Categories
ADN SELANGOR

DUN Taman Templer agih kupon, bantu 1,000 pelajar sekolah

SHAH ALAM, 9 FEB: Seramai 1,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer dijangka menerima bantuan persekolahan, menjelang bermulanya sesi persekolahan Mac ini.

Wakil rakyatnya Mohd Sany Hamzan berkata pihaknya memperuntukkan RM30,000 untuk bantuan terbabit, yang akan diedarkan dalam bentuk kupon bernilai RM30.

“Setiap pelajar akan menerima kupon dan boleh menebus peralatan kelengkapan sekolah di Pasaraya Hari-Hari Taman Templer sebelum sekolah bermula.

“Pemberian kupon ini bagi meringankan beban keluarga kurang berkemampuan (B40) dan menceriakan pelajar untuk kembali ke sekolah,” katanya kepada SelangorKini.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya melalui ahli majlis, majlis pengurusan komuniti kampung dan badan pengurusan bersama akan mengenal pasti pelajar yang layak dan menyalurkannya secara berperingkat.

“Kita turut menerima sumbangan daripada badan bukan kerajaan, Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) dan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dalam program ini.

“InsyaAllah semua sumbangan ini akan disalurkan kepada penerima yang layak dalam masa terdekat,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Warga asing takut jarum hadir terima vaksin selepas dipujuk rakan

SELAYANG, 15 NOV: Takut jarum menjadi punca seorang warga Indonesia melengah-lengahkan pengambilan vaksin Covid-19 walaupun berdepan risiko jangkitan.

Bagaimanapun selepas dipujuk rakan, Imam Tauhiq, 27, berasal dari Medan memberanikan diri hadir ke Program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer semalam.

“Saya takut dicucuk jarum selain tidak tahu cara nak daftar (ambil vaksin). Tapi Sri Wahyuni (rakan) selalu pujuk bagi tahu kebaikan suntikan ini.

“Bila tahu ada program berhampiran rumah dalam 200 meter sahaja, dia tolong daftarkan. Dia juga teman masa proses suntikan tadi,” katanya ditemui di Dewan Orang Ramai Kampung Selayang Indah di sini.

Wan Azuhri Wan Ibnul Bahar. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pekerja swasta Wan Azuhri Wan Ibnul Bahar, 30, bersyukur menerima pelalian selepas lebih enam bulan menunggu tarikh janji temu MySejahtera.

“Ada masalah teknikal (MySejahtera) jadi sehingga sekarang masih tak dipanggil. Bila tahu Selvax Remaja terima siapa sahaja terus saya datang.

“Selepas lengkap dos nanti saya lebih bebas. Selama ini saya bekerja di rumah jadi memang jarang keluar,” katanya.

Sementara itu seorang guru Hasliza Ibrahim, 43, membawa dua anak berusia 12 dan 15 tahun mendapatkan vaksinasi masing-masing.

Hasliza Ibrahim. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Sekolah ada buat tetapi ketika itu kami ada urusan di Perlis. Jadi anak terlepas vaksinasi.

“Saya dah mohon di MySejahtera tetapi mungkin lambat. Hari ini terus datang bawa mereka,” katanya.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan serta mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini diikuti Selvax bergerak yang tamat 17 Oktober.

Inisiatif kepada penerima berusia 12 hingga 17 tahun menerusi Selvax Remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan Malaysia.

Program membabitkan kos mencecah RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Taman Templer peruntuk RM50,000 bagi bantuan awal sekolah

SELAYANG, 14 NOV: Sejumlah RM50,000 diperuntuk Dewan Undangan Negeri  (DUN) Taman Templer bagi membantu keluarga berpendapatan rendah sempena pembukaan sekolah tahun hadapan.

Wakil rakyat Mohd Sany Hamzan berkata jumlah itu meningkat berbanding RM30,000 yang dibelanjakan untuk program kembali ke sekolah sebelum pendemik Covid-19 melanda.

“Akibat wabak ramai penduduk terkesan hingga menjejaskan pendapatan. Jadi kita akan cuba bantu sebaik mungkin keluarga terkesan terutama yang mempunyai ramai anak bersekolah.

“Bantuan diagih bermula awal Disember ini. Kita akan bantu penerima membeli keperluan sekolah termasuk pakaian dan alat tulis,”katanya.

Beliau ditemui ketika meninjau Program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja di Dewan Orang Ramai Kampung Selayang Indah hari ini.

Sebelum ini EXCO Kerajaan Selangor Ng Sze Han menggalakkan bantuan perubatan dan keperluan sekolah diberi kepada penduduk bagi meringankan beban.

Jelasnya inisiatif itu penting memandangkan sesi persekolahan sudah bermula selain permintaan untuk bakul makanan sudah semakin berkurang.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Taman Templer agih lebih 70 peranti, mudahkan PdPR pelajar

SELAYANG, 14 NOV: Lebih 70 peranti diberi kepada pelajar sekitar DUN Taman Templer bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepanjang penularan Covid-19.

Ahli Dewan Negeri Mohd Sany Hamzan berkata insiatif diutamakan kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) serta tiada kemudahan berkenaan.

“PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) menyebabkan pelajar tidak dapat belajar bersemuka. Ada keluarga yang tiada peranti untuk belajar dalam talian.

“Jadi kita agihkan kepada yang benar-benar layak sahaja. Setakat ini pemberian melibatkan hampir 40 telefon bimbit, tablet antara 20 hingga 25 unit dan komputer riba sebanyak 10,” katanya.

Beliau ditemui ketika meninjau Program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja di Dewan Orang Ramai Kampung Selayang Indah hari ini.

Mohd Sany berkata semua penerima dikenal pasti oleh ketua kampung dan pihaknya meneliti segala latar belakang bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar.

 

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer Mohd Sany Hamzan menyantuni seorang remaja yang menerima suntikan pelalian dalam program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja di Dewan Orang Ramai Kampung Selayang Indah, Selayang pada 14 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Program Vaksin Selangor Remaja di Taman Templer esok

SHAH ALAM, 13 NOV: Program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Selayang Indah, Taman Templer esok.

Program percuma bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari itu bertujuan memastikan tiada warga negeri ini tercicir dari pengambilan vaksinasi Covid-19.

Program terbuka kepada semua individu termasuk warga asing berusia 12 tahun ke atas, belum mendapat janji temu suntikan pertama atau terlepas pelalian kedua.

Berikutan slot terhad, mana-mana individu yang mahu sertainya diminta melakukan pra-pendaftaran melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan masukkan kod baucar diberikan.

Proses seperti berikut:

1. Muat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah)

2. Tekan butang ‘VAX’

3. Tekan butang ‘Temujanji’

4. Tekan butang ‘Semak temujanji’

5. Tekan kotak berwarna ungu

6. Masukkan kod baucar mengikut lokasi PPV berhampiran

7. Pilih ‘Tarikh’

Pada 7 Oktober Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada penerima remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini diikuti Selvax bergerak yang tamat 17 Oktober.

Inisiatif membabitkan kos mencecah RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

70 pek makanan diagih kepada penduduk Taman Templer setiap hari

GOMBAK, 26 JULAI: Sebanyak 70 bakul makanan asas diagih setiap hari kepada penduduk sekitar Taman Templer bagi meringankan beban mereka yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wakil rakyatnya Mohd Sany Hamzan berkata edaran pek berupa beras, gula, tepung, bihun, sardin dan teh bernilai RM30 dibuat atas permintaan penduduk melalui ketua kampung serta pusat khidmat.

“Memang setiap hari bantuan ini disalurkan kepada penduduk sama ada serahan dilakukan sendiri oleh pegawai pusat khidmat atau mereka datang sendiri ke bank makanan yang disediakan.

“Kita menerima permintaan terlalu tinggi malah ada sebahagian mereka yang memohon bantuan sama sehingga tiga kali, namun kita percaya mereka ini sangat mengharapkan bantuan berikutan hilang pendapatan akibat Covid-19,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Sri Siantan hari ini.

Selain barangan asas, Mohd Sany berkata pihaknya turut membekalkan lampin pakai buang dan susu bayi kepada keluarga memerlukan mengikut permintaan.

Beliau menjelaskan sumbangan komputer riba dan tablet diberi kepada pelajar sekolah serta institusi pengajian tinggi daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR).

“Biasanya kita akan selidik dahulu latar belakang pelajar terbabit kerana keutamaan adalah mereka yang mempunyai ramai adik-beradik bersekolah,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Taman Templer agih 200 kupon petrol, ringan beban penghantar makanan

SHAH ALAM, 9 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer mengagihkan 200 kupon petrol secara percuma kepada penghantar makanan yang tinggal di kawasan tersebut.

Wakil rakyatnya Sany Hamzan berkata sebanyak RM1,300 diperuntuk melibatkan 200 motosikal berkuasa kecil 150cc ke bawah.

“Selain harga petrol yang semakin meningkat tujuan kita juga adalah untuk membantu meringankan beban penghantar makanan seperti FoodPanda dan GrabFood.

“Malah, segelintir daripada mereka juga ada yang hilang kerja dan terpaksa mencari rezeki begini,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, DUN Taman Templer sentiasa berusaha menyalurkan bantuan kepada seluruh lapisan masyarakat terutama yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Program agihan kupon petrol diadakan Sabtu lalu di Petronas BBS Fasa 2A di sini dengan kerjasama Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen dan Pemuda AMANAH Selangor.

Categories
ADN SELANGOR

Warga emas, OKU Taman Templer terima baucar beli-belah RM100

SHAH ALAM, 11 DIS: Sebanyak 471 baucar Jom Shopping diagihkan kepada warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer.

Ahli Dewan Negeri Mohd Sany Hamzan berkata baucar beli-belah di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) sebanyak RM100 diberikan kepada mereka yang lahir pada bulan Disember.

“Semua penerima boleh menggunakan baucar tersebut untuk berbelanja di Pasaraya NSK Selayang mulai 14 hingga 20 Disember ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau memaklumkan agihan dibuat sejak 7 Disember hingga hari ini di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Taman Templer dari jam 9.30 pagi sehingga 1 petang.

Mohd Sany berkata inisiatif itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban golongan berkaitan terutama dalam mendepani cabaran pasca Covid-19.

Pada Mei tahun lalu, Kerajaan Negeri menamatkan pemberian khairat kematian berjumlah RM2,500 kepada warga emas susulan pelaksanaan pelarasan SMUE yang memperuntukkan RM100 setiap tahun kepada golongan berkenaan menerusi program Jom Shopping.

Belanjawan 2021 memperuntukkan sejumlah RM27.5 juta menerusi SMUE 2.0 dengan pemberian baucar Jom Shopping serta bantuan khairat kematian sebanyak RM500.

Categories
ADN SELANGOR

ADN: Kereta percuma untuk warga emas, OKU di Taman Templer

SHAH ALAM, 13 OKT: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Taman Templer menyediakan perkhidmatan kereta peduli percuma untuk kegunaan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) ke sembilan destinasi sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) itu setiap Rabu.

Ahli Dewan Negerinya berkata inisiatif bermula dengan sebuah kenderaan sejak awal tahun ini melibatkan lokasi ke Maybank dan Bank Simpanan Nasional Bandar Baru Selayang serta Majlis Perbandaran Selayang, Pejabat Tanah, Syarikat Bekalan Air Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Hospital Selayang, klinik kesihatan dan pejabat pos.

“Mereka yang mahu mendapatkan perkhidmatan ini perlu memohon ke pejabat DUN sekurang-kurangnya dua hari sebelumnya bagi memudahkan proses penyusunan jadual perjalanan.

“Pegawai pengendali akan menguruskan pengambilan warga emas atau OKU terbabit dari hadapan rumah dan dihantar ke lokasi sehingga urusan selesai,” kata Mohd Sany Hamzan kepada SelangorKini.

Beliau berkata berikutan sambutan menggalakan pihaknya akan menambah baik dengan cadangan memperluasnya untuk ibu tunggal dan golongan memerlukan selain menambah bilangan kenderaan serta tempoh perkhidmatan pada masa hadapan.

Mereka yang berminat mendapatkan khidmat kereta peduli percuma boleh menghubungi Rosli Kamaruddin di talian 018-3213092.

Categories
ADN SELANGOR

Pasar Peduli Rakyat DUN Taman Templer bantu ringan beban

SHAH ALAM, 15 JUN: Pasar Peduli Rakyat 2020 Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer bakal diadakan dua kali sebulan bagi membantu meringankan beban rakyat, kata ahli dewan negerinya.

Sany Hamzan berkata pasar itu diadakan di beberapa kawasan perumahan kos rendah dan sederhana melibatkan jualan hanya RM5 bagi empat barangan asas iaitu minyak, tepung, gula dan serbuk teh.

Katanya sasaran pembeli adalah dalam kalangan pengundi DUN itu termasuk warga emas, asnaf, orang kelainan upaya dan individu hilang pekerjaan.

“Program ini bertujuan meringankan beban golongan terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga ada dalam kalangan mereka terputus bekalan makanan terutama yang bekerja sendiri dan mengharapkan gaji harian,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Taman Templer berjaya menjual 200 pek barangan keperluan asas itu di Pangsapuri Julia.