek yang ditenderkan secara terbuka, sudah tentu harga yang terbaik dipilih dan kerajaan bersedia dengan harga itu. Jadi, adalah tidak wajar jika kelemahan sama turut berlaku,” katanya ketika ditemui Selangor Kini di Perkarangan Dewan Annex di Bangunan SUK, di sini, semalam.

Yunus berkata, mengambil contoh projek pembinaan Politeknik Banting, antara punca pembinaannya terpaksa dilanjutkan turut membabitkan prestasi pembayaran yang lemah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia kepada JKR Selangor.

Perkara tersebut dinyatakan dengan jelas dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 dalam pengauditan yang dijalankan badan itu antara Jun hingga Ogos 2013.

Laporan itu berpendapat kelewatan atau kekurangan dalam bayaran daripada amaun yang disyorkan berdasarkan penilaian kerja di tapak boleh memberi kesan negatif kepada aliran tunai syarikat kontraktor, sekali gus menjejaskan kesinambungan kerja pembinaan.

JKR Selangor dalam maklum balasnya pada 13 Februari lalu kepada Laporan Ketua Audit Negara menjelaskan kelemahan itu berlaku ekoran sistem waran peruntukan yang diterima secara berperingkat (Januari, April, Julai dan Oktober) merumitkan proses pembayaran kepada kontraktor.

lampu jalan jkrHal itu terjadi jika baki peruntukan di JKR kurang daripada nilai kerja di tapak pada masa bayaran perlu dibuat.

“Duit perlu disediakan dahulu baru sesuatu projek itu digerakkan. Jika kewangan tidak kukuh, sesuatu projek itu terpaksa dilewatkan dan sudah tentu pertambahan kos akan berlaku.

“Akhirnya, bukan sahaja merugikan duit rakyat tetapi ekonomi yang terkait selepas itu juga akan membebankan rakyat.Sudah tiba masanya Kerajaan Pusat mengkaji semula perkara ini dalam memastikan rakyat tidak lagi menjadi mangsa,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri belanja RM10.33 juta bina gelanggang futsal sejak 2008

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 APRIL: Kerajaan Negeri sudah membelanjakan RM10.33 juta bagi pembinaan gelanggang futsal rakyat sejak 2008 hingga 2013.

Exco Belia dan Sukan, Dr Yunus Hairi, berkata 98 projek dibina melalui peruntukan infrastuktur sukan daripada jumlah perbelanjaan berkenaan.

Katanya, bagi baik pulih kemudahan sukan yang lain membabitkan diperuntukkan RM800,000 setahun.

yunus hairi soal jawab DUN 01“Walaupun peruntukan itu tidak besar untuk menaik taraf gelanggang atau kemudahan sukan yang lain, namun kita melaksanakannya mengikut keperluan.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga menaik taraf kemudahan yang rosak itu mengikut kemampuan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan daerah yang kurang berkemampuan,” katanya yang menjawab soalan Amiruddin Shari (PKR- Batu Caves), di Sidang Dewan Negeri, di sini, hari ini.

Yunus berkata, pihaknya masih mengumpul data semua gelanggang dan stadium untuk dinaik taraf jika perlu.

“Kita akan memberikan keutamaan kepada kemudahan yang kerap digunakan contohnya penggunaan stadium yang lebih besar,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Tidak timbul soal taraf hidup, catuan air babit semua golongan

Oleh: LIZAWATI MADFA

PETALING JAYA, 6 APR: Rakyat Selangor diseru melaksanakan penjimatan air bagi menjamin bekalan air berpanjangan di empangan, terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu.

Exco Negeri, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata penjimatan juga perlu dilakukan bagi menghadapi musim kering yang dijangka berlaku sekali lagi, pada September ini.

Katanya, pengguna masih lagi tidak mencapai tahap penjimatan yang diinginkan walaupun langkah catuan dilaksanakan.

IMG_4915“Seperti dilaporkan sebuah akhbar, sejak program catuan, hanya tujuh peratus sahaja penjimatan pengguna sedangkan kita jangkakan 25 peratus.

“Harap setiap pengguna dapat optimakan penggunaan air kepada perkara asas seperti mandi, memasak dan minum bukan perkara lain seperti siram pokok dan basuh kereta,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2014 peringkat Selangor di Pusat Membeli Belah One Utama (OU), di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Roslan Sakiman; Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Md Khairi Selamat dan Pengarah OU, Datuk Ir Teo Chiang Kok.

Bermula awal bulan ini, Kerajaan Negeri melancarkan program catuan peringkat keempat membabitkan kawasan lebih besar berbanding sebelum ini.

IMG_4841Yunus berkata, program catuan tidak dilaksanakan sewenang-wenangnya oleh Kerajaan Negeri tetapi demi kepentingan bersama.

“Kita perlukan lakukan catuan ini kerana khuatir hujan tidak berterusan dan paras empangan tidak mencapai peratus selamat. Catuan yang kita laksanakan juga bukan ikut kumpulan penduduk sama ada sederhana, rendah atau golongan elit,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan catuan akan dihentikan jika paras air di empangan Sungai Selangor mencapai tahap 55 peratus.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Exco Sukan: Stadium Hoki, Khairi dapat maklumat tidak cukup masak

Saya selaku EXCO Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor dengan ini menyelar kenyataan liar Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaludin yang menegur Kerajaan Negeri Selangor tidak prihatin terhadap masalah pembaikan stadium hoki di dalam negeri Selangor semasa sidang akhbar beliau baru-baru ini.

Saya ingin mengingatkan kepada YB Khairy supaya tidak mengambil maklumat daripada ‘sembang gebang kedai kopi’ ataupun daripada ‘hiruk pikuk pasar borong’ dan kemudian terus menyalahkan Kerajaan Negeri Selangor kerana tidak melakukan usaha untuk memulihkan keadaan stadium hoki yang ada di negeri Selangor terutamanya Stadium Hoki Pandamaran, Klang dan Stadium Hoki MBPJ, Petaling Jaya.

Saya ingin mempertegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor amat mengambil serius terhadap pembaikan kedua-dua buah stadium hoki yang dinyatakan. Dan kini ianya berada di peringkat akhir semakan kertas kerja yang akan dibentangkan untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.

Selepas mendapat kelulusan tersebut barulah proses untuk membaiki kedua-dua buah stadium tersebut akan dilakukan mengikut prosedur-prosedur yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Saya juga ingin menyatakan bahawa pihak Kerajaan Negeri Selangor tidak akan berkompromi terhadap perkara yang membabitkan aspek keselamatan terhadap pengunjung stadium terutamanya apabila ianya membabitkan salah sebuah mercu tanda Negeri Selangor iaitu Stadium Shah Alam yang mempunyai memori tersendiri kepada Negeri Selangor.

Stadium Shah Alam sendiri telah berusia 20 tahun dan sewajarnya dilakukan sedikit pembaikpulihan sejajar dengan taraf stadium tersebut yang kerap digunakan untuk pertandingan bolasepak peringkat antarabangsa.

Tetapi itu tidak bermakna stadium-stadium untuk acara sukan yang lain dianaktirikan dari sudut pembaikpulihan tempat latihan mereka. Ada pusat latihan dan stadium yang perlu kepada proses yang disegerakan dan ada yang dilewatkan.

Begitupun YB Khairy sepatutnya berbangga terhadap komitmen pengurusan Persatuan Hoki Negeri Selangor dan pasukan Hoki Selangor yang masih boleh menjuarai Kejohanan Hoki Bawah 16 Tahun walaupun mempunyai masalah tempat untuk menjalani latihan.

Saya juga turut meminta supaya pihak Menteri tidak terlalu prejudis disebabkan masalah perbezaan ideologi politik dan cuba untuk mengambil langkah murahan dengan mempolitikkan isu masalah stadium hoki ini sedangkan ianya telah berlaku semenjak dari zaman Barisan Nasional memerintah negeri Selangor.

Oleh itu janganlah hanya pandai menuding jari dan meletakkan kesalahan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang terpaksa mewarisi kelemahan dan kecuaian pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

“Saya ingin memaklumkan kepada YB Khairy bahawa saya telah mengutus surat untuk bertemu dan berbincang dengan beliau berkenaan pelbagai isu dan program yang berkaitan dengan pembangunan Belia dan Sukan samada peringkat negeri Selangor ataupun negara seusai beliau dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baru, tetapi malangnya sehingga ke hari ini saya masih lagi belum mendapat sebarang jawaban balas daripada pihak beliau”.

Maka saya dengan ini mengharapkan semoga Y.B Khairy mempunyai keterbukaan untuk bertemu dengan saya ataupun boleh menghubungi saya secara terus selaku EXCO Belia dan Sukan Negeri Selangor sekiranya memerlukan maklumat yang sahih terhadap perkembangan sukan dan prasarana sukan di dalam negeri Selangor.

 

Y.B. TUAN DR. AHMAD YUNUS BIN HAIRI
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur
dan Kemudahan Awam Negeri Selangor

03 April 2014

Categories
SELANGOR

Stadium Hoki Selangor dalam proses baik pulih

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 APRIL: Kerajaan Selangor akan mengambil perhatian serius terhadap usaha baik pulih dua stadium hoki di negeri itu yang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan tidak selamat untuk sebarang aktiviti sukan.

Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata beliau kini sedang giat menyiapkan kertas kerja untuk dibentangkan bagi mendapat kelulusan Exco sebelum kerja baik pulih boleh diteruskan.

Katanya, tempoh baik pulih dua stadium berkenaan belum diputuskan dan hanya akan diketahui selepas mendapat kelulusan.

Yunus-Hairi“Saya dalam proses persiapan kertas kerja untuk kelulusan Exco bagi urusan baik pulih stadium berkenaan,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Laporan media sebelum ini menyatakan Stadium Hoki Pandamaran diisytihar tidak selamat oleh Persatuan Hoki Selangor pada 2010, manakala Stadium Hoki Petaling Jaya pula tidak berupaya menganjurkan sebarang pertandingan dan tidak dibaik pulih sejak lebih 11 tahun lalu.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam satu kenyataan memaklumkan akan menaik taraf dan memperbaiki kemudahan di Stadium Hoki MBPJ bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penggunanya.

Pengarah Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan MBPJ, Aznan Hassan, berkata pihaknya menerima aduan berkenaan beberapa kemudahan di stadium yang perlu dibaiki berikutan keadaan kemudahannya yang uzur.

liga hoki remaja - ssbj LAznan berkata, RM2.5 juta diperuntukkan untuk kerja naik taraf itu termasuk menukar padang hoki, memasang pagar di kawasan sekeliling, dewan serbaguna dan pentas utama selain kemudahan asas yang lain.

“Stadium ini sudah berusia lebih 20 tahun, jadi banyak yang perlu ditukar. Kita juga mahu menaik taraf stadium ini berikutan banyak permintaan kegunaan termasuk sekolah, persatuan, badan bukan kerajaan dan orang awam untuk mengadakan pertandingan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

SUKMA 2014: Selangor jangka raih 50 emas, misi pertahan kejuaraan

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 28 MAC: Selangor menjangkakan bakal sekurang-kurang meraih 50 pingat emas yang membolehkan kontijen itu muncul juara pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XVII 2014 yang akan berlangsung, di Perlis, Mei ini.

Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata beliau yakin barisan atlit Selangor untuk kejohanan terbabit mampu merealisasi hasrat Kerajaan Negeri dalam mengekalkan kejuaraan tahun lalu.

“Ada di kalangan barisan atlit Selangor cuba dipinang negeri lain. Walapun keterbukaan itu ada, tetapi atlit yang menyumbang emas pada kejohanan lalu masih membarisi pasukan Selangor tahun ini dan kita akan kekalkan mereka,” katanya, di sini, baru-baru ini.

Dr yunus pic mza1Bercakap kepada Selangor Kini, Yunus menjangkakan sukan renang berpotensi besar menyumbang banyak pingat pada SUKMA akan datang.

Katanya, beliau turut yakin sukan lain seperti hoki dan juga bola sepak mampu membawa kejayaan kerana setiap pasukan mempunyai sasaran pingat yang mampu mereka raih di temasya sukan itu nanti.

Pada Sukma XVI di Kuala Lumpur tahun lalu, Selangor muncul juara dengan kejayaan meraih 23 emas, 17 perak dan 30 gangsa.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Exco: Kebajikan Orang Asal di Selangor terus diberi perhatian

Oleh: Mohd Ezli Mashut

KUALA LANGAT 12 FEB: Kerajaan Selangor sentiasa menjaga kebajikan terhadap Orang Asal malahan terdapat seorang Exco Kerajaan Selangor dipertanggungjawabkan memantau dan cakna terhadap permasalahan Orang Asal di negeri itu.

Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Yunus Hairi, berkata Orang Asal juga adalah daripada kalangan bumiputra yang terjamin hak mereka di dalam perlembagaan Negara Malaysia.

Dr Yunus AsalKatanya, oleh itu mereka tidak boleh disisihkan daripada setiap pembangunan dan kemajuan yang dilaksanakan di dalam negara atau negeri.

Beliau berkata demikian di majlis perasmian penutup Program Ziarah Kasih Orang Asal di Kampung Sungai Kurau, Pulau Carey, Kuala Langat baru-baru ini.

Dalam program itu, Dr Yunus juga merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada pihak yang terlibat di dalam program ziarah kasih Orang Asal ini.

Pihak yang terlibat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuala Langat, Perstuan Ulama Malaysia (PUM) Cawangan Selangor, Pasukan Medik daripada Universiti Malaya, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADN Sijangkang.

Turut sama Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Langat serta pihak Tok Batin Kampung Sungai Kurau yang selaku tuan rumah.

Program berlangsung selama dua hari itu turut mengandungi aktiviti ziarah kepada lima keluarga Islam daripada golongan Orang Asal dan juga kepada yang bukan Islam.

Selain program dialog, rawatan kesihatan, pemberian sumbangan, aktiviti sukaneka dan permainan yang bertujuan untuk membina ukhuwwah dan hubungan mesra yang berkekalan diadakan.

Dr Yunus mengharapkan semoga program yang cukup baik ini diteruskan dari masa ke semasa dan lebih ramai lagi pihak NGO-NGO, persatuan, kelab ataupun orang perseorangan tampil melaksanakan ukhuwwah bersama-sama kelompok Orang Asal.

EZY

Categories
SELANGOR

Gangguan bekalan air di Kuala Langat, Kerajaan Negeri pantau operasi

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 11 FEB : Penduduk sekitar diminta untuk tidak panik berikutan penemuan pencemaran bahan ammonia melebihi 4 ppm di Loji Air Bukit Tampoi.

Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata Kerajaan Negeri sudah mengarahkan pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk menyelenggara operasi pembersihan dengan kadar segera.

gangguan airKatanya, Syabas juga diminta untuk memaklumkan waktu operasi penghantaran lori-lori tangki air serta tempat berkumpul untuk orang ramai mengambil air.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa memantau operasi penghantaran lori tangki air ke kawasan yang terjejas secara serius bagi mengelakkan orang ramai mengalami kesulitan.

“Kita juga akan mengambil tindakan segera untuk memastikan operasi pembersihan Loji Air Bukit Tampoi dapat disiapkan dengan kadar segera, harap semua pihak dapat bersabar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan penemuan pencemaran bahan ammonia melebihi 4 ppm di Loji Air Bukit Tampoi yang menyebabkannya terpaksa ditutup buat sementara waktu bagi proses pembersihan.

Kejadian itu menyebabkan hampir 20,000 penduduk di kawasan Kampung Bukit Changgang, Olak Lempit, Labuhan Dagang, Rancangan Tanah Belia dan sekitar Banting terjejas keperluan air bersih mereka.

Dr Ahmad Yunus yang juga Adun Sijangkang berkata, antara kaedah yang akan digunapakai bagi membersihkan kandungan ammonia yang masih bersisa adalah dengan mengepam air dari tasik yang berhampiran dengan muka sauk bagi mengalirkan arus deras yang akan membersihkan kandungan ammonia.

Pada masa sama, Ahmad Yunus melahirkan kekecewaannya apabila terdapat segelintir masyarakat yang masih tidak peka terhadap keperluan dan kepentingan air kepada orang ramai.

“Orang ramai perlu sedar, punca air yang tercemar dengan bahan bertoksik bukan sahaja berbahaya kepada alam sekitar malah berpotensi memberi kesan buruk kepada kesihatan,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Sukma: Selangor sasar sukan tinju perolehi 3 emas

SHAH ALAM 8 FEB: Selangor mensasarkan untuk memperolehi pencapaian tiga emas dalam acara Sukan Tinju dalam Kojohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2014 di Perlis nanti.

Exco Belia dan Sukan, Dr Yunus Hairi berkata beliau mengharapkan atlet sukan tinju untuk menampilkan aksi terbaik bagi mencapai sasaran itu.

Tinju“Saya amat mengharapkan supaya Atlet Tinju Selangor akan beraksi cemerlang untuk mencapai sasaran tiga emas seperti yang disasarkan oleh Persatuan Tinju Amatur Negeri Selangor di dalam SUKMA di Perlis nanti,” kata Dr Yunus.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pusat Latihan Tinju Persatuan Tinju Amatur dan Muay Selangor di Kampung Padang Jawa, Klang baru-baru ini.

Turut serta di majlis perasmian tersebut adalah Pengarah Eksekutif, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor, Presiden, Persatuan Tinju Amatur Selangor, Datuk Amiruddin Mohd Radzi, dan Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan MSNS, Mohd Nizam Marjugi.

tinju1Dr Yunus mengharapkan dengan kewujudan pusat latihan yang baru ini akan dapat melahirkan lebih ramai atlet baru sukan tinju yang berbakat yang boleh mewakili negeri dan negara pada masa hadapan.

Dr Yunus berkata, beliau melihat sukan tinju mempunyai prospek yang baik untuk diketengahkan sebagai sukan yang boleh membina keperibadian dan jatidiri belia serta remaja negeri Selangor.

“Ia kerana ianya merupakan aktiviti sukan yang bermotivasi dan mempunyai disiplin latihan yang sangat ketat,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Exco Sukan: Usah dilibatkan Chong Wei dengan politik kotor BN

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 2 FEB: Exco Belia dan Sukan Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi bersetuju dengan pendirian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang enggan membenarkan jaguh badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Dr Ahmad Yunus berkata, tindakkan mencalonkan Chong Wei dalam politik bukan sahaja dilihat sebagai memperalatkan tokoh badminton itu, malah turut merugikan sukan badminton negara.

LEE CHONG WEI (1)“Saya setuju dengan kenyataan YB Khairi bahawa kepakaran Chong Wei bukanlah politik tetapi sukan badminton. Dia wajar meneruskan kariernya sebagai pemain badminton nombor satu negara sekaligus membantu memajukan lagi badminton di negara ini.

“BN tidak wajar menggunakan Chong Wei yang kita anggap sebagai aset negara untuk kepentingan politik semata-mata. Lagipun politik bukanlah bidang dia di mana keadaan ini akan merugikan masyarakat Kajang juga,” kata Dr Ahmad Yunus ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.

Dr yunus pic mza1Katanya lagi, reputasi Chong Wei sebagai jaguh badminton negara dan dianggap ikon bagi golongan beliau negara ini akan tercalar sekiranya beliau terlibat dalam politik kotor BN.

Semalam, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata MCA tidak menolak kemungkinan mencalonkan Chong Wei sebagai calon BN dalam PRK Kajang berikutan populariti Chong Wei sebagai jaguh nombor satu negara.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Chong Wei terkejut ketika diajukan soalan tentang spekulasi beliau dipilih sebagai calon PRK Kajang, menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Chong Wei, beliau tidak pernah dimaklumkan cadangan memilih beliau sebagai calon BN dalam PRK kecil itu.

Sementara itu, Khairi pula menerusi laman sosial mikro Twitternya menulis, Lee “harta” negara dan tidak boleh disentuh untuk tujuan pilihan raya kecil Kajang.

EZY

JURNAL BERITA – Anwar nafi dakwaan ambil alih jawatan MB Selangor

1. MB Selangor umum Anwar bertanding DUN Kajang

2. Anwar nafi dakwaan ambil alih jawatan MB Selangor

3. Abdul Khalid positif hadapi ‘karenah’ politik

4.Kes denggi meningkat, MB arah PBT pantau kawasan ‘hotspot’

5.DUN Kajang kosong, PRK dalam tempoh 60 hari

6. Sidang tergempar Parlimen patut diadakan bincang isu sensitiviti agama

7. Nik Nazmi: Generasi muda patut berani tampil perjuang isu kepentingan rakyat

8.Twitter Ean Yong digodam papar kenyataan palsu

9.MTUC: Kerajaan Pusat patut tegas laksana gaji minima RM900

10.AMK gesa Kerajaan BN mula konsensus nasional demi keamanan negara

11.SPRM tahan bekas SU Politik, Pengarah Yayasan

12.Polis ditugas intip harga barang jatuhkan imej

13. AKTIVITI YB : Dr Yunus turun padang pantau masalah infrastruktur

14.JKRJ: Tingkat waspada di jalan raya pada musim perayaan

Categories
SELANGOR

Kuala Langat destinasi pelancongan dan sukan antarabangsa

Oleh : Afeeqa Afeera

MORIB, 22 DIS : Acara triathlon peringkat antarabangsa yang julung kalinya dianjurkan Kerajaan Selangor adalah salah satu inisiatif untuk mempromosi daerah Kuala Langat sebagai lokasi pelancongan yang menawarkan pelbagai aktiviti sukan bertaraf antarabangsa.

Exco Belia dan Sukan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata pengajuran aktiviti itu mampu menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara untuk datang melawat Selangor.

Dr yunus pic mza1Beliau berkata program ini juga merupakan pencetus kepada rakyat di negeri ini supaya melakukan aktiviti sukan bagi menjaga kesihatan.

“Program ini sebagai pencetus kepada rakyat yang perlu bersukan dan menjaga kesihatan dengan baik.

“Ia memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk mempromosi Kuala Langat dan menjadikan ia sebagai lokasi pelancongan terbaik,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Acara Triathlon Antarabangsa di Gold Coast Resort Morib, di sini hari ini.

Beliau berkata program sama akan diajurkan pada tahun depan sebagai salah satu aktiviti tahunan di bawah portfolio belia.

visit kuala langat 2013 logo-1Kejohanan anjuran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bersama pihak pengurusan Gold Coast Morib itu menyaksikan penyertaan dari 15 buah negara antaranya Malaysia, Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Belgium, Australia, Maldives dan sebagainya.

Acara itu terbahagi kepada beberapa kategori seperti lelaki berusia 18 hingga 29 tahun, lelaki 30 hingga 49 tahun, lelaki 50 tahun ke atas, terbuka wanita 18 tahun ke atas serta terbuka berkumpulan.

Triathlon merangkumi tiga acara sukan iaitu berenang sejauh 1.2 kilometer (km), berbasikal sejauh 35km dan larian 8km.

EZY